January 18th, 2014

Rasulullah rahmat sekalian alam

ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, penulis ingin mengemukakan isu berkaitan Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada sekalian alam. Begitu juga dengan beberapa kelebihan yang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’: 107)

Sayyid Quthub berkata: "Allah SWT telah mengutuskan rasul-Nya sebagai rahmat kepada seluruh manusia agar beliau memimpin mereka ke jalan hidayah. Dan tiada yang menerima hidayah itu melainkan golongan manusia yang mempunyai kesediaan untuk menerimanya walaupun rahmat itu merangkumi orang yang beriman dan mereka yang tidak beriman.

Sistem hidup yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah satu sistem yang dapat membahagiakan seluruh umat manusia dan dapat membawa mereka kepada taraf kesempurnaan yang ditetapkan untuk mereka di dalam hidup ini.


MAKAM Rasulullah SAW tidak pernah susut daripada kunjungan umat Islam dari seluruh pelosok dunia

Risalah ini telah datang kepada umat manusia ketika mencapai usia kedewasaan dan kematangan akal. Ia datang selaku sebuah kitab yang terbuka kepada akal generasi manusia yang akan datang, iaitu sebuah kitab yang mengandungi dasar-dasar hidup manusia yang tidak berubah dan bersedia untuk memenuhi keperluan-keperluan mereka yang sentiasa membaharu dan hanya Allah Mengetahuinya selaku Pencipta manusia.

Allah lah Yang Maha Mengetahui dengan kehendak-kehendak keperluan mereka yang telah diciptakan-Nya dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Halus Pentadbiran-Nya dan Maha Mendalam Ilmu-Nya.

Risalah Muhammad SAW telah menjadi rahmat kepada kaumnya dan rahmat kepada seluruh umat manusia selepas beliau. Dasar-dasar yang dibawa beliau pada mulanya kelihatan aneh dan ganjil pada pandangan hati manusia kerana wujudnya jurang yang jauh di antara realiti hidup di alam kenyataan dan realiti hidup rohaniyah.

Dr. ‘Aid al-Qarni dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya:

* Baginda SAW merupakan seorang manusia utusan Allah.

* Baginda SAW datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.

* Baginda SAW datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain.

Baginda SAW membina satu tamadun baharu di antara sekian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.

* Rasulullah SAW telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi seluruh pelusuk bumi.

Lantaran itu, dengan mengkaji sirah Rasulullah SAW secara mendalam dan teliti, disulami rujukan yang muktabar sudah pasti kita akan menemui banyak natijah yang baik, yang membawa dan memimpin kita ke arah lebih maju dan selari mengikut syariat Allah SWT. Ini membawa kepada pencapaian kebahagiaan dunia serta akhirat hingga ke puncaknya.

Pada ketika itulah kita akan merasa kemanisan iman dan sa’adah abadiyah sesuai dengan matlamat hidup ini sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Diharap semoga kita memahami sirah kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan menambahkan lagi rasa cinta dan kasih-sayang kepadanya. Semoga Allah SWT menempatkan kita bersama baginda pada Hari Akhirat kelak. Amin.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140117

Sejarah zakat pendapatan

USTAZ, saya ingin tahu mengenai sejarah zakat pendapatan. Ini kerana, ada ulama yang menyatakan ia tidak ada dalam kitab-kitab ulama muktabar termasuklah di sisi Mazhab Syafie sendiri. Mohon diperjelaskan, terima kasih.

Jawapan:

Hakikatnya, zakat pendapatan dikira masih baharu di Malaysia. Umumnya di dalam subjek fikah yang diajarkan di dalam kurikulum pendidikan sekolah, tidak dimasukkan zakat pendapatan sebagai satu daripada kewajipan. Natijahnya, umat Islam hanya terdedah kepada beberapa jenis harta zakat, misalnya emas, perak, pertanian dan penternakan.

Begitu pun, waktu beranjak dan kini, zakat pendapatan sudah menjadi topik utama dalam diskusi ummah. Jawapan ini cuba menjelaskan sejarahnya secara ringkas mengenai zakat pendapatan atau disebut juga oleh sesetengah pihak sebagai zakat perolehan.

Para ulama fikah yang cenderung kepada zakat pendapatan, menyandarkan ijtihad mereka kepada beberapa dalil umum di dalam al-Quran yang menjadi sandaran kepada zakat pendapatan.

Antaranya: Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. (al-Baqarah: 267)

Prof. Dr Yusuf al-Qardawi menjelaskan, maksud ‘hasil usaha kamu yang baik-baik’ itu adalah hasil pendapatan daripada pekerjaan yang baik dan halal dan ia melayakkan kepada zakat pendapatan.

Para ulama juga merekodkan, bahawa ada hadis Nabi Muhammad SAW yang secara jelas memperincikan aspek sedekah dan infak yang dikaitkan dengan pekerjaan, misalnya: Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah. Para sahabat bertanya: Jika tidak mampu ya Rasulullah? Baginda menyatakan: Maka hendaklah dia berusaha sendiri (bekerja dengan tangannya) yang dapat memberi faedah kepada dirinya dan dengan yang demikian dia dapat bersedekah. Mereka bertanya lagi: Jika dia masih tidak sanggup (tidak mampu bekerja)? Jawab Nabi: Maka hendaklah dia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan. Tanya sahabat lagi: Jika sekiranya dia tidak dapat berbuat demikian? Jawab Nabi: Maka hendakah dia (mengerjakan kebaikan dan) menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika dia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah dia menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah juga dianggap sedekah. (riwayat Bukhari)

Zakat madu

Pada zaman Nabi SAW, hanya ada beberapa jenis harta yang direkodkan di dalam hadis yang dikenakan zakat. Antaranya zakat ke atas ternakan, hasil pertanian, emas dan perak (dalam tiga bentuk, dinar dan dirham sebagai matawang, dalam bentuk perhiasan dan juga peralatan) dan juga harta galian (sama ada rikaz atau kunuz).

Namun, ada catatan yang menarik di dalam hadis Nabi SAW, iaitu sebelum wafat Nabi SAW ada mewasiatkan kepada Abu Bakar r.a supaya mengutip zakat madu. Zakat ke atas madu adalah sesuatu yang baharu dan ia memberikan suatu isyarat kepada umat Islam, bahawa harta zakat sebenarnya mempunyai potensi dan kecenderungan untuk dikembangkan.

Manakala daripada aspek haul, dicatatkan Abbas bin Abdul Mutallib r.a telah bertanya tentang haul zakat tamar (tamar adalah zakat pertanian dan haulnya adalah semasa ia dituai). Maka, Nabi memberikan keizinan kepadanya untuk menunaikan zakatnya lebih awal dari masa penuaian hasil tamar.

Hadis ini juga memberikan isyarat kepada kita, bahawa sahabat yang memperoleh hasil daripada pertaniannya (tamar), maka dia tidak perlu menunggu setahun atau menunggu saat tamar dituai untuk berzakat, sebaliknya diharuskan mengeluarkan zakatnya terlebih dahulu daripada haulnya.

Samalah seperti zakat pendapatan yang mana, kita diharuskan mengeluarkan dahulu daripada menunggu setahun atau dikeluarkan tepat semasa pendapatan (seperti gaji) itu diperoleh. Hal ini dirujuk kepada firman Allah: Dan tunaikanlah haknya (berzakat) pada hari memetik hasilnya. (al-An’am: 141)

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang kemusykilan sila e-melkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau jika perlukan informasi dan jawapan lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.cmy dan facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140117

Harmonikan pendapat berbeza

WUJUD perbezaan pendapat di kalangan masyarakat Islam termasuk guru-guru agama dan para ustaz tentang sambutan Maulid Nabi. Perbezaan pendapat ini sehingga membawa kepada tuduhan-tuduhan yang agak liar. Bagaimana sewajarnya kita membuat penilaian dan pertimbangan dalam isu ini?

Jawapan

Sememangnya perlu diakui bahawa wujud perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat Islam tentang majlis sambutan Maulidur Rasul. Sambutan maulid ini banyak diadakan, khususnya pada bulan Rabiulawal ini, banyak majlis maulid diadakan.

Perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam isu majlis sambutan Maulidur Rasul tidak mengapa dan bukanlah isu besar. Para ulama termasuk ulama silam sentiasa berbeza pendapat. Ini kerana kefahaman yang berbeza terhadap nas-nas syarak dan dalil-dalil syarak. Maka selagi mana isu majlis maulid ini masih dalam daerah perbezaan pendapat yang meraikan adab dan etika perbezaan pendapat, maka ia sesuatu yang harmoni.

Harmonikan pendapat berbeza



MAULIDUR Rasul seringkali disambut dengan perarakan dan berselawat. - Gambar hiasan

Sedihnya, hal ini bukan sekadar perbezaan pendapat, tetapi ada masanya ke tahap tuduh-menuduh.

Pelaku bidaah

Bagi yang tidak mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul, ada pihak tertentu menuduh golongan yang membuat majlis ini sebagai pelaku bidaah. Ini kerana majlis sambutan Maulidur Rasul tidak dibuat oleh Nabi SAW dan begitu juga para Sahabat r.hm.

Sebaliknya majlis maulid ini dimulakan pada zaman yang kemudian selepas tahun 300 hijrah. Dikatakan orang yang pertama melakukannya ialah Raja Muzaffar, penguasa Irbil. Apa yang penting, majlis maulid tidak dibuat pada zaman Nabi dan zaman para Sahabat Nabi. Maka majlis ini dihukum sebagai bidaah. Pelaku bidaah pula dihukum sebagai sesat. Apabila sesat maka ia akan dimasukkan ke dalam neraka. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan berada di dalam neraka.”

Sifir mudahnya adalah azab neraka bagi sesiapa yang melakukan sambutan maulid.

Manakala dalam golongan yang mengadakan majlis Maulidur Rasul, ada pihak tertentu yang menuduh golongan yang tidak mengadakan majlis ini sebagai golongan yang tidak mahu berselawat kepada Nabi SAW. Ini kerana majlis maulid banyak mengandungi selawat.

Menentang selawat

Maka jika majlis maulid ditentang bermakna menentang selawat kepada Nabi SAW. Begitu juga ada juga yang membuat tuduhan bahawa golongan yang tidak mengadakan majlis sebagai golongan yang tidak begitu kasih kepada Nabi SAW. Orang yang tidak begitu kasih kepada Nabi adalah golongan yang tidak sempurna imannya.

Pertelingkahan ini makin membesar dengan wujudnya pendokong-pendokong kepada manhaj dan fahaman mereka. Alangkah sedihnya melihat umat Islam yang sentiasa bersemangat untuk bergaduh dan bertelingkah. Sepatutnya kita bersemangat untuk bersatu, hidup dengan harmoni dan berdakwah terhadap masyarakat bukan Muslim kepada Islam dan masyarakat Muslim untuk lebih mengamalkan Islam.

Saya tidak mahu dan tidak mampu membahaskan dalil-dalil setiap pihak. Sudah tentu setiap pihak menilai dalil-dalil mereka sebagai dalil yang paling kuat. Maka pendapat mereka adalah pendapat yang benar atau paling benar. Justeru itu, dalil pihak lawan pula dianggap sebagai dalil yang lemah.

Sebaliknya dalam isu ini, saya ingin mengajak umat Islam untuk kembali kepada perkara yang lebih besar. Oleh itu, isu ini sewajarnya dikembalikan kepada dua isu pokok iaitu:

i) Kasih kepada Nabi SAW. Baginda menegaskan bahawa keimanan seseorang tidak sempurna tanpa perasaan kasih kepada Nabi. Ini dirakamkan dalam satu sabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu hingga daku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan seluruh manusia.”

ii) Isu kedua ialah mengikuti Nabi SAW. (rujuk ali Imran: 31)

Dua perkara ini adalah asas utama. Kasih kepada Nabi SAW merupakan pecahan daripada keimanan kepada baginda. Kasih kepada Nabi SAW juga resepi untuk merasai kemanisan iman. Insan yang kasih kepada Nabi SAW akan bersama dengan manusia yang ia kasihi di akhirat nanti. Manakala kasih ini dizahirkan dengan mengikuti Nabi SAW.

Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140117

Bahaya budaya bodek

BUDAYA bodek atau pengampu berlaku tanpa mengira sempadan masa atau tempat. Ia akan terus berakar umbi dan membiak, selagi ada faedah yang boleh diperoleh walaupun bertentangan dengan nilai adat dan agama.

Walaupun pada hakikatnya, ramai yang membenci budaya bodek itu kerana akan meninggal kesan negatif, sama ada kepada pembodek, orang yang kena bodek dan juga mangsanya.

Tetapi manusia secara lumrahnya, tidak akan pernah puas dengan apa yang diperoleh dan lebih cenderung kepada sikap tamak.


Oleh itu, bagi menangani budaya tersebut, sama ada dalam institusi keluarga atau organisasi, buku Pembodek Parasit Dalam Organisasi oleh Ahmad Faisol Omar, mungkin boleh menjadi panduan atau pedoman.

Sesuai dengan matlamat buku itu yang bertujuan untuk berdakwah, penulis mengemukakan pelbagai nasihat dan motivasi berteraskan ayat al-Quran, hadis, kata-kata sahabat r.a dan ulama berhubung budaya bodek tersebut.

Penulis turut menyatakan secara khusus derita angkara budaya bodek dan atas sebab itulah, penulis menyifatkan pembodek dan mereka yang kena bodek adalah kelompok manusia yang mempunyai masalah akhlak.

Pada masa sama, penulis melahirkan rasa cukup simpati kepada mangsa budaya bodek itu, serta menyarankan agar mereka bersabar dan anggaplah ia sebagai dugaan Allah SWT.


Lebih menarik, penulisnya telah mengetengahkan satu tajuk khusus iaitu Naik Pangkat, supaya pembaca dapat mengetahui cara untuk naik pangkat yang menepati nilai-nilai Islam.

Penulis menegaskan: "Sekiranya anda bukan pembodek, maka janganlah cuba-cuba membodek. Jika anda sebagai bos yang telah termakan bodek, maka perbaikilah kesilapan."



HASHNAN ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140117