January 21st, 2014

Tindakan tegas tuntutan maqasid syariah

KEDEGILAN Pengarang The Herald, Lawrence Andrew yang berkeras mahukan semua gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya benar-benar mengundang kemarahan umat Islam negara ini.

Ekoran daripada kenyataannya yang cukup kontroversi itu, pelbagai pihak sama ada individu, para ulama, cendekiawan Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Andrew ditahan dan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang negara.

Desakan mereka cukup berasas dan seharusnya diberikan perhatian sepenuhnya oleh pihak kerajaan berdasarkan kepada kenyataan Andrew yang jelas melanggar undang-undang negara kerana menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Paling penting, langkah tersebut termaktub di dalam salah satu daripada lima maqasid syariah iaitu memelihara agama dan itu merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh kerajaan demi menjaga kesucian Islam daripada dipermain-mainkan oleh pihak lain.


Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
(Muafakat), Ismail Mina Ahmad

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

Selain itu, kenyataan Andrew itu juga jelas bertentangan dengan kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah menitahkan semua rakyat khasnya di negeri Selangor tanpa mengira kaum dan latar belakang agama akur serta patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di dalam istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 di Istana Anak Bukit semalam turut bertitah, kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan penggunaannya dilarang dalam kalangan penganut agama lain.

Seri Paduka bertitah, ketetapan itu sudah jelas dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 dan perlu dihormati.

Sementara itu beratus-ratus laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak bagi membolehkan Andrew segera dihadapkan ke muka pengadilan atas tindakannya mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Walau bagaimanapun timbul persoalan, mengapa sehingga ke saat ini Andrew masih bebas tanpa dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa?

Sehingga kini umat Islam di Malaysia terus tertanya-tanya mengenai status Andrew kerana langsung tidak kedengaran sebarang berita berhubung tindakan undang-undang yang sepatutnya diambil oleh pihak berkuasa terhadap Andrew.

GENTAR

Ismail Mina ketika ditanya lebih lanjut mengenainya berkata, jika kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan akan wujud 10 atau mungkin 100 lagi orang seperti Andrew yang sewenang-wenangnya menyentuh sensitiviti umat Islam.

Kelompok ini kata Ismail Mina akan melakukan perbuatan seperti dilakukan oleh Andrew tanpa rasa gentar dan takut walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas mereka.

''Mereka tahu kita ada undang-undang tetapi ia tidak mendatangkan rasa gentar kerana mereka tahu yang pihak berkuasa tidak berani untuk mengambil tindakan atas perbuatan tersebut (menyentuh sensitiviti umat Islam)," ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2014 di Putrajaya pada 11 Januari lalu, menyatakan pihaknya masih meneliti kertas siasatan berhubung kenyataan Andrew itu dan belum membuat keputusan sama ada akan meneruskan kes tersebut ke mahkamah atau sebaliknya.

Ismail Mina berkata, dalam situasi sekarang kerajaan wajib menahan Andrew kerana jelas perbuatannya itu melanggar undang-undang negara selain dapat meredakan kemarahan umat Islam.

''Perbuatan Andrew ini juga amat berbahaya dalam konteks ketegangan agama yang mana jika dia tidak dikenakan tindakan undang-undang dikhuatiri umat Islam akan bangkit menunjukkan kekecewaan mereka.

''Kita tidak mahu perkara ini berlaku kerana kesannya amat buruk kepada keamanan negara," katanya sambil merujuk umat Islam di Malaysia masih mempunyai sifat sabar yang cukup tinggi.

Hakikatnya Ismail Mina berkata, kenyataan Andrew itu boleh disifatkan sebagai percikan awal ke arah berlakunya ketegangan antara agama dan berpunca daripada perbuatannya yang tidak menghormati kalimah suci Allah.

Dalam pada itu pelbagai telahan dan andaian dibuat ekoran kenyataan yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Salah satunya ada pihak yang berpandangan Andrew mahu menarik perhatian dunia di sebalik tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang mahukan kerajaan Malaysia akur dengan amalan hak asasi termasuk isu-isu berkaitan dengan agama.

SENGAJA

Perkara itu telah dibangkitkan oleh Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) ke Geneva, Azril Mohd. Amin yang juga seorang peguam dalam satu kenyataannya sebelum ini.

Menurut pendapat Azril, isu itu sengaja ditimbulkan oleh Andrew di saat tuntutan itu masih berjalan.

''Pada 24 Mac ini kita akan mengemukakan hujah terakhir berkenaan tuntutan yang dibuat oleh Comango dan kami melihat isu ini sengaja ditimbulkan Andrew supaya ia dijadikan isu hak asasi manusia dan membuka ruang untuk Malaysia didesak menerima syor ini," ujarnya.

Jika itu berlaku katanya, kerajaan Maaysia perlu mengubah segala undang-undang berkaitan hak eksklusif umat Islam dan penganut agama lain seperti Kristian boleh menggunakan kalimah Allah.

Comango dalam laporannya untuk sesi Semakan Berpenggal Sejagat (UPR) menuntut Malaysia menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang terkandung di dalamnya Perkara 18 iaitu berhubung hak kebebasan beragama dan implikasinya boleh membawa kepada pemurtadan berlaku secara berleluasa.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang merupakan individu yang begitu kuat mempertahankan kesucian kalimah Allah turut menegaskan kalimah suci itu hanya untuk umat Islam sahaja.

Dalam satu ulasannya mengenai isu tersebut ketika beliau mengerjakan haji pada Oktober tahun lalu dengan tegas menyatakan kalimah suci Allah hanya eksklusif untuk Islam manakala agama-agama lain tidak dibenarkan sama sekali menggunakannya.

Haron berkata, semua pihak wajib faham iaitu kalimah Allah sebenarnya merujuk kepada Tuhan Yang Esa atau Tuhan Yang Tunggal seperti mana disebut oleh Allah di dalam surah al-Ikhlas dan bukannya tuhan yang berbilang-bilang seperti mana kepercayaan agama Kristian.

Haron berkata, di dalam surah al-Ikhlas diterangkan sepenuhnya mengenai Allah iaitu Allah Yang Esa, Allah yang tiada anak dan tiada bapa, Allah yang tiada sekutu (penolong, pembantu atau pelengkap) dan Allah Maha Sempurna.

Katanya, surah al-Kafirun juga menyebut tentang keesaan Allah dan antara intipati kandungan surah tersebut adalah kewajipan menyembah Allah Yang Esa.



SAIFULIZAM MOHAMAD pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Rencana 20140121

Ke mana semangat tolak ansur?

Semua pihak wajar ambil iktibar daripada insiden seorang guru mualaf yang diminta membuka tudungnya baru-baru ini. Walaupun insiden itu dianggap selesai apabila Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya dan guru besarnya telah memohon maaf secara terbuka kepada guru tersebut namun kesan daripada insiden ini dilihat cukup besar dan amat berbahaya terutamanya kepada aspek hubungan kaum di negara kita.

Sewajarnya insiden seperti tidak boleh berlaku kerana masyarakat majmuk kita memang terkenal dengan budaya tolak ansur dan saling memahami ajaran dan amalan semua kaum dan agama di negara ini. Justeru kita agak terkejut bagaimana kes seperti ini masih boleh berlaku di negara kita.

Mana hilangnya semangat setiakawan dan muhibah yang kita pegang kuat selama ini? Kenapa tidak sedar bahawa ianya merupakan isu sensitif dan boleh meruntuhkan jambatan perpaduan yang telah kita bina sekian lama. Dan kenapa kita begitu mudah lupa bahawa semangat tolak ansur dan berkorbanlah telah menjadi tunjang kepada pencapaian kemerdekaan kita dan kejayaan negara kita sekian lama.

Ingat, jangan kita sesekali lupa segala pengorbanan dan jasa generasi terdahulu kerana apa yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil sumbangan dan pengorbanan mereka. Justeru jangan kita khianati nenek moyang kita yang berharap kita akan memelihara dan menjaga apa yang telah mereka wariskan dan wasiatkan kepada kita. Tergamak kah kita menghancurkan harapan mereka?

Cukup-cukuplah isu agama dijadikan polemik yang boleh menghancurkan keharmonian hubungan kaum dalam kalangan masyarakat kita. Jangan politik kan semua perkara. Ini bukan soal main-main. Apakah kita mahu peristiwa 13 Mei berulang?

Justeru besarlah harapan kita agar semua pihak lebih peka, berhati-hati dan sensitif dengan isu-isu seperti ini. Diharap insiden seperti ini tidak lagi berulang. Hakikatnya, negara dan masyarakat kita tidak mampu untuk berhadapan dengan satu lagi krisis dan konflik perkauman. Kita perlu segera pulih dan mantapkan hubungan perkauman agar bersama-sama berkerjasama menuju impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh enam tahun yang akan datang.

Mutakhir ini terlalu banyak isu sensitif ditonjolkan seolah-olah hubungan kaum semakin rapuh. Marilah kita ambil iktibar daripada peristiwa ini dan memasang tekad untuk lebih peka dan sensitif seterusnya membetulkan keadaan ini.



NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED Serdang, Selangor Utusan Malaysia Forum 20140121

Imarah Rabiulawal tiup semangat cinta Rasulullah

Ibnu Kathir dalam kitab ‘al-Bidayah wa an-Nihayah’ menceritakan mengenai sahabat Rasulullah SAW, Zaid bin Datsinah yang menjadi tawanan dan hendak dibunuh. Sebelum dibunuh, ketua kafir Quraish, Abu Sufyan bin Harb , memberi tawaran kepadanya.

Katanya, “Wahai Zaid, jika kamu mahu terlepas daripada pembunuhan ini, kamu gantikan dengan Muhammad, kamu akan terselamat dan boleh kembali kepada keluarga kamu”.


Zaid berkata, “Demi Allah, aku tidak akan rela Muhammad jadi galang gantiku malah aku juga tidak rela Muhammad tercedera walaupun hanya tertusuk sebilah duri.”

Apabila mendengar jawapan Zaid, Abu Sufyan berkata, “Aku tidak pernah menjumpai seseorang yang mencintai orang lain, seperti cintanya sahabat Muhammad terhadap Muhammad.”

Kisah ini adalah bukti keagungan Muhammad SAW serta tingginya kasih sayang dan cinta sahabat terhadap Baginda.

Hubungan rapat antara Nabi Muhammad SAW dan sahabat menjadikan cinta dan kasih sayang mereka amat besar.

Sambutan Maulidur Rasul


Kini kecintaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW ditunjukkan melalui pelbagai cara termasuk sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan baru-baru ini dan masih diraikan sepanjang Rabiulawal.

Amalan mudah dianjurkan untuk mengeratkan hubungan dengan Baginda SAW ialah berselawat kepadanya kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”. (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kali umatku mengirim salam kepadaku, setelah aku tiada, Jibril menyampaikannya kepadaku laluku jawab ‘Waalaihi salam’, semoga keselamatan dan kesejahteraan Allah kepadanya”.

Perasaan kasih kepada junjungan Nabi Muhammad SAW turut dipelbagaikan melalui penganjuran majlis zikir yang tidak dinafikan mendapat sambutan baik daripada umat Islam pelbagai lapisan umur serta latar belakang.

Pada masa sama, program dianjurkan mengambil pendekatan saling mengingatkan umat Islam pentingnya berpegang kepada ajaran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Semoga peringatan itu menyemarakkan semangat kita untuk mencontohi Baginda dalam setiap aspek kehidupan.

Bangkit semangat umat Islam

Sambutan Maulidur Rasul bertujuan membangkitkan semangat umat Islam dianjurkan pada zaman Salahuddin al-Ayubi ketika umat Islam berjuang mempertahankan Islam daripada serangan tentera salib.

Salahuddin al-Ayubi telah mengeluarkan arahan menganjurkan majlis memperingati kelahiran Nabi Muhammad bermula tahun 580 Hijrah atau 1184 Masihi pada setiap 12 Rabiul.

Awalnya cadangan Salahuddin itu ditentang oleh ulama.

Antara program dilaksanakan Salahuddin adalah pertandingan penulisan riwayat Nabi berserta pujian menggunakan bahasa yang indah. Pemenang pertandingan itu ialah Syeikh Jaafar al Barzanji, dan karyanya dikenali sebagai kitab al-Barzanji.

Kitab itu terkenal di nusantara dan sering dibaca serta diperdengarkan dalam majlis keagamaan khususnya sambutan Maulidur Rasul.

Ternyata usaha Salahuddin itu mempunyai kesan besar terhadap umat Islam ketika itu dan pada 1187 Masihi (583 Hijrah), Salahuddin dan tentera Islam berjaya merampas semula Baitulmaqdis dari bangsa Eropah.

Semangat kecintaan dan kebangkitan Islam seperti inilah yang dapat dijadikan inspirasi kepada pendakwah untuk terus melakukan inovasi dan transformasi dalam dunia dakwah.

Kita perlu terus bergerak ke depan untuk membina pemahaman dan penghayatan agama dalam erti kata yang luas serta menghayati budaya ilmu dalam kehidupan. Demi mendepani cabaran Islam masa kini, kita perlu terus melahirkan lebih ramai Zaid bin Datsinah yang mencintai Rasulullah SAW.

Justeru, mengimarahkan Rabiulawal dengan program menjurus kepada semangat serta perasaan cinta Rasulullah SAW dilihat sebagai usaha murni yang perlu diberi sokongan supaya rasa kasih sayang kepada Baginda disemai secara berterusan.


Berita Harian Online Agama 2014/01/21 - 19:06:40 PM Dr Burhanuddin Jalal

Tabur fitnah tanda 'sakit jiwa'

Sindiran terhadap pemimpin bagai kutip dosa percuma


Sejak kebelakangan ini dunia maya khususnya laman sosial dihujani gejala negatif yang jelas bertentangan etika Islam. Betapa mudah pengguna laman sosial menghamburkan emosi untuk memarahi individu lain melalui tulisan yang sangat rendah moralnya.


Kononnya atas dasar kebebasan bersuara melalui media, maka apa saja ditulis dan dirakamkan demi melunaskan emosi hati. Maka tidak hairanlah sekarang ini laman sosial sudah tidak lagi jernih dan suci sifatnya lantaran segelintir pengguna berjiwa kotor.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang menyembunyikan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahannya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Muslim)

Antara sering menjadi mangsa untuk ditabur fitnah dan tohmahan melulu ialah pemimpin. Apa saja terbuku di hati diluahkan melalui laman sosial tanpa sedikitpun berasa berdosa. Tulisan yang dipapar di skrin laman sosial berbentuk kata-kata sindiran, kutukan malah hinaan bertentangan tatasusila kehidupan bersosial ditetapkan Islam.

Mengapakah kita sanggup ‘mengutip’ dosa secara percuma sedangkan kita sedia mengetahui apa yang dilakukan ada pencatat yang tidak pernah cuai daripada tugasan diamanahkan Allah SWT kepadanya, iaitu malaikat pencatat amal manusia.

Jiwa tak takut Tuhan

Inilah akibat apabila jiwa tiada rasa takut terhadap Tuhan dan langsung tiada rasa adanya malaikat mencatat amal. Laman sosial kini menjadi medan untuk menayangkan apa juga keaiban seseorang termasuklah pemimpin negara.
Islam menganjurkan kita berusaha menutup sebarang keaiban insan lain. Nampaknya banyak kalangan kita sudah lupa pesanan Rasulullah SAW dalam sabda baginda: “Tidak ada seorang hamba yang menyembunyikan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahannya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Muslim)

Imam Ahmad ada memberitahu, manusia sangat memerlukan kesopanan dan kelembutan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara makruf, tanpa kekerasan melainkan lelaki yang terang-terangan melakukan kefasikan serta kerosakan.

Maka wajib mencegah dan menzahirkan perbuatannya itu kerana seorang yang fasik tidak mempunyai kehormatan dan tiada maruah. Begitulah halus dan berhemahnya Islam mengajar kita supaya tidak menjadi manusia berfikiran liar dan bertindak sewenang-wenang untuk menjatuhkan imej, reputasi serta harga diri orang lain.

Begitulah juga Islam meletakkan kedudukan pemimpin di tempat yang mulia dan seharusnya setiap daripada kita memuliakannya dengan tidak sesekali menghina, mengeluarkan kata sindiran mahupun melontarkan fitnah.

Beri teguran berhemah

Pemimpin adalah manusia biasa seperti rakyat di bawah jagaannya, pasti tidak sunyi daripada silap dan salah. Islam menyusun garis panduan begitu murni dengan kaedah memberikan teguran dan nasihat berhemah secara tertutup tanpa perlu dihebahkan untuk pengetahuan khalayak awam.

Pihak yang layak memberikan teguran dan nasihat bukannya semua rakyatnya kerana hanya golongan ulama yang berwibawa perlu tampil untuk melakukan teguran itu.

Imam an-Nawawi mengatakan, menyembunyikan kesalahan yang disunatkan ialah menyembunyikan kesalahan orang kenamaan, pemimpin dan orang berjasa yang tidak masyhur dengan perbuatan jahat, kerosakan serta seumpama dengannya.

Aisyah berkata, Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Maaflah kesalahan-kesalahan orang kenamaan daripada kalangan kamu kecuali kesalahan hudud.” (Riwayat Abu Daud)

Jika dilihat senario semasa, jelaslah peringatan Rasulullah SAW ini kita abaikan dengan sewenang-wenangnya sebaliknya apa yang menjadi kegemaran jiwa adalah menuruti hawa nafsu liar yang negatif.

Sedangkan kita didik dengan etika hidup berbudaya tinggi dan akhlak peribadi yang mulia. Islam tidak pernah memberi ruang sedikitpun untuk umatnya bertatasusila buruk dalam apa juga lapangan kehidupan di dunia ini.
Hal itu sudah tentulah termasuk dalam kaedah menggunakan kemudahan laman sosial yang menjadi kegilaan manusia kini.

Melemparkan fitnah, sindiran mahupun apa saja kata-kata negatif terhadap pemimpin melalui laman sosial petanda penggunanya sedang dilanda ‘sakit jiwa’ kerana diri sudah tumpas dan terjerumus dalam kancah mungkar yang dihasut oleh syaitan.

Zahir rasa syukur

Sepatutnya kita sebagai rakyat menzahirkan rasa syukur dengan taat kepada pemerintahan negara dan sentiasa berusaha menjadikan negara aman, harmoni serta makmur. Bukannya menjadi pencetus api permusuhan dan batu api dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin.

Mukmin yang menghayati sunnah tentunya berasa berdosa apabila membuat sesuatu yang aib terhadap pemimpin sendiri. Rakyat yang bertanggungjawab akan melakukan yang terbaik untuk negara dan tidak sesekali menjadi penyebab kepada kekeruhan hubungan antara rakyat jelata dengan pemimpin.

Keadaan senang atau susah, rakyat seharusnya sentiasa bersama pemimpin selain bersedia menghulurkan idea atau sumbangan demi kelangsungan kehidupan bernegara yang harmoni dan sejahtera.


Berita Harian Online Agama 21/01/2014 Wan Mohd Ruzlan Wan Omar