February 11th, 2014

Memahami budaya negara sekular

NEGARA-NEGARA barat pada masa ini boleh dianggap sebagai negara sekular walaupun Kristian adalah agama yang mendominasi negara tersebut beratus tahun lamanya.

Reformasi agama yang berlaku di negara barat menyebabkan gereja berpecah kepada pelbagai kumpulan terutamanya Gereja Protestant. Gereja Lutheran mendominasi kebanyakan negara Eropah masa kini. Lutheran merupakan gereja paling liberal yang mengutamakan konsep kemanusiaan paling tinggi sehingga mengetepikan fitrah ciptaan manusia seperti mengahwinkan pasangan sama jenis jantina. Sweden merupakan sebuah negara Eropah yang didominasi oleh Gereja Lutheran.

Kepercayaan terhadap kepentingan agama dan kewujudan Tuhan semakin hari kian berkurangan di negara tersebut. Pada 1990, rakyat Sweden yang menjadi ahli gereja ialah 95 peratus dan menurun kepada 67.5 peratus pada 2014.


Salah seorang anak pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nor Shal yang ditahan
pihak berkuasa Sweden dipeluk oleh ahli keluarganya di Kampung Wakaf Tok Wali Peringat, Kelantan
pada 1 Februari lalu.

Pada 2009, Undian Gallup menunjukkan 17 peratus rakyat Sweden menjawab " ya" kepada persoalan; "Adakah agama menjadi satu bahagian penting dalam kehidupan kamu?" Pada 2010, Undian Eurobarometer memberi maklumat bahawa 18 peratus sahaja rakyat Sweden mengatakan "mereka percaya kewujudan Tuhan". Pada 1996, kanak-kanak yang dibaptis sahaja boleh dianggap sebab ahli Kristian.

Penganut agama Kristian Sweden juga tidak menunjukkan minat dalam agama. Kurang empat peratus ke gereja pada hari Ahad dan hanya dua peratus yang sering sembahyang.

Berdasarkan angka tersebut maka dapat difahami bahawa kerajaan Sweden lebih menumpukan perhatian kepada hal ehwal kenegaraan daripada urusan keagamaan.

Urusan agama adalah hak individu dan orang lain tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan agama orang lain. Undang-undang negara yang berlandaskan prinsip sekularisme merupakan satu perundangan yang tidak boleh dicabar oleh rakyatnya walaupun beragama Kristian. Ibu bapa tidak mempunyai hak untuk memaksa anak-anak mengamalkan ajaran agama Kristian jika anak-anak mereka tidak menjadi ahli Kristian semasa peringkat kanak-kanak.

Setiap individu mempunyai hak untuk menentukan status kehidupan mereka sama ada untuk mengekalkan diri sebagai penganut agama ibu bapa atau memeluk agama lain.

Masyarakat Islam bebas mengamalkan agama mereka selama mana mereka tidak menyalahi undang-undang negara. Masyarakat Islam di Sweden dianggarkan 150,000 orang pada 2004. Kajian menunjukkan 25,000 orang dianggap sebagai orang yang patuh kepada ajaran Islam dan menunaikan sembahyang lima waktu serta solat Jumaat.

Majoriti masyarakat Islam dari Asia Barat iaitu Iraq dan Iran. Kebanyakan mereka berhijrah ke Sweden semasa peperangan Iran dan Iraq (1980-1988). Majoriti kedua umat Islam ialah pelarian dari Yugoslavia iaitu Bosnia. Jumlah mereka dianggarkan 12,000 orang. Selebihnya ialah umat Islam Somali.

Dianggarkan 255,000 orang ahli Sunni, 5,000 ahli Syiah dan 1,000 orang Ahmadiya, Alevi, berada di negara itu.

Orang Sweden yang memeluk agama Islam dianggarkan 5,000 orang dan kebanyakan mereka ialah wanita yang berkahwin dengan lelaki Islam.

Sweden melaksanakan undang-undang yang keras terhadap ibu bapa yang memukul atau menampar anak berdasarkan kepada keputusan kajian projek yang besar dilaksanakan sekitar 1970-an. Kajian tersebut dilaksanakan kerana terdapat banyak kes penderaan terhadap kanak-kanak dan anak-anak dalam negara tersebut terutama di kalangan pendatang asing dan rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan. Kajian menunjukkan ibu bapa yang berada di negara tersebut terlibat dalam pelbagai bentuk penderaan fizikal terhadap anak-anak mereka. Mengikut kajian tersebut, 75 peratus ibu dan 63 peratus bapa yang tidak mempunyai pekerjaan di luar rumah terlibat dalam penderaan anak-anak. Bapa sering mendera anak-anak lelaki manakala ibu pula mendera anak perempuan terutamanya di kalangan keluarga imigran.

Sebelum undang-undang jenayah penderaan kanak-kanak dilaksanakan, kerajaan Sweden menggunakan pelbagai inisiatif membendung kes penderaan ini. Antara kegiatan yang dilaksanakan adalah memberi khidmat nasihat kepada para ibu bapa mengenai pendidikan anak-anak terutamanya di kalangan masyarakat yang menghadapi masalah kewangan termasuk imigran yang menetap di negara tersebut.

Khidmat nasihat dan pelbagai kegiatan dilaksanakan oleh kerajaan Sweden bagi membendung kegiatan penderaan anak-anak masih tidak berkesan.

Berdasarkan suasana sedemikian maka para pengkaji menegaskan bahawa menghentikan kesemua bentuk penderaan kanak-kanak sama ada pukul atau menampar merupakan salah satu cara terpenting untuk membendung penderaan fizikal kanak-kanak.

Hasil kajian tersebut maka pada 1979, kerajaan Sweden meluluskan undang-undang berkaitan penderaan kanak-kanak iaitu memukul dan menampar kanak-kanak adalah kes jenayah. Sweden merupakan negara pertama di dunia meluluskan undang-undang tersebut . Pada 1993, kerajaan Sweden melantik agensi penyiasat dan perisik bagi mempertahankan hak kanak-kanak dan memelihara kepentingan mereka. Para penyiasat ini diwajibkan mematuhi hak kanak-kanak sepertimana digariskan oleh Konvesyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1989.

Memandangkan Sweden adalah negara sekular yang terlalu liberal maka sukar bagi mereka memahami perasaan dan pemikiran orang beragama yang terikat dengan nilai dan budaya keagamaan. Suasana begini amat sukar bagi umat Islam untuk mendidik anak-anak dalam hal ehwal keagamaan mengikut tradisi yang diamalkan masyarakat Islam dalam negara Islam. Istilah pengajaran secara amaran seperti memukul tangan atau menampar yang menjadi tradisi ibu bapa mendidik anak-anak degil dan yang sering melakukan kesalahan merupakan tradisi kebanyakan ibu bapa dalam negara Islam.

Masyarakat sekular tidak akan menitik berat soal pendidikan keagamaan kerana mereka memisahkan agama dengan kehidupan seharian. Oleh itu anak-anak mereka bebas menentukan corak hidup mereka asalkan tidak melanggar undang-undang yang dilaksanakan oleh negara. Bagi umat Islam, kehidupan di dunia mempunyai kaitan dengan hari akhirat. Oleh itu ibu bapa amat prihatin terhadap pendidikan agama untuk anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka ingkar melaksanakan sembahyang atau amalan yang diwajibkan oleh Allah maka ini satu perkara yang serius.

Umat Islam yang berada di negara sekular sepatutnya memahami undang-undang dan tradisi negara tersebut. Latihan keagamaan bukan semestinya dengan menggunakan pendekatan yang keras. Penerangan, penjelasan terhadap kepentingan agama dalam kehidupan manusia serta hikmah-hikmah melaksanakan hukum-hakam Allah adalah cara pendidikan yang paling praktikal bagi anak-anak masa kini terutamanya yang berada di negara sekular. Kefahaman dan kesedaran terhadap agama amat penting diserap dalam jiwa dan pemikiran anak-anak supaya mereka tidak mudah dipengaruhi oleh budaya masyarakat yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Ketika berada dalam negara sekular barat maka pepatah Melayu yang mengatakan "Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung" perlu menjadi landasan kehidupan. Undang-undang dan tradisi negara tersebut sepatutnya difahami dan diteliti supaya tindakan tidak disalahtafsirkan.

Kedutaan Malaysia di luar negara sepatutnya mengadakan program untuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara berkaitan dengan undang-undang dan budaya negara tersebut. Program sebegini bukan sahaja boleh menyelamatkan rakyat Malaysia daripada melakukan sesuatu bertentangan dengan undang-undang negara tersebut malah boleh membantu mereka yang beragama Islam memikirkan cara terbaik untuk mendidik anak-anak hal ehwal keagamaan dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan budaya hedonisme dan tidak mempercayai Tuhan.



DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Profesor Madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.Utusan Malaysia Rencana 20140211

Imej Mukhriz yang makin digeruni

MALAM kelmarin bertempat di Stadium Darulaman Alor Setar berlangsung Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat dengan kehadiran kira-kira 40,000 umat Islam dari seluruh pelosok negeri ini untuk menzahirkan kecintaan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Majlis dihiasi dengan alunan qasidah dan selawat diketuai tokoh qasidah terkenal Indonesia, Habib Syech As Seggaf usai perarakan peserta pada lewat petang yang diketuai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tazkirah ulama yang hadir pada majlis ilmu tersebut sangat berharga kepada mereka yang hadir dan begitu juga lantunan qasidah dan selawat yang bergema menjadi pengisian yang sangat bermakna.


Tokoh Qasidah, Habib Syech As Seggaf (tengah) bersama Mukhriz Mahathir, Mufti Kedah,
Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad (dua dari kiri) berselawat bersama rakyat negeri itu
pada Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman Alor Setar, malam kelmarin.

Pun begitu di sebalik niat kerajaan negeri Kedah memperbanyakkan usaha dakwah dan tarbiah kepada masyarakat Islam di negeri ini seperti program tersebut masih ada suara-suara sumbang dalam kalangan pemimpin pembangkang menuduhnya sekadar percaturan politik demi meraih sokongan rakyat.

Tanpa segan-silu, ada yang sanggup menggelar Mukhriz dengan pelbagai nama dan apa yang menyedihkan adalah kenyataan seumpama itu keluar dari mulut pemimpin yang mengakui Islam sebagai teras perjuangan parti mereka.

Barangkali parti pembangkang hari ini semakin tercabar kerana pelbagai langkah yang sebahagiannya menjadi dasar kerajaan negeri dalam mempertahankan Islam dan umatnya semakin mendapat tempat di hati rakyat termasuk daripada parti lawan.

Apatah lagi, pentadbiran Mukhriz dilihat konsisten dalam memastikan kesejahteraan Islam di negeri ini sekali gus dilihat menggerunkan terutama sekali apabila beliau mampu melaksanakan dasar yang tidak mampu dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah pemerintahan sebelum ini.

Sebagai contoh, pewartaan fatwa anti Syiah yang kelak penggubalan enakmen di bawahnya dan ketegasan kerajaan negeri terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama-agama lain dalam kitab mereka, memperlihatkan kesungguhan Mukhriz dalam menjaga kesejahteraan Islam di negeri ini.

Mukhriz juga berani mengambil langkah mengasingkan pendapatan negeri daripada sumber yang patuh syariah dan tidak patuh syariah bagi perbelanjaan yang melibatkan umat Islam iaitu sesuatu yang julung-julung kali diadakan.

Siapa yang dapat menjangka seorang pemimpin yang dilihat sering tampil dengan imej korporat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini mempunyai sisi lain sebagai seorang pemimpin yang tegar dalam menegakkan syiar Islam.

Nah, ini sebenarnya realiti kepimpinan Mukhriz yang digeruni pemimpin pembangkang negeri ini sekali gus cuba diserongkan dengan pelbagai tohmahan walaupun ketika beliau cuba mengusahakan pelbagai langkah ke arah meningkatkan kerohanian umat Islam negeri ini.

Berbalik kepada program malam tadi, selain bagi memupuk penghayatan dan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW, majlis seumpama ini seharusnya dilihat sebagai medan penyatuan seluruh umat Islam dan tidak sewajarnya 'diserongkan' hanya kerana penganjurannya diterajui oleh kerajaan negeri yang kini ditadbir oleh UMNO-BN.

Kebanyakan penduduk negeri ini sebenarnya cukup bersyukur dan gembira dengan penganjuran acara seumpama itu yang memberi peluang kepada mereka beribadah dan menyatakan kecintaan kepada Rasulullah.

Semua memahami bahawa Islam memberi ganjaran yang lumayan kepada orang yang banyak berselawat ke atas Rasulullah seperti firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56)

Mukhriz sendiri menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan program Kedah Berselawat sebagai acara tahunan dan niat murni beliau wajar disahut semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Mudah-mudahan, pada ketika pemimpin pembangkang di negeri ini 'bekerja keras' meletakkan pantang-larang pada pentadbiran Mukhriz, beliau tidak melatah dengan membalas perbuatan serong tersebut sebaliknya meneruskan sahaja usahanya kerana akhirnya, rakyat yang akan menilai keikhlasan beliau itu.



Khabar Dari Alor Setar Jamilah AbdullahUtusan Malaysia Rencana 20140211

Generasi kemiskinan alaf baru

Rata-rata kita seperti terperangkap dan membeku dalam kebuk masa generasi masing-masing lalu memandang perubahan generasi ibarat sesuatu yang bersifat khayalan dan ilusi. Hakikatnya perubahan generasi ini telah diisyaratkan secara tidak langsung menerusi sabda Junjungan SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas‘uud r.a : “Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku, kemudian kurun selepasnya dan kemudian kurun yang selepasnya..." [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Bingkisan artikel kali ini ingin mengajak khalayak pembaca melihat dan menilai kepada fenomena dan realiti sekelompok masyarakat yang menjadi ujian buat populasi manusia iaitu golongan fakir dan miskin di bawah istilah kemiskinan dan sifat mereka di alaf baharu yang serba mencabar ini.

Generasi Awal Kemiskinan

Tidak sah dalam sebuah pemerhatian atau kajian terhadap pola kemasyarakatan jika tidak melihat kepada sejarah. Untuk itu adalah lebih utama jika kita melihat dahulu suatu kebenaran yang terakam di dalam al-Quran tatkala menyebut tentang golongan mereka ini dan sifat mereka yang unik. Dalam surah al-Baqarah ayat 273 : “Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya."

Nah, terlihat jelas dan indah bagaimana penyifatan murni terhadap generasi awal golongan fakir miskin ini dengan memiliki sifat dan integriti tinggi yang ternyata istimewa. Namakan sahaja mereka ini yang terdiri dari kalangan Ahlu al-Suffah pada zaman Rasulullah SAW hinggalah kepada sikap orang miskin di bawah pimpinan Khalifah Umar bin Abd Aziz r.a, semuanya punya kualiti terbaik tiga generasi terawal yang disebutkan Baginda SAW sehinggakan mereka disangka kaya oleh mata masyarakat kerana sikap dan identiti kemiskinan yang mereka ‘sembunyikan’.

Kerana itu Abu Hurairah r.a yang juga merupakan salah satu individu dari kumpulan al-Suffah yang pernah tidak terisi perutnya hampir tiga hari kerana kemiskinan dan sikapnya yang ‘laparkan’ hadis-hadis Nabi SAW. Beliau pernah menghuraikan sifat unik golongan fakir miskin di era itu dengan meriwayatkan Sabda Baginda SAW yang mafhumnya: “Bukanlah dinamakan mereka yang miskin itu yang seringkali berlegar di kalangan manusia dan diberikan sekadar sebiji tamar atau dua, mahupun sesuap atau dua hatta sehidangan makanan atau dua. Akan tetapi si miskin itu adalah yang tiada empunya hartayang mampu mengayakannya lagi tiada yang mengingati mereka untuk disedekahi dan mereka juga tidak meminta apa-apa dari manusia.

Inilah kualiti iman dan peribadi yang dimiliki oleh golongan istimewa ini suatu generasi dahulu.

Bersambung minggu hadapan >>



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140209

Lima ciptaan terhebat Muslim

AKHBAR terkemuka di United Kingdom (UK), The Independent pada edisi 11 Mac 2006 pernah menyiarkan sebuah artikel tulisan Paul E. Vallely bertajuk, Bagaimana Para Pereka Cipta Muslim Mengubah Dunia menarik untuk dikongsi. Apa tidaknya, tulisan tersebut wajar diambil perhatian, khasnya kepada umat Islam agar tidak terlalu berkiblatkan kepada tokoh-tokoh barat acap kali membicarakan soal dunia penciptaan inovasi baharu.

Sungguhpun akhbar tersebut telah menyenaraikan sekitar 20 penemuan penting yang mampu mengubah peradaban umat manusia, namun di ruangan yang agak terhad ini akan diketengahkan lima ciptaan inovasi terhebat umat Islam pada abad pertengahan.

Menariknya lagi, ciptaan tersebut sehingga ke hari ini masih berguna dan popular.

Kopi

KIRA-kira 1.6 juta cawan kopi diminum setiap hari di seluruh dunia. Berbilion-bilion orang bergantung kepadanya sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka. Namun, tidak ramai yang mengetahui kaitan minuman popular itu dengan masyarakat Islam.

Menurut rekod sejarah, dalam tahun 1400-an, kopi menjadi minuman yang sangat popular dalam kalangan umat Islam di Yemen yang terletak di selatan Semenanjung Arab.

Legenda itu bermula apabila seorang gembala (ada yang mengatakan di Yemen, ada yang mengatakan di Ethiopia) menyedari bahawa kambingnya menjadi sangat bertenaga dan resah apabila memakan biji kopi dari sebatang pokok.

Penggembala itu memberanikan dirinya untuk merasai bahan itu dan ternyata, ia memberi rangsangan tenaga yang luar biasa. Lama-kelamaan, tradisi memanggang biji kopi dan merendamkannya di dalam air untuk menghasilkan minuman berkuasa itu telah wujud dan hasilnya, minuman kopi dilahirkan.

Tanpa mengira, sama ada kisah penggembala itu benar-benar berlaku atau tidak, budaya minum kopi telah meresap dari kawasan tanah tinggi di Yemen ke seluruh Empayar Uthmaniah iaitu empayar Islam yang terulung di abad ke-15 Masihi. Serentak itu, kedai-kedai yang khusus menjual minuman kopi telah muncul di beberapa buah bandar utama dalam dunia Islam iaitu seperti di Kaherah, Istanbul, Damsyik dan Baghdad.

Dari dunia Islam, minuman kopi telah menyelinap masuk ke Eropah melalui bandar tumpuan saudagar besar iaitu Venice. Walaupun pada mulanya, kopi itu dianggap sebagai sebagai “minuman Muslim" oleh pihak gereja Katolik, tetapi kini ia telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Eropah.

Kedai-kedai kopi pada era 1600-an telah menjadi tempat ahli-ahli falsafah bertemu dan membincangkan isu-isu seperti hak-hak manusia. peranan kerajaan dan demokrasi. Perbincangan itu telah melahirkan satu pergerakan intelektual yang paling berkuasa di dunia moden hari ini.

Daripada seorang gembala kambing di Yemen atau Ethiopia kepada pembentukan pemikiran politik masyarakat Eropah, minuman kopi yang kini mencatatkan lebih satu bilion cawan setiap hari itu merupakan satu inovasi Islam yang paling penting dalam sejarah kehidupan manusia hari ini.

Pemberian ijazah universiti

DALAM sejarah awal Islam, masjid turut memainkan peranan sebagai sekolah. Orang sama yang mengetuai solat akan mengajar kumpulan pelajar tentang sains Islam seperti al-Quran, fiqh (perundangan) dan hadis.

Sejajar dengan perkembangan tamadun Islam, wujud keperluan untuk mewujudkan satu institusi formal yang dikenali sebagai madrasah yang dikhususkan untuk bidang pendidikan.

Madrasah formal pertama adalah al-Karaouine, yang diasaskan pada 859 Masihi oleh Fatima al- Fihri di Fes, Maghribi.

Sekolahnya berjaya menarik beberapa ulama terkemuka dari Afrika Utara serta pelajar-pelajar pintar. Di al-Karaouine, pelajar diajar oleh guru-guru untuk beberapa tahun di dalam pelbagai subjek daripada sekular kepada agama.

Pada akhir program itu, mana-mana pelajar yang berjaya akan diberikan sijil yang dikenali sebagai ijazah yang mengiktiraf bahawa pelajar itu memahami apa yang diajarkan dan juga layak untuk mengajar pelajar lain.

Pemberian ijazah yang pertama oleh institusi pendidikan itu telah tersebar dengan cepat di seluruh dunia Islam. Antara yang terawal mengambil langkah sama adalah Universiti Al-Azhar yang ditubuhkan di Kaherah, Mesir pada 970 Masihi dan kerajaan Seljuk telah menubuhkan puluhan madrasah di seluruh Asia Barat pada tahun 1000-an.

Konsep institusi pendidikan yang memberikan ijazah itu turut merebak ke Eropah melalui orang Islam Sepanyol. Universiti Bologna di Itali dan Oxford di England yang diasaskan pada abad ke-11 dan ke-12 telah meneruskan tradisi Islam memberikan ijazah kepada pelajar yang berjaya, dan menggunakannya sebagai penentu kepada tahap kelayakan seseorang dalam mata pelajaran tertentu.

Pancaragam tentera

RAMAI pelajar yang belajar di sekolah dan universiti di dunia Barat sudah biasa dengan pancaragam. Ia sekumpulan pemuzik yang berarak ke padang semasa acara sukan untuk menghiburkan penonton dan bersorak kepada para pemain.

Pancaragam yang dibangunkan berasaskan semasa Gunpowder Age di Eropah itu, diwujudkan bagi menyemarakkan semangat anggota tentera dalam peperangan .

Pun begitu, tradisi itu berasal daripada kumpulan pancaragam mehter Uthmaniah pada tahun 1300-an yang berjaya membantu tentera Uthmaniyyah menjadi antara angkatan bersenjata paling berkuasa di dunia pada masa itu.

Sebagai sebahagian daripada kor elit Janissary Empayar Uthmaniah, tujuan pancaragam mehter diwujudkan adalah untuk memainkan muzik keras bagi menakut-nakutkan musuh dan menyemarakkan lagi semangat tentera sekutu.

Akhirnya, orang Kristian di Eropah turut menggunakan konsep pancaragam yang sama untuk menakutkan musuh mereka.

Lagenda mengatakan bahawa selepas kegagalan menawan Vienna pada 1683, tentera Uthmaniah telah meninggalkan berpuluh-puluh alat muzik dan kemudiannya orang Austria mengumpul, mengkaji dan menggunakan alat muzik itu untuk kegunaan sendiri.

Selepas kejadian itu, angkatan tentera di seluruh Eropah turut menggunakan konsep pancaragam itu dan ini secara tidak langsung mengubah cara peperangan di Eropah selama berabad-abad.

Kamera

PASTINYA sukar untuk membayangkan dunia tanpa fotografi. Syarikat berbilloin dolar seperti Instagram dan Canon diasaskan berdasarkan idea untuk merakam cahaya dari tempat kejadian, mewujudkan imej daripadanya dan menghasilkan semula imej itu.

Tetapi berbuat demikian adalah sesuatu mustahil tanpa usaha dan sumbangan daripada saintis Islam abad ke-11, Ibnu al-Haitham, yang membangunkan bidang optik dan mengambarkan bagaimana kamera berfungsi.

Apabila Ibnu al-Haitham diletakkan di bawah tahanan rumah oleh Fatimid pemerintah al-Hakim, beliau mempunyai masa dan keupayaan untuk mengkaji kerja-kerja bagaimana cahaya berfungsi. Sebahagian besar kajiannya itu memberi tumpuan kepada bagaimana lubang kamera berfungsi.

Ibnu al-Haitham adalah saintis pertama yang menyedari bahawa apabila lubang kecil ditebuk pada kotak tahan cahaya, sinaran cahaya dari luar akan melalui lubang itu hingga ke dinding kotak itu.

Beliau sedar bahawa makin kecil lubang itu, maka lebih jelas imejnya dan ini membolehkan beliau membangunkan sebuah kamera yang boleh menangkap imej yang jelas.

Penemuan Ibnu al-Haitham mengenai kamera dan bagaimana untuk menangkap imej telah membawa kepada pembangunan kamera dengan menggunakan konsep yang sama.

Tanpa penyelidikan bagaimana cahaya bergerak melalui lubang itu, mekanisme moden yang ada dalam kamera hari ini tidak akan wujud.

Algebra

WALAUPUN ramai pelajar sekolah menengah bertungkus-lumus mempelajari matematik, mereka tidak mungkin menghargai kepentingan algebra yang merupakan salah satu sumbangan paling penting semasa kegemilangan Tamadun Islam kepada dunia moden.

Algebra telah dibangunkan oleh ahli sains dan ahli matematik, Muhammad ibnu Musa al- Khawarizmi yang hidup antara tahun 780 hingga 850 Masihi di Parsi dan Iraq.

Dalam buku monumentalnya, Al- Kitab al- Mukhtasar fi hisab al -jabr wa -l- muqabala (The Compendious Book on Calculation by Completion and Balancing), beliau menetapkan empat prinsip-prinsip asas algebra.

Malah, dalam buku itu, al-Khawarizmi turut menerangkan bagaimana untuk menggunakan persamaan algebra dengan pemboleh ubah yang tidak diketahui bagi menyelesaikan masalah dunia seperti pengiraan zakat dan pembahagian harta pusaka.

Buku al-Khawarizimi itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin di Eropah pada tahun 1000-an dan 1100-an, yang mana beliau dikenali sebagai Algoritmi (perkataan algoritma itu berdasarkan nama dan kerja-kerja matematik beliau).

Tanpa usaha beliau dalam membangunkan algebra, aplikasi praktikal matematik moden seperti kejuruteraan, adalah sesuatu yang tidak mungkin wujud. Karya-karya beliau telah digunakan sebagai buku teks matematik di universiti-universiti sekitar Eropah selama beratus-ratus tahun selepas kematiannya.



HASHNAN ABDULLAH Utusan Malaysia Bicara Agama 20140211

Mengangkat martabat ulama

PENUBUHAN Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bertujuan untuk menegakkan syariat Islam dan mempertahankan kebenaran serta kemurnian ajarannya melalui usaha-usaha penyatuan ulama dan penggemblengan tenaga mereka dalam satu wadah perjuangan.

Objektif persatuan yang ditubuhkan pada 1974 ini adalah untuk meninggikan kedudukan dan taraf ulama dalam kalangan masyarakat, di samping memainkan peranan dengan memberi bimbingan kepada masyarakat untuk membina dan membangun ummah menurut ajaran Islam.

PUM juga bertanggungjawab menjalankan aktiviti bagi meninggikan nilai-nilai akhlak dan rohani masyarakat serta membasmi punca keruntuhan akhlak ummah dalam kehidupan moden yang mencabar.

Selain itu, PUM juga mempunyai objektif untuk menjalankan usaha-usaha penyelidikan dan penerbitan buku-buku ilmiah yang sah di sisi undang-undang serta menghidupkan karya-karya ilmiah daripada khazanah kegemilangan Islam terdahulu.

PUM juga berperanan dalam pencambahan fikiran dalam tajuk-tajuk dan isu-isu yang menyentuh pemasalahan Islam di peringkat antarabangsa.

Sejarah penubuhan

Penubuhan PUM adalah hasil kesedaran para ulama yang menyertai Kongres Ekonomi Islam pada 1972. Satu perjumpaan membincangkan penubuhannya telah diatur oleh beberapa orang tokoh ulama dan cendekiawan Islam yang menyertai kongres tersebut pada 22 Safar, 1392 Hijrah bersamaan 8 April 1972, di Dewan al-Malik Faisal, Maktab Perguruan Islam (kini Pusat Matrikulasi UIAM) Petaling Jaya, Selangor.

Berikutan daripada pertemuan tersebut, Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim telah dilantik sebagai Penasihat Jawatankuasa Penaja sementara Tuan Haji Nik Muhd. Muhyidin Haji Musa pula menjadi Pengerusi Penajanya.

PUM telah ditubuhkan secara rasmi dua tahun kemudian, iaitu pada 1974. Nik Muhd. Muhyidin Musa telah dipilih sebagai Yang DiPertua PUM yang pertama. Sekarang ini, Abd. Ghani Shamsudin mengetuai PUM sejak Oktober, 1999.

Antara tokoh ulama yang pernah terlibat dengan saf kepimpinan PUM ialah Tan Sri Dr. Abd. Hamid Othman, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor, Datuk Ismail Kamus, Allahyarham Datuk Ishak Baharom, Datuk Dr. Harun Din dan Ahmad Awang.

Aktiviti yang dijalankan

PUM menjalankan beberapa program dan aktiviti, sama ada untuk ahli- ahlinya dan juga yang melibatkan masyarakat dan ummah. Sesetengah program dan aktiviti tersebut diadakan secara bulanan dan berkala.

Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah Siri Seminar Madrasah Ulama, Siri Bicara Tokoh, Siri Kuliah-Kuliah Ilmu, Penerbitan Majalah, dan Buku-Buku Ilmiah.

Selain itu, PUM juga turut mengadakan Program bersama Anak Yatim dan Orang Tua, Program Bimbingan Generasi Muda, Program Bina Insan dan Motivasi Akademik serta Khidmat Nasihat Perundangan bagi Kes-kes Syariah dan Sivil.

Sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi dengan penekanan terhadap ICT, PUM juga turut mengadakan Kursus ICT dan Bengkel Kemahiran Membuat Laman Web. Antara usaha PUM untuk mengembangkan syariat Islam ialah melalui penerbitan majalah dan buku-buku.

Sekretariat Muslimah

Sejarah peradaban dunia akan dianggap pincang jika menafikan peri pentingnya peranan golongan wanita dalam memastikan kelangsungan sesebuah negara dan tamadun. Seawal penciptaan manusia lagi, Allah SWT telah menciptakan Hawa sebagai pelengkap kepada kehidupan Adam.

Menyedari akan hakikat inilah, PUM telah menubuhkan Sekretariat Muslimat Persatuan Ulama Malaysia. Sekretariat ini dianggotai dan dikendalikan sepenuhnya oleh sekumpulan muslimah yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Sekretariat ini berazam untuk meletakkan kepimpinan muslimat sebagai satu sekretariat yang berpendirian, perkembangan dunia kotemporari serta seiring dengan visi dan misi PUM.

Sekretariat ini terbuka kepada semua golongan Muslim daripada pelbagai lapisan dan peringkat, tanpa menetapkan sempadan umur mahupun bangsa.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140211

Usman beli syurga

PARA sahabat Nabi mempunyai bermacam-macam ragam. Ada yang kaya, ada juga yang miskin. Namun begitu, semangat untuk menyumbang kepada dakwah Islam menyatukan mereka.

Antara sahabat Nabi yang kaya ialah Usman bin Affan. Beliau sangat mahir berniaga, justeru berjaya menjana pendapatan yang cukup banyak. Harta yang beliau miliki sepenuhnya digunakan untuk pelaburan akhirat. Beliau bertekad “membeli" syurga dengan harta yang beliau miliki.

Berkata Abu Hurairah: “Usman bin Affan telah membeli syurga daripada Rasulullah SAW sebanyak dua kali. Kali pertama apabila beliau membeli perigi rumah. Dan kali kedua apabila beliau membiayai pasukan usrah (perang Tabuk)." (riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak)

Perigi rumah

Perigi rumah adalah satu-satunya sumber air bersih di Madinah apabila kaum muslimin berhijrah ke kota itu. Menurut Ibnu Abd. al-Bar dalam kitab al-Isti’ab, sumur ini milik seorang Yahudi. Beliau tidak membenarkan kaum muslimin mengambil air daripadanya melainkan dengan bayaran.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang membeli perigi rumah lalu menyerahkannya kepada kaum muslimin, maka ia akan memiliki telaga di dalam syurga."

Apabila mendengar cadangan Nabi ini, Usman segera mendatangi pemuda Yahudi itu. Setelah tawar-menawar berlaku, orang itu bersetuju menjual setengah bahagian sahaja. Harga yang ditetapkan ialah 12,000 Dirham.

Usman bersetuju membeli setengah bahagian itu. Kedua-duanya sepakat menetapkan satu hari milik Yahudi dan satu hari yang lain untuk Usman. Pada hari milik Yahudi, tiada siapa yang datang untuk mengambil air. Sebab mereka telah mengambil air untuk persediaan dua hari pada hari milik Usman.

Melihat perkara ini, Yahudi itu berkata kepada Usman: “Engkau telah merosak perniagaanku." Ia lalu menjual bahagiannya kepada Usman pada harga 8,000 Dirham.

Perang Tabuk

Adapun perang Tabuk, maka peperangan ini ialah peperangan terakhir yang dihadiri oleh baginda Nabi SAW. Pasukan Islam mesti keluar ke Tabuk untuk menghadang pasukan Rom yang dikhabarkan telah bersiap-siaga menyerang Madinah.

Persiapan perang kali ini sangat mencabar. Cuaca pada masa itu sangat panas. Kendaraan dan bekalan juga sangat minimum. Justeru, al-Quran menyebut peristiwa ini sebagai: sa’at al-’usrah (saat-saat sukar).

Abdurahman bin Khabbab bercerita: Aku menyaksikan Rasulullah SAW menggalakkan manusia untuk berinfak bagi peperangan ini. Usman lalu berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 100 ekor unta dan keperluannya."

Baginda lalu menggalakkan infak sekali lagi. Usman kembali berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 200 ekor unta dan keperluannya."

Baginda menggalakkan infak sekali lagi. Usman kembali berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 300 ekor unta dan keperluannya."

Abdurahman berkata: aku melihat Rasulullah turun dari mimbar sambil bersabda: “Tidak akan membahayakan Usman apa yang akan ia lakukan setelah ini." (riwayat al-Tirmidzi).

Sabda ini menunjukkan bahawa dosa-dosa Usman telah diampuni oleh Allah kerana sumbangan besar beliau untuk dakwah Islam.

Ukuran iman

Usman bin Affan patut menjadi teladan seluruh umat Islam terutama yang memiliki kelebihan harta. Pandanglah harta sebagai titipan Allah yang mesti diserahkan apabila diminta. Permintaan itu tidak lain ialah apabila dakwah dan umat Islam memerlukan bantuan anda.

Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa seorang Mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai Allah SWT berbanding Mukmin yang lemah. Kekuatan ini bukan hanya dalam tenaga sahaja, akan tetapi meliputi juga aspek ekonomi, politik dan ilmu pengetahuan.

Siapa yang memiliki salah satu kelebihan ini, hakikatnya tengah diamanahkan tanggungjawab untuk membela Islam menerusi amanah tersebut. Dan ukuran iman seseorang ditentukan oleh sikapnya dalam menjalankan amanah ini dengan baik.

Semoga kita boleh menjadi seperti Usman bin Affan. Seorang sahabat Nabi yang telah dijanjikan syurga semenjak beliau masih hidup lagi. Amin Ya rabbal ‘alamin

UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM)

Utusan Malaysia Bicara Agama 20140211

Madu penuh penawar

Madu adalah salah satu penawar yang tertua di dunia. Walaupun rasanya manis, ia mengandungi pelbagai khasiat dan manfaat untuk manusia.

Madu mempunyai 1001 kebaikan dan khasiat. Tidak dinafikan madu sangat baik untuk sistem badan kita. Namun, sejauh manakah kita tahu tentang khasiat madu?

Khasiat madu lebah bagi tujuan perubatan sememangnya diketahui umum. Hari ini madu lebah dianggap penting dalam industri penjagaan kesihatan yang meliputi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

Menurut Dr Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), madu mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Foto

MADU perlu diambil mengikut dos tertentu untuk mengubati penyakit.


Secara semula jadi, madu sangat berkhasiat dan mengandungi gula seperti fruktus dan glukos selain mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat. Ia juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.

Berikut adalah beberapa kebaikan madu yang boleh kita peroleh:


Melegakan sakit tekak dan batuk

Sejak beribu-ribu tahun lamanya, madu sering dikenali sebagai penawar semula jadi untuk mengurangkan sakit tekak dan batuk. Ini kerana madu mempunyai sifat antibakteria yang mampu menghalang jangkitan bakteria dan mengurangkan kesakitan.


Merawat luka dan cedera ringan

Sebelum penciptaan peti kecemasan atau ‘first aid’, madu sering digunakan untuk merawat luka dan kecederaan ringan.

Dengan sifat antibakteria di dalamnya, madu mampu menghalang pembentukan bakteria pada kawasan yang cedera dengan berkesan dan mempercepatkan proses penyembuhan.


Baik untuk sistem pencernaan badan

Masalah kembung perut dan angin sering meng­ganggu kita. Anda boleh mengambil madu kerana mempunyai kesan laksatif yang mampu mengelakkan sembelit dan masalah tidak lawas. Selain itu, madu juga efektif untuk melegakan sakit perut dengan pengambilan dos yang tertentu.


Menjadikan kulit lebih cantik

Vitamin dan mineral yang terkandung di dalam madu boleh mencantikkan, melembap dan menghaluskan kulit. Untuk wanita yang baru melahirkan anak, mereka disyorkan untuk mengambil madu bagi menganjalkan kembali tubuh supaya kelihatan lebih cantik seperti sedia kala.


Kegunaan-kegunaan lain

Jika disapu pada rambut dan kulit kepala, madu boleh melebatkan rambut, membunuh kutu dan menghilangkan kelemumur. Jika digunakan untuk menggosok gigi, ia boleh memutihkan dan mengilat­kan gigi.

Bahan aktif di dalam madu yang dipanggil eucalyptol mampu bertindak sebagai antiseptik untuk mencegah jangkitan kuman dan kulat.


Kebaikan madu daripada sudut perubatan Islam

Madu memang dijadikan ubat di dalam perubatan Islam berdasarkan dalil di dalam al-Quran dan hadis Nabi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah eng­kau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia, ayat Al-Nahl 16:68.”

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa minum madu setiap bulan dengan niat mengikut nasihat al-Qur’an, maka Allah SWT akan menyembuhkannya daripada 77 penyakit.

“Barang siapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu.

“Sebaik-baik minuman ialah madu kerana ia dapat memusatkan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada”.

Seperti perubatan moden, kaedah mengambil madu perlu diambil mengikut dos yang ditetapkan sesuai dengan penyakit yang dialami. Jika dosnya kurang, ia tidak mengurangkan sakit. Jika dosnya berlebihan pula, ia boleh membahayakan badan dan menimbulkan masalah lain.

Untuk kes-kes yang tertentu, pesakit perlu menambah dos madu sehingga mencapai tahap di mana penyakitnya boleh sembuh dengan izin Allah SWT.

Terdapat satu kisah di mana Rasulullah SAW menyuruh seorang lelaki meminum madu untuk mengubati sakit perutnya.

Lelaki itu hanya mengambil dalam dos yang sama sebanyak beberapa kali. Ini menyebabkan sakitnya tidak pulih kerana dos madu yang diambil tidak mampu untuk membuang kotoran sepenuhnya di dalam perut.

Selepas lelaki itu datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu kesakitan yang belum pulih, Rasulul­lah SAW sangat faham bahawa dos yang diambil oleh lelaki itu tidak mencukupi.

Nabi menekankan bahawa lelaki itu perlu terus menambah dos madu sehingga mencapai dos yang sesuai untuk merawat penyakit.

Dengan manfaat dan amalan perubatan dari dunia moden dan alternatif seperti perubatan Islam, madu tidak syak lagi adalah makanan yang bermanfaat untuk kesihatan kita. Inilah masanya kita mendapatkan kebaikan daripada khazanah alam ciptaan Allah SWT yang tidak ternilai harganya.


myMetro Nuansa 2014/02/07

Ikhlas laksanakan tugasan

Kadangkala penulis terdengar juga rungutan seorang dua rakan yang bergelar pensyarah bahawa tugasan disandang sebagai ahli akademik begitu memenatkan.

Bukan saja penat de­ngan bebanan kerja yang bertimpa-timpa, malah terpaksa memenuhi piawaian ditetapkan di institusi mereka bertugas.

Antara rungutan yang sering kedengaran ialah timbunan kerja pentadbiran yang tidak pernah habis, mesyuarat mahupun kursus berpanjangan serta kelelahan melayan kerenah siswa.




PELAKSANAAN tanggungjawab pensyarah adalah tinggi untuk melahirkan generasi baru yang bakal meneruskan kesinambungan masa depan bangsa dan negara. - Gambar hiasan


Biarpun pada tanggapan penulis pokok bicara yang menjadi bebelan itu normal, mungkin tidak bagi segelintir pihak.

Justeru, penulis terta­nya-tanya adakah benar kerjaya sebagai pensyarah atau ahli akademik ini sentiasa penuh tekanan?


Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, panda­ngan segelintir pihak yang menganggap pensyarah terlalu terbeban dengan komitmen dan tanggung­jawab di universiti kurang tepat.

Beliau berkata, setiap pekerjaan tanpa mengira tahap pasti berdepan masalah, cuma terpulang kepada diri sendiri bagaimana mahu menyelesaikannya.

“Tanggapan segelintir pihak yang suka mengait­kan isu bebanan tugas boleh dikategorikan sebagai tidak matang.

“Dalam mana-mana pelaksanaan tugasan, masalah atau tekanan adalah lumrah dan kita jangan mudah melatah kerana perkara kecil.

“Kerana ia boleh menjejaskan tumpuan atau kredibiliti pekerjaan yang sedang dilaksanakan. Itu tidak profesional nama­nya,” katanya.

Beliau berkata, tidak kira pensyarah atau apa jua pekerjaan, tekanan perlu dihadapi dengan cara berhemah serta dicorakkan menjadi ‘satu budaya kerja yang me­nyeronokkan’.



ANGGAPLAH tugasan yang dilaksanakan sebagai komitmen terhadap tanggungjawab menyeluruh dalam dunia pekerjaan bagi mengelakkan diri terus terbeban dengan tekanan. - Gambar hiasan
“Bunyi macam kelakar atau mustahil sebab jika tertekan, mana mungkin boleh gembira seronok.

“Tapi, bukankah kita juga yang bertanggungjawab mencorakkan ‘warna-warni’ emosi sendiri, jadi mengapa tidak boleh melakukannya.

“Pensyarah atau apa jua pekerjaan, jadikan budaya kerja sebagai satu tanggung­jawab yang perlu dipikul dengan ikhlas,” katanya mengakui tugas pensyarah boleh dilaksanakan dengan baik andai kata tidak dibebani masalah persekitaran.

“Saya setuju jika dikatakan faktor sampingan yang membuatkan pensyarah rasa terbeban.

“Jika mereka hanya fokus pada tugasan hakiki, masalah tertekan, lambakan kerja dan sebagainya boleh diatasi.

“Semua ini menuntut perhatian atau tindakan bukan sedikit, malah membuang banyak masa, sekali gus menimbulkan kemungkinan lain pula,” katanya.

Beliau juga menolak tanggapan bebanan pensyarah terletak pada tanggungjawab profesional seperti keperluan menghasilkan jurnal, penyelidikan dan sebagainya.

Menurutnya, tanggung­jawab pelaksanaan aspek itu sebenarnya bukan bebanan tapi ia selari dengan taraf kelayakan dan profesional dimiliki.

“Pensyarah adalah ahli akademik yang sudah mencapai satu tahap pendidikan tertinggi. Mengajar pula di institusi pengajian tinggi yang bertanggung­jawab melahirkan golongan cerdik pandai.

“Jika sudah berada pada tahap itu, tanggungjawab yang dipikul juga pastinya semakin berat.

“Tidak perlu mengeluh kerana bebanan itu seiring dengan status ilmu dan kelayakan menjadi seorang ahli akademik,” katanya.

Beliau berkata, sebagai ahli akademik bertaraf profesional, pensyarah perlu meletakkan komitmen teguh untuk menghasilkan suasana persekitaran ilmu yang kondusif.



BEBANAN tugas pensyarah dalam aspek tertentu adalah selari dengan kelayakan dan kepakaran dimiliki. - Gambar hiasan


“Ini kerana persekitaran kondusif boleh membantu pensyarah lebih fokus dalam melaksanakan tugasan.

“Kepincangan dalam aspek itu juga boleh memberi kesan terhadap proses pembelajaran dan pengajaran kerana perkongsian ilmu tidak berlangsung dengan sempurna.

“Sebenarnya, kebijaksanaan pensyarah juga penting untuk mewujudkan persekitaran tugasan yang menyeronokkan. Apabila (situasi itu) wujud, pensyarah tidak mudah tertekan,” katanya.

Beliau berkata, adalah normal pensyarah ‘terbeban’ dengan komitmen yang sering diminta pihak berkaitan.

Bagaimanapun, jangan jadikan itu alasan untuk mengurangkan produktiviti diri tapi menganggap ia sebagai satu kepercayaan.

“Jika ada pensyarah yang berkeluh kesah mengatakan mereka terbeban dengan permintaan universiti misalnya, saya anggap itu satu kerugian.

“Memang sukar mahu melaksanakan banyak permintaan mahupun arahan tapi anggaplah ia sebagai satu proses untuk memantap dan mematangkan lagi ilmu sedia ada.

“Bergelar pensyarah juga tidak semestinya kita tahu banyak aspek seperti pengurusan misalnya. Jadi anggap komitmen itu sebagai wadah menimba ilmu,” katanya.

Ruhaiza Rusmin myMetro Bestari 2014/02/10