January 27th, 2014

Panduan lahir pekerja kelas pertama

Empat pesanan Rasulullah, erat silaturahim, hulur bantuan, memaafkan, berbuat baik

Usaha melahirkan perkhidmatan kelas pertama yang berkualiti dan memuaskan pelanggan, akhlak Rasulullah SAW perlu dijadikan rujukan dan panduan kepada setiap individu sama ada pekerja kumpulan atasan mahupun bawahan. Akhlak Baginda yang terpuji terbukti melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya bagi engkau (Muhammad) akhlak yang terpuji.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi)

Akhlak Rasulullah SAW bukan saja terpuji, malah boleh dicontohi. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu bagi kamu contoh teladan yang baik.”

Walaupun Rasulullah SAW seorang nabi, Baginda telah menunjukkan teladan akhlak yang mampu dicontohi dalam setiap aspek kehidupan segenap lapisan masyarakat. Ini bertepatan dengan keistimewaan ajaran Islam yang mengutamakan sifat mudah, tidak menyulitkan serta mampu dilaksana.

Pada masa sama kita dituntut berdoa seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Ya Allah tidak ada kemudahan kecuali jika Engkau menjadikannya mudah. Sesungguhnya jika Engkau menghendaki, Engkau berkuasa menjadikan sesuatu yang susah itu mudah.” (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Justeru, berakhlak dengan menunjukkan contoh teladan terbaik adalah kaedah sangat berkesan lagi murah dalam menyampaikan perkhidmatan di samping menjadi terapi ketenangan diri dan kepuasan bekerja.

Empat pesanan dalam akhlak Rasulullah SAW berinteraksi dengan masyarakat sekelilingnya yang setaraf perkhidmatan kelas pertama terutama apabila berdepan pekerja, majikan, pelanggan dan masyarakat boleh dijadikan panduan.

Sabda Baginda SAW: “Satukan sesiapa yang memutuskan silaturahim, berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat jahat kepadamu, menghulurkan kepada yang bakhil dan maafkanlah sesiapa yang menzalimi kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keempat-empat pesanan Rasulullah SAW ini menganjurkan kita berbuat kebajikan dengan cara menyambung silaturahim, menghulurkan sedekah dan bantuan, memaafkan orang lain serta berbuat kebaikan.

Uniknya ialah pesanan berbuat baik kepada semua walaupun kepada yang memutuskan silaturahim, bakhil, zalim dan berbuat jahat terhadap kita. Semuanya menggambarkan ketinggian sifat sabar, lembut dan ketabahan hati Rasulullah SAW tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.

Khasnya apabila meneliti keadaan masyarakat jahiliah pada zaman Baginda yang dikenali dengan sifat kasar, keras hati dan zalim.

Kehebatan dan kebenaran akhlak Rasulullah SAW juga terkandung dalam kisah ‘Atha’ bin Yasar yang bertemu Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash, lalu berkata: “Ceritakanlah kepadaku sifat Rasulullah SAW seperti yang disebut dalam Kitab Taurat. Jawab Abdullah: Baiklah! Demi Allah sesungguhnya Rasulullah disebut dalam Kitab Taurat dengan sebahagian sifat Baginda yang disebut dalam al-Quran: Wahai, Nabi! Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk menjadi saksi, memberi khabar gembira, memberi peringatan dan memelihara orang yang ummi. Engkau adalah hamba-Ku dan pesuruh-Ku. Aku namakan engkau orang yang tawakal (berserah diri), tidak jahat budi, tidak keras hati, tidak pula orang yang suka berteriak di pasar-pasar, tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi pemaaf dan memberi ampun. Dan Allah belum akan mencabut nyawanya sehingga dia menegakkan agama selurus-lurusnya, iaitu mereka mengucapkan, “Laa illaaha illallaah” sehingga dengan ucapan itu Allah membukakan mata yang buta dan telinga yang tuli serta hati yang tertutup.” (Riwayat al-Bukhari)

Ketika menyampaikan perkhidmatan dan urusan kerja seharian, pekerja akan berdepan pelbagai cabaran dan kerenah sama ada berat mahupun ringan. Seperti cabaran komunikasi yang boleh membawa kepada konflik perhubungan jika tidak dihadapi dengan berkesan.

Cara mengatasinya ialah dengan mengikut sunah Rasulullah SAW dan mengamalkan akhlak terpuji. Walaupun berkemungkinan sukar untuk dilakukan pada mulanya, tetapi akan menjadi kebiasaan seterusnya memberi kesan baik demi keberkatan, kepuasan dan kejayaan diri serta organisasi.




Dr Sharifah Hayaati Berita Harian Agama 27/01/2014 2014/01/27 - 05:40:20 AM

Menolak Titah Agong menyanggah Perlembagaan

Peranan raja sebagai ketua agama Islam tak boleh dipertikai

Hubungan antara institusi raja dan Islam sudah sinonim dengan sejarah, amalan, budaya dan undang-undang negara. Sejak mula kedatangan Islam ke rantau ini, hubungan kedua-duanya sangat jelas sehingga dimaktub dan dimasyhur dalam undang-undang bahawa raja adalah ketua agama Islam.


Hubungan kedua-duanya juga simbiotik. Jika disebut institusi raja, maka yang jelas difahami ialah raja sebagai ketua agama Islam, tiada fungsi raja lain yang lebih menonjol. Saya tidak menafikan amalan agama Islam dalam institusi raja itu hendaklah sentiasa ditambah baik, tetapi yang pasti hubungan antara raja dan Islam dalam kerangka negara kita tentunya tidak ada sesiapa yang boleh menafikannya.


Sudah sekian lama sebelum penjajahan, ketika beratus tahun di bawah penjajahan, sehinggalah Merdeka dan selepas lebih setengah abad kemerdekaan dengan teguhnya Perlembagaan Merdeka, hubungan dan undang-undang mengenai raja sebagai ketua agama Islam sudah diamalkan, diterima dan dirai tanpa persoalan. Mutakhir ini kita lihat banyak kenyataan yang mempertikaikannya dan pasti segala ini mengecewakan.

Saya mahu jelaskan, iaitu raja, sama ada raja di negeri atau Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan adalah ketua agama Islam. Raja adalah ketua agama Islam bagi negeri baginda, manakala Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, negeri yang tidak mempunyai raja, iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya. Pendek kata, walaupun kita tidak mempunyai seorang ketua agama Islam bagi keseluruhan Persekutuan, tiada seinci pun tanah dalam Persekutuan Malaysia ini yang tidak mempunyai ketua bagi agama Islam.

Islam agama Persekutuan

Saya petik peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan untuk pembaca memahaminya dengan jelas dan terperinci. Perkara 3 menyatakan:

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

(2) Di dalam tiap-tiap negeri, selain negeri yang tidak mempunyai raja, kedudukan raja sebagai ketua agama Islam di negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan negeri itu dan tertakluk kepada perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya, Majlis Raja-Raja sudah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan. Setiap raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai ketua agama Islam di negeri itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa pun apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi ketua agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

Semua negeri tanpa sultan sudah memasukkan dalam perlembagaan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam. Bagi Melaka dan Pulau Pinang, Perkara 5; Sabah, Perkara 5b dan Sarawak, Perkara 4a.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, tidak memperincikan tugas raja sebagai ketua agama, tetapi menyebut bahawa bergantung kepada Perlembagaan negeri masing-masing.

Tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam dapat disaksikan dalam lafaz sumpah jawatan baginda Jadual Keempat, sebahagiannya berbunyi:

“Wallahi. Wabillahi. Watallahi.”

“Maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam.”

Pelihara Islam

Umumnya tanggungjawab memelihara agama Islam itu termasuk memelihara agama Islam, syariah dan syiarnya. Oleh itu, sekiranya Yang di-Pertuan Agong bertitah, titahnya itu juga boleh diterima sebagai titah ketua agama Islam. Maka hujah yang menolak titah Yang di-Pertuan sebagai ketua agama Islam bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Bagi kita orang Islam, kita jangan begitu naif dalam hal hubungan raja dan Islam kerana cabaran kepada institusi raja sebagai ketua agama Islam secara langsung mengancam kedudukan agama Islam.

Dalam sejarah dunia metodologi mempersoalkan dan meruntuhkan institusi atau autoriti agama terbukti menjadi trend meruntuhkan kedudukan agama. Berhati-hati, berawas dan berwaspadalah kita.


Shamrahayu A. Aziz Berita Harian Online Rencana 2014/01/27

Polemik kalimah Allah

1Isu rampasan Bible oleh JAIS

Isu rampasan kitab Injil berbahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula berkait rapat dengan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 yang menghalang penggunaan nama Allah dalam penulisan, penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan. Walaupun serbuan JAIS sah dari segi undang-undang, namun ia telah menimbulkan polemik kerana melibatkan hal yang agak sensitif dan mungkin kaedah lain boleh digunakan.

Akta yang digunakan dalam rampasan terbaharu JAIS adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya Kerajaan Pusat. Pakatan pembangkang selaku ketua pentadbir negeri yang telah diberi mandat oleh rakyat Selangor tidak seharusnya lepas tangan dan cuba melontarkan tanggungjawab ini kepada Kerajaan Pusat, KDN, Jakim dan pelbagai pihak lain.

Pakatan pembangkang senantiasa mengambil kesempatan atas isu yang memberi keuntungan kepada mereka. Mereka ialah orang pertama yang akan mendakwa apa yang baik adalah daripada mereka tetapi yang buruk adalah kerana kesilapan Kerajaan Pusat.

Selain itu, Lim Guan Eng pula jangan cuba untuk menjadi paderi masyarakat Kristian dengan mempolitikkan isu ini dan menyalahkan UMNO dalam kenyataan terbaharu beliau. Paderi Lawrence sendiri juga tidak pernah sesekali melibatkan UMNO dalam isu ini.

2 Dari sudut perundangan

Sekiranya sebelum ini Mahkamah Tinggi memutuskan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald, maka secara akademiknya kita perlu menyokong penggunaannya. Apatah lagi dalam hal ini pihak gereja sendiri yang membawa kes ini ke mahkamah.

Keputusan terbaharu Mahkamah Rayuan bahawa penganut Kristian di Semenanjung tidak boleh menggunakan kalimah Allah tetapi penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakannya.

Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh memetik Article 11 (3) berkaitan dengan frasa: to manage its own religious affairs. Namun begitu, Karpal Singh lupa untuk menyebut tentang Article 11 (1) iaitu: every person has the right to profess and practice his religion and, subject to Clause (4), to propagate it.

Fasal (4) memperuntukkan: Federal law may control or restrict the propagation of any religious doctrine or belief among persons professing the religion of Islam.

Oleh itu, sekiranya pihak gereja sendiri meletakkan bidang kuasa: to manage its own religious affairs to the court, maka segala keputusan mahkamah perlu dihormati berlandaskan kedaulatan undang-undang negara.

Sehubungan itu, isu ini memerlukan toleransi antara dua pihak iaitu satu pihak perlu menghormati penggunaan Allah di Sabah dan Sarawak, dan satu lagi perlu menghormati bahawa pengunaan kalimah Allah adalah tidak dibenarkan di Semenanjung Malaysia.

3 Pakatan pembangkang tidak bersatu

Seperti yang kita sedia maklum pendirian pakatan pembangkang sering berubah-ubah. Sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili suara pakatan pembangkang bahawa penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah. Namun begitu, pendirian terbaharu Pas dan Anwar sendiri bercanggah dengan pendirian mereka sebelum ini.

Dalam isu ini jelas menunjukkan wajah sebenar pakatan pembangkang yang tidak pernah bersatu. Pihak DAP mencadangkan penggubalan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988. Tetapi Anwar dan Pas pula tidak bersetuju dengan cadangan DAP. Oleh itu, apa sebenarnya pendirian pakatan pembangkang dalam isu ini? Bagaimana rakyat Malaysia masih boleh terus mempercayai individu yang sering tidak konsisten dengan perjuangan mereka selama ini?

4 Menyelesaikan isu ini dengan nilai keagamaan

Masyarakat tidak seharusnya menggunakan sentimen dan ideologi politik dalam menyelesaikan masalah ini. Tambahan pula, penglibatan parti politik hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Kita perlu kembali kepada nilai keagamaan masing-masing demi mencapai keharmonian dan perpaduan yang sebenar.

Untuk masyarakat Kristian pula mereka perlu mengikut jejak langkah pemimpin tertinggi mereka pada 29 Jun 2008 . Pope Benedict menyarankan supaya tidak menggunakan perkataan tetragrammaton dalam Catholic Liturgy kerana dipercayai bercanggah dengan nilai tradisi masyarakat Yahudi.

Nilai agama Kristian juga amat mementingkan tentang melupakan dan memaafkan (forget and forgive). Masyarakat Islam pula seharusnya menggunakan cara dan nilai kesederhanaan, kesabaran dan kesejahteraan dalam menangani isu ini.

Oleh itu, diharapkan perkongsian persamaan nilai antara agama akan merapatkan rakyat pelbagai kaum di negara kita dan bukan berpecah belah disebabkan kewujudan sentimen politik yang dimainkan oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, kita juga tidak mengharapkan isu ini sengaja dicetuskan untuk mengalih pandangan masyarakat berkaitan isu Mercedes yang melibatkan seorang ahli politik.


Shen Yee Aun papashan88@outlook.com ialah Penganalisis Politik, Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia, Pengasas blog SYA For The Nation. Utusan Malaysia Rencana 20140126

Perginya pembela Islam sejati

KEMBALINYA, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib ke rahmatullah pada awal pagi kelmarin, ia bermakna bukan sahaja parti itu malah keseluruhan umat Islam tanpa mengira apa juga fahaman politik kehilangan seorang tokoh pejuang dan pembela Islam sejati. Biarpun berada di pentas politik, namun Allahyarham tidak melihat medan tersebut sebagai usaha untuk merebut kekuasaan semata-mata, sebaliknya bagi menegakkan syariat Islam di muka bumi Allah ini khususnya di Malaysia.

Dalam mempertahankan prinsip tersebut yang selaras dengan perjuangan asal Pas, Allahyarham yang belajar di Universiti Islam Madinah dan kemudian menyambung peringkat sarjana siasah syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir tidak pernah bertolak ansur dan sentiasa tegas memberikan pandangan serta melahirkan pendiriannya.

Bagi Allahyarham, tidak kira kawan mahupun lawan, sekutu ataupun tidak, apabila mereka melakukan tindakan atau membuat kenyataan yang bertentangan dengan perjuangan Islam, Allahyarham akan tampil menyanggah. Justeru bukanlah menghairankan apabila Allahyarham bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan kecaman atau kritikan rakan-rakan sekutu Pas tetapi juga dalam Pas sendiri berikutan ketegasannya.


Harun Taib (tengah) berucap ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali Ke-51
di Perdana Resort, Kelantan pada 15 November 2012.


Dua isu yang paling mendapat perhatian umum ialah ketegasan Allahyarham dalam soal tahaluf siyasi Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Isu pertama tercetus pada Multaqa Ulama SeMalaysia di Alor Setar pada 14 September lalu apabila Allahyarham secara terbuka menyatakan pengaruh Pas dalam pakatan pembangkang semakin lemah. Allahyarham menegaskan, kajian semula berdasarkan kepada garis panduan Majlis Syura Ulama Pas wajar ekoran berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan Pas selain merosakkan hubungan dalam tahaluf siyasi.

Namun niat murni Allahyarham disalahtafsirkan, Allahyarham 'diserang' kiri dan kanan bukan sahaja oleh sekutu Pas tetapi juga di dalam Pas sendiri apabila golongan ulama dituduh gila kuasa dan menjejaskan hubungan parti itu dengan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun Allahyarham ternyata tidak berundur biar pun setapak sebagai pejuang Islam, apabila dalam Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Ke-52 di Shah Alam pada November lalu, Allahyarham secara tegas menyatakan,

"Kami tidak gila dan tamak kuasa, tapi Pas ialah parti Islam, maka sesiapa yang memahami dasar parti, mereka lebih faham kedudukan ulama dalam Islam. Rahsia kekuatan Pas adalah hidupnya Pas sejak 1951 adalah berdasarkan kesungguhan ulama, tidak ada percanggahan yang lain iaitu mahu mewujudkan sebuah negara Islam, negara yang aman dan makmur dan indah. Perjuangan kita sangat berbeza dengan parti lain. Tahaluf syasi (kerjasama politik) perlu disemak dari semasa ke semasa bagi mengkaji setakat mana pelaksanaan Islam boleh dilaksana di ngeri yang kita perintah." katanya.

Konsisten

Dalam perjuangan politiknya, biar pun mempertahankan kerjasama Pas dengan sekutunya, namun Allahyarham tidak mahu melihat Pas menjadi 'pak turut' semata-mata.

Oleh itu Allahyarham akan bersuara apabila melihat sesuatu perkara yang bertentangan dengan prinsip perjuangan Islam. Ini terbukti apabila Allahyarham pernah menegur Kerajaan Pas Kelantan kerana menjemput bintang Akademi Fantasi (AF), Mawi mengadakan konsert di Kota Bharu, Kelantan pada 2005. Ia kerana Mawi bukanlah seorang penyanyi hiburan Islam sebenar, sebaliknya hasil produk sebuah rancangan realiti yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam.

Seorang pemimpin muda Pas memberitahu penulis, Allahyarham adalah antara pemimpin yang paling konsisten dalam perjuangan Islam dan mempertahankan perjuangan asal Pas.

''Sebab itulah dalam isu kalimah Allah, sehingga akhir hayatnya Allahyarham tetap mempertahankan pendirian beliau dan Majlis Syura Ulama bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah suci tersebut," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur.

Sememangnya, isu kalimah Allah membuktikan Allahyarham adalah pejuang dan pembela Islam sejati apabila sanggup berhadapan dengan sesiapa sahaja bagi mempertahankan pendirian Majlis Syura Ulama.

Pada 10 Januari lalu, ketika majoriti pemimpin-pemimpin Pas dan pemimpin Islam dalam pakatan takut tampil untuk mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas kitab Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mempunyai kalimah Allah, Allahyarham secara lantang mengeluarkan kenyataan membela jabatan itu. Allahyarham mahu JAIS tidak tunduk kepada desakan dan arahan supaya kesemua kitab itu dipulangkan.

Isu kalimah Allah menjadi bukti ketegasan dan sikap konsisten Allahyarham dalam memelihara kesucian Islam, malah Allahyarham merupakan satu-satunya pemimpin Pas yang menggesa umat Islam bersatu bangkit mempertahankan kalimah suci itu dengan tidak membenarkan bukan Islam menggunakannya. Atas sikap itu jugalah, Allahyarham pernah menempelak Karpal Singh kerana memperkecilkan peranan Majlis Syura Ulama apabila Pengerusi DAP itu mengatakan majlis tersebut bukan suara majoriti dalam Pas.

Karpal berhujah demikian kerana Pas telah mencapai persetujuan dengan PKR dan DAP bahawa kalimah Allah boleh digunakan bukan Islam asalkan ia tidak disalahkan gunakan. Membalas keceluparan Karpal itu, Allahyarham menganggap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tidak tahu apa-apa tentang Pas dan kehabisan modal.

Bukan sahaja dengan Karpal, malah Allahyarham juga pernah menempelak Azmin Ali dalam isu yang sama apabila Timbalan Presiden PKR itu mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama. Allahyarham berkata, "Dia cakap tak pakai akal, jadi tak payah ambil kira pendapat atau pendirian dia. Tak apalah dia hendak kata apa pun, kita tak ada masalah. Tak jejas apa-apa pun. Apa sahaja yang dia kata, walaupun dia tak setuju tetapi kita tetap dengan keputusan asal.''

Begitulah sikap Allahyarham dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah dan Allahyarham juga secara lantang mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pihak yang cuba meminda Enakmen Agama Bukan Islam yang diguna pakai di negara ini.

''Jangan sesekali beri muka dan layan tuntutan atau desakan mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.'' tegas Allahyarham pada 4 Januari lalu kepada Mingguan Malaysia.

Semangat

Sememangnya jika mahu dicatatkan terlalu banyak jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam membela agama Islam di negara ini. Oleh sebab, sikap istiqamah dalam memperjuangkan Islam itulah yang memungkinkan biar pun mengalami keuzuran dari segi kesihatan sejak 2010, semangat Allahyarham tidak pernah luntur biarpun suatu ketika terpaksa berkerusi roda ke muktamar Pas.

Bagi merumuskan kegigihan Allahyarham ini, berikut penulis paparkan pandangan seorang pemimpin Pas, Dr. Azman Ibrahim;

''Insan hebat sepertinya, bukan setakat berkerusi roda, kalau terbaring di tempat tidur pun, kita masih perlukan buah fikirannya sekalipun jasadnya sudah tak berdaya. Lemahnya sekujur jasad seorang pejuang di jalan Allah adalah kerana tenaga yang telah dicurahkan demi untuk melihat syariat Allah ditinggikan.

''Buat Almarhum Tuan Guru Datuk Harun Taib… Pulanglah ke pangkuan Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Dengan rahmat Allah, kamu adalah dalam kalangan hamba yang soleh dan tempatmu adalah di syurga.''

Sememangnya, umat Islam kehilangan seorang lagi pejuang dan pembela Islam sejati di tanah air kita manakala Pas pula kehilangan seorang ulama yang tegas mempertahankan prinsip perjuangan asal parti itu.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama orang beriman dan beramal soleh - AL FATIHAH.

Zulkiflee bakar zulkifleebakar@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 20140126