January 28th, 2014

Kepentingan ilmu imbangi perbezaan pendapat

Bersikap terbuka, fahami mazhab muktabar, jauhi sifat fanatik rugikan ummah

Kita semua memikirkan apakah kesudahan krisis ekonomi yang berlaku di dunia hari ini. Kita juga melihat kerunsingan masyarakat dunia terhadap krisis itu. Namun, tidak ramai memikirkan krisis dan kebejatan akidah dalam masyarakat Islam.


Sesungguhnya, masyarakat Islam mampu berdiri tegak di atas akidah yang tulen bagi menentukan falsafah hidup mereka secara menyeluruh, sama ada berkaitan prinsip, perjalanan hidup, mahupun tujuan hidup.


Segala-galanya akan menentukan apakah mereka adalah masyarakat yang benar-benar berpegang kepada tauhid dan tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu berlaku syirik dengan sesuatu juga pun.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Ilmu mantap, akhlak tinggi

Nilai ibadah, pemahaman jelas melalui ilmu yang mantap serta akhlak tinggi adalah kesinambungan kepada akidah yang mantap. Masyarakat Islam tegak di atas nilai ibadah yang memperkuat hubungannya dengan Allah SWT melalui amal baik yang jelas pada zahir dan batin.

Ia menzahirkan masyarakat Islam sebagai masyarakat yang menjadikan ibadah teras kehidupan. Semua aktiviti berada dalam kerangka beribadah kepada Allah SWT. Ini membuktikan perhambaan diri kepada Allah SWT.

Tiada pekerjaan paling mulia bagi manusia berakal selain daripada beribadah kepada Allah SWT. Seorang hamba yang taat kepada tuannya tentulah akan berasa senang dan gembira kerana melakukan apa disukai tuannya dengan sebaik-baiknya.

Mereka juga perlu berhati-hati dengan syirik yang tersembunyi. Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil. Sahabat bertanya: Apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjuk. Kemudian Baginda SAW menyambung: Pada akhirat kelak, iaitu ketika setiap manusia melihat amalannya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjukkan) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh peroleh balasan dari mereka itu.” (Riwayat Ahmad)

Segala amalan dilakukan bukan kerana Allah SWT akan menjadi sia-sia dan kosong belaka. Hanya amalan yang tulus kerana Allah SWT dianggap berkualiti dan bermanfaat. Justeru, amalan dilakukan perlu khusyuk dan faham maksud amalan itu.

Jangan biarkan urusan dunia mengganggu atau menjadi penghalang melakukan ibadah. Ulama menyebut: “Sembahyang itu urusan akhirat, maka kamu masuk menunaikannya (bererti) kamu telah keluar dari urusan dunia. Kita juga hendaklah merasakan betapa sedikitnya ibadah yang telah dilakukan dan rasa ingin menambahkan amalan pada setiap masa. Kita mestilah meluangkan sedikit masa untuk membaca al-Quran dan terjemahannya. Nabi SAW bersabda: “Kamu wajib melazimkan dirimu dengan membaca al-Quran kerana ia adalah cahaya untuk untuk kamu di bumi dan perbendaharaan untuk di langit.” (Riwayat Ibn Hibban)

Sentiasa berdoa kepada Allah SWT, memohon perlindungan dari segala bencana dan fitnah dunia akhir zaman. Jadikan doa sebagai perantaraan antara kita dengan Allah SWT. Ibadah yang ikhlas akan melahirkan sifat ihsan yang menyambungkan hubungan dengan Allah SWT.

Masyarakat Islam juga berdiri teguh di atas prinsip ilmu dan pemahaman jelas serta bersikap terbuka dalam memahami fahaman berbeza mengikut mazhab muktabar yang diiktiraf. Kita sebagai umat bertoleransi hendaklah memahami adanya perbezaan dalam menjalankan ibadah dengan menjauhkan sifat fanatik yang merugikan umat.

Ibnu Taimiyah dalam kitab Majmu’ Fatawa berkata: “Di antara sebab-sebab kejatuhan negara Asia Barat oleh orang Tatar kerana banyaknya perpecahan dan fitnah yang terjadi dalam mazhab.”

Di sinilah letaknya kepentingan ilmu untuk mengimbangi perbezaan pandangan di mana Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tiada jurang antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu, ilmu adalah agama.

Darjat orang berilmu

Ilmu juga dapat meninggikan dan membezakan taraf dalam kalangan manusia kerana darjat orang yang berilmu lebih mulia di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah az-Zumar, ayat 9)

Tegaknya masyarakat Islam juga di atas faktor akhlak dan kemuliaan bagi merealisasikan keyakinan mereka terhadap agama serta syariat Allah SWT. Akhlak sebahagian daripada agama yang merangkumi perintah dan larangan Allah SWT yang menghasilkan masyarakat bermoral tinggi.

Amalan berkualiti akan dapat dihasilkan melalui ibadah dan ilmu di samping memahami identiti sebagai umat terpilih. Agama yang sebenar adalah terhasil daripada pelaksanaan amalan yang sempurna dan dilakukan dengan jujur dan ikhlas.

Zamanuddin Jusoh Berita Harian Online Agama 28/01/2014

Ganjaran menolong Mukmin dalam kesusahan

Daripada Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW, sabdanya yang bermaksud, “Sesiapa yang melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang Mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan pada hari kiamat daripadanya. Sesiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di satu rumah Allah dengan membaca kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali ketenteraman akan turun kepada mereka, malaikat menaungi mereka di hadapan makhluk yang di sisi-Nya dan sesiapa yang lambat (kurang) amalannya, maka tidak akan dipercepat mengangkat darjatnya,”. (Riwayat Muslim dan al Tirmizi).


Hendaklah kita sering mengunjungi masjid dan rumah Allah untuk menghadiri kelas pengajian dan majlis ilmu dan mengajak saudara lain untuk sama-sama mempelajari kitab Allah dan sunah.

Kita hendaklah selalu menolong saudara Mukmin di atas muka bumi ini dengan cara membantu dan melepaskan kesusahan urusan dunia daripada hidup mereka"

Sesiapa yang malas beramal, kurang atau lambat amalannya maka Allah tidak akan mempercepatkan urusan mengangkat darjatnya.

Sumber dipetik dari Buku Hadis 40 Imam Nawawi Berita Harian Online Agama 28/01/2014

The golden age of Muslim scholars

YOU think your cheque is a recent invention? Or an innovative by-product of a modern banking system? Think again.


During the time of Caliph Harun Al Rashid (9th century) a Muslim businessman could cash a cheque in Canton, China from his bank in Baghdad. After all, cheque comes from an Arabic word saqq. As early as the 10th century, a book by Ali Abbas al-Majusi helped revolutionise medical studies in Europe. Christopher Columbus studied maps drawn by Muslims before embarking on his historic journey.

The history of mathematics was redefined by the introduction of algebra by Al-Khwarizmi and perfected by Al-Karaji. Trigonometry was largely attributed to the works of Al-Tusi and Al-Battani.

The earliest magnetic compass is found in the work of a Persian, Muhammad Al-Awfi in his Collection of Stories. Caliph Al-Makmun built what was believed to be the first observatory in human history back in the 9th century. The West learned about vaccination from the Turks some 300 years ago.

Let's talk about things as mundane as coffee, clocks and chess. Every day 1.6 billion cups of coffee are consumed the world over, enough to fill 300 Olympic-sized swimming pools. More than 1,200 years ago, an Arab by the name of Khalid discovered the substance on the slope of a highland in Ethiopia.

In the 13th century, Al-Jazari came out with clocks, including water clocks, that defined the way we look at time. Although the idea of chess was nothing new, the Arabs perfected it, and the kings and nobles of the Abbasid Caliphate loved it. The rest as we know is history.

You can find all these facts in an incredible book, 1001 Inventions: Muslim Heritage in Our World, a publication of the Foundation for Science Technology and Civilisations of the United Kingdom. The chief editor is Professor Salim T.S. Al-Hassani and it is co-edited by Elizabeth Woodcock and Rabah Saoud.

It is a fascinating and extremely informative book on inventions attributed to Muslims. It is a journey of intellectual discovery unlike any other. It covers all aspects -- from things you see at home, in schools, markets, hospitals and towns to the matters of the world and the universe.

It discusses the origin of complex issues regarding medicine, astronomy, mathematics and architecture to simple things like the toothbrush, camera, sound system, three-course dinner (yes, that too) and style.

These inventions affected humanity in more ways than one, some significantly, others perhaps marginally. If you know a mosque that later became a university at Fez, Morocco was built by "a devout and pious young woman" by the name of Fatima al-Fihri, you know how Islam positions the importance of education and the role of women.

We all know the illustrious history of Al-Azhar, that had given us great scholars like Ibn al-Haytham and Ibn Khaldun, not to mention later reformists that had influenced our very own Kaum Muda (Young Guards) of the early 19th century.

Sadly, very little is known about the contributions made by Muslims in the world today. The glorious history of Muslim empires in the Arab lands and also in Europe had a profound effect on the world of knowledge and scholarship. The Europeans were in their Dark Ages when Islamic knowledge and inventions were blooming.

Muslim scholars were either learning from other traditions -- the Greek, Chinese and Indian -- and translating great works from various sources, or were coming out with brilliant ideas and concepts of disciplines that changed the world of scholarship.

Tun Dr Mahathir Mohamad famously wrote that when the world celebrated its first millennium, the Muslims were at its pinnacle of achievement. Unfortunately 1,000 years later, the Muslims became backward, weak and marginalised. The Prince of Wales Prince Charles in his speech entitled "Islam and the West" spoke about the ignorance as to the debt the West owed to the Islamic world.

Someone challenged the editor of this book "to fill in the gap" -- about the missing knowledge of the glorious Muslim tradition in the world of knowledge. The world post 9-11 further eroded whatever was left of the respect and appreciation of Muslim contributions.

Islamophobia is rearing its ugly head. Islam is perceived as a faith stuck in medieval mentality. Muslims are perceived as only capable of inflicting carnage on others and unto themselves. Muslims today are pale shadows of their glorious past. This is an incredible book that will help readers see Islam in a new perspective.

And to remind Muslims of the need to replicate the era when Muslims were trailblazers in almost all disciplines known to man.

Al-Azhar has given us great scholars like Ibn al-Haytham and Ibn Khaldun



Johan Jaaffar | zulu.jj@hotmail.com | twitter:@Johan_Jaaffar NST Opinion Columnist 25/01/2014

Selawat hilangkan kemunafikan

RASULULLAH SAW ialah manusia utama yang dimuliakan Allah SWT. Budi pekerti baginda amat luhur dan terpuji. Ini amat sesuai dengan namanya Muhammad yang bererti insan terpuji.

Anas bin Malik pada suatu hari telah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Alangkah rindunya aku untuk berjumpa dengan saudara-saudaraku."

Seorang sahabat bertanya: "Bukankah kami ini saudara mu, ya Rasulullah?"

Rasulullah menjawab: "Benar, kalian adalah sahabat dan saudaraku. Tetapi apa yang aku maksudkan dengan saudara-saudaraku adalah kaum yang datang sesudahku dan beriman kepadaku, padahal mereka tidak pernah berjumpa denganku."

Maksud hadis di atas ialah Rasulullah SAW begitu rindu pada kita (umatnya) yang hidup jauh dari masanya. Rindunya merupakan satu penghargaan untuk kita kerana sampai saat ini kita masih beriman padanya walaupun kita tidak pernah sekalipun berjumpa secara langsung dengan baginda Rasulullah SAW.

Baginda juga sangat peduli pada umatnya. Pada detik-detik terakhir roh kekasih Allah SWT ini akan lepas daripada raga, lisannya berucap: "Ummati, ummati, ummati" (Umatku, umatku).

Baginda masih sempat berfikir akan keadaan umatnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Peristiwa itu adalah sebuah pemandangan di luar kebiasaan manusia umum, Malah amat mengharukan dalam sejarah hidup kita.

Ketika dalam keadaan sakaratul maut, di saat badan mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak, bibirnya sentiasa basah menyebut asma-Nya. Di saat itu, terucap sebuah permohonan yang amat memilukan hati: "Ya...Allah, dahsyatnya maut ini. Timpakan saja semua maut ini kepadaku, jangan pada umat-ku." Sungguh terpuji sekali akhlak Rasulullah SAW.

Hubungan kita

Cuba kita bermuhasabah dan bertanyakan diri, bagaimana hubungan kita dengan Rasulullah di saat ini? Sepatutnya, kita pun merasa rindu dan berterima kasih kepada baginda dengan memperbanyakkan berselawat dan selalu berusaha menjalankan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

Bayangkan keadaan kita saat ini tanpa Rasulullah hadir di dunia ini. Pasti kita akan hidup dalam kegelapan, tidak jelas arah tujuan hidup dan akhlak kita pun akan jauh daripada nilai-nilai yang mulia.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Manusia yang paling mengabaikan aku, adalah orang yang apabila disebut namaku di hadapannya, dia tidak berselawat kepadaku. Selawat kepadaku dan kepada keluargaku menghilangkan kemunafikan."

Sesungguhnya, banyak berselawat kepada Nabi SAW akan mendatangkan syafaat di akhir. Syafaat adalah pertolongan.

Syafaat Rasulullah SAW dapat membantu di kala amal baik kita kurang kerana kita tidak memenuhi syarat untuk masuk ke syurga. Kita akan beruntung kerana syafaat boleh menghindar kita daripada bakaran api neraka yang amat panas itu.



HASHIM AHMAD Utusan Malaysia Bicara Agama 20140128

Daulah Uthmaniyah

PADA abad pertengahan, muncul kerajaan Islam yang berpusat di Turki dan merupakan salah satu daripada tiga kerajaan besar Islam pada masa itu selain Safawiyah dan Moghul. Kerajaan tersebut ialah Uthmaniyah.

Kerajaan Uthmaniyah pernah menjadi negara terkuat dan berkuasa setelah mengalahkan Constantinople (Istanbul) dan kerajaan Rom Timur (Byzantium). Kerajaan ini memainkan peranan penting bagi agama Islam terutamanya dalam meluaskan wilayah Islam.

Kerajaan Uthmaniyah berkuasa selama lebih kurang tujuh abad (1300-1922) dan dipimpin oleh 36 sultan. Puncak kejayaan Uthmaniyah adalah pada zaman Sulaiman 1.

Namun setelah itu, kerajaan ini semakin lama semakin lemah kerana berlakunya pemberontakan dan kalah dalam peperangan dengan bangsa Eropah sehingga akhirnya kerajaan Uthamaniyah dihapuskan dan digantikan dengan penubuhan Republik Turki.

Setelah ditubuhkan oleh Uthman 1, Sultan kerajaan Uthmaniyah terus berusaha untuk meluaskan wilayah kekuasaan mereka.

Agama Islam memainkan peranan utama bagi masyarakat Turki dan menjadi satu-satunya sumber hukum, dengan Mazhab Hanafi sebagai mazhab negara.

Dalam bidang tasawuf, ajaran Tarekat Bektasyi berkembang pesat. Tarekat ini diajar oleh Bektasyi Velidari Khurasan dan terkenal di Anatolia (Asia Kecil) pada 1281.


MAKAM Muhammad Al-Fatih yang merupakan antara pemerintah zaman Uthmaniyah paling menonjol.

Tarekat Bektasyi amat terpengaruh dalam kalangan tentera Janissary, sehingga mereka sering disebut sebagai tentera Bektasyi. Ajaran Tarekat Bektasyi sehingga kini masih terus berkembang.

Sebagai Sultan pertama, Uthman 1 lebih menumpukan usaha untuk memantapkan kekuasaan dan melindungi wilayah daripada serangan musuh, terutama Byzantium. Setelah Uthman meninggal dunia, baginda digantikan oleh puteranya, Orkhan.

Untuk memperkukuhkan kekuasaannya, Orkhan membentuk pasukan yang kuat dikenal sebagai Janissary atau Inkisyariah. Pada zaman Orkhan, peluasan wilayah bermula. Pasukan Janissary terus menakluki Broissa (Turki), Izmir (Asia Kecil) dan Ankara. Pasukan yang dibentuk oleh Sultan Orkhan ini merupakan pasukan kuat dan berjaya menakluki wilayah lain dan meluaskan kekuasaan kerajaan Uthmaniyah.

Uthmaniyah berkembang menjadi kerajaan besar setelah Sultan Uthmanyiah keempat, Bayazid 1, meluaskan wilayah hingga ke Eropah, meneruskan tugas ayahnya, Murad 1. Hal itu membuatkan Eropah menjadi marah lalu berperang menentang Uthmaniyah pada 1396.

Peperangan itu dimenangi oleh Bayazid 1. Pada 1402, Pasukan Timurlane (pemerintah Moghul) menyerang Uthmaniyah. Bayazid 1 ditawan dan Uthmaniyah mengalami kekalahan. Akibatnya, hampir seluruh wilayah Uthmaniyah jatuh ke tangan Timurlane.


KERAJAAN Uthmaniyah pernah menjadi negara terkuat dan berkuasa.

Awal penubuhan

Kerajaan Uthmaniyah ditubuhkan oleh Uthman, putera Ertugrul daripada kabilah Oghuz di daerah Mongol yang datang ke Turki untuk meminta perlindungan pemerintah Saljuk, Sultan Alauddin 11, daripada serangan orang Mongol.

Mereka juga membantu Alauddin berperang menentang Byzantium. Uthman dilantik sebagai panglima perang kerajaan Saljuk, menggantikan ayahnya. Setelah Sultan Alauddin mangkat, Uthman mengambil alih kuasa dan sejak itulah tertubuhnya kerajaan Uthmaniyah.

Puncak kejayaan kerajaan Uthmaniyah dicapai semasa pemerintahan Sulaiman 1 (1520-1566). Baginda digelar al-Qanun (Pembuat Undang-undang) kerana kejayaannya mengubal undang-undang yang mengatur masyarakat.

Selain itu, Sulaiman 1 juga digelar “Sulaiman Yang Agung“. Pada zaman kekuasaannya, Uthmaniyah memiliki wilayah yang sangat luas. Oleh sebab itu, kerajaan Uthmaniyah menjadi negara terkuat dan berkuasa pada waktu itu.

Sepeninggalan Sulaiman 1, Uthmaniyah mula lemah meskipun masih dianggap sebagai kerajaan besar sehingga empat abad berikutnya.

Pada 1453, Muhammad 11 menakluki Constantinople. Dengan penaklukan kota yang merupakan pintu masuk Eropah dan laluan perdagangan Timur dan Barat itu, nasib Barat bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Uthmaniyah.

Muhammad 11 kemudian menjadikan Constantinople sebagai ibu kota kerajaan dan menukar namanya menjadi Istanbul (Takhta Islam). Walaupun telah ditalukinya, Muhammad 11 tetap memberikan kebebasan beragama kepada penduduk Constantinople.

Uthmaniyah kembali bangkit pada zaman Murad 11 dan diteruskan oleh puteranya Muhammad 11 yang digelar al-Fatih (Si Penakluk). Pada zamannya, peluasan kekuasaan Islam dilakukan secara besar-besaran. Beliau berjaya menaluki Constantinople.

Dengan jatuhnya Constantinople, maka kerajaan Uthmaniyah semakin mudah menaluki wilayah lain seperti Serbia, Albania dan Hungary.

Pada 1876, Sultan Abdul Hamid 11 menaiki taktha. Pemerintahannya bersifat mutlak dan penuh kekerasan. Oleh sebab itu, timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan orang awam dan tentera.

Gerakan penentang yang menentang Sultan Abdul Hamid 11 inilah yang kemudian dikenal dengan nama Gerakan Turki Muda. Sementara itu, kumpulan tentera membentuk jawatankuasa rahsia untuk menggulingkan sultan, Jawatankuasa Perkumpulan Persatuan dan Kemajuan yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Mustafa Kamal bersama sekutunya berupaya mengakhiri kekuasaan Sultan Abdul Hamid 11. Pada 1922, Majlis Agung pimpinan Mustafa Kamal menghapuskan jawatan sultan dan mengisytiharkan penubuhan Republik Turki.

Peninggalan

Sebagai ‘bangsa tentera’, Uthmaniyah lebih banyak menumpukan pada kegiatan ketenteraan, sementara dalam bidang ilmu pengetahuan, mereka kurang menonjol. Oleh sebab itu, dalam khazanah intelektual Islam, hampir tidak ada ilmuwan terkemuka dari dinasti ini.

Bagaimanapun, dalam mengembangkan seni bina Islam, kerajaan ini cukup berjasa. Mereka banyak mendirikan masjid yang dihiasi dengan seni khat indah dan bangunan khas lainnya. Masjid Salimiyyah di kota Adrianople yang dibina pada 1570, pada zaman pemerintahan Sultan Salim 11 merupakan salah sebuah bagunan bersejarah peninggalan Kerajaan Uthmaniyah.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140128

Dunia di mata sahabat Nabi

SALAH satu karakter utama yang terdapat dalam diri para sahabat Nabi ialah cinta kebaikan dan berlumba-lumba melakukan amal kebajikan. Setiap kebaikan dilihat sebagai satu peluang untuk meningkatkan darjat mereka di akhirat.

Umar bin al-Khattab bercerita, suatu hari Rasulullah SAW menyuruh kami untuk bersedekah. Kebetulan pada saat itu aku tengah memiliki harta. Aku berkata: "Pada hari ini aku akan kalahkan Abu Bakar!" Aku lalu membawakan setengah hartaku kepada Nabi. Baginda bertanya: "Apa yang engkau tinggalkan bagi keluargamu?" Aku menjawab: "Aku tinggalkan untuk mereka harta sebanyak yang aku berikan ini."

Tidak lama kemudian, Abu Bakar datang dengan seluruh hartanya. Rasulullah bertanya: "Apa yang engkau tinggalkan bagi keluargamu?" Abu Bakar menjawab: "Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya." Umar berkata: "Aku tidak akan pernah mampu mengalahkan Abu Bakar!"

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: "Ini hadis hasan sahih."

Generasi terbaik

Para sahabat merupakan generasi umat manusia yang terbaik. Mereka sangat bersemangat melakukan amal kebajikan dan sangat tegas menentang kebatilan. Mereka sanggup mengorbankan harta demi penyebaran dakwah Islam. Bukan hanya itu, nyata turut sedia dipertaruhkan apabila kaedah itu satu-satunya cara untuk mempertahankan agama Allah SWT.

Dalam kata-kata Ustaz Pahrol Muhammad Joui dalam Majalah Solusi no. 64, para sahabat ialah ‘produk’ perjuangan Rasulullah SAW yang paling berharga. Justeru tidak hairan sekiranya Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menulis: "Seandainya Rasulullah tidak mempunyai satu mukjizat kecuali para sahabat, maka sesungguhnya para sahabat itu telah cukup untuk mengukuhkan status kenabian baginda."

Bagi para sahabat Nabi, dunia seolah tidak berharga berbanding akhirat. Sikap dan ucapan mereka menunjukkan perkara ini. Bagi mereka, harta benda tidak lebih sekadar bekalan untuk menuju kehidupan yang di syurga abadi.

Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Aisyah: "Apabila Abu Bakar masuk Islam, beliau memiliki wang sebanyak 40,000 Dinar (dalam riwayat lain: 40,000 Driham). Beliau lalu menginfakkan semuanya untuk Rasulullah."

Sejarah Islam menjadi saksi sumbangan Abu Bakar kepada Islam. Beliau sering kali membeli tujuh orang hamba yang diseksa tuannya kerana masuk Islam lalu dimerdekakan. Salah seorangnya ialah Bilal bin Rabah, muazin Nabi. Meskipun harga seorang hamba sangat mahal, namun tidak menghalang Abu Bakar untuk membelinya juga demi Islam.

Saling mencintai

Justeru, sangat aneh persepsi sebahagian aliran yang menyakini seolah-olah para sahabat sangat tamak dengan harta dan kekuasaan. Mereka menggambarkan para sahabat tergamak melakukan konspirasi untuk merampas hak Ali bin Abi Talib menjadi khilafah selepas Rasulullah SAW.

Siapa yang mengenal sahabat Nabi dan ketinggian akhlak mereka, tidak akan pernah terbetik di hatinya persepsi seperti ini. Bahkan Ali bin Abi Talib sendiri tidak pernah mengatakan bahawa beliau menerima wasiat untuk menjadi khalifah selepas wafat Rasulullah SAW.

Abu Juhaifah pernah bertanya kepada Ali: "Adakah tuan memiliki pesanan wahyu selain daripada yang terkandung dalam al-Quran?" Sahabat Nabi ini menjawab: "Tidak. Demi Zat yang membelah biji dan menciptakan jiwa. Aku tidak memiliki apa-apa melainkan pemahaman tentang al-Quran dan yang tertulis dalam lembaran ini."

Abu Juhaifah bertanya lagi: "Apakah yang terkandung dalam lembaran itu?" Beliau menjawab: Hukum-hakam tentang denda pembunuhan, membebaskan hamba dan seorang mukmin tidak diqisas kerana membunuh kafir. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sayidina Ali sendiri sangat menghormati Abu bakar dan seluruh sahabat yang lain. Tidak pernah ada dendam, hasad dengki dan perselisihan di antara mereka. Semua sahabat Nabi hakikatnya ialah saudara seiman yang saling mencintai.

Anak beliau yang bernama Muhammad bertanya: Siapa manusia terbaik selepas Rasulullah?" Ali menjawab: "Abu Bakar." Ditanya lagi: "Lalu siapa?" Ali menjawab: "Umar." Muhammad berkata: "Aku bimbang beliau akan berkata Usman, maka aku bertanya: "Kemudian engkau?" Ali menjawab: "Aku hanya seorang daripada kaum muslimin. (riwayat al-Bukhari)

UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Utusan Malaysia Bicara Agama 20140128