March 7th, 2014

Petaka umat Islam berpecah

APABILA Pergerakan Pemuda UMNO Kedah melalui Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa supaya satu undang-undang khas digubal bagi menangani tindakan provokasi serta penghinaan terhadap agama dan kaum yang berlaku di media sosial, mungkin akan ada pihak mentafsirkan ia bertujuan menyekat hak kebebasan seseorang.

Malah seperti biasa, akan menjeritlah puak-puak yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dengan hujah-hujah dangkal mereka, namun sama ada hendak diakui atau tidak, gesaan Pemuda UMNO Kedah tersebut tepat pada masanya.

Ia memandangkan sejak kebelakangan ini senario di negara ini sudah berubah apabila wujudnya kelompok yang menjadi media sosial sebagai alat untuk menunjukkan keberanian luar biasa mereka untuk mencaci, menghina dan mentohmah.

Sebut apa sahaja sama ada institusi diraja, institusi Melayu, jabatan kerajaan mahupun pemimpin negara hatta agama Islam sekali pun semuanya menjadi sasaran kebiadaban puak-puak yang tidak bertanggungjawab ini.

Apa yang memualkan sesetengah perbuatan ini dilakukan oleh ahli-ahli politik yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan demokrasi. Puak-puak ini seolah-olah ada kekebalan sehinggakan walaupun mengetahui perbuatan mereka salah namun tetap tidak mahu mengaku salah, jauh sekali mahu meminta maaf.

Sikap inilah yang menimbulkan kemarahan banyak pihak dan lebih menyakitkan hati biar pun ribuan laporan polis sudah dibuat namun ia senyap begitu sahaja. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana lemahnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak dalam kes-kes seumpama itu.

Oleh itu, janganlah marah kepada kelompok-kelompok yang tampil membela institusi dan pemimpin negara yang dicaci serta dihina. Namun apa yang mereka lakukan belum mencukupi kerana ternyata provokasi dan kebiadaban oleh puak-puak tertentu masih berterusan.

Atas sebab itulah, adalah perlu pihak yang bertanggungjawab mencari mekanisme bagaimana untuk menangani permasalahan ini yang harus diakui jika dibiarkan ia boleh menjadi ancaman kepada keharmonian kaum, kerukunan beragama dan perpaduan dalam negara ini.

Sekarang bukanlah masa untuk memberi amaran atau beretorik tetapi masa untuk bertindak ke atas kelompok-kelompok yang merasakan mereka semakin kuat dan boleh melakukan apa sahaja khususnya apabila memikirkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Pemimpin politik yang biadab harus diajar dan puak yang tidak tahu menghormati pihak lain perlu ditertibkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Dari segi undang-undang , ia sudah ada tetapi tindakan sahaja yang terlalu lemah sehinggakan dari semasa ke semasa kita terus dihidangkan perbuatan yang sudah sampai ke taraf dikategorikan kurang ajar.

Dalam soal ini, sekali lagi kita harus bertanya kepada orang Melayu dan umat Islam, tidakkah mereka sedar bahawa apa yang berlaku sekarang disebabkan ada kelompok yang melihat mereka lemah dan tidak berupaya bersatu menentang puak-puak yang menghina agama Islam dan mencaci pemimpin Melayu tidak kira dari pihak mana sekali pun.

Lebih malangnya lagi, apabila ada dalam kalangan pemimpin Melayu itu sendiri sanggup menghina atau memperlekehkan pemimpin yang bukan sealiran politik dengannya hanya kerana ingin menunjukkan kepada sekutunya, betapa hebatnya kesetiaan kepada pakatan yang dibuat.

Sesungguhnya apa yang berlaku sekarang lanjutan daripada lemahnya perpaduan dalam kalangan umat Islam hatta hendak mempertahankan kalimah Allah pun kita berbeza pendapat dan berpecah belah. Masing-masing dengan hujah tersendiri sehingga menyebabkan perasaan gerun kepada umat Islam semakin luntur.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfaal ayat 73 bermaksud:

"Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar."

Apa yang dinyatakan dalam surah itu sudah berlaku kini di Malaysia. Ketika kaum lain yang bukan Islam boleh bersatu demi mempertahan atau memperjuangkan kepentingan mereka, umat Islam pula terus berpecah belah hanya disebabkan oleh perbezaan politik.

Ada antara mereka langsung tidak mengendahkan apabila ada pemimpin politik bukan Islam menghina pemimpin Islam, alasannya mudah hanya kerana yang dihina dan dicaci itu bukan daripada partinya sedangkan dalam Islam sudah ditegaskan bahawa umat Islam itu bersaudara.

Keadaan inilah yang memungkinkan provokasi dan perbuatan biadab terhadap agama Islam, orang Melayu dan institusi Melayu berterusan serta semakin merebak. Segalanya kerana mereka sudah tidak ada perasaan takut atau hormat lagi kepada orang Melayu mahupun umat Islam. Kalau mereka mempunyai perasaan sedemikian sudah pastilah mereka tidak akan melakukan perbuatan yang dilihat boleh mewujudkan kemarahan orang Melayu dan umat Islam.

Mungkin sekali lagi, apabila kita bercakap soal Melayu dan Islam, ada puak yang juga dalam kalangan orang Melayu akan menuduh kita cuba mencetuskan semangat perkauman dan memainkan sentimen agama tetapi selama ini pun apabila kita diam adakah puak-puak biadab itu tidak melakukan provokasi mereka?

Janganlah kerana hendak mencari kuasa politik segalanya mahu digadaikan dan memaksa kita terpaksa `tunduk’ kepada pihak lain kerana mahu meraih undi atau menang dalam pilihan raya. Puak-puak yang terlibat amat memahami sejauh manakah kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam pada masa ini.

Fahamilah, hanya kuasa politik sahaja yang dimiliki oleh orang Melayu untuk memastikan Islam terus berdaulat di negara ini. Justeru jika umat Islam masih belum sedar dan terus bersedia untuk membuka laluan kepada pihak lain merebut kuasa tersebut dengan memperalatkan puak dalam kalangan umat Islam sendiri, maka percayalah ia akan mengundang petaka kepada negara ini.

Oleh itu kepada umat Islam janganlah terus melihat provokasi terhadap Islam dan institusi Melayu dari segi pertimbangan politik sahaja. Sebaliknya fikirkanlah kesannya dari segi jangka panjang.

Percayalah, kalau umat Islam terus berpecah belah dalam keadaan begitu lemahnya penguatkuasaan ke atas mereka yang melakukan provokasi, kesudahannya apa yang kita kuasai akan terlepas ke tangan orang lain.

Apatah lagi ketika ini sudah wujud dalam kalangan orang Melayu yang bersedia menganggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang jelas-jelas memperjuangkan perkara bertentangan dengan agama Islam, contohnya Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Semua ini hakikatnya adalah ancaman kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Oleh itu sebelum terlambat usaha harus terus dilakukan bagi menyatukan umat Islam di negara ini.

Tidak apa kalau mahu berjuang meraih kuasa politik melalui panji-panji perjuangan yang berbeza tetapi bersatulah apabila hak orang Melayu digugat, Islam dihina dan pemimpin Melayu dicaci. Jika tidak, orang Melayu akan menjadi lebai malang, menang sorak kampung tergadai.



Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 20140307

Orang Melayu jangan tersalah sukat’

PERSIDANGAN Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke-186, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, mantan Penasihat Undang-undang Negeri Perak atas khidmat dan peranan beliau sebagai ahli Majlis bagi tempoh 1 Jun 2007 sehingga 14 Januari 2014.

Beliau telah ditukarkan untuk mengambil tanggungjawab baru di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. Semoga beliau terus dianugerahkan oleh Allah SWT dengan kejayaan.

Persidangan mengalu-alukan keanggotaan Penasihat Undang-undang Negeri Perak yang baharu Yang Berhormat Rohana Abd. Malek sebagai Ahli Majlis.

Persidangan pada hari ini turut mengucapkan selamat bertugas kepada Dr. Amiruddin Muhamed yang telah diperkenankan lantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, berkuat kuasa 2 Januari 2014.

Beta merakamkan penghargaan kepada Mohd. Haidi Sulaiman yang berjaya memenuhi amanah dan melaksanakan tanggungjawab secara berkesan menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis di antara 15 Julai sehingga 31 Disember 2013. Beta berserta ahli-ahli Majlis turut merakamkan ucap takziah kepada Wan Maizura Wan Zahari dengan kembalinya ke Rahmatullah ibu beliau pada 25 Disember 2013. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan roh para solehah. Al-Fatihah.

Pemerintahan Islam pertama telah dirintis penubuhannya di Madinah daripada susulan peristiwa Hijrah. Antara tindakan awal yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk.


Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah (tengah) menyampaikan titah ucapan sempena perasmian
Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali ke-186 di Auditorium Kompleks Islam Darul Ridzuan,
Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

Bancian yang dilaksanakan tidak hanya terbatas kepada membanci bilangan penduduk dari segi pecahan jantina, kaum dan usia, tetapi merangkumi aspek-aspek guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi dan pegangan agama. Data-data yang dikumpulkan, lalu dijadikan asas untuk merancang dan membangunkan sistem dan corak pemerintahan sebuah negara Kota Madinah atau The City State of Medina.

Dalam merangka formula sesebuah pemerintahan, maklumat yang tepat lagi terperinci, terutama mengenai profil penduduk merupakan komponen penting, demi memastikan program yang diformulasikan menepati keperluan serta bersesuaian dengan budaya, komposisi serta taburan penduduk setempat dan semasa. Nyatalah, Baginda Rasulullah SAW membangunkan pemerintahan dan mengolah kerangka urus tadbir negara berpaksikan ummah ataupun berkonsepkan people-centric .

Ketika sampai di Madinah, daripada jumlah 10,000 penduduk Madinah, bilangan umat Islam, kombinasi kaum Ansar Madinah berserta kaum Muhajirin Mekah hanya sekitar ratusan orang . Hampir 50 peratus penduduk Madinah ketika itu terdiri daripada keturunan Yahudi yang terpecah kepada 10 puak; sementara penduduk keturunan Arab terbahagi kepada 12 kabilah . Keadaan penduduk Arab di Madinah pula tidak segagah Arab Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan, serta mempunyai struktur politik yang tersusun.

Pada hakikatnya, negara Islam pertama di Kota Madinah dibangunkan atas dukungan rakyat pelbagai agama , pelbagai kaum, pelbagai puak , pelbagai kabilah dengan kumpulan minoriti Islam diberikan kepercayaan berada di puncak sistem pemerintahan.

Ia diperoleh melalui kebijaksanaan Rasulullah SAW merangkaikan kerjasama, menyatukan penduduk daripada pelbagai pegangan dan fahaman agama, latar belakang sejarah, status ekonomi serta kaum dan kabilah. Baginda berjaya memupuk hubungan harmoni, menyemaikan sifat saling menghormati, mempamerkan sifat toleransi, merangkaikan hubungan kerja yang produktif serta merangka strategi tanggungjawab pertahanan untuk menghadapi musuh.

Perlembagaan Madinah adalah Perlembagaan bertulis yang pertama di dunia; mengandungi 52 Perkara, berteraskan prinsip ‘Satu Pemerintahan - Satu Perundangan’, menempatkan Rasulullah SAW sebagai kuasa tertinggi kehakiman, perundangan dan eksekutif, sementara Rasulullah meletakkan diri Baginda sebagai seorang hamba dan pesuruh Allah, teguh berpegang kepada prinsip, hanya Allah yang memiliki sumber kuasa.

Para ilmuwan merumuskan bahawa Perlembagaan Madinah terbahagi kepada dua komponen. Komponen pertama: mengenai hubungan di antara umat Islam sesama Islam yang berjaya dicapai dalam tahun pertama berlakunya Hijrah, terkandung dalam Perkara 1 sehingga Perkara 23; sementara komponen kedua: menyusul selepas kejayaan tentera Islam dalam Peperangan Badar, mengenai prinsip hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi. Peperangan Badar disifatkan sebagai faktor yang melakarkan imej kekuatan umat Islam, meletakkan umat Islam berada dalam status yang disegani, digeruni lantas dihormati.

Senario tersebut berperanan mendorong kaum Yahudi untuk menandatangani perjanjian kerjasama, menjalinkan perikatan dan persetujuan perlindungan dengan umat Islam. Perlembagaan Madinah turut memberi jaminan bahawa kalangan bukan Islam diberikan kebebasan beragama. Bagi sebuah negara Kota (City State) dengan 10,000 penduduk, dan secara relatif tidak berhadapan dengan isu-isu yang terlalu kompleks pada era tersebut, Perlembagaan Madinah yang mengandungi 52 Perkara, adalah sebuah Perlembagaan yang sangat terperinci lagi komprehensif. Terkandung di dalamnya semangat-semangat kesetiaan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati, serta jaminan keadilan dan perlindungan saksama kepada setiap penduduk meskipun berlainan agama, kaum dan kabilah.

Senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah, adalah kajian kes yang menarik untuk dibandingkan dengan senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pertama: Rakyat di Tanah Melayu terdiri dari pelbagai penganut agama serta berlatar belakang pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Kedua: Tanah Melayu terdiri dari lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan empat Negeri Melayu Bersekutu di bawah pemerintahan sembilan Raja Melayu, serta dua Negeri Selat di bawah kuasa Gabenor Jeneral.

Ketiga: Tahap pencapaian ekonomi serta tahap penguasaan literasi yang berbeza di kalangan penduduk.

Keempat: Tercapai persefahaman antara penduduk pelbagai negeri, pegangan agama dan kaum untuk bekerjasama dan bersatu membina dan membangunkan sebuah negara merdeka.

Kelima: Orang Melayu meskipun penduduk majoriti, tetapi paling tertinggal dan berada di belakang dari segi literasi, pencapaian pendidikan, bilangan profesional, juga penguasaan eko­nomi. Namun orang Melayu diberikan sokongan untuk memimpin perjuangan kemerdekaan dan seterusnya pim­pinan Melayu diberikan kepercayaan untuk memimpin se­buah Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, selanjutnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Keenam: Pimpinan Melayu Islam memperlihatkan dan mengamalkan keadilan dengan memberikan hak dan perlindungan kepada bukan Islam dan bukan Melayu dari segi kebebasan beragama, budaya dan bahasa, berkonsepkan semangat Satu Negara - Satu Pemerintahan, dan setiap penduduk wajib membuktikan kesetiaan dalam semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang berjaya digubal adalah antara Perlembagaan bertulis yang disifatkan sangat komprehensif. Tun Mohamed Suffian (Allahyarham), mantan Ketua Hakim Negara dalam tulisannya mencatatkan:

Petikan:

"For such a small country Malaysia has a fearfully long and elaborate Constitution and the visitor from Mars may be forgiven for thinking that our Constitution must have been devised by a mad professor of constitutional law."

Terdapat beberapa unsur persamaan di antara senario dan semangat di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah dengan senario dan semangat di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Rakyat di Tanah Melayu, disusuli kemudiannya dengan rakyat di Sabah dan Sarawak ketika mencapai kata persetujuan penubuhan Malaysia, turut dirahmati Ilahi dengan barisan pemimpin yang ikhlas dan berwawasan jauh.

Di dalam hati dan jiwa Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra serta rakan-rakan pimpinan seangkatan, Allah telah memancarkan cahaya keikhlasan kepimpinan hingga segala kelemahan bangsa Melayu ketika itu, tidak menghalang untuk pemimpin Melayu Islam diberikan kepercayaan, diangkat untuk memimpin negara dan rakyat.

Apakah DNA kekuatan yang ada pada pimpinan Melayu Islam pada era pra dan pasca merdeka, begitu juga pada era pra dan pasca penubuhan Malaysia? Jawapannya terletak kepada kepercayaan rakyat akan sifat ikhlas dan kesungguhan pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat hingga ke peringkat mengorbankan diri masing-masing seperti yang dibuktikan oleh Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail, terus mengabadikan perkhidmatan kepada negara dan rakyat meskipun menanggung keuzuran penyakit yang berat.

Apakah serapah kekuatan yang ada pada orang Melayu Islam pada era pra dan pasca merdeka, begitu juga pada era pra dan pasca penubuhan Malaysia? Dalam kedua-dua era tersebut orang Melayu, meskipun berlainan kabilah politik, kekal bersatu dalam perkara-perkara prinsip menyentuh martabat dan maruah bangsa, dan umat Islam bersatu teguh mempertahankan perkara-perkara pokok menyentuh kesucian Islam.

Di samping itu orang Melayu Islam ketika itu, turut bersedia menerima kepelbagaian serta menghormati perbezaan. Orang Melayu dan umat Islam ketika itu, berjiwa besar, terbuka sifatnya, luas pandangannya, lebih yakin pada dirinya lalu mencerminkan sifat kesederhanaan (moderation), menolak suara-suara ekstrem dan tidak akan mensensasikan perkara-perkara remeh. Melayu Islam ketika itu bersedia menerima kepelbagaian, menghormati perbezaan dan tidak bersifat homogenik.

Umat Islam dan orang Melayu yang berlainan pandangan dibawa berdiskusi dan berdialog secara rasional lagi bertamadun selaras dengan sifat ilmuwan yang berusaha untuk membantu ummah menemui cahaya kebenaran.

Umat Islam dan orang Melayu hari ini, jangan tersalah sukat, jangan tersilap bacaan, merasakan diri mereka sudah terlalu kuat. Umat Islam dan orang Melayu muncul sebagai tenaga pimpinan yang kuat di bumi ini pada era pra dan pasca merdeka, kerana mereka ketika itu menyedari kelemahan dan kekurangan ummah dan bangsanya, lalu majoriti mereka mengambil pendirian, berusaha mengumpul dan menggabungkan setiap kekuatan yang ada sesama mereka,

‘... menjemput yang jauh

menghimpun yang dekat

kalau alim hendakkan doanya

kalau kaya hendakkan emasnya

kalau buta penghembus lesung

kalau pekak pembakar bedil ...’

Falsafah perpaduan yang digambarkan melalui perbilangan Adat Perpatih itu diadaptasi oleh orang Melayu, lalu terbina satu tenaga atau force yang dihormati, memiliki kegagahan mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa, berupaya menyebarkan syiar Islam dan mengangkat martabat bangsa.

Kini, sumber kekuatan ummah dan bangsa kelihatan semakin diruntuhkan berpunca daripada pelbagai kemungkaran. Umat Islam dan orang Melayu ketika ini pula semakin berlumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukiskan wajah Melayu mana yang lebih hodoh. Jika keadaan ini terus berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan bangsa Melayu di bumi ini.

Ketika bangsa tersilap anggapan bahawa dirinya telah begitu ke hadapan dalam era modenisasi dan globalisasi, ada baiknya diingatkan kembali, pesanan orang tua-tua, ‘buat baik berpada-pada - buat jahat jangan sekali’, ‘jika tersesat di hujung jalan - segera balik ke pangkal jalan’, agar bangsa tidak akan berakhir dengan senario menang sorak - kampung tergadai, bernasib setinggan di bumi sendiri.

Semoga Allah SWT mengamanahkan tangungjawab pimpinan negara dan pimpinan ummah di kalangan hambanya yang memiliki sifat-sifat tawaduk dan takwa, memiliki kekuatan membela nasib bangsanya serta ketegasan mempertahankan kesucian Islam, dan turut berjaya membawa ummah dan watan mencapai nikmat kesejahteraan di bawah naungan pemerintahan yang senantiasa mendapat rahmat Ilahi. Jauhilah pimpinan ummah dan negara daripada terlepas ke tangan orang-orang bersifat riak dan sombong hingga mereka begitu mudah didampingi Iblis untuk melakukan kerosakan di bumi ini.

Semoga Allah SWT menganugerahkan taufik dan hidayah kepada Beta serta ahli-ahli Majlis untuk dapat membangunkan ummah dan watan menurut yang diredai oleh Mu Ya Allah. Amin, Ya Rabul ‘Alamin.



Utusan Malaysia Rencana 20140307

Bila perlu berzakat

SAYA ingin mengetahui, keadaan bagaimanakah seseorang itu sudah wajib mengeluarkan zakat? Adakah perlu berstatus kaya terlebih dahulu? Kemudian, kekayaan atau harta bagaimanakah yang wajib dizakatkan? Ada orang sering merasakan dirinya tidak layak, hanya kerana pendapatannya dianggap kecil. Boleh jelaskan?

Jawapan

Alhamdulillah, semoga jawapan yang disuguhkan ini mampu menghuraikan serba sedikit kekusutan saudara mengenai keadaan diri dan harta atau kekayaan yang diwajibkan zakat di sisi Islam. Tidak dinafikan, memang ramai yang berfikiran sedemikian. Dengan andaian yang bukan-bukan, misalnya pendapatan mereka kecil maka mereka langsung mengambil keputusan untuk tidak menaksirkan zakatnya.

Maka, Allah SWT mengingatkan kita dalam hal ini: Maka bertanyalah kamu kepada ahlinya (orang yang alim atau berpengetahuan dalam sesuatu bidang) andai kamu tidak mengetahui (akan keadaan sesuatu perkara itu). (al-Anbiya: 7)

Baiklah, pertamanya kondisi bagaimanakah seseorang itu wajib mengeluarkan zakatnya. Maka dalam hal ini, seseorang itu dikira wajib mengeluarkan zakat sekiranya dia adalah seorang Muslim, merdeka dan harta yang dimilikinya adalah sempurna miliknya, serta harta itu melebihi syarat nisab dan juga menggenapi haul.

Sebenarnya, lima perkara yang disebutkan di atas, adalah lima syarat asas wajib zakat yang apabila ia ada pada diri seseorang manusia itu, maka wajiblah zakat ke atas dirinya. Tanpa mengira, sama ada dia lelaki atau wanita, masih kecil atau sudah tua, gila atau berakal waras.

Kedua, harta bagaimanakah yang wajib dizakatkan? Di sini, seseorang yang mempunyai harta dan harta itu dimiliki secara sempurna milik, maka sewajarnya dia berhati-hati. Bimbang jika dia sebenarnya sudah pun mempunyai cukup syarat wajib zakat ke atasnya.

Definisi kaya

Ini kerana, definisi kekayaan dalam Islam adalah apabila harta yang kita miliki itu sempurna milik dan ia berada di atas paras nisab. Apakah nisab? Nisab bermakna, paras minima harta wajib zakat yang disandarkan kepada nilai 85 gram emas pada harga semasa. Nilai nisab zakat boleh turun dan naik, tergantung kepada harga emas di pasaran.

Maka, seseorang yang harta miliknya (harta zakat seperti wang pendapatan) sudah pun melebihi paras nisab, maka wajarlah dia berhati-hati. Ini kerana, nilai 85 gram emas itu bukanlah terlalu tinggi, julatnya buat masa ini dalam lingkungan RM13,000 hingga RM16,000 sahaja. Jika kita mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM16,000 misalnya, dibimbangi kita mungkin sudah wajib mengeluarkan zakat pendapatan kita.

Maka, jalan yang terbaik ialah dengan meminta pihak amil zakat menaksirkan zakat pendapatan kita. Ini kerana, dalam menaksirkannya maka ada kaedah pengiraan yang kita sendiri mungkin kurang mahir. Maka, jika ditakdirkan selepas ditolak penggunaan dan harta kita masih di atas paras nisab, maka kita wajib mengeluarkan zakatnya, walaupun sebesar RM1.

Ketiga, wajar juga kita ketahui bahawa Islam telah menggariskan hanya harta tertentu yang wajib dikeluarkan zakat dan harta-harta yang tidak termasuk dalam senarai harta zakat, ia tidaklah wajib dizakatkan. Namun begitu, jika ia diniatkan dengan sesuatu niat tertentu, maka harta yang asalnya tidak wajib zakat akan menjadi wajib zakat.

Mari saya kemukakan satu contoh mudah. Apabila dikatakan zakat ternakan, maka hanya haiwan ternakan yang disebut sebagai al-an’am sahaja yang wajib dizakatkan. Apa makna al-an’am itu? Iaitu, umumnya ia ada tiga ciri utama, pertama ia sudah diternak orang sejak zaman dulu sebagai haiwan ternak, kedua haiwan yang bersifat jinak dan ketiga, yang berkaki empat.

Maka, lembu, kambing, kerbau, biri-biri, domba dan kibas ataupun jika di Tanah Arab unta, adalah dikira sebagai haiwan al-an’am ini. Selain daripadanya tidak dikira haiwan ternakan al-an’am. Misalnya rusa, kijang, seladang dan begitu juga ayam, itik, angsa, arnab dan sebagainya.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.

Utusan Malaysia Bicara Agama 20140307

Natijah mentaati Allah dan rasul

ARTIKEL kali ini masih lagi berkaitan dengan natijah mentaati Allah SWT dan Rasulullah SAW. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga keluarga baginda. Sudah pasti mentaati Allah dan Rasul-Nya akan mendapat banyak kelebihan.

Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, para siddiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat). (al-Nisa’: 69)

Thauban seorang maula (hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW) adalah seorang yang terlalu cintakan Baginda SAW dan tidak dapat menahan sabar atas kecintaannya itu. Pada suatu hari, beliau telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dalam keadaan muka yang berubah kerana sedih.

Baginda bertanya kepadanya: “Apakah sebab yang mengubah air muka engkau?" Thauban menjawab: “Wahai Rasulullah SAW! Aku tidak ditimpa sakit atau terkejut, selain daripada aku tidak dapat melihat engkau sehingga aku menjadi terlalu rindu kepada mu ya Rasulullah sehingga aku dapat bertemu dengan engkau semula.

“Kemudian, aku teringat kepada akhirat, lalu aku takut aku tidak dapat melihat engkau kerana engkau akan diangkat bersama para Nabi sedangkan, sekiranya aku dimasukkan ke dalam syurga aku akan berada di tingkat yang rendah daripada tingkat engkau. Sekiranya aku tidak dapat masuk syurga, maka aku selama-lamanya tidak akan dapat melihat engkau." Lantas, Allah SWT menurunkan ayat di atas.

Khabar gembira

Ibnu Al-Arabi dalam Ahkam al-Quran menyebut: “Berkenaan sebab turunnya ayat di atas, terdapat banyak riwayat yang menceritakan mengenainya. Begitu pun, riwayat yang paling hampir dengan maksud kesemua riwayat itu ialah riwayat Said bin Jubair yang menyebut: Bahawa seorang lelaki Ansar datang kepada Nabi SAW dalam keadaan berdukacita.

Lalu Nabi SAW bertanya kepadanya: “Mengapa engkau kelihatan bersedih? Beliau menjawab: Wahai Nabi Allah, kami sentiasa berpagi dan berpetang dengan engkau, merenung wajahmu dan duduk bersamamu. Sayangnya esok hari (akhirat) engkau akan diangkat darjat bersama para Nabi, maka kami tidak dapat sampai kepadamu.

Maka Nabi SAW tidak menjawab sedikitpun kenyataan itu. Kemudian datanglah Jibril a.s menurunkan ayat di atas ini. Lantas, Nabi Muhammad SAW mengutus orang supaya menyampaikan khabar gembira tersebut kepada lelaki tersebut."

Sesiapa yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya akan dikurniakan nikmat Allah SWT. Ibnu Wahb berkata: “Saya pernah mendengar Malik berkata: “Hal yang demikian disebutkan oleh seorang lelaki tatkala Baginda SAW menceritakan tentang Madinah dan kelebihannya. Baginda menyebutkan bahawa akan dibangkitkan dari Madinah umat yang terhormat pada hari kiamat dan para syuhada sekitarnya dalam kalangan mereka yang berperang di peperangan Badar, Uhud dan Khandak. Kemudian Malik membacakan ayat di atas."

“Imam Malik memaksudkan mereka yang disebutkan dalam firman Allah SWT: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah SWT adalah mereka yang tinggal di Madinah dan sekitarnya. Dengan itu, ayat tersebut menerangkan tentang kelebihan mereka dan kelebihan kota Madinah berbanding tempat-tempat lain seperti Mekah dan selainnya. Kelebihan ini khusus kepada Madinah. Madinah mempunyai pelbagai kelebihan yang melebihi tempat-tempat lain."

Semoga kita juga meraih ganjaran pahala tatkala mentaati Allah dan Rasul-Nya.



DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI Utusan Malaysia Bicara_Agama 20140307