January 10th, 2014

Menepis tuduhan Maulid Nabi suatu bidaah

"YA RASULULLAH, sungguh engkau lebih kucintai daripada diriku dan anakku," kata seorang sahabat. " Apabila aku berada di rumah, lalu kemudian teringat kepadamu, maka aku tak akan dapat memendam rasa rinduku sampai aku datang dan memandang wajahmu. Tetapi apabila aku teringat pada mati, aku merasa sangat sedih, sebab aku tahu bahawa engkau pasti akan masuk ke dalam syurga dan berkumpul bersama nabi-nabi yang lain. Sementara aku apabila ditakdirkan masuk ke dalam syurga, aku bimbang tak akan dapat lagi melihat wajahmu, kerana kedudukanku jauh lebih rendah daripada kedudukanmu."

Rasullullah SAW begitu terharu dengan kata-kata itu. Awalnya, baginda tidak memberikan apa-apa ulasan sehinggalah malaikat Jibrail muncul menyampaikan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." (Surah An-Nisa:69)

Berdasarkan kisah tersebut, dapat dibuat kesimpulan bahawa mencintai Rasullullah mempunyai kesan yang sangat luas dan mendalam, sama ada secara teologi, psikologi, sosiologi ataupun eskatologi. Ini kerana, Rasullullah ialah insan yang amat istimewa, seorang yang begitu besar mempengaruhi kehidupan manusia walaupun baginda sudah pun wafat 1,382 tahun lalu ketika berusia 63 tahun.

Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal menurut kalendar Islam, iaitu bersamaan 22 April 570 M. Ini bermakna, umur baginda hingga ke saat ini sudahpun memasuki 1,444 tahun dan setiap kali tibanya tarikh itu, umat Islam menyambutnya sebagai usaha mengingati baginda sebagai manusia yang paling baik teladannya. Bahkan, dari segi pengkisahan, peribadi mulia Rasullullah tidak pernah berhenti dikaji, ditulis, dibincang dan dicari kebaikannya kerana baginda ialah pesuruh Allah SWT yang terakhir dan paling berjaya dalam misi menegakkan akhlak manusia.

Tersentak hati dan rasa kesal kerana ada dalam kalangan umat Islam sendiri membuat kenyataan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad tidak mempunyai fadilat dan menyimpang.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang menggelarkan diri sebagai intelektual Islam pragmatik membenarkan diri menepis tradisi yang telah sekian lama berakar umbi itu. Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah pada hari ini sedar, cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda?

Tradisi menyambut hari kelahiran Rasullullah pertama kali dimulakan pada tahun 7 Hijrah oleh al-Sultan Muzaffarud-Din Abu Sa'id al-Kukibri ibn Ali ibn Baktatin ibn Muhammad al-Turkamani (wafat 630 H), sultan Irbil (Iraq). Menurut Ibn Katsir dalam kitab Tarikh: Sultan Muzhafar mengadakan Maulid Nabi atau maulud pada bulan Rabiulawal. Ia dirayakan besar-besaran. Beliau ialah seorang yang berani, pahlawan, alim dan seorang yang adil."

Menurut cucu Ibn al-Jauzi bernama Sibth, semasa perayaan tersebut, Sultan Muzhafar mengundang seluruh rakyatnya dan para ulama dari pelbagai disiplin ilmu termasuk ulama dalam bidang fiqh. Ia dirayakan selama beberapa hari dan tiga hari sebelumnya diadakan pelbagai persiapan. Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin. Semua ulama ketika itu bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Sultan Muzhafar.

Dalam kitab Wafayat al-A'yan, Ibn Khallikan menjelaskan al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah dari Morocco, yang sedang dalam perjalanan ke Iraq pernah singgah di daerah Irbil pada tahun 604 H. Diceritakan bahawa Sultan Muzhafar, raja Irbil itu sangat memberikan perhatian terhadap perayaan maulud Nabi Muhammad SAW. Beliau kemudiannya menulis sebuah kitab mengenai Maulid Nabi berjudul al-Tanwir fi Maulid al-Basyir an-Nadzir dan kitab itu dihadiahkan kepada Sultan Muzhafar. Itulah permulaan yang baik dan hingga kini, perayaan Maulid Nabi terus disambut sebagai salah satu perayaan penting dalam hari-hari kebesaran Islam, termasuk di Malaysia.

Pada 2012, terdapat beberapa pihak mendakwa bahawa sambutan Maulidur Rasul bukanlah suatu perayaan yang wajar diraikan kerana menyamai dengan amalan Nasrani yang meraikan perayaan Krismas. Dakwaan tersebut lebih bersifat politik kerana tujuannya adalah jelas untuk menakut-nakutkan umat Islam. Pihak tersebut turut mendakwa, Maulidur Rasul hanya disambut selepas 200 atau 300 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, maka ia adalah menyamai umat Kristian merayakan hari kelahiran Nabi Isa a.s. menerusi Krismas setiap tahun.

Sebenarnya, tujuan memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah sebagai suatu bentuk dakwah dalam usaha mengembangkan syiar Islam. Ini kerana sepanjang sambutan Maulidur Rasul, ia dipenuhi dengan membaca selawat atau ceramah mengenai junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan melalui pengkisahan itu, umat Islam diharap dapat melakukan perubahan, menambah baik sahsiah di samping mengingati teladan yang diajarkan oleh baginda sebagai pedoman. Ia bukan satu bentuk pemujaan sebagaimana difahami kerana konsep pemujaan tidak wujud dalam ajaran Islam.

Dan kerana itu, Maulidur Rasul turut disambut di kebanyakan negara baik yang majoriti penduduknya Islam ataupun minoriti. Antaranya di Mesir, utara Iraq, Turki, Afrika Utara, China, Iran dan Maghribi.

Penulis teringat kisah pada akhir tahun 1920-an, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Uthman atau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Selehor (datuk penulis), iaitu tokoh ulama yang sezaman dengan Tok Kenali dari Tumpat Kelantan, pernah dikritik hebat oleh akhbar-akhbar perdana waktu itu kerana mempelopori perayaan Maulidur Rasul secara besar-besaran. Sesetengah pihak mengkategorikan sambutan tersebut sebagai bidaah dan sesat kerana ia tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Sebenarnya perayaan Maulidur Rasul adalah hal yang amat digalakkan sebagai wadah bagi melahirkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad. Mengapa kita wajib mencintai Rasulullah? Kerana baginda sememangnya wajar untuk dicintai. Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini. Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud.

Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri.

Ketika Allah mewajibkan umat manusia untuk mencintai Nabi Muhammad, arahan tersebut jelas bukan satu perintah tanpa tujuan. Namun begitu, tujuan tersebut juga bukan sesuatu yang kepentingannya akan kembali kepada Allah atau Rasul-Nya. Dengan demikian, mencintai Rasulullah adalah satu perintah yang manfaatnya semata-mata untuk kepentingan manusia itu sendiri. Di antara manfaatnya, kita merasakan akan terpaut hati kepada peribadi baginda. Apabila kita jujur dalam mencintai Nabi Muhammad, maka akan terbit kerinduan terhadap baginda.

Hal demikian ini, akan membawa kita untuk mengetahui secara mendalam tentang diri baginda yang mencakupi aspek kehidupan peribadi, keluarga, hubungan sesama Muslim dan sebagainya. Justeru, apabila kita ingin mengetahui sejarah Nabi Muhammad, hendaklah ia diawali dengan rasa cinta terlebih dahulu. Di sinilah, kita akan mengetahui mengapa Allah mewajibkan mencintai Nabi Muhammad.



Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Malaysia Online Rencana 20140110

Andrew patut hormat undang-undang

DI Malaysia, orang bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka. Buktinya, kerajaan tidak pernah melarang pembinaan rumah-rumah ibadat biarpun sesetengahnya bertaraf mega.

Biarpun Islam adalah agama rasmi negara, namun keistimewaan yang dinikmati orang bukan Islam di negara ini adalah hasil pelaksanaan Perlembagaan Persekutuan.

Pengiktirafan agama Islam adalah seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 11 menyatakan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, tetapi tertakluk Fasal 4.



Rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia sekian lama hidup aman dan harmoni
di bawah payung Perlembagaan Persekutuan. - Gambar hiasan.


Fasal 4 menyatakan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Mutakhir ini, Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 11 dimanipulasi oleh puak tertentu yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepada agama Islam.

Keengganan pihak terbabit untuk menerima keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober lalu diterjemahkan dalam bentuk kedegilan meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di gereja Katolik di Selangor.

Ia merujuk kepada kenyataan Paderi Lawrence Andrew selain beberapa badan keagamaan bukan Islam di Selangor yang turut menggunakan kalimah Allah dalam aktiviti perhimpunan mereka biarpun larangan mahkamah berkuatkuasa.

Sejak mengeluarkan kenyataan 'berani mati' itu, masyarakat Islam beramai-ramai tampil membuat laporan dan mengadakan demonstrasi aman bagi mendesak Andrew yang juga Pengarang The Herald membuat permohonan maaf kepada umat Islam di negara ini. Namun, sehingga kini, Andrew masih tidak berganjak dengan pendiriannya biarpun keputusan Mahkamah Rayuan bagi membenarkan rayuannya didengari dijadualkan berlangsung Februari depan.

Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Mohd. Azril Mohd. Amin berkata, sebagai ketua agama, Andrew perlu menunjukkan contoh baik kepada pengikutnya dengan bertindak akur dan patuh kepada undang-undang iaitu keputusan mahkamah.

"Tidak ada agama menggalakkan pengikutnya membuat kehancuran. Sebagai ketua agama, beliau bertanggungjawab atas segala tindak-tanduk yang dilakukan, justeru beliau perlu memberi contoh baik dan berkorban sedikit masa menunggu keputusan rayuannya diluluskan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan majalah mingguan The Herald. Keputusan dibuat panel tiga anggota hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi itu memutuskan bahawa penggunaan nama 'Allah' bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian. Justeru, penggunaan kalimah Allah dalam mana-mana penerbitan selain agama Islam adalah dilarang dan masyarakat di negara ini harus menghormati dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Apabila Andrew tetap mempertahankan pendirian untuk terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di gereja Katolik di Selangor, beliau dianggap telah menghina keputusan mahkamah.

Dan sebagai orang yang bermastautin di Selangor, beliau juga telah menyanggah titah yang dibuat oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Disember lalu bahawa semua rakyat negeri itu tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Larangan itu termaktub dalam peruntukan Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan di Selangor pada 1988.

Dengan mengetepikan larangan tersebut, Andrew seolah-olah sengaja menjolok sarang tebuan dengan mencabar undang-undang negara, membelakangkan titah Sultan Sharafuddin dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Mohd. Azril berkata, Mahkamah Rayuan telah pun menetapkan keputusan dan ia adalah kedudukan terpakai atau undang-undang yang sah ketika ini.

"Selagi Mahkamah Tinggi Persekutuan belum mendapat kebenaran untuk mendengar rayuannya daripada Mahkamah Rayuan, beliau harus patuh larangan terpakai itu. Tidak perlu bising atau cetus keresahan orang. Tunggu sahaja keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan. Jangan risau kerana haknya untuk menjadi menjadi 'hero' (perintis) perayu dalam isu ini tetap dijamin," ujarnya.

Sebagai warganegara Malaysia, Mohd. Azril berpendapat Andrew seharusnya memahami kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, yang antara keutamaannya adalah menjaga sensitiviti kaum. Apa yang menjadi kebimbangan beliau, sekiranya kedegilan Andrew berterusan, dikhuatiri boleh mengundang ketegangan kaum, sekali gus menggugat keharmonian negara.

Bagi Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, beliau yakin Andrew sedar dengan apa yang dilakukannya. Malah Musa percaya, Andrew juga cukup jelas dengan larangan yang telah dikeluarkan.

Apa yang menjadi tanda tanya, apakah motif sebenar di sebalik keengganan ketua agama itu 'mengiktiraf' Perkara 11(4) Perlembagaan.

"Apa yang dihujahkan Andrew itu betul (Perkara 11 Perlembagaan), cuma kita tak pasti jika tindakannya mengetepikan Perkara 11(4) Perlembagaan (sepatutnya dibacakan bersekali dengan Perkara 11) sengaja dilakukan bagi mengaburi mata masyarakat," soal beliau.

Sebagai ketua agama, Musa berpendapat agak mustahil Andrew tidak mengetahui di Selangor sudah ada Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Kecuali Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang, semua negeri termasuk Selangor mempunyai peruntukan sedemikian.

"Maka patuhilah undang-undang yang ditetapkan," tegas beliau.

Selain kalimah Allah, peruntukan di bawah enakmen tersebut turut melarang penganut agama lain menggunakan perkataan Ilahi, Rasul, Fatwa, Wahyu, Iman, Imam, Ulama, Mubaligh, Dakwah, Nabi, Hadis, Syariah, Qiblat, Injil, Syiekh, Solat, Kaabah, Haji, Khalifah, Kadi, Mufti, Wali, Firman Allah da Ibadah.

Sejak Andrew mengeluarkan kenyataannya yang mengguris hati umat Islam, ramai yang sudah tampil membuat laporan polis.

Kini, kertas siasatan telah pun diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk dipertimbangkan tindakan selanjutnya.

Dan rakyat Malaysia mengharapkan tindakan itu kelak berpihak kepada Perlembagaan dan undang-undang.



RAJMAH HASAN rencana@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20140110

Transformasi penyampaian khutbah Jumaat

ISU penyampaian khutbah Jumaat sering menjadi keluhan dalam kalangan masyarakat. Rungutan sering diterima berkenaan kelesuan penyampaiannya oleh khatib atau pegawai masjid yang bertugas. Isi kandungan khutbah kadang-kadang agak menarik tetapi gaya penyampaian yang sangat membosankan dan tidak berkesan.


Malah secara berseloroh rakan-rakan penulis mencadangkan kepada sesiapa yang ingin melelapkan mata maka silalah ke masjid pada hari Jumaat semasa khatib sedang berkhutbah. Walaupun ia sindiran tajam, namun perkara ini perlu dilihat dari sudut yang positif.

Mengapakah keadaan ini berlaku? Apakah tugas khatib pada hari itu berkhutbah atau membaca khutbah? Apa beza antara berkhutbah dengan membaca khutbah?

Khutbah sepatutnya dilakukan dengan cara penyampaian yang lebih berkesan atau sekurang-kurangnya tidak dilihat sebagai hanya membaca teks yang disediakan. Jika sekadar membaca teks, khutbah akan menjadi lesu, tidak menarik dan tidak mencapai objektif sebenar khutbah.

Khutbah memainkan peranan penting dalam kehidupan individu dan masyarakat memandangkan ia bukan sekadar untuk memenuhi rukun wajib solat Jumaat. Khutbah sebaliknya adalah medium yang sangat penting dalam menyampaikan maklumat dan merangsang para jemaah yang terdiri daripada masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sejarah merekodkan bahawa khutbah Jumaat pertama disampaikan oleh Rasulullah SAW di Madinah. Keberkesanan baginda dalam menyampaikan khutbah tidak dapat disangkal lagi. Hasil khutbah baginda telah melahirkan para sahabat yang amat berkualiti dan sangat hebat.

Justeru, bolehkah para khatib di negara kita mencontohi teknik berkhutbah gaya Rasulullah? Perlukah transformasi dilakukan pada gaya berkhutbah semasa? Bagaimana caranya?

Pertama, beri peluang kepada pihak-pihak tertentu yang berkebolehan berpidato dan mempunyai skil komunikasi yang hebat untuk berkhutbah. Sebagai contoh, jemput golongan profesional seperti doktor, peguam, akauntan, pegawai tinggi kakitangan awam seperti polis, tentera dan sebagainya untuk menjadi penyampai khutbah jemputan.

Beri peluang kepada golongan ini yang memiliki ilmu luas dan berpengalaman dalam bidang masing-masing dan dikenal pasti mempunyai gaya pengucapan awam yang baik untuk ke depan.

Kedua, beri latihan kepada pegawai-pegawai masjid mengenai pengucapan awam. Seseorang khatib perlu diberikan latihan dalam aspek intonasi suara dan gaya bahasa badan. Intonasi suara semasa berkhutbah perlulah sederhana, iaitu tidak terlalu kuat dan tidak pula terlalu perlahan.

Jika terlalu kuat ditambah pula dengan alat pembesar suara, khatib akan kedengaran seperti menjerit-jerit dan menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah. Intonasi suara yang terlalu perlahan pula menyukarkan jemaah untuk memahami isi khutbah yang disampaikan. Malah kadang-kala di sesetengah masjid, suara bising kanak-kanak lebih kuat kedengaran berbanding suara khatib sedangkan khatib dibantu oleh pembesar suara.

Yang idealnya adalah intonasi suara yang sederhana iaitu ada tempat-tempat yang perlu ditinggikan suara maka khatib akan bersuara lantang pada ketika itu. Ada tempat-tempat yang perlu intonasi suara yang rendah, maka khatib akan memperlahankan suaranya.

Dalam keadaan permulaan khutbah, khatib mungkin memulakan dengan intonasi yang perlahan dan semakin meningkat intonasinya di pertengahan khutbah. Pada akhir khutbah, iaitu semasa doa dibacakan, intonasi suara perlahan adalah sesuai untuk memberi impak kepada doa tersebut.

Intonasi suara khatib haruslah bersifat dinamik dan tidak statik. Kedinamikan suara ini mampu menyentuh setiap jiwa yang mendengarnya. Ini akan menjadikan khutbah tersebut lebih berkesan dan menarik.

Selain itu, gaya bahasa badan turut memainkan peranan penting untuk menjadikan khutbah lebih berkesan. Kedudukan khatib di atas mimbar haruslah tidak statik. Sekurang-kuranglah toleh sekali-sekala ke kanan atau ke kiri. Lihat keseluruhan jemaah dan jangan hanya lihat kepada teks.

Bahasa badan haruslah disertakan dengan mimik muka dan gaya tangan yang sesuai. Lebih-lebih lagi apabila perlu menunjukkan rasa kesedihan mahupun penegasan.

Ketiga, isi khutbah yang disampaikan seharusnya berkisar kehidupan masyarakat pada masa ini dan kena pada isu yang sering berlegar di sekitar kawasan masyarakat setempat. Sebagai contoh, isu-isu seperti adab-adab ber'facebook', kedudukan ekonomi semasa, bajet, kenaikan kos sara hidup dan isu-isu semasa yang lain wajar dijadikan teks khutbah.

Perkara ini penting kerana khutbah bukan untuk tatapan orang dewasa semata-mata. Khutbah juga didengar oleh belia, remaja dan kanak-kanak. Sudah sepatutnya isi yang relevan dengan kehidupan mereka turut diselitkan di dalam khutbah.

Penulis menyarankan agar satu transformasi dilakukan kepada cara penyampaian khutbah. Para khatib perlu melakukan hijrah untuk berkhutbah dengan lebih berkesan. Khatib juga perlu menyedari khutbah yang disampaikan pada setiap minggu adalah pencetus masyarakat. Sebarang kelemahan penyampaian khutbah wajar diselidiki dan seterusnya diperbaiki.



RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia (UUM).Utusan Malaysia Online Rencana 20140110

Khutbah Jumaat: Petaka jika persoalan akidah gagal ditangani

Silap tafsiran, diperalat musuh punca umat Islam pecah-belah

Kelahiran Rasulullah SAW, rahmat sangat besar kepada umatnya. Baginda diutus menjadi Rasul pada usia 40 tahun dengan menghidupkan wahyu Allah SWT begitu sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengaku annya, yang dinamakan sunnah nabawiyah.


Baginda dipuji oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman”. (Surah at-Tau bah, ayat 128)


Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zhilalil Quran mengatakan Allah SWT mengungkapkan ‘dari kaummu sendiri’ me nunjukkan hubungan yang lebih akrab dan ikatan me ngaitkan Rasul dan umatnya.

Begitu juga pandangan Ibnu Katsir dalam Tafsir Qur’anil Adzim, “Allah SWT menyebutkan limpahan nik mat yang telah diberikan-Nya kepada orang Mukmin melalui seorang Rasul yang diutus oleh-Nya daripada kalangan mereka sendiri, yakni daripada bangsa mereka dan satu bahasa dengan mereka.”

Rasulullah SAW juga sangat menginginkan umatnya memperoleh hidayah serta kebaikan di dunia serta ke baikan di akhirat. Maka segala hal yang diperintahkan Allah SWT untuk disampaikan kepada umatnya telah Baginda sampaikan.

Segala perkara yang mendekatkan umatnya ke syurga dan menjauhkan dari neraka telah disampaikan. Bahkan Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang terbaik pada hari perhitungan kelak supaya umatnya beroleh syafaat. Inilah antara bentuk kasih sayang Rasulullah kepada umatnya.

Rahmat daripada kelahiran Rasulullah

Rahmat daripada kelahiran Rasulullah SAW merang kumi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk aki dah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan akidah, Baginda membimbing umat mentauhidkan Allah, iaitu Tuhan yang layak disembah.

Kemudian dalam soal syariat atau hukum-hakam aga ma, ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda sama ada melalui teori dan amali. Yakin dan percayalah segala usaha ini meletakkan agama Islam sebagai agama diiktiraf di sisi Allah SWT serta menjamin umatnya kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Inilah kemuliaan Rasulullah SAW, segala tindakan dan perbuatan Baginda untuk mendapatkan keredaan Allah SWT, berpaksikan agama Islam dan jauh sekali untuk mendapatkan kepentingan peribadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 19)

Hari ini persoalan akidah dalam masyarakat Islam di negara kita menimbulkan pelbagai tafsiran dan per tikaian sehinggakan segelintir umat Islam menjadi keliru. Berdasarkan pemerhatian, kesan krisis ini ada sesetengah pihak cuba menentukan kedudukan akidah seseorang sama ada beriman, fasik, murtad dan yang paling malang lagi menjadi kufur.

Persoalannya, kenapakah isu ini ditimbulkan sedang kan umat Islam hakikatnya bertauhidkan kepada akidah yang sama, beriman kepada Tuhan yang esa dan berkiblat ke arah yang sama.

Ini disebabkan pemahaman sesuatu ideologi, terpe ngaruh dengan gerakan dakwah semasa yang disalah tafsir, salah tafsir ayat al-Quran, taksub kepada fahaman tertentu. Mereka tidak lagi menghormati persaudaraan sesama Islam, batas iman dan kufur yang mengelirukan mereka.

Cuba bayangkan, mereka sanggup memulaukan sesama umat Islam sehingga berlaku perpecahan dalam ma syarakat dan paling malang ada yang sanggup meng kufurkan sesama sendiri.

Mereka berpegang pandangan mengatakan orang Islam tidak beramal dengan syariat Allah yang terkandung dalam syahadah di hukum kufur sekalipun melakukan ibadah lain. Ingatlah, inilah bahaya dan ancaman besar yang sedang mendatangi umat Islam.

Persoalan akidah jika tidak ditangani sebaik mungkin akan membawa kepada malapetaka yang boleh me mecah-belahkan ummah dan dikhuatiri dapat melemah kan perpaduan serta akidah umat Islam.

Perpecahan petanda buruk

Ingatlah, perpecahan dalam kalangan umat Islam satu petanda buruk yang pasti membawa kehancuran kepada umat Islam. Justeru, umat Islam perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap ancaman yang boleh membawa kepada perpecahan ummah dan kesesatan akidah.

Melihat keadaan umat Islam hari ini, marilah kita bermuhasabah kerana adakah selama ini kita telah mem buat yang terbaik untuk memelihara agama, memper tahankan negara atau mungkin ada antara kita telah terpedaya dan diperalatkan pihak musuh untuk meng hancurkan kesucian agama dan tanah air? Fikir dan renungkanlah.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berita Harian Online Agama 10/01/2014

Takaful Ikhlas: Denda, bayaran tambahan kepada peminjam haram

Asasnya Islam tidak menggalakkan kita berhutang melainkan ketika berhadapan situasi yang memerlukan untuk berbuat demikian.


Perkara ini digambarkan dalam sabda Rasulullah SAW: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, da ripada kebaculan dan kebakhilan dan daripada beratnya hutang dan penindasan orang.” (Muttafaqun ‘alaih)


Makna qardh ialah al-qat’ (potong). Harta yang di serahkan kepada orang yang berhutang dinamakan qardh kerana ia adalah potongan daripada harta yang memberi hutang. Menurut ulama Hanafi, qardh ialah pemberian harta mithliy oleh seseorang kepada seorang lain supaya membayarnya semula.

Barang mithliy adalah barang yang mempunyai unit serupa di pasaran seperti bangunan, rumah, tanah, kereta dan sebagainya. Namun, ulama mazhab Syafi’e meng haruskan pinjaman semua barang, sama ada yang boleh ditentukan jenis kuantiti atau kualitinya termasuk barang mithliy atau qimiy.

Pinjaman dalam Islam

Kalimah qardh biasanya digandingkan dengan ‘hasan’ bagi menunjukkan pinjaman dalam Islam hanyalah mem bantu pihak yang meminjam, bukannya untuk men dapatkan keuntungan. Islam melarang umatnya men dapatkan sebarang manfaat melebihi jumlah pinjaman diberikan kepada peminjam.

Walaupun Islam tidak menggalakkan kita berhutang, tetapi jika ada pihak mahu mendapatkan bantuan pin jaman, maka kita digalakkan memberikannya sekadar termampu. Allah SWT memuliakan mereka yang sanggup berkorban memberikan pinjaman kepada saudaranya kerana belas kasihan.

Nabi SAW bersabda: “Sesuatu yang dipinjamkan oleh seseorang Muslim kepada Muslim yang lain sebanyak dua kali seperti bersedekah sekali.” (Riwayat Ibn Hibban)

Kontrak pinjaman tidak boleh sesekali dijadikan alat meraih keuntungan dan diniagakan menurut Islam. Ia berdasarkan objektif utama qardh iaitu kebajikan dan bantuan, maka Islam meletakkan kewajipan bagi setiap pinjaman.

Jika meminjam RM1,000, mestilah dipulangkan dengan jumlah sama pada kemudian hari tanpa sebarang tam bahan dan manfaat lain dikenakan ke atas peminjam. Jika terdapat sebarang tambahan, ulama sepakat ia termasuk dalam kategori riba an-nasiah yang disepakati haram nya.

Ia berdasarkan hadis yang bermaksud: “Setiap pin jaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjam maka ia adalah riba.”

Namun, ia dibolehkan jika diberikan sebagai peng hargaan kepada pemberi pinjaman tanpa disyaratkan. Ini berdasarkan perbuatan Baginda Rasulullah SAW yang pernah berhutang unta betina dan Baginda memulang kan dengan unta raba’iyyan.

Ulama secara umumnya bersetuju bahawa kontrak qardh mempunyai empat rukun iaitu pemberi pinjam dan peminjam, barang yang dipinjam dan sighah (ijab dan qabul).

Dalam kontrak qardh, pihak yang membuat pinjaman wajib memulangkan kembali pinjaman sama ada dalam bentuk barang atau wang tunai. Bahkan, jika seseorang itu meninggal dunia, antara perkara utama perlu di tunaikan oleh ahli warisnya adalah melunaskan segala hutang ditanggung.

Sabda Rasulullah SAW: “Jiwa orang Mukmin akan ter gantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hingga dia menjelaskan hutangnya.” (Riwayat Tirmidzi)

Tak boleh lengah langsai hutang

Oleh itu, umat Islam tidak boleh berlengah-lengah melangsaikan hutangnya. Mereka yang berhutang tidak boleh bersenang-lenang untuk membelanjakan hartanya melainkan perlu melunaskan hutangnya terlebih dulu secara sekali gus atau beransur-ansur.

Sabda Rasulullah SAW: “Penangguhan sengaja (dari membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan ada lah satu kezaliman.” (Riwayat Al-Bukhari)

Pihak yang memberikan pinjaman tidak harus me ngenakan denda atau menambahkan kadar hutang jika peminjam lambat menyelesaikan bayaran kerana ia di sebut riba jahiliah. Jika seorang itu lambat melunaskan pinjaman kerana kesulitan dihadapi, peminjam perlu memberikan tempoh mencukupi kepadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 280)


Berita Harian Online Agama 10/01/2014

Mohon dijauhkan zina

MAKSUDNYA: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan pendengaranku, kejahatan penglihatanku, kejahatan lidahku, kejahatan hatiku dan kejahatan air maniku.” (riwayat Abu Daud no. 1551, al-Tirmizi no. 3492. Lihat Sahih al-Tirmizi no. 166)

Keterangan dan petua beramal

Menurut Imam Syaraf al-Haq Muhd. Asyraf al-Siddiqi al-Azim Abadi, Nabi SAW mengajar kita agar memohon perlindungan Allah SWT daripada kejahatan-kejahatan yang disenaraikan dalam versi doa ini iaitu; Perlindungan daripada mendengar perkara-perkara yang dibenci Allah, melihat perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya, berkata tentang perkara yang sia-sia yang menjurus kepada dosa dan melakukan zina atau perkara-perkara yang menjurus kepadanya.

Menurut Ibnul Qayyim (rujuk Uddat alSabirin, karangan Ibnul Qayyim, Bab Perkara-perkara yang Dapat Membantu Bersabar, hlmn. 41-53) antara langkah menghindarkan diri daripada mengikut syahwat ialah dengan mendalami ilmu dan mengamalkannya. Perlaksanaannya boleh dilakukan menerusi langkah-langkah di bawah:

Melihat faktor-faktor yang membangkitkan syahwatnya. Apabila sudah mengenal pasti faktor-faktor tersebut, maka hendaklah dilakukan perkara-perkara yang dapat membendungnya.

Hendaklah dia menundukkan pandangan daripada melihat perkara-perkara yang mengajaknya kepada melakukan maksiat itu.

Melakukan perkara-perkara yang dihalalkan baginya untuk mengurangkan kecenderungan melakukan maksiat.

Memikirkan akibat buruk melakukan perkara larangan itu semasa hidup di dunia lagi.

MAKSUDNYA: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan di akhirat. (riwayat al-Tirmizi no, 3594, Sahih al-Tirmizi no. 2843)

Maksudnya: Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada azab api neraka. (riwayat al-Bukhari no. 6389 dan Muslim no. 2690)

Keterangan dan petua beramal

Antara nikmat yang sering dilupakan oleh manusia ialah kesihatan dan keafiatan (afiat). Mereka melihat nikmat itu terletak pada harta yang banyak, rumah yang besar dan wang simpanan yang bernilai jutaan ringgit. Mereka terlupa bahawa kesihatan merupakan anugerah yang tiada tolok bandingannya. Nabi SAW menyatakan yang bermaksud: Dua nikmat yang sering tertipu padanya ramai manusia ialah nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. (riwayat al-Bukhari no. 6412, kitab al-Riqaq)

Justeru, adalah penting bagi kita memohon kepada Allah SWT keselamatan di dunia dan di akhirat menerusi doa ini.

Petikan daripada buku, 101 Doa daripada Hadis-hadis Sahih, Telaga Biru Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140110

Mencintai saudara seagama

BERMUSUH, benci-membenci dan berpuak-puak adalah antara penyumbang kepada kecacatan iman. Bila iman cacat, takwa juga akan cacat dan lebih buruknya, keIslaman akan tercalar.

Mencaci dan mencerca, berprasangka buruk dan berniat jahat terhadap sesama Muslim adalah antara faktor permusuhan yang patut dielak supaya iman dan takwa serta keIslaman tidak cacat dan tidak tempang.

Malah apa yang perlu dilakukan oleh setiap daripada kita ialah mengutamakan pembinaan dan pemeliharaan silaturahim, saling menyayangi, hormat-menghormati tanpa prejudis kerana umat Islam adalah bersaudara.

Soal siapa yang lebih alim, lebih lebai, lebih sempurna iman dan takwa serta keIslamannya, ia bergantung kepada sejauh mana apa yang difardu dan disunatkan itu diamalkan, serta dijauhi segala larangan.

Apalah ertinya kesempurnaan berpakaian dan ketaksuban beribadah seseorang individu atau puak itu jika seandainya ada sifat dan sikap bermusuhan, saling membenci, berpuak-puak dan maki-hamun, maka dengan sendirinya iman dan takwa serta keIslaman mereka itu akan tercalar sebenarnya.

Ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW daripada Anas daripada Nabi SAW daripada Husain al-Mu’alim berkata, telah menceritakan kepada kami Qotabah daripada Anas daripada Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud: “Tidaklah beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”

Bahkan, berkasih-sayang dan berbaik-sangka tidak sahaja terbatas kepada saudara mara dan rakan taulan yang dikenali, tetapi bermesra dan meraikan mereka yang tidak dikenali juga adalah merupakan antara faktor yang membawa kepada kemantapan keimanan, ketakwaan dan keIslaman.

Hal ini terbukti melalui hadis baginda SAW daripada Abdullah bin Amru katanya, “Ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW dengan pertanyaan Islam manakah yang paling baik? Jawab baginda SAW: Kamu memberi makan, mengucap salam kepada orang yang kamu kenal dan yang kamu tidak kenal.

Kesempurnaan iman, takwa dan Islam juga akan benar-benar sempurna apabila Rasulullah SAW dicintai sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Maka demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, tidaklah beriman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada orang tuanya dan anaknya.”

Sehubungan dengan itu, demi kesempurnaan iman dan takwa serta keIslman, maka marilah kita sentiasa dalam berkasih-sayang dan hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Menyemarakan budaya membenci, bermusuhan, memaki-hamun, berpuak-puak, berdemontrasi, merusuh dan mengganggu ketenteraman awam adalah sesuatu yang merugikan. Adalah lebih baik jika dipupuk, dipelihara, seterusnya dibina semangat ukhuwah atau persaudaraan sesama Islam, kerana ia dapat mengelakkan daripada berlaku musibah.



RAMLI ABDUL HALIM Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140110

Zakat formula Ilahi

SAYA pernah terdengar bahawa ada orang yang menyatakan, bahawa zakat itu adalah formula untuk menggandakan harta, yang dijamin Allah SWT. Saya kurang memahami apakah maksudnya dan mohon pencerahan ustaz?

Jawapan:

Izinkan saya memulakan jawapan dengan mengemukakan sebuah firman Allah SWT yang bermaksud: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempitkan dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan. (al-Baqarah: 245)

Syariat zakat yang difardukan pada tahun dua hijrah, adalah suatu manifestasi unggul dalam konteks keseimbangan harta dan kekayaan dalam Islam. Ini kerana, tiada larangan dalam Islam terhadap keterujaan kita mengumpulkan harta kekayaan. Sebaliknya Allah SWT menggalakkan pula, seperti mana gesaan Allah: Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki, kekayaan) Allah. (al-Jumu’ah: 10)

Memiliki harta kekayaan juga mampu memotivasikan kita untuk terus hidup. Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga). (ali Imran: 14)

Kekayaan

Kita tidak perlu risau, kerana kekayaan umat Islam akan diimbangi oleh Allah SWT dengan perintah berzakat. Perintah yang bersifat rukun ini, jika dipatuhi maka akan melahirkan si kaya yang taat dan terpuji akhlaknya. Memiliki harta yang suci, berkat, berkembang dan paling penting akhlak yang terpuji. Iaitu, sesuai dengan makna zakat daripada sudut bahasa (literasi) yang bermaksud bersih, suci, berkembang dan terpuji.

Saya ingin bertanya, siapakah yang menentukan 2.5 peratus daripada jumlah harta kekayaan kita, yang perlu dizakatkan? Siapakah yang menetapkan nilai 85 gram emas sebagai takaran bandingan nisab kekayaan umat Islam? Siapakah pula yang mensyaratkan genap masa setahun (haul) sebagai julat masa minimum kekayaan umat? Siapakah yang suka-suka menyatakan apabila haiwan ternakan kita sudah cukup 40 ekor, maka seekor daripadanya wajib dizakatkan? Siapa pula yang pandai-pandai menetapkan berat biji-bijian 1,306 tan metrik adalah nilai wajib zakat?

Semua persoalan di atas, jawapannya Allah SWT yang tetapkan. Melalui lidah yang amat fasih lagi barakah Rasulullah SAW, maka digariskan formula demi formula bagi tujuan keseimbangan kita dalam berharta. Formula yang menatijahkan keberkatan yang lestari sifatnya. Maka, tidak salah lagi bagi kita menyatakan, inilah dia formula bestari kurniaan Ilahi kerana matematik Allah SWT ini bersifat mapan atau established kata orang zaman ini. Ia valid sepanjang zaman, setiap keadaan dan di mana jua.

Formula matematik Ilahi ini memang terkadang tidak nampak rasionalnya pada mata kasar. Jika matematik duniawi, 6 – 1 = 5. Tapi matematik Ilahi, enam rukun iman jika salah satu daripadanya diragui, maka jawapannya kosong. 6 – 1= 0. Begitu juga, lima rukun Islam tapi satu ditolak, misalnya pada zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a, ada yang mengingkari fardu zakat, maka jawapannya kosong. 5 – 1 = 0. Inilah matematik Ilahi. Ia bercanggah dengan logik akal. Ia mencabar pemikiran lateral yang terasuh sejak kecil.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang kemusykilan sila emelkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau jika perlukan informasi dan jawapan lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.cmy dan facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS. Utusan Malaysia Bicara Agama 20140110

Makrifat kepada Rasulullah

ALHAMDULILLAH pada kali ini saya sengaja membincangkan isu berkaitan Rasulullah SAW sementelahan pula dengan kedatangan bulan Rabiulawal. Lebih penting daripada itu, kita mengetahui dan mengenali serta makrifah Nabi SAW agar bertambah subur iman dan cinta kita kepada baginda SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah (Allah) yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada i’tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu’ah: 2)

Ayat ini menunjukkan wazifah dan tugas Rasulullah SAW, iaitu;

Membaca ayat-ayat al-Quran kepada umatnya.

Mensucikan mereka atau tazkiyyah al-Nufus.

Mengilmukan mereka dengan kitab dan juga hikmah.

Maksud ummi di sini ialah tidak tahu membaca dan menulis. Ini juga yang telah dinaskan oleh al-Quran.

Sayyid Quthub berkata: “Menurut satu pendapat yang lain pula, sebab dinamakan orang yang tidak menulis itu sebagai ummi kerana ia dihubungkan dengan keadaannya yang jahil semasa dilahirkan, sebab kepandaian menulis itu hanya dicapai melalui pembelajaran."

Mungkin juga orang-orang Arab itu dinamakan begitu sama seperti orang-orang Yahudi menamakan bangsa yang lain daripada mereka sebagai Juyim dalam bahasa Hebrew yang bererti 'bangsa-bangsa asing atau Ummiyyun' nisbah kepada umat-umat yang lain. Ini dengan sifat mereka sebagai satu bangsa pilihan Allah SWT, sedangkan bangsa-bangsa yang lain merupakan bangsa-bangsa asing belaka.

Lantaran itu, orang Yahudi memang menunggu-nunggu kebangkitan Rasul yang akhir dalam kalangan bangsa mereka dengan harapan, Rasul inilah nanti yang akan dapat menyatupadukan masyarakat mereka yang telah berpecah-belah itu dan menolong mereka menang kembali setelah mereka dikalahkan oleh umat yang lain serta mengangkat mereka ke taraf yang mulia setelah mereka dihinakan.

Maka itu, mereka sentiasa memohon kemenangan ke atas Nabi yang akhir itu. Tetapi kebijaksanaan Allah SWT tiada tandingannya. Allah SWT telah menghendaki bahawa nabi yang akhir itu dibangkitkan daripada kalangan bangsa Arab dan bukan daripada bangsa Yahudi dan dia itu seorang yang ummi pula.

Sesungguhnya Allah SWT mengetahui bahawa bangsa Yahudi tidak lagi mempunyai kelayakan untuk memegang teraju kepimpinan baharu yang sempurna bagi umat manusia, sebagaimana akan diterangkan kemudian pada surah yang berikutnya ini.

Bangsa Yahudi itu telah menyimpang dari jalan yang benar dan sesat sebagaimana telah diterangkan dalam surah al-Saff, kerana itu, mereka tidak layak untuk memikul amanah akidah setelah berlaku penyelewengan dalam sejarah mereka yang panjang.

Justeru, pentingnya umat Islam mengenali Rasulullah SAW. Hal ini tidak dapat disangkal lagi. Makrifat kepada Rasulullah SAW dengan sebenar-benarnya, jelas terbukti dengan kesungguhan ilmuan Islam menggarap tulisan dan ilmu untuk difahami oleh masyarakat sejagat berkenaan dengan keperibadian Baginda SAW dan sirahnya.

Semoga kita semua menjadi hamba Allah SWT yang cintakan Nabi-Nya. Amin.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140110