February 14th, 2014

Berdakwah, mengajar ilmu tugas mulia

Jika ganjaran memperbaiki hubungan dalam kalangan manusia melebihi pahala puasa, solat dan sedekah sunat, bayangkan ganjaran orang yang berusaha memperbaiki hubungan hamba dengan Allah SWT yang mengajak kepada keimanan serta ketakwaan.

Sesungguhnya orang yang tidak mematuhi perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW bererti dia telah menjauhi serta memusuhi Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka yang berusaha mengajak orang lain ke jalan Allah SWT membantu orang itu memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

Mereka yang berdakwah ini ganjaran dan darjatnya tinggi di sisi Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah daripada orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).” (Surah Fussilat, ayat 33).

Sepatutnya umat Islam berusaha dalam bidang dakwah ke jalan Allah SWT dengan apa cara yang mampu mereka lakukan.

Pahala mengajar ilmu, amalan baik

Apabila ilmu dan amalan baik diajarkan itu diamalkan orang lain, pihak yang mengajar itu juga mendapat pahala. Begitulah ganjaran berlipat kali ganda yang bakal diterima apabila kebaikan diajar diterjemahkan dalam amalan harian.

Oleh itu, bersegeralah mengajak mereka di sekeliling kita untuk melakukan perbuatan baik bagi membuka peluang lebih luas kepada kita meraih kedudukan di Syurga nanti. Pada masa sama, kita juga menyumbang ke arah melahirkan masyarakat cemerlang dunia dan akhirat.


Berita Harian Agama 14/02/2014

Khutbah Jumaat: Iman kukuh bendung budaya songsang

Manfaat akal, didikan agama lahir modal insan cemerlang

Salah satu permasalahan penting untuk disedari umat Islam ketika ini ialah ghazwul fikri iaitu penjajahan pemikiran yang berkait dengan kehidupan manusia. Pengaruh ini menyebabkan sebahagian umat Islam terjebak dalam budaya kebebasan melampau hingga tergelincir daripada sempadan ajaran Islam sebenar.

Persoalan besar timbul apakah yang menyebabkan perkara ini terjadi? Antara sebabnya, umat Islam makin jauh dari Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW, malah ada segelintir umat Islam yang meninggalkannya.

Kedua, tidak dapat menilai pertembungan antara yang hak dan batil iaitu keimanan serta kekufuran. Ketiga, tafriqah iaitu terjadinya perpecahan dalam kalangan umat itu sendiri dan keempat, taklidiah iaitu mengikut tanpa berpegang kepada prinsip sebenar.

Akibatnya ada manusia tidak dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Bagi yang tidak mendapat nur hidayah, mereka menganggap kebenaran itu bagaikan ranjau berduri, manakala kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah.

Pemandangan mereka dikaburi pengaruhi musuh durjana iaitu syaitan laknatullah. Ingatlah, dalam sejarah kewujudan dunia, syaitan atau iblis adalah makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berazam akan menyesatkan seluruh umat manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang yang rugi. (Surah al-Mujadalah, ayat 19)

Bijak manfaat akal

Umat Islam perlu bijak memanfaatkan akal fikiran untuk menjadi umat cemerlang serta tidak terjebak dengan hasutan iblis dan syaitan.

Modal insan yang cemerlang hanya dapat dilahirkan jika anugerah Allah SWT paling bernilai iaitu ‘akal’ dimanfaatkan dengan baik. Amalan memelihara akal dapat dilakukan dengan penghayatan ilmu yang terkandung dalam al-Quran di samping mempraktikkan sunnah Rasulullah SAW.

Justeru, umat Islam perlu menghindar sifat keji dan hina seperti malas bekerja. Saling melemparkan fitnah, mengadu domba, banyak berangan, terbabit aneka ragam kemaksiatan dan terpengaruh ajaran sesat serta terikut-ikut budaya Barat yang merayakan hari-hari tertentu.

Ketika umat Islam berada di masjid untuk mendengar ucapan khatib dan mengagungkan kebesaran Allah SWT, di luar sana berkemungkinan ada segelintir muda mudi Islam terbabit dengan majlis sosial seperti ‘Valentine’s Day’ yang diraikan oleh pasangan kekasih.

Majlis sosial seumpama itu dilihat sebagai satu langkah permulaan ke arah peningkatan gejala sosial seperti penipuan, kecelaruan mental disebabkan alkohol, menggugurkan kandungan dan membuang bayi serta gejala negatif yang boleh mengundang bencana keruntuhan akhlak muda mudi. Marilah kita memandang ke depan dengan fikiran lebih positif untuk membentuk jati diri sebagai umat Islam yang boleh dicontohi oleh seluruh manusia sejagat.

Kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan menegakkan prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seorang Muslim menyebabkan kita terpesong daripada cara hidup yang sebenar.

Agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus serta tasawwur mereka mengenai sesuatu perkara menjadi jelas.

Jauhi tingkah laku jahiliah

Janganlah kita mencontohi tingkah laku umat jahiliah terdahulu yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik saja sedangkan hakikat iman ialah paduan antara keyakinan di hati dengan melaksanakan perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah al-Hujurat, ayat 15).

Justeru, bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat kesan melakukan amalan bertentangan akidah dan syariah, jauhilah daripada perkara yang membawa kerosakan dan kelalaian. Jangan kita terbabit budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan.

Mari bersama memantapkan iman kita, keluarga dan masyarakat demi masa depan agama, ummah dan negara. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak dididik dan dibimbing dengan ajaran Islam sebenar.

Umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik, menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya serta menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram serta meninggalkan sambutan yang tiada dalam syariat Islam.

Khutbah sumber daripada JAKIM Berita Harian Agama 14/02/2014

Mengembalikan kegemilangan Islam

“TERLEBIH dahulu saya memanjatkan seluruh kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat bersama-sama sidang hadirin sekalian di majlis Usrah Perdana Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) kali ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur yang memberi kepercayaan kepada saya sebagai salah seorang pembentang.

“Walaupun saya sedar dengan kemampuan yang terlalu terbatas dan ilmu yang begitu dangkal, saya bukanlah orang yang terbaik bercakap di hadapan tuan/puan sekalian, namun saya cuba untuk berkongsi sedikit pengetahuan dan pengalaman saya bersama tuan/puan sekalian.

“Tajuk yang diberikan kepada saya ialah Mengembalikan Kegemilangan Islam: Peranan siapa? Setelah saya meneliti persoalan ini saya dapati saya mempunyai dua jawapan untuknya. Jawapan yang pendek dan jawapan yang panjang. Jawapan pendek saya untuk persoalan ini adalah peranan mengembalikan kegemilangan Islam ini adalah peranan semua orang Islam. Dengan menjawab persoalan tersebut selesailah tugas saya di dalam majlis berkenaan.

“Namun jawapan panjang saya pula ialah sebelum kita melihat kepada peranan siapa, adalah lebih baik kita memperhalusi ciri-ciri Muslim yang cemerlang yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam ini."

Terdapat 10 ciri Muslim unggul yang dibahaskan oleh para ulama, khususnya Hassan Al Banna. Ciri ciri tersebut ialah:

1 Salimul akidah - akidah yang bersih merupakan seuatu yang mesti sebati di dalam jiwa Muslim. Dengan akidah yang bersih seorang Muslim dapat menghindarkan dirinya daripadamemperhambakan diri kepada makhluk kepada mengubudiahkan dirinya kepada Penciptanya. Memiliki akidah yang bersih amat penting sebagai asas pembinaan jati diri seseorang Muslim.

2 Sahihul ibadah - ibadah yang benar juga amatlah penting kerana ia merupakan perintah Allah dan RasulNya. Malah terdapat pelbagai hikmah dan kelebihan yang ada di dalam ibadah yang masih belum dapat dirungkaikan oleh sains dan teknologi.

3 Matinul khuluq - akhlak yang mantap. Sifat ini perlu disemai di dalam setiap diri Muslim dalam hubungan antara manusia ataupun dengan makhluk yang lain.

4 Qawiyul Jismi - kekuatan jasmani mengkehendaki seorang Muslim melaksanakan ajaran Islam secara optimum dengan kekuatan fizikal. Dengan kekuatan fizikal pelbagai perkara dapat dilakukan oleh orang Islam dan Rasulullah juga lebih menyintai seorang mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.

5 Muthahaqol fikri - pintar dalam berfikir merupakan salah satu sifat Rasulullah SAW. Sifat fathonah Rasulullah SAW serta pelbagai ayat al-Quran yang merangsang minda berfikir merupakan manifestasi kepentingan kepada kepintaran berfikir.

6 Muhajadatun linafsihi - berjuang melawan hawa nafsu. Hawa nafsu sebenarnya bukanlah suatu perkara yang buruk. Ia membezakan manusia dengan malaikat. Jika manusia boleh mengawal hawa nafsunya ke arah kebaikan maka hierarkinya akan menjadi lebih tinggi daripada malaikat.

7 Manazim fi syuunihi - teratur di dalam urusannya. Berurusan dengan teratur dan sistematik ditekankan di dalam al-Quran dan sunnah. Muamalah yang dilaksanakan dengan baik amatlah dipentingkan dan bermanfaat bagi semua. Walau bagaimana bagus pun sesuatu tindakan itu, jika ia tidak dibuat dengan teratur, ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang baik. Malah kebatilan yang terancang akan dapat mematahkan kebenaran yang tidak dirancang rapi.

8 Harithun ala waqtihi - mengurus dan menghargai masa. Allah SWT bersumpah di dalam al-Quran dengan menggunakan nama waktu seperti alfajr, addhuha, al asr, allail yang menunjukkan peri pentingnya menguruskan waktu dengan baik. Malah solat yang ditetapkan pada waktu tertentu juga mestilah diterjemahkan dalam kehidupan seharian kita dengan menepati waktu.

9 Qodirun alal kasbi - memiliki kemampuan berusaha atau berdikari. Ciri ini amat penting untuk kita tidak bergantung pada orang lain dan bebas daripada kongkongan pihak tertentu. Berdikari daripada aspek ekonomi juga penting kerana kefakiran itu amat hampir dengan kekufuran.

10 Naafi’un ligahirihi - bermanfaat kepada orang lain. Ciri terakhir ini merupakan tuntutan kepada orang Islam. Orang Islam tidak boleh mementingkan dirinya sahaja tetapi hendaklah memberi manfaat kepada orang lain dalam apa jua perkara.


ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my Utusan Malaysia Bicara Agama 20140213

Mencari keberkatan rezeki

PERKARA penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita peroleh tetapi sebaliknya, ada atau tidak keberkatan di dalam rezeki itu.

Rezeki melimpah-ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal dan berkat. Ada orang mempunyai rezeki yang banyak tetapi sayangnya di dalamnya tidak terdapat unsur keberkatan.

Di dalam Islam, keberkatan rezeki yang diinginkan adalah bermaksud rezeki yang bertambah dan mengandungi kebaikan di dalamnya. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki menjadi lancar, berkat dan halal. Antaranya;

1 Menjauhi pekerjaan haram dan subahat

Setiap orang hendaklah taat kepada Allah SWT dan tidak melakukan dosa kerana dosa akan menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (riwayat at-Tirmizi).

Selain itu, dekatkanlah diri kepada Allah dengan ibadah tambahan seperti solat Dhuha dan solat Tahajud.

2 Bekerja sungguh-sungguh

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT senang melihat hamba-Nya bersusah payah (kelelahan) dalam mencari rezeki yang halal." (riwayat Adailami)

3 Mengadu masalah rezeki hanya kepada-Nya

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa tertimpa kemiskinan, kemudian ia mengadukannya kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya itu. Namun, siapa sahaja yang mengadukannya kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki, baik segera ataupun lambat." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

4 Memperbanyakkan beristighfar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa memperbanyak istighfar, Maka Allah SWT akan menjadikan setiap kesulitan kelapangan dan setiap kesempitan jalan keluar dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak pernah disangka-sangkanya." (riwayat Imam Ahmad)

5 Sabar dan banyak membaca la hawla wa laa quwwata illa billah.

Diriwayatkan bahawa Salim, anak laki-laki ‘Auf bin Malik al-Asyja’iy telah ditawan oleh orang musyrik. Kemudian, ‘Auf datang mengadu kesedihannya kepada Rasulullah.

Baginda SAW berkata: “Bertakwalah kepada Allah, bersabarlah dan aku anjurkan agar kamu dan isterimu memperbanyak bacaan, La hawlah wa laa quwwata illa billah. ‘Auf kembali ke rumahnya dan menyatakan suruhan Rasulullah SAW itu. Keduanya, segera melaksanakan perintah Rasulullah SAW. Akhirnya, anaknya berhasil meloloskan diri daripada musuh dan membawa ternakan kambingnya sebanyak 4,000 ekor di hadapan ayahnya. (Tafsir Qurthubi, surah al-Thalaq: 3)

6 Tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu, sebagaimana Allah telah memberi rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya dengan perut kenyang. (riwayat Bukhari)

7 Bersedekah dan nafkahkan harta kepada yang berhak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada tiga hal yang aku bersumpah kepadanya dan aku akan menyampaikan suatu berita kepadamu, maka perhatikan benar-benar: Tidak akan berkurang harta seseorang kerana sedekah dan tiadalah seseorang membuka pintu meminta-minta melainkan Allah akan membukakan kepadanya pintu kemiskinan." (riwayat al-Tirmizi)

8 Tolong agama Allah dengan menegakkan syariat Islam

Firman Allah SWT bermaksud: Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)

Syariat Islam akan tegak dengan adanya daulah Islam. Islam sebagai jalan kehidupan tidak tegak dalam masyarakat saat ini dengan tidak sebagai wadah. Sistem perekonomian di mana umat mencari rezeki pada saat ini merupakan sistem perekonomian yang tidak mendukung mereka untuk mendapatkan rezeki yang banyak, lancar dan berkat.

Sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kerana Allah Maha Kaya. Tetapi itulah cara bagi kita untuk menolong diri kita sendiri. Marilah kita menolong agama Allah, agar rezeki kita banyak, lancar, halal dan berkat.



HASHIM AHMAD Utusan Malaysia Bicara Agama 20140213

Hari Kekasih rosakkan Islam

MASYARAKAT Yahudi adalah satu golongan yang dilaknat oleh Allah SWT kerana kesesatannya dan kezalimannya menderhakai Allah dan para rasul serta menzalimi umat Islam sejak dahulu sehinggalah kini.

Sebab itu, kita dilarang menjadikan mereka teman rapat atau rakan khususnya dalam mengurus hal ehwal berkaitan agama.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai pemimpin-pemimpin kamu kerana sebahagian mereka menjadi pemimpin kepada sebahagian yang lain. Sesiapa antara kamu yang menjadikan mereka pemimpinnya, maka sesunggguhnya dia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (al-Maidah: 51)

Bagaimanapun, dalam dunia tanpa sempadan kini, penjajahan dalam bentuk fizikal melalui kuasa tentera tidak lagi berlaku. Sebaliknya, lebih bahaya adalah penjajahan dari segi minda. Inilah yang dilakukan oleh puak Yahudi. Tidak dinafikan strategi mereka melalui Protokol 5S memang berjaya. Antaranya mempengaruhi muda-mudi Islam menyambut Hari Kekasih pada 14 Februari setiap tahun.

Malangnya, ada muda-mudi Islam yang termakan dengan pujuk rayu syaitan sehingga menjadikan 14 Februari, tarikh yang amat ditunggu-tunggu untuk diraikan bersama pasangan masing-masing.

Walhal, fatwa mengharamkan menyambut Hari Kekasih sudah pun ada. (rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang dari 22 hingga 24 November 2005).

Antara sebab utama larangan itu, amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Protokol Yahudi ini kian mempengaruhi hidup generasi muda sehinggakan ramai umat Islam dicengkam oleh pemikiran Yahudiah dan akhirnya umat Islam khususnya generasi muda kita jatuh tersungkur.

Lantaran jiwa yang kosong dengan tarbiah agama, golongan muda ini gagal membezakan yang baik dan buruk walaupun telah ada peringatan Allah tentang kaum Yahudi ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu). (al-Baqarah: 120)

Di antara perkara yang menggempur pemikiran umat Islam adalah pelaksanaan Protokol 5S iaitu screen, smoke, sports, sing & song dan sex.

Jika diperhalusi, empat daripada lima protokol itu kecuali sports terangkum di dalam sambutan Hari Kekasih.

Pertemuan atau dating dengan teman lelaki atau wanita biasanya melibatkan tengok wayang, merokok, mendengar muzik atau hiburan dan ada yang berakhir dengan melakukan zina kononnya untuk membuktikan rasa cinta mereka.

1. Screen atau filem. Melalui filem, Yahudi berjaya melakukan propaganda memburuk-burukkan Islam, menghina Rasulullah, menggalakkan pergaulan bebas muda-mudi, menampilkan fesyen dan budaya songsang, melahirkan fahaman dan akidah sesat dan sebagainya.

2. Smoke atau rokok. Melalui rokok inilah kita dikatakan menyumbangkan kira-kira AS$10 juta (RM32.5 juta) sehari membantu ekonomi Yahudi untuk membunuh umat Islam di Palestin.

3. Sports atau sukan. Pelaksanaan temasya sukan yang ditaja oleh syarikat-syarikat arak dan rokok, pendedahan aurat yang nyata, pergaulan bebas dan terdapat unsur-unsur Majusi iaitu unggun api di dalam pelaksanaannya.

4. Sing & Song atau nyanyian. Melalui nyanyian dan hiburan telah banyak memesongkan akidah umat Islam dengan pemujaan terhadap syaitan dan wanita yang mengakibatkan kelalaian dan lupa kepada Allah dan rasul.

5. Seks. Penerapan budaya songsang di kalangan masyarakat terutamanya belia. Berlakunya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga merangsang perlakuan seks yang tidak terkawal. Natijahnya ramai anak zina yang lahir dan ia sangat mengancam generasi Islam pada masa akan datang.

Apa yang lebih menyedihkan akibat daripada merayakan sambutan hari-hari seperti ini, remaja Islam semakin liar dan semakin ramai yang terjebak dengan gejala sosial serta keruntuhan moral.

Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 2000 hingga 2008 sebanyak 257,411 Sijil Kelahiran didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim dilaporkan berkata, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2009. Bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2008, seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Jika 17,303 setahun anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan di Malaysia pada 2009. Ini bermakna 17,303/365 iaitu 47 kelahiran anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan setiap hari di Malaysia pada 2009 bersamaan dua kelahiran anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan setiap jam di Malaysia pada 2009. Ini juga bermakna 47 kes zina yang menghasilkan kehamilan berlaku setiap hari di kalangan Melayu (Islam) pada 2009.

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh empat tahun sahaja (1999-2003) 30,978 daripada 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan, anak orang Islam.

Senario ini cukup membimbangkan kerana ia telah merosakkan satu daripada lima maqasid syariah iaitu memelihara keturunan.

Islam tidak melarang umatnya berkasih atau bercinta. Cuma Islam meletakkan rasa kasih dan cinta itu di atas ikatan pernikahan agar terpelihara keturunan dan keharmonian bermasyarakat.

Barangkali, ada pasangan bercinta yang mendakwa mereka hanya suka-suka dan bukan berniat meraikan Hari Kekasih apabila bertemu pacar masing-masing pada 14 Februari.

Memanglah, resmi orang bercinta semuanya dipandang indah ditambah pula dengan pujuk rayu syaitan agar mereka terus melanggar perintah Allah lebih-lebih lagi apabila duduk berdua-duaan.

Walhal ijmak ulama memutuskan bahawa keterlibatan seseorang dalam ritual agama lain adalah salah satu unsur fasik dan merosakkan akidah.

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW mengingatkan, “Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka". (riwayat Imam Abu Daud)

Pendek kata, umat Islam tidak boleh mencampuradukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain.

Kepada para ibu bapa, marilah sama-sama kita menjaga ahli keluarga kita daripada terjebak dalam perangkap puak Yahudi. Seterusnya menjalankan tanggungjawab menyelamatkan ahli keluarga kita daripada dibakar api neraka kelak.



Mohd. Radzi Mohd. Zin pengarang@utusan.com.myUtusan Malaysia Rencana 20140214

Provokasi agama dan keselamatan nasional

PROVOKASI terhadap status rasmi Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mutakhir ini, jika gagal ditangani secara pantas dan tegas, berpotensi mencetuskan konflik agama, konflik etnik dan mungkin Malaysia spring.

Ini kerana provokasi tersebut didukung oleh segolongan pemimpin siasah alternatif termasuk beragama Islam, yang ghairah mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) waima menerusi cara tidak demokratik.

Konflik agama dan konflik etnik, sejak dulu sampai sekarang, adalah parah padahnya, lebar dimensinya dan luas implikasinya. Ia boleh menyebabkan perpecahan negara, pertumpahan darah dan campur tangan asing.

Konflik etnik dan agama di Semenanjung Balkan, Eropah (1992-1995), mengorbankan antara 200,000 hingga 250,000 umat Islam Bosnia akibat genocide dan pembersihan etnik, serta satu juta lagi menjadi pelarian (inter-islam.org: 1998).

Mulai awal 1990-an, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan pendekatan intervensi kemanusiaan untuk menangani, mengurus atau menyelesaikan konflik-konflik seperti ini. PBB melaksanakannya tanpa izin negara yang dilanda konflik (Mingst & Karns 1995).

Di abad ke-21, konflik etnik mendorong beberapa kuasa besar untuk campur tangan dalam urusan di negara yang strategik kepada kepentingan geopolitiknya. Pada 2008, tentera Russia menyokong pihak Ossetians untuk menentang pemerintah Georgia, dan pada tahun 2011, NATO masuk campur dalam konflik di Libya (Brock et al. 2012).

Ini semua mencerminkan kesan, dimensi dan implikasi konflik agama dan konflik etnik di negara majmuk. Pemerintah dan penguat kuasa undang-undang Malaysia, oleh yang demikian, jangan berkompromi dengan pihak yang mencetuskan provokasi terhadap Islam.

Permasalahan ini, mula menonjol sejak era pentadbiran pasca Mahathir, bukannya permasalahan politik, tetapi permasalahan keselamatan masyarakat dan keselamatan nasional.

Ada pihak menghujah, provokasi terhadap Islam semakin ugal-ugalan mungkin kerana pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Betul atau tidak, ini bukan isunya. Persoalannya, bagaimanakah pemerintah Malaysia mahu menangani provokasi ini.

Provokasi terhadap Islam mutakhir ini memang mainan segolongan orang politik alternatif. Tetapi, secara terancang, mainan politik ini membabitkan peruntukan Perlembagaan yang struktural dan keselamatan nasional yang tidak boleh digolok-gadaikan.

Lantas jangan dibiarkan sesudah nyawa terkorban dan darah melimpah, baru tergesa-gesa untuk bertindak. Gunakan kuasa sepenuhnya dan kuatkuasakan undang-undang setegas-tegasnya.

Rakyat biasa Malaysia agak kurang memahami dimensi dan implikasi konflik agama atau konflik etnik dalam konteks geopolitik. Tetapi, mereka faham jika huraian mengenai Georgia dan Libya di atas dijadikan contoh.

Mereka juga akan faham apabila Arab Spring di Asia Barat menyebabkan Presiden Barack Obama menukar dasar luar Amerika Syarikat (AS) untuk memihak kepada kelompok perusuh atas nama pengembangan demokrasi termasuk di Libya, Tunisia dan Mesir.

Apa yang berlaku di Asia Barat ini tidak mustahil terjadi di Malaysia jika dilanda konflik agama atau konflik etnik. Pihak yang bertujuan campur tangan, boleh menggunakan alasan untuk memelihara hak-hak asasi manusia sejagat, menegakkan kesaksamaan sepenuhnya atau lain-lainnya.

Tetapi, motif utamanya adalah mendorong pertukaran rejim, mewujudkan pemerintahan proksi dan menguasai Malaysia. Lantas Malaysia terdedah kepada tindakan asing seperti di Georgia, Libya, Tunisia atau Mesir, jika konflik agama atau konflik tercetus di abad ke-21.

Ini kerana bila AS aktif semula di Asia Tenggara dan Asia-Pasifik untuk mengimbangi kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia, Malaysia kembali strategik dalam perhitungan geopolitik AS.

Sebabnya, Malaysia mempunyai lokasi strategik selaku negara pesisir Selat Melaka dan Laut China Selatan, nadi kepada pengangkutan petroleum secara maritim menuju ke Asia Timur, khususnya China sebagai pesaing AS.

Sikap pemerintah Malaysia mutakhir terhadap percubaan AS menguasai kedua-dua laluan laut ini ditolak secara berdiplomasi. Ini untuk mengimbangkan hubungan Malaysia dengan AS, rakan dagang utamanya di peringkat dunia dan hubungan Malaysia dengan China, rakan dagang terbesarnya di peringkat Asia.

Malaysia mutakhir terpaksa bertindak demikian kerana China dan komunisme bukan lagi musuh AS dan demokrasi. Pendirian ini, bagaimanapun, boleh berubah jika pemerintahan Malaysia ditukar atas dukungan kuasa-kuasa besar tertentu. Ini sebabnya pemerintah Malaysia mesti bertegas terhadap pihak yang memprovokasi Islam.

Jangan biarkan kelompok ini didalangi oleh mana-mana kuasa luar yang cuba mengeksploitasi konflik entik di Malaysia supaya bertukar menjadi Malaysia Spring untuk memudahkan agenda geopolitik kuasa-kuasa besar di Asia Tenggara.

Lantas agenda mutakhir sesetengah pihak terhadap Islam di Malaysia, jangan dipandang ringan. Sama ada ia sebahagian perancangan besar antarabangsa atau hanya gerakan domestik, pemerintah mesti mencemburuinya demi keselamatan nasional.

Kesimpulannya, provokasi terhadap Islam di Malaysia sekarang boleh mencetuskan konflik agama, konflik etnik dan mungkin dieksploitasikan pihak oportunis luaran supaya meledakkan Malaysia Spring. Provokasi ini mesti ditangani dengan tegas dan segera.



DATUK RUHANIE AHMAD, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, ialah pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Utusan Malaysia Rencana 20140214

Hudud dari luar kacamata politik

SETELAH beberapa tahun isu hudud tenggelam dalam perbincangan arus perdana, ianya kembali diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Semuanya bermula setelah Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan bersedia sepenuhnya melaksanakan hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993.

Kenyataan Daud pada 13 November lalu itu dipercayai susulan daripada pengumuman Kerajaan Brunei Darussalam yang bakal menguatkuasakan Perintah Kanun Hukuman Syariah 2013 (PKHJS 2013) dalam waktu terdekat.

Tanggal 22 Oktober lepas, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pewartaan PKHJS 2013 dengan tujuan melaksanakan hukum hudud dan qisas di negara itu yang akan dikuatkuasakan berperingkat-peringkat bermula dengan kesalahan-kesalahan takzir (seperti kesalahan khalwat dan perbuatan tidak sopan) mulai April ini.

Perkembangan tersebut seolah-olah memberi satu sinar harapan kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu setelah tertangguh selama 23 tahun berikutan terdapat pelbagai halangan.

Sejarah membuktikan hudud pernah dilaksanakan di Tanah Melayu (kini Malaysia) ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka selepas kemasukan Islam di Melaka pada 812 Hijrah (1409 Masihi), manakala Brunei pula mula memperkenalkan undang-undang jenayah Syariah di negara itu pada 1996.

Berdasarkan pengalaman, Malaysia sepatutnya mengambil inisiatif melaksanakan kembali hukum hudud dan mencontohi ketegasan Brunei melaksanakan PKHJS 2013 biarpun rata-rata masyarakat global menolak hukum hudud yang dianggap tidak sesuai diamalkan dalam zaman moden ini.

Anggapan negatif hukum hudud bahawa ia undang-undang zalim termasuk hukuman kerat tangan bagi kesalahan mencuri telah sekian lama dipropagandakan oleh media Barat sehingga menakut-nakutkan orang bukan Islam di negara ini.

Tidak dinafikan, langkah diambil Kerajaan Brunei itu sedikit-sebanyak menimbulkan keresahan rakyat berbilang kaum di negara ini yang khuatir sekiranya pelaksanaan hudud itu berjaya, ia bakal mengubah landskap sistem perundangan di Malaysia.

Persoalannya, sejauhmana hudud dari segi peruntukan Perlembangan, sistem kerajaan, perundangan, kehakiman dan politik sedia ada sesuai dilaksanakan di Malaysia?

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, pelaksanaan hukum hudud tidak semudah disangka kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor khususnya membabitkan soal penguatkuasaan antara orang Islam dan bukan Islam.

Selain itu katanya, pelaksanaan hukum tersebut juga perlu kepada pertimbangan terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung pembahagian bidang kuasa di antara Persekutuan dan Negeri.

Berdasarkan Senarai I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan 'undang-undang jenayah' terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan mahkamah sivil.

Manakala 'kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam' seperti dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan pula di bawah kuasa kerajaan negeri serta mahkamah syariah.

"Kita lihat pula kepada kesalahan-kesalahan tersebut, didapati di antaranya ada kesalahan-kesalahan yang telah wujud dalam Kanun Keseksaan sejak 1936 dan berkuat kuasa ketika Perlembagaan Persekutuan digubal. Contohnya, kesalahan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain, mencuri, merompak dan merogol.

"Sebaliknya, antara kesalahan itu ada yang tidak terdapat dalam Kanun Keseksaan, malah telah diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri. Contohnya, persetubuhan luar nikah, menuduh seseorang berzina dan berkaitan minuman memabukkan," katanya dalam syarahan awam bertajuk Pelaksanaan Hudud Di Brunei: Perbezaan Di Antara Brunei Dan Malaysia di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) di ibu negara baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, sekiranya hudud hendak dilaksanakan di negara ini, bagi kesalahan jenayah, ia hanya boleh dilakukan sekiranya dipinda sebagai undang-undang Persekutuan dan bukan kesalahan terhadap suruhan agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana katanya, Perlembagaan tidak menghalang untuk pelaksanaan sedemikian dan Parlimen boleh memilih apa-apa hukuman kepada kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut syariah.

"Dengan cara itu, penguatkuasaannya boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam (undang-undang Persekutuan).

"Sebagai undang-undang jenayah, ia terletak di bawah bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Sementara itu, sekiranya Parlimen Malaysia hendak membuat undang-undang seperti itu, katanya, tidak ada pindaan Perlembagaan yang perlu dibuat sebaliknya rang undang-undang itu hanya perlu diluluskan dengan majoriti mudah.

"Jika ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, maka ia akan bercanggah dengan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana itu adalah satu diskriminasi atas alasan agama.

"Dalam hal ini, adilkah jika seseorang Islam mencuri harta seorang bukan Islam, dia dikenakan hudud manakala seorang bukan Islam mencuri harta orang Islam, dia hanya dikenakan penjara atau denda?" soalnya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid menegaskan, perbezaan penetapan undang-undang antara negara ini dan Brunei juga menjadi faktor kesukaran untuk mengikut jejak langkah melaksanakan hudud.

Jelas beliau, Brunei memberi kuasa penuh kepada Sultan untuk menggubal dan meminda perundangan, sebaliknya Malaysia adalah negara Persekutuan yang mempunyai bidang kuasa tertentu termasuk kerajaan negeri.

"Di Brunei, pelaksanaannya bukanlah kerana kelangsungan politik atau untuk memenangi pilihan raya tetapi kerja-kerja ke arahnya (pengkajian hudud) telah berjalan kira-kira 30 tahun dan masih belum selesai," katanya.

Abdul Hamid yang turut menjadi penasihat dalam perangkaan undang-undang hudud di Brunei berkata, pelaksanaan PKHJS 2013 hanya boleh dinilai dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi.

Dalam tempoh itu katanya, para pengkaji dan negara yang ingin mengikuti jejak langkah Brunei boleh menilai sama ada pelaksanaan hudud mampu mengurangkan kadar jenayah atau sebaliknya.

"Adakah negara Brunei yang sudah tenteram itu akan menjadi lebih aman? Kita masih belum tahu dan penilaian sebenar kesan hudud hanya dapat dilihat dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi," katanya.

Ditanya media sama ada hudud sesuai dilaksanakan di Malaysia, Abdul Hamid sekadar menjawab:"Saya memberi pendapat berasaskan undang-undang. Anda kajilah kesannya."



RAJMAH HASAN dan METRA SYAHRIL MOHAMAD Utusan Malaysia Rencana 20140214

Suami enggan berzakat

SAYA dalam kebingungan memikirkan suami saya, seorang usahawan berjaya yang enggan mengeluarkan zakat. Sudah puas saya memujuk, malah membelikan buku berkaitan zakat, termasuklah meminta orang lain memaklumkan kewajipan zakat kepadanya, namun dia masih enggan. Adakah saya dikira bersubahat dan berdosa atas keengganan suami menunaikan zakat? Adakah ada cara atau kaedah untuk saya melepaskan suami saya daripada dosa kerana keengganannya menunaikan zakat? Saya bimbang jika tersalah langkah, saya menjadi nusyuz kepada suami saya. Harap penjelasan ustaz.

Jawapan:

Permulaan bicara, syabas dan tahniah diucapkan kepada puan kerana mempunyai kesedaran dan berusaha untuk menghayati ibadah zakat. Kendatipun suami puan enggan menunaikan zakat, namun puan sebaliknya tidak pernah rasa putus asa untuk menasihati dan mencari jalan agar dia menunaikan kewajipan zakat, suatu kefarduan yang amat besar peranannya di sisi Islam. Tahniah saya ucapkan.

Baiklah, mari kita cuba telusuri apakah tindakan yang wajar dilaksanakan, agar kehidupan rumah tangga puan dan suami kekal harmoni dan pada masa yang sama mampu mengundang keberkatan daripada Allah SWT. Semoga Allah SWT membantu kita, dalam menghuraikan kekusutan ini.

Allah SWT berfirman: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 71)

Maka, kesediaan puan mendakwahi suami puan itu dikira suatu inisiatif yang sangat baik. Namun, dek kerana keengganannya, maka di sisi Islam puan sudah dikira terlepas daripada dosa. Ini kerana, kemampuan seseorang itu dalam mencegah kemungkaran adalah tertakluk kepada kondisi dan kemampuannya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: Sesiapa yang melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu maka dicegah dengan lisan dan jika tidak mampu, maka dicegah dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. (hadis sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Said al-Khudri r.a)

Justeru, kedudukan seorang isteri, adalah lebih rendah daripada suaminya. Seorang isteri tidak boleh memukul suami, memisahkan tempat tidur suami atau menceraikan suami atas keingkaran suaminya. Maka, keterbatasan ini adalah suatu kondisi yang menjadikan puan tidak lagi menanggung dosa jika suami enggan mendengar atau menuruti nasihat puan.

Antara jalan yang ditunjuki syarak ialah, puan boleh mengadu kepada pihak berwajib agama untuk menasihati suami yang nusyuz atau derhaka kepada Allah SWT. Pastinya, hal ini tidak disenangi oleh pihak suami. Maka, wajarlah puan berhati-hati menasihatinya.

Marilah sama-sama kita berdoa agar di negara kita kelak wujud satu akta, enakmen atau perundangan zakat yang lebih mantap dalam melaksanakan kewajipan zakat. Ini kerana, berdasarkan sejarah, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah menguatkuasakan perundangan yang tegas kepada para pengingkar zakat. Abu Bakar telah memerintahkan agar mereka yang enggan menunaikan zakat itu diperangi, sehinggalah mereka kembali menunaikan zakatnya.

Malah, jika kita merujuk kepada firman Allah SWT dalam ayat 103, surah at-Taubah: Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), maka para fuqaha menyatakan, kalimah ‘ambillah’ itu adalah satu ‘kata perintah’ yang mengindikasikan, hanya pihak pemerintah sahajalah yang mampu dan berhak mengambil harta umat Islam andai mereka enggan menyerahkannya dengan rela. Apa lagi jika ia bukan zakat, satu kewajipan yang hakiki di sisi agama.

Insya-Allah, semoga dengan wujudnya suatu ketegasan dalam aspek perundangan, maka mereka yang selama ini berasa malas menunaikan zakat, atau sengaja mengabaikan zakat, merasa lebih gerun untuk bersikap sambil lewa dalam ibadah zakat.

Dalam pada itu, saya berdoa agar suami puan dan semua orang yang mempunyai masalah yang sama, sama ada sahabat, jiran, ibu bapa atau sesiapa sahaja, terbuka pintu hatinya untuk menjalani setiap ibadah yang sudah ditetapkan Allah SWT, sama ada solat, zakat, puasa dan haji dengan rela hati. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT kita berserah diri. Wallahua’lam

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS. Utusan Malaysia Bicara Agama 20140214

Peringatan orang berhutang

Salam Ustaz, bagaimana Islam melihat orang yang pandai berhutang tetapi liat untuk membayarnya.Lebih menyedihkan, si penjamin lebih terbeban kerana diisytihar muflis, sedangkan si peminjam yang menikmati wang pinjaman itu. Andai ustaz ada tip-tip dalam Islam untuk membuka hati orang yang liat membayar hutang melunaskan hutang, harap dapat dikongsikan.

Jawapan

Berhutang adalah harus dalam Islam. Untuk jaminan hutang, kaedah penjamin diperlukan sebagai pengukuhan kepada hutang. Malangnya, peminjam mendapat wang pinjaman hutang tersebut kemudian tidak membayarnya. Akhirnya penjamin diheret ke muka pengadilan dan diisytiharkan muflis.

Tindakan insan yang berhutang namun tidak membayar hutangnya merupakan tindakan yang zalim dan berdosa. Zalim kerana disebut dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tindakan orang kaya yang melewatkan bayaran hutang adalah satu kezaliman".

Jika tindakan melewatkan bayaran pun sudah dikira sebagai zalim, maka tindakan melarikan diri daripada pembayaran hutang adalah lebih jelas kezalimannya.

Selain itu, tindakan peminjam juga bertentangan dengan perjanjian yang dibuat. Perjanjian yang biasa dibuat bahawa peminjam akan membayar hutangnya sendiri. Penjamin pula sebagai pemudah cara sahaja agar pinjaman hutangnya diluluskan. Maka tindakan tidak mahu membayar hutang merupakan tindakan mungkir janji. Mungkir janji pula adalah antara sifat golongan munafik sebagaimana dalam hadis Nabi SAW.

Bagi orang yang berhutang, ingatlah peringatan Nabi SAW bahawa hutang tersebut akan dituntut di akhirat nanti. Oleh kerana wang sudah tidak berguna lagi di akhirat, maka kebaikan orang yang berhutang akan diambil bagi tujuan melunaskan hutangnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dan ke atasnya satu dinar atau satu dirham (jenis wang) maka dilunaskan hutang itu daripada kebaikannya. Tiada ada di sana dinar dan juga dirham." (Ibnu Majah)

Sistem yang lebih baik perlu diperbaiki agar penjamin tidak dikenakan hukuman yang tidak dilakukan. Penjamin mungkin saudara mara yang tidak mampu menolak permintaan peminjam agar menjadi penjamin. Justeru, Islam membuka ruang kepada tindakan undang-undang terhadap peminjam yang enggan membayar hutangnya.

Tindakan meliputi pelbagai cara yang difikirkan wajar seperti potongan gaji, denda, bahkan memaksanya membayar hutang dengan mengambil sebahagian aset harta si peminjam.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140214

Berhukum dengan Nabi SAW

ARTIKEL kali ini masih lagi berkaitan dengan berhukum kepada Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan kerana petunjuk Nabawi adalah sebaik-baik petunjuk. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga keluarga baginda.

Antara syarat mengzahirkan cinta kepada Allah SWT hendaklah mengikut Baginda SAW. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT y ang bermaksud: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (al-Nisa’: 65)

Sayyid Qutub berkata: “Di sini sekali lagi kita dapati, diri kita berada di hadapan syarat keimanan dan batas keIslaman yang dijelaskan oleh Allah SWT sendiri yang bersumpah dengan zat-Nya dan selepas penjelasan ini tiada lagi ruang bagi sesiapa untuk memberi sesuatu pendapat atau takwilan dalam menentukan syarat keimanan dan batas keIslaman, kecuali pendapat yang mangatakan bahawa tujuan ini adalah bergantung dengan satu azam yang tertentu sahaja dan terbatas satu kumpulan manusia sahaja.

Inilah pendapat mereka yang tidak memahami sedikit pun tentang Islam dan tidak memahami sedikit pun tentang pengungkapan al-Quran, sedangkan hakikat yang diterangkan oleh ayat ini adalah salah satu daripada hakikat-hakikat kulli/semesta Islam.

Ia diungkapkan dalam bentuk sumpah yang kuat dan bebas daripada segala ikatan dan di sana tiada ruang untuk memberi tanggapan yang salah bahawa tujuan berhakimkan kepada Rasulullah SAW ialah berhakimkan kepada peribadi beliau sendiri.

Golongan murtad

Malah tujuannya yang sebenar ialah berhakimkan kepada syariatnya dan sunnahnya. Jika tidak, maka syariat Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya tiada lagi tempat selepas kewafatan Nabi SAW. Pendapat yang seperti ini pernah dikeluarkan oleh golongan murtad yang paling degil di zaman Khalifah Abu Bakar r.a.

Beliau telah memerangi mereka dengan peperangan yang dilancarkan ke atas orang-orang yang murtad, malah beliau telah memerangi mereka kerana perkara yang jauh lebih kecil daripada itu lagi, iaitu semata-mata kerana mereka enggan taat kepada Allah dan Rasul-Nya dalam hukum zakat dan tidak mahu menerima hukum zakat yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda.

Dan andainya cukup untuk membuktikan ‘keIslaman’ apabila ramai orang Islam berhakimkan kepada syariat Allah SWT dan hukum-hukum Rasul-Nya, tetapi ia tidak cukup untuk membuktikan ‘keimanan’ selama tidak disertai dengan kerelaan dan penerimaan hati yang ikhlas dan penyerahan dengan penuh keyakinan.

Inilah keIslaman dan keimanan yang sebenar. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah melihat di mana kedudukan dirinya daripada segi Islam dan di mana kedudukan dirinya daripada sudut iman sebelum dia membuat dakwaan tentang keagamaan Islam dan keimanan.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Bicara Agama 20140214