February 7th, 2014

Zalim kaut keuntungan menerusi aktiviti ihtikar

Sering kali kita mendengar atau berhadapan masalah kekurangan barang keperluan yang menjejaskan kehidupan harian pengguna terutama pada musim perayaan.

Gula, tepung dan minyak masak adalah antara bahan komoditi yang pernah dan sering kali mengalami kemerosotan penawaran sehingga tidak dapat menampung permintaan pengguna dalam pasaran.


Akibatnya, ia mempengaruhi harga pasaran bahan itu sekali gus membebankan pengguna. Ada banyak faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena ini. Selain penyeludupan ke luar negara dengan kuantiti yang banyak, ia juga disebabkan oleh aktiviti menyorok barang oleh pengeluar.

Ketandusan akhlak

Dalam Istilah fiqh, menyorok barang disebut sebagai ihtika bagi mempengaruhi harga pasaran dengan sesuka hati. Lebih jelas perbuatan menyorok barang ini menunjukkan ketandusan akhlak dan etika dalam perniagaan.

Akibat sikap tamak dan rakus untuk mengaut keuntungan berlebihan. Peruncit pula terpaksa mengehadkan penjualan kepada pembeli kerana kekurangan stok. Hasilnya, pengguna mendapat kesan negatif kerana kekurangan barang di samping harga yang terus melambung tinggi.

Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang melakukan ihtikar akan makanan selama 40 hari, maka sesungguhnya ia telah terlepas daripada (hubungannya dengan) Allah dan Allah pun melepaskan (hubungan dengan) nya.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Sesiapa saja yang melakukannya atau bersekongkol untuk terbabit menjayakan aktiviti tidak bermoral ini, maka mereka akan mendapat balasan buruk di akhirat kelak kerana mendatangkan kemudaratan besar kepada masyarakat yang terpaksa membayar lebih tinggi bagi mendapatkan barangan keperluan walaupun dalam kuantiti sedikit.

Aktiviti ihtikar sebenarnya tidak akan mampu dilakukan secara sendirian kecuali apabila sesuatu syarikat atau entiti itu memonopoli pengeluaran bahan itu. Biasanya, aktiviti ini berlaku apabila membabitkan kerjasama ramai pihak terutama pengeluar, pemborong dan peruncit.

Sesungguhnya Nabi SAW melarang kita menentukan harga barang sewenang-wenangnya sehingga menzalimi orang lain. Bahkan, Nabi SAW sendiri tidak meletakkan harga tertentu kerana ia dipulangkan kepada permintaan dan penawaran yang berlaku dalam kegiatan ekonomi.

Imam al-Tirmizi meriwayatkan, daripada Anas bin Malik, “Pada masa Rasulullah SAW harga barangan asasi naik. Maka sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Tetapkanlah harga barang untuk kami. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya Allah, Dia-lah yang menetapkan harga, menyempitkan, melapangkan dan memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap ketika aku berjumpa dengan tuhanku (Allah), tidak ada seorangpun yang menuntut kepadaku kerana suatu kezaliman yang menyangkut urusan darah (nyawa) mahupun harta (ekonomi).” (Riwayat Tirmidzi)

Aktiviti ihtikar berkelompok

Dr Yusuf al-Qaradawi ketika mengulas persoalan ihtikar dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad al-Islami, menyatakan jika aktiviti ihtikar dilakukan secara berkelompok dan berkumpulan, maka dosanya adalah lebih besar.

Ini kerana, semakin ramai yang terbabit maka semakin kuat dan besarlah pengaruh mereka kepada harga pasaran semasa. Justeru, mereka boleh untuk menaikkan harga sesuka hati tanpa menghiraukan bebanan yang terpaksa ditanggung pengguna lain.

Walaupun banyak usaha dilakukan kerajaan dalam menangani masalah ini, ia tidak akan berhasil selagi tiada kesedaran semua. Ingatlah, sebenarnya aktiviti ihtikar ini adalah satu kezaliman dan penganiayaan.

Kekayaan yang dibina melalui aktiviti ini di atas penderitaan pengguna. Sanggupkah kita membina kekayaan dengan kedukaan orang lain?

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memakan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil .” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Kasih sayang dan belas kasihan antara satu sama lain perlu wujud dalam diri untuk mengekalkan keadilan dan kesaksamaan dalam meneruskan kegiatan ekonomi. Semaikan sifat amanah dan bertanggungjawab dalam diri supaya tiada pihak yang teraniaya.

Mungkin mereka yang tergamak melakukan tindakan tidak bermoral ini cepat memperoleh kekayaan. Namun, yakinlah kekayaan yang diperoleh dengan cara bercanggah syariah pastinya akan hilang keberkatan dan ia hanya bersifat sementara. Pasti Allah SWT membalas segala-galanya.


Wan Jemizan Wan Deraman dan Mohd Ridwan Roslan Berita Harian Agama 07/02/2014

Khutbah Jumaat: Akidah rapuh boleh jejas agama Islam

Toleransi dalam hidup bermasyarakat bukan bermakna tunduk kepada kekufuran

Berdasarkan Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah Agama Persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai agama negara. Bagaimanapun, agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.


Dalam usaha mengukuhkan Islam di negara ini Perlembagaan juga memperuntukkan Perkara 11 (4) bahawa di’ayah agama lain kepada umat Islam adalah dilarang. Ini bermakna agama Islam juga mengajar bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama lain.


Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan agama. Namun, jika hak kita sebagai umat Islam digugat, hak orang Islam dipertikai, umat Islam diperkotak-katikkan, maka Islam mengizinkan umatnya bertindak mengikut lunas dan panduan syariat seperti digariskan syarak.

Piagam Madinah

Sirah Rasulullah SAW menunjukkan, pendekatan agama memainkan peranan besar dalam toleransi beragama. Rasulullah SAW ketika merangka Piagam Madinah, mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma masyarakat Madinah ketika itu.

Dalam Piagam Madinah termaktub sesiapa yang hidup dan tinggal di Wilayah Madinah, baik Islam atau bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, khianat dan huru hara, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci.
Toleransi beragama dilihat tidak begitu harmoni malahan ada ketikanya dirasakan berada pada tahap membimbangkan akibat daripada beberapa isu yang boleh menggugat serta mengancam keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Umat Islam hari ini diserang dan diancam dengan pelbagai isu akidah seperti ada yang mendakwa dirinya rasul, memiliki kerajaan yang memerintah dari langit, mendakwa sebagai Tuhan, solat sempurna boleh dengan niat saja, solat wajib untuk tiga waktu saja.

Paling besar kita diserang dengan isu penggunaan kalimah Allah walaupun mahkamah telah pun memutuskan ia hak eksklusif umat Islam.

Mereka ini secara terancang melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan sehingga menyebabkan pandangan yang negatif dan persepsi atau penafsiran salah mengenai Islam dan Allah itu sendiri.

Akhir-akhir ini mereka begitu berani menaikkan kain rentang tertera ungkapan ‘Allah is great’ (Allah itu hebat) dan ‘Jesus is the son of Allah’ (Jesus adalah anak lelaki Allah) yang dikesan sengaja dipasang pihak tertentu bertujuan provokasi untuk menimbulkan kemarahan umat Islam.

Menjadi kewajipan seluruh umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan jika terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalimah Allah adalah lafaz suci yang perlu dijaga dan dipelihara kesuciannya kerana ia berkait rapat dengan akidah. Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini.

Gejala kerapuhan akidah

Sikap membenarkan sesiapa saja menggunakan kalimah semata-mata untuk menunjukkan Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Ingatlah, semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab seksa pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Maidah, ayat 72)

Sebagai umat Islam kita dituntut bertoleransi di bawah norma dan etika hidup beragama. Bagaimanapun, perlu diingat, toleransi dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana dalam persoalan akidah, agama Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau kesyirikan.

Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah kita tidak melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampaui batas sebenarnya akan menjadi pemangkin kepada kecelaruan minda dan perpecahan masyarakat seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.

Pihak yang berkuasa juga digesa supaya menangani isu ini dengan penuh berhikmah supaya mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam akan menyedari serta insaf bahawa usaha mereka tidak akan membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup.

Sebenarnya, perjuangan bagi mempertahankan dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam adalah perjuangan suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.


Berita Harian Agama 07/02/2014

Amal prinsip tabayyun hadapi zaman fitnah siber

Sesetengah orang kata, zaman kehebatan media sosial ini maklumat hanya di hujung jari. Saya hanya menambah, bukan saja maklumat bahkan bahan fitnah juga tidak memerlukan masa lama untuk tersebar hanya dengan menekan butang mahupun papan kekunci.

Kecanggihan pelbagai peralatan teknologi maklumat seperti telefon pintar dengan dibantu perisian masa kini seperti Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blog, laman sesawang dan banyak lagi turut membantu satu-satu maklumat sampai dengan hanya menggunakan jari tanpa memerlukan kudrat, wang ringgit mahupun masa yang panjang.


Mungkin benar telahan Nabi SAW bahawa umat kini berada pada zaman fitnah besar sehingga diwasiatkan berkali-kali dalam banyak hadis untuk umat tetap tegar berpegang prinsip al-Quran dan as-Sunnah.

Salah satu prinsip penting yang dipasakkan dalam al-Quran buat pegangan orang beriman dalam mendepani zaman fitnah seperti hari ini ialah tabayyun.

Tabayyun ialah prinsip dan akhlak orang beriman yang merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita, tidak tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan sebelum dipastikan keabsahan dan kesahihan berita itu.

Prinsip ini ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran melalui Surah Al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa satu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatanmu itu.”

Selidik kesahihan berita

Ayat ini ayat perintah kepada setiap yang mengaku beriman agar sentiasa menyelidiki sesuatu berita yang datang agar tidak terjerumus dalam perbuatan atau tindakan yang menimbulkan dosa sehingga menatijahkan penyesalan akibat keputusannya yang tidak adil atau merugikan pihak lain.

Tabayyun juga membawa pengertian agar umat sentiasa teliti dan berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara. Ia seiring disiplin dan tradisi keilmuwan Islam yang memerlukan seorang cendekiawan dan ulama memperhalusi permasalahan ilmu menggunakan metadologi kajian yang objektif, sistematik, relevan dan sah.

Adab atau sikap yang berkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelak daripada mendengar atau membaca berita yang membahas aib dan membahayakan pemikiran.

Buat kajian menyeluruh

Juga tidak terburu-buru membuat kesimpulan terhadap sesuatu berita sebelum membuat kajian menyeluruh dan teliti akan keabsahan maklumat itu. Ini seiring sabda Nabi SAW: “Sikap berhati-hati daripada Allah, sedangkan terburu-buru itu daripada syaitan” (Musnad Abu Ya’la: 7/247, dishohihkan oleh al-Albani: 4/404).

Al-Imam Hasan al-Basri pula berkata: “Orang mukmin itu berhati-hati sehingga jelas perkaranya.” Kadangkala ilmuwan dan ulama juga mudah terjebak dalam kancah konflik dan fitnah jika tidak berhati-hati.

Ada kalanya soalan diajukan kepada ulama adalah pertanyaan memancing yang tidak semuanya bermaksud baik, terutama ketika menghukum.

Sebab itu ulama juga tidak harus menjawab setiap pertanyaan apatah lagi jika ada unsur untuk memecah- belahkan umat. Bahkan menjawab ‘saya tidak tahu’ adalah separuh daripada ilmu. (Hasyiyatul Utsuluts Tsalatsah: 1/118 oleh Abdurrohman bin Muhammad an-Najdi)

Sebab itu dalam Surah Al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuh hukum atau kesimpulan seperti yang disebut ayat 12 dalam surah sama: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa”.

Justeru, dalam berhadapan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat yang begitu canggih masa kini, umat Islam seharusnya lebih berhati-hati dalam menyebarkan mahupun berkongsi satu-satu berita.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua Yayaysan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Berita Harian Agama 07/02/2014

Asabiyah melulu bakar jambatan ukhuwah

Asabiyah adalah istilah bahasa Arab daripada akar kata ‘asabah’ yang bermaksud kerabat pihak bapa. Secara harfiah asabiyah bererti perpaduan atau fanatisme kesukuan atau kepuakan secara membuta tuli.

Fanatisme ini melahirkan sikap pembelaan secara mati-matian terhadap segala hal yang dianggap sebagai milik sukunya sendiri terutama berkaitan dengan nilai, tradisi, harta benda dan kekuasaan.

Dalam istilah sosiologi, ia turut dikenali dengan konsep etnocentrisme dan culturcentrisme. Istilah etnocentrisme membawa konsep bahawa suku kaum atau bangsa mereka sahajalah yang terbaik manakala bangsa atau kaum lain mestilah dipandang remeh, jijik dan penuh kelemahan.

Fahaman ini mengingatkan kita kepada konsep bangsa pilihan, yang kini menjadi amalan dan pegangan kuat kelompok Yahudi yang memperjuangkan faham zionisme, iaitu kelompok yang mendokong kelahiran negara Israel.

Fahaman etnik membawa kepada konsep rasis atau perkauman. Konsep ini telah diakui sebagai suatu bentuk yang boleh menyebabkan konflik, ketegangan dan seterusnya peperangan. Ini dapat dilihat pada zaman perluasan agama Kristian, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Protestan tidak boleh menerima mereka dalam kelompok Katholik. Kedua-dua kumpulan pecahan ini sering bergaduh, berperang dan berbunuhan meskipun mereka daripada asas agama yang sama, iaitu yang diajarkan oleh Nabi Isa a.s dari Nazareth.

Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab pagan sering bertelagah sesama sendiri kerana kehidupan mereka adalah berasaskan keturunan dan nasab keluarga. Mereka hidup secara berkabilah dan setiap kabilah mempunyai norma kumpulannya yang tersendiri, yang wajib dipatuhi tanpa soal.

Keadaan ini turut dikembangkan dalam konteks politik moden apabila kita meneliti perilaku penyokong, pengikut dan pemimpin parti politik. Misalnya, dalam kes pengosongan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, penyandangnya sanggup mengosongkan kerusi hanya kerana mahu memberikan laluan untuk Anwar Ibrahim bertanding.

Kita melihat pelbagai sebab telah dikemukakan bagi merasionalkan kewajaran mengosongkan tempat dan membawa masuk Anwar. Daripada sekecil-kecil alasan untuk mengawal selia kuasa wakil rakyat parti berkenaan hinggalah kepada menjaga kepentingan kuasa agar Selangor dapat dipertahankan daripada ancaman parti lawan.

Walaupun Anwar terlalu banyak kelemahan, beliau tetap dianggap `superhebat’ dan `superkuat’.

Inilah yang dilihat sebagai politik jumud dan ketaksuban melulu, menyamai konsep asabiyah dalam kamus politik Islam.

Kepercayaan dan keyakinan itu membawa tafsiran tentang ketaksuban penyokong terhadap pemimpin sehingga orang lain tidak penting. Sikap itu menyebabkan nilai-nilai asabiyah semakin kental dan dipertahankan kerana sesiapa sahaja yang mungkin berbeza pandangan dan berseberangan pendapat, akan berhadapan kemungkinan disingkirkan.

Menurut pemahaman perkataan asabiyah, sebagaimana diterangkan dalam sebuah hadis: “Bukan termasuk umatku bagi sesiapa yang menyerukan kepada asabiyah" (Hadis riwayat Abu Daud).

Hadis ini menjelaskan, sesiapa sahaja yang mengajak berkumpul atau bersekongkol dalam kerangka asabiyah, maka sama ertinya menolong orang yang zalim. Rasulullah SAW memberikan pengertian dengan jelas apabila ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyyah? Sabda baginda: “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman" (Hadis Hasan riwayat Abu Daud).

Budaya politik asabiyah seperti inilah yang seringkali menjerumus umat ke dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dukungan membuta-tuli kepada sesebuah parti politik jugalah yang mendorong gejala pelampau hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat Islam.



Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa Dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Malaysia Bicara Agama 07/02/2014