January 17th, 2014

Manusia jadi sombong bila dipuji

Waktu solat KL & yang sewaktunya: Imsak - 5:55 || Subuh - 6:05 || Syuruk - 7:26 || Zohor - 13:26 || Asar - 16:48 || Maghrib - 19:23 || Isyak - 20:36 Jumaat , 17 Januari 2014,


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-Fatihah, ayat 2)

Membaca al-Fatihah antara syarat sah solat kerana tidak sah solat jika meninggalkannya sehinggakan dalam hadis qudsi, Allah SWT menamakan al-Fatihah dengan solat menggambarkan kehebatan al-Fatihah.


Hakikatnya, surah al-Fatihah ini juga adalah dialog antara seorang hamba dengan Penciptanya.

Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam sahihnya, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Allah berkata: Aku bahagikan solat di antara-Ku dengan hamba-Ku sebanyak dua bahagian. Bagi hamba-Ku apa yang dia pinta. Apabila hamba-Ku berkata, segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Allah berkata: Aku telah dipuji oleh hamba-Ku. Hamba-Ku berkata, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani Allah berkata, hamba-Ku telah memuji ke atas-Ku. Hamba berkata: Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Allah berkata: Aku telah diagungkan oleh hamba-Ku. Hambaku berkata: Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan. Allah berkata: Ini di antara-Ku dengan hamba-Ku, buat hamba-Ku apa yang dia pinta. Hamba berkata: Tunjukilah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang yang sesat. Allah berkata: Ini untuk hambaKu, dan untuk hambaKu apa yang dia pinta.”

Maksud perkataan Rabb

Perkataan Rabb memberi maksud Tuhan yang mendidik, mengurus kepentingan yang dididik-Nya dan mengatur setiap urusan-Nya. Terdapat dua bentuk tarbiah Allah SWT terhadap manusia iaitu tarbiah yang bersifat penciptaan.

Pendidikan ini dilakukan dengan mengembangkan jasmani manusia sehingga mencapai kedewasaan dan kesempurnaan dari sudut pertumbuhan jiwa serta akal mereka.
Kedua, tarbiah yang bersifat keagamaan, pendidikan ini dilakukan oleh Allah SWT dengan menurunkan wahyu kepada seseorang di kalangan manusia supaya disampaikan kepada umat manusia.

Hanya Allah SWT saja yang berhak mensyariatkan peribadatan. Untuk itu, tiada sesiapa pun yang dapat menghalalkan atau mengharamkan sesuatu melainkan dengan izin-Nya.

Setiap pujian yang baik hanya untuk Allah SWT kerana Dialah yang menjadi sumber segala yang ada. Dia yang mengatur, mendidik dan memelihara seluruh alam dari awal hingga akhir. Dia jugalah yang mengilhamkan segala sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan keuntungan.

Setiap pujian dan kesyukuran hanya berhak bagi-Nya berdasarkan segala nikmat dianugerahkan. Perkataan Alhamdulillah disebut dalam al-Quran sebanyak 38 kali menggambarkan Allah SWT Maha layak dipuji kerana zat-Nya, sifat-Nya, nikmat-Nya, rahmat-Nya dan panduan kehidupan diberikan-Nya.

Sombong bila dipuji berlebihan

Kita memahami apabila manusia dipuji berlebihan ia akan menyebabkan manusia itu menjadi sombong dan merasakan semua perbuatannya betul serta tidak boleh dikritik atau ditegur.

Ungkapan Alhamdulillah satu-satunya lafaz diajar oleh Allah SWT kepada hamba-Nya untuk dizahirkan secara lisan yang menunjukkan kesyukuran di atas nikmat diberikan. Kesan daripada kesyukuran ialah bertambah nikmat yang akan diberikan.

Alhamdulillah adalah perasan kesyukuran yang melimpah pada hati seorang Mukmin sebaik saja teringatkan Allah SWT kerana kewujudan dirinya adalah daripada limpah nikmat Allah SWT yang membangkitkan kesyukuran, pujian dan sanjungan.

Justeru, mengucap Alhamdulillah di awal dan akhir adalah salah satu tuntutan al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Dialah Allah tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji tertentu bagi-Nya, di dunia dan di akhirat; dan hanyalah Dia yang berkuasa menghukum, serta kepada-Nya kamu semua dikembalikan.” (Surah al-Qasas, ayat 70)

Bersyukur kepada Allah SWT akan menambahkan nikmat berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Jika diperhatikan kehidupan seharian kita, setiap pergerakan sebenarnya menuntut kita bersyukur kepada-Nya. Ketika tidur roh kita diambil kemudian dikembalikan ketika kita bangkit daripada tidur. Tidakkah itu satu nikmat besar yang seharusnya disyukuri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah (yang menguasai segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” (Surah az-Zumar, ayat 42)

Bayangkan bila kita dikejutkan dari tidur pasti kita memuji-Nya dengan menyebut Alhamdulillah kerana Allah SWT masih memberi peluang kita meneruskan kehidupan, keupayaan bergerak.

Tanpa keizinan-Nya tidak mungkin anggota kita berfungsi.

Berita Harian Online Agama 2014/01/17 - 19:27:46 PM Oleh Ahmad Shukri Yusoff

Takaful Ikhlas: Lima kaedah pengurusan harta berhemah

Pengurusan dan perancangan adalah aspek terpenting dalam kehidupan. Kegagalan merancang dan mengurus adalah antara penyebab kegagalan. Lebih-lebih lagi kegagalan menguruskan harta dan kewangan dengan bijak punca seseorang itu terperangkap dalam pelbagai masalah kehidupan.

Islam mengajar umatnya sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal ehwal kehidupan.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berkata Yaakub: Hai anak-anakku, janganlah kamu masuk (ke Mesir) dari satu pintu, masuklah melalui beberapa pintu yang berasingan. Aku tidak dapat mempertahankan kamu daripada seksaan Allah sedikit pun. Segala ketetapan (hukum) itu hanya bagi Allah. Kepada-Nya aku bertawakal (menyerahkan diri) dan hendaklah semua bertawakal kepada-Nya”. (Surah Yusuf, ayat 67)

Allah SWT menjelaskan, dalam menguruskan kehidupan, jangan bergantung kepada satu pendekatan saja, tetapi perlulah mempelbagaikan pendekatan dan strategi. Setelah segala persiapan dan perancangan dilakukan maka hendaklah bertawakal kepada Allah SWT.

Seseorang yang mempunyai perancangan menguruskan harta dan kewangannya akan memperoleh gambaran jelas kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju tepat mengenai matlamat kewangan ingin dicapai yang akhirnya membolehkan mencapai matlamat secara lebih efektif.

Mengurus harta amanah

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah amanah Allah. Ia satu keperluan bertujuan mencapai kehidupan diberkati. Perspektif tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil serta menggunakan harta dengan baik dan bijaksana. Harta untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga wasilah untuk mencapai takwa.

Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji sejauh mana mereka bersyukur. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar”. (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik serta bijaksana. Secara umumnya ada lima aspek atau elemen utama pengurusan harta. Pertama, penghasilan harta supaya tidak hanya pasrah pada qada’ dan qadar.

Kedua, pengumpulan harta dengan erti yang lain bermaksud pengembangan harta. Tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya. Pengembangan harta boleh dilakukan melalui simpanan dan pelaburan di institusi kewangan.

Ketiga, perlindungan harta. Setiap manusia harus mempunyai matlamat untuk dapat kehidupan yang selesa dan terjamin dari segi kewangan sepanjang hidup. Sebagai jaminan hidup di dunia selain mempunyai simpanan dan harta mencukupi, harta juga harus dijaga daripada sebarang musibah.

Keempat, pengagihan harta. Islam memperuntukkan beberapa cara atau kaedah untuk pengagihan harta seseorang Islam sebelum atau selepas mati. Antara instrumen perancangan harta adalah wakaf, wasiat, hibah dan sebagainya.

Kelima, penyucian harta kerana harta adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita, justeru Muslim tidak sewenang-wenang membelanjakan atau mempergunakan mengikut kehendak dan hawa nafsu.

Pengurusan kewangan bijak

Pengurusan kewangan yang bijak ialah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan mengikut syariah serta pendapatan mendapat keberkatan. Perlu diingatkan merancang dan mengurus adalah sunnah atau jalan Rasul.

Islam juga mengambil berat faktor bagaimana harta itu diperoleh. Ia mestilah menerusi kaedah pemilikan yang sah seperti menerusi jual beli, pelaburan secara Islam, hadiah dan sebagainya. Harta itu kemudian dibelanjakan untuk kebaikan.

Perkara penting perlu diberi perhatian dalam perancangan kewangan Islam ialah memperoleh keberkatan. Harta yang melimpah ruah tidak membawa apa-apa erti jika tidak ada padanya keberkatan, malah harta boleh menjadi fitnah.

Harta boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup hingga sanggup melakukan apa saja termasuklah rasuah atau penyelewengan. Harta yang berkat walaupun sedikit akan membawa ketenangan dan memberi kesan baik dalam segenap kehidupan.


Berita Harian Online Agama 2014/01/17 - 03:56:20 AM Oleh Wan Jemizan W Deraman dan Mohd Ridwan Roslan

Tegas pertahan Islam

ISU penyalahgunaan kalimah Allah masih rancak dibincangkan di dada-dada akhbar, sama ada media arus perdana mahupun media alternatif. Ia diperhangatkan lagi dengan siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Bible Soceity of Malaysia (BSM) dan menyita sejumlah Bible berbahasa Melayu dari premis berkenaan.

Siasatan JAIS ke atas premis tersebut adalah berdasarkan titah Sultan Selangor yang tidak mahu kalimah suci Allah ini disalahgunakan oleh penganut agama lain. Malah hasrat ini telah lama dijadikan undang-undang melalui Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam 1988 dahulu.

Namun sebenarnya terdapat banyak kekeliruan yang ditimbulkan daripada situasi ini yang pada saya sebahagiannya sengaja ditimbulkan mungkin bertujuan mewujudkan perasaan tidak selesa dalam kalangan rakyat.



ISU-isu sensitif di dalam sebuah negara majmuk perlu ditangani secara berhikmah agar
tidak membawa mudarat dan merugikan semua pihak. - Gambar hiasan


Salah faham yang pertama ialah adakah orang bukan Islam langsung tidak boleh menyebut kalimah-kalimah yang disenaraikan di dalam enakmen tersebut? Hal ini jelas telah dipaparkan oleh sebuah media altenatif yang menyenaraikan perkataan-perkataan yang dikatakan tidak boleh disebut oleh orang bukan Islam.

Jika diteliti daripada enakmen tersebut, larangan yang ada ialah menggunakan perkataan-perkataan tersebut bagi merujuk kepada agama bukan Islam, bukannya larangan penuh langsung tidak boleh menyebutnya.

Orang bukan Islam hanya dilarang menggunakan perkataan tersebut dalam agama mereka seperti mengatakan Allah itu tiga, Allah mempunyai anak dan sebagainya. Begitu juga dengan perkataan-perkataan lain. Inilah kegusaran yang cuba diketengahkan oleh sesetengah pihak yang langsung tidak mempunyai asas. Media seperti ini adalah amat tidak bertanggungjawab kerana memutarbelitkan fakta sebenar.

Disalahertikan

Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya juga sering disalahertikan. Keputusan tersebut hanya terpakai kepada Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur sahaja. Ia tidak mengikat secara langsung pihak-pihak lain tetapi alasan penghakiman di dalam kes tersebut boleh dijadikan autoriti sekiranya ada pertikaian berhubung isu ini.

Perkara yang dituntut oleh pihak Gereja di dalam kes tersebut adalah untuk mendapatkan perisytiharan bahawa tindakan Menteri Dalam Negeri melarang gereja menerbit perkataan Allah sebagai terjemahan kepada Tuhan di dalam terbitan berkalanya adalah tidak sah.

Keabsahan larangan inilah yang diteliti oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya dan akhirnya, memutuskan bahawa larangan tersebut adalah betul dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang, khususnya Akta Mesin Cetak.

Namun walaupun saya mengatakan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak mengikat, saya tidak juga mengatakan tindakan JAIS menyiasat dan menyita Bible dari premis BSM adalah salah. Ini adalah kerana tindakan JAIS tersebut bukan berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya tetapi berpaksikan kepada undang-undang yang sah dan sedang berkuatkuasa iaitu Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di kalangan Orang Islam 1988.

Seksyen 10 Enakmen tersebut jelas memberi kuasa kepada JAIS untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya dalam hal ini, di samping pegawai polis berpangkat inspektor ke atas. Segala tindakan JAIS tersebut hendaklah diambil melalui Kanun Prosedur Jenayah Mahkamah Sivil dan bukan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2013. Pendakwaan pula dilakukan di mahkamah sivil bukan di mahkamah syariah.

Oleh yang demikian, tidak timbul juga isu orang bukan Islam diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Malah tidak kurang juga dalam kalangan orang Islam yang berkelulusan tinggi dalam bidang agama memberi pelbagai komentar dari sisi teologi semata-mata tanpa mengambil kira aspek sumber hukum dan perubahan kerana siasah syariah itu sendiri. Kita tidak menafikan mana-mana ayat di dalam al-Quran tetapi al-Quran juga memberi panduan yang luas kepada kita di dalam menangani sesuatu isu yang kompleks.

* DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140116

Tarikan golongan muda dalam menghayati perjuangan Rasullullah SAW

ANAK muda ialah golongan yang masih memerlukan bimbingan orang lebih dewasa walaupun masyarakat negara ini berada dalam dunia moden yang penuh dengan gajet canggih yang mampu membawa segala maklumat di hujung jari.

Ini kerana tidak semua maklumat di alam maya boleh dipercayai dan mudah digunakan sebagai medium untuk menghasut golongan ini memberontak dalam isu-isu tertentu.

Lihat sahaja, hari ini anak muda lebih cenderung diajak untuk menyertai program bercorak keduniaan seperti berdemonstrasi dan berhimpun di jalanan bagi membantah sesuatu dasar kerajaan.

Sukarelawan golongan muda Kindness Dot My bergambar beramai-ramai di hadapan pusat membeli-belah Lot 10
selepas mengedarkan bunga ros dan gula-gula dalam projek sempena Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh pertubuhan itu
di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Apa yang lebih dikesalkan golongan muda sanggup bersatu dan menolak segala nasihat baik dan penjelasan untuk melakukan sesuatu yang memudaratkan negara hasil daripada dorongan dan 'jemputan' pemimpin yang bertopengkan pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pemandangan ini berbeza pada setiap tahun pada hari sambutan Maulidur Rasul di mana-mana di negara ini, peserta yang berarak kebanyakannya adalah 'otai-otai' belaka atau pendek kata disertai orang tua yang berumur 50-an ke atas.

Jika ada kelibat orang muda dalam kalangan yang menyertai perarakan hanyalah pelajar tahfiz dan anak-anak yang diseret ibu bapa untuk meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Mengapa penglibatan anak muda dalam menyambut hari yang mulia ini agak kurang sedangkan jika diajak berhimpun memprotes kenaikan harga barang dan sistem pilihan raya ramai pula yang datang hingga ada yang sanggup mencetak baju-T khas untuk demonstrasi tersebut.

Bukan setakat memakai baju-T tertera perkataan yang membawa erti kesatuan atau solidariti malah ada yang tanpa segan silu memakai baju yang tertulis sindiran terhadap pihak yang tidak disukai.

Tidak cukup dengan maki hamun dan provokasi terhadap pihak polis ada yang datang sarat membawa sepanduk berwarna-warni seakan-akan perarakan budaya di Brazil pula.

Soalnya, mengapa budaya tersebut tidak dijelmakan di dalam menyambut insan paling disayangi oleh Allah SWT?

Apa salahnya anak muda Islam yang mengaku hebat dan canggih kerana lahir dalam dunia IT dan hidup dalam era globalisasi menyertai perhimpunan ummah dengan membawa sepanduk memuji nama baginda Nabi Muhammad dengan pelbagai corak dan kreativiti?

Kalau perkara merosakkan boleh pula kita mengatakan demonstrasi patut dilakukan malah lebih menyedihkan pernah ada segelintir pemimpin pembangkang yang kurang akal mengatakan perhimpunan meraikan sambutan Maulidur Rasul senada dengan perhimpunan haram mereka yang langsung tidak mempedulikan orang ramai dan pelancong yang menonton persembahan sempena sambutan tahun baru di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Sepatutnya pemimpin yang sudah berusia menggalakkan anak muda untuk sama-sama menghayati perjuangan nabi sejak muda sebagai seorang peniaga hingga menjadi pembawa ajaran Islam yang syumul pada usia 40 tahun di Mekah.

Mengapa dalam bab-bab menentang ulil amri sebulan sebelum perhimpunan haram diadakan sudah ada 'promosi' di laman-laman sosial yang menyasarkan orang muda dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) untuk meramaikan perhimpunan.

Sebaliknya tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini mana-mana pihak mengajak anak muda berhimpun beramai-ramai menyambut insan teristimewa di hati umat Islam yang bertakwa.

Sepatutnya semua pihak, mengambil berat dengan kebajikan anak-anak muda kita yang sudah terlalu dibuai kemajuan hingga perjuangan dan kelahiran Rasullullah dipandang sebelah mata.

Hari ini Maulidur Rasul dianggap sebagai cuti umum semata-mata bukannya menzahirkan rasa cinta dan bersyukur dengan kelahiran manusia paling mulia yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Inilah bahana, jika ada pemimpin dan guru-guru agama yang menanamkan dalam fikiran umat Islam bahawa lahirnya Nabi Muhamma sama seperti kelahiran mat-mat kampung yang lain.

Bagaimana anak muda hendak merasakan cinta dan rindu kepada Nabi Muhammad jika orang yang bertanggungjawab memberi didikan sudah memesongkan pemikiran anak muda?

Justeru dalam dunia yang dianggap akhir zaman ini, umat Islam terutama orang muda yang bakal kita tinggalkan dunia yang fana kepada mereka, segera dididik untuk mengasihi Nabi Muhammad dan bertakwa kepada Allah SWT.

Selain berarak pada setiap sambutan Maulidur Rasul anak-anak muda perlu dididik di sekolah satu bab tentang sirah nabi dengan lengkap selain menggalakkan mereka untuk hadir ke seminar, forum dan ceramah tentang perjuangan Nabi Muhammad bukan setakat dalam bentuk ilmu ukhrawi malah ilmu duniawi seperti muamalah (perniagaan).

Sebaik-baiknya sambutan Maulidur Rasul diadakan bukan setakat peringkat kebangsaan, negeri, masjid, surau malahan ke peringkat universiti, kolej, taman asuhan kanak-kanak dan paling penting peringkat keluarga dengan ibu bapa menceritakan sendiri hikmah meraikan Maulidur Rasul.



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Rencana 20140117

Perlukah dialog antara Islam-Kristian?

BARU-BARU ini kedengaran beberapa reaksi negatif terhadap Islam ekoran kontroversi larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan kedegilan seorang paderi mematuhinya walaupun ada keputusan mahkamah yang jelas dan titah Sultan Selangor.

Sebagai sokongan kepada kedegilan itu, pemimpin beberapa agama lain juga menyatakan istilah Allah turut digunakan oleh agama mereka. Antaranya, agama yang dianuti keturunan Sikh dan Bahai.

Justeru, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bercadang untuk melakukan penyelidikan yang mendalam mengenai sejarah penggunaan kalimah itu oleh agama-agama besar dunia dan mengharapkan kajian itu dapat memberikan kewajaran kenapa ia tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang tepat pemakaiannya oleh agama-agama lain selain agama Islam.

Berdasarkan fakta sejarah, penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat pra-Islam hanyalah sebagai merujuk kepada tuhan mereka, tetapi penggunaannya tidaklah sekudus ajaran Islam.

Ketika Islam buat pertama kalinya muncul dalam kehidupan manusia, masyarakat pagan Arab sudah biasa menggunakan istilah itu, tetapi ada di antaranya merujuk kepada nama Dewa Bulan.

Sebelum Islam muncul, penganut Kristian berhadapan dengan persaingan agama Yahudi. Akibatnya, setiap agama menyatakan hanyalah agama mereka yang membawa kebenaran, manakala agama-agama lain penuh prasangka dan kepalsuan. Atas dakwaan kebenaran itulah menyebabkan berlakunya perang, konflik antara agama dan akhirnya agama menjadi pembakar semangat yang terkuat untuk saling berperang.

Selepas berakhirnya Perang Dunia II dan bermulanya Perang Dingin, tumpuan utama masyarakat dunia adalah untuk membangunkan hubungan mesra antara agama menerusi penyemarakan dialog bagi mencari nilai-nilai universal berdasarkan prinsip setiap agama mengajak manusia melakukan kebaikan.

Era pertama dialog antara agama lebih bersifat dialog untuk kehidupan, yang memberikan penekanan untuk melihat apakah persamaan antara agama, terutamanya dalam konteks ajaran ataupun falsafah agama. Akhirnya, dialog itu berubah bentuk setelah sikap sesetengah cauvinis agama melahirkan rasa sangsi, ekoran perkembangan yang menyaksikan Islam muncul sebagai kekuatan baru, berdasarkan pertambahan bilangan yang lebih cepat dan pengisiannya ekoran kegagalan peradaban Barat yang hanya memfokuskan faham kebendaan.

Selepas Perang Dingin, masyarakat Barat melihat kebangkitan Islam itu sebagai kuasa baharu yang boleh mengancam kapitalisme. Maka, muncul pelbagai pendekatan untuk menghina Islam baik dari segi sistem politik mahupun kehidupan masyarakat dan sistem kekeluargaan.

Hari ini muncul pendekatan yang berasaskan kebebasan individu sebagai fahaman terbesar, maka itulah sebabnya setiap percanggahan dengan Islam terus dilihat sebagai fakta betapa tidak bertoleransinya Islam terhadap penganut agama lain.

Atas dakwaan itu jugalah menjadikan banyak pihak bukan sahaja curiga dengan Islam bahkan menuduh Islam sebagai agama yang menganjurkan diskriminasi dan ekstremisme.

Gema kebencian terhadap Islam kembali menjadi agenda permusuhan apabila seorang ilmuan keturunan Yahudi mengemukakan sebuah teori, di mana persoalan sebenar yang dihadapi oleh masyarakat Barat adalah pertembungan peradaban dengan peradaban yang muncul dari timur.

Tentunya, pertembungan akan menjadi sesuatu yang lebih besar adalah antara Barat dan Islam, ini disebabkan setelah pengaruh komunisme berantakan, Islam dilihat sebagai kuasa yang bakal menyaingi peradaban barat.

Mulai 1995 sekumpulan strategik memulakan kempen dengan meletakkan Islam sebagai menyuburkan keganasan dengan mentafsirkan makna perkataan jihad sebagai "keinginan berperang". Mulai saat itulah setiap perlakuan melampau ditujukan kepada Islam dan setiap apa sahaja ikon yang ada kaitan dengan Islam akan dijadikan alasan membentuk suatu referendum.

Tujuan utama serangan budaya dan nilai terhadap Islam itu adalah dengan hasrat untuk menghancurkan pegangan agama penganutnya.

Kini jumlah penganut Kristian dianggarkan 2.2 bilion manakala jumlah penganut Islam ialah 1.8 bilion. Dianggarkan 4 daripada setiap 10 orang penduduk dunia adalah beragama Islam manakala kadar pertambahan semula jadi masyarakat bukan Islam semakin menurun akibat sikap mereka terhadap kehidupan berkeluarga dan sikap individualistik berbanding umat Islam yang masih teguh dengan tradisi kekeluargaan.

Ancaman inilah sebenarnya menakutkan penganut agama lain sehingga mereka sanggup mengubah, meminda dan memprovokasi beberapa perkara bagi mencabar umat Islam. Mereka sedar, menerusi provokasi inilah akhirnya umat Islam akan berperang sesama sendiri.

Rentetan daripada larangan penggunaan kalimah Allah misalnya, sudah ada anjakan yang jelas untuk mempertaruhkan kedudukan dan penguatkuasaan pihak berkuasa agama Islam sebagai suatu tindakan yang bertentangan dengan kebebasan asasi dan beragama.

Bahkan, mereka mendakwa, apabila istilah Allah dilarang ke atas masyarakat bukan Islam, maka ia tidak menghormati prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan dan menyebabkan penganut agama lain mangsa diskriminasi, sedangkan Islam memberikan mereka jaminan "tiada paksaan dalam beragama." Konteks itulah yang dicanangkan oleh banyak pihak, termasuk segelintir orang Islam sendiri.

Islam dianggap sebagai ancaman, dan kerana itulah akhir-akhir ini kembali kedengaran betapa perlunya lebih banyak dialog antara agama bagi mencari titik persefahaman, yakni makna kehidupan beragama bukan dari asas akidah.

Islam melihat dialog antara agama sangat penting, berdasarkan adanya keyakinan atau iman kepada semua Nabi dan Rasul. Allah telah mengutus para Rasul-Nya untuk semua manusia, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): ''Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Thaghut." (Surah al-Nahl ayat 36)

Pemahaman ini tidak boleh disamakan dengan konsep dialog yang difahami oleh sesetengah pihak sebagai kaedah menentukan agama mana yang paling baik dan benar.

Kalau agama difahami secara konkrit, bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama, yang berperanan mencari titik persefahaman kerana hakikatnya setiap agama itu mengajar manusia untuk melakukan kebaikan.

Islam-Kristian harus hidup sebagai satu masyarakat dan masing-masing berhak mengamalkan kebebasan sosial dan agama mereka sendiri.

Al-Quran mengajarkan bahawa umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci (ahli kitab). Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri di antara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus (benar) dan ada yang tidak. Daripada mereka ada memusuhi kaum beriman, tetapi ada juga yang menunjukkan sikap persahabatan yang tulus.

Kepelbagaian merupakan sesuatu yang benar, kerana Allah mencipta manusia berlainan keturunan, kaum, sifat fizikal dan psikologi. Allah sebenarnya mengharapkan manusia saling berkenalan, bekerjasama dan saling memahami dalam urusan kemasyarakatan dan bernegara.



Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Malaysia Online Rencana 20140117

Sampai bila harus berlembut

"KITA telah berlembut dan berdiplomasi terlalu lama terhadap mereka, kita tidak boleh begitu kerana perkara tersebut melibatkan kesucian umat Islam, kesucian Allah dan melibatkan Perlembagaan."

Itulah peringatan yang diberikan oleh penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias ketika menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam yang begitu hangat diperkatakan di Selangor.

Sememangnya bukan sahaja dalam isu kalimah Allah bahkan dalam banyak isu sebelum ini, orang Melayu dan umat Islam dilihat terlalu berlembut dengan pihak-pihak tertentu yang semakin 'naik tocang' dalam mengetengahkan atau memperjuangkan agenda mereka.

Ingatlah kembali, satu ketika dahulu tiada siapa yang berani mengganggu hal-hal berkaitan orang Melayu dan melakukan tindakan yang boleh menyinggung umat Islam. Mereka memahami jika dua perkara ini disentuh, orang Melayu dan umat Islam akan bersatu bangkit menentang mereka.

Tetapi sekarang situasinya sudah berbeza. Toleransi berlebihan dan pendekatan untuk menjaga hati kelompok tertentu telah memungkinkan orang Melayu dilihat semakin lemah. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila orang Melayu terus berpecah belah biarpun mereka mengadap kiblat yang sama dan Allah yang satu.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 bermaksud:

''Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah kamu akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya, kamu menjadi bersaudara.

Nikmat Allah SWT yang besar adalah persaudaraan setelah diliputi permusuhan.

Tetapi kajilah apa yang berlaku sekarang, umat Islam tidak bersatu hati, kita berpecah belah dan tidak tegas dalam berhadapan dengan isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama. Dalam isu mempertahankan kalimah Allah contohnya, tiada kesepakatan yang dicapai, ada umat Islam yang tegas menentang penggunaan kalimah suci itu oleh bukan Islam dan ada pula yang menganggap apa salahnya bukan Islam menggunakan kalimah tersebut.

Lebih mendukacitakan apabila ketegasan pihak jabatan agama Islam demi mempertahankan kesucian Islam diperlekehkan sehingga ia mewujudkan keberanian daripada kalangan bukan Islam untuk turut sama mengecam institusi tersebut yang dalam apa keadaan sekali pun harus dipertahankan oleh umat Islam. Kenapa ini terjadi?

Segalanya kerana kita sudah terlalu banyak berlembut, bertolak ansur dan ada antara kita lebih meletakkan kepentingan duniawi iaitu merebut politik kekuasaan mengatasi segala-galanya.

Bayangkanlah, tidak pernah berlaku sebelum ini mana-mana pihak memperlekehkan enakmen agama Islam, tidak pernah terjadi titah Sultan berkaitan Islam dipinggirkan tetapi sekarang situasi itu sudah berlaku. Walaupun mereka mengetahui perbuatan mereka itu akan membangkitkan perasaan marah umat Islam namun tidak ada perasaan gerun pun pada hati mereka.

Oleh itu persoalannya sampai bilakah kita harus berlembut? Kita bukannya mahu tindakan diambil di luar batas-batas undang-undang tetapi berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. Apa istimewanya puak-puak ini sehingga terlalu sukar tindakan diambil ke atas mereka?

Dalam masa sama, umat Islam sendiri tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka perlu mengerti apa yang berlaku sekarang adalah agenda tersirat pihak-pihak tertentu bagi melaksanakan agenda mereka yang lebih besar.

Kegagalan umat Islam untuk bersatu dan berpegang teguh kepada persaudaraan Islam serta semakin rapuh semangat penyatuan hati bagi mempertahankan kesucian Islam telah memungkinkan pihak-pihak tertentu semakin hilang rasa hormat dan gerun mereka kepada umat Islam di negara ini.

Atas sebab itulah, umat Islam perlu kembali bersatu dan jangan membiarkan isu-isu lain khususnya kenaikan kos sara hidup menutupi kebiadaban pihak-pihak tertentu mengganggu dan menggugat Islam. Jangan membuat hujah dangkal dan jahil kononnya isu kalimah Allah adalah usaha kerajaan untuk mengalihkan isu kenaikan harga barang dan sebagainya.

Sebaliknya fahamilah kedudukan umat Islam dan agama Islam kini semakin tergugat, digugat dan ada pihak yang mahu menggugat. Jika umat Islam terus tidak memahami bahaya ini, ia sudah pasti akan mengundang mala petaka kepada mereka sekali gus bakal menyaksikan orang Melayu dan umat Islam tidak lagi dihormati.

Apa yang diperkatakan di sini, bukanlah bertujuan mewujudkan permusuhan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini, tetapi sekadar ingin mengingatkan bahawa sudah sampainya sikap berlembut yang selama ini ditunjukkan perlu ditamatkan disusuli dengan tindakan tegas.

Langkah itu penting bagi memastikan kedudukan orang Melayu dan kesucian Islam terpelihara. Kita tidak boleh membiarkan dari semasa ke semasa ada sahaja isu yang dibangkitkan bagi memancing kemarahan dan mencabar kesabaran umat Islam. Semua rakyat Malaysia ingin hidup bersatu padu dan sentiasa mengamalkan sikap toleransi dalam beragama.

Tetapi malangnya, ada pihak yang cuba menunjukkan sikap keras kepala mereka, sengaja menyentuh perkara tidak sepatutnya dan melakukan tindakan yang menyinggung perasaan umat Islam.

Dalam keadaan apa sekali pun, umat Islam tidak harus berpecah belah kerana ia akan melemahkan mereka. Rasulullah SAW memberikan peringatan melalui sabda baginda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah reda atas kamu kerana tiga perkara dan benci atas kamu juga kerana tiga perkara; pertama, Allah reda atas kamu jika kamu menyembah-Nya dan tidak menyekutukan Allah dengan sesiapapun. Kedua, berpegang teguh pada tali (agama) Allah dan tidak bercerai berai. Ketiga, saling menasihati dan saling memperbaiki atas apa yang diperintahkan Allah SWT.

Dan Allah membencimu atas tiga perkara; pertama, saling berbalah. Kedua, banyak bertanya dan ketiga, mengia-iakan harta.

Saidina Ali pernah berkata bahawa: "Sesunggguhnya Allah SWT tidak memberi kebaikan sedikit pun kepada seseorang kerana berpecah belah; tidak orang-orang terdahulu, tidak juga nanti."

Jika pesanan-pesanan ini mahu dikaji dan diteliti, itulah yang berlaku kepada umat Islam di negara kita sekarang. Perbezaan politik seolah-olah menjadi tembok penghalang yang terlalu kukuh untuk ditembusi. Ada sahaja hujah yang kita zahirkan apabila tercetus sesuatu isu sehingga memungkin umat Islam dilihat tidak bersatu padu.

Keadaan inilah yang memungkinkan, puak-puak tertentu tidak mempunyai perasaan bimbang atau takut untuk membangkitkan isu yang memacu kemarahan umat Islam. Mereka tahu apa yang dilakukan akan membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan umat Islam, tetapi apakah peduli? Adakah mereka bimbang? Apakah mereka takut?

Sudah pasti tidak, sebaliknya apa yang kita saksikan, mereka bertegas dengan meneruskan agenda agama dan kaum mereka tanpa mempedulikan akibat tindakan itu.

Justeru sebelum terlambat, sebelum umat Islam terus diperlekehkan, sebelum orang Melayu merempat di tanah air sendiri dan dilihat bagaikan buih-buih di lautan, banyak tetapi tidak bermanfaat maka bersatulah dalam mempertahankan kepentingan orang Melayu dan kesucian Islam.

Ingatlah kalaulah dalam soal kalimah Allah pun kita tidak mampu bersatu untuk mempertahankannya, percayalah banyak lagi perkara yang akan mereka bangkitkan apatah lagi jika kuasa politik sudah berada dalam tangan mereka.



Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Online Rencana 20140117