February 19th, 2014

Pembuktian nasab, sejarah Islam penting

Sultan Abdul Hamid II yang memerintah Kerajaan Khalifah Ottoman antara 1876 hingga 1918 dikenang dalam sejarah Islam atas keberaniannya menolak permintaan British untuk menyerahkan Palestin kepada puak Zionis Britain.

Beliau bertegas, Palestin adalah amanah daripada Allah SWT dan beliau tidak berhak untuk menyerahkan Palestin kepada sesiapa terutama sekali musuh Islam. Malangnya, usaha murni Sultan Abdul Hamid II berkubur setelah timbulnya pergerakan Wahabi pada abad ke-18.

Fahaman Wahabi di Malaysia mula menyelinap dalam pergerakan golongan muda pada lewat 40-an. Golongan muda tidak mempunyai dukungan politik pada masa itu mengakibatkan perkembangannya terhad dan dipantau oleh pergerakan golongan tua.

Larangan letak batu nisan

Bagaimanapun, pengaruh Wahabi tidak pernah lenyap dan terus menular secara diam-diam dalam masyarakat Islam sehingga hari ini. Antara pengaruh Wahabi yang dapat kita lihat adalah larangan meletakkan batu nisan di kubur orang Islam.

Alasannya, mengelakkan orang Islam bertawasul (menggunakan perantara) kerana perbuatan itu dianggap boleh membawa kepada amalan khurafat dan syirik. Sebenarnya secara tidak sedar, kita telah memadamkan bukti sejarah bahawa orang Islam adalah penduduk awal di sesuatu penempatan.

Terdapat kes waris ingin membuat carian orang yang meninggal dunia sekitar 1923. Pada zaman itu masih belum ada sistem merekodkan kelahiran dan kematian rakyat Tanah Melayu. Justeru tiada rekod rasmi mengenai kematian simati dan usaha waris membuat carian rasmi di pejabat kerajaan tidak membuahkan hasil.

Oleh kerana harta si mati agak banyak dan ada waris telah meninggal dunia, waris yang tinggal amat terdesak untuk menyelesaikan kemelut itu. Salah satu cara adalah memfailkan permohonan di mahkamah mengisytiharkan waris adalah waris sah kepada si mati.

Dalam hal demikian, pembuktian mengenai nasab waris kepada si mati dilakukan dengan mendapatkan afidavit iaitu akuan sumpah bertulis oleh saksi yang pernah mengenali si mati.

Kebetulan dalam kes itu, imam dan penghulu kampung pernah mengenali simati semasa kecil mereka. Afidavit mereka dikuatkan dengan gambar batu nisan yang tertera nama simati dalam tulisan jawi dikepilkan dalam afidavit mereka.


Kesan sejarah penting

Kesan peninggalan sejarah Islam penting sebagai bukti mengenai kesahihan fakta sejarah seperti termaktub dalam al-Quran dan diriwayatkan dalam hadis serta sunnah Rasulullah SAW.

Pengarang buku ‘Muhammad: A Biography of the Prophet’, Karen Amstrong menyatakan, perbezaan ketara antara sejarah orang Islam dan Kristian adalah wujudnya banyak peninggalan sejarah pada zaman Rasulullah SAW hingga ke hari ini.

Mengikut Karen Armstrong, tempoh dakwah Jesus Christ sebelum baginda disalib adalah tiga tahun dan tidak terdapat peninggalan sejarah mengenai Jesus Christ. Sesetengah sarjana, cendekiawan serta ahli arkeologi Kristian mempersoalkan siapakah sebenarnya pengasas agama Kristian.

Persoalan ini diketengahkan oleh penulis, Michael Baigent dan Richard Leigh pada 1991 melalui buku bertajuk ‘Dead Sea Scrolls Deception’ yang mengundang kontroversi dalam dunia kesarjanaan agama Kristian.

Persoalan itu kemudian dinukilkan oleh beberapa penulis lain membincangkan teori asal usul ahli agama Kristian seperti St Paul dan St John. Tanpa sistem nasab diamalkan agama Islam, sarjana dan ahli arkeologi Kristian tidak dapat mengenal pasti dengan tepat siapakah sebenarnya St Paul dan St John, nasab serta asal usul mereka.


Sejarah Rasulullah banyak

Jika dibandingkan dengan sejarah Rasulullah SAW, terdapat banyak kesan peninggalan sejarah perjuangan Baginda selama 23 tahun di Makkah dan Madinah. Ia menjadi bukti kepada umat Islam bahawa sejarah Rasulullah SAW bukan cerita dongeng.

Nasab Rasulullah SAW dipelihara dan boleh dijejak sehingga Nabi Ismail, akhirnya kepada Nabi Adam. Begitu juga nasab sahabat Rasulullah SAW serta wali sepanjang zaman, nasab mereka boleh dijejaki dan terpelihara.

Pemusnahan kubur pertama sahabat Rasulullah SAW iaitu Zayd al-Khattab oleh Wahabi dikecam umat Islam serata dunia dan pemusnahan peninggalan sejarah Islam sebagai usaha mengubah fakta sejarah Islam menyebabkan perpecahan perpaduan umat Islam.

Rasulullah SAW berpesan dalam khutbah haji terakhirnya, syaitan akan berusaha menyesatkan manusia dalam perkara dianggap remeh oleh masyarakat Islam dan itu berlaku kini seperti tindakan sesetengah pihak melarang berselawat kepada Rasulullah SAW dan menyambut Maulidur Rasul.

Penulis ialah Naib Presiden 1 Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Berita Harian Online Agama 19/02/2014

Perbanyakkan zikir, doa dalam sujud

Pergerakan dalam solat ketika sujud adalah gambaran terbesar kehambaan kita kepada Allah SWT. Sujud keadaan yang paling hampir seseorang hamba itu kepada penerimaan Tuhannya maka perbanyakkan zikir dan doa ketika sujud.


Rasulullah SAW bersabda: “Paling hampir seorang hamba itu dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud maka perbanyakkan doa.” (Riwayat Muslim)


Maksud hampirnya hamba itu kepada Allah SWT adalah dekat penerimaan segala permohonan, rasa rendah dirinya kepada Allah, bukan hampir dari segi tempat atau ruang makhluk kerana zat Allah bukan di kiri, kanan, belakang, depan, atas atau bawah.


Begitu juga lafaz yang disebut bererti Maha Suci Tuhan Yang Tinggi Keagungan-Nya bukan bererti tinggi tempat kerana Allah SWT ada tanpa bertempat.

Sementara itu, tiada didikan yang amat mulia melainkan memberi tarbiah kepada anak supaya memelihara akidah dan solat lima waktu. Kalam ulama muktabar Imam Syeikhul Islam Abdullah al-Harari memetik sabda Baginda Rasulullah SAW: “Wajib ke atas penjaga kanak-kanak sama ada perempuan atau lelaki yang telah mumayyiz iaitu telah mula boleh memahami sesuatu ketika berumur tujuh tahun ke atas ibu bapanya hendaklah menyuruh anaknya menunaikan solat dan mengajar keduanya hukum hakam solat serta memukul keduanya setelah berumur 10 tahun jika sengaja meninggalkan solat begitu juga pada puasa yang selagi dia mampu.”

Ibnu ‘Abbas ketika berehat sebentar di rumah ibu saudaranya, Maimunah isteri Rasulullah, baginda yang pulang ke rumah terus bertanya: “Adakah Ibnu ‘Abbas telah solat.” (Riwayat al-Bukhari)

Sejurus Nabi Muhammad SAW pulang ke rumah, baginda terus bertanya akan solat terhadap anak di bawah jagaannya. Ini menunjukkan penting memerhatikan orang bawahan kita terutama anak-anak supaya sentiasa memelihara solat.
Ucapan setinggi-tingginya tahniah kepada ibu bapa yang mendidik anak untuk menjaga solat sekalipun berada di negara barat yang agak sarat dengan gejala sosial demi melahirkan generasi yang beramal dengan agama Islam dan cinta akan solat.

Mohd Rasyiq Mohd Alwi ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA). Berita Harian Online Agama 19/02/2014

Perkim 54 tahun

PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena Hari Perkim Ke-54 bertempat di Dewan Solat Utama, Masjid Asy-Syakirin KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seramai 250 orang Ahli Majlis Kebangsaan Perkim dan Saudara Muslim daripada pelbagai keturunan Cina, India, Orang Asli, Siam, Filipina dan Indonesia hadir menyerikan majlis.

Itu adalah acara tahunan untuk mengabadikan tanggal 8 Februari 1903 tarikh kelahiran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid dan kemudian di terima secara rasmi oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim sebagai Hari Perkim.

Tunku Abdul Rahman juga tercatat sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Perkim kerana Perkim pada mulanya diasaskan di kediaman rasmi Tunku, di Jalan Tunku, Kuala Lumpur pada 19 Ogos, tiga tahun selepas kemerdekaan negara.

Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, tanggal 8 Februari merupakan hari bersejarah buat Perkim iaitu sebuah pertubuhan yang besar maknanya dalam mensejahterakan masyarakat di Malaysia.

“Kita semua mengambil kesempatan untuk mengenang jasa orang yang terdahulu yang telah memainkan peranan dan jasa mereka sukar dihuraikan," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya, menyeru umat Islam agar berpegang teguh dengan ajaran Islam serta tidak mudah terpesong dengan individu tertentu yang menyalahgunakan agama Islam untuk kepentingan peribadi. Ini kerana anasir ini sekiranya tidak diwaspadai kelak akan membawa perpecahan sesama ummah.

“Justeru, kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran supaya kita bersatu kerana umat Islam itu umpama sebujur tubuh ataupun umpama sebuah bangunan yang saling memperteguhkan di antara satu sama lain.

“Lantaran itu, peranan Perkim perlu diperkasakan demi memperjelaskan agama Islam kepada seluruh masyarakat dan mudah-mudahan mereka akan terpandu serta menerima agama yang suci ini," ujarnya.

Sebelum itu, telah diadakan bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Ustaz Yus Ondri.

Hadir sama, Dr. Tun Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Sembilan; Datuk Siti Rahmah Kassim.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140219

Awas perangkap syaitan

FIRMAN Allah SWT: Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain daripada tipuan belaka. Mereka itu tempatnya Jahannam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya. (an-Nisa’: 120-121)

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitan dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah, sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak di dalam diri kita.

Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri. Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah SWT kepada manusia pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut.

Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah SWT.

Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut. Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu iaitu:

1- Melalui sifat sombong dan angkuh.

Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada sifat keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2- Melalui sifat sombong dan melalui sifat bakhil dan kedekut.

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah SWT yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan, sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3- Melalui sifat takbur dan bongkak.

Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatian yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur. (an-Nahl:23)

4- Sifat khianat.

Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa- apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5 Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Junjungan Rasulullah SAW selalu menasihati para sahabat agar mereka menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan keempat dalam kalangan manusia yang dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6- Melalui sifat hasad.

Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering. (riwayat Bukhari dan Muslim)

7- Melalui sifat suka meremehkan orang lain.

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain.

Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang telah dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafikialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil. (riwayat Muslim)

8- Melalui sifat ujub atau bangga diri.

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang- senang sahaja." (riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9- Melalui sifat suka berangan- angan.

Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah SWT dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk mendapatkannya.

10 Melalui sifat berburuk sangka.

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dahulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya. (riwayat Muslim)



WAN MARZUKI WAN RAMLI Utusan Malaysia Bicara Agama 20140219

Mengalah bukan kalah

RUNSING fikiran dibuatnya. Keputusan terletak di tangannya. Kalau ikutkan rasa hati dan mengenang kembali apa yang pernah isteri dan anak-anak lakukan kepadanya, mahu sahaja permintaan si anak dan bekas isterinya ditolak mentah-mentah.

Masih segar dalam ingatannya bagaimana Zana (bekas isteri) telah membuang dirinya daripada keluarga tersebut. Semenjak hari itu, Fariz, tidak pernah berjumpa anak-anak yang semuanya dijaga oleh bekas isteri. Tatkala rindu meronta jiwa, Fariz gagahkan diri untuk bertemu anak-anaknya di rumah milik jandanya.

Tapi setiap kali percubaan itu dilakukan, belum pun sempat dia memeluk ketiga-tiga anaknya untuk melepaskan rindu, dia telah dimaki hamun Zana. Dihalaunya bagai anjing kurap!

Pedih! Maruahnya sebagai seorang ayah kepada tiga orang anaknya ibarat petir menyambar ke bumi. Hangus, hancur serta lebur. Begitulah punahnya harapan yang terpendam sejak sekian lama. Akhirnya keputusan diambil untuk merantau jauh meninggalkan tiga anaknya bersama-sama bekas isterinya. Namun Fariz tidak pernah melupakan tanggungjawab ke atas ketiga-tiga anak kesayangannya. Melalui nombor akaun milik bekas isterinya itu, secara senyap-senyap dia memasukkan beberapa jumlah wang untuk anak-anaknya. Hanya dengan cara itu, Fariz mengharapkan anak-anaknya tidak melupakan terus dirinya sebagai ayah yang pernah hidup bersama dalam keluarga tersebut.

Ada kala, Fariz tewas melawan emosi diri. Dia menangis semahu mungkin dek terlalu merindui anak-anaknya. Namun dia tidak berupaya kerana khuatir bekas isterinya terus menghalaunya, mengherdiknya dan memaki hamun dirinya di hadapan anak-anak. Sampai bila? Fariz sebolehnya mungkin tidak mahu anak-anaknya menyaksikan perlakuan buruk itu di hadapan mata mereka. Dia tidak mahu kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang ayah tersungkur bagai barang terbuang yang tidak bernilai.

Tahun berlalu. Suatu pagi dia terbaca sesuatu yang cukup menyentap jiwanya di dalam sebuah akhbar. “Mencari ayah untuk menjadi wali." Begitu tajuk yang tertera di dalam akhbar tersebut. Dia tahu itu anaknya. Dia juga tahu itu namanya yang disiarkan di dalam akhbar tersebut.

Perasaan resah kembali menerjah. Kenangan silam tentang perbuatan bekas isteri terhadapnya datang satu persatu dalam memorinya. Kalau diikutkan rasa, inilah masa yang sesuai untuknya membalas dendam di atas setiap perbuatan si isteri yang pernah menghancurkan dan melukakan hatinya. Tapi bagaimana pula dengan nasib si anak?

Sayu! Fariz dalam dilema antara dendam kepada isteri serta rasa rindu yang keterlaluan kepada si anak. Ini adalah peluang terbaik untuknya berjumpa kembali dan memeluk erat ketiga-tiga orang anaknya di hari perkahwinan itu kelak. Tapi mampukah dia melakukannya kerana perasaan marah itu masih berbekas.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140219