February 27th, 2014

Perspektif IKIM: Agih pendapatan, urus perbelanjaan berhemat

Kita sering mendengar mereka yang mengeluh dan mengadu gaji tidak mencukupi kerana pendapatan diterima setiap bulan tidak seimbang dengan perbelanjaan. Taraf hidup yang semakin meningkat serta beban hutang menyebabkan keadaan semakin parah.


Gaji bulanan sebanyak RM4,000 mungkin sudah mewah bagi mereka yang tinggal di pinggir bandar atau desa, tetapi yang tinggal di bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor, jumlah itu bukan angka yang ideal. Banyak aspek perlu diambil kira.


Beban kewangan yang tinggi menyebabkan ramai menggunakan hampir 75 peratus gaji untuk bayaran perbelanjaan seperti sewa rumah, bayar kereta, bil telefon bimbit, makanan serta keperluan harian lain.

Selain itu, ada yang bekerja dan sudah berkeluarga perlu memberi komitmen membayar hutang pengajian. Akibatnya, masyarakat hari ini sanggup berhutang disebabkan tidak dapat menampung perbelanjaan harian.

Urus wang secara bijak

Penting bagi kita mempunyai kemahiran mengurus wang secara bijak bagi menjamin hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas daripada cengkaman hutang. Langkah ini dapat mebimbing serta menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Tuhan-Nya.” (Surah al-Israa’, ayat 26-27)

Menurut seorang pakar kewangan, antara langkah yang boleh dibuat dalam menangani hal ini ialah dengan mencadangkan pengguna membahagikan pendapatan mereka kepada tujuh tempat apabila mendapat gaji bulanan.

Sebanyak 10 peratus daripada gaji disimpan terlebih dulu sebelum berbelanja kerana setelah kita melakukan pengasingan pendapatan untuk simpanan, maka perbelanjaan seterusnya berdasarkan baki di tangan. Jika baki sedikit atau tiada, maka kita sentiasa berhati-hati dengan perbelanjaan.

Sebanyak 55 peratus pendapatan pula perlu dibelanjakan untuk membayar keperluan seperti perbelanjaan dapur, utiliti, bayaran penyelenggaraan perumahan, pengangkutan serta hutang-hutang lain yang biasa dilakukan setiap bulan, manakala peruntukan 10 peratus lagi boleh disimpan untuk jangka masa panjang seperti melancong atau menunaikan umrah. Sebanyak lima peratus perbelanjaan lagi boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran pendidikan sama ada membeli buku, menghadiri seminar atau bengkel.

Tabung kecemasan

Begitu juga dengan tabungan kecemasan, kita perlu menolak sebanyak lima peratus daripada pendapatan. Tabung kecemasan bertujuan memenuhi keperluan jika terjadi perbelanjaan tidak diingini.

Contohnya, sakit atau kerosakan kenderaan. Adanya tabung kecemasan dapatlah menghindarkan kita daripada kesusahan atau berhutang.

Lima peratus lagi bolehlah diperuntukkan untuk tabungan, pelaburan dan lain-lain, manakala yang terakhir, sebanyak 10 peratus lagi boleh diperuntukkan sebagai sumbangan lain termasuk membayar cukai, berzakat atau didermakan kepada fakir miskin serta golongan memerlukan.

Keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar sebenarnya mengajar kita lebih mendisiplinkan diri dan tidak boros ketika berbelanja. Memperuntukkan wang perbelanjaan dan simpanan kepada tujuh bahagian tadi mungkin dapat menyelamatkan daripada berbelanja secara berlebihan.

Nor Hartini Saari ialah Penyelidik Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia. Berita Harian Agama 27/02/2014

Solat sunat Istisqa’ mohon hujan

Peserta mesti cuci diri daripada dosa terlebih dulu

Air tidak hanya penting dalam proses kejadian langit dan bumi, tetapi juga penting bagi hidupan di dunia. Ini ditegaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup.” (Surah al-Anbiya’, ayat 30)

Mengikut BBC News bertarikh 27 Mei 2006 dalam segmen Science and Nature, pakar biologi sepakat air adalah asas kepada kehidupan kerana tanpanya kehidupan tidak boleh wujud serta tidak bersambung.

Secara dasarnya, air dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Air menjadi medium kepada proses berkaitan kehidupan dan hanya dengan air metabolisme boleh berlaku. Justeru, tidak boleh wujud sebarang kehidupan tanpa air.

Manusia juga berasal daripada air dan ini dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dia yang mencipta manusia daripada air.” (Surah al-Furqan, ayat 54)

Sudah tentu ayat itu perlu dikaitkan dengan ayat 5 hingga 7, surah at-Tariq yang bermaksud: “Maka manusia perlu memerhatikan daripada apakah ia diciptakan? Dia diciptakan daripada air yang terpancar, yang keluar antara sulbi dan taraib (dada).”

Kebenaran manusia tidak boleh hidup tanpa air terlihat nyata melalui reaksi terhadap tindakan mencatu air di beberapa kawasan disebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran ammonia di Sungai Langat sejak 28 Januari lalu.

Kemarau dan cuaca panas menyumbang kepada kekalutan isu bekalan air apabila paras air di beberapa empangan menunjukkan pengurangan dan ditambah pula kenyataan pihak bertanggungjawab bahawa keadaan itu dijangka akan berterusan.

Solat sunat Istisqa’

Selain usaha proses pembenihan awan bagi mengatasi masalah air yang melanda negara, umat Islam dianjurkan melakukan solat sunat Istisqa’ iaitu solat sunat memohon Allah SWT menurunkan hujan dan menghilangkan kesulitan yang dihadapi.

Namun, sebelum itu umat Islam perlu memahami di sebalik kuasa doa yang menjadi senjata umat Islam menghadapi ujian Allah SWT, mereka juga perlu menunjukkan kesungguhan serta sifat kerendahan hati yang menggantung sepenuh pengharapan kepada Allah SWT.

Justeru, antara perkara perlu diberikan perhatian ialah untuk melakukan taubat kerana antara sebab berlaku kesusahan di dunia ini adalah disebabkan tindakan manusia yang tidak menunaikan amanah Allah SWT sebagai khalifah yang menguruskan alam ini.

Pendakwah bebas, Haslin Baharim, berkata taubat perlu dilakukan semua lapisan masyarakat.

Katanya, dalam keadaan semua mengharapkan belas ihsan daripada Allah SWT, kita perlu mengikut syarat ditetapkan dan bagi memohon doa diperkenankan, umat Islam terlebih dulu menyucikan diri daripada dosa kepada Allah SWT.

“Semua perlu bertaubat. Apabila kita menunjukkan kesungguhan, barulah Allah SWT akan memakbulkan permintaan kita. Oleh itu, syarat untuk berdoa perlu dipenuhi terlebih dulu,” katanya.

Lakukan di kawasan lapang

Beliau yang terkenal menerusi program soal jawab Anta Tanya Ana Jawab berkata, solat sunat Istisqa’ perlu dilakukan di kawasan lapang dengan membawa binatang ternakan sebagai bukti masalah air turut memberi kesan kepada makhluk lain seperti binatang ternakan.

Haslin berkata, solat sunat Istisqa’ sebaiknya diterajui barisan pemimpin dan dilakukan bersama seluruh masyarakat.

Katanya, usaha itu perlu mengikut syarat ditetapkan iaitu dilakukan di kawasan lapang bukan di masjid dan mereka yang menunaikan solat Istisqa’ hendaklah hadir dengan penampilan sederhana, tawaduk serta bersungguh-sungguh memohon.

“Isu air yang berlaku ini juga sebahagian ujian Allah tetapi jika kita sabar, Allah akan mengampunkan dosa kita kerana segala ujian serta kepayahan ada hikmah di sebaliknya. Umat Islam perlu melihat setiap berlaku secara positif untuk meningkatkan keimanan kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, selain memperbanyakkan taubat, pihak berwajib disarankan juga supaya membekukan program yang lagho (melalaikan) sebagai usaha mengelak masyarakat terbabit dalam perkara yang menjauhkan mereka daripada ajaran agama Islam yang sebenar.


Hasliza Hassan | hasliza_hassan@bh.com.my Berita Harian Agama 2014/02/27

Waspada penghapus pahala

SUATU hari, Abdurahman bin Auf berkunjung ke rumah isteri Nabi yang bernama Ummu Salamah. Beliau memang terkenal sangat berbakti kepada isteri-isteri Nabi selepas kewafatan baginda. Beliau sering memberikan wang dan menyediakan semua keperluan rumah mereka.

Namun ziarah Abdurahman kali ini untuk meminta nasihat. Beliau berkata: "Wahai ibuku (setiap isteri Nabi merupakan ibu kaum mukmin), aku bimbang akan mendapat kesukaran di akhirat nanti akibat terlalu banyak harta yang aku miliki. Aku orang Quraisy yang paling kaya."

Ummu Salamah berkata: "Wahai anakku, perbanyaklah berinfak. Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sebahagian daripada sahabatku tidak akan berjumpa denganku lagi selepas aku meninggal dunia."

Hadis yang disebutkan Ummu Salamah ini sangat mengejutkan Abdurahman. Beliau berasa kecut. Wajahnya masih terlihat pucat apabila keluar dari rumah Ummu Salamah.

Di tengah perjalanan, beliau berjumpa dengan Umar bin al-Khattab. Abdurahman menceritakan kepada beliau perihal hadis Ummu Salamah ini.

Sepertimana Abdurahman, Umar turut terkejut. beliau segera mendatangi Ummu Salamah dan berkata: "Demi Allah, adakah aku termasuk orang yang dimaksudkan Nabi itu?"

Ummu Salamah menjawab: "Tidak. Dan aku tidak akan membuka rahsia ini lagi kepada selain dirimu." (riwayat Ahmad)

Hadis Nabi yang diceritakan Ummu Salamah ini jelas bukan ditujukan kepada para sahabat Nabi yang telah mengorbankan nyawa dan harta untuk Islam. Mereka telah dijamin akan mendapat ganjaran besar daripada Allah di akhirat.

Kaum munafik

Hadis ini berbincang tentang segelintir kaum munafik yang tubuhnya bersama Nabi, namun hatinya bersama kaum musyrikin. Mereka ialah seperti Abdullah bin Ubay bin Salul dan tokoh-tokoh munafik yang berkomplot hendak membunuh Nabi semasa perjalanan pulang dari Tabuk. Mereka inilah yang tidak akan melihat wajah Nabi di akhirat nanti sebab berada di neraka selama-lamanya.

Namun begitu, Umar dan Abdurahman berasa bimbang termasuk daripada kumpulan ini. Ini menunjukkan sikap mereka yang tidak pernah merasa baik dan suci kerana amal kebaikan yang mereka lakukan. Sebaliknya, mereka terus bimbang dan khuatir Allah SWT tidak menerima amal ibadah itu kerana kekurangan dan kelemahan mereka.

Berkenaan dengan ini, Imam Al-Syafii pernah berkata: "Orang yang paling tinggi darjatnya ialah orang yang tidak merasa tinggi. Dan orang yang paling mulia ialah orang yang tidak berasa mulia."

Sikap seperti Umar dan Abdurahman ini terlahir daripada jiwa yang selalu bermuhasabah diri. Setiap kebaikan yang dilakukan tidak patut dingat-ingat. Apalagi dihitung-hitung pahala yang akan didapatkan lalu merasa tidak perlu meningkatkan amalan.

Amalan

Sebanyak apapun amalan yang kita lakukan, hakikatnya kita tidak pasti adakah Allah SWT menerima ataukah menolaknya.

Ibadah yang bernilai tinggi di sisi Allah SWT ialah yang ikhlas dilakukan untuk-Nya semata-mata. Sementara ibadah yang bukan kerana Allah SWT tidak akan berharga sama sekali.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah menceritakan bahawa orang pertama yang dicampakkan ke neraka ialah mereka yang berjuang, beribadah dan mengaji bukan kerana Allah SWT. Sebaliknya, mereka melakukan semua amalan ini agar menjadi sebutan ramai.

Sikap seperti ini disebut riak dan sum‘ah, iaitu melakukan ibadah kerana manusia. Sesiapa beramal agar dilihat manusia, maka itu riak. Siapa beramal agar berita amalan itu didengar oleh manusia, maka itu sum‘ah. Kedua-duanya menghapus pahala ibadah.

Rasulullah bersabda: Allah berfirman: Aku tidak memerlukan kepada sekutu. Sesiapa yang melakukan suatu amalan sambil mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain, maka Aku berlepas daripadanya. Dan amalan itu untuk pihak yang disekutukannya itu. (al-Bukhari dan Muslim)

Kerana ikhlas sangat sukar dipastikan, Umar dan Abdurahman selalu berasa bimbang meskipun mereka telah melakukan yang terbaik. Bagaimana kita yang selalu bergelimang kesalahan dan kekurangan?



Utusan Malaysia Bicara_Agama 20140225

Bersegera kembali kepada Allah

BERTAUBAT kepada Allah SWT adalah satu usaha yang wajib dilakukan oleh setiap orang. Kesalahan terhadap Allah tidak dapat ditebus melainkan orang yang melakukan kesalahan itu sendiri dengan memohon ampun kepada-Nya.

Menjadi satu kewajipan kepada sesiapa yang terpesong dari jalan kebenaran bersegera menuju kembali kepada Tuhannya tanpa bertangguh kerana peluang yang ada pada hari ini belum tentu ada pada keesokan harinya.

Setiap penangguhan untuk melakukan suatu cara hidup baharu dengan amalan-amalan yang berfaedah ertinya melanjutkan zaman kegelapan yang sepatutnya harus ditinggalkan segera.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. (at-Tahrim: 8)

Sesungguhnya keperluan taubat ini bukan khusus untuk orang atau golongan yang tertentu sahaja, mereka yang taat kepada Allah SWT pun memerlukan taubat seperti orang yang melakukan maksiat. Mereka yang taat juga perlu bertaubat melihat daripada pelbagai sudut iaitu:

1 Seseorang itu perlu bertaubat daripada kesilapan-kesilapan yang mungkin berlaku dalam perkara-perkara ibadah, jarang sekali orang yang melakukan ibadah tanpa cacat cela seperti membaca al-Quran atau bersolat. Mungkin ibadah-ibadah itu akan ditolak dengan kesilapan yang dilakukan. Justeru, Rasulullah SAW meminta kita beristighfar sebanyak tiga kali selepas selesai menunaikan solat untuk memohon keampunan bagi kesalahan yang dilakukan ketika beribadah kepada-Nya.

2 Adalah tidak benar bagi mereka yang menyangka bahawa ibadah yang dilakukan seperti solat itu sahaja hak Allah yang wajib ditunaikan maka selepas itu selesailah segala kewajipan terhadap Allah. Mungkin dengan pemikiran seperti itu seseorang wajib bertaubat kepada Allah kerana sangkaan seperti itu seolah-olah sedikit ibadah yang dilakukan sudah membayar segala harga nikmat-nikmat Allah.

3 Tuntutan ibadah yang dituntut kepada setiap orang adalah banyak dan pelbagai, sesetengah orang hanya menumpukan kepada ibadah tertentu dan meninggalkan kewajipan yang lain. Seorang hartawan yang menumpukan kepada ibadah solat tetapi meninggalkan keperluan bersedekah wajib bertaubat daripada kelakuan seperti itu.Begitu juga seorang yang dikatakan warak sentiasa lidahnya berzikir tetapi menyepikan diri walaupun berlaku kemungkaran di hadapan matanya. Maka menjadi satu keperluan kepadanya memohon ampun kepada Allah dan mengubah sikap pasifnya.

4 Mengawal ibadah selepas menyempurnakannya daripada kecacatan dan kekurangan yang mungkin tidak dapat tidak akan berlaku walaupun sedikit. Ibarat mengawal tanam-tanaman daripada gejala penyakit dan makhluk perosak. Contoh seorang yang memberi sesuatu pemberian, kemudian mengungkit dan meminta sanjungan manusia, pasti pahala amalannya akan terbantut. Orang seperti ini perlu bertaubat kepada Allah SWT supaya ibadahnya kembali diterima.

Bertaubat atau kembali kepada Allah itu menuntut manusia agar memperbaiki dirinya, menyusun balik cara hidupnya dan menyambung kembali perhubungannya dengan Allah dalam bentuk yang lebih murni.



Utusan Malaysia Bicara_Agama 20140226

Jenayah aniaya isteri

ISTERI dan anak-anak adalah di bawah tanggungjawab dan jagaan suami. Suami adalah ‘pelindung’ kepada isteri dan anak-anak. Justeru, suami bertanggungjawab menjaga, memberi nafkah yang mencukupi serta memberi kasih sayang kepada mereka.

Allah SWT menyuruh kita hidup aman damai dan berkasih sayang dalam sebuah rumah tangga. Jika anak tidak boleh disakiti, didera dan dianiaya, isteri juga mendapat perlindungan undang-undang Allah SWT dan undang-undang biasa.

Walau bagaimanapun, setiap hari ada sahaja kes keganasan atau penderaan terhadap isteri. Ada isteri yang dipukul, diterajang, dicurah asid, ditumbuk dan sebagainya. Itu adalah penderaan fizikal. Penderaan emosi juga tidak kurang, malah ada isteri yang terlalu tertekan sehingga dia hilang pertimbangan dan membuat perkara di luar kewarasan.

Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang ada di semua negeri, adalah menjadi satu kesalahan jika mendera isteri. Ini diperuntukan oleh seksyen 128 (1): "Seorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu. (2) Mahkamah boleh, sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan bagi harta yang telah ditipu itu."

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam tidak mentakrif perbuatan aniaya seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994 mentafsir penderaan isteri, namun maksudnya adalah sama. Dalam kedua-dua undang-undang, keperluan utama ialah membuat laporan polis jika berlaku penganiayaan atau penderaan.

Sama seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994, Enakmen itujuga membuat peruntukan yang berbentuk gender neutral, di mana mangsa boleh jadi suami atau isteri.

Walau bagaimanapun, majoriti kes penganiayaan ialah terhadap isteri dan pelaku adalah suami.

Perbezaan antara Akta Keganasan Rumahtangga (AKR) dengan enakmen ialah AKR lebih spesifik. AKR terpakai kepada orang Islam dan tindakan boleh diambil melalui AKR dahulu dan kemudian isteri yang beragama boleh membuat permohonan cerai melalui fasakh atau taklik.

AKR juga memberi perlindungan kepada mangsa seperti Perintah Interim, Perintah Penghunian Eksklusif, waran tangkap, pampasan dan sebagainya. Dalam seksyen 128, hukuman adalah jelas jika suami atau isteri menganiaya pasangan masing-masing. Penderaan atau penganiayaan terhadap isteri boleh digunakan sebagai alasan untuk memohon fasakh atau taklik.

Gantung tak bertali

Selain penderaan secara fizikal, meninggalkan isteri tanpa khabar berita atau yang disebut sebagai meninggal langsung adalah satu kesalahan di bawah enakmen itu.

Meninggal langsung isteri atau dahulunya disebut ‘gantung tak bertali’ adalah suatu penganiayaan atau penderaan terhadap isteri. Ramai suami beranggapan dia mempunyai kuasa mutlak terhadap isterinya dan menyalahgunakan kuasanya sebagai suami. Apabila suami isteri berbalah, dan isteri mengambil keputusan untuk meminta cerai, suami pula secara sewenang-wenangnya meninggalkan isteri dan anak-anak.

Perkataan lumrah yang disebuat ialah: " Tak nak jadi bini aku tak pa. Aku tak dapat, orang lain pun tak dapat."

Dalam hal ini isteri boleh memohon taklik kerana suami tidak balik lebih dari empat bulan qamariah. Ada sesetengah kes, isteri lari dari rumah kerana tidak sanggup untuk terus tinggal dengan suami. Bila isteri memohon taklik, suami bantah atas alasan isteri nusyuz kerana meninggalkan rumah tanpa kebenaran suami. Akhirnya isteri terpaksa memohon fasakh yang mungkin memakan masa kerana suami mungkin menukar alamat atau berpindah ke tempat lain.

Jika seorang suami secara sengaja meninggalkan isterinya tanpa alasan, isteri boleh memohon kepada mahkamah untuk suaminya kembali kepadanya. Ini diperuntukan oleh seksyen 121 yang berbunyi: "Jika seseorang telah tidak lagi hidup bersama dengan isterinya mengikut cara yang dikehendaki oleh Hukum Syarak, isteri itu boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya orang itu hidup bersama semula dengan isterinya."

Menurut seksyen 127: "Jika seseorang telah diperintahkan oleh mahkamah supaya hidup bersama semula dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.



Utusan Malaysia Bicara_Agama 20140226