January 30th, 2014

Andai jodoh tidak panjang

HANYA tinggal dua hari untuk Zana memberikan keputusan. Tempoh seminggu yang diberikan kepadanya, terasa begitu cepat. Menerima lamaran atau tidak? Ternyata tempoh lima tahun meninggalkan alam perkahwinan, parutnya masih terasa. Mahu sahaja dibuang jauh-jauh memori hitam perkahwinan sebelum ini. Apakah perkahwinan kali kedua ini mampu mengisi kembali sisa-sisa kebahagiaan kehidupan rumah tangga yang pernah terbina dahulu.

Suatu ketika dahulu, tatkala menerima lamaran Zaki untuk memperisterikannya, betapa perasaan gembira dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu. Memang itu yang diharapkannya. Hadirnya seorang lelaki dalam kehidupannya, sekali gus membimbingnya menjadi isteri yang solehah dan mithali.

Merisik daripada teman dan rakan-rakan yang mengenali Zaki, Zana dikatakan menolak tuah andai lamaran tersebut ditolak. Zaki, pemuda yang mempunyai pendidikan ilmu agama, juga berkerjaya. Apa lagi yang dia mahukan? Bukankah Islam juga menyarankan, jika hendak memilih isteri atau suami, maka dalam empat perkara yang perlu diberi perhatian, yang memiliki agama adalah keutamaannya.

Akhirnya Zana bersetuju menerima lamaran Zaki. Harapan Zana, rumah tangga yang bakal dibina bersama Zaki, akan kekal bahagia selama-lamanya. Tapi langit tidak selalunya cerah. Mendung datang bertamu menguji emosi Zana. Pada awalnya Zana tidak mahu mempercayainya. Cerita-cerita yang didengari daripada teman-teman Zaki cuba ditolak mentah-mentah. Dia kenal siapa suaminya. Mana mungkin suaminya mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang! Mustahil. Zaki tidak akan melakukannya.

Suatu malam, Zana menguatkan hati untuk mendapatkan kesahihan daripada mulut suaminya sendiri. Dia tidak mahu terpedaya dengan kata-kata yang disampaikan kerana khuatir terperangkap dalam mainan fitnah.

Dummm! Bagai petir menyambar ke tangkai jantungnya. Zaki mengiakan. Namun yang menjadi penghalang hubungan suaminya dengan perempuan itu,(Mira) ialah ikatan perkahwinan Mira yang tidak mahu dilepaskan oleh si suami, Farid.

Kata Farid, dia mahu melihat sejauh mana perbuatan curang Mira mampu diteruskan. Talak di tangannya dan hanya dia yang akan menentukan nasib si isteri.

Ternyata angau percintaan membuatkan manusia tidak kenal mana kaca, mana permata. Zaki dan Mira masih meneruskan hubungan sulit mereka sekalipun tahu, hubungan itu tidak akan membawa mereka ke alam perkahwinan. Makan, menonton wayang, berlibur, membeli-belah dan apa jua aktiviti yang dilakukan, pasti Zaki akan bersama Mira. Rumah? Hanya malam yang menyambut kepulangannya. Itu pun sekadar untuk merehatkan tubuh yang keletihan.

Sampai bila? Suara hati bertalu-talu mempersoalkan, sanggupkah Zana terus makan hati dengan kerenah suaminya sekalipun berpuluh kali dipujuk dan dinasihati agar melupakan Mira. Namun jawapannya hampa. Mira tetap menjadi pilihan Zaki.

Zana nekad. Dia tidak mahu menjadi isteri dayus ‘berkongsi’ dosa bersubahat dengan maksiat yang dilakukan oleh si suami. Zana memohon agar Zaki menceraikannya. Tapi Zaki enggan. Jalan akhir, Zana memfailkan fasakh dan akhirnya berjaya.

Setelah segala urusan selesai, Zana membuat keputusan pulang ke rumah orang tuanya bersama tiga cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Zaki. Zaki ditinggalkan dalam keadaan masih lena dibuai mabuk cinta dengan isteri orang!



NORAZMAN AMAT Utusan Malaysia Bicara Agama 20140129

Hak asasi Islam bukan seperti Barat

GERAKAN halus penularan ideologi barat dalam kalangan umat Islam bukan perkara baru, sebaliknya merupakan gerakan terancang yang telah lama diatur oleh pihak tertentu.

Sehinggakan tanpa disedari, pemikiran umat Islam, khususnya di negara ini sedikit sebanyak telah terkesan oleh ideologi asing tersebut walaupun terdapat yang jelas bertentangan dengan norma seorang Muslim.

Bukan sahaja dalam aspek etika, budaya dan sosial masyarakat, malah ideologi tersebut juga dilihat telah berjaya menembusi ke dalam corak pemerintahan dan perundangan negara termasuk menerusi sistem hak asasi manusia.

Berikutan itu mendorong individu yang terpengaruh untuk bertindak agresif dan semakin lantang bersuara bersandarkan atas nama hak kebebasan tanpa mengambil kira batasan yang ditetapkan oleh syariah.
















Dalam konteks Barat, hak asasi individu lebih diberi keutamaan berbanding
hak asasi masyarakat - Oleh Mohd Shah Che Ahmad Gambar Saiful Bahari Ashari

Antaranya tohmahan tiada kebebasan agama dan larangan perkahwinan sejenis di negara ini juga telah mula kedengaran sehingga tersebar bukan sahaja di dalam negara, bahkan seluruh dunia.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sikap segelintir masyarakat yang cuba melaksanakan ideologi hak asasi Barat di negara ini hanya menimbulkan kesan negatif terhadap negara.

Sehubungan itu tambahnya, sebagai umat Islam harus berpaksikan hak kebebasan bersandarkan batasan yang digariskan menurut al-Quran dan sunnah selain berpandukan kepada perlembagaan yang ditetapkan.

"Dalam konteks di Barat, hak asasi individu lebih diberi keutamaaan berbanding hak asasi masyarakat. Ini sehinggakan tiada masalah bagi mereka untuk menolak adat dan kepercayaan agama.

"Sebagai contoh, atas hak asasi individu mereka menuntut untuk berkahwin sejenis. Begitu juga yang meminta tidak perlu berkahwin jika dah suka sama suka kerana akan bercerai juga, jika sudah benci sehingga menggugurkan institusi perkahwinan.

"Apa yang kita lihat sekarang, ideologi itu telah terbawa ke negara kita oleh sebahagian daripada kita yang terpengaruh dengan fahaman tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kebangsaan Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Forum disampaikan oleh Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar; Bekas Ketua Hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan Fellow Utama Akademik di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Profesor Dr. Muddathir Abdel Rahim.

Dr. Mahathir turut menyifatkan penyebaran ideologi hak asasi Barat kepada umat Islam di negara ini merupakan satu serangan yang perlu diberi perhatian.

"Seminar seperti ini penting bagi masyarakat untuk mengenal pasti tahap dan batasan dalam hak kebebasan kita untuk menangkis serangan-serangan ideologi seperti ini.

"Masyarakat juga perlu terima sekatan-sekatan hak kebebasan ini seperti yang terdapat dalam agama. Ini kerana setiap kebebasan mempunyai hadnya," ujarnya.

Hipokrasi Barat

Senada dengan itu, Dr. Chandra berkata, slogan hak asasi manusia yang selama ini diperjuangkan oleh Barat hakikatnya hanya hipokrasi dan propaganda untuk kepentingan sendiri.

Ia dibuktikan menerusi pelbagai rekod fakta yang menunjukkan pelbagai bencana, peperangan dan kehancuran berlaku kerana disebabkan oleh campur tangan Barat secara langsung mahupun tidak langsung.

"Keangkuhan Barat dengan mendakwa mereka yang mengasaskan hak asasi manusia, tetapi sebenarnya mereka bukanlah pengasas seperti yang diperkatakan. Sebaliknya barat hanyalah mengembangkan hak asasi manusia.

"Jika kita lihat tamadun Barat lebih banyak menafikan hak asasi manusia kepada tamadun lain. Sebagai contoh pelbagai pencerobohan, penghapusan budaya dan pembunuhan berlaku adalah disebabkan mereka.

"Ini jelas menunjukkan mereka lebih mementingkan hegemoni dan kuasa berbanding demokrasi sebagaimana yang dilaungkan menerusi penubuhan pelbagai pertubuhan hak asasi antarabangsa," katanya.

Justeru tambahnya, masyarakat terutama umat Islam perlu menilai kembali prestasi hak asasi manusia yang dibawakan oleh Barat.

"Kita perlu mengatasi kelemahan amalan hak asasi manusia dengan menunjukkan kepada dunia menerusi contoh amalan sebagaimana yang dilakukan menerusi sunnah dan prinsip khalifah sebelum ini.

"Ini kerana prinsip khalifah bukan sahaja mempunyai kuasa dan hak tetapi turut mementingkan amanah dan tanggungjawab yang diberikan sebagai seorang pemerintah," jelasnya.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140129

Rintihan Muslim Perancis

SETIAP tahun beribu-ribu jenazah umat Islam warga Perancis telah dihantar pulang untuk dikebumikan di Maghribi. Secara amnya, mungkin ramai beranggapan penghantaran itu sebagai satu lambang kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada negara asal mereka.

Ditambah pula, urusan penghantaran jenazah yang memakan belanja yang besar serta terpaksa melalui perlbagai prosedur rumit kerana ia melibatkan penerbangan, pentadbiran konsulat dan pakar pengebumian.

Begitu pun, sebenarnya trend tersebut telah menimbulkan banyak persoalan iaitu mengapa tidak dikebumikan sahaja di Perancis kerana pastinya lebih murah dan tidak perlu melalui urusan yang rumit.

TUMPUAN PERANTAU... Pemandangan salah sebuah tanah perkuburan yang terletak di Fes, Magribi.
Susunan HASHNAN ABDULLAH Gambar ehsan BBC News Magazine

Apa lagi, negara Perancis yang mereka diami telah ditakdirkan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka di sana mungkin buat selama-lamanya.

Jawapan kepada persoalan itu mempunyai kaitan dengan isu kerumitan identiti kebangsaan yang dialami dalam kalangan golongan imigran itu.

Selain dikaitkan dengan ketaksuban kerajaan Perancis dengan nilai-nilai sekular ‘republik’ yang membawa polisi keengganan untuk memberikan tanah bagi tujuan yang berkaitan dengan perkara-perkara akidah kepercayaan.

Dalam satu temubual dengan BBC News Magazine, Paris, baru-baru ini, salah sebuah syarikat pengurusan jenazah, el-Ouadjib yang terletak di Lille, utara Perancis, menyatakan bahawa kira-kira 70 peratus daripada keluarga Muslim warganegara Perancis memilih untuk menanam jasad di tanah asal kelahiran mereka atau mana-mana tempat yang mempunyai tanah perkuburan Islam.

Penerbangan

Pemiliknya, Abdallah Hadid berkata, orang ramai mungkin tidak menyedari bahawa pada kebanyakan penerbangan dari Perancis ke bandar-bandar besar di Afrika Utara terdapat jenazah orang Islam di dalamnya iaitu antara satu hingga empat jenazah, bergantung kepada saiz pesawat.

"Walaupun proses penghantaran itu adalah rumit dan melibatkan kos lebih kurang $2,500 euro (RM11,250), tetapi kini semakin ramai menggunakan syarikat-syarikat insurans bagi membolehkan mereka membayar sedikit setiap tahun untuk memastikan terdapat wang yang mencukupi bagi penghantaran balik apabila mereka mati kelak," katanya.

Dianggarkan kira-kira 4.5 juta umat Islam di Perancis pada 2009 dan Islam menjadi agama kedua terbesar selepas Roman Katolik. Majoriti mereka mempunyai latar belakang etnik di bekas jajahan Perancis di Afrika Utara (Algeria, Maghribi dan Tunisia).

Bertahun lamanya, umat Islam warga Perancis telah memohon untuk memperoleh kawasan tertentu dalam lot tanah perkuburan bawah pentadbiran majlis perbandaran. Sayangnya, permohonan mereka itu sering kali ditolak oleh pihak berkuasa Perancis yang terbabit.

Namun daripada segi amalan, semakin banyak kawasan perkuburan Islam yang diwujudkan di tanah perkuburan terbabit hanya kerana kubur orang Islam diletakkan bersebelahan antara satu sama lain. Walaupun ia bukan sesuatu yang rasmi tetapi amalan tersebut diterima.

Satu lagi masalah bagi umat Islam ialah lot tanah di kawasan perkuburan di Perancis itu biasanya untuk tempoh sementara. Keluarga Muslim mengambil pajakan selama 30 atau 50 tahun dan selepas tempoh pajakan itu tamat, mayat akan ditanam di kawasan perkuburan yang bercampur dengan penganut agama lain.

Hakikatnya, dasar tersebut telah menyinggung ramai orang Islam kerana percaya jasad yang ada di dalam tanah tidak boleh disentuh dan dalam masa sama, Islam tidak membenarkan wujudnya percampuran pengkebumian dengan penganut agama lain.

Maka tidak hairanlah, bagi mengelakkan generasi akan datang terpaksa menanggung kos memperbaharui pajakan lot tanah kubur di Perancis, justeru mereka lebih suka dan memilih agar jasad mereka dihantar pulang ke negara asal.

Hak bersuara

Menurut Rektor Masjid Besar Paris, Dalil Boubakeur, masalah tanah perkuburan amat penting kepada umat Islam di Perancis dan perdebatan mengenainya, sama ada untuk menghantar pulang atau mengebumikan di Perancis boleh dikatakan diadakan setiap hari.

"Kini terdapat enam juta umat Islam di Perancis. Mereka membayar cukai, mereka mengundi, mereka mengambil bahagian dalam kerajaan tempatan. Mengapa mereka tidak mempunyai hak bersuara dalam soal ini," soal Boubakeur.

Sementara itu, seorang ahli akademik yang banyak menulis tentang isu itu, Yassin Shaibi menyifatkan hari yang mengembirakan hidup setiap orang Muslim warga negara Perancis adalah apabila jasad mereka boleh ditanam di negara itu tanpa wujud sebarang konflik daripada sudut agama.

"Tetapi hakikatnya, kita masih belum lagi sampai pada tempoh masa itu. Ada sesuatu yang belum selesai mengenai identiti Islam di sini. Ramai yang tidak betul-betul aman.

"Untuk benar-benar aman bermakna bersedia untuk mati di sini hanya kerana mereka telah tinggal di sini," katanya.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140129

Berjaya buktikan Islam itu indah

INSIDEN serangan 11 September 2001 banyak mengubah kehidupan dan kerjaya lelaki ini. Beliau adalah Mike Abdeen, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yangf berjawatan Sarjan di Jabatan Sheriff di daerah Los Angeles (LA), AS dan merupakan seorang Islam.

"Tidak dinafikan, selepas peristiwa itu wujud pelbagai persepsi dalam masyarakat AS terhadap agama dan budaya orang Islam. Dalam kalangan rakan-rakan sekerja juga jelas kelihatan di raut wajah mereka mempunyai andaian yang sama.

"Memang sukar untuk menerima apabila banyak persoalan, benarkah, kenapakah, mengapa Islam bertindak sedemikian. Tetapi saya anggap ini satu cabaran dan peluang untuk rakan-rakan sekerja memahami apa itu Islam dan budaya orang Islam, maka saya ambil tanggungjawab ini untuk memperbetulkan semua andaian," katanya.

Beliau berkongsi kisah itu dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia, baru-baru ini sempena kehadirannya ke Malaysia sebagai panel pada bengkel serantau mengenai menangani keganasan melalui kepolisan komuniti dan jangkauan anjuran pusat anti keganasan di Asia Tenggara (SEARCCT).

Mengubah persepsi

Abdeen, 51, yang dilahirkan di Jerusalem bersungguh-sungguh mahu komuniti di AS mengubah pemikiran dan persepsi lapuk tentang kaitan antara pengganas dengan Islam. Maka beliau mencadangkan jabatannya menubuhkan satu program wajib untuk setiap anggota memahami budaya, agama, pegangan hidup dan sensitiviti setiap masyarakat di dunia.

Alhamdulillah kata beliau, program yang diwujudkan sejak insiden tersebut masih berlanjutan sehingga hari ini dan berikutan usaha tersebut perubahan demi perubahan dalam jabatan Sheriff terhadap Islam dan budaya masyarakat dunia amat positif.

Misi bapa kepada empat orang anak ini sejak pertama kali diterima sebagai satu-satunya pegawai polis beragama Islam di Los Angeles 20 tahun lalu adalah untuk mengubah masyarakat AS supaya bersikap realistik, terutama bertindak sama rata dalam memberi layanan kepada masyarakat termasuk tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Beliau bersyukur selama 22 tahun membantu AS dalam menjaga keselamatan negara dan rakyatnya selain meskipun beragama Islam misinya itu semakin tercapai apabila di Los Angeles sahaja sebanyak 60 masjid telah didirikan dan pelbagai program ibadah dijayakan termasuk mengadakan iftar bersama masyarakat bukan Islam sebagai aktiviti tahunan sepanjang Ramadan.

"Tidak susah untuk menjalankan tugas sebagai pihak berkuasa dan beragama Islam di AS. Malah ada kalanya saya dan beberapa rakan lain yang merupakan polis dan beragama Islam menjadi rujukan dan lebih mudah didekati oleh masyarakat tempatan. Mungkin ini bukti Islam itu indah.

"Komuniti di LA pada ketika ini bersikap terbuka. Kami mengamalkan sikap toleransi. Tidak menafikan mana-mana hak walaupun berlainan bangsa dan agama. Jujur saya katakan, saya tiada masalah dengan masyarakat dan jiran-jiran. Mereka hormat Islam," katanya.

Menjadi contoh

Melihat jiwa besar Abdeen untuk mengubah persepsi rakyat AS tentang Islam, sememangnya wajar dicontohi rakyat negara ini untuk terus memartabatkan Islam tanpa mudah dicerobohi pengkhianat. Meskipun beliau berjihad untuk Islam menerusi pendekatanya sendiri namun tidak pernah sesekali membelakangkan undang-undang negara itu.

Usahanya untuk Islam sememangnya tidak sia-sia kerana pada 2010, beliau mendapat penganugerahan daripada Persatuan Keamanan California kerana menubuhkan unit hal ehwal masyarakat Islam dan pada Oktober tahun lalu, beliau diiktiraf sebagai pejuang hak asasi persatuan polis berikutan penglibatannya dalam banyak forum dan penulisan mengenai hubungan baik antara komuniti dengan Islam.



MUZDALIFAH MUSTAPHA Utusan Malaysia Bicara Agama 20140129

Sifat bakhil boleh binasakan umat

Orang kaya yang bersyukur adalah orang yang mencari harta dengan cara yang halal dan menggunakan harta itu pada jalan yang disuruh oleh Allah SWT. Allah SWT bersabda yang bermaksud: “Sesiapa memberikan hartanya pada jalan Allah dan bertakwa, dan mengakui dengan yakin adanya pahala yang terbaik (syurga), Kami permudahkan untuknya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan).” (Surah al-Lail, ayat 5-7)


Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali dapat mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa juga yang kamu dermakan, sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)


Jabir berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Saudara semua hendaklah takut melakukan penganiayaan, sebab perbuatan menganiaya itu menyebabkan pelbagai kegelapan pada hari kiamat. Saudara semua hendaklah takut pada perbuatan bakhil, sebab sifat bakhil itu membinasakan umat sebelum saudara. Bakhil menyebabkan mereka menumpahkan darah sesama sendiri, dan menghalalkan apa yang diharamkan ke atas mereka.” (Riwayat Muslim)

Berita Harian Agama 30/01/2014

Usah takbur dengan habuan dunia

Ilmu yang bermanfaat tidak dapat dinilai dengan mata kasar, tetapi nilainya amat tinggi kerana mampu mencelikkan hati yang buta dengan kejahilan dan kesesatan. Oleh itu, jangan takbur dengan habuan dunia sebaliknya berusaha mendapatkan ganjaran yang kekal di akhirat nanti.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Negeri Akhirat itu kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah al-Qasas, ayat 83)

Ini mengingatkan kita tiada kehidupan yang baik buat orang sombong dan takbur di akhirat kelak, melainkan hamba-Nya yang bertakwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Orang sombong

Orang yang sombong juga tidak disukai Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW kita akan cepat menyedari Baginda sangat menitikberatkan hubungan baik sesama insan, hormat menghormati serta tidak sombong walaupun apabila berdepan musuh.

Bahkan sifat pemaaf Rasulullah SAW sepatutnya menjadi perangsang kepada kita untuk membina silaturahim dengan sesiapa saja walaupun dengan orang yang telah menzalimi kita jika dia kembali kepada Allah SWT dan rasul-Nya.
Sikap penghuni mereka

Diriwayatkan daripada Harithah bin Wahab, “Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Mahukan aku khabarkan kepadamu sikap penghuni neraka: orang yang berperangai kasar, mendabik dada saat berjalan lantaran sombong.” (Muttafaq ‘alaih)

Orang yang sombong menghina orang lain di dunia, di akhirat kelak mereka turut mendapat kehinaan Allah SWT. Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah SWT, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa.

Sifat sombong boleh dijernihkan dengan tawaduk dan menghambakan diri kepada Ilahi. Hubungan baik sesama manusia juga bertitik tolak daripada hubungan baik dengan Allah SWT. Orang yang tinggi sifat kehambaannya akan merendah hati apabila bermuamalah sesama makhluk.

Berita Harian Agama 30/01/2014