February 2nd, 2014

Didik anak kenali tanda baligh

Saya adalah seorang ibu muda berusia 33 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun. Dia sudah menunjukkan tanda-tanda akan baligh. Cuma anak saya belum haid. Boleh ustaz syorkan cara memberitahu dan mengajar dia menguruskan diri untuk menghadapi saat itu?

Marisa Mahmud, Klang

Usia baligh sama ada bagi anak lelaki ataupun perempuan adalah proses semula jadi yang dialami setiap manusia. Ia adalah petanda perubahan seorang kanak-kanak ke alam dewasa yang lebih mencabar. Menjadi kewajipan kepada ibu bapa memberikan penjelasan dan pengetahuan mengenai tanda-tanda baligh dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul setelah mencapai usia dewasa.


Jelaskan tiga perkara asas

Semua perkara ini perlu dilakukan setahun atau dua tahun sebelum mereka mencapai usia matang. Tiga perkara asas yang perlu dijelaskan kepada anak-anak sebelum mereka baligh:


1. Mengenali darah haid bagi perempuan dan air mani dan mimpi basah bagi lelaki. Sebaiknya ibu memainkan peranan menjelaskan mengenai kedatangan haid bagi anak gadis yang mencapai usia tertentu sekitar sembilan atau 10 tahun. Kesan daripada pengeluaran darah haid ini mungkin menyebabkan anak berasa sakit sedikit atau sakit yang teruk seperti senggugut. Dia juga mungkin berasa lemah dan tidak bermaya untuk melakukan kerja-kerja lain.

Bagi lelaki pula, ayah lebih sesuai memberikan penjelasan mengenai baligh dan mimpi basah pertama yang menandakan akil baligh. Dalam usia anak mencapai 12 hingga 15 tahun, mereka sudah mula mengalami mimpi basah, iaitu mimpi yang menyebabkan mereka mengeluarkan air mani. Ciri-ciri air mani yang pekat, berwarna keputihan dan baunya perlu diterangkan kepada anak. Sekiranya tidak, dibimbangi anak tidak dapat mengetahui dia telah bermimpi basah dan tidak mandi wajib.

2. Menjelaskan perubahan yang berlaku ke atas fizikal dan emosi mereka bagi membantu mereka menghadapinya dengan baik.

a. Perubahan fizikal dan mental bagi anak gadis yang telah baligh.

- Payudara menjadi lebih besar daripada sebelum ini. Pembesaran secara perlahan-lahan ini kadang kala menyebabkan kesakitan kepada mereka hingga tidak boleh disentuh.

- Bulu ari-ari mula tumbuh pada bahagian ari-ari. Mereka perlu diajar mencukur bagi menjaga kebersihan bahagian sulit.

b. Perubahan fizikal dan emosi lelaki yang baligh:

- Suara menjadi garau dan serak.
- Bulu ari-ari mula tumbuh pada bahagian pubik.
- Otot tubuh mula kelihatan.
- Misai dan janggut tumbuh.

3. Mengajar kepada mereka hukum hakam bagi anak yang sudah baligh.

a. Kewajipan melaksanakan ibadat bagi anak yang sudah baligh adalah seperti orang dewasa. Apabila baligh, mereka sudah wajib menunaikan solat fardu dan puasa Ramadan dengan sempurna. Sekiranya sebelum baligh ibu bapa sudah mendidik mereka bersolat dan berpuasa dengan baik, tiada masalah bagi mereka meneruskan tanggungjawab ini dengan sempurna.

b. Pengharaman beribadah seperti solat, membaca dan memegang al-Quran dan puasa ketika sedang haid.

c. Mengenali waktu permulaan dan pengakhiran darah haid bagi mengetahui waktu wajib melakukan ibadah dan waktu diharamkan. Tempoh minimum haid adalah sehari semalam, tempoh biasa ialah tujuh hari tujuh malam sementara paling lama ialah selama 15 hari. Selepas hari ke-15, darah yang keluar dianggap sebagai darah istihadhah yang mewajibkan perempuan bersolat. Mereka perlu diajar bersuci, berwuduk dan bersolat dalam keadaan istihadah.

d. Menunjukkan tatacara mandi wajib selepas bersih daripada haid atau selepas mimpi basah atau selepas keluar air mani. Kecuaian dalam mendidik anak mandi wajib dengan sempurna menyebabkan hadas besar tidak terangkat dan segala ibadah yang mewajibkan bersih daripada hadas besar, menjadi tidak sah.

e. Menguruskan tuala wanita yang telah digunakan. Tuala wanita yang mempunyai darah haid perlu diuruskan dengan baik. Tuala yang berdarah ini sebaiknya dibasuh dulu hingga hilang kesan darah padanya sebelum dibuang ke dalam tong sampah atau lebih baik ditanam.


Perlu pelihara aurat

f. Membimbing mereka memelihara aurat mereka dan memelihara pandangan mereka daripada melihat aurat orang lain. Apabila baligh, berlaku perubahan pada tubuh anak gadis hingga menjadikannya lebih wanita daripada sebelum ini. Justeru, mereka perlu memelihara aurat mereka dan memakai pakaian yang memelihara aurat dengan sempurna. Mereka juga perlu dilatih agar memelihara pandangan mereka daripada melihat aurat orang lain dan melihat perkara yang boleh menaikkan syahwat seperti menonton televisyen dan melayari i nternet.

g. Hadkan pergaulan mereka dengan kawan-kawan dan ahli keluarga. Sekiranya sebelum ini, anak gadis bebas bermain bersama adik beradik, saudara mara dan jiran yang berlainan jantina, selepas baligh pergaulan seperti ini perlu dihadkan. Senda gurau antara adik beradik juga ada had tertentu. Malah mereka juga perlu menjaga batasan mereka dengan ibu bapa mereka sendiri. Tidak boleh lagi berpeluk cium secara berlebih dengan abang, adik lelaki, ayah, bapa saudara atau datuk.

h. Memelihara aurat waktu dengan meminta izin terlebih dulu sebelum memasuki bilik ibu bapa atau saudara yang sudah berkelamin. Firman Allah berkaitan isu ini bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang yang belum baligh daripada kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah solat Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian dari tiga masa berkenaan, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk di antara kamu dan mereka.

Dan apabila kanak-kanak daripada kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara minta izin orang yang berkenaan dulu, Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. - (Surah an-Nur, ayat 23-24)

Rohidzir Rais Berita Harian Online Agama 2014/01/26 - 06:59:57 AM

‘Dapat sampul kosong, minyak kereta kering’

Selepas lima tahun pemergian penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Allahyarham Asri Ibrahim, populariti beliau terus membayangi Ghazali Ibrahim, 42, yang masih dirujuk sebagai ‘adik Ustaz Asri Rabbani’.

Sudah hakikatnya begitu, anak kelapan daripada 13 adik beradik itu tidak pernah kisah mengenai rujukan itu, sebaliknya mengakui sebahagian besar kejayaan dicapai hari ini kerana menumpang populariti abang yang memudahkan beliau bergerak serta senang diterima.

“Sebelum abang saya popular sebagai penyanyi nasyid, saya sudah mula berdakwah dalam program televisyen. Tetapi sebab saya bukan personaliti, jadi ke mana saya pergi orang akan kata saya adik Ustaz Asri.



Ustaz Ghazali bersama kakitangannya. - FOTO SHIRAZ ALI

“Cuma sekarang ini jika 10 tempat saya pergi, ada tiga yang masih menyebut. Saya tidak kisah kerana dengan adanya Allahyarham dulu, saya lebih senang diterima,” katanya di pejabatnya di Akademi Al-Ghazali di Bandar Baru Selayang, Selangor.

Pada sesi wawancara yang berlangsung dalam suasana santai itu, Ghazali berkongsi pengalaman berdakwah selama 20 tahun, ada yang manis, pahit dan tidak kurang meninggalkan kenangan mencuit hati apabila diingat kembali.

Penasihat Al Balad Travel & Tours Sdn Bhd itu berkata, kebanyakan pendakwah pasti pernah mengalami peristiwa ‘sampul kosong’ sepanjang mereka memenuhi undangan berceramah dan ujian itu diterima dengan berlapang dada.

Namun di sebalik kisah itu, beliau ingin membetulkan persepsi sesetengah masyarakat kerana tugas berdakwah bukan untuk mencari makan tetapi rezeki mereka ada di situ. Pihak yang menjemput pendakwah atau penceramah perlu memikirkan keperluan itu.

“Pernah selepas beri ceramah saya diberi sampul surat kosong. Ketika itu semua ahli jawatankuasa surau sudah hilang. Tertulis pada sampul, ‘teruskan perjuangan - takbir’. Bayangkan ketika itu kebetulan minyak kereta memang kering dan saya perlu balik ke Tanjung Malim.

“Takkan saya nak tunjuk atendan di petrol stesen tulisan pada sampul itu. Nasib baik saya ada kad mata ganjaran yang boleh ditebus dengan petrol. Disebabkan itu saya terpaksa ikut jalan lama untuk mengelak tol.

“Niat pendakwah tidak pada bayaran dan bayaran juga bukan untuk ilmu yang disampaikan tetapi sekadar memenuhi keperluan kerana petrol, tol, penginapan, perlu difikirkan. Oleh itu, jika jemput ustaz, fikirkan kesediaan mereka untuk berdakwah,” katanya.

Walaupun kisah itu diceritakan sambil ketawa, namun bagi Ghazali ia wajar menjadi pengajaran kepada pendakwah khususnya golongan muda hari ini supaya bersiap sedia dengan cabaran serta ujian perlu dihadapi dalam menyebarkan syiar Islam.

Memulakan kerjaya di Lembaga Zakat Selangor selepas menamatkan pengajian di Universiti Baghdad dalam bidang syariah pengkhususan Fiqh wal Usul, Ghazali terbabit dengan ceramah di televisyen apabila RTM menawarkan slot ceramah dalam program Inspirasi Pagi.

Selepas itu, beliau menerima tawaran untuk berkongsi ilmu agama daripada stesen lain hingga sekarang wajahnya terus menghiasi skrin televisyen, jika tidak menyampaikan ceramah tetapi sebagai hos membicarakan topik tertentu bersama penceramah lain.

Mengulas perkembangan dakwah yang meliputi pelbagai medium serta teknologi terkini termasuk laman sosial seperti Facebook dan Whatsapps, katanya, ia adalah satu transformasi positif kerana perkongsian ilmu menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, tidak dinafikan kebaikan itu boleh menjadi sebaliknya apabila teknologi disalahgunakan. Oleh itu, khususnya dalam hal membabitkan ilmu agama, umat Islam perlu bijak menapis maklumat yang diterima.

Ghazali mengakui peningkatan minat mendalami ilmu agama dalam kalangan masyarakat Islam yang memberangsangkan kini dan berharap mereka mengikut cara yang betul supaya ilmu diperoleh benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan di dunia serta akhirat.

Justeru, bagi pengajian mingguan, beliau menyarankan pendakwah menyediakan kitab atau silibus yang boleh dijadikan bahan rujukan nanti. Sementara ceramah umum, setiap penceramah mempunyai pendekatan masing-masing.

“Memang bagus semua hendak belajar, pergi surau, tengok program agama di televisyen tetapi masalahnya apabila tidak ada silibus, semua hendak dicekau. Itu yang timbul masalah ustaz itu kata begini dan ustaz lain pula kata begitu.

“Sebenarnya ustaz hanya mensyarahkan perkara sama iaitu perkara asas mengikut kaedah masing-masing. Apabila apabila adanya kitab, membantu kita merujuk dan membacanya kemudian untuk meningkatkan kefahaman. Ini dapat mengelakkan khilaf,” katanya.

Tidak dinafikan pendakwah kini termasuk dalam kerjaya glamor dengan kehadiran ramai ustaz selebriti dan bagi Ghazali, pengiktirafan itu memudahkan usaha dakwah khususnya apabila mereka dijadikan ikon.

Namun, beliau ada pandangan tersendiri mengenai rancangan realiti yang dilihatnya tidak wajar kerana hakikatnya untuk melahirkan pendakwah bukan seperti ‘petik jari - boleh jadi’. Katanya, pendakwah perlu berilmu dan berkemampuan menyampaikan ilmu itu dengan baik.

Bagi dirinya, beliau lebih senang pendekatan santai untuk membincangkan topik yang ada kaitan dengan amal ibadat harian umat Islam kerana isu berat lebih sesuai dibahaskan dalam seminar atau program wacana.

“Kita nak mesej benar-benar sampai, jadi kena pandai. Selalunya ceramah 40 minit saya kemukakan satu petikan ayat al-Quran, hadis Rasulullah SAW, kemudian kaitkan kisah yang dekat dengan masyarakat,” katanya.



Hasliza Hassan Berita Harian Online Agama 2014/02/02 - 02:18:30 AM

Hakikat cinta Rasulullah

ALHAMDULILLAH saya rafakkan setinggi kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana dengan izin-Nya dapat memberi sumbangan artikel tafsir dalam ruangan di Mega, Utusan Malaysia ini. Artikel ini dan seterusnya masih lagi berkaitan dengan Rasulullah SAW. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga keluarganya.

Antara syarat mengzahirkan cinta kepada Allah SWT hendaklah mengikut Nabi Muhammad SAW. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (ali-Imran: 31)


MENCINTAI Rasullullah SAW mestilah disertai dengan mengikuti sunnah baginda. - Gambar hiasan

Ibnu Kathir dalam tafsirnya berkata: "Ayat pemutus bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah SWT tetapi tidak menempuhi jalan Muhammad SAW, bahawa dia ialah pembohong dalam pengakuan cintanya itu sehingga dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya."

Sayyid Qutub dalam kitabnya, Fi Zilal al-Quran berkata: "Cinta kepada Allah SWT bukannya dakwaan dengan lisan dan bukannya kerinduan hati semata-mata, malah mestilah disertai dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW, berjalan mengikut hidayatnya dan mengamalkan sistem hidupnya di dalam kehidupan. Keimanan juga bukan kalimah-kalimah yang diucapkan dan bukannya perasaan-perasaan yang berkobar-kobar dan bukan pula syiar-syiar yang diada-adakan, tetapi keimanan itu ialah ketaatan kepada Allah dan Rasul dan mengamalkan sistem hidup yang diatur oleh Allah SWT dan yang dibawa oleh Rasulullah SAW."

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya berkata mengenai ayat yang pertama: "Ayat yang mulia ini menghukumkan setiap orang yang mendakwa kasihkan Allah SWT, sedangkan dia tidak mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW, bahawa dia sebenarnya dusta sehingga dia mengikut syariat Muhammad dan agama Nabi-Nya dalam segala tutur kata dan amalan-amalannya, sebagaimana telah sabit di dalam sebuah hadis yang sahih daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang megerjakan sesuatu amalan yang tidak disahkan oleh agama kami, maka amalan itu adalah ditolak. (riwayat Muslim)

Mencintai Baginda Rasulullah SAW tiada khilaf di kalangan ulama, hukumnya adalah wajib, bahkan ia termasuk dalam kesempurnaan iman.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak beriman seseorang kamu, sehingga aku lebih dicintainya daripada bapa, anak dan manusia kesemuanya. (riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah SAW: Engkau wahai Rasulullah SAW adalah lebih aku cintai daripada semua perkara melainkan diri aku sendiri." Maka Rasulullah SAW berkata: "Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada dirinya sendiri." Umar berkata: "Demi Tuhan yang menurunkan al-Kitab engkau adalah lebih aku cintai daripada diri aku sendiri." Baginda berkata kepada Umar: "Sekarang engkau beriman wahai Umar! (riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Ali r.a telah berkata: "Rasulullah SAW adalah lebih kami cintai daripada harta, anak-anak, bapa-bapa, ibu-ibu dan daripada air nyaman di waktu dahaga." (riwayat Qadi Iyad di dalam Kitab al-Syifa’)

Semoga artikel yang kecil dan ringkas ini menjelaskan kepada kita hakikat cinta kepada Rasulullah SAW dan layak kita meraih syurga-Nya. Amin.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Bicara Agama 20140131

Imam undur diri?

DI surau tempat saya ada terdapat seorang warga tua yang menjadi imam sekiranya imam bertugas tiada. Didapati bacaan ayat al-Qurannya tidak bertajwid dengan betul. Kami ada menyarankannya mengikuti kelas tajwid, tapi sayangnya ia berhenti di tengah jalan. Ada juga jemaah yang tidak mahu bersolat berimamkannya. Apakah sah solat saya sekiranya berimamkan beliau.

Jawapan:

Terdapat dua jenis kesalahan dalam bacaan al-Quran. Kesalahan yang jelas seperti mengubah huruf. Perubahan huruf mengubah ayat al-Quran dan seterusnya mengubah makna. Satu lagi jenis kesalahan ialah kesalahan yang tersembunyi. Contohnya kesalahan dalam aspek tajwid.

Bacaan dalam solat tanpa tajwid yang betul sepenuhnya tidaklah membatalkan solat. Ini kerana kesalahan tajwid dalam aspek dengung dan panjang pendek tidak mengubah makna. Namun begitu, adalah wajib sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Jazari untuk membaca al-Quran dengan tajwid yang betul.

Oleh itu, sewajarnya setiap Muslim berusaha memperbaiki bacaan al-Quran. Ini kerana al-Quran menyebut tentang perintah untuk membaca al-Quran dengan tartil sebagaimana dalam surah al-Muzzammil ayat 4. Dalam Sahih al-Bukhari, disebutkan bahawa bacaan Nabi SAW adalah dengan tartil. Ini bermaksud bahawa bacaan tersebut tidak gopoh, sebutan huruf yang betul dan juga tajwidnya.

Justeru, amatlah wajar jika seorang imam itu adalah orang yang baik bacaannya. Jika tajwidnya lintang-pukang, tempat izhar didengungkan, tempat ikhfa tidak didengungkan, idgham bi al-ghunnah tidak didengungkan, manakala idgham bila ghunnah pula didengungkan, huruf mad yang patutnya dibaca enam harakat hanya dibaca satu harakat dan sebagainya, sewajarnya imam ini mengundurkan diri.

Saranan agar imam adalah insan yang baik bacaannya amat sesuai dengan apa yang disabdakan oleh al-Rasul SAW:

"Hendaklah memimpin sesuatu jamaah adalah insan yang paling baik bacaannya terhadap al-Quran." (riwayat Abu Dawud)

Hadis ini memberi peluang kepada masyarakat dalam pemilihan imam solat. Hendaklah masyarakat memilih insan yang elok bacaanya. Hadis ini juga sewajarnya menjadi neraca bagi insan yang menjadi imam atau ingin menjadi imam. Adakah bacaanku elok?

Jika elok dengan perakuan guru-guru tajwid dan bacaan al-Quran, maka silalah maju ke depan sebagai imam solat. Jika guru al-Quran menyatakan masih banyak lagi kesalahan, apa salahnya kita berundur seketika sebagai imam untuk memberi laluan kepada orang lain.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140131

Jika benar mencintai Rasulullah

SEMPENA dengan sambutan Maulid Nabi baru-baru ini, kelihatan sambutannya begitu meriah sekali. Di sana sini kedengaran berdegar-degar selawat dikumandang, beribu-ribu kain rentang diarak, beribu-ribu umat Islam bersorak dan bergembira menyambut ulang tahun kelahiran Nabi yang agung, namun akhlak umat Islam kian rosak.

"Love is a verb, not a word'- cinta itu tindakan, bukan sekadar perkataan. Jika benar cinta akan Rasulullah SAW buktikan dengan perbuatan bukan hanya dengan ucapan. Jika benar mencintai Rasulullah, berjuanglah menegakkan sunah Baginda. Mari letakkan Rasulullah sebagai teladan di semua tempat, keadaan dan masa.

Mengharap Keredaan Allah

Seseorang akan mampu meneladani Rasulullah sekiranya ada tiga sifat ini padanya - mengharapkan keredaan Allah dan hari Akhirat serta banyak mengingati Allah. Mengharap keredaan Allah itu adalah dengan berasa lemah, hina, miskin, jahil dan merasa diri serba kekurangan jika dibandingkan dengan Allah yang Maha Sempurna sifat-Nya. Atas kesedaran bahawa seorang hamba sangat perlukan Tuhannya untuk menjalani kehidupan ini dengan berjaya, lalu dia akan sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan keredaan Allah.

Pencarian ini akan menemukannya dengan ayat al-Quran ini, " Katakanlah jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku (Rasulullah), nescaya Allah mencintaimu." (Ali-'Imran 3: 31)

Daripada ayat ini dapat dibuktikan bahawa tidak ada jalan untuk mendapat kecintaan (reda) Allah melainkan dengan mengikuti sunah Rasulullah. Cinta Allah itu tujuan, cinta Rasul itu sebagai jalan. Maka tidak akan tercapai tujuan, kecuali dengan menempuh jalan.

Atas dasar itu mereka rela menerima kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia demi kesenangan yang lebih baik dan abadi di akhirat. Akhirnya, hanya mereka yang ingat akan Allah sahaja yang akan mampu melalui jalan cinta Rasulullah menuju kecintaan Allah. Dengan mengingati Allah, hati akan jadi tenang. Hati yang tenang sahaja akan tabah dan gagah di jalan perjuangan ibadah dan jihad.

Mencontohi Sahabat Nabi

Sesungguhnya tidak dikatakan mencintai Allah, selagi mana tidak mencintai Rasulullah. Tidak sempurna kecintaan kita kepada Rasulullah selagi tidak mencintai para sahabat yang dicintai Allah dan Rasulullah. Inilah hubungan kesalingan antara cinta Allah, Rasulullah dan para sahabat. Maka, bagaimana dengan kita?

Rasulullah bersabda: " Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka bererti telah sempurnalah imannya." (Riwayat al-Hakim)

Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya mencintai para sahabat, marilah kita mencintai mereka sebagai bukti cinta kita kepada Allah dan Rasulullah. Marilah kita membenci kerana Allah, yakni dengan membenci mereka yang membenci para sahabat, seperti segelintir pengikut ajaran sesat seperti Syiah. Jika kita menolak keunggulan peribadi para sahabat seolah-olah kita menafikan kejayaan Rasulullah mendidik manusia di sekelilingnya dengan sempurna. Ingat, sahabat ialah produk pendidikan terbaik Rasulullah.



Dr. Zahazan Mohamed Utusan Malaysia Rencana 20140202

Kenduri kahwin era digital

ARTIKEL ini lebih sesuai ditulis pada musim cuti sekolah. Musim cuti sekolah sangat sinonim dengan kenduri kahwin. Di Pantai Timur mereka panggil musim bekwah atau makan gulai atau makan pulut atau ngelang.

Minggu ini pun banyak cuti. Ada cuti Tahun Baharu Cina dan disambung lagi dengan cuti Hari Wilayah bagi warga Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sudah tentu ada yang ambil peluang buat kenduri-kendara bila ada cuti umum panjang bersambung sebegini.

Lagi pun sekarang, majlis kenduri kahwin tidak lagi tertakluk pada musim cuti tetapi tertakluk kepada kekosongan dewan orang ramai, balai raya, dewan hotel atau dewan masjid. Kerana itu hampir setiap minggu orang buat majlis walimatulurus ini.

Lainlah kalau majlis dirancang di kawasan taman perumahan sahaja. Dengan ikatan kejiranan sangat baik, kenduri-kendara dijalankan secara gotong royong atau rewang persatuan penduduk, kariah surau atau masjid.

Kerja-kerja menjemput saudara-mara, rakan taulan serta sahabat-handai pula semakin mudah dalam era teknologi maklumat. Selain kad jemputan, Facebook, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau Twitter banyak membantu.

Selain kedua-dua mempelai, barang hantaran yang dihantar pihak lelaki dan dibalas oleh pihak perempuan adalah salah satu tarikan tetamu. Maka berpusu-pusu tetamu (biasanya wanita) masuk ke bilik pengantin, menjenguk sekurang-kurangnya.

Selain bergambar dengan pengantin, ada jemputan mengambil peluang bergambar dengan barang hantaran.

Sekarang barangan hantaran juga sudah berubah trend. Ada macam-macam bergantung kepada minat dan citarasa pengantin.

Kalau si lelaki minat kepada barangan lama maka vintajlah tema hantarannya. Dalam satu majlis perkahwinan seorang rakan pada pertengahan tahun 90-an dahulu, penulis melihat salah satu hantaran yang dibalas oleh pihak perempuan ialah sepasang kasut sukan (sneakers) berjenama terkenal.

Walaupun nampak sedikit janggal, penulis kagum dengan keberanian isterinya itu.

Penulis juga pernah terbaca bagaimana pengantin lelaki yang bekerja sebagai juruelektrik menerima hantaran balas satu set perkakasan pendawaian termasuk alat gerudi laju tinggi tercanggih! Menitis air mata lelaki melihat hantaran yang sangat bermakna itu.

Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi dan era digital ini, gajet elektronik sudah mula mengambil tempat menggantikan tradisi barangan hantaran cara lama.

Antaranya telefon bimbit, tablet, komputer riba, peranti sistem kedudukan sejagat (GPS), konsol permainan, kamera dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun timbul satu persoalan relevankah peralatan elektronik ini dijadikan barang hantaran? Dalam zaman teknologi yang bergerak sangat pantas, pelbagai jenis gajet muncul setiap hari. Yang dibeli semalam, tahun hadapan sudah ketinggalan atau menjadi dinosours.

Ada yang berpandangan barang kemas terutama buatan daripada emas paling relevan. Selain nilainya yang sentiasa konsisten juga boleh ‘dipusakakan,’

Barang kemas banyak ‘membantu.’ Kalau terdesak boleh sahaja dibawa ke pajak gadai. Sudah tentu laku. Tambahan pula harga emas jarang sangat turun.

Tetapi gajet-gajet pun ada nilai tersendiri, boleh dijual secara online. Jual cara sebegini tidak dilihat orang berbanding ke kedai pajak gadai!

Kalau majlis diadakan di hotel atau di dalam dewan, persembahan klip video pengantin sudah menjadi satu kelaziman baharu.

Kisah zaman kecil pengantin dari era pakai lampin pakai buang sehingga ke era rambut perang atau bertudung litup digarap cukup menarik, diselang seli dengan lagu-lagu kontemporari popular.

Kadang-kadang kualitinya jauh lebih baik daripada kualiti klip video lagu penyanyi-penyanyi tanah air.

Majlis penutupan biasanya diserikan dengan persembahan joget lambak atau tarian poco-poco. Anak beranak dan saudara mara pengantin serta pengantin sendiri turun pelamin untuk sama-sama turut serta.

Khabarnya mutakhir ini, ada yang lagi berani. Bukan joget lambak atau poco-poco lagi tetapi tarian shuffle iringan lagu ‘Everyday I’m shuffling nyanyian LMFAO atau tarian kuda Psy - Gangnam Style dan Gentlemen..

Dalam kemeriahan majlis kenduri kahwin satu perkara tuan rumah kena sentiasa beringat. Banyak kes kecurian dan rompakan berlaku.

Dulu penyangak-penyangak ini masuk waktu malam. Maklumlah tuan rumah dan pengantin semuanya sudah kepenatan pada masa itu.

Sekarang perompak datang pada waktu kenduri berjalan. Selepas kenyang makan, mereka berpura-pura menjenguk bilik pengantin. Ketika itulah mereka sapu apa yang patut.

Jadi kepada tuan rumah rumah, mulai sekarang jangan lupa pasang seorang penanggah khas di bilik pengantin!



Kopi Panas Utusan Malaysia Rencana 20140201