January 22nd, 2014

Keutamaan ikhlas Allah melihat kepada hati

DALAM menjalani kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan dugaan, sifat ikhlas sangat penting dipraktikkan. Sifat ikhlas mestilah datang dari hati dan jiwa yang mementingkan kualiti kehidupan yang ditempuh.

Sifat ikhlas juga ada kaitannya dengan harga diri, bertanggungjawab, amanah, toleransi, kerajinan dan kasih sayang. Perkaitan sifat dan nilai murni ini sangat rapat dalam melaksanakan ibadah dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Sebagai contoh, ikhlas dan kasih sayang terhadap anak dan keluarga, ikhlas terhadap anggota keluarga yang terdekat, mengekalkan tradisi kekeluargaan dan melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Di samping itu, sifat ikhlas juga dapat dipraktikkan dalam menyayangi dan menghargai alam sekitar, peka terhadap isu-isu alam sekitar, ikhlas cintakan negara, sanggup berkorban demi negara. Begitu juga dalam kehidupan, seperti ikhlas dalam melindungi hak kanak-kanak, menghormati hak wanita, menghormati hak golongan kurang upaya dan bekerjasama dalam masyarakat.

Nabi SAW menjelaskan dalam sabdanya: Agama ialah keikhlasan (kesetiaan). Kami lalu bertanya, “Kesetiaan kepada siapa, ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, Kepada Allah, kepada kitab-Nya (al-Quran), kepada rasul-Nya, kepada penguasa Muslimin dan kepada rakyat awam. (riwayat Muslim)

Perasaan jujur

Akal fikiran akan memastikan sesuatu itu dilakukan dengan ikhlas dan jujur. Perasaan jujur dan ikhlas yang terbit dari hati menjurus kepada akal fikiran mengajak melakukan apa yang dianggap baik dan menolak mengerjakan apa yang dianggap buruk iaitu berdusta dan melakukan penyelewengan.

Dalam hal ini Nabi SAW bersabda: “Barang siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan berkahwin kerana Allah, maka sempurnalah imannya.” (riwayat Abu Daud)

Justeru, apa yang dilakukan untuk mendapat keikhlasan hati mestilah dilakukan kerana Allah SWT. Akhirnya, pastilah keikhlasan itu akan mendapat balasan pahala di sisi Allah SWT di akhirat nanti. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bersabda: Barang siapa membangun sebuah masjid kerana mencari keredaan Allah, maka Allah membangunkan baginya sebuah rumah di syurga. (riwayat Muttafaq Alaihi)

Manakala dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda: “Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya, maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan).” (riwayat al-Hakim)

Berkaitan dengan melakukan sesuatu dengan rahsia. Nabi SAW bersabda: “Seorang sahabat berkata kepada Rasulullah, “Ya, Rasulullah, seorang melakukan amal (kebaikan) dengan rahsia dan apabila diketahui orang, dia juga menyukainya (merasa senang).” Rasulullah SAW berkata, “Baginya dua pahala iaitu pahala merahsiakannya dan pahala terang-terangan.” (riwayat At Tirmizi).

Oleh itu, kita digalakkan merahsiakan apa yang kita lakukan khususnya berkaitan dengan amal kebaikan dan kebajikan seperti sedekah, memberi hutang tanpa bunga kepada orang lain dan membantu seseorang dalam kesusahan.

Sifat ikhlas juga sebagai buah daripada akidah. Ia adalah amal daripada hati dan berada di hadapan daripada amal-amal hati. Sebab diterimanya berbagai-bagai amal adalah apabila seseorang itu melakukannya dengan ikhlas.

Lantaran itu, ikhlas adalah menghendaki keredaan Allah SWT dengan satu amal yang dilakukan, membersihkan daripada segala noda yang dilakukan oleh individu di dunia untuk mendapat reda Allah SWT. Ini adalah disebabkan asas amal yang ikhlas adalah memurnikan niat kepada Allah semata-mata.

DR. AMINUDIN MANSOR  ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.Utusan Malaysia Bicara Agama 20140121

Ulama berpandangan sederhana

TOKOH ini adalah seorang ulama, pujangga dan pendakwah terkenal serta berpengaruh di Asia Tenggara. Nama penuh beliau ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama Hamka.

Ketika berusia 16 tahun, Hamka pergi merantau ke Jawa. Di sana beliau menimba ilmu daripada HOS Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo, RM Soerjopranoto, KH Fakhruddin dan A.R. Sutan Mansur.

Beliau aktif dalam organisasi Muhammadiyah. Pada 1936, beliau berpindah ke Medan. Di situ beliau memulakan kerjaya keulamaannya dan menulis banyak novel. Hamka dikenali kerana berpengetahuan luas.

Selain itu, beliau juga terkenal sebagai ulama yang berpandangan sederhana. Pada tahun 1975, semasa Majelis Ulama Indonesia (MUI) ditubuhkan, Hamka terpilih sebagai presiden.

Ulama besar dan pujangga ini meninggal dunia pada hari Jumaat, 24 Julai 1981.


Mahir dengan sendiri

Hamka tidak pernah mendapat pendidikan formal. Beliau belajar agama di sekolah agama Padang Panjang dan Parabek (dekat Bukit Tinggi) serta daripada keluarganya. Beliau sangat berbakat dalam bidang bahasa dan mampu membaca sastera Arab, termasuk terjemahan daripada tulisan Barat.

Dunia antarabangsa mengakui keahliannya dalam bidang keislaman yang diperoleh dengan belajar sendiri. Beliau memperolehi gelaran Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Salah satu karya agung Hamka ialah Tafsir al-Azhar (30 juz).

Beliau menyiapkan tafsir al-Quran ini ketika dipenjarakan selama beberapa tahun kerana dianggap menentang rejim pemerintahan Orde Lama.

Ulama sederhana

Pandangan sederhana Hamka membuatkan beliau diterima oleh semua pihak. Dalam kalangan orang ramai, Hamka dikenali dengan pidatonya yang menyejukan hati dan mengobarkan semangat serta optimistik. Sebagai tokoh pembaharu, beliau menentang penguasaan adat terhadap ajaran agama, terutama di Minangkabau, seperti pola hubungan kekeluargaan yang bersifat matriarki (berdasarkan kuasa ibu).

Ulama pujangga

Hamka juga dikenali sebagai pengarang novel. Beliau pernah diberi nama julukan Kiai Novel kerana kegiatannya yang dianggap menyalahi tradisi keulamaan itu. Puluhan tahun kemudian barulah julukan itu berubah menjadi Ulama Pujangga.

Karyanya yang berbentuk novel antaranya ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Mandi Cahaya di Tanah Suci, Di Lembah Nil, Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Ver Wijck dan Di Dalam Lembah Kehidupan.

Beliau juga meninggalkan lebih daripada 100 karya dalam pelbagai bidang kajian seperti politik, sejarah, budaya dan ilmu keIslaman.

Muhammadiyah

Perkenalannya dengan tokoh-tokoh Muhammadiyah membuatkan Hamka aktif dalam organisasi ini. Beliau beberapa kali memangku jawatan sebagai pemimpin Muhammadiyah , di antara lain Majelis Konsul Muhammadiyah di Sumatera Tengah (1934), pemimpin Muhammadiyah Sumatera Timur (1942) dan anggota pemimpin pusat Muhammadiyah (1953).

Sejak 1971, beliau dilantik sebagai penasihat pemimpin pusat Muhammadiyah sehingga akhir hayat. Nama Hamka diabadikan sebagai nama pusat pengajian tinggi kepunyaan Muhammadiyah di Jakarta, iaitu Universiti HAMKA.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140121

Jika benar kita cintai Umar

SIAPA yang mengenal Umar, ia akan kagum kepadanya. Jasa Umar bin al-Khattab kepada Islam sangat besar. Beliau membela Rasulullah SAW sepanjang hidup baginda dan menyebarkan dakwah Nabi SAW selepas kewafatan baginda. Kecerdasan Umar mampu menumbangkan kerajaan Rom dan Persia yang telah menjadi kekuatan adidaya sejak berabad-abad lamanya.

Imam al-Zahabi berkata dalam Tazkiratul Huffaz: “Beliau merupakan pemisah antara Muslim dan rafidi (Syiah). Tiada yang mencela Umar melainkan orang jahil, aliran sesat ataupun rafidi yang melampau.”

Umar ternyata bukan hanya pejuang, pendakwah dan ahli ibadah. Akan tetapi beliau juga seorang pemimpin yang selalu berkongsi keperihatinan dengan rakyatnya. Apabila rakyatnya terhimpit dalam kesusahan, beliau enggan bermewah-mewah. Malah, Umar menjadi orang pertama yang mengalami kepahitan, sekali gus orang terakhir yang mengalami kemanisan.

Sumpah Umar

Pada masa pemerintahan Umar, negeri Hijaz pernah mengalami masa kemarau yang sangat dahsyat. Bahan makanan sukar dijumpai kerana tumbuh-tumbuhan kering dan mati. Angin berhembus menerbangkan debu tebal, di mana-mana sehingga tahun itu dikenali juga sebagai Tahun Berdebu (‘am ramadah).

Masa kemarau ini berlangsung selama sembilan bulan. Bermula pada akhir tahun 17 Hijrah dan berlanjutan hingga tahun 18 Hijrah.

Pada masa itu, semua penduduk datang ke Madinah untuk mendapatkan bantuan. Umar membelanjakan semua simpanan Baitulmal untuk mereka. Namun hingga habis semua simpanan itu, keperluan rakyat tetap tidak mencukupi.

Umar tidak dapat tidur ataupun berehat kerana memikirkan rakyatnya. Umar bersumpah tidak minum susu dan makan samin selagi rakyatnya masih dalam kesusahan. Beliau hanya memakan roti keras yang dicelup dengan minyak zaitun. Itupun dimakan tidak pernah hingga kenyang.

Apabila perutnya berbunyi, beliau menusuk dengan jarinya dan berkata: “Kamu tidak akan mendapatkan apa-apa sehingga semua rakyat terselamat!”

Semakin hari tubuh Umar menjadi semakin kurus. Orang yang melihatnya berkata: “Andai masa kemarau terus berlanjutan, Umar pasti mati.”

Kafilah dari Syam

Suatu hari sebuah kafilah dari Syam membawa bahan makanan ke Madinah. Umar segera membahagi-bahagikan semuanya kepada rakyat. Beliau tidak mengambil sedikit pun makanan itu untuk dirinya.

Umar berkata kepada pemimpin kafilah itu: “Kamu nanti makan bersamaku di rumah.”

Orang itu membayangkan hidangan lazat di rumah khalifah. Ia menjadi semakin bersemangat mengagihkan makanan itu bersama Umar.

Petang harinya, Umar dan pemimpin kafilah itu pulang ke rumah. Mereka sangat lapar dan lelah. Umar meminta makanan dihidangkan. Apabila melihat roti kasar dan minyak zaitun dihidangkan, pemimpin kafilah menjadi sangat terperanjat.

Ia bertanya: “Mengapa engkau memberiku makanan seperti ini?”

Umar menjawab: “Aku memberimu apa yang aku makan.”

Ia bertanya lagi: “Mengapa engkau tidak mengambil sebahagian daripada daging dan makanan tadi?”

Umar menjawab: “Aku bersumpah tidak akan memakan daging dan samin sebelum semua rakyatku kenyang daripada kedua-duanya.”

Jika Kita Cinta Umar

Setiap pengikut Ahli Sunnah wal Jamaah mendakwa sangat mencintai Umar bin al-Khattab. Berbeza dengan Syiah yang selalu mencela Umar dan menuduhnya sebagai perampas hak ahlulbait.

Bagi ahlu sunnah, Umar dilihat sebagai tokoh ikutan yang paling utama selepas Rasulullah dan Abu Bakar. Jika kita benar-benar cintai Umar, sepatutnya kita menjadikan sikap beliau sebagai ikutan dalam kehidupan seharian kita.

Rasulullah bersabda: “Ikutilah sunnahku dan sunnah khulafa al-Rasyidin selepasku. Berpeganglah dengannya dan gigitlah dengan kuat.” (riwayat Abu Dawud)

Sebagaimana dalam kisah di atas, salah satu sunnah Umar ialah berempati kepada kesusahan orang lain. Seorang Muslim sunni tidak mungkin boleh makan minum dengan mewah, sementara jiran di sebelah rumahnya tengah kelaparan. Atau jirannya tidak menemukan wang untuk membeli susu bagi bayinya atau membayar yuran sekolah bagi anaknya.

Cinta bukan setakat ucapan di lidah. Jika kita benar cinta Umar bin al-Khattab, tirulah sifat empati beliau. Wallahu a’lam.

UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Utusan Malaysia Bicara Agama 20140121

Muslim berpengaruh di dunia

DILAPORKAN jumlah penduduk Islam di dunia kini adalah 1.7 billion atau 23 peratus daripada jumlah populasi dunia. Maka, sudah tentulah akan ada dalam kalangan mereka itu memiliki pengaruh yang besar terhadap komuniti masing-masing atau dunia Islam secara amnya.

Pengaruh yang mereka bawa (sama ada dari segi budaya, ideologi, politik, kewangan dan sebagainya) itu mampu membawa perubahan yang signifikan kepada dunia Islam. Tidak kiralah, sama ada perubahan itu membawa kepada kesan negatif atau positif.

Golongan terpilih itu, sudah pasti, bukan hanya daripada kalangan ahli agama atau sarjana Islam, tetapi juga pemimpin organisasi tertentu dan ketua pemerintah sesebuah negara.

Dr. Zakir Abdul Karim Naik









Pendakwah dan Pengasas Yayasan Penyelidikan Islam

Di dalam buku berjudul 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia edisi 2013/2014 terbitan Royal Islamic Strategic Studies Centre, Jordan, telah membahagikan pengaruh mereka itu kepada13 kategori.

Ia berdasarkan kajian ilimiah, politik, pentadbiran agama, pendakwah, pembangunan dan dermawan/amal, isu sosial, perniagaan, sains dan teknologi, seni dan budaya, pembaca al-Quran, media, selebriti dan olahraga serta pemikiran radikal.

Dr. Zakir Abdul Karim Naik

Pendakwah dan Pengasas Yayasan Penyelidikan Islam

SEORANG pendakwah keturunan India yang disenaraikan paling berpengaruh dan berkuasa pada 2010. Ini berikutan semangat dan keazamannya yang tidak pernah padam untuk menyebarkan ajaran serta nilai Islam sebenar kepada dunia.

Beliau sering menyertai forum yang menampilkan subjek berkenaan salah faham dan pemahaman tentang konsep iman. Sering juga mengadakan diskusi dengan pemimpin agama lain secara langsung menerusi saluran satelit yang diasaskannya iaitu - Peace TV.



HASHNAN ABDULLAH Utusan Malaysia Bicara Agama 20140122

Pengertian ucap dua kalimah syahadah

Mengucap dua kalimah syahadah sebenarnya memberi pengertian yang luas kerana ikrar tanda keimanan itu adalah pengakuan kita mempercayai serta meyakini tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT.

Tidak ada yang disembah dengan hak (sebenar) kecuali Allah SWT, yang Esa iaitu tiada sekutu bagi-Nya. Keimanan itu menjadikan kita mengakui keesaan Allah SWT serta kekuasaan-Nya melakukan sesuatu kerana Allah SWT yang Maha Pencipta, pemberi rezeki serta mengetahui.


Allah SWT memiliki segala sifat kesempurnaan yang layak bagi-Nya dan Maha Suci dari segala kekurangan pada hak-Nya. Ini mendedahkan manusia kepada sifat-Nya yang tidak menyerupai sesuatu pun dari makhluk-Nya dan tidak ada sesuatu pun menyerupai-Nya.




Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Hanya Allah yang tidak memiliki permulaan (Qadim), segala sesuatu selain-Nya memiliki permulaan (baharu). Dialah Pencipta, segala sesuatu selain-Nya adalah ciptaan-Nya (makhluk).

Segala yang ada (masuk ke dalam wujud), benda dan perbuatannya, mulai dari (benda terkecil) zarrah hingga (benda terbesar) Arasy, segala gerakan manusia dan diamnya, niat dan lintasan fikirannya, semuanya itu adalah dengan ciptaan Allah SWT.


Hanya Allah pencipta

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Allah menciptakan segala sesuatu”. (Surah Furqan, ayat 2)

Ertinya Allah menciptakan sesuatu daripada tidak ada menjadi ada. Makna mencipta pada ayat ini tidak layak bagi sesiapa pun kecuali hanya bagi Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada pencipta selain Allah”. (Surah Faatir, ayat 3)

An-Nasafi berkata, “Apabila seseorang melempar kaca dengan batu hingga pecah, maka lemparan, hentaman batu dan pecahnya kaca semuanya adalah ciptaan Allah. Jadi seorang hamba hanyalah melakukan dinamakan sebagai al-kasbu. Sesungguhnya penciptaan itu hanya milik Allah, Allah berfirman yang bermaksud: “Bagi setiap jiwa dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya”. (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Kesimpulan daripada makna syahadat pertama ini adalah ketetapan adanya tiga belas sifat bagi Allah SWT, yang sering berulang penyebutannya dalam al-Quran, baik pada lafaz mahupun maknanya iaitu al-Wujud, al-Qidam, al-Baqa’, Tanazzuhuhu 'an al-Musyabahah li al-haadis, Qiyamuhu bi nafsihi, al-Wahdaniyah, al-Qudrah, al-Iradah, al-Ilmu, al-Hayat, as-Sam’u, al-Basor dan al-Kalam.

Oleh kerana sifat ini banyak disebut dalam nas syariah, ulama mengatakan wajib atas setiap mukalaf untuk mengetahuinya. Dan kerana zat Allah adalah azali, maka demikian jugalah sifat-sifat-Nya.

Terlalu banyak sifat Allah SWT yang dinyatakan ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah akan tetapi yang dinyatakan di atas wajib dipelajari dan diketahui oleh umat Islam.

Abu Syafiq Mohd Rasyiq Mohd Alwi ialah Timbalan Presiden, Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA). Berita Harian Online Agama 22/01/2014

Larangan wanita Muslim tutup aurat tidak wajar

Tindakan majikan abai hak Muslimah bertentangan Perlembagaan

Hari Wilayah disambut pada 1 Februari dan tarikh sama adalah Hari Hijab Sedunia yang akan mengimbas kembali kejadian berlaku terhadap Muslimah warga negara Jerman, Marwa Al-Sherbini, 32, yang mati akibat ditikam.

Marwa ditikam ketika memberi kesaksian di mahkamah di Dresden, Jerman, oleh lelaki yang dibicarakan atas tuduhan mengaibkan beliau kerana memakai tudung. Suami Marwa yang melihat isterinya ditikam cuba membantu dan beliau turut ditikam lelaki berkenaan.

Lebih malang lagi, polis mahkamah yang dipanggil menembak suami Marwa kerana menyangka beliau lelaki yang menyerang.Kejadian yang berlaku dalam mahkamah itu menimbulkan kemarahan dan menarik perhatian ramai terhadap kebebasan hak asasi manusia khususnya Muslim untuk mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 208)

Hak untuk menganuti dan mengamalkan agama tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak atas apa alasan sekalipun melainkan jika ia berlawanan dengan undang-undang am seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan moraliti.

Perkara 11(1) Perlembagaan menjamin kebebasan beragama yang mana setiap warga negara Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya seperti diperuntukkan. Peruntukkan itu hendaklah dibaca bersama Perkara 3(1) Perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.

Bagaimanapun, agama lain boleh diamalkan dengan aman. Oleh itu, bagi memastikan kehidupan yang harmoni dan aman di Malaysia, semua pihak perlu memahami hak masing-masing mengikut Perlembagaan termasuk kedudukan agama lain yang tidak dinafikan haknya.

Di Malaysia, fenomena Muslimah memakai tudung dan pakaian menutup aurat bukan sesuatu yang asing. Malangnya, hingga kini masih wujud halangan kepada wanita Muslimah untuk mengamalkan tuntutan beragama di tempat kerja.

Masih ada majikan sengaja meletakkan wanita Muslim dalam dilema antara mematuhi perintah tuhan dengan peraturan dikenakan majikan dalam berpakaian.

Perintah pemakaian tudung kepada wanita Muslimah adalah satu perintah yang jelas. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandang mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Perintah pemakaian tudung juga diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah, bahawa Asma puteri Abu Bakar suatu hari berkunjung ke rumah Nabi, lantas Baginda bersabda menegurnya:
“Wahai Asma! Bila seorang gadis telah haid, tidak boleh terlihat bahagian tubuhnya kecuali bahagian ini (Nabi menunjuk muka dan kedua telapak tangannya).”

Justeru, menjadi kewajipan kepada setiap wanita Muslim untuk memakai tudung seperti yang diperintahkan Allah SWT.

Acap kali kita mendengar aduan dan keluhan Muslimah yang dihalang haknya untuk memenuhi tuntutan berpakaian secara Islam di tempat kerja. Ada yang disuruh memilih antara kerja atau hak berpakaian sebagai seorang Muslimah.

Kejadian terbaru membabitkan seorang guru wanita mukalaf dari sekolah jenis kebangsaan di Kota Tinggi, Johor, yang disuruh menanggalkan tudung boleh ditafsirkan sebagai menghalang seorang daripada beramal mengikut kehendak agamanya.

Mujur permohonan maaf telah dibuat. Tindakan majikan seperti ini wajar dipuji dan juga dicontohi. Semoga kejadian itu akan memberi impak dan kesan positif kepada hak berpakaian secara Muslim kepada Muslimah di tempat kerja di Malaysia.

Sesungguhnya tindakan sesetengah majikan menghalang pekerja wanita daripada berpakaian mengikut peraturan agama adalah bertentangan dengan hak mengamalkan agama yang dijamin oleh Perlembagaan.

Oleh itu, sewajarnya majikan di negara ini mengambil langkah positif dan proaktif untuk membenarkan pekerja wanita Islam yang bekerja menutup aurat dalam erti kata sebenar.

Marlina Amir Hamzah ialah Naib Presiden 3 Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Berita Harian Online Agama 22/01/2014

Fenomena 'suami rumah tangga'

BUNTU. Apa lagi yang harus dilakukan. Puas sudah dia berikhtiar namun jawapannya ‘anda gagal’. Terasa perit kehidupan yang dilalui. Bagai langit menghempap kepalanya, Zam merasakan bebannya kian berat dan bertambah. “Sampai bila?" persoalan itu tiba-tiba terpacul dari mulutnya. Dia tidak mahu dianggap sebagai lelaki dayus - bergantung dengan hasil titik peluh isteri (Ani - bukan nama sebenar), untuk menyara kehidupannya bersama dua cahaya mata yang sedang bersekolah.

Ditambah dengan kos sara hidup yang meningkat, Zam semakin hilang arah. Mujur si isteri memahami. Hasil perbincangan, Ani mencadangkan agar Zam mengambil alih tugas-tugas Ani sebagai suri rumah. Manakala Ani akan meneruskan kerjayanya sekalipun tahu segala beban kos kehidupan kini tertanggung di bahunya.

Manakala Zam pula perlu akur dengan cadangan si isteri. Apa lagi yang boleh dilakukannya? Bukan dia tidak berusaha. Segala-galanya sudah dilakukan. Zam pasrah. Mungkin itu kehendak Allah yang mahu menguji, sejauh mana kesabarannya menghadapi ujian dalam kehidupan berumah tangga.

Kini bermula episod baru dalam kehidupan sebagai suri rumah tangga sepenuh masa. Pada awalnya agak kekok. Namun dia buang segala perasaan itu kerana dia tiada pilihan. Segala-galanya dilakukan. Daripada menyapu, mengemop, membasuh dan menyidai kain, memasak dan menghantar serta menjemput anak balik dari sekolah, kini menjadi tugas baharunya - yang tidak berbayar!

Dalam diam, dia kui betapa berat tugas yang selama ini dilakukan oleh si isteri. Sebelum dibuang kerja, isterinyalah yang melakukan segala-galanya sekalipun bekerja. Kini dia faham, betapa besar pengorbanan yang dilakukan oleh seseorang yang bernama ‘isteri’. Lantas, Zam tidak sedikit pun mengeluh malah berterima kasih kepada isteri kerana mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua rumah - mencari nafkah!

Bagi Ani pula, sekalipun tahu beban kewangan semuanya memerlukan kebijaksanaannya mengawal perbelanjaan, namun dia sedikit lega kerana urusan rumah tangga telah dibantu suaminya. Tidak perlulah dia tergesa-gesa dalam mengendali rumah dan pejabat. Tugas sebagai ketua jururawat di sebuah hospital swasta sememangnya memerlukan komitmen yang tinggi Ani juga akur, dalam keadaan sukar mencari pekerjaan dia tidak mahu suaminya terus terbeban dengan keadaan yang sedia ada andai dia terus mendesak Zam untuk mencari kerja.

Setahun berlalu. Rutin harian masing-masing berjalan seperti biasa. Zam semakin cekap membuat urusan rumah tangganya. Ada kala Zam mula terfikir, mengapa harus dibuang masa begitu sahaja tatkala anak-anak berada di sekolah. Bukankah lebih baik jika diisi dengan sesuatu yang boleh mendatangkan pendapatan sampingan. Keputusan dibuat. Kepada isteri disuarakan hasrat untuk mengambil kursus berniaga secara talian.

Setelah dikenal pasti apa yang hendak diniagakan, Zam, seorang pemegang diploma teknologi maklumat, dengan berbekalkan sedikit modal daripada isteri, maka langkah diatur. Ternyata usaha daripada cubaan pertamanya menampakkan hasil. Puas! Zam tersenyum tatkala akaunnya kian bertambah dari sehari ke sehari. Dia tidak menyangka, kerja daripada rumah pun boleh mendatangkan hasil yang lumayan.

Kini tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga sebagai pencari nafkah diambil semula oleh Zam. Namun tidak pula meninggalkan rutin hariannya sebagai suri rumah kerana Zam tidak memerlukan banyak masa untuk berada di luar rumah. Ternyata berkat kesabarannya selama ini serta kesabaran Ani yang tidak pernah jemu membantu dan memberi dorongan kepadanya, Allah memberikannya dengan limpahan rezeki yang tidak disangka-sangka.



NORAZMAN AMAT Utusan Malaysia Bicara Agama 20140122

Nabi SAW sumber inspirasi

NABI MUHAMMAD SAW adalah sebaik-baik pemimpin bagi umat manusia sejagat. Jelaslah Rasulullah SAW merupakan pemimpin terbaik di sepanjang zaman. Baginda juga negarawan terunggul, pahlawan berani dan ahli politik yang agung. Manusia sehingga kini masih mengambil pengajaran dan teladan daripada diri baginda SAW dan sejarah hidupnya sebagai sumber inspirasi dan pedoman hidup untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.


Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (sewaktu susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Keperibadian Rasulullah SAW terdapat pelbagai kualiti, ciri-ciri dan tindakan yang menjadikannya perlu untuk diteladani. Di antara ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan oleh setiap ketua dan pemimpin antaranya ialah;

Baginda SAW menyatupadukan ummah yang berpecah-belah. Lihatlah peristiwa perebutan meletakkan Hajar al-Aswad di tempat asalnya di mana insiden tersebut hampir mengundang perbunuhan dalam kalangan masyarakat Arab. Hal itu menjadi bukti keagungan kepemimpinan dan keperibadian Nabi SAW. Tambahan pula, baginda mempunyai sifat-sifat sidiq, amanah, tabligh dan fatanah. Baginda juga terkenal dengan sifat Al-Amin (yang dipercayai) dalam kalangan masyarakatnya.

NAbi SAW mempunyai sifat penyayang dan mengasihi pengikut-pengikutnya dan keras kepada musuh-musuhnya. Sifat sedemikian telah bertukar konsepnya dalam kalangan pemerintah dan ahli politik kita hari ini, kerana kebanyakan mereka hanya berminat mendapatkan sokongan musuh-musuhnya tanpa mempeduli kepentingan rakyat dan harapan generasi bangsanya yang telah memilih mereka menjadi pemimpin.

Diriwayatkan telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW meminta sedekah dengan bahasa yang tidak sesuai: “Berikan saya sedekah wahai Muhammad, kerana anda tidak memberikan harta milikmu kepada saya mahupun harta milik ayahmu." Baginda hanya berkata kepadanya: “Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan kepadamu."

Benarlah Allah SWT berfirman yang bermaksud: Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah dan mereka yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama (umat Islam). (Al-Fath: 29)

Baginda SAW selalu bersama umatya merasai kesakitan dan kesedihan serta tidak hidup memencilkan diri daripada mereka. Baginda pernah tinggal di rumah mereka, makan makanan mereka, berlapar jika mereka kelaparan dan tidak kenyang melainkan jika mereka telah kenyang. Jika mereka mengikat perut dengan satu batu, Baginda pula akan mengikat perutnya dengan dua batu. Rasulullah SAW sentiasa berfikir tentang mereka siang dan malam, seluruh hidupnya lebih banyak diuruskan untuk mereka daripada keluarganya sendiri.

Inilah di antara doa Nabi SAW: “Wahai Tuhanku, aku tidak akan meminta untuk Fatimah anak perempuanku, Khadijah isteriku, al-Abbas bapa saudaraku dan Sofiyyah emak saudaraku, tetapi wahai Tuhanku, aku hanya meminta kebaikan untuk umatku, umatku..." (riwayat lain mengatakan: “Umatku, umatku, umatku...")

Nabi SAW menghormati undang-undang dan hukum-hukum serta melaksanakannya kepada semua orang tanpa pengecualian. Perhatikan Baginda berkata dan menegaskan: “Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, jika Fatimah binti Muhammad mencuri pasti aku akan memotong tangannya."

Demikianlah tegasnya Rasulullah SAW membuktikan dengan satu sumpah dan begitulah (Fatimah binti Muhammad) tanpa sebarang gelaran untuk mengumumkan bahawa Muhammad dan anak perempuannya terikat oleh undang-undang dan hukum-hukum tanpa membezakan daripada orang lain. Malahan Nabi Muhammad SAW sendiri akan menguatkuasakan undang-undang ke atas anak perempuannya. Di samping itu perhatikan juga kepada ucapan Baginda semasa Haji Wida’ : “Didikan yang pertama ialah didikan yang saya letakkan kepada al-Abbas bin Abdul Muttalib."

Baginda SAW memperbanyak perbincangan (syura) dan menghormati keputusannya serta bersetuju menerima dengan lapang dada meskipun bertentangan dengan pendapatnya. Rasulullah SAW berpendapat lebih baik tidak keluar dari Madinah untuk bertemu tentera musyrikin di Bukit Uhud, sedangkan majoriti berpendapat lebih baik keluar, maka Baginda bersetuju dengan pendapat mereka.

Ayat al-Quran telah turun menyeru Rasulullah SAW bertolak ansur dengan mereka dan memohon keampunan untuk mereka serta terus menerima pendapat mereka dalam perbincangan dan diskusi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan)itu. (ali-Imran: 159)

Baginda SAW meletakkan orang yang sesuai di tempat yang sesuai. Kriteria di sisi Rasulullah SAW ialah berdasarkan firman Allah SWT yang bermsksud: Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah. (al-Qasas: 26). Manakala firman-Nya lagi yang bermaksud: Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. (Yusuf: 55)

Baginda SAW baik dalam berkata-kata dan berdialog serta tahu cara menjaga hati manusia sekalipun mereka berbeza. Abu Bakar telah melihat Baginda semasa haji lalu berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah yang mendidik engkau? Baginda menjawab: “Tuhanku telah mendidikku, maka Allah telah mendidikku dengan begitu baik sekali."



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Malaysia Bicara Agama 20140122

Maulid Nabi di Masjid An-Nur meriah

AYAT di atas adalah antara firman Allah SWT yang menceritakan tentang kehebatan seorang insan bernama Muhammad bin Abdullah yang kemudiannya diangkat menjadi Nabi dan Rasul ketika berusia 40 tahun.

Bulan Rabiulawal pastinya mengingatkan kita kepada peristiwa keputeraan Nabi Muhammad SAW. Insan istimewa yang membawa rahmat kepada sekelian alam.

Di Malaysia, umumnya umat Islam menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal setiap tahun. Ketetapan itu berdasarkan pandangan jumhur ulama yang bersetuju tarikh kelahiran baginda Rasulullah SAW adalah 12 Rabiulawal 571 Masihi, tahun gajah. Dikenali dengan tahun gajah kerana pada tahun inilah Abrahah menyerang kota Mekah dengan tentera bergajah.

Pelbagai acara diatur dalam memeriahkan sambutan Maulidul Rasul, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat negeri dan daerah. Tidak ketinggalan mengadakan sambutan yang serupa adalah Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor yang menjemput pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dalam usaha mengembalikan ingatan dan kecintaan kepada baginda SAW.

Nabi SAW adalah manusia tetapi tidak sama dengan manusia lain. Baginda SAW mempunyai sifat yang sebahagiannya sama dengan kita seperti makan dan minum, berkahwin, tidur dan sebagainya. Dalam masa yang sama baginda insan luar biasa.

Menurut Habib Ali, antara peristiwa tersebut adalah semasa Nabi SAW mengimamkan solat apabila baginda dikatakan boleh melihat apa yang ada di belakangnya. Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Luruskan dan rapatkan saf-saf kalian kerana sesungguhnya aku melihat kalian daripada belakangku. (riwayat Bukhari)

"Kita manusia biasa mana mungkin dapat melihat tanpa memalingkan kepala ke belakang, tetapi itulah antara kehebatan Nabi SAW," katanya.

Sumber ilmu

Setiap perbuatan, percakapan dan tindak tanduk baginda menjadi sumber ilmu kepada para sahabat sehinggakan pada suatu hari datang tiga orang sahabat ke rumah Rasulullah SAW menemui Siti Aisyah.

Kata Habib Ali, semua ini kerana para sahabat merasakan tidak puas untuk menimba ilmu daripada nabi sehinggakan mereka sendiri bertanya kepada isteri baginda, apa yang nabi lakukan semasa di rumah.

Jawab Aisyah, nabi membantu melakukan kerja rumah seperti membersihkan rumah, membasuh pakaian, waima menjahit pakaian baginda yang koyak. “Pendek kata, baginda sangat mesra dan melayan ahli keluarganya dengan baik. Tetapi apabila berkumandang sahaja azan, baginda seolah-olah tidak mengenali kami dan kami juga tidak mengenali baginda kerana bersegeranya Nabi SAW menghadap Allah SWT," jelas beliau.

Ceramah perdana yang diadakan pada 14 Januari lalu itu mendapat sambutan hangat apabila setiap inci ruang solat masjid yang boleh menempatkan kira-kira 1,000 orang padat dengan jemaah lelaki mahupun perempuan. Turut hadir, nazir masjid, Harun Abdul Rahman. Berikutan itu, kira-kira 300 jemaah lagi terpaksa mengikuti ceramah di beranda masjid bersama kumpulan kanak-kanak.

Istimewanya Nabi SAW juga kata Habib, menyebabkan peluh yang keluar daripada tubuh baginda berbau harum.

Menurut beliau, dalam satu peristiwa ketika Rasulullah baring di rumah Ummu Sulaim iaitu ibu Anas bin Malek, kelihatan peluh baginda bercahaya.

Peluh wangi

"Lalu Ummu Sulaim mengambil sedikit peluh itu untuk dicampurkan dengan minyak wanginya yang lain dan mengambil berkat daripadanya untuk diberikan kepada anak-anak," jelasnya.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim dijelaskan: Rasulullah SAW pernah datang kepada kami, lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Bondaku datang membawa sebuah botol kaca lalu meraut peluh Rasulullah SAW masuk ke dalamnya. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan? Dia menjawab: Peluh ini akan kami campurkan dengan minyak wangi kami, dan ia merupakan minyak wangi yang paling harum!. Nabi SAW mengetahui tentang apa yang dilakukan oleh Ummu Sulaim dan baginda membenarkannya.

Habib Ali menjelaskan, Rasulullah SAW juga adalah orang paling adil sehingga dalam satu peristiwa baginda yang dalam keadaan gering memanggil para sahabat dan bertanya hak siapa yang masih ada pada diri baginda.

“Selepas tiga kali baginda mengeraskan suara, seorang lelaki mengangkat tangan dan mahu membalas atau takzir terhadap baginda," katanya.

Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Hibban ibnu Wasi’ daripada beberapa orang sheikh daripada kaumnya bahawa Rasulullah SAW meluruskan barisan para sahabatnya pada hari Peperangan Badar. Pada tangan baginda terdapat sebatang kayu yang digunakan untuk meluruskan barisan tentera.

Maka baginda lalu di hadapan Sawad ibnu Ghaziyyah, rakan Bani ‘Adi ibnu Najjar yang ketika itu berada di luar barisan. Lalu Rasulullah SAW menusuknya dengan kayu tersebut seraya bersabda: “Luruskan barisanmu, wahai Sawad!"

Oleh sebab itu, Sawad berkata: “Wahai Rasulullah! Engkau telah menyakitiku! Bukankah engkau diutuskan oleh Allah untuk membawa kebenaran dan menegakkan keadilan? Tetapi engkau telah menyakitiku!"

Maka Rasulullah SAW membuka bajunya, lalu bersabda: “Balaslah!" Lalu Sawad memeluk Nabi SAW dan mencium perutnya.

Rasulullah SAW bertanya, “Apakah yang mendorong kamu melakukan begini, wahai Sawad?" Dia menjawab: “Wahai Rasulullah! Telah tiba apa yang engkau lihat (peperangan). Aku ingin saat-saat terakhir denganmu, kulitku menyentuh kulitmu". Maka Rasulullah SAW mendoakan kebaikan baginya. (Ibnu Kathir, Bidayah wa Al-Nihayah; 4: 217)

Minum darah

Dalam satu lagi peristiwa, kata Habib Ali, Abdullah bin Zubair telah minum darah nabi SAW selepas berbekam. Diringkaskan cerita, sebelum itu, baginda berpesan kepada Abdullah supaya membuang darah tersebut di tempat yang tidak diketahui orang. Bagaimanapun, Abdullah tidak membuang darah itu sebaliknya beliau minum darah tersebut kerana tidak mahu darah kekasih Allah itu jatuh ke bumi.

Kata Habib, ketika ditanya oleh baginda SAW, di mana beliau membuang darah itu, Abdullah menjawab di tempat yang tidak akan diketahui orang.

“Namun baginda bersabda, adakah engkau minum darahku, jika demikian perut mu tidak akan dibakar oleh api neraka," jelasnya.

Demikianlah sucinya insan bernama Muhammad. Bukan hanya baginda itu pembawa rahmat ke sekelian alam, tetapi segala yang keluar daripada tubuh baginda juga suci.

Sementara itu, Harun Abdul Rahman berkata, sambutan menggalakkan daripada para jemaah memberi semangat kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid merangka lebih banyak program tahun ini.

Katanya, ceramah perdana itu boleh dianggap sebagai pembuka tirai majlis ilmu yang disampaikan oleh pendakwah terkenal masa kini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini. Tidak dilupakan kepada AJK muslimat yang menyediakan jamuan," jelasnya.

Selain pelbagai majlis ilmu, Masjid An-Nur meneruskan tradisi mengadakan kursus haji bersiri buat kali ketiga berturut-turut tahun ini. Kursus tersebut adalah di bawah bimbingan Datuk Md. Daud Che Ngah yang diadakan setiap pukul 2 petang, hari Sabtu bermula 18 Januari lalu.



MOHD. RADZI MOHD. ZIN Utusan Malaysia Bicara Agama 20140122