February 25th, 2014

Pukul anak: Mendisiplin atau mendera?

KES dua warga Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal (suami isteri, ibu dan bapa kepada 4 kanak-kanak) yang kini sedang berlangsung di Mahkamah Daerah Solna, Sweden telah menimbulkan kembali persoalan lama iaitu apakah perbuatan seorang bapa atau ibu memukul anaknya yang masih kecil itu satu tindakan mendisplin atau satu penderaan kanak-kanak yang menyalahi undang-undang?

Mengikut kes pasukan pendakwaan Sweden, kedua ibu bapa itu telah mendera anak mereka (memukul mereka dengan menggunakan tali pinggang dan rotan) sejak tahun 2010 sehingga Disember 2013. Mereka ditahan sehingga sekarang, sementara perbicaraan berjalan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun.

Memukul anak di rumah dan di sekolah

Mengikut portal Wikipedia, perbuatan memukul anak (disebut "parental or domestic corporal punishment") masih dibenarkan (tidak dilarang atau diharamkan) di 49 negeri di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, ia diharamkan di Delaware sejak 2012.

Perbuatan menghukum (memukul) anak di rumah oleh ibu bapa telah dilarang (diharamkan) di 34 negara, manakala perbuatan memukul anak-anak di sekolah (misalnya oleh guru disiplin) telah diharamkan (dilarang) di Kanada, Kenya, Korea, Afrika Selatan, New Zealand dan hampir kesemua negeri di Eropah.

Di Amerika, perbuatan menghukum (memukul) murid sekolah masih dibenarkan di 19 negeri, tetapi diharamkan di New Jersey dan Iowa. Di Malaysia belum ada undang-undang khas yang melarang ibu bapa memukul anak di rumah (dengan tujuan mendisplin mereka).

Andainya perbuatan memukul anak itu melampaui tahap yang munasabah, serius sehingga mendera dan mencederakan mereka, dan nyata bukan lagi boleh dianggap sebagai langkah mendisplin anak, perbuatan sedemikian itu menyalahi undang-undang negara, misalnya Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kanun Keseksaan.

Sweden negara terawal

Sweden merupakan negara terawal membuat undang-undangnya pada 1979 mengharamkan segala bentuk corporal punishment melibatkan kanak-kanak. Peruntukan berkaitan, yang terkandung dalam Swedish Parental Code yang baru diluluskan pada tahun itu berbunyi - "Children are entitled to care, security and a good upbringing. Children are to be treated with respect for their person and individuality and may not be subjected to corporal punishment or any other humiliating treatment."

Selain Sweden, ada 33 negara lain yang mengharamkan tindakan memukul anak (corporal punishment) di rumah, manakala tindakan serupa di sekolah diharamkan atau dilarang di 117 negara. Ini bermakna ia masih lagi diamalkan (tidak dilarang atau diharamkan) di 164 negara (memukul anak di rumah) dan 81 negara (hukuman serupa di sekolah).

Di Kanada, ibu atau bapa boleh memukul anak mereka (berumur antara 2 tahun hingga 12 tahun), tetapi hanya dengan menggunakan tapak tangan. Penggunaan benda lain seperti tali pinggang, rotan dan sebagainya tidak dibenarkan sama sekali. Di United Kingdom, ibu atau bapa boleh mendisplin anak dengan memukul anak kecil mereka tapi dengan syarat perbuatan itu tidak meninggalkan kesan atau bekas pada badan atau anggota kanak-kanak itu.

Undang-undang antarabangsa

Di peringkat undang-undang antarabangsa, usaha mula dijalankan sejak awal kurun ke-20 untuk memelihara hak asasi kanak-kanak. Pada 1923, Proklamasi Hak Kanak-Kanak dibuat, yang kemudian dipanggil Piagam Kebajikan Kanak-Kanak Sedunia oleh League of Nations pada 1924.

Pada 1959, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Perisytiharan Hak Kanak-Kanak PBB, mengandungi 10 perkara, tetapi perisytiharan ini tidak ada kuasa mengikat mana-mana negara. Apabila PBB akhirnya meluluskan Konvensyen Hak Kanak PBB 1989, barulah wujud satu undang-undang antarabangsa yang menghendaki semua negara yang menjadi ahli konvensyen itu mematuhinya.

Mengandungi 54 Perkara, konvensyen itu ada menyebutkan secara jelas sekali dalam Perkara 19.1 bahawa semua negara yang menjadi ahli (telah meratifikasi) konvensyen ini hendaklah mengambil segala langkah untuk melindungi kanak-kanak dari segala bentuk keganasan. Dalam teks asalnya dalam bahasa Inggeris ia berbunyi seperti berikut -

"States Parties shall take all appropriate legislative, administrative, social and educational measures to protect the child from all forms of physical or mental violence, injury or abuse, neglect or negligent treatment, maltreatment or exploitation . . . ."

Jika kita perhatikan peruntukan di atas, ternyata ia begitu umum sekali. Perbuatan seorang ayah atau ibu memukul anak mereka dengan tangan atau rotan boleh ditafsirkan sebagai salah satu bentuk keganasan fizikal.

Laporan akhbar Sweden

Mengikut laporan sebuah akhbar tempatan Sweden, "The Local" (berbahasa Inggeris), kedua ibu bapa warga Malaysia itu dituduh melakukan "gross violation of their children’s integrity (grov fridskränkning) and for assault" (pelanggaran teruk integriti anak-anak dan serang-sentuh).

Apabila si bapa disoal siasat, dia menjawab dia memukul anaknya sebanyak dua kali, dan itupun kerana mereka melakukan kesalahan dan perlu disiplin.

Walau bagaimanapun, kenyataan anak-anak mereka ketika disoal siasat menunjukkan bahawa si ibu memukul mereka beberapa kali. Kata seorang anak mereka, "Saya dah lali kena pukul oleh emak" dan disebabkan sudah selalu sangat, sudah tak rasa sakit lagi .

Mengikut anak-anak mereka lagi, ibu mereka telah memukul mereka selama beberapa tahun, dengan menggunakan tali pinggang, penyangkut baju, dan sebatang kayu. Si ibu menafikan semua itu, sambil menyatakan dia hanya ada memukul seorang anak sekali sahaja.

Si ibu menghadapi pertuduhan melanggar integriti kesemua empat anaknya. Si bapa dituduh melakukan kesalahan yang sama terhadap tiga orang anak, dan melakukan kesalahan serang sentuh (assault) terhadap anak yang keempat.

Mengikut Kementerian Luar Sweden, kedua-dua tertuduh tidak didaftarkan sebagai diplomat, dan yang demikian mereka tidak menikmati kekebalan diplomatik.

Mengikut Kristofer Stahre, peguambela si ibu, kes ini merupakan natijah satu "pertembungan budaya". Dalam masa sama ada pihak lain yang menganggap kes ini sebagai kes biasa penderaan anak yang dilarang undang-undang. Sama-samalah kita tunggu kesudahannya, kerana ia sudah menjadi sub judice, kita tak boleh membuat sebarang ramalan.



Salleh Buang ialah Penganalisis Undang-undang Utusan Malaysia Rencana 20140225

UMNO tegas dengan akidah ASWJ

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berulang kali menegaskan bahawa sebarang kefahaman atau ideologi yang menyeleweng dan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) perlu ditolak sama sekali di negara ini.

Pendirian UMNO dan kerajaan ini adalah sesuatu yang betul kerana landasan ASWJ berasaskan akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang diambil dari sumber al-Quran dan hadis. Sumber ini telah memberikan arah yang jelas terhadap Islam sebagai sistem kepercayaan dan cara hidup.

Secara langsung penegasan Najib itu bercanggah dengan kenyataan karyawan dan aktivis sosial, Dr. Kassim Ahmad yang memperjuangkan Islam tanpa hadis. Kassim cuba membawa fahaman songsang dan bercanggah dengan tradisi keilmiahan Islam.

Kassim tidak memiliki kepakaran dalam bidang al-Quran apa lagi hadis. Pendapat Kassim hanya pendapat peribadi dan bukan daripada epistemologi Islam yang sistematik. Rasulullah SAW menyebut sesuatu itu datang dari orang yang bukan ahlinya, tunggulah kehancuran.

Isu Kassim menolak hadis dan mengecam ulama’ hadis, isu kalimah Allah, isu Syiah dan ajaran sesat lain banyak membawa perpecahan di kalangan umat Islam. Lebih-lebih lagi apabila orang politik menjadikannya isu politik mengatasi syarak, perpecahan menjadi lebih parah.

Ini menyebabkan orang bukan Islam semakin berani mempertikai Islam secara terbuka kerana dalam isu kalimah Allah pun Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang semacam memberi muka kepada kelompok-kelompok Kristian.

Sebab itu penegasan Presiden UMNO penting kerana Pas tidak mengambil sikap yang jelas terhadap isu kalimah Allah dan isu-isu agama yang lain walaupun mendakwa sebagai parti Islam.

Berpegang kepada fahaman ASWJ yang terbina sejak zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan tabie attabieen menjadikan Islam lebih kukuh dan mantap. Ia membentuk tasawwur Islami yang mampu membina tamadun.

Rasulullah SAW sebelum mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman bertanya kepadanya mengenai rujukan untuk membuat sesuatu keputusan. Muaz menyatakan rujukan utamanya ialah al-Quran, kalau ia tiada dalam al-Quran dirujuk kepada hadis dan kalau tiada dalam al-Quran dan hadis maka ijtihad dilakukan.

Asas ini sangat selari dengan fahaman ASWJ. Kekuatan tamadun Islam baik pada zaman Abbasiyyah, Andalusia dan Othmaniah tetap menggunakan hadis sebagai sumber hukum dan pedoman beragama dan membina tamadun.

Islam adalah agama ilmu. Al-Quran dan hadis adalah sumbernya. Fahaman ASWJ tidak menolak kepentingan ijmak dan ijtihad supaya sumber maslahah untuk mengatasi mafsadah terjadi.

Kemunduran umat Islam bukannya kesilapan atau kelemahan fahaman ASWJ tetapi ia terjadi akibat kelemahan umatnya memahami ilmu Islam dan melaksanakannya dalam kehidupan.

Sekiranya al-Quran dan Sunnah dapat digunakan menangani isu-isu diniah dan ketamadunan umat Islam bakal tampil menawarkan tamadun baharu berasaskan fikrah Islami. Islah dan tajdid menjadi sesuatu yang perlu kerana sifat zaman dinamik berubah.

Tetapi sekiranya Islam difahamkan sebagai ritual semata-mata ia telah menyebabkan produktiviti rohaniah umat relatif tinggi dan produktiviti amal relatif rendah. Melakukan solat umpamanya harus mampu membangunkan jiwa ruku’ dan sujud supaya warga umat memiliki sifat patuh dan taat yang tinggi.

Kepatuhan terhadap al-Quran dan ketaatan mengerjakan sunnah adalah suatu tuntutan supaya Islam terlihat keindahan wataknya pada pekerti dan amalan. Asas inilah yang mampu membawa perubahan.

Yang sering terjadi adalah menyampaikan Islam dengan retorik panas, sasaran dakwah didekati secara hitam-putih, kegemaran melabel orang ang tidak selari dengan fahaman politik kelompok sendiri terjadi. Lalu lahir sifat benci dan dendam, tidak terbuka mendengar perbezaan pandangan dan akhirnya menjadi jumud dan taksub. Inilah yang menghancurkan Islam.

Fahaman ASWJ harus didekati secara ilmu dan menguasai kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang supaya umat Islam memiliki keupayaan jihad yang tinggi dalam semua bidang dan lapangan. Inilah kunci kejayaan yang harus diteroka dengan sungguh-sungguh, strategik, sabar dan istiqamah dalam kalangan warga umat.


Jendela Tok Ki Utusan Malaysia Rencana 20140225

Mana perginya suara Islam Pas?

"Kalau tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam, mengapa buat komen pasal Islam? Kalau ini dibiarkan, ia boleh menyebabkan kita berpecah belah. Negara kita belum cukup kukuh, itu patut menjadi matlamat kita sebagai bangsa Malaysia. Dahulu kalau ulama mengeluarkan fatwa, bangsa lain tak sentuh kerana itu adalah fatwa untuk orang Islam. Jadi mengapa pula ada orang bukan Islam nak komen pasal agama Islam.’’

Demikian penegasan yang dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Haniff Omar di Muar, kelmarin yang menunjukkan betapa kecewanya beliau dengan perkembangan berkaitan tindakan pihak-pihak tertentu termasuklah ahli politik bukan Islam mencampuri urusan hal ehwal Islam.

Haniff bukanlah individu pertama yang melahirkan kekesalan tersebut, sebelum ini sudah banyak pihak mempunyai pandangan serupa dan tertanya-tanya kenapakah wujud keberanian luar biasa dalam kalangan pihak tertentu termasuklah ahli politik pembangkang.

Apa yang dikesalkan, biar pun wujudnya parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam iaitu Pas tetapi parti itu lebih banyak mendiamkan diri. Suara Islam Pas seolah-olah tenggelam atau ditenggelamkan sejak menjalin tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pas langsung tidak tampil mempertahankan institusi ulama mahu pun Majlis Fatwa Kebangsaan apabila sekutu mereka mengkritik pihak tersebut.

SUASANA Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah
anjuran kerajaan negeri baru-baru ini yang dipertikaikan oleh pemimpin Pas negeri itu.

Keadaan itulah yang menyebabkan sesetengah pemimpin pembangkang khususnya DAP begitu biadab seperti mana dilakukan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan menyambut Hari Kekasih dalam kalangan umat Islam.

Sejak tercetusnya kenyataan kontroversi itu, tiada seorang pun pemimpin Pas yang bersuara, biar pun Tony mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh sebuah badan yang cukup tinggi dalam institusi Islam di Malaysia. Sama ada Dewan Ulama, Dewan Pemuda Pas Pusat mahupun pemimpin-pemimpin Pas di semua peringkat, tiada suara bantahan bagi mengecam kebiadaban Tony.

Tidak cukup dengan itu, Pas juga `membisu’ apabila seorang pemimpin kanan DAP mempertikaikan khutbah Jumaat yang mengandungi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 111. Walaupun perbuatan ini sudah dilihat keterlaluan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara, namun Pas tidak memprotes kenyataan biadab tersebut. Pas mengamalkan sikap seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Sedangkan tindakan pemimpin kanan DAP itu menunjukkan mereka semakin hilang perasaan gerun untuk menghormati agama Islam.

Sebelum ini Pas juga dilihat ‘menikus’ dalam isu penggunaan kalimah Allah, biarpun wujudnya bantahan keras daripada umat Islam di seluruh negara. Pas terus berpegang dengan perjanjian awal dengan sekutunya bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam asalkan ia tidak disalah gunakan.

Tetapi bagi isu di Selangor, Sultan Selangor sudah mengeluarkan titah bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah namun Pas tidak berkongsi sentimen yang sama biar pun mereka mempunyai wakil dalam kerajaan negeri.

Lebih mengecewakan, sejak awal isu kalimah Allah ini tercetus termasuklah apabila ia diputuskan di mahkamah, Pas tidak memberikan sebarang reaksi, biar pun ketika itu ada seruan supaya seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik bersatu mempertahankan kalimah suci itu.

Hakikatnya, kalau mahu disenaraikan terlalu banyak bukti yang menunjukkan Pas semakin hilang suara Islamnya, biar pun sering mendabik dada mereka memperjuangkan Islam jauh lebih baik daripada UMNO.

Bagaimanapun apa yang kita saksikan suara dan perjuangan Islam setakat ini hanyalah retorik akibat terlalu menjaga hubungan dengan PKR dan DAP.

Dan tidak keterlaluan jika dikatakan perjuangan Islam Pas hanya sekadar untuk meraih sokongan politik khususnya dalam memancing undi daripada kalangan umat Islam.

Ini jelas apabila dalam bab-bab berkaitan politik Pas paling ke hadapan. Mereka bersedia mengadakan solat hajat bagi mengekalkan pemerintahan parti itu di Kelantan tetapi tidak bersedia mengadakan solat hajat bagi mempertahankan kalimah Allah.

Pas juga paling ghairah mengerahkan penyokong-penyokongnya turun ke jalanan bagi membantah keputusan pilihan raya atau menuntut pilihan raya bersih dan adil tetapi tiada seruan meminta mereka turun mengadakan demonstrasi bagi mempertahankan kesucian Islam.

Selain itu, pemimpin-pemimpin Pas juga begitu lantang mengkritik kepimpinan UMNO termasuklah dalam hal ehwal Islam tetapi apabila pemimpin DAP dan PKR membuat kenyataan bertentangan dengan Islam, Pas `kecut perut’.

Dalam soal sikap Pas ini, penulis bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin apabila pemimpin Pas negeri itu mempertikaikan majlis selawat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah pimpinan Barisan Nasional (BN) yang dihadiri oleh 40,000 orang.

"Majlis selawat ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri untuk mendidik umat Islam khususnya di Kedah dengan nilai-nilai murni yang di ajar oleh Nabi Muhammad SAW malahan program sebegini jauh lebih baik daripada Pas yang menganjurkan solat hajat bagi tujuan politik dan lebih teruk lagi mendoakan kehancuran sesama umat Islam,’’ katanya ketika dihubungi.

Sememangnya itulah sikap Pas, mereka sentiasa sahaja memperkecil dan memperlekehkan apa juga program Islam yang dianjurkan oleh UMNO seolah-olah program berlandaskan Islam itu hanya eksklusif untuk Pas.

Tidak cukup dengan itu, sehingga ke hari ini Pas terus menjaja kononnya UMNO tidak mempertahan atau memperjuangkan Islam dan dalam soal ini, Shaiful Hazizy menegaskan, tuduhan itu sangat dangkal.

"Ini kerana mereka buta mata hati untuk melihat bahawa UMNO meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, seperti tercatat dalam Perlembagaan, yang jauh lebih tinggi kedudukannya daripada sekadar sebagai agama rasmi. Wajar dilihat satu persatu usaha UMNO mempertahan Islam secara berterusan sejak merdeka selama 55 tahun dahulu, dan bukannya hanya baru-baru ini sahaja,’’ tegasnya.

Tetapi apakah fakta ini dikaji dan dinilai oleh Pas secara ikhlas sebagai pihak yang kononnya mahu melihat pemerintahan Islam dimartabatkan di negara ini, sudah pasti tidak. Apa yang berlaku seperti mana kata Shaiful Hazizy, setiap kali pilihan raya Pas tidak pernah melepaskan peluang menggunakan agama sebagai alat untuk meraih undi.

Bagaimanapun kita yakin perjuangan Pas tidak akan ke mana selagi mereka terus bersekongkol dengan PKR dan DAP. Semoga pemimpin dan pengikut Pas akan diberi hidayah bagi memahami fakta ini.



Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 20140225

Hikmah beristighfar mohon keampunan

Syaddad bin Aus berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Istighfar iaitu doa meminta ampun yang utama dengan membaca: Wahai Tuhan! Engkaulah Tuhan saya. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau menjadikan saya, dan saya ini adalah hamba-Mu.

Saya mencuba sedaya upaya melaksanakan janji kepada-Mu. Saya berlindung kepada-Mu daripada perbuatan jahat saya sendiri. Saya mengaku Engkau sudah memberi banyak nikmat kepada saya. Saya juga mengaku perbuatan dosa saya. Memang tidak ada sesiapa lagi yang boleh mengampunkan dosa selain daripada-Mu.

Keistimewaan doa

{رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ } [البقرة : 201

Bermaksud: Wahai Tuhan kami berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkanlah kami azab neraka.

Orang yang membaca doa ini pada waktu siang dengan penuh yakin kemudian meninggal dunia pada hari itu sebelum waktu petang, sudah pasti dia menjadi ahli syurga. Dan orang yang membaca doa ini pada waktu malam dengan penuh yakin, kemudian meninggal pada malam itu sebelum tiba waktu pagi, sudah pasti dia menjadi ahli syurga.” (Riwayat Bukhari)

Abdullah bin Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membiasakan diri beristighfar meminta ampun, Allah akan melepaskan dia daripada semua kesempitan dan melapangkan daripada semua kesusahan. Serta memberi rezeki yang tidak disangka-sangka kepadanya.” (Riwayat Abu Daud)


Berita Harian Agama 25/02/2014

Cabaran berdepan fitnah dunia, wanita

Apabila datangnya fitnah kepada manusia pada akhir zaman, mereka terdedah ujian yang sangat mencabar sehingga ramai terpengaruh dengan kesesatan disebabkan kekeliruan untuk mencari kebenaran dalam agama.

Ketika itulah mereka memerlukan panduan yang akan menyuluh jalan mereka, panduan yang akan menyelamatkan mereka terpesong daripada landasan agama.

Kembali kepada Allah SWT adalah suatu jalan terbaik untuk menghindarkan fitnah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bukankah Allah SWT sudah cukup untuk membantu hamba-Nya?” (Surah az-Zumar, ayat 36)

Ibnu Qayyim dalam mentafsirkan ayat ini berkata, kecukupan di sini adalah dari sudut ubudiyyah di mana bertambahnya sifat ubudiyyah seseorang akan bertambahlah taqarrub dan kecukupannya kepada Allah SWT.

Antara fitnah terkuat mempengaruhi manusia ialah dunia dan wanita. Daripada Abu Said Al-Khudri, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya dunia itu manis dan lazat, dan sesungguhnya Allah membentangkannya padamu, kemudian melihat bagaimana kamu menggunakannya. Maka hati-hatilah terhadap dunia dan wanita, kerana fitnah pertama yang menimpa Bani Israil disebabkan wanita.” (Riwayat Muslim)


Waspada keseronokan dunia, wanita


Nabi SAW mengingatkan, terdapat dua perkara yang perlu kepada perhatian dan kewaspadaan iaitu keseronokan dunia dan fitnah terhadap wanita. Allah SWT menjadikan kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian untuk menilai siapakah manusia paling baik amalannya.

Fitnah berpunca dari hati yang kotor serta pengaruh syaitan mengganggu hati-hati manusia. Daripada Hudzaifah, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Fitnah-fitnah akan mendatangi hati bagaikan anyaman tikar yang tersusun seutas demi seutas. Maka hati mana saja yang menyerapnya akan ditorehkan padanya satu titik hitam. Dan hati mana saja yang mengingkarinya akan ditorehkan padanya satu titik putih hingga menjadilah keadaan dua jenis hati tadi, hati yang sangat putih bagaikan batu putih yang sangat licin, tidak akan ada satu fitnah pun yang akan memudaratkannya selama langit dan bumi masih ada. Sedangkan hati yang lain adalah hati yang hitam dan kotor, bagaikan gelas yang terbalik. Hati yang tidak mengetahui perkara yang makruf dan tidak pula mengingkari perkara yang mungkar, kecuali yang sesuai dengan hawa nafsunya.” (Riwayat Muslim)

Baginda SAW menjelaskan, melakukan ibadah dapat menghindarkan kita daripada fitnah dan jika berlaku fitnah, tingkatkanlah ibadah.

Hakikatnya, usaha untuk keluar daripada fitnah amat sukar umpama membawa kambing peliharaan di lereng bukit. Beruntunglah mereka yang tenang ketika manusia lain keliru dengan agama sendiri. Ibadah khususnya solat, dapat menerangi jalan, menguatkan jiwa dan menerangi hati.

Rasulullah SAW apabila menerima sesuatu kejutan, Baginda akan segera bersolat. Suatu hari, Baginda bingkas bangun dari tidur seraya bertasbih dan bersabda: “Maha suci Allah, apakah Allah telah keluarkan perbendaharaannya? Sesungguhnya fitnah sudah hampir datang sehingga mereka yang berpakaian di dunia akan bertelanjang di akhirat.” (Riwayat Bukhari)

Baginda SAW menggalakkan umatnya memperbanyakkan ibadah demi mengelak fitnah sebelum tiba masanya dan keselamatan apabila ia berlaku.


Bahaya kepada akidah

Ada orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agama semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara. Sedangkan, fitnah dilakukan mencabar agama dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah serta kepercayaan kepada Allah SWT.

Justeru, persoalan agama juga telah dikategorikan sebagai perkara yang membawa kepada fitnah. Isu berkaitan fahaman, fatwa, hukuman, sikap dan segala perkara berkaitan agama akan menghasilkan pertembungan dalam kalangan pemikiran orang awam lantaran golongan ilmuwan yang cenderung kepada dunia.

Puasa dan sedekah juga adalah salah satu jalan bagi menghindarkan fitnah. Saidina Umar berkata: “Siapa yang ada menghafal sebuah hadis daripada Nabi SAW berkenaan fitnah? Jawab Huzaifah: Aku mendengar Baginda bersabda: “Fitnah seorang dalam keluarga, dalam hartanya dan tetangga dapat ditutup (dihapuskan) oleh solat, puasa dan sedekah.” (Riwayat Bukhari)

Kita juga hendaklah banyak berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhi daripada fitnah kerana doa adalah senjata yang ampuh. Allah SWT telah menunjukkan jalan untuk menyelamatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud: “Mengapa mereka tidak memohon doa kepada Allah SWT dengan merendahkan diri ketika ditimpa ujian getir.” (Surah al-Ana’m, ayat 42)

Lihatlah betapa pentingnya kefahaman terhadap ujian yang diturunkan Allah SWT pada akhir zaman. Pengetahuan adalah sumber kekuatan dan gelombang fitnah mesti dikaji dengan meletakkan al-Quran serta sunah di tempat sewajarnya.


Zamanuddin Jusoh Berita Harian Agama 25/02/2014

Hasad dengki mampu hancurkan masyarakat

Organisasi yang kuat bukan saja bergantung kepada budaya kerja warganya menunjukkan prestasi kerja tinggi, tekun dan bebas daripada penyakit hasad dengki sesama warga. Sejarah zaman berzaman telah membuktikan bagaimana antara penyakit hati yang paling digeruni kerana kemampuannya meruntuhkan umat ialah penyakit hasad.


Hasad atau istilah mudahnya dengki. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab masyhurnya Ihya’ Ulumuddin, hasad ialah perasaan iri hati yang inginkan agar nikmat atau kelebihan yang ada pada orang lain terhapus atau tidak berkekalan.


Seseorang yang berpenyakit hasad tidak tenang sehingga melihat apa yang dimiliki orang lain terhapus daripadanya dan membawa kepada perlakuan buruk lain seperti mengadu-domba, mengata, menjatuhkan orang lain, memfitnah, mengumpat hingga menyemaraknya perasaan benci di dalam masyarakat.Tidak hairanlah Nabi Muhammad SAW sendiri mengingatkan dalam banyak hadis berkenaan penyakit hasad antaranya: “Akan menular kepada kamu suatu penyakit umat terdahulu hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama.” (Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi)



Kikis kesucian agama

Memang tepat sekali hadis Nabi Muhammad SAW ini yang mengaitkan penyakit hasad dan benci ini dengan pisau cukur yang mampu mengikis agama dan umat Islam. Malah, jika ditelusuri sejarah kejatuhan setiap tamadun kegemilangan Islam berpunca daripada hasad yang mengakar dalam diri pemimpin dan rakyat hinggakan sanggup berkompromi dengan musuh.

Pengalaman penulis dalam dunia akademik, politik, korporat hinggalah ketika menerajui organisasi dakwah pada peringkat kebangsaan, berkesempatan menyaksikan bagaimana penyakit hasad meranapkan ukhuwah bahkan menghancurkan sesebuah institusi.
Lebih malang sekali apabila wujud manusia bertopengkan agama tetapi jiwa penuh dengan hasad dengki hingga sanggup wakafkan diri setiap hari untuk berfikir bagaimana untuk menjatuhkan orang lain.

Seolah-olah jiwanya tidak akan tenteram selagi kenikmatan dan kelebihan yang dimiliki pihak dihasadnya tidak hilang. Jika ada berita kebaikan lawannya, maka hatinya gundah-gulana dan cuba pula membuat pelbagai cerita bagi menafikan kebaikan itu. Sebaliknya apabila berita buruk menimpa orang yang didengkinya, hati begitu ceria sehingga terpancar di wajahnya.

Orang seperti ini mendustai agama kerana membantah kurniaan Allah SWT kepada hamba yang dikehendaki-Nya seperti firman al-Quran: “Apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka.” Surah an-Nisa’ ayat 54.


Perlu bersyukur

Seharusnya sebagai umat Islam kita mesti sentiasa beriman dengan prinsip qada’ dan qadar yang jelas mengisyaratkan bahawa setiap kelebihan dan rezeki yang dinikmati seseorang semuanya ditentukan oleh Allah SWT sejak azali. Setiap anak Adam apabila ditiup roh ke dalam jasadnya maka ditetapkan empat perkara termasuk rezeki, ajal, jodoh dan bala yang menimpanya.

Bahkan Allah SWT sendiri mengisyaratkan bahawa setiap manusia diberikan rezeki pada kadar yang berbeza seperti firman-Nya: “Dan Allah SWT melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya.” Surah an-Nahl ayat 71.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berfikiran positif dengan apa yang diperoleh atau istilah syaraknya Qona’ah. Sikap qona’ah pastinya akan menyuburkan minda seseorang dengan nilai yang baik sehinggakan setiap tutur kata dan peri lakunya terpancar seri serta sentiasa disenangi oleh orang sekelilingnya.

Ini juga ditegaskan dalam hadis: “Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas’ud, katanya Rasulullah SAW menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya: Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah, kemudian seketul daging. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara: Rezekinya, ajalnya, amalannya serta celaka dan bahagianya.”

Lebih mustahak adalah mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Semuanya ditentukan Allah SWT. Jika sudah ditakdirkan Allah SWT, nescaya manusia tidak sesekali mampu mengubahnya.


Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Berita Harian Agama 25/02/2014