February 20th, 2014

Sumpah dari sudut keterangan syariah

KEBELAKANGAN ini timbul amalan di kalangan sesetengah pihak, bila wujud pertikaian tentang kebenaran atau kesahihan sesuatu fakta, ada yang cenderung mengadakan upacara ‘sumpah depan al-Quran’. Matlamat pihak ini ialah meyakinkan orang awam bahawa dialah yang berkata benar mengenai fakta yang dipertikai itu. Untuk membuktikan dia berkata benar, dia berani melafazkan sumpah depan al-Quran, menjunjung atau mencium al-Quran.

Sumpah ini disebut sebagai `sumpah laknat’ - yang bermakna sekiranya dia berdusta dalam sumpahnya itu, dia tahu Allah akan melaknatnya dan menurunkan bala ke atas dirinya.

Mengikut kenyataan yang dimuat naik dalam satu blog yang saya lawati tidak lama dulu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan melafazkan `sumpah laknat’ pada 9 April 2012 di kawasan multazam depan Kaabah, Mekah. Ini sumpah laknatnya yang kedua selepas dia melafazkannya kali pertama pada 7 Julai 2008.

Orang awam di negara kita sedia maklum bahawa satu kes jenayah melibatkan Saiful masih lagi berjalan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Oleh itu, kita perlu berhati-hati memperkatakan isu ini, memandangkan kes ini masih lagi subjudice.

Sebelum itu, pada 29 April 2011, Datuk Shazryl Eskay Abdullah ada melafazkan sumpah laknat bagi menyokong dakwaannya bahawa seorang lelaki yang beraksi dalam satu video seks (yang sebelum itu telah diedarkan olehnya kepada sekumpulan wartawan) ialah seorang tokoh politik terkemuka di negara ini. Upacara melafazkan sumpah laknat itu dilakukan di Masjid Amru Al-As Sentul. Eskay memegang al-Quran sewaktu melafazkan sumpah laknatnya itu.

Sumpah laknat Saiful dan Eskay ini dilakukan di luar mahkamah, bukan sebahagian daripada prosiding yang berjalan di mahkamah. Dalam kes Saiful, dia ialah pengadu (complainant) dan saksi pasukan pendakwaan dalam satu kes jenayah yang pada masa itu (dan masa kini) masih lagi berjalan di mahkamah sivil. Walaupun dia menjadi saksi penting dalam kes jenayah itu, sumpah laknatnya itu tidak dilafazkan dalam mahkamah dan dengan itu tidak menjadi sebahagian keterangan yang diambil kira oleh hakim bicara.

Dalam kes Eskay, tidak ada apa-apa kes yang difailkan oleh sesiapa terhadapnya di mahkamah - sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Dia juga tidak memfailkan apa-apa kes terhadap mana-mana pihak. Disebabkan sumpah laknatnya itu dibuat di luar mahkamah, ia juga tidak ada nilai kehakiman langsung. Apa yang Eskay mampu lakukan ialah cuba meyakinkan orang awam bahawa apa yang dikatakan olehnya (bersama dua orang rakan lain) selama ini adalah benar dan bukan dusta.

Yamin (sumpah syarie)

Istilah syarak bagi sumpah adalah yamin, dan untuk menjawab persoalan bilakah mahkamah akan atau boleh meminta seorang itu bersumpah syarie, ada beberapa prinsip asas undang-undang keterangan Islam yang perlu kita fahami terlebih dahulu.

Pertama, mesti ada kes telah difailkan di mahkamah. Jika kes mal, kes itu difailkan oleh plaintif (pihak yang menuntut) terhadap defendan (orang yang kena tuntut). Jika kes jenayah, pertuduhan telah difailkan oleh pendakwa raya (kes di mahkamah sivil) atau Ketua Pendakwa Syarie (kes di mahkamah syariah). Mengikut istilah perundangan Islam, plaintif atau pendakwa raya dipanggil `mudda`ii’, manakala defendan atau tertuduh dipanggil ‘mudda’a ‘alaih’.

Kedua, dalam setiap kes yang difailkan di mahkamah, beban bukti adalah pada plaintif atau pendakwa raya dan plaintif atau pendakwa raya dikehendaki menunaikan beban ini dengan mengemukakan keterangan di mahkamah menerusi saksi, dokumen dan sebagainya. Dalam kes mal, beban bukti adalah sehingga ke tahap atas imbangan kebarangkalian manakala dalam kes jenayah, beban bukti yang dipikul oleh pasukan pendakwa adalah sehingga melampaui keraguan yang munasabah.

Prinsip sama terdapat dalam perundangan Islam. Mengikut Seksyen 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Kedah 1989, “Beban memberi keterangan (Al-Baiyyinah) terletak atas pihak yang mendakwa (al-Mudda’ii) dan sumpah atas yang ingkar (al-Mudda’a ‘alaih)."

Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa plaintif atau pendawa raya (atau Ketua Pendakwa Syarie) memikul beban mengemukakan keterangan di mahkamah untuk pertimbangan hakim bicara. Lazimnya bila mahkamah dapati keterangan yang dikemukakan oleh plaintif atau pendakwa itu masih belum kukuh, mahkamah akan meminta defendan, di bawah Seksyen 72 ini, menolak atau menafikan tuntutan itu dengan sumpah.

Dengan bahasa mudah, sumpah (yamin) adalah perisai untuk pihak yang kena tuntut atau kena tuduh bagi tujuan menolak dan menafikan suatu tuntutan atau pertuduhan itu. Dan ia hendaklah dilafazkan oleh pihak tersebut di hadapan mahkamah semasa prosiding berjalan.

Dengan lain perkataan, sumpah (yamin) tidak dilafazkan di luar mahkamah dan ia hanya boleh dilafazkan oleh defendan atau orang yang dituduh bagi tujuan menolak dakwaan atau tuntutan plaintif atau pendakwa. Yamin bukan untuk saksi.

Arahan Amalan

Mengikut Arahan Amalan No. 2 Tahun 2006 (Amalan Sumpah Mahkamah Syariah) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada 12 April 2006, ada dinyatakan dalam peraturan 4 bahawa “Sumpah tidak boleh dilaksanakan kecuali dengan kebenaran atau atas perintah hakim."

Ini bermakna bahawa sumpah (yamin) hanya boleh dibuat dalam mahkamah dan di bawah pengawasan dan kawalan hakim bicara yang mengendalikan sesuatu kes itu.

Mengikut peraturan 5 pula, ada beberapa syarat penting yang mesti dipatuhi sebelum seorang itu dibenarkan bersumpah, iaitu antara lain - (i) Orang yang bersumpah hendaklah kil baligh dan sukarela; (ii) Al-Mudda’a ‘alaih tidak mengakui hak al-Mudda’ii; (iii) Pihak yang bertikai meminta hakim arahkan pihak satu lagi bersumpah; (iv) Orang yang bersumpah hendaklah bersumpah bagi dirinya sendiri.

Mengikut peraturan 7 pula, setiap sumpah hendaklah dilakukan dengan cara berikut;

(a) Berdasarkan kehendak dan niat pihak yang menuntut sumpah atau hakim yang mengarahkan sumpah

(b) Dibuat berdasarkan setiap isu atau perkara yang dipertikaikan

(c) Pihak yang menuntut pihak lain bersumpah hendaklah memastikan pihaknya tidak mempunyai keterangan lain

(d) Hakim hendaklah memberi peringatan dan amaran berhubung dengan implikasi sumpah yang dilaksanakan mengikut Hukum Syarak.

Peraturan 7 juga menekankan bahawa lafaz sumpah hendaklah dimulakan dengan Wallahi, Wabillahi,Wa Tallahi atau sifat-sifat Allah dan dibuat di dalam bentuk yang tegas dan jelas berhubung sesuatu tuntutan atau penafian. Selain itu, satu deraf sumpah hendaklah disediakan oleh hakim sebelum sumpah dilafazkan oleh pihak berkenaan.

Mengikut peraturan 8 pula, ada dinyatakan bahawa mudda’a ‘alaih (defendan atau orang kena tuduh) perlu bersumpah dengan kebenaran hakim apabila - (a) muddaa’ii gagal mengemukakan keterangan yang mencukupi; (b) mudda’a ‘alaih menafikan tuntutan muddaa’ii; dan (c) muddaa’ii menuntut mudda’a ‘alaih bersumpah atas penafiannya.

Lafaz Sumpah Syarie

Arahan Amalan JKSM tersebut juga ada memberi contoh lafaz sumpah syarie mudda’a ‘alaih, jika dibenarkan atau diperintahkan oleh hakim bicara. Lafaz Sumpah Syarie Al-Mudda’a ‘Alaih adalah seperti berikut:

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, demi Allah aku (Nama Al-Mudda’a ‘Alaih) bersumpah dengan nama Allah bahawasanya aku menafikan tuntutan Al-Mudda’i (nama Al-Mudda’i) berhubung dengan..........Dan jika aku berdusta pada sumpah aku, nescaya dimurkai Allah dan laknat-Nya di atas aku dunia dan akhirat.

Bertarikh pada haribulan ……"

Sumpah pemain bola Terengganu

Terbaru, ekoran suatu insiden yang berlaku dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin Johor Bahru pada 1 Februari lalu, seorang penolong jurulatih dan seorang pemain bola pasukan T-Team Terengganu telah bersumpah dengan Quran bagi meyakinkan orang ramai tentang apa yang mereka katakan berlaku dalam insiden tersebut.

Mengikut Azlan dan Khairan (yang melafazkan sumpah tersebut), pada masa itu mereka dalam keadaan sedar dan waras melihat Rodrigues yang memakai jersi nombor 16 ditumbuk di bahagian muka oleh pegawai PBNJ pada pukul 9.40 malam.

Upacara sumpah itu dilakukan di Hotel Tabung Haji Kuala Terengganu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri (yang juga Pengurus T-Team) Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Ahmad berkata, dia setuju mengadakan majlis itu bagi maksud membuktikan apa yang sebenarnya berlaku dalam ‘insiden di terowong Larkin’ itu. Katanya lagi dia sudah pun merujuk perkara itu kepada Mufti Terengganu terlebih dahulu dan hanya meminta mereka yang melihat kejadian itu sahaja mengangkat sumpah.

Melihat kepada urutan fakta, pihak yang membuat dakwaan (allegation) adalah pasukan bola Terengganu. Justeru, mereka adalah mudda`ii, kerana merekalah yang mendakwa pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menumbuk pemain pasukan mereka dalam terowong itu. Sewajarnya mereka memfailkan kes di mahkamah atau di mana-mana badan tatatertib sukan bola dan sebagainya bagi mendapatkan keputusan dan perintah yang muktamad. Untuk itu merekalah yang memikul beban mengemukakan bukti, misalnya saksi-saksi dan sebagainya.

Sebagai mudda`ii, sumpah bukan hak mereka - jika kita ingin ikuti prinsip undang-undang Islam, sebagaimana yang terkandung dalam Enakmen Keterangan Syariah negeri yang diringkaskan di atas.



Utusan Malaysia Rencana 20140219

Menghargai persahabatan

SETIAP orang yang hidup di dunia ini memerlukan teman dan sahabat. Keperluan ini tidak terbatas pada saat dan waktu tertentu sahaja tetapi pada setiap masa, senang atau susah, gembira atau sedih.

Persahabatan pada hakikatnya merupakan satu nikmat yang Allah SWT limpahkan kepada hati-hati yang ikhlas dalam membina hubungan semata-mata kerana Allah SWT. Kesan daripada itu maka timbullah perasaan kasih sayang, hormat-menghormati dan saling percaya-mempercayai antara satu sama lain.

Lantaran itu, kita dapat melihat dengan jelas dalam sejarah Islam bagaimana generasi awal Islam yang dididik oleh Rasulullah SAW membina persahabatan mereka. Kita dapat melihat bagaimana penduduk asal Madinah yang dikenali dengan golongan Ansar menerima saudara-saudara mereka dari Mekah sebagai golongan Muhajirin.

Mereka membuka hati dan rumah mereka untuk golongan Muhajirin, sedangkan tiada kaitan darah antara mereka dan tidak pula mereka kenal-mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Itulah yang dikatakan kesan keimanan yang menyerap ke seluruh hati dan jiwa mereka, bukannya kerana kepentingan tertentu tetapi nilai persahabatan yang sebenar merupakan suatu perkara yang sangat mahal, sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan emas perak.

Islam meletakkan persahabatan dan persaudaraan bukan kisah kehidupan dunia yang hanya tamat setelah berlakunya kematian tetapi ia adalah sesuatu yang berterusan sampai ke akhirat. Rasulullah SAW ada menyebut tentang kedudukan orang yang membina persahabatan kerana Allah di akhirat nanti melalui sabdanya, "Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah ada kelompok manusia yang mereka itu bukan nabi-nabi dan bukan pula orang-orang yang mati syahid. Para nabi dan para syuhada merasa cemburu melihat kedudukan kelompok itu di sisi Allah." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?" Rasulullah menjawab: "Mereka merupakan satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada pertalian darah, juga tidak ada harta yang diambil, demi Allah muka mereka sungguh berseri-seri, mereka berada di dalam nur Allah, mereka tidak takut ketika manusia takut dan tidak bersedih ketika manusia bersedih." (riwayat Abu Daud)

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT: Ingatlah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah Yunus: 62)



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140220

Hapus minda suka bersumpah

MITOS kisah sumpahan si Tanggang yang bertukar menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya sering menjadi imbasan dalam perbualan masyarakat Melayu berhubung isu sumpah.

Malangnya, bukan kerana takut kerana risiko sumpah selepas membabitkan Allah SWT dalam perjanjian manusia, sebaliknya apa yang lebih dibimbangi adalah kepercayaan bermain dengan sumpah akan memakan diri.

Begitulah realiti yang membuktikan pengaruh sumpah dalam kalangan masyarakat Melayu yang telah wujud sejak dahulu, sehinggakan diserapkan menjadi budaya dalam pemikiran masyarakat hingga ke hari ini.

Lebih membimbangkan apabila amalan yang sinonim dengan budaya masyarakat Melayu itu dilihat kian dibesar-besarkan sehingga melibatkan majlis formal.

Gambaran negatif

Perkara itu secara tidak langsung memberi gambaran negatif terhadap masyarakat Melayu, seandainya ia tidak dikawal daripada berterusan menjadi satu fenomena.

Justeru, Pensyarah Kanan Psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Dr. Awang Idris berkata, bermula daripada peringkat kanak-kanak, amalan sumpah perlu dikawal supaya tidak menjadi budaya pada masa depan.

Ia katanya, memerlukan keprihatinan dan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka dalam usaha mengubah budaya yang kian menjadi popular itu daripada berkembang.

"Bukan sahaja menjadi sebutan golongan dewasa, namun amalan sebutan sumpah turut popular malah menjadi amalan bermula sejak daripada kanak-kanak dalam kehidupan harian mereka.

"Budaya sumpah ini lazimnya berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja. Ia kerana, sejak kecil lagi kanak-kanak didedahkan dengan perkataan sumpah sehingga sebati dalam hidup dan minda mereka.

"Ini adalah untuk membuktikan kenyataan yang dikatakan adalah benar. Justeru, perkara ini perlu dikawal oleh ibu bapa supaya tidak menjadi budaya generasi akan datang menggunakan sumpah dalam semua perkara," katanya kepada Mega, Utusan Malaysia.

Awang berkata, berbeza dengan bangsa lain di negara ini, sumpah kurang diamalkan kerana mereka hanya meletakkan kepercayaan terus terhadap seseorang.

"Budaya sumpah yang berleluasa menunjukkan ketidakseriusan dalam sesuatu bangsa yang mengamalkan budaya itu. Ia secara tidak langsung, melahirkan persepsi buruk masyarakat lain untuk meletakkan kepercayaan.

"Ia juga menunjukkan budaya yang masih berada di tahap yang kurang profesional. Berbanding budaya masyarakat di negara maju lain, sumpah tiada dalam amalan harian mereka kecuali pada keadaan tertentu.

"Begitu juga tidak ketinggalan contoh terdekat iaitu bangsa lain yang terdapat di negara ini seperti masyarakat India dan Cina," ujarnya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Bicara Agama 20140220

Jangan rendahkan martabat al-Quran

BELUM lagi selesai kontroversi pengakuan sumpah menggunakan al-Quran membabitkan pemimpin parti politik, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama apabila kitab suci umat Islam dijadikan bahan penyelesaian kes membabitkan ahli sukan.

Malangnya, isu yang dilihat boleh diselesaikan menggunakan pelbagai kaedah rundingan dan perundangan itu, sebaliknya diatasi dengan jalan mudah setelah gagal membuktikan pertuduhan dan perselisihan yang berlaku.

Justeru, berlakulah upacara angkat sumpah di hadapan al-Quran dan mendapat liputan secara langsung di media walaupun umum tidak mengetahui tujuan di sebalik lafaz sumpah tersebut.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: (Nabi) Isa ibni Maryam melihat seorang lelaki mencuri, lalu dia berkata kepadanya: Apakah kamu mencuri? Lelaki itu menjawab: Tidak! Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia! Maka Isa berkata: Aku beriman kepada Allah dan aku mendustakan mataku. (riwayat Bukhari)


TREND sumpah secara terbuka dikhuatiri menjadi budaya dalam amalan masyarakat
Melayu di negara ini. - Gambar hiasan oleh
NOOR AZLINA JAAFAR

Hadis di atas menjelaskan kebesaran kedudukan sumpah dan jika bertembung antara sumpah dengan sesuatu yang lain, maka yang lebih utama ialah sumpah.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, walaupun sumpah terdapat di dalam Islam, namun ia merupakan langkah terakhir yang boleh diambil selepas menemui jalan buntu untuk menyelesaikan sesuatu kes.

Katanya, ini sebagaimana dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Maidah ayat 89 maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.

"Sumpah memang ada disebutkan di dalam Islam. Namun ia diharuskan selepas tiada jalan penyelesaian lain boleh diambil untuk menyelesaikan perkara tersebut sehingga boleh memberi darurat kepada seseorang jika tidak bersumpah.

"Manakala orang yang bersumpah perlu bertanggungjawab dan menanggung sebarang risiko dengan apa yang disumpahkan kerana dia telah meletakkan Allah SWT dalam pengakuan yang dibuat.

"Sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik yang bermaksud: Suatu ketika Rasulullah ditanya tentang dosa besar, baginda menjawab: Yang termasuk dosa besar ialah menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, menamatkan nyawa orang lain bukan dalam hal yang dibenarkan agama dan sumpah palsu. (riwayat Bukhari)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Halim yang juga bekas mufti Terengganu berkata, al-Quran yang merupakan kata-kata Allah SWT dan mukjizat kepada umat Islam seharusnya dihormati dengan meletakkan kedudukannya di tempat yang mulia.

"al-Quran merupakan mukjizat terbesar bagi umat Islam. Bukti keagungannya sehingga kita perlu mengambil wuduk dan suci daripada hadas sebelum menyentuhnya.

"Justeru, menggunakan al-Quran dalam perkara remeh dilihat umpama menghina kedudukan al-Quran yang terkandung di dalamnya kalam (kata-kata) Allah SWT. Ia sekali gus menunjukkan imej Islam yang rendah menurut pandangan masyarakat lain," katanya mengulas senario sumpah yang sering dijadikan alat mempertahankan diri.

Menghina agama

Tambah Abdul Halim, budaya sumpah yang dilakukan oleh umat Islam dibimbangi disalah erti sehingga mampu menjatuhkan kedaulatan institusi agama Islam.

Ini katanya, apabila ajaran agama Islam disalahgunakan oleh umat Islam dengan melibatkan nama Allah SWT dan al-Quran sewenang-wenangnya dalam segala urusan harian manusia.

Beliau berkata, bukan sahaja merendahkan imej agama Islam dan martabat al-Quran, malah tindakan itu turut boleh memperlekehkan keagungan tuhan iaitu Allah SWT.

"Pelbagai serangan memburuk-burukkan Islam sentiasa dirancang seperti dalam bentuk penghinaan dan mempersendakan agama dengan menjadikan Rasul dan juga al-Quran sebagai sasaran semata-mata bertujuan untuk menjatuhkan kedaulatan Islam.

"Namun, perkara ini bersifat zahir iaitu boleh dilihat dan didengari untuk diambil tindakan. Namun, apa yang lebih membahayakan adalah penyalahgunaan ajaran agama Islam oleh umat Islam sendiri.

"Sebagai contoh menggunakan al-Quran sebagai saksi untuk bersumpah walaupun dalam perkara remeh. Ini secara tidak kita sedari hakikatnya telah merendahkan martabat keagungan kitab al-Quran tersebut setaraf dengan perkara remeh tersebut," jelasnya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Bicara Agama 20140220