January 11th, 2014

Muhasabah bantu kenal pasti kelemahan diri

Umat Islam wajar menilai amalan untuk kesenangan dunia, akhirat


Muhasabah adalah kata kunci kepada salah satu metod penting pengukuhan pencapaian yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan. Rasulullah SAW mendidik umat Islam menilai dirinya sendiri dan beramal sesuai dengan penilaian itu untuk kesenangan dunia serta akhirat.


Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang bijak itu adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT.” (Riwayat Imam al-Tirmizi)


Saidina Umar bin al-Khattab berkata: “Hisablah (nilailah) diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan hitunglah (amal kebaikan) kamu sebelum kamu dihitungkan (di hari akhirat kelak).”

Bermuhasabah akan membolehkan seseorang itu peka serta menyedari kelemahan dirinya seterusnya bersedia melakukan penambahbaikan. Kesedaran yang terhasil daripada amalan muhasabah adalah anugerah Allah SWT kerana dari padanya seseorang boleh mengorak langkah mengubah nasib diri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali merekalah yang mengubah nasib mereka sendiri.”

Sebaliknya apa yang amat membimbangkan akibat tiada muhasabah diri ialah seseorang tidak menyedari kelemahan dan kesilapannya menyebabkan ia berterusan dilakukan. Sedangkan pada masa sama, peka pula terhadap kelemahan orang sehingga suka mencari dan mendedahkan kelemahan orang lain.

Sedangkan larangan ini jelas disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Bina karektor individu

Muhasabah juga mampu mengenalkan kekuatan dan potensi sendiri. Kesedaran ini amat berguna untuk memacu kejayaan serta membentuk sikap, membina karakter individu atau pekerja dengan nilai murni seperti bersifat terbuka, positif, yakin diri serta bercita-cita tinggi meningkatkan kejayaan.

Sifat diri untuk menjadi pekerja terbaik melalui usaha muhasabah adalah akhlak mulia lagi terpuji. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah SWT menyukai mereka yang berbuat kebaikan.”

Sebagai langkah untuk meningkatkan kejayaan diri serta organisasi, muhasabah dalam pelbagai cara dan sistem perlu dibudayakan. Langkah strategik muhasabah diri boleh dilakukan dengan memikirkan sasaran kerja harian, mingguan dan bulanan meliputi beberapa soalan asas.

Contohnya, apakah tugasan atau kerja yang telah berjaya dilakukan semalam, sejauh manakah ia telah menepati apa yang dirancang. Jika tidak menepati sasaran, mengapa? Adakah kerja dilakukan dengan cara betul dan benar? Bagaimana untuk mengatasi kelemahan serta meningkatkan kualitinya?

Muhasabah terhadap sasaran kerja harian bukan saja dapat mengenalpasti masalah tetapi secara tidak langsung mewujudkan momentum kerajinan kerja. Apabila status pencapaian kerja sentiasa dikemaskini, kekuatan dan kelemahan dikenal pasti, maka semangat kerja akan dapat dibajai.

Bagi organisasi, muhasabah kerja yang telah dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme dan sistem pengurusan seperti perbincangan, mesyuarat, taklimat pagi, audit nilai, pengaduan awam, Hari Bertemu Pelanggan, penyediaan laporan kerja perlu dihayati serta dibudayakan.

Tujuan muhasabah kerja keseluruhannya untuk mengelakkan kerugian pada diri, organisasi dan masyarakat sama ada pada nilai usia, tenaga, masa mahupun wang ringgit yang ditegah selaras firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu meletakkan diri kamu pada kehancuran.”

Usaha sentiasa diredai

Selain matlamat keseluruhan, tindakan bermuhasabah ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT supaya segala usaha titik peluh dan diri diredai oleh-Nya, selain mengelak diri daripada menjadi muflis kerana pekerjaan dibuat tiada kebenarannya.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu? Sahabat menjawab: Orang yang muflis di antara kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak memiliki kesenangan. Rasulullah bersabda: Orang yang muflis dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun ia juga datang dengan membawa (dosa) menuduh, mencela, memakan harta orang lain, memukul orang lain. Maka orang itu diberikan pahala kebaikan yang dimiliki. Hingga habis pahala kebaikannya lalu dia pun dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Imam Muslim)

Besarnya hikmah bermuhasabah ini, marilah kita sentiasa melakukannya supaya kerja hari ini lebih baik dari semalam dan sentiasa mendapat rahmat serta keredaan Allah SWT.


Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Berita Harian Online Agama 11/01/2014

Rai Maulidur Rasul semai rasa cinta kepada Rasulullah

Terdapat dalil umum daripada al-Quran yang dijadikan hujah ulama membenarkan diadakan sambutan Maulidur Rasul antaranya untuk menggalakkan umat Islam menjadi insan berjaya dengan mencontohi Rasulullah SAW.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah al-A’raf, ayat 157)


Meraikan sambutan Maulidur Rasul juga termasuk dalam rangka memuliakan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalan-Nya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Surah al-Ma’idah, ayat 12)

Semai perasaan cinta

Memperingati dan menghayati perjalanan hidup Rasulullah SAW juga boleh menyemaikan perasaan cinta kepada Baginda. Kini ramai orang semakin jauh daripada perasaan cinta kepada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW: “Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)

Saidina Umar al Khattab berkata kepada Nabi Muhammad SAW: “Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri. Baginda SAW berkata: Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri. Saidina Umar berkata: “Demi Allah SWT, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Baginda SAW berkata: Sekarang wahai Umar.” (Riwayat Bukhari)

Tiada salahnya meraikan sesuatu perayaan kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menyebut mengenai hari kebesaran. Semasa datang ke Madinah, Nabi Muhammad SAW mendapati orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu 10 Muharam.

Nabi SAW bertanya: “Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura? Jawab mereka: Ini adalah hari peringatan bila mana Firaun dikaramkan dan Musa dibebaskan. Kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka Rasulullah bersabda: Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Salafussoleh juga menyambut Maulidur Rasul. Mantan Mufti Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah berkata: “Telah menjadi kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh sejak abad ke-4 dan ke-5 merayakan peringatan maulid Nabi SAW yang agung. Mereka menghidupkan malam maulid dengan pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti memberi makan fakir miskin, membaca al-Quran, berzikir, melantunkan puisi dan puji-pujian mengenai Rasulullah.”

Justeru, tidak perlulah kita mempertikaikan sama ada boleh atau tidak meraikan sambutan Maulidur Rasul sebaliknya bersama melakukan sesuatu yang baik supaya umat Islam sentiasa mencintai Nabi Muhammad SAW. Pastikan pengisian majlis akan mendekatkan hati kita dengan Baginda.

Hasyim Ahmad Berita Harian Online Agama 11/01/2014

Pertahan tindakan menjaga kesucian Islam

KEMELUT penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam nampaknya terus memanaskan suhu negeri Selangor. Bahangnya dirasai umat Islam di seluruh negara.

Sekarang ini, menyebut isu kalimah suci itu boleh sahaja membuatkan banyak pihak panas satu badan.

Lebih-lebih lagi apabila mendengarkan arahan terbaharu Kerajaan Negeri Selangor kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan tindakan jabatan itu menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia di Petaling Jaya dan merampas 351 naskhah bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah.

Arahan pertama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya JAIS memulangkan semula kesemua bible yang dirampas jika mendapat pengesahan pematuhan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan arahan kedua, bahawa jabatan itu tidak lagi dibenarkan membuat keputusan sendiri dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada khususnya melibatkan sensitiviti penganut agama lain di negeri ini, membuatkan ramai tertanya-tanya apa sudah jadi dengan kerajaan negeri pakatan tiga parti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP ini?

Dengan mengeluarkan arahan pertama, kerajaan negeri seolah-olah memperlekehkan JAIS yang menjalankan tugas mengikut justifikasi undang-undang seperti yang termaktub di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Seksyen 12 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988, yang memberi kuasa sama seperti polis kepada jabatan itu untuk melakukan siasatan.

Dengan memberikan arahan kedua pula, kerajaan negeri selaku pentadbir eksekutif dilihat cuba campur tangan dalam urusan pihak berkuasa agama negeri. Hal ini kerana, arahan kedua itu membawa maksud yang JAIS perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang baharu iaitu mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Exco-exco kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan undang-undang seperti yang termaktub di bawah bidang kuasa jabatan itu dapat dilaksanakan.

Tak mungkin menteri besar terlupa bahawa urusan agama adalah di bawah kuasa sultan yang diperturunkan kepada MAIS dan JAIS? Jadi apa perlunya arahan dan SOP terbaharu itu? Adakah menteri besar dan Exco mahu mengambil alih kuasa MAIS dan JAIS atau secara tidak langsung kuasa sultan terhadap hal ehwal agama Islam?

Kalau pun menteri besar terlupa, tak mungkin rakan pakatan daripada Pas pun terlupa sama. Bukankah selama ini orang Pas yang ‘terkehadapan’ dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam?

Kenapa dalam isu ini, Pas khususnya di Selangor seolah-olah mengunci mulut dan malu-malu mahu mempertahankan JAIS sebagai agensi yang sah bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang yang termaktub di bawah Perlembagaan dan enakmen negeri?

JAIS bukan bertindak semberono sebaliknya atas bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya. Tindakan JAIS juga bukan melulu sebaliknya dibuat berdasarkan aduan orang ramai yang menggesa jabatan itu bertindak atas maklumat berlaku kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen 1988 itu, dalam kes ini melibatkan penggunaan kalimah Allah - iaitu satu daripada 26 perkataan yang dilarang orang bukan Islam menggunakannya - di dalam bible versi bahasa Melayu.

Dalam SOP terbaharu itu kerajaan negeri menekankan soal sensitiviti penganut agama lain di Selangor, namun bagaimana pula dengan sensitiviti umat Islam khususnya di negeri ini?

Dalam hal ini, penulis bersyukur dengan ketegasan MAIS mempertahankan tindakan JAIS. Mujurlah majlis itu bertegas tidak akan tunduk dengan arahan pelik kerajaan negeri. Dan sewajarnyalah umat Islam tanpa mengira fahaman politik turut berdiri di belakang JAIS.

Janganlah dibiarkan JAIS bersendirian dalam tugasnya mempertahankan agama suci ini dan memelihara akidah umat Islam.



Marhaini Kamaruddin Utusan Malaysia Online Rencana 20140111