March 1st, 2014

Wajib ikut Rasulullah

TERDAPAT fahaman yang cuba menolak hadis sebagai suatu asas penting dalam Islam. Ini kerana hadis adalah rekaan para ulama silam sahaja. Ini terbukti dengan penulisan hadis yang bermula sekitar 200 tahun selepas kewafatan Nabi SAW. Adakah fahaman ini boleh diikuti?


Jawapan

Menolak hadis Nabi SAW merupakan satu fahaman yang bertentangan dengan manhaj ahli sunnah wa al-jamaah. Ini kerana hadis adalah sumber kedua selepas al-Quran.

Banyak nas al-Quran menjelaskan tentang al-Rasul dan kepentingan mengikutinya. Contohnya firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang beriman! Taatilah Allah dan taatilah al-Rasul... (al-Nisa: 59)

Dalam ayat ini, ketaatan yang dituntut adalah ketaatan kepada Allah SWT dan ketaatan kepada al-Rasul. Bagaimana ketaatan kepada Allah SWT? Ketaatan kepada Allah SWT adalah dengan taat kepada perintah Allah yang terdapat dalam kitab Allah iaitu al-Quran.

Ketaatan kepada Allah SWT bukanlah bermaksud bahawa Allah SWT menjelma di hadapan seseorang lalu berfirman sebagaimana kalam Allah dengan Nabi Musa a.s.

Begitu juga ketaatan kepada al-Rasul. Ia bukan bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW datang menjelma di hadapan kita atau baginda SAW menjelma di dalam mimpi.

Sebaliknya, ketaatan kepada al-Rasul adalah dengan mematuhi perintah Nabi SAW yang terkandung di dalam hadis.

Fahaman yang menolak hadis Nabi mendakwa bahawa mereka hanya ingin mentaati al-Quran. Namun adakah di sana suatu ayat al-Quran yang menyuruh kita taat kepada al-Quran?

Sidang pembaca boleh menyemak setiap helaian al-Quran. Tiada suatu ayat pun dalam al-Quran di mana dinyatakan bahawa taatilah al-Quran. Sebaliknya ketaatan adalah kepada Allah SWT.

Dalam nas al-Quran yang lain dinyatakan pula: Jika kamu semua cintakan Allah maka ikutilah saya (Nabi SAW). (Ali ‘Imran: 31)

Persoalannya, bagaimana kita hendak mengikut Nabi SAW? Adakah dengan mengikut al-Quran sahaja maka ia sudah memadai? Jika hanya perlu mematuhi al-Quran, maka tidaklah kita memerlukan ayat ini di dalam al-Quran. Maka sepatutnya ayat ini berbunyi: "Jika kamu semua cintakan Allah maka taatilah al-Quran."

Dalam nas al-Quran yang lain, al-Quran menyatakan ketidakimanan terhadap sesiapa yang tidak menerima keputusan Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT: Maka mereka tidak beriman hinggalah mereka melantik kamu wahai Nabi dalam perkara yang khilaf antara mereka. (al-Nisa: 65)

Dalam nas al-Quran yang lain dinyatakan lagi: Sesungguhnya bagi kamu semua pada diri al-Rasul ada ikutan yang baik. (al-Ahzab: 21)

Nas al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah ikutan, contoh dan teladan bagi kita. Maka apa yang diucapkan dan dibuat oleh baginda SAW sebagaimana yang kita ketahui dalam riwayat hadis adalah contoh ikutan bagi kita. Maka nas-nas al-Quran menerangkan dengan jelas kewajipan mengikuti apa yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Perlaksanaan ibadat

Para pembaca yang dihormati, cuba kita teliti perlaksanaan ibadat kita tanpa merujuk kepada hadis. Kita terus mengambil apa sahaja yang ada dalam al-Quran. Solat contohnya. Berapa waktu perlu kita bersolat setiap hari? Ada dinyatakan lima waktu atau lebih atau kurang?

Adakah dalam al-Quran dinyatakan nama solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak? Bagaimana pula tatacara perlaksanaan solat?

Kalau dirujuk di dalam al-Quran, dinyatakan beberapa perkara berkaitan solat iaitu dirikan solat, buatlah solat kerana Allah, bacalah apa yang mudah daripada al-Quran, rukuk, sujud, khusyuk dan qunut.

Persoalannya, apa yang perlu dibaca ketika rukuk dan sujud, berapa kali sujud, berapa rakaat solat, bagaimana tahiyyat, iktidal perlu atau tidak dan sebagainya.

Kita ambillah contoh ibadat puasa. Di dalam al-Quran dinyatakan tentang kewajipan berpuasa, beberapa hari, bulan Ramadan, disempurnakan puasa hingga malam, keharusan makan hingga nampak benang putih daripada benang hitam dari fajar, iktikaf dan beberapa lagi hukum. Namun tidak ditemui pula tentang solat terawih, tadarus al-Quran, keperluan memelihara pandangan mata dan sebagainya.

Justeru, ibadat khusus yang hanya berdasarkan al-Quran tanpa hadis adalah ibadat yang tidak sempurna.

Penulisan hadis

Pertikaian timbul kerana penulisan hadis yang dikatakan agak lewat. Tidak dinafikan bahawa penulisan hadis bermula sekitar 200 tahun selepas kewafatan Nabi SAW. Namun penulisan hadis juga berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Bukti sejarah Nabi SAW menjelaskan bahawa beberapa sahabat r.hm sudah pun menulis hadis. Namun kebanyakan para sahabat telah menghafaz hadis-hadis baginda SAW.

Para sahabat r.hm juga menceritakan apa yang mereka lihat daripada baginda SAW. Penulisan hadis bukan sahaja berlaku pada zaman Imam al-Bukhari namun lebih awal lagi pada zaman Imam Malik yang lahir sekitar tahun 80 selepas hijrah Nabi.

Jika hadis ditolak kerana penulisannya tidak bermula pada zaman Nabi SAW, satu masa nanti akan wujud pula fahaman yang menolak al-Quran kerana hujah yang sama.

Tidak mustahil akan wujud pula dakwaan mengatakan bahawa al-Quran hari ini sudah tidak betul kerana al-Quran tidak ditulis dengan sempurna pada zaman Nabi SAW. Sebaliknya al-Quran hanya ditulis di atas pelepah tamar, kulit haiwan dan sebagainya. Mana mungkin al-Quran yang tebalnya 600 halaman ditulis dengan sempurna hanya di atas pelepah tamar dan kulit haiwan. Al-Quran pada zaman Nabi SAW pula tidak mempunyai baris fathah, kasrah dan sebagainya. Huruf al-Quran pula tidak bertitik seperti huruf nun, ba, ta dan sebagainya. Maka al-Quran juga wajib ditolak.

Fahaman menolak hadis akan membawa kepada penolakan al-Quran. Akhirnya hadis dan al-Quran ditolak bersama. Lalu bagaimana kita umat Islam ketika itu?


Utusan Malaysia Bicara Agama 20140228

Ikhtilaf dalam memahami hukum syarak

ISLAM merupakan agama yang seimbang antara akidah, syariah dan akhlak. Akhlak yang mulia adalah pra syarat utama bagi memastikan seseorang itu menjadi seorang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Dalam membicarakan tentang perbezaan pendapat, terdapat adab yang wajib dimiliki oleh setiap umat Islam (al-Qaradawi, al-Sahwah al-Islamiyyah bayn al-ikhtilaf al-mashru’ wa al-tafarruq al-madhmum, 1994):

* Ikhlas niat dan menjauhi hawa nafsu.

* Membebaskan diri daripada fanatik terhadap seseorang individu, mazhab atau organisasi.

* Bersangka baik kepada orang lain.

* Menjauhi perbuatan menghina dan merendah-rendahkan golongan yang berlainan pendirian.

* Menjauhi percakapan yang kotor dan tidak beradab ketika berbeza pendapat.

* Berdialog dengan cara ihsan.

Allah SWT menurunkan al-Quran di mana sebahagian ayatnya bersifat muhkamat dan sebahagiannya mutashabihat. Ayat muhkamat menjelaskan hukum secara jelas dan para ulama sepakat dalam memahaminya. Manakala, ayat mustashabihat pula, maksudnya tidak jelas, yang menyebabkan para ulama berselisih pendapat untuk memahaminya. Ini sudah pasti menghasilkan perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam.

Golongan yang cuba untuk mengajak seluruh manusia hanya berpegang dengan satu pendapat dalam persoalan cabang agama, sama ada berkaitan ibadat, muamalat dan sebagainya, mereka cuma memperjuangkan sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku.

Usaha mereka untuk menghapuskan khilaf tidak akan membuahkan hasil, tetapisemakin meluaskan jurang ikhtilaf (perbezaan pendapat). Usaha tersebut hanya menggambarkan kedangkalan ilmu golongan yang memperjuangkannya kerana ikhtilaf dalam memahami hukum syarak yang bukan bersifat asasi merupakan suatu keperluan.

Ia merujuk kepada tabiat agama Islam, bahasa Arab, sifat manusia, sifat alam dan kehidupan. Kesemua tabiat tersebut menggambarkan kepastian akan wujud ikhtilaf dalam kehidupan umat manusia.

Di samping itu, ikhtilaf yang berlaku dalam persoalan cabang merupakan suatu rahmat dan memberikan keluasan bagi umat manusia melaksanakan perintah Allah SWT dalam kehidupan (al-Qaradawi, al-Sahwah al-Islamiyyah bayn al-ikhtilaf al-mashru’ wa al-tafarruq al-madhmum, 1994).

Jika Allah SWT menghendaki umat Islam ini dalam satu pendapat sahaja, sudah tentu Dia Maha Berkuasa menurunkan semua ayat al-Quran itu bersifat muhkamat (al-Qaradawi, al-Sahwah al-Islamiyyah bayn al-ikhtilaf al-mashru’ wa al-tafarruq al-madhmum, 1994).

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat ketujuh yang bermaksud: Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat muhkamat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat muhkamat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat mutashabihat (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu agama berkata, "Kami beriman kepadanya. Semuanya itu datangnya daripada sisi Tuhan kami." Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Begitu pun, tidak semua ikhtilaf itu dibenarkan oleh syarak. Peringatan daripada Allah SWT sebagaimana firman-Nya: Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Kristian) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka), sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (Ali Imran: 105)

DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN ialah Felo Fatwa dan juga merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Utusan Malaysia Bicara Agama 20140228

Sifat mukmin sebenar

ARTIKEL kali ini masih lagi berkaitan dengan sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga keluarga baginda. Jelas terbukti betapa benarnya sahabat dalam menzahirkan keimanan kepada Allah SWT, sehingga sanggup berkorban harta benda mahupun nyawa.

Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah SWT (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun. (al-Ahzab: 23)

Ayat ini menunjukkan betapa cintanya sahabat dan berdukacitanya mereka apabila tidak boleh bersama baginda Rasulullah SAW dalam mempertahankan agama Islam ketika perang Badar.

Imam Ahmad r.hm telah meriwayatkan dengan sanadnya yang sahih daripada Thabit katanya: "Bapa saudaraku Anas bin al-Nadhr r.a sangat terkilan kerana tidak dapat ikut bersama Rasulullah SAW di dalam perang Badar. Dia berkata: "Aku tidak ikut berjuang dalam peperangan pertama yang diceburi Rasulullah SAW. Demi sesungguhnya Allah memberi kesempatan kepadaku berjuang dalam peperangan selepas ini, nescaya Allah dapat melihat bagaimana aku berjuang."


CINTAI Allah SWT mestilah dengan mengikut segala perintah-Nya tanpa banyak persoalan.- Gambar hiasan

Ujar Thabit: Dia bimbang mengeluarkan perkataan yang lain. Kemudian dia turut berjuang bersama Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud. Di sana dia bertemu dengan Saad ibnu Muaz r.a, lalu dia berkata kepadanya: "Aku tercium bau syurag di bukit Uhud."

Kata Thabit: Lalu dia bertempur hingga gugur syahid. Disabdanya terdapat lebih 80 luka-luka ditetak, ditikam dan dipanah. Kata perempaun saudaranya iaitu ibu saudaraku al-Rubaiyi’ binti al-Nadhr: "Aku dapat mengenal mayat saudarku itu dari jari-jarinya." Ujar Thabit: Lalu turunlah ayat di atas."

Sayyid Qutub dalam Fi Zilal Al-Quran menyebut: "Gambaran gemilang bagi contoh golongan Mukminin ini adalah disebut di sini dengan tujuan untuk menyempurnakan gambaran iman berbanding dengan gambaran nifak, keimanan yang lemah dan kemungkiran janji daripada golongan lawannya supaya perbandingan itu dapat ditunjukkan dengan sempurna dalam rangka tarbiah melalui peristiwa al-Quran.

Gambaran itu diulaskan pula dengan menerangkan hikmah ujian dan akibat memungkiri janji dan menyerahkan kesemua hal ini kepada iradat Allah SWT.

Dalam menambahkan lagi koleksi kebaikan dalam mizan hasanat kita pada hari akhirat kelak, maka hendaklah kita lakukan semua perintah Allah SWT yang wajib dan kita menambahnya dengan pelbagai amalan sunat dan fadhail ‘amal antaranya;

Kalaulah ini sebagai lambang cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasul dengan perlaksanaan segala titah perintah-Nya, maka sewajarnya kita juga meletakkan kefahaman yang tinggi dalam berkorban untuk agama Allah SWT, meninggikan syiar-Nya dan melaksanakan syariat-Nya.

Sifat-sifat yang baik atau dikenali sebagai sifat mahmudah seperti amanah, ikhlas, jujur, berintegriti dan lain-lain hendaklah menjadi pakaian dalam kehidupan kita ini.

Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang benar-benar bertakwa sehingga melayakkan kita meraih syurga-Nya.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD  AL-BAKR Utusan Bicara_Agama 20140228

Bersederhana guna air ketika berwuduk

Membazir atau boros menggunakan air memang berlaku dalam kehidupan seharian kita termasuk ketika berwuduk untuk menunaikan kewajipan solat fardu lima kali sehari semalam serta amalan lain yang memerlukan kita mengambil hadas kecil.

Mungkin ada antara kita tidak melihat penggunaan air untuk berwuduk sebagai satu pembaziran kerana tumpuan lebih kepada memastikan wuduk yang betul, mengikut rukun serta tertibnya. Namun, tidak mustahil disebabkan itu kita menjadi orang yang membazir.

Rasulullah SAW pernah menegur Saad kerana boros dalam penggunaan air dan pastinya teguran itu menimbulkan tanda tanya kepada Saad.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW pernah melintasi Saad yang sedang berwuduk lalu baginda bertanya: “Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad? Saad bertanya: Apakah dalam wuduk juga ada istilah berlebih-lebihan? Baginda SAW menjawab: Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ahmad)

Hakikatnya, dalam kalangan umat Islam di negara ini, menggunakan air yang banyak untuk berwuduk sudah menjadi kebiasaan. Ini mungkin disebabkan kita tidak mempunyai masalah mendapatkan bekalan air.

Jika kita dalam kalangan yang mendisiplinkan diri dalam penggunaan air, lihat saudara di sebelah yang sedang berwuduk kerana akan ada yang membiarkan air paip mengalir deras. Mendengar bunyi jatuhan air yang laju pun kita sudah dapat mengagak pembaziran yang berlaku.

Lupa untuk berjimat-cermat

Keadaan berkenaan membuatkan kita lupa untuk berjimat-cermat, cuma, kebelakangan ini apabila berlaku masalah bekalan air, baru kesedaran menjimatkan penggunaan air timbul termasuk mengehadkan air digunakan bagi berwuduk.

Rasulullah SAW sudah mengingatkan umatnya mengenai sikap itu dalam sabda baginda: “Akan datang segolongan daripada umatku yang melampaui dalam hal bersuci dan berdoa.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

Disebabkan kejahilan kita tidak rasa sedang melakukan kesalahan. Oleh itu, sebaiknya kita memelihara solat dengan memastikan permulaannya dimulakan dengan baik iaitu bersederhana menggunakan air untuk berwuduk.

Apabila kesedaran ini dapat mendisiplinkan kita, maka dalam perkara lain yang membabitkan penggunaan sumber alam juga kita akan sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati serta tidak berlebihan atau melampaui batas.


Berita Harian Agama 01/03/2014

Iktibar Tanah Suci: Lupa niat umrah selepas jumpa duit

Alhamdulillah, seminggu selepas selesai musim haji tahun lalu, saya dan isteri serta jemaah haji yang lain di Maktab 97, Hotel Burj al-Gandhura masih diberikan kesejahteraan kesihatan oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadat umrah.

Walaupun jemaah haji negara lain sudah meninggalkan Tanah Haram, jemaah haji Malaysia masih ramai di sana menunggu penerbangan pulang masing-masing.


Masjidilharam yang semakin lengang memberi kesempatan kepada jemaah haji yang masih tinggal untuk menunaikan umrah. Pada suatu malam, saya dan isteri sekali lagi menaiki bas ke Masjid Tana’em untuk berniat ihram umrah dan solat sunat ihram di masjid itu, kira-kira setengah jam perjalanan dari maktab kami.


Kami bersama 40 penumpang bas lain dikenakan tambang 10 Riyal Saudi Arabia (RSA) seorang. Turut bersama kami ialah Izzat Ishak yang baru berusia 25 tahun. Izzat bertubuh besar dengan berat kira-kira 90 kilogram.

Itu ibadat haji pertama bagi saya dan isteri, tetapi yang kedua bagi Izzat. Kali pertama beliau menunaikan haji ketika berusia 18 tahun semasa mengikuti kedua-dua orang tuanya ke Tanah Suci. Kali ini, sekali lagi beliau bersama kedua-dua orang tuanya.

Setibanya di Masjid Tana’em, saya dan isteri segera memasang niat umrah. Masjid itu terletak dalam kawasan tanah halal bersempadan Tanah Haram. Untuk berniat umrah, jemaah perlu keluar dari Tanah Haram.

Selepas selesai solat sunat ihram, saya dan isteri menaiki semula bas untuk ke Masjidilharam. Kami duduk hampir dengan Izzat. Bagaimanapun, saya agak pelik melihat Izzat sibuk mengira sekepul wang Pound Mesir (EGP). Tangan kirinya memegang telefon bimbit kecil.


Jumpa duit

“Tuan Haji Hassan, saya jumpa duit ini dalam masjid tadi. Berikat dengan telefon ini. Saya tanya jemaah haji dekat-dekat situ duit siapa, tapi dia orang kata bukan duit mereka. Macam mana ya, mungkin dia akan telefon nombor ini,” katanya agak cemas.

Saya menenangkan Izzat yang nampak panik dan memberitahu beliau wang itu mesti dipulangkan kepada tuannya. Kami mengira wang itu yang semuanya berjumlah EGP3,000 (kira-kira RM500).

Tiba-tiba telefon yang dijumpai Izzat berdering malangnya beliau tidak memahami apa yang diperkatakan lelaki yang menghubunginya kerana lelaki itu bercakap dalam bahasa Urdu. Izzat meminta lelaki itu mencari rakannya yang boleh berbahasa Inggeris.

Bas yang kami naiki semakin menghampiri Masjidilharam. Telefon dijumpai Izzat berdering lagi dan kali ini terdengar suara lelaki bercakap dalam bahasa Inggeris. Lelaki itu akan menunggu Izzat di menara jam kecil di dataran luar Masjidilharam bertentangan pintu King Abdul Aziz.

Tiba-tiba wajah Izzat berubah cemas dan terpacul dari mulutnya: “Subhanallah. Alamak, saya terlupa pasang niat umrah. Macam mana ni?” tanyanya.

“Subhanallah. Jangan pasang niat sekarang sebab kita sudah masuk ke Tanah Haram semula. Jika Haji pasang niat dan buat umrah juga, Haji akan dikenakan dam seekor kambing (400 Riyal). Lebih baik Haji tak buat umrah malam ini. Insya-Allah malam esok Haji buat,” ujar saya.

Izzat lega mendengar penjelasan saya dan tidak putus-putus mengucapkan Subhanallah atas apa yang berlaku. Beliau tidak menyangka dilanda kekalutan selepas menjumpai wang itu membuatkan beliau terlupa berniat ihram umrah.

Namun, saya memujuknya dengan menyatakan bahawa Allah SWT mengutuskan beliau untuk membantu lelaki yang tertinggal wang di masjid itu. Wajah Izzat kembali berseri apabila beliau menyatakan hajatnya melakukan tawaf sunat dan mengucup Hajar Aswad.

Selepas tiba di Makkah, saya dan isteri melangkah masuk ke dalam Masjidilharam melalui pintu King Abdul Aziz, manakala Izzat terus ke menara jam kecil untuk bertemu lelaki yang menghubunginya, memulangkan wang serta telefon bimbit yang dijumpai itu.

Keesokannya, ketika menikmati makan tengah hari di maktab selepas menunaikan solat Zuhur di Masjidilharam, saya dan isteri menemui Izzat di lobi hotel lalu kami bertanyakan mengenai perjumpaan beliau malam tadi.

“Alhamdulillah, saya jumpa lelaki Mesir berumur kira-kira 50 tahun. Dia tak boleh berbahasa Inggeris, jadi dia bawa kawannya berbangsa Pakistan yang boleh bercakap Inggeris. Dia ucap terima kasih kerana dapat balik duit dan telefonnya yang hilang,” jawab Izzat sambil tersenyum.


Rahsia tersembunyi

“Alhamdulillah, mungkin ada rahsia tersembunyi mengapa Allah melorongkan saudara jumpa duit itu walaupun disebabkan itu saudara terlupa pula berniat umrah. Kita serah kepada Allah SWT saja rahsia kejadian itu,” pujuk saya.

Izzat tersenyum lebar, sambil ketawa kecil beliau berkata mungkin Allah SWT menguji kejujuran dan sifat amanah dalam dirinya dengan melorongkan beliau menjumpai duit serta telefon bimbit itu. Katanya lagi, disebabkan jemaah yang terlalu ramai, beliau gagal mengucup Hajar Aswad walaupun selepas berasak-asak hingga terasa sengal tubuh.


Hassan Omar Berita Harian Agama 01/03/2014