January 14th, 2014

Tunjukkan bukti cinta Rasulullah

Masyarakat Islam patut perteguhkan ukhuwah, semai akhlak mulia

Sesungguhnya ulama sepakat antara cara untuk menanam dan mendidik hati mencintai Rasulullah SAW adalah dengan menghormati hari serta bulan kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul dan Israk Mikraj.

Imam Abu Syamah, iaitu guru kepada Imam Nawawi memberitahu, “Termasuk perkara yang baik dilakukan pada zaman ini adalah apa yang dilakukan setiap tahun bertepatan pada hari kelahiran Rasulullah (beliau merujuk kepada sambutan Maulidur Rasul) dengan memberikan sedekah dan berbuat amal kebaikan, menunjukkan rasa gembira dan bahagia. Sesungguhnya, semua itu termasuk bersikap lemah lembut terhadap fakir miskin adalah tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW dan penghormatan kepada Baginda dalam hati orang yang menyambutnya. Ia juga suatu tanda kesyukuran kepada Allah kerana diutusnya Rasulullah kepada seluruh alam semesta.”

Kita membuat pengakuan mencintai Rasulullah SAW dengan menghadiri majlis Maulidur Rasul juga bukti kecintaan itu. Namun, biarlah kehadiran kita dengan azam menjadikan Baginda sebagai contoh teladan terbaik yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Perteguhkan ukhuwah

Justeru, persoalan yang memerlukan jawapan kita, adakah kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW kerana Baginda berpesan supaya sentiasa memperteguhkan ukhuwah sesama ummah, malangnya kita asyik bertelagah dan berbalah.

Baginda meminta kita sentiasa berakhlak baik, namun akhlak tercela yang kita sarungkan. Buruk sangka, berdendam kesumat, bertegang urat mengagungkan pendapat sendiri, hidup berpuak-puak dan seribu satu macam kerenah buruk yang telah serta sedang kita lakukan.

Bagaimana mungkin kita mencintai Rasulullah SAW jika pada masa sama kita melakukan perkara yang dibenci Baginda. Tanda cinta patut sejajar dengan setiap tindak- tanduk dalam usaha kita menggembirakan hati orang yang dicintai.

Tidak perlu pergi jauh atau mengambil contoh yang berat-berat, cukup sekadar melihat di sekeliling kita saja. Baginda SAW mendidik umatnya supaya sentiasa memelihara kebersihan kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana kita suka membuang sampah merata-rata, membaling tisu dari tingkap kereta di jalan raya sedangkan tisu kotor itu boleh disimpan sementara tiba di destinasi dan membuangnya dalam tong sampah yang disediakan.

Marilah secara jujur bertanya pada diri, apakah anjuran Baginda yang lain sudah kita penuhi. Kini, tahap kesedaran untuk menjaga kesihatan semakin meningkat, namun jumlah pesakit kencing manis, darah tinggi dan jantung turut meningkat.

Ini membuktikan nasihat Rasulullah SAW yang sangat sayangkan umatnya tidak diendahkan. Petua supaya makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang, jauh tersasar daripada budaya masyarakat hari ini yang makan 24 jam kerana adanya restoran beroperasi sepanjang hari.

Rasulullah SAW bersabda: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Krisis keluarga

Sebenarnya, banyak yang berlaku hari ini menunjukkan masyarakat sudah jauh menyimpang daripada mencurahkan kasih sayang kepada Rasulullah SAW seperti yang dikatakan. Baginda sentiasa berlemah-lembut kepada keluarganya, tetapi masyarakat kita berdepan pelbagai krisis sehingga menjejaskan institusi keluarga.

Sempena meraikan sambutan Maulidur Rasul yang menjadi manifestasi kasih sayang umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, marilah menghayati sirah Baginda yang penuh dengan panduan untuk membina kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat.

Baginda SAW diutuskan sebagai rahmat untuk sekalian alam, maka alangkah ruginya jika rahmat yang sudah ada di depan mata tidak direbut sebaiknya. Andainya selama ini kita kehilangan arah, kembalilah kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apa juga suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa juga yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Hasyr, ayat 7)


Wan Mohd Ruzlan Wan Omar Berita Harian Online Agama 14/01/2014

Apakah muslihat kesungguhan mereka?

PENGANUT Islam di negara ini berterusan menghadapi cabaran yang semakin ketara daripada sesetengah puak di sini.

Tidak cukup dengan kedegilan puak Katholik mahu terus menggunakan kalimah Allah dalam terjemahan Bible mereka dalam bahasa Melayu, tiga wakil rakyat DAP pula berhasrat meminda Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Kepada Umat Islam) Selangor 1988.

Dikatakan cadangan tiga wakil rakyat DAP Selangor itu adalah sebagai susulan kepada tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah.

Cadangan parti yang dianggap cauvinis itu disifatkan sebagai melampau dan tidak menghormati serta mencabar Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Enakmen itu telah diadakan untuk mengawal, menyekat pengembangan dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam untuk menyekat perlakuan atau usaha memurtadkan umat Islam di Selangor.

The Herald merupakan sebuah akhbar mingguan Katolik untuk masyarakat beragama Katolik. Maknanya, ia dijual khas untuk orang-orang Katolik sahaja dan bukan kepada orang lain. Setiap akhbar mingguan Herald akan dibungkuskan dan dihantar ke alamat gereja tertentu di seluruh Malaysia, kami tidak menjual dengan sesuka hati di luar kawasan gereja. - Rev.Lawrence Andrew



Sumber: http://www.projekdialog.com/featured/temubual-bersama-ketua-pengarang-the-herald/

Ia juga bertujuan agar rakyat menghormati Perlembagaan negara yang menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Jadi apakah muslihat wakil rakyat DAP itu kalau bukan mahu menggugat kedudukan Islam dalam negara?

Dan awal minggu lalu sebuah organisasi Kristian antarabangsa, Sisters of the Infant Jesus diberitakan telah mengarahkan Sekolah Menengah Convent Bukit Mertajam menurunkan papan tanda nama sekolah itu hanya kerana menggunakan tulisan jawi.

Ia memberi gambaran pemimpin kanan pertubuhan itu, Celina Wong tidak tahu bahawa bahasa Melayu juga ditulis dalam jawi dan bukan semua tulisan jawi adalah ayat al-Quran.

Inilah apabila sesuatu puak itu tidak memahami budaya tempatan berterusan mempunyai sikap angkuh dan buruk sangka terhadap sebarang apa yang mereka anggap sebagai berunsur Islam.

Demikian juga mereka berterusan mencabar keputusan dan arahan yang dibuat oleh mahkamah hatta arahan Sultan sendiri mengenai penggunaan kalimah Allah oleh puak Kristian.

Pengarang majalah The Herald, Lawrence Andrew dengan angkuh mencabar akan tetap menggunakan kalimah Allah dan mahu berkonfrontasi dengan pelbagai pertubuhan Islam apabila mendabik dada bahawa tidak ada sebarang agama lain boleh menguruskan bagaimana agama mereka ditadbirkan dengan alasan Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dalam negara ini.

Amat menghairankan kenapa mereka begitu berdegil hanya mahu menggunakan kalimah itu dalam bahasa Melayu sahaja. Padahal kalimah itu bukan pun berasal daripada bahasa Melayu tetapi adalah perkataan Arab.

MUSYKIL

Puak Kristian berkenaan sendiri sedar malah alasan mereka menghendaki dibenar menggunakannya adalah kerana kalimah itu sudah pun digunakan orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Sememangnya Allah digunakan orang Arab sudah berzaman dan dengan itu kita sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk menghalang mereka menggunakannya. Tetapi yang memusykilkan ialah kenapa puak gereja Katholik di Malaysia mahu menggunakannya dalam bahasa Melayu sahaja.

Sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu menggunakan kalimah itu kenapa tidak pula mahu menggunakan Allah dalam Bible versi bahasa Inggeris? Apa sebenarnya muslihat mereka mahu menggunakannya dalam bahasa Melayu sahaja? Apakah salah kiranya orang Melayu mencurigai hasrat mereka itu?

Sehingga kini mereka ini tidak pula mahu memberi penjelasan kenapa mahu menggunakannya dalam bahasa Melayu sahaja. Apakah ini tidak menunjukkan bahawa sememangnya mereka mempunyai muslihat terhadap rakyat beragama Islam negara ini yang kebanyakannya orang Melayu.

Bahkan Pope Benedict XVI yang telah bersyarah dalam bahasa Arab berikutan dengan lawatannya ke bumi Palestin tidak berapa lama dahulu tidak pula menggunakan Allah tetapi al-Rab untuk tuhan.

Kalau Pope mereka sendiri memilih al-Rab bukannya Allah kenapa Andrew ini begitu berdegil mahu menggunakan Allah, itu pun untuk dalam bahasa Melayu sahaja.

Apa pun orang Islam sendiri perlu menangani masalah itu dengan cara lain yang lebih strategik demi kepentingan agama Islam. Kita berada di jalan yang benar jadi kenapa kita takutkan bayang-bayang.

Kerana kalau difikirkan semasak-masaknya dan memandangkan kedegilan mereka berterusan mahu menggunakan kalimah itu hanya dalam bahasa Melayu sahaja, kita sebenarnya telah diberi ruang untuk menyatakan bahawa mereka telah tersimpang akidah apabila mempersekutukan Allah kononnya tuhan mempunyai anak dan diperanakkan.

Tindakan puak gereja seperti Andrew ini boleh dibaca mahu mengelirukan orang Melayu mengenai akidah mereka terhadap Islam.

Sepatutnya kita menggunakan kesempatan ini untuk memperkukuhkan akidah orang Melayu terhadap agama mereka supaya tidak begitu mudah dipengaruhi ajaran yang menyimpang.

Di samping itu kita juga harus berterusan mendesak puak seperti Andrew memberi penjelasan kenapa mereka bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah itu dalam bahasa Melayu sahaja.



DATUK AHMAD REJAL ARBEE ialah Fellow Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Utusan Malaysia Online Rencana 20140114

Contohi akhlak Rasullullah

DETIK kelahiran Rasulullah SAW pada tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah yang bersamaan 20 April tahun 571 Masihi membawa 1,000 macam perubahan kepada kehidupan manusia.

Daripada penyembahan kepada batu dan patung-patung ditukar kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Daripada sibuk berperang sesama sendiri ditukar kepada menyibukkan diri dengan kerja-kerja ibadah yang dituntut. Daripada bergelumang dengan dosa dan perlakuan mazmumah jahiliah ditukar kepada berpegang dengan nilai akhlak Islam seperti saling menghormati dan toleransi sesama manusia.

Kemudiannya setelah berjaya membentuk kerajaan Islam di Kota Madinah, Rasulullah tidak menoleh ke belakang lagi dalam membina nilai ketinggian Islam dan peradaban umatnya. Kesannya agama Islam yang mulia berada pada kedudukan tertinggi sehingga tiada yang lebih tinggi daripadanya. Umat Islam disegani dan dihormati malah penganut agama lain juga diberi hak melaksanakan ajaran agama masing-masing selagi tidak memusuhi Nabi SAW.

Dengan berkembangnya pelbagai aktiviti keilmuan dan intelektual khususnya pada zaman Bani Umayyah dan Abbasiyah Islam berada di kemuncak kegemilangan apabila ramai tokoh ilmuwan Islam tersohor seperti al-Khawarizmi dalam bidang matematik, Ibnu Sina dalam bidang kedoktoran, al-Razi atau dikenali sebagai Rhazes sebagai saintis dan ramai lagi berjaya menghasilkan penemuan -penemuan baru yang kemudiannya dikaji dan dibahaskan oleh ilmuwan dunia masa kini.

Persoalannya mengapa kini Islam dihina dan umatnya tidak lagi dihormati? Mengapa Islam kembali dagang setelah baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang mulia meletakkan batu asas yang kukuh kepada ketinggian martabat Islam dan ummah untuk selama-lamanya.

Hal ini boleh jadi berlaku disebabkan umat Islam semakin jauh dari ajaran al-Quran dan sunah Rasulnya. Lebih buruk lagi apabila terdapat segelintir yang ibarat menconteng arang ke muka sendiri dengan terlibat melakukan pelbagai perbuatan buruk yang mencemarkan maruah dan kesucian Islam.

Lihat sahaja bagaimana sambutan tahun baru 2014 baru-baru ini yang dicemari dengan perbuatan keji berkhalwat, bersekedudukan, berzina, berpesta arak yang sememangnya tidak bertepatan dengan ajaran agama. Ia pastinya tidak tamat di situ kerana ada kemungkinan akan melarat pula kepada jenayah pembuangan bayi, setelah mengandung dan malu untuk bertanggungjawab dalam tempoh sembilan bulan yang akan datang. Akhirnya umat Islam terus bergelumang dengan dosa dan maksiat dan hingga menjadikan Islam terus dihina dan dipandang rendah.

Selain itu, masyarakat Islam masa kini terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti yang melalaikan. Ada yang sibuk bersembang di laman sosial, ada yang memuat naik gambar-gambar tidak senonoh, bersembang dengan kata-kata lucah dengan alasan ingin berhibur dan memenuhkan masa. Ada pula yang terlibat ajaran sesat sehingga sanggup membunuh dan melakukan kegiatan jenayah.

Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru kembali berpegang dengan ajaran Islam dan melaksanakan segala kewajipan agama. Pelaksanaan solat lima waktu sehari semalam juga dilihat mampu menjadi benteng mencegah gejala negatif dan mungkar di kalangan umat Islam. Allah SWT berfirman yang maksudnya;

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".(Surah al-Ankabut:45)

Dalam hal ini, penulis amat menyokong keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengisytiharkan Jumaat sebagai hari kelepasan am bagi negeri itu dengan bermulanya tahun baru ini. Ia dilihat sebagai lambang keprihatinan Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri untuk melahirkan ummah yang berketerampilan dan bersahsiah unggul.

Boleh jadi sebelum ini terdapat dalam kalangan pelajar yang bergegas ke sekolah ketika azan Jumaat berkumandang. Kemungkinan juga terdapat pemandu bas sekolah dan kalangan pekerja tidak menunaikan solat Jumaat kerana bimbang terlewat mahupun dilarang oleh majikan masing-masing.

Akibatnya anak-anak membesar dalam keadaan sudah terbiasa meninggalkan solat ditambah pula dengan ibu bapa yang sengaja merelakannya lalu menyebabkan umat Islam terjebak melakukan perkara mungkar kerana tiada perisai solat yang mampu menghalangnya.

Justeru, adalah baik sekali jika cuti pada hari Jumaat boleh turut sama diikuti oleh syarikat-syarikat swasta khususnya milik bumiputera di Johor bagi memberi kesempatan buat umat Islam melaksanakan solat yang dituntut.

Soal pergi ke masjid atau tidak itu bukan isunya, apa yang penting pihak pemerintah termasuk majikan telah melaksanakan tanggungjawab dengan menyediakan ruang seluas-luasnya untuk solat sehingga ramai yang dapat melakukannya dengan sempurna.

Umat Islam juga dilihat sudah jauh menyimpang daripada mencontohi akhlak Nabi SAW. Terdapat sebilangan masyarakat yang sengaja merosakkan peribadi dengan bersikap menyombong diri, enggan menerima nasihat dan tunjuk ajar yang baik, keras hati selain selalu bertindak tanpa mengikut pertimbangan akal yang waras dan ajaran Islam yang suci.

Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpeleseran ke sana ke mari, berdua-duaan, bercumbu-cumbuan di tempat sunyi semuanya bakal mengundang padah apabila terjebak melakukan perbuatan dosa yang terkutuk.

Segelintir muslimah pula sudah benar-benar terkesima dengan trend pakaian masa kini, lalu seluar dan baju ketat yang menampakkan susuk badan menjadi pembalut diri. Ada pula yang sengaja berskirt pendek, menampakkan bahagian dada seolah-olah begitu anggun dan bergaya dipandang oleh orang di sekeliling mereka.

Oleh sebab jauhnya umat Islam daripada ajaran Nabi Muhammad, diikuti dengan sikap buruk dan terlibat melakukan pelbagai perkara dosa, Islam terus dihina, kalimah Allah yang mulia menjadi rebutan, Nabi Muhammad menjadi bahan ejekan dan lawak jenaka, umat Islam hilang kehebatan dan nilai ketinggian sehingga kemuliaan Islam semakin tercabar.

Justeru bersempena sambutan Maulud Nabi pada kali ini, umat Islam diseru untuk bangkit mempertahankan kesucian Islam dan umatnya dengan kembali berpegang dengan ajaran al-Quran dan sunah Rasul. Sesungguhnya tiada jalan pintas untuk masuk ke syurga dan berjaya sebagai ummah yang dihormati dan disegani melainkan mengikut segala ketetapan agama dan peraturan syariat.

Usah hanya berseronok merayakan hari kelahiran baginda Nabi SAW yang tak ubah seperti sebuah pesta hari jadi lalu segala macam juadah seperti nasi beriani dan kuih-muih menjadi habuan sedangkan hati terus kosong daripada diisi dengan makanan rohani yang sangat diperlukan masa kini. Atau hanya bergelak ketawa mendengarkan ceramah agama yang tak ubah seperti menyaksikan rancangan lawak jenaka di kaca televisyen.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap individu muslim dapat mempraktikkan ajaran Nabi SAW dalam kehidupan seharian. Tunjukkanlah juga rasa kasih sayang dan kecintaan yang tidak berbelah-bahagi dengan memperbanyak mengucapkan selawat dan salam sebagai tanda ingatan yang tidak putus-putus buat selama-lamanya.


MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Johor Bahru.Utusan Malaysia Online Rencana 20140114

Elak pembudayaan elitis dalam beribadah

MEMBERIKAN kuota tertentu dalam pelaksanaan ibadah haji, perlu difikirkan dengan lebih mendalam. Dalam kita memikirkan cadangan supaya kuota tertentu diwujudkan bagi penjawat awam, sifat empati seharusnya ada dalam pertimbangan berkenaan.

Tanpa menidakkan peranan sektor kerajaan, sektor lain juga sebenarnya turut berperanan membina kemajuan dan kemakmuran. Malah, peranan pengurus rumahtangga tanpa sebarang jawatan rasmi juga tidak boleh dinafikan dalam melahir dan mendidik anak-anak sehingga menjadi insan berguna kepada agama, masyarakat dan negara.

Jika rasionalnya untuk menggalakkan kalangan penjawat awam melaksanakan ibadah haji, maka galakan sama juga seharusnya diberikan kepada seluruh umat Islam di negara ini. Ini kerana seruan mengerjakan ibadah haji adalah untuk seluruh umat Islam tanpa sebarang pengecualian.

Tidak perlu ada unsur elit atau eksklusif dalam beribadah kerana agama Islam memberikan peluang sama rata kepada setiap hamba-Nya untuk menjadi insan bertakwa. Apabila Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat (49), ayat 13 bahawa "Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa antara kamu", menunjukkan bahawa ketakwaan sesuatu yang bersifat rahsia. Seorang pegawai tadbir barangkali lebih ketakwaannya berbanding seorang pekebun. Tetapi, biarlah peluang ketakwaan dengan cara melaksanakan salah satu rukun Islam itu diberikan secara saksama.

Pahala ibadah haji sebenarnya tidak dikira pada saat kaki bertapak di Tanah Haram sebaliknya bermula ketika manusia itu memasang niat untuk mengerjakan ibadah berkenaan. Tanda benar-benar sudah meletakkan niat biasanya dengan membuat tabungan bagi menampung perbelanjaan dengan cara masing-masing.

Kakitangan kerajaan atau yang berpendapatan bulanan barangkali menabung dengan membuat potongan gaji untuk dimasukkan ke dalam Tabung Haji secara tetap. Bagi yang tidak berpendapatan tetap pula akan membuat tabungan sendiri.

Dalam taklimat haji atau umrah, sering disebut bahawa kehadiran kita ke Tanah Haram bagi menunaikan umrah atau haji sebenarnya atas jemputan Allah. Jika belum sampai 'serunya' untuk menjadi tetamu Allah, kita tidak dapat menjejakkan kaki ke sana walaupun semua perkara yang diperlukan telahpun disediakan.

Kita juga sering melihat fenomena dalam kalangan hamba Allah yang tidak pernah terfikir akan menjejakkan kaki di hadapan Kaabah tetapi mereka tetap sampai dengan pelbagai jalan yang tidak pernah terfikir oleh manusia secara kebiasaannya.

Sesiapa sahaja maklum bahawa rezeki yang diperoleh adalah hasil usaha dan kudrat masing-masing dan ia dalam iradat Allah. Daripada rezeki itulah sebahagiannya diperuntukkan untuk membuktikan kecintaan hamba terhadap Penciptanya. Ada baiknya, kita mengekalkan persekitaran sama yang sihat dan tenang dalam perjalanan menuju puncak kecintaan terhadap Tuhan.

Antara hikmah dalam pelaksanaan ibadah haji adalah untuk menyemarakkan rasa ukhuwah sesama umat Islam tanpa mengira asal keturunan, latar, tempat dan darjat. Sebab itu tetamu Allah semuanya berpakaian dengan fesyen sama; berihram bagi lelaki dan menutup aurat bagi wanita. Sudah tentu agak pincang jika konsep ini tidak diterapkan dalam langkah dan tindakan.

Jika kuota tertentu diwujudkan, ia seolah-olah menafikan giliran bakal haji yang lain. Bayangkan semua orang beratur atau mengambil nombor giliran untuk membuat urusan tertentu. Sudah tentu semua memahami siapa datang awal maka dialah yang berdiri di hadapan barisan dan menerima layanan terlebih dahulu.

Dalam kes-kes tertentu ada yang dibenarkan memotong barisan atau mencelah giliran. Mereka ini biasanya warga tua atau kurang upaya. Tetapi, jika tiada alasan wajar, tentunya akan mewujudkan perasaan kurang enak. Amatlah baik jika kita tidak mewujudkan ruang yang hanya boleh merenggangkan silaturahim sesama kita. Mungkin ada yang berhujah ia adalah rezeki daripada Allah SWT. Bagaimanapun, pada hemat saya, selagi kita boleh menegah perasaan-perasaan mazmumah, bukankah itu jauh lebih baik?



Siti Shamsiah Md. Sufi ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan Malaysia Online Rencana 20140114

Kerana politik perkara akidah diremeh

PENDIRIAN yang diambil oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Hal Ehwal Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi mengenai isu Jabatan Agama Islam (JAIS) dan pihak gereja lebih merupakan tindakan politik bukan untuk memelihara kepentingan Islam di Selangor.

Secara perundangan dan bidang kuasa, tindakan JAIS selari dengan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Agama Bukan Islam 1988. Penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu yang dirampas juga bercanggah dengan undang-undang dan titah Sultan Selangor dan amat sensitif kepada orang Islam.

Pengarang The Herald, Lawrence Andrew masih enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataannya mengarahkan semua gereja di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka walaupun dikecam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan umat Islam di seluruh negara.

Tiga Ahli Dewan Undangan DAP Negeri Selangor bercadang untuk membawa usul pindaan supaya undang-undang yang berkaitan dengan isu ini selari dengan perjuangan Pakatan Rakyat.

Sikap Menteri Besar dan Exco Agama mudah difahami kerana pendirian politik Pas mengenai isu kalimah Allah masih bercelaru dan sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) berasaskan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penggunaan kalimah Allah memihak kepada kelompok Kristian.

Ia mendorong Presiden Persatuan Bible Malaysia (BSM) membuat kenyataan dan pengakuan bahawa akan meneruskan pengedaran Bible yang terkandung kalimah Allah di Selangor dan juga di Malaysia. Secara jelas mereka memang ada strategi khusus di Selangor dalam isu kristianisasi dan mencabar kuasa Sultan.

Hairannya perkara sensitif ini tidak diberi perhatian bahkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa Sultan Selangor tidak dipedulikan. Semacam suatu kedegilan melampau sedang berlaku. Seolah-olah ada pihak ketiga yang ingin menguji kesabaran umat Islam dan autoriti kuasa dan undang-undang negara.

Nampaknya permainan politik pembangkang semacam memberi semangat kepada tokoh-tokoh Kristian ini untuk terus berjuang menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu walaupun pandangan ulama dan ilmuan termasuk sebahagian ulama Pas sendiri bahawa penggunaan kalimah Allah menggantikan maksud Triniti dalam Kristian adalah menyalahi.

Ia mengingatkan penulis mengenai isu dendam Salibiyyah dalam sejarah penjajahan dan strategi evangelis di rantau ini untuk melakukan Kristianisasi kini. Zaman penjajahan banyak institusi pendidikan berorientasi Kristian dibina dan umat Islam masih bertahan dengan kekuatan akidahnya walaupun belajar di sekolah berkenaan.

Pihak yang pro kepada penggunaan kalimah Allah bagi orang Kristian mungkin berpendapat, baguslah menggunakan kalimah Allah sebagai strategi dakwah. Kalau orang Kristian sudah boleh menerima kalimah Allah maka jangka panjangnya mereka boleh menerima Islam. Apa yang sedang berlaku di Indonesia adalah sebaliknya.

Pihak evangelis tidak sebodoh itu kerana mereka mempunyai strategi tersirat kerana bagi mereka konsep Triniti mereka terus pertahankan dan penggunaan kalimah Allah untuk meneutralkan dan mengelirukan orang Islam yang lemah iman dan tidak berilmu.

Malangnya, kelompok politik yang berkepentingan dalam pembangkang tidak nampak akan perkara ini. Yang mereka nampak adalah kuasa dan keghairahan untuk memerintah walaupun terpaksa berkompromi perkara yang paling pokok dalam Islam iaitu kalimah Allah yang berkaitan dengan akidah tauhid.

Dari sudut istilah dan makna ia berbeza. Bila dilafazkan La ilaha ilallah dalam akidah Islam bermakna tiada Tuhan melainkan Allah tidak tiada Tuhan melainkan Tuhan.

Makna dan hakikat Allah dalam al-Quran memberi konotasi atau makna Allah yang Satu dan Esa bukannya Tuhan, anak Tuhan dan Ruhul Quddus seperti yang diyakini oleh penganut Kristian. Perbezaan ini adalah sesuatu yang asas atau fundamental.

Kelompok evangelis Kristian tahu akan hakikat ini. Tetapi mengapa mereka masih berdegil dan mengikut rentak tokoh politik pembangkang untuk menjadikan isu kalimah Allah sebagai isu politik yang kontroversial.

Apakah setelah gagal untuk menguasai Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan gagal melakukan demonstrasi untuk menumbangkan kerajaan maka strategi agama digunakan. Ia adalah suatu strategi yang sangat bahaya. Sebatang pokok tidak boleh tumbang semata-mata dengan beliung tetapi beliung yang disendal dengan kayu mampu menumbangkan sebatang pokok.



Jendela Tok Ki Utusan Malaysia Online Rencana 20140114

Tasawwur Islam atas wasatiyyah

ISLAM dari sudut ilmu, pemikiran dan amalan berkait rapat dengan tasawwur atau cara Islam dilihat oleh pemeluknya supaya tidak saja ia terlihat dalam ibadah khusus tetapi terjelma dalam amal Islaminya.

Sumber yang dihubungkan dengan tasawwur ini adalah al-Quran dan al-hadis. Al-Quran datangnya daripada Allah. Ia membawa petunjuk kepada seluruh umat manusia khususnya orang yang bertaqwa ( hudan linnas, hudan lilmuttaqeen).

Ia tidak saja bersifat wahyu tetapi wahyu itu diterjemahkan dalam bentuk sunah. Perlakuan, percakapan, dakwah dan perakuan Rasulullah SAW adalah sumber sunah untuk menjadi rujukan dan ikutan orang yang terkemudian.

Haji terakhir Rasulullah SAW (hujjatul Wida') baginda berpesan supaya berpegang kepada al-Quran dan as-sunnah sebagai jalan mengelakkan kesesatan. Saidatina Aishah bila ditanya oleh para sahabat mengenai akhlak Rasulullah, menyebutkan bahawa "Akhlak Rasulullah adalah akhlak al-Quran - Khuluq al-Quran ".

Al-Quran tidak saja bersifat harfiah atau tekstual untuk dibaca dan dihafaz. Tetapi ia bersifat kontekstual terhubung dengan Pencipta, Alam dan perjalanannya dan seluruh hikmah kejadian hasil ciptaan-Nya. Ia mendorong kepada perkembangan ilmu dan menghubungkan ilmu naqliah (wahyu) dan ilmu aqliah sebagai pedoman terbaik.

Akhlak al-Quran dalam sifatnya yang hidup adalah akhlak Nabi. Sering diungkap kalimah cinta nabi dan kasihkan nabi. Ungkapan ini akan lebih bermakna sekiranya amalan nabi yang bertunjangkan akhlak karimah menjadi sumber ikutan. Sunah nabi yang ditinggalkan apabila menjadi sumber ikutan umat terkemudian meneguhkan lagi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Akhlak Rasulullah dalam berkata-kata, melakukan dakwah dan tarbiyah penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan. Asas yang dibina oleh Rasulullah SAW ini menyebabkan Islam berkembang dan akhirnya terbina tamadun. Nabi tidak berakhlak pendendam dan penuh dengan rasa kebencian terhadap orang lain. Jiwa besar Rasulullah SAW dalam melakukan seruan dan ajakan adalah contoh terbaik umat manusia yang menyebabkan ramai kembali kepada fitrah.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah ini mempunyai pendekatan. Al-Quran dalam Surah al-Baqarah : 143 menyatakan mengenai pendekatan sederhana, berimbang , adil dan cemerlang. Konsep ummatan wasata dalam ayat itu membayangkan kefahaman terhadap fitrah kejadian, maslahah menyantuni, pendekatan keutamaan (priority), supaya dakwah dan Islamisasi berlaku dengan bijaksana.

Al-Quran memberi pedoman pentingnya berjiwa sabar dalam mengembangkan kebenaran (watawasau bil haq watawa saubis sabr), ditegah bersikap gopoh (isti'jal) dan bijaksana dalam melakukan pengajakan dan penyeruan (bil hikmah walmau izatil hasanah) dan bila berhujah gunakan hujah-hujah dan dalil yang terbaik (wajadilhum billati hia ahsan). Inilah pendekatan wasatiyyah yang dianjurkan oleh al-Quran dan menjadi amalan Rasululullah SAW.

Lihat bagaimana Rasulullah dibenci oleh seorang perempuan Yahudi setiap kali lalu di hadapan rumahnya. Rasullullah tidak berpaling walaupun dimaki-hamun perempuan itu. Ditakdirkan suatu hari ia jatuh sakit dan Rasulullah menziarahinya. Terkejut perempuan Yahudi itu melihat jiwa besar baginda dan akhirnya kembali ke fitrah.

Contoh lain ialah bagaimana baginda menyantuni bapa saudaranya Abu Talib yang masih belum mengikuti jejak akidahnya. Nabi lakukan asbab dengan nasihat dan hujah tetapi akhirnya Abu Talib tidak kembali. Ia memberi pengajaran kepada kita melakukan dakwah sebaik mungkin adalah tugas kita, memberi hidayah adalah kerja Allah.

Pendekatan wasatiyyah atau sederhana tidak bermakna kita ketepikan faktor syarak dan prinsip. Wasatiyyah membolehkan kita mencari kebijaksanaan kerana kebijaksanaan inilah menjadi barang yang hilang bagi umat. Sifat Rasulullah yang bijaksana (fatanah) menyebabkan agenda berlaku dan maslahah terjadi.

Sebagai tunggak perubahan dan kemajuan, pendekatan adalah sesuatu yang amat penting. Sifat kejadian manusia berpasang-pasang dan berbangsa-bangsa (Al-Hujurat : 13) memerlukan proses litaarrafu atau kekenalan terjadi. Proses ini mencetuskan rasa kesalingan yang tinggi dan pemahaman yang sifatnya saling memahami dan melengkapi.

Kepelbagaian yang wujud dalam penciptaan Allah terhadap manusia, alam dan sumber rahmah dan ni'mah memerlukan ilmu dan kemahiran untuk menyantuninya. Al-Quran terkandung petanda mengenai kebesaran Allah ini yang memberikan asas saintifik dan jiwa tadabbur (memerhati, mengkaji dan menyelidik) supaya umat Islam menjadi umat ulul albab (umat yang memahami).

Pengajaran saintifik mengenai air umpamanya tidak saja mengambil pendekatan mekanistik bahawa air itu adalah cantuman antara oksigen dan hidrogen untuk meraikan soalan "apa itu air" tetapi al-Quran memberikan jawapan "mengapa air" dengan memberi pedoman, "air itu adalah sumber kehidupan".

Lihat, betapa al-Quran memberi jawapan yang jauh lebih relevan mengenai sumber kehidupan alam seisinya dengan air itu adalah hasil ciptaan-Nya.

Jalur wasatiyyah dalam ilmu dan pendidikan menggerakkan jiwa tadabbur bagi manusia mengkaji dan menyelidik. Al-Quran dalam surah al-Alaq menganjurkan budaya ilmu yang tinggi tidak saja mengkaji apa yang terlihat tetapi menghubungkan yang terlihat dengan faktor ghaibiyyah.

Jalur wasatiyyah juga merintis jalan ke arah pembangunan tijarah, muamalah dan iqtisadiah yang dibina secara bertahap-tahap. Hari ini Malaysia dalam rasa syukur dilihat oleh umat Islam yang lain sebagai negara contoh dalam kegiatan patuh syariah dan sedang berkembang dengan pesatnya.

Umat Islam tidak harus mengambil sikap sebagai pemerhati dan melakukan pencelaan terhadap usaha-usaha Islamisasi. Faedah daripada program patuh syariah ingin dikongsi tetapi menyumbang kepada proses mewujudkannya tidak terjadi. Kalau tidak dapat terlibat dalam proses mewujudkan pun tidak mengapa tetapi sekiranya yang diwujudkan itu baik, berguna dan bermanfaat bagi umat, katakan ia baik, berguna dan bermanfaat. Kalau tidak kita melakukan kezaliman.

Pendekatan wasatiyyah yang dijadikan tunggak bermaksud supaya agenda Islamisasi berlaku dalam perancangan yang rapi dan teliti serta upaya melaksana yang bijaksana supaya akhirnya wujud keberanian membina sumber daya insan yang holistik dan dukungan kuasa atau politik yang membolehkan ia berlaku. Ia menjadi tunggak perubahan dan peradaban.

Malaysia tidak memerlukan manusia gopoh, emosional, reaktif terhadap isu, suka melabel orang lain dan tidak bersifat menyumbang kepada kemajuan dan perubahan. Ia memerlukan jalur wasatiyyah berkembang supaya kemajuan terhasil dan perubahan terjadi dalam acuan kita sendiri.



PROF. DATO DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Utusan Malaysia Online Rencana 20140114

Muhammad and his message of unity

The messenger’s birthday is to be observed with recollections of his life and significance, and his positive impact on society.

TODAY, 12 Rabi’ul awwal (the third month of the Islamic calendar), Muslims celebratemaulidur rasul, a religious festival commemorating the birth of Muhammad (peace be upon him), the Prophet of Islam. Simply put, maulid means “birthday” and al-rasul oral-nabi means “prophet” or “messenger”.

Muhammad son of Abdullah was born in Mecca, Saudi Arabia, in August 570 AD. Islam teaches that he is Allah’s last prophet and the most important figure of the religion. He might be considered the founder of Islam, but not in the same sense as Jesus was in Christianity.

Muslims see Muhammad as the restorer of the original monotheistic belief of Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Jesus and many other prophets sent to various groups of people from the beginning of human history.

He was the unifier of Arabia, consolidating the peninsula under the banner of Islam, releasing his community from the “dark age” of ignorance and bringing them into the light of knowledge and civilisation.

Michael H. Hart in The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, rightly sums up that Muhammad was a social reformer, diplomat, merchant, orator, legislator, military general, philosopher and philanthropist.

He honours the Prophet by according to him the first place in his list and considers him as the most influential human on earth.

To illustrate, a renowned Orientalist, William Montgomery Watt, writes that for Muhammad, religion was not a private and individual matter but rather “the total response of his personality to the total situation in which he found himself. He was responding (not only) … to the religious and intellectual aspects of the situation but also to the economic, social and political pressures to which contemporary Mecca was subject”.

Another Islamist, Bernard Lewis, observes that Muhammad’s mission “transformed the society and moral order of life in the Arabian Peninsula through orientation of society as regards to identity, worldview, and the hierarchy of values”.

For example, Lewis continues that Islam, “from the first denounced aristocratic privilege, rejected hierarchy, and adopted a formula of the career open to the talents”.

Those who study Islamic history can generally agree that Islamic social reforms brought by Muhammad in areas like social security, family structure and human rights that include slavery and the rights of women and children, improved on the status quo of Arab society then. The same impact should be seen in today’s Muslim community.

The maulid is supposed to be observed with recollections of Muhammad’s life and significance as partially described above.

In this way, Muslims, sanctioned by their majority ulama, consider maulid as something praiseworthy, permissible and even necessary as it generally brings positive impact to the society at large, if carried out rightly.

Despite the celebration worldwide, Muslims never glorify or idolise Muhammad to the extent of uplifting him as God or at par with God. Human worship is never a part of Islam.

The observance is rather motivated by a kind of obligation to love the Prophet, to be proud of him, to respect him, to obey him, to remember him, to follow his example and to share his message with others.

The “duty” to love the Prophet by every Muslim is transpired, inter alia, by some Quranic verses and prophetic traditions (hadith):

“Say if you do love Allah, then follow me (ie Muhammad), Allah will love you and forgive you your sins” (Ali Imran, 3:31).

“Truly you (Muhammad) are of magnificent character” (al-Qalam, 68:4).

A hadith by Bukhari and Muslim, two Muslim prominent scholars, relates that the Prophet says: “None of you believes until he loves me more than he loves his children, his parents, and all of mankind.”

In addition to the above, one must understand that Prophet Muham­mad was sent to the entire mankind, as clearly mentioned by the noble Quran when Allah says, “We sent you not but as a mercy for all creatures” (al-Anbiya, 21:107).

Abdullah Yusuf Ali in The Meaning of the Holy Quran comments that indeed the principle of mercy universally applies to all men and creatures other than men. He basically came as saviour for the entirety of mankind, not strictly for those who embrace Islam only.

This means that, if we can rightly recall the role of Muhammad as the restorer of the original true faith in God, all members of humanity are earnestly invited to carefully study and ponder upon his message.

For Muslims, it is their duty to share the glad tidings with the rest of the people.

It is due to this obligation that within just a hundred years, Islam had spread from the remote corners of Arabia as far east as Indo-China and as far west as Morocco, France and Spain.

Today, Islam remains the most rapidly spread religion on the globe, despite all efforts to tarnish and sideline it to the worst possible place.

Dr Wan Azhar Wan Ahmad is Senior Fellow and Director of Ikim’s Centre of Syariah, Law and Politics. The views expressed are entirely the writer’s own. The STAR Online IKIM Views 14/01/2014