February 10th, 2014

Bantu anak realisasi cita-cita

Anak sangat bersih dan mudah dibentuk keperibadiannya. Mereka ibarat kain putih bersih yang menanti untuk dicorakkan dan pembentukan mereka sangat dipengaruhi oleh tangan-tangan yang mewarnai serta melakari kehidupan mereka.

Begitu mudahnya pengaruh sekeliling dan betapa kuatnya pengaruh ibu bapa membentuk kehidupan insan. Ibarat rebung yang lembut, ketulenan jiwa dan ketelusan pemikiran anak juga mudah dirangsang serta dibina.

Ia sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Fitrah yang dimaksudkan adalah faktor nilai hidupnya yang bersih dan sesuai menurut peraturan Islam diiringi potensi bermakna. Begitulah pentingnya peluang terhad ini (usia kanak-kanak), perlu direbut ibu bapa dalam membantu anak merealisasikan cita-cita mereka.

Jadi insan beri manfaat

Perlu disedari, merealisasikan cita-cita anak bukan semata-mata memenuhi keinginan ‘apa saya nak jadi’ bila dewasa nanti, lebih daripada itu ia menyentuh makna, erti, perjuangan, pencapaian hidup dengan menjadi insan yang memberi manfaat bukan mudarat.

Justeru, ibu bapa dianjurkan meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk memikirkan bagaimana kita boleh membantu anak merealisasikan cita-cita mereka. Berserta pen di tangan dan sehelai kertas kosong, catatkan maklum balas yang terbaik daripada fikiran kita.

Tidak perlu berfikir dengan panjang lebar, memadai untuk draf kali ini difokuskan pada lintasan pertama yang tampil pada saat kita menjawab soalan berikut:

Apakah potensi dimiliki anak, (boleh dilakukan dengan menilai kecenderungan dan kecemerlangan mereka). Ia juga boleh menjadi cita-cita anak. Contohnya, anak minat elemen dan fakta sejarah, mereka boleh dibentuk menjadi seorang peguam, ahli sejarawan dan pakar kemasyarakatan (sosiologis).

Fikirkan bagaimana kecenderungan anak boleh diaplikasikan untuk mendapat reda Allah SWT di dunia dan akhirat (menghalakan kelebihan anak supaya selari dengan matlamat takwa dan kepemimpinan).

Bayangkan pula kehidupan anak untuk tempoh panjang (contohnya sehingga umur 70 tahun). Melalui kelebihan dan potensi anak itu, apakah yang boleh dicapai pada umur 70 tahun, sebagai pemilik 1000 Syarikat Perdagangan Cetakan Muslim di seluruh Dunia, pemilik Yayasan Pembangunan Remaja Milennium atau pemilik bandar teknologi canggih abad 21 Malaysia?

Apakah keperluan dari sudut material, intelektual, emosi dan spiritual yang patut dipunyai oleh anak demi mencapai impian, senaraikan ia secara kasar dan umum. Seterusnya pisahkan 70 tahun kepada 7 fasa dan setiap 1 fasa 10 tahun. Di setiap fasa pula tandakan sasaran pencapaian yang seharusnya anak kita miliki dan peroleh.

Seterusnya catatkan keperluan yang perlu kita perkasakan kepada anak dari keseluruhan aspek untuk setiap fasa 10 tahun mengikut kategori iaitu perkembangan minda (ilmu), fizikal (kesihatan), emosi (kasih sayang dan keyakinan) dan spiritual (iman).

Kemudian, bermula 10 tahun dari tarikh ini, renungkan dan fikirkan apakah tindakan yang perlu kita lakukan untuk membantu memperkasakan kebolehan anak serta merealisasikan cita cita mereka.

Akhir sekali rancang apakah program dan keperluan tahunan yang perlu dilakukan oleh kita dan anak.

Berbekalkan 10 senarai ini, kita akan menyedari setiap hari dilalui oleh anak adalah sangat bernilai dan berharga. Ibu bapa yang menjadi saksi utama dalam proses kedewasaan mereka.

Rancang masa depan

Adalah penting untuk diingati bahawa kita boleh saja mengambil keputusan membiarkan anak menentukan hala tuju mereka, tetapi sebagai ibu bapa yang mencontohi teladan Ali Imran, kita merancang masa depan, membimbing, menggalakkan serta menyokong wibawa mereka untuk penyempurnaan tugas sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Begitu juga generasi yang dibentuk oleh Baginda Nabi Muhammad SAW, yang dikenali sebagai generasi Rabbani iaitu sahabat, tabiin dan beberapa ratus tahun berikutnya. Generasi yang menyelamatkan manusia, membangun jiwa dan mengurus dunia menurut kehendak penciptanya.


Berita Harian Online Agama 10/02/2014

Hanya zikir tiada ditetapkan had

Jika anda memerlukan seseorang yang membimbing anda kepada Allah sebagaimana orang yang dahaga berhajat kepada air atau seperti berhajatnya orang yang takut kepada keamanan, nescaya anda akan dapati kewujudannya lebih hampir daripada kewujudan tuntutan anda itu.

Sekiranya anda berhajat kepada Allah seperti berhajatnya ibu kepada anaknya di saat kehilangannya, nescaya anda dapati Allah itu hampir dengan anda dan memperkenankan permohonan anda. Nescaya anda dapati jalan yang sampai kepada-Nya tidak terhalang dan Dia mempermudahkan jalan perjalanan anda untuk itu.


Jalan tasawuf dapat memperbanyakkan zikir dan memohon pertolongan kepada Allah melalui persahabatan dengan guru. Tidak diragui lagi bahawa zikir itu dapat membersihkan hati dan membawa ketenangan. Ia jelas sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra'd, ayat 28) Setiap apa yang diperintah oleh Allah dalam al-Quran ada hadnya kecuali zikir.

Lantaran itulah Allah berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman, untuk bersyukur kepada Allah ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. “Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab, ayat 41 dan 42)

Berdasarkan kepada penjelasan ini dapatlah difahami bahawa mengikut amalan tasawuf adalah satu kewajipan. Namun begitu, kami tidak menafikan kewujudan sesetengah orang jahil yang mendakwa pandai mengeksploitasikan jalan tasawuf. Hal ini semata-mata kerana ingin memenuhi tuntutan nafsu mereka. Lalu mereka cipta dan menokok tambah perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah.

Mereka menyangka bahawa mereka ahli hakikat, maka harus bagi mereka melakukan perbuatan yang diharamkan menurut syariat. Ini adalah satu pembohongan daripada mereka. Sebenarnya syariat dan hakikat kedua-duanya datang daripada asal yang satu, tidak menyalahi antara keduanya melainkan orang yang jahil mengenainya. Ketahuilah bahawa orang itu bukan daripada kalangan ahli tasawuf dan ahli tasawuf berlepas diri daripada mereka. Oleh itu, penentangan sesetengah orang terhadap ilmu ini dan pengamalnya kerana berhujah dengan perkataan atau perbuatan orang yang jahil adalah satu kezaliman yang nyata.

Ini kerana tasawuf bukanlah satu ilmu yang sembarangan melainkan pancaran daripada al-Quran dan sunah. Pengamalnya iaitu ahli sufi tidaklah mereka itu melainkan golongan yang melawan kehendak nafsu kerana Allah. Lalu Allah menunjukkan jalan kepadanya.

Firman-Nya dalam surah al-Ankabut, ayat 69 bermaksud: “Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Kesimpulannya, selaku agama yang paling lengkap dan sempurna, Islam mempunyai cara pengurusan sumber manusia tersendiri dalam mengatur perjalanan umatnya sebagai khalifah di bumi ini. Walaupun kenikmatan di tangan kita, realitinya hidup ini suatu amanah. Amanah yang ditanggung seseorang perlulah berteraskan kepada syariat Allah SWT, bukannya menurut hawa nafsu semata-mata. Untuk itu, demi menggalas tanggungjawab sebagai khalifah, kita perlu mengurus diri dan merintis perjalanan hidup dalam mencari keredaan-Nya. Ilmu tasawuf adalah salah satu penyelesai yang berupaya memaniskan perjalanan hidup manusia menuju yang Esa. Keilmuannya bukan sekadar teori, tetapi dipenuhi dengan kefahaman, disiplin dan kehangatan cinta pada-Nya. Semoga kita semua berupaya meraih cinta Allah dan Rasul-Nya. Aamin.


Penulis ialah Penolong Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri myMetro Kolumnis 10/02/2014