March 3rd, 2014

Hati tenang, rasa cukup tanda rezeki berkat

Rezeki yang berkat dapat dilihat melalui kebiasaan seseorang itu bersedekah atau menunaikan tanggungjawab seperti berzakat. Sifat pemurah untuk bersedekah kepada orang lain akan memberi ketenangan kepada diri, malah lebih disayangi masyarakat.

Sesungguhnya, harta yang kita miliki ada hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Hindarkan sifat takut kepada kepapaan kerana kekayaan sejati adalah kekayaan iman yang terpancar daripada kesederhanaan hidupnya.


Kesederhanaan lahir daripada sifat qanaah. Setiap Mukmin hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu reda dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Cara menanamkan sifat qanaah dalam diri dan keluarga ialah sentiasa mengucapkan ‘Alhamdulillah’.

Tanda keberkatan dapat dilihat apabila hati diselubungi ketenangan dan kecukupan kurniaan akan dirasakan walaupun sedikit.

Rasulullah SAW bersabda: “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Percambahan rezeki

Ini menunjukkan keberkatan adalah perkara penting sebagai petanda percambahan rezeki di samping pengharapan tinggi terhadap Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Allah telah berfirman: Telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui menuju harapannya hanya kepada Aku, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain daripada itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperoleh lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Riwayat Abu Naim)

Bersangka baik kepada Allah

Oleh itu, sentiasalah bersangka baik kepada Allah SWT dalam apa juga keadaan kerana kasih sayang Allah SWT itu mendahului kemurkaan-Nya. Pastikan sumber rezeki kita peroleh daripada sumber yang halal dan tidak meninggalkan suruhan Allah SWT ketika mencari rezeki.

Kebaikan yang berterusan mestilah dijadikan agenda utama bagi mengelak kesulitan dalam hidup kita. Baginda SAW bersabda: “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa yang sentiasa dilakukannya.” (Riwayat Ibn Majah dan Ahmad)

Sumber pendapatan kita bergantung dengan keberkatan Allah SWT kerana Dialah yang mengatur kehidupan manusia. Iman dan kufurnya seseorang dapat diukur sejauh mana kefahaman mereka terhadap pemberian rezeki oleh Allah SWT.


Berita Harian Agama 03/03/2014

Toleransi suami isteri wujud keluarga bahagia

Hidup berpandu syariat bentuk rumah tangga sakinah

Perkahwinan adalah ibadah. Neraca ukuran sama ada sesuatu perkahwinan boleh dikira ibadah atau tidak bergantung kepada niat kedua-dua pasangan ketika mereka mendirikan rumah tangga.

Sesungguhnya dalam perkahwinan banyak hikmah dan keistimewaan. Sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka akan mendapat ganjaran.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Pensyariatan perkahwinan

Dalil pensyariatan perkahwinan, sabda Rasulullah SAW: “Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Suami adalah nakhoda dalam rumah tangga, tetapi sejauh mana suami menunaikan amanah menjaga isteri hingga terbentuk sebuah rumah tangga sakinah?

Portal Rasmi Jabatan Pembangunan Wanita, menunjukkan kes keganasan terhadap wanita semakin meningkat. Mengikut statistik keganasan terhadap wanita yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan suku tahun pertama 2013, jumlah kes direkodkan sebanyak 2,595 berbanding 2,295 untuk tempoh sama tahun lalu.


Pada 2010, sebanyak 3,173 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada PDRM. Pada 2011, 3,277 kes dilaporkan iaitu peningkatan 0.03 peratus dan 2012 ia meningkat 0.06 peratus kepada 3,488 kes.

Sebagai insan normal kita akan tertanya di manakah sifat kemanusiaan suami yang sanggup melakukan tindakan tidak beradab dan bertamadun terhadap isteri? Tidakkah suami mengerti isteri adalah amanah Allah SWT yang dipinjamkan sementara?

Sheikh Mustafa Masyhur menggariskan beberapa pedoman bagi suami antaranya suami hendaklah berasa satu tanggungjawab besar di hadapan Allah SWT berhubung keluarganya. Akad nikah dilafazkan suami adalah ikrar bahawa dia akan mengambil tanggungjawab daripada ayah mentua.

Seterusnya, suami juga bertanggungjawab kepada ahli keluarga dalam perkara berhubung keduniaan, kerohanian dan akal fikiran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Apabila suami memahami peranan serta tanggungjawab, lebih mudah bagi mereka melaksanakannya, seterusnya memastikan keharmonian rumah tangga terpelihara. Namun, semua itu hanya mampu dijayakan jika isteri turut memainkan peranan dengan sebaiknya.

Hubungan suami isteri memerlukan toleransi dan sikap bersedia memberi serta menerima kerana sebagai manusia, kita tidak sempurna. Oleh itu, kita perlu bersedia menerima kelemahan atau kekurangan pasangan.

Kepentingan komunikasi

Komunikasi penting untuk mengeratkan hubungan serta memastikan mesej ingin disampaikan diterima dengan baik dan tepat. Berkata dengan nada yang lembut dan jelas dapat membantu melancarkan komunikasi antara ahli keluarga.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang terbaik buat keluarganya, dan aku adalah orang terbaik di antara kamu kepada keluargaku.” (Riwayat Tirmidzi)

Menjalinkan hubungan sesama manusia tidak dinafikan memerlukan kesabaran kerana kita dijadikan dengan sifat serta sikap berbeza. Pada masa sama, hendaklah sentiasa rasional dalam pemikiran supaya setiap dugaan dapat dihadapi dan ditangani dengan sebaiknya.

Hidup berumah tangga hendaklah berpandukan kepada syariat kerana Islam adalah cara hidup dan bagaimana kehidupan ini perlu dilalui, semuanya sudah termaktub. Persoalannya, apakah kita mahu mengikut jalan ditunjukkan atau bagaimana.


Asri Md Saman @ OsmanBerita Harian Agama 03/03/2014

Syukuri pemberi nikmat, jangan kufuri

NIKMAT anugerah Allah SWT di muka bumi ini terlalu banyak. Manusia wajar mensyukurinya dalam apa jua keadaan sekali pun, bukannya menafikan nikmat tersebut.

Nikmat makanan dan minuman, nikmat-nikmat lain berbentuk material sehinggakan nikmat bernafas setiap saat pun jarang dilihat sebagai bentuk anugerah yang perlu disyukuri.

Malahan kita seringkali melihat kesusahan yang dialami dan sedang dihadapi sebagai penghalang mensyukuri nikmat. Bahkan kita menyangkal bahawa pernah menerima nikmat-nikmat lain di dunia ini. Apakah kita tidak pernah mengambil iktibar daripada kisah Bani Israel yang terakam dalam surah al-Baqarah ayat 57-61?

Sungguh mendalam makna yang boleh diambil daripada kisah kaum Nabi Musa AS tersebut. Mereka diuji dengan nikmat yang melimpah ruah tetapi tidak bersyukur. Kaum Bani Israel dianugerahkan nikmat makanan dan minuman yang begitu banyak tetapi menafikan perintah Allah.

Dalam ayat ini, Allah menyatakan betapa kaum Bani Israel ini tidak tahu bersyukur kepada-Nya kerana mereka tidak patuh kepada perintah Tuhan. Mereka disesatkan di padang pasir al-Tih dalam perjalanan memasuki bumi Palestin selama 40 tahun. Dalam tempoh itu, pelbagai penderitaan dialami, namun Allah melindungi mereka dengan awan supaya dapat berteduh daripada kepanasan dan juga diberikan makanan dan minuman yang disebut sebagai ‘al-mann’ dan ‘al-salwa’.

Dikatakan oleh ahli tafsir bahawa ‘al-mann’ adalah sejenis minuman yang berupa susu dan ada sesetengahnya mengatakan ia adalah madu.

Sementara, ‘al-salwa’ pula adalah sejenis burung yang cukup istimewa dan sedap dagingnya. Nikmat yang Allah berikan kepada kaum Nabi Musa ini adalah untuk mengenyangkan dan mereka tidak perlu bersusah payah bekerja untuk mencarinya.

Namun, mereka meminta yang lebih baik daripada itu walaupun telah mengetahui bahawa makanan dan minuman tersebut adalah kurniaan terbaik daripada Allah. Disebabkan kemalasan, kedegilan dan kekufuran mereka yang tidak mahu bersyukur, akhirnya Allah menurunkan azab dari langit yang berupa penyakit taun.

Apakah kisah ini tidak mampu menggarap ibrah buat kita pada ketika ini? Tidak cukupkah ia menjadi pengajaran bahawa mensyukuri nikmat daripada Yang Maha Pemberi itu lebih baik daripada mengungkit permasalahan atau kesulitan yang dihadapi? Ini kerana dalam kesusahan itu pasti ada kesenangan yang diselit bersamanya. Itu adalah rahsia keagungan Allah.

Sesungguhnya nikmat makanan dan minuman yang kita perolehi pada hari ini merupakan salah satu jalan untuk kita mempertingkatkan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah.

Malah dengan nikmat-nikmat ini menjadikan kita hamba yang lebih tunduk dan patuh kepada segala arahan-Nya. Bagaimana caranya untuk menjadikan kita sebagai hamba yang bersyukur dengan apa jua nikmat yang Allah berikan? Salah satu caranya adalah mengelakkan pembaziran dan tidak berlebih-lebihan contohnya dalam pengambilan makanan atau minuman.

Pernahkah kita terfikir apakah iktibar yang boleh diambil di saat negara kita mengalami perubahan cuaca sejuk dan panas, diuji dengan krisis air di beberapa tempat, keadaan iklim yang cukup panas dan kering serta pelbagai penyakit datang menimpa masyarakat kita?

Bukankah ia saling berhubung kait dan akhirnya berbalik kepada cara bagaimana kita melihat ujian tersebut dan cara mensyukuri dengan segala apa yang dianugerahkan kepada kita dan tidak mengkufuri nikmat walau sekecil mana pun.

Berkeluh-kesah dan menuruti ketidakpuasan hati kita terhadap sebarang ujian tidak akan menutup dan menyelesaikan permasalahan itu. Malah kita dituntut untuk mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku, mencari langkah menyelesaikannya dan bersyukur di atas pemberian Allah serta bersangka baik dengan takdir yang Allah tentukan buat kita.

Di penghujung ayat 61 daripada surah al-Baqarah, Allah menceritakan tentang kaum Bani Israel yang ditimpa dengan kehinaan, kemiskinan dan kebejatan daripada sudut akhlak dan moralnya. Ini kerana mereka merungut dan mengatakan sudah jemu dengan makanan-makanan yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Apakah layak untuk kita mengatakan bahawa nikmat yang Allah berikan tidak memuaskan hati? Apakah perlu untuk kita menafikan bahawa ujian-ujian yang Allah berikan tidak layak untuk kita hadapi? Jangan tunggu kemurkaan Allah baharu kita mencari-cari dan menginsafi kesalahan. Apatah lagi, kita perlu akur bahawa semua ujian atau masalah yang menimpa dalam hidup atau situasi yang berlaku dalam negara kita kini adalah salah satu cara peringatan Allah atas sikap umat-Nya yang tidak bersyukur dan melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi.

Justeru, banyak perkara yang boleh meletakkan kita sebagai hamba yang bersyukur. Bukan sekadar dengan kalimah syukur tetapi yang lebih penting adalah sikap dan amalan kita dalam menzahirkan rasa syukur.

Cuba audit kembali rasa kesyukuran kita setiap hari kepada Allah, agar tidak berbenih dalam hati rasa kufur dan diterjemahkan melalui amalan dan sikap.

Mudah-mudahan dengan meningkatnya kesyukuran kepada Pemberi Nikmat akan melenyapkan kekufuran serta tidak menumbuhkan sikap "bani Israel moden" dalam setiap jiwa.

Pandangan IKIM ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan Malaysia Rencana 20140303