March 4th, 2014

Fahami hadis dengan meneliti makna lafaz

Memahami hadis dengan sebaik-baiknya hendaklah dilihat kepada sebab khusus hadis itu berlaku. Sesetengah hukum dalam hadis walaupun zahirnya umum dan berkekalan, tetapi selepas diteliti ia diasaskan kepada satu sebab yang menjadikan hukum itu terhapus dengan terhapusnya ‘illah.

Hukum itu ada dengan sebab ada ‘illah. Oleh itu, hadis tidak dapat difahami sebaik mungkin kecuali diketahui keadaan yang tepat bagaimana hadis itu diutarakan Rasulullah SAW. Apabila tidak mengetahui keseluruhan mengenai masa, tempat dan realiti hadis itu berlaku, maka perlu membuat penyelarasan dan ketertiban susunan.


Contohnya, hadis mengenai ‘kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu’ yang dijadikan pegangan sesetengah pihak untuk tidak mahu melaksanakan syariat Allah SWT atas alasan mereka lebih mengetahui mengenai urusan dunia mereka, hukum perempuan bermusafir bersama mahram.

‘Illah hadis

Menurutnya, ‘illah hadis itu adalah keselamatan. Apabila orang yang bermusafir tidak lagi bimbang terhadap keselamatan mereka bersendirian, maka ia tidak ditegah.

Begitu juga hadis mengenai ketua daripada orang Quraisy yang ‘illahnya adalah Rasulullah SAW mensyaratkan kepemimpinan itu daripada orang berpengaruh, keluarga yang banyak dan kuat supaya orang lain dapat bersatu pendapat serta pemerintahan menjadi stabil.

Dalam bahasa Arab, penggunaan majaz lebih kuat daripada penggunaan hakikat. Banyak hadis Rasulullah SAW mengandungi majaz yang menerangkan sesuatu maksud dengan bahasa amat indah.

Ada hadis memerlukan kepada takwil kerana ada majaz seperti maksud hadis yang Nabi bersabda kepada isteri-isterinya: “Orang yang paling cepat mengikut aku ialah yang paling panjang tangannya.”

Maksud Baginda ialah mereka yang banyak melakukan kebaikan. Terdapat hadis sahih menceritakan alam ghaib seperti al-sirat, syurga, neraka dan lain-lain. Seorang Muslim harus menerima hadis sahih mengenainya walaupun bertentangan dengan apa kita tahu.

Untuk memahami hadis dengan tepat mestilah dibuat penelitian makna lafaz yang ada dalam hadis kerana makna sesuatu lafaz itu berbeza antara satu masa dengan masa yang lain. Begitu juga antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Timbul salah faham

Contohnya, makna taswir bagi maksud lukisan atau fotografi. Penolakan hadis sahih tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Membaca tanpa memahami lantas cepat-cepat menyimpulkan maknanya mengikut kefahaman sendiri. Perkara ini serkap jarang yang akan menimbulkan salah faham terhadap hadis.

Hadis sahih yang jelas tidak akan bertentangan dengan al-Quran kerana penjelasan Rasulullah SAW hanya berada di sekitar pengajaran al-Quran dan tidak melebihi.


Berita Harian Agama 03/03/2014

Hadis sasaran orientalis timbulkan keraguan

Pendakwah, ulama perlu berpegang kepada sumber sahih, mahir ilmu fiqah

Hadis iaitu segala percakapan, perbuatan dan pengakuan Nabi SAW adalah sumber kedua perundangan Islam. Fungsi hadis sebagai penjelasan hukum kepada al-Quran seperti mengkhususkan maksud ayat al-Quran yang umum.


Hadis juga menjelaskan ayat al-Quran yang maksudnya kabur, mengehadkan maksud ayat yang luas dan menambahkan beberapa hukum mempunyai asasnya dalam al-Quran.


Al-Qaradawi dalam bukunya Bagaimana Berinteraksi dengan al-Sunah menjelaskan kedudukan hadis dalam Islam dengan mentakrifkan hadis sebagai tafsiran praktis bagi al-Quran, juga sebagai pelaksanaan yang realiti dan unggul bagi Islam.

Manhaj lengkap, sempurna dan seimbang

Ia adalah manhaj yang lengkap dan sempurna, seimbang dan mudah, terpancar dalamnya erti ketuhanan yang utuh, kemanusiaan unggul serta keperibadian berasas. Hal ini menyebabkan umat Islam perlu berinteraksi dengan hadis melalui kefahaman yang betul seperti pemahaman sahabat.

Hadis juga adalah manhaj yang mudah dan rahmat. Tidak ada dalam hadis Nabi Muhamad SAW sesuatu yang menyusahkan manusia dalam urusan agama atau menyulitkan urusan dunia, bahkan Baginda menyifatkan dirinya sebagai rahmat yang diberi petunjuk.

Hadis Rasulullah SAW disepakati diterima pakai sebagai sumber autoritatif kedua kepada seluruh isi kandungan pengajaran Islam di samping sumber pertama al-Quran. Namun, perlu difahami tidak semua hadis diberi status sebagai sumber kedua kecuali hadis yang mencapai taraf sahih dan hasan diterima sebagai sumber yang sah.

Juruulas kandungan al-Quran

Hadis adalah juruulas kepada kandungan al-Quran jika didapati tidak ada tafsiran diperincikan dalam al-Quran. Contohnya, perintah al-Quran supaya mendirikan solat yang rata-rata dalam al-Quran diungkapkan secara ringkas ‘Dirikanlah sembahyang’. Perincian lanjut kaifiat solat ditunjukkan Rasulullah SAW menerusi perbuatan Baginda.

Gesaan menunaikan zakat diungkap secara ringkas ‘keluarkanlah zakat’. Perincian mengenai zakat mesti dicari dalam hadis. Berdasarkan status hadis dijelaskan tadi, amat wajar ia dijadikan sumber kedua.

Di samping perintah Allah SWT, amat jelas umat Islam perlu mentaati Rasulullah SAW dengan mengikut apa disuruh dan meninggalkan apa dilarang. Sarjana Barat bukan Islam dikenali sebagai golongan orientalis menjadikan bidang ilmu hadis sebagai sasaran untuk menimbulkan keraguan.

Mereka mula menyingkap pandangan ini sejak pertengahan abad ke-19. Golongan orientalis ini berpendirian keaslian hadis sebagai benar-benar ucapan dan perbuatan Rasulullah SAW perlu ditolak atau paling tidak mesti diragui atau dipertikaikan kesahihannya.

Antara orientalis yang menolak dan menimbulkan keraguan terhadap hadis ialah Ignaz Goldziher dan pengikutnya seperti Joseph Schacht. Mereka berpendapat hadis tidak boleh dipegang sebagai sumber hukum.

Hadis dan sunah adalah ajaran palsu yang muncul antara kurun kedua selepas kewafatan Nabi SAW dan kitab hadis seperti al-Bukhari dan Muslim bukan mengandungi kata-kata Nabi, tetapi tekaan dan rekaan pengumpul hadis.

Inilah yang didakwa oleh orientalis yang segelintir orang Islam terpengaruh seperti Dr Ahmad Amin, Ismail Adham dan Abu Rayyah. Ahmad Amin dalam bukunya Fajar al-Islam mendakwa hadis pada zaman Rasulullah SAW tidak dibukukan cuma tersimpan dalam bentuk hafalan perseorangan.

Dengan demikian, timbul pemalsuan dan pendustaan terhadap hadis. Namun, semua bentuk keraguan ini dan penyelewengan mereka ini dijawab oleh Dr Mustafa al-Siba’i dalam bukunya al-Sunah dan kedudukannya dalam Islam dan juga Muhamad Mustafa Azami dalam bukunya Studies in Early Hadith Literature.

Prof Azami membuktikan ada catatan hadis dalam bentuk buku dengan menyenaraikan 150 orang sahabat yang menyimpannya seperti catatan oleh Abdullah bin Amru bin al-As. Begitu juga pandangan Hamidullah, sejarah mencatat adanya beberapa naskhah tulisan hadis bersifat peribadi daripada beberapa sahabat dan tabiin.

Disiplin hadis

Bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Zakaria Stapa, menyatakan hakikat yang terjadi di Barat dalam hubungan dengan disiplin hadis adalah cukup malang dan satu tragedi intelektual amat parah dalam sejarah kesarjanaan Barat.

Teori dan rumusan yang tidak sempurna dan separuh masak dikemukakan Goldziher telah dipakai, didukung dengan taat dan diberi penghormatan tinggi sejumlah sarjana yang datang kemudian.

Hadis menjadi sumber asas dan hubungan kuat dengan fiqah. Oleh itu, fuqaha mesti mendalami ilmu hadis seperti ahli hadis mesti mahir ilmu fiqah. Jurang pemisahan antara kedua-dua pihak mesti dirobohkan seperti banyak dalam kitab fiqah terdapat hadis daif dan palsu.

Sementara itu, bagi golongan pendakwah, perlu berhati-hati ketika mengambil sesuatu hadis dan mengetahui maknanya yang jelas dan kedudukan hadis itu. Setiap ulama perlu berpegang kepada sumber yang yang dipercayai, bukan hadis yang diragui.


Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali Berita Harian Agama 03/03/2014

Tiada salahnya berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad

SAYA terpanggil dengan artikel oleh Azhar, Tanjung Malim bertajuk Budaya 'habib' berselawat dipersoal? dalam Forum Utusan Malaysia bertarikh 21 Februari 2014.

Sebenarnya saya anggap beliau sebagai sekadar lebih ingin tahu daripada cuba mengkritik dengan apa yang dinyatakan itu.

'Habib' atau 'Habibullah' apabila diterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu bermakna 'kekasih Allah' dan pada asalnya panggilan hormat kepada baginda Rasulullah SAW.

'Habib' yang diberikan gelaran kepada seseorang individu sekarang ini adalah mereka yang berketurunan 'Syed'.

Mereka ini (Syed) adalah keturunan terus daripada Rasulullah SAW melalui Fatimah Al-Zahra / Saidina Ali, Saidina Hassan dan Saidina Hussein (cucu baginda) apa yang dikatakan sebagai 'Ahlulbait' sebagaimana yang diyakini dan diperakui oleh semua mazhab termasuk mazhab Syafie yang berpegang teguh dengan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Mereka juga menyimpan salasilah keturunan sejak daripada Rasulullah SAW dan menjadi budaya sebilangan besar masyarakat Arab.

Mereka sangat prihatin menjaga susur galur keturunan sejak turun temurun dan mungkin sebagai rujukan peribadi mereka.

'Habib' gelaran yang selalu digunakan untuk para ulama yang berketurunan Ahlulbait ini, dipercayai mempunyai salur galur salasilah di antara 38 hingga 42 keturunan Rasulullah SAW dan diakui oleh dunia Islam serta juga pengkaji sejarah Barat.

Mereka ini pula terbahagi kepada pecahan beberapa kabilah saperti Al-Attas, Al-Saggoff, Al-Yahya, Al-Jufri, Al-Idrus, Jamalullail dan banyak lagi. Tujuannya adalah untuk dipermudahkan mengenal asal usul mengikut kabilah yang tercatat dalam salasilah masing-masing.

Kebanyakan para 'habib' ini pekerjaan mereka adalah suka berdakwah sejak ribuan tahun lagi di mana mengikut sumber sejarah sapertimana terdapat di dalam buku Sejarah Melayu dan juga terdapat sumber dari Muzium Melaka sendiri bahawa Parameswara Raja Majapahit yang membuka negeri Melaka pada tahun 1403 yang asalnya beragama Hindu itu telah 'diislamkan' oleh seorang 'Syed' yang bernama Syed Abdul Aziz dalam tahun 1409.

Telah menjadi adat resam apabila 'Raja' melakukan sesuatu perkara maka rakyat keseluruhannya akan secara automatik ikut sama sebagaimana Islam mula bertapak secara rasminya di Semenanjung Tanah Melayu.

Walaupun dipercayai Islam sudah berkembang berdasarkan penemuan Batu Bersurat di Ulu Terengganu seratus tahun lebih awal daripada Parameswara memeluk Islam, tetapi dipercayai yang membawa Islam ke Terengganu adalah pendakwah berketurunan 'habib' yang berasal dari Hadramaut, Yemen.

Begitu juga bagaimana Islam berkembang di Nusantara seperti ke Indonesia dan kepulauan Melayu yang lain.

Berbalik kepada amalan selawat, bernasyid dan berqasidah, adalah satu amalan turun temurun umat Islam yang mencintai Rasulullah SAW.

Diwajibkan ke atas semua umat Islam berselawat ke atas baginda dan keluarganya dalam setiap tahiyyat akhir iaitu rukun dalam solat yang difardukan kepada kita.

Tanpa selawat ini solat adalah tidak sah dan terbatal dengan sendirinya.

Oleh itu adalah tidak salah, malah digalakkan kita membesarkan Rasulullah SAW melalui berselawat, bernasyid, berqasidah dan bermaulid sepertimana kita sambut setiap tahun sebagai amalan kita yang berpegang teguh kepada fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Apa salahnya kita semua meraikan dan dalam masa sama kita berselawat beramai-ramai kerana ia membawa keberkatan dan boleh membawa kemakmuran dengan rezeki yang melimpah ruah serta dipermudahkan mendapat syafaat dan dilindungi Allah, insya-Allah.

* SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAILSeremban, Negeri Sembilan. Utusan Malaysia Forum 20140304

Budayakan membaca al-Quran

AL-QURAN ialah mukjizat agung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan malaikat Jibril. Dalam al-Quran mengandungi kalam Allah yang menceritakan segala aspek kehidupan baik daripada sudut akidah, ibadah, akhlak, kisah umat terdahulu dan sebagainya.

Beberapa ayat yang terdapat di dalam al-Quran menceritakan tentang kelebihan al-Quran itu sendiri. Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat kedua yang bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa."

Sementara dalam ayat ke-44 surah Fussilat pula, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman. Malah ada lagi banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan keagungan kalamullah ini.

Jika al-Quran mengandungi faedah dan kelebihan, maka sudah tentu pembaca dan pengamalnya akan mendapat manfaat yang besar. Kelebihan-kelebihan ini disebutkan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW hingga para ulama silam menulis buku yang khusus berkaitan dengannya.

Allah SWT menyebutkan kelebihan mereka yang membaca al-Quran: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka daripada limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya). (Fatir: 29-30)

Sumber utama

Al-Quran merupakan sumber utama pegangan umat Islam. Sesungguhnya sebenar-benar perkataan ialah kitabullah (al-Quran) kerana ia merupakan wahyu yang sentiasa dipelihara oleh Allah SWT. Manakala hadis menjelaskan apa yang terkandung dalam al-Quran secara terperinci.

Apabila seseorang itu telah meninggal dunia maka al-Quran yang akan menjadi pembelanya. Jika al-Quran sentiasa dibaca, dipelajari dan dijadikan panduan hidup, maka ia akan menjadi hujah dan membela kita di hadapan Allah SWT.

Seandainya al-Quran diabaikan dalam hidup, tidak dipelajari dan tidak dijadikan asas pegangan, maka ia akan menjadi hujah yang akan membuatkan kita di azab oleh Allah SWT di akhirat.

Ia dijelaskan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Malik Al-Harith bin ‘Asyim Al-Ash’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda: Al-Quran ialah hujah bagimu (membelamu) atau hujah ke atasmu (yang membinasakanmu). (riwayat Muslim)

Umat Islam diseru supaya mempelajari al-Quran bermula dengan mengenal hurufnya agar dapat membacanya dengan baik. Kemudian mengetahui makna ayat-ayat al-Quran dan beramal dengannya. Itulah yang dilakukan oleh para Sahabat r.ha sewaktu al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.



MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR Utusan Malaysia Bicara_Agama 20140304

Gagasan Ibnu Khaldun

IBNU Khaldun atau nama sebenarnya Abd. Al-Rahman Ibnu Muhammad Ibnu Khaldun, bukanlah nama yang asing dalam dunia pemikiran Islam. Pemikiran Ibnu Khaldun sangat terkenal tentang sosiologi, ilmu sejarah dan politik. Ia menjadi bahan kajian penting para pemikir dan ahli ilmu Muslim di Timur dan Barat.

Pemikiran Ibnu Khaldun terus dimanfaatkan ke dalam pelbagai bidang kajian ilmu, sosial, ekonomi, kajian sejarah, peradaban, pemerintahan dan bidang-bidang pentadbiran kepolitikan. Dimanfaatkan oleh, sama ada daripada kalangan ilmuan Muslim mahupun yang kafir.

Ibnu Khaldun turut dikenali sebagai bapa sosiologi dan ahli sejarah yang banyak membuka lembaran baru corak berfikir dalam dunia kepolitikan. Tatkala menyelami pemikiran Ibnu Khaldun, maka kita akan ditarik untuk mengimbas ke belakang, iaitu pada abad 14 Masihi.

Pada ketika itu kebudayaan Arab-Islam sedang dilanda kemunduran. Krisis ini kemudian merebak ke jaringan-jaringan politik sebagai kesan dan akibat atas pecahnya imperium Islam menjadi negara-negara kecil yang dikendalikan oleh penguasa lemah dan tidak memiliki wawasan kerakyatan.

Idea kritis

Bermula daripada pengalaman dan penelitiannya yang tajam, Ibnu Khaldun mengutarakan idea-idea kritis tentang isu berkaitan kemasyarakatan dan kenegaraan. Akhirnya lahirlah karya besarnya, Muqaddimah. Sebuah karya yang merupakan pengantar daripada kitab Al-’Ibar yang diselesaikannya pada usia beliau 45 tahun.

Muqaddimah Ibnu Khaldun membahaskan fungsi dan peranan besar ilmu sejarah. Beliau memuatkan di dalamnya tentang makna dan hakikat sejarah serta method beberapa mazhab atau aliran pembukuan sejarah.

Kemudian beliau mengkritis beberapa perkara lalu membentangkan pula kecerobohan, kesilapan-kesilapan dan kesalahfahaman para periwayat dan penulis kitab-kitab sejarah di dalam menukil peristiwa-peristiwa sejarah secara semberono. Beliau jabarkan (pecahkan) antara periwayatan sejarah yang boleh diterima pakai dan yang tidak.

Sejarah menurut Ibnu Khaldun, memiliki fungsi yang besar dan tujuan yang mulia. Kerana melalui sejarah kita mengenal asal keadaan bangsa-bangsa terdahulu dari sudut tamadun, moral, akhlak, budaya, pentadbiran, dan tokoh-tokoh yang berjasa. Mereka yang mahu melakukan pelbagai kajian dan membuat tindakan dalam sesuatu perkara, dia pasti akan merasakan perlunya merujuk dan meneliti informasi dalam sejarah.

Menurut Ibnu Khaldun, pembukuan sejarah bukanlah sekadar mengetahui kisah-kisah, dokumentasi, mengenal penguasa dan tokoh, atau meraih ilmu, tetapi lebih daripada itu iaitu demi mengenal peristiwa-peristiwa masa lampau dalam rangka memahami dan membina masa depan yang lebih baik.

Kuasa politik

Selain itu, Ibnu Khaldun juga membahaskan topik kepolitikan, kekuasaan, penaklukan, dan tanggungjawab dalam pemerintahan. Kekuasaan dan politik menurut Ibnu Khaldun memiliki kedudukan dan tujuan yang seharusnya diformalasikan untuk kemanusiaan dalam menjalankan amanahnya kepada Allah SWT.

Ini kerana, kedu-duanya secara naluri berkait dengan fitrah manusia dan pola fikirannya yang condong meraih kemaslahatan. Dalam rangkuman maksud ini, keperluan manusia terhadap keamanan, perlindungan, kesejahteraan, kestabilan dan selainnya yang seumpama adalah termasuk dalam bahagian tanggungjawab pemerintahan dan kekuasaan.

Terlalu banyak untuk disebutkan di sini tentang gagasan Ibnu Khaldun melalui Muqaddimah-nya yang cukup masyhur ini. Di antara lain di dalam buku ini, beliau mengupas tentang ashabiyah, kemasyarakat, budaya dan negara, pembinaan bangsa dan negara, kependidikan, ilmu-ilmu dan sumbernya, peradaban, ketamadunan, kekhilafahan serta kerajaan-kerajaan dan pemerintahan silam, penjanaan ekonomi dan sumbernya serta banyak lagi.

Beliau, hidup di keadaan politik dan kesukuan yang rumit. Ketika itu, Ibnu Khaldun berpindah-randah antara Maghribi, Andalusia dan Mesir tempat kewafatannya. Beliau adalah individu bernama besar yang muncul tatkala dunia Islam sedang bergolak dan berpecah-belah menjadi negeri-negeri kecil.

Beliau adalah tokoh yang amat mencintai ilmu semenjak kecil lagi. Beliau menguasai al-Quran, ilmu hadis, ushul fiqh, sastera, sejarah, dan ilmu mantik. Ketika usia beliau mencecah 45 tahun, Ibnu Khaldun mengasingkan diri daripada hiruk-pikuk dan kesibukan manusia lalu berkomitmen terhadap bidang penulisan dan sejarah.

Sehinggalah akhirnya beliau berjaya menyelesaikan sebuat karya penting yang memiliki kedudukan istimewa oleh ramai kalangan ilmuan, iaitu buku Al-’Ibar Diwanul Mubtada’ wal Khabar bersama Al-Muqaddimah yang cukup masyhur hingga hari ini. - Sumber Atsar Ent.

Utusan Malaysia Bicara_Agama 20140304

Kekentalan wanita Islam

NAMA beliau ialah Nusaibah binti Kaab al-Khazrajiyah. Beliau seorang mujahidah yang berjuang di medan perang. Bukan sekadar penyedia logistik atau merawat luka, malah ikut bertempur apabila keadaan memerlukan.

Apabila pasukan Islam mengalami kekalahan dalam perang Uhud, ramai di antara mereka yang lari dari medan pertempuran.

Pada masa itu, Rasulullah SAW menghadapi situasi yang sangat berbahaya. Beliau diserang daripada pelbagai penjuru oleh pasukan berkuda kaum musyrikin.

Bersama baginda pada masa itu tidak lebih daripada 10 orang sahaja. Mereka termasuk Ummu Umarah, suami dan dua anaknya.

Mereka berkumpul di hadapan Nabi Muhammad SAW untuk melindungi baginda Rasulullah.

Ummu Umarah bercerita: “Pasukan berkuda sangat mengganggu kami. Andai mereka berjalan kaki seperti kami, kami pasti dapat mengalahkan mereka insya-Allah."

Beliau melanjutkan: “Seorang penunggang kuda menyerang kami dengan pedangnya. Aku berlindung dengan perisaiku. Aku lalu memukul kaki kudanya dengan pedang sehingga ia jatuh tersungkur ke tanah.

Rasulullah SAW berteriak: “Wahai anak Ummu Umarah, ibumu, ibumu!"

Anak itu datang dengan segera, lalu membantu ibunya membunuh lelakitersebut.

Kisah itu disebutkan oleh al-Zahabi dalam kitab Siyar a’lam al-Nubala.

Sahabiyyat

Kaum perempuan di zaman Nabi Muhammad SAW sungguh menakjubkan. Kisah ini hanya memperlihatkan secebis daripada penglibatan kaum perempuan dalam mempertahankan Islam dan Rasulullah SAW.

Para sahabiyyat (sahabat Rasulullah SAW daripada kalangan perempuan) sangat aktif menyumbang kepada Islam mengikut kemampuan yang mereka miliki. Mereka berusaha menempah kedudukan tertinggi di akhirat menerusi tenaga, harta, pemikiran, bahkan nyawa jika diperlukan.

Para sahabiyyat sedar pergerakan mereka tidak sebebas kaum lelaki. Mereka memiliki kewajiban dan tugasan rumah yang mesti dikerjakan.

Begitu pun, cabaran itu tidak menghalangi mereka mempertingkatkan ilmu dan bekerja untuk Islam.

Mereka tidak ingin ketinggalan dalam kafilah iman yang diterajui Rasulullah SAW dan kaum lelaki.

Justeru, mereka secara proaktif meminta Rasulullah mengkhaskan hari tertentu untuk mereka mendalami Islam.

Abu Said al-Khudri bercerita: "Kaum perempuan mendatangi Rasulullah SAW. Mereka berkata, kaum lelaki telah mengalahkan kami. Maka tentukanlah satu hari yang khas untuk kami."

Rasulullah SAW lalu menjanjikan satu hari tertentu untuk berjumpa dan menasihati kaum wanita. (riwayat al-Bukhari)

Apabila ada perkara yang mereka tidak fahami, para sahabiyyat tidak segan bertanya. Terutama apabila berkaitan dengan ilmu dan hukum agama.

Kelebihan wanita

Sudah tentunya kata-kata sopan selalu digunakan apabila berkaitan dengan permasalahan peribadi.

Siti Aisyah pernah berkata: “Wanita terbaik adalah perempuan Ansar. Mereka tidak malu-malu untuk bertanya dalam perkara agama."

Bagaimanapun, kelebihan perempuan tetap terletak pada kehalusan perasaannya. Mereka memiliki kelembutan dan kasih sayang yang lebih tinggi berbanding kaum lelaki. Tidak ada yang dapat menafikan hakikat itu.

Justeru, Islam mengarahkan kelebihan itu agar digunakan dengan sebaik mungkin. Dengan kelebihan tersebut, kaum wanita dapat melahirkan generasi penerus Islam yang kuat mental dan fizikal.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Wanita terbaik yang pernah menunggang unta adalah wanita Quraisy. Mereka sangat sayang kepada kanak-kanak kecil dan sangat pandai menjaga harta pemilikan suaminya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bak kata pepatah di sebalik tokoh besar, selalu ada perempuan. Di sebalik kebesaran Islam, terdapat ramai kaum wanita berjiwa kental seperti Ummu Umarah.



Utusan Malaysia Bicara_Agama 04/03/2014

Wanita dalam idah masih isteri sah

ISTERI apabila telah diceraikan suaminya dengan talak satu atau dua, bukanlah lesen baginya untuk sewenang-wenangnya melakukan perkara-perkara di luar batasan dan bertentangan dengan agama Islam.

Aturan dalam Islam sememangnya cukup sempurna dalam semua aspek kehidupan, sehinggakan seorang isteri yang baru diceraikan suami atau dalam tempoh idah mempunyai adab dan sopannya tersendiri.

Tempoh beridah atau didefinisikan sebagai tempoh bertenang selama tiga bulan atau tiga kali suci daripada haid sebaik selepas dijatuhkan talak oleh suami, perlulah difahami oleh wanita tersebut dengan sebaiknya bagi menjaga maruah dan kesucian dirinya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Mohd. Nidzam Abdul Kadir berkata, tempoh beridah tidak boleh diambil mudah oleh sebahagian wanita untuk melakukan perkara yang bertentangan kerana mereka masih berstatus isteri yang sah.

Katanya, sepanjang tempoh beridah, wanita tidak dibenarkan meninggalkan rumah tanpa tujuan kerana wanita tersebut masih berstatus isteri sah kepada suaminya.

Suami juga tidak boleh menghalau atau membenarkan isterinya keluar dari rumah selagi tempoh idah belum berakhir.

Tempat tinggal bagi wanita yang beridah adalah di rumah suaminya sendiri dan dia tidak boleh keluar tanpa keizinan daripada suaminya.

“Saranan tinggal sekali dalam tempoh tersebut berikutan Islam memberi peluang kepada pasangan untuk muhasabah kesalahan diri masing-masing dan memikirkan kembali sama ada untuk meneruskan hubungan itu.

“Tambahan pula jika perkahwinan tersebut dikurniakan cahaya mata, ditakuti perceraian akan memberi kesan terhadap masa depan mereka kelak," jelas Mohd. Nidzam.

Menurutnya, dengan status isteri yang masih sah di sisi agama, wanita tersebut perlu menjaga batas-batas sebagai isteri dan muslimah yang telah ditetapkan dalam Islam.

Mereka perlu menjaga maruah dan adab sopan sebagai isteri yang telah digariskan dalam Islam. Sepanjang tempoh itu pergaulan dengan bukan muhrim juga perlu ada batasan dan had-had yang telah ditetapkan.

“Lafaz talak bukan lesen atau ruang untuk mereka serta-merta bergaul mesra dengan lelaki lain tanpa ada batasan.

“Sama ada wanita tersebut sudah berkahwin atau tidak peraturannya tetap sama iaitu haram bagi wanita muslim untuk bergaul mesra dan bersentuhan anggota badan dengan mana-mana lelaki yang mahram baginya tanpa ada tujuan.

“ Jika keadaan ini berlaku kepada wanita yang masih dalam idah, dia bukan sahaja bersalah kerana keluar rumah tanpa keizinan, malah berdosa kerana melakukan perkara keji dan maksiat," katanya.

Mohd. Nidzam berkata, wanita yang melampaui batasan dari segi pergaulan dan melakukan tingkah laku yang tidak elok dalam tempoh beridah, bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap maruahnya malah sebahagian masyarakat sekeliling akan memandang serong kepadanya.

“Apabila wanita masih dalam beridah, tetapi dalam masa yang sama melakukan perkara keji di sisi agama, perilaku itu akan menimbulkan andaian negatif dalam kalangan masyarakat yang prihatin dan mempunyai kefahaman tentang agama.

“Mereka dalam tempoh beridah juga perlu mematuhi beberapa adab yang telah ditetapkan dalam Islam seperti tidak menerima pinangan dan berkahwin lain bertujuan memelihara nasab serta keturanan.

“Kewajipan beridah bagi setiap wanita telah disyariatkan oleh agama bagi memelihara air mani suami supaya tidak bercampur dengan air mani lelaki lain demi menjaga nasab dan keturunannya.

“Setelah tempoh idah berakhir, maka harus bagi sesiapa sahaja untuk mengahwini wanita tersebut," katanya.

Beliau turut mengakui beberapa kesalahan yang berlaku kepada sebahagian wanita dalam tempoh beridah pada hari ini berikutan kurangnya kefahaman dan kesedaran tentang hukum idah dalam Islam.

Mereka juga sudah terikut dengan gaya hidup orang-orang ternama selain kurang prihatin masyarakat untuk menegur apabila berhadapan dengan perkara seperti ini.



Siti Aishah Yusoff Utusan Malaysia Bicara_Agama 20140304