March 21st, 2014

Kisah Talut dan Jalut

BERTAHUN-tahun setelah Nabi Musa a.s wafat, Bani Israel mula melupakan ajaran baginda. Mereka pun menjadi bangsa yang lemah dan berpecah-belah. Mereka memerlukan seorang pemimpin yang dapat menyatukan mereka kembali.

Allah SWT mewahyukan kepada Samuel, pemimpin agama Bani Israel, agar melantik seorang pemuda bernama Talut.

Talut memimpin Bani Israel untuk membebaskan dan mengembalikan harga diri mereka daripada tangan musuh.

Beliau (Samuel) menyiapkan pasukannya untuk berperang melawan pasukan Filistin (kini Palestin) yang dipimpin oleh Jalut.

Meskipun menghadapi banyak dugaan, dengan semangat dan pertolongan Allah SWT, pasukan Talut berjaya menumpaskan pasukan Jalut. Walaupun berjumlah kecil, mereka setia bersama Talut bersedia menghadapi Jalut dan pasukannya. Mereka yakin bahawa Allah SWT akan menolong mereka mengalahkan pasukan Jalut.

Kisah Talut dan Jalut ini terdapat di dalam al- Quran, surah al-Baqarah, ayat 246 hingga 252.

Jalut

Ketika Talut diangkat menjadi pemimpin, Bani Israel dijajah oleh bangsa Filistin yang jauh lebih kuat. Pasukan Filistin dipimpin oleh seorang komander yang bertubuh sangat besar bernama Jalut. Jalut dibunuh oleh anak kecil yang kemudian menjadi seorang nabi, iaitu Daud.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka (tentera Talut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah dan (dalam peperangan itu) Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalkan Talut) dan Allah mengajarkan kepadanya apa yang dikehendaki-Nya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain; pasti rosaklah bumi ini. tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam. (al-Baqarah: 251)

Talut

Pelantikan Talut sebagai raja Bani Israel sangat mengejutkan. Ini kerana Talut bukan berasal daripada keluarga bangsawan. Maka Bani Israel pun menolaknya. Namun, Samuel menjelaskan bahawa Talut adalah orang yang paling tepat. Allah SWT telah memilihnya, menganugerahkan kepadanya keluasan dan kematangan ilmu serta tubuh yang kuat.

Perang Israel - Palestin

Talut menyeru Bani Israel memerangi musuh mereka yang kafir. Beliau dan pasukannya pergi ke medan perang. Apabila melihat pasukan Jalut yang lebih besar jumlahnya, beberapa orang daripada pasukan Talut berasa takut dan mengundurkan diri.

Jumlah pasukan Talut pun semakin sedikit. Maka Talut berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud: Ya Tuhan kami, curahkanlah kesabaran atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir. (al-Baqarah: 250).

Allah SWT memenuhi permohonan Talut. Pasukannya berjaya mengalahkan pasukan Jalut.

Air sungai

Ketika berangkat ke medan perang, Talut berkata kepada anggota pasukan tenteranya, Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai. Maka sesiapa antara kamu meminum airnya, dia meminumnya, kecuali dengan seceduk tangan. Maka dia adalah pengikutku…. (al-Baqarah: 249)

Ketika sampai di sungai, sebahagian besar pasukannya membangkang. Hanya sebahagian kecil yang taat kepada Talut.

Tabut

Sesudah Nabi Musa a.s wafat, Bani Israel berpecah-belah dan sangat lemah. Tabut, peti daripada Allah SWT yang berisi kitab Taurat dan sepatutnya dijaga mereka, telah hilang. Tetapi, semasa pelantikan Talut, Tabut itu kembali ke tangan Bani Israel.

Ketika itu Samuel mengatakan bahawa pelantikan Talut oleh Allah SWT untuk memimpin Bani Israel ditandai dengan kembalinya Tabut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka: Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan daripada tuhanmu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman. (al-Baqarah: 248).

Setelah mendapatkan Tabut kembali, barulah Bani Israel percaya akan perkataan Samuel dan bersetuju dengan pelantikan Talut.

Disediakan oleh Bahagian Analisa dan Penyelidikan, Yayasan Dakwah islamiah Malaysia Utusan Bicara_Agama 20140318

Persis Nabi Muhammad SAW

ABDULLAH bin Mas’ud termasuk seorang sahabat yang mula-mula sekali masuk Islam. Sejak di Mekah, beliau yang dikenali sebagai Ibnu Mas'ud sangat tekun berkhidmat kepada Rasulullah SAW. Ke mana Nabi Muhammad SAW pergi, Ibnu Mas’ud selalu bersama untuk melayani keperluan baginda SAW.

Beliau menyiapkan selipar Rasulullah SAW apabila hendak dipakai dan menyimpan selipar itu apabila baginda tidak memakainya.

Dek Kerana kerapatannya dengan Rasulullah SAW, Ibnu Mas’ud diiktiraf sebagai tokoh sahabat yang sangat faham tentang Islam. Huzaifah pernah ditanya: "Siapakah sahabat Nabi yang paling mirip akhlak dan sifatnya dengan Rasulullah?" Beliau menjawab: "Ibnu Mas’ud."

Suatu hari Ibnu Mas'ud menziarahi kematian seorang kenalannya. Dalam majlis kesedihan itu, beliau melihat seseorang sedang ketawa.

Ibnu Mas’ ud menjadi sangat marah dan berkata: "Engkau tertawa padahal tengah menghadiri jenazah? Aku tidak akan berbicara denganmu selama-lamanya!" (kitab al-Zuhd Imam Ahmad)

Tunjukkan simpati

Hidup ini tidak selamanya indah. Terkadang kita bergembira, terkadang kita bersedih. Ada saatnya kita tertawa, ada saatnya kita menangis. Dinamika kehidupan ini berlaku pada diri kita, juga berlaku pada orang lain.

Adab seorang Muslim apabila tertimpa musibah ialah bersabar. Adabnya apabila melihat orang lain tertimpa musibah ialah bersimpati dan mendoakan.

Pada saat-saat susah, perasaan orang yang ditimpa musibah sangat sensitif. Justeru, fahami kesedihan hatinya dan pilihlah kata-kata yang terbaik untuk diucapkan.

Bayangkan jika musibah itu menimpa diri kita, agak-agaknya ucapan apa yang ingin kita dengarkan pada saat itu?

Bergurau tentu tidak patut dilakukan pada saat dan situasi seperti itu. Apa lagi mempersendakan penderitaan tersebut dengan pelbagai anekdot yang mengundang gelak ketawa.

Sikap itu menjadi cerminan hati yang keras membatu, hati yang tidak sensitif dengan penderitaan orang lain.

Justeru, Ibnu Mas’ ud sangat marah kepada pelaku perbuatan itu. Beliau bersumpah tidak akan berbicara lagi dengan orang yang melakukan perbuatan tersebut sebagai pelajaran baginya untuk tidak mengulangi sikap yang buruk itu.

Kepada bukan Muslim

Sikap simpati kepada pihak yang tengah bersedih bukan hanya perlu ditunjukkan kepada sesama Muslim. Bukan akhlak Muslim mempersendakan orang yang tengah ditimpa kesusahan, walaupun ia bukan Islam. Sebagai perwujudan akhlak mulia, kita sekurangnya wajib menunjukkan sikap bersimpati dengan kesusahan yang sedang menimpanya.

Apabila Sahl bin Hunaif dan Qais bin Saad berada di Qadisiyyah, mereka melihat sekumpulan orang tengah menanggung jenazah. Kedua-dua sahabat Nabi SAW ini bangkit berdiri.

Apabila diberitahu bahawa jenazah tersebut ialah jenazah Yahudi, keduanya berkata: "Sebuah jenazah pernah berlalu di hadapan Nabi SAW lalu baginda berdiri. Apabila diberitahu bahawa jenazah itu Yahudi, baginda bersabda: Bukankah ia nyawa manusia juga? (riwayat al-Bukhari)

Semoga kita mendapat kekuatan untuk mengamalkan adab yang sangat tinggi ini.



Utusan Bicara_Agama 20140318

Manusia sedang diuji

PADA 8 Mac lalu, ketenangan dan kedamaian rakyat Malaysia dikejutkan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Kejadian ini benar-benar menyentap perasaan rakyat Malaysia, khususnya ahli keluarga penumpang dan warga Penerbangan Malaysia (MAS).

Selama 37 tahun, selepas peristiwa di Tanjung Kupang pada 1977, MAS tidak pernah lagi melalui saat seperti ini. Keselamatan, keselesaan dan keyakinan kepada MAS tidak pernah tergugat dan rakyat begitu bangga dengan perkembangan yang berlaku dalam MAS, terutama penggunaan pesawat yang canggih daripada segi sains dan teknologinya.

Begitu pun, terdapat banyak suara-suara perbualan, sama ada di pejabat, bilik kopi dan laman media sosial yang melukakan dan mengguris hati mereka yang terlibat, terutama ahli keluarga mangsa. Ternyata ramai yang tidak dapat menyingkap tabir hikmah di sebalik peristiwa, hatta orang-orang yang berpendidikan agama turut menyebarkan berita, pandangan, ulasan, spekulasi yang tidak pasti kebenarannya.

Malahan paling mengguris hati ialah, apabila mengaitkannya dengan musibah, balasan Allah dan dosa. Betapa manusia hari ini, berada dalam kegelapan mata hati dan akal yang tidak dapat menyingkap hikmah di sebalik peristiwa. Sebaliknya, lebih bersifat untuk menghukum, berburuk sangka dan mengintai-ngintai kelemahan orang lain.

Sedangkan dalam surah al-Hujurat ayat 11, jelas menyatakan bahawa sifat tersebut adalah sifat orang fasik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) kemungkinan puak lelaki yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan) tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, (maka) amatlah buruk gelaran nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. (Ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya), maka merekalah orang yang zalim.


BERSERAH hanya kepada Allah SWT. - Gambar hiasan
Ujian

Menerusi peristiwa ini, sebenarnya manusia sedang diuji tahap keimanan, kesabaran dan keikhlasan. Ujian ini bukan sahaja kepada keluarga, rakan dan warga MAS serta pemimpin, tetapi seluruh manusia terutama kepada individu yang selama ini mendakwa diri mereka adalah paling beriman, berpengetatahuan agama, kuat ibadatnya dan teguh keyakinannya kepada konsep qada’, qadar dan takdir.

Namun, apabila merujuk kepada tingkah laku, tulisan, ulasan dan pandangan yang tersebar dalam media sosial, ternyata betapa ramai manusia yang kecundang dalam ujian ini tanpa mereka menyedarinya. Kepercayaan kepada konsep qada’ dan qadar hanya terlekat di mulut dan ucapan, tetapi tidak tersemat di hati dan di jiwa.

Nyatalah firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 77 yang bermaksud: Akibatnya Allah menimpakan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janijkan kepada Allah dan juga mereka sentiasa berdusta.

Oleh itu, setiap ujian dan peristiwa yang dilalui, hendaklah menerimanya dengan penuh keinsafan, kesabaran, keimanan dan taqarrub kepada Allah SWT. Bukan dengan cara menghina, mengejek-ejek orang lain dan merasakan diri kita adalah baik di sisi Allah SWT sehingga kita tidak diuji seperti itu. Ungkapan seorang penyair Arab yang bermaksud:

Jika batin dan lahir seseorang mukmin itu sama

Hidupnya mulia dunia akhirat menerima sanjungan dan puja

Kalau yang lahir dengan yang batin pula berbeza

Tiadalah sanjungan, malah hidup payah penuh sengsara

Keihklasan hati dan doa yang dimakbulkan

Senjata ampuh

Dalam melalui saat-saat getir ini tiada senjata yang paling ampuh untuk merawat jiwa yang gelisah dan gusar selain daripada pergantungan kita kepada Allah SWT. Pergantungan dan pengharapan dimanifestasikan dalam bentuk doa, solat dan taqarrub kepada-Nya.

Ternyata hikmah ini terserlah apabila seluruh rakyat Malaysia yang Muslim mengadakan solat hajat dan berdoa agar MH370 ditemui dalam keadaan selamat. Keutamaan berdoa ini disebut oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yan berdoa kepada-Ku.Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa dalam kebenaran.

PROF.MADYA DR. FARIZA MD. SHAM ialah Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Utusan Bicara Agama 20140319

Fenomena traumatik

MASIH terdengar suara Aleesya bermain di halaman rumah bergelak ketawa bersama dua abangnya. Aleesya adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga Azmin dan Raihana. Itulah intan, itulah permata. Bahkan dialah juga ‘bunga’ yang menjadi penyeri serta pelengkap keluarga setelah lima tahun menanti kehadirannya.

Aleesya sememangnya rapat dengan abang-abangnya. Ke mana sahaja mereka bermain, mahu sahaja dia mengikutinya sekalipun dilarang. Mahu tak mahu, abang-abangnya terpaksa mengalah biarpun dalam kelompok tersebut, Aleesya sahaja perempuan.

Namun Aqil dan Afiq sentiasa memerhati gerak laku adiknya itu. Pantang Aleesya bergerak jauh sedikit, pasti jeritan nama Aleesya kedengaran. Di mana sahaja ada Aqil dan Afiq, di situ juga ada kelibat Aleeysa, sekali gus menjadikan anak bongsu itu cukup dikenali dalam kalangan teman-teman abang-abangnya.

Hal ini secara tidak langsung, tidak membimbangkan Azmin dan Raihana. Mereka tahu, Aqil dan Afiq tidak akan membiarkan dan setiasa menjaga adiknya. Sehinggalah pada suatu hari, sesuatu yang tidak diundang berlaku dalam keluarga tersebut.


SETIAP yang berlaku itu adalah ketentuan Allah SWT. - Gambar hiasan
"Ibu, Aleesya!," suara Aqil yang memanggil Raihana cukup cemas. Dalam keadaan tercungap-cungap, Aqil terus bersuara,: Cepat Ibu! Aleesya dilanggar."

Kata-kata Aqil itu membuatkan Raihana hampir pengsan. Debaran jantungnya berdegup laju. Fikiran Raihana bercelaru.

"Macam mana boleh terjadi?" Ungkap Raihana dalam keadaan yang tidak keruan.

"Cepat Ibu. Tolong Aleesya," kata Aqil sambil menarik tangan ibunya ke tempat kejadian. Nun dari jauh, kelihatan Afiq menangis teresak-esak di sebelah tubuh kaku yang masih terperosok di bawah kereta. Tangan Aleesya yang layu terkulai diusap-usap Afiq sambil tidak putus-putus memanggil nama adiknya. Orang ramai mula berkerumun. Darah mengalir begitu banyak.

Masih terdengar cungapan nafas Aleesya yang tidak bermaya. Di mulut Aleesya hanya kedengaran suaranya memanggil: "Ibu, ibu. Sakit ibu!". Raihana tidak mampu menahan sedih. Anaknya dirangkul sambil meraung meminta pertolongan agar orang ramai menghubungi ambulan. Wajah Aleesya yang pucat lesi itu dicium beberapa kali. Sesuatu yang cukup takut untuk dihadapi Raihana: "Aleesya, tolong jangan tinggalkan ibu."

Ambulans sampai dan Aleesya terus diangkat masuk ke dalam perut van. Rawatan kecemasan diberikan. Kepala Aleesya dibalut. Namun darah merah itu terus mengalir tanpa henti.

"Ya, Allah selamatkan anakku," itu doa Raihana. Itu sahaja yang mampu dilakukan. Kepada Aqil dan Afiq, disuruh agar menelefon ayah mereka di pejabat. Dia akan menanti mereka di hospital.

Sesampai di hospital, Raihana duduk seorang diri sambil menekup mukanya dan terus menangis. Azmin, Aqil dan Afiq yang bergegas ke hospital terus mendapatkan Raihana untuk bertanyakan keadaan Aleesya. Tiada suara. Hanya kedengaran esakan dan tangisan. Raihana terus memeluk Azmin, Aqil dan Afiq sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Azmin terpempan. Dia tidak percaya, bahkan tidak mahu mempercayainya. "Aleesya dah tak ada," suara lemah Raihana membuatkan Aqil dan Afiq terus meraung kesedihan.

Ternyata sejak peristiwa itu, Raihana sering termenung. Begitu juga Aqil dan Afiq yang merasakan diri mereka bersalah hingga menyebabkan adiknya dilanggar kereta. Semuanya itu berlaku sekelip mata!



Utusan Bicara Agama 20140319

Daripada maksiat kepada ketaatan

SETIAP insan baik seorang agamawan, tokoh masyarakat, bangsawan, ahli korporat atau masyarakat awam tentu tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Hanya Rasulullah SAW yang maksum iaitu bebas dari melakukan sebarang dosa.

Dunia ini menjadi tempat buat kita semua untuk diuji keimanan dan ketaatan kita kepada Allah SWT. Di dalam ujian itu, sudah tentu ada yang rebah dan leka, terlupa pada tujuan dan matlamat asal diciptakannya ke dunia.

Begitu pun, Allah SWT tidak pernah mengabaikan hamba-hambanya yang tersasar dari jalan yang lurus. Sentiasa ada waktu dan kesempatan yang diberikan buat hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada petunjuk-Nya. Peluang itu dinamakan sebagai taubat.

Itulah seluas-luas pintu keampunan yang diberikan kepada Allah buat seluruh hamba-Nya. Menurut Ibnu Manzur, taubat bermaksud kembali daripada maksiat kepada ketaatan.

Taubat paling sempurna ialah taubat nasuha. Ia adalah taubat yang sebenar-benarnya sebagaimana firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. (al-Tahrim: 8). Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini di dalam tafsirnya menyebutkan: "Maksud ayat ini ialah taubat yang sebenar dengan penuh tekad, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah dilakukan sebelumnya dan menahan diri daripada melakukan pelbagai perbuatan yang keji." (Tafsir Ibnu Kathir 8/168)

Imam An-Nawawi dalam kitabnya Riadh As-Solihin menyebutkan bahawa taubat daripada dosa-dosa wajib dilakukan. Dosa pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu dosa terhadap Allah dan dosa terhadap sesama manusia.

Antara syarat taubat daripada dosa terhadap Allah ialah dengan cara berhenti melakukan dosa tersebut, menyesali perbuatan dosa tersebut dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

Sementara jika dosa terhadap manusia, maka ia perlu ditambah dengan menyelesaikan terhadap orang yang berkaitan dengan dosanya. Jika barang dicuri hendaklah dipulangkan, jika mencaci-maki haruslah meminta maaf dan begitulah seterusnya.

Kita semua tidak terlepas daripada melakukan salah dan dosa. Maka disebabkan itu seharusnya kita sentiasa muhasabah diri, dan memohon ampun kepada Allah SWT sebanyak yang mungkin.

Sikap melengah-lengahkan taubat dan memohon ampun kepada-Nya hanya akan membuatkan kita terus lalai dibuai dosa. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu bila kematian akan menjemputnya. Rasulullah SAW yang bebas daripada dosa turut meminta ampun kepada Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (meminta ampun) dan bertaubat kepada-Nya lebih daripada 70 kali setiap hari. Dalam riwayat lain disebutkan sebanyak 100 kali. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR Utusan Bicara Agama 20140319

Misteri Menara Chimney

Melihat pembangunan Labuan hari ini sebagai hab gas dan minyak pasti ramai yang tidak menyangka, bahawa sejarah awal industri di wilayah ini bermula dengan perlombongan arang batu.

Di Tanjung Kubong, kira-kira 12 kilometer di utara bandar Labuan, pernah menjadi pusat simpanan arang batu yang sangat besar sehingga syarikat Inggeris datang untuk mengeksploitasi hasil bumi ini selama 65 tahun bermula 1847 sehingga 1911.

Walaupun kegiatan perlombongan itu telah lama berlalu namun kesan peninggalannya tetap terhimpun dalam Muzium Chimney yang dibina di atas tapak bekas lombong itu. Di tapak itu turut terdapat Menara Chimney yang dibina syarikat Inggeris sekitar tahun 1880an yang tujuan serta peranan menara itu masih menjadi misteri yang belum terungkai.

Menara Chimney

Langit yang membiru mengiringi perjalanan ketika lawatan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mendekati sejarah Labuan dan Tanjung Kubong baru-baru ini.

Sebaik kenderaan berhenti di hadapan muzium, pandangan terlontar ke monumen menara setinggi 32.5 meter yang terletak di kawasan berbukit di sebelah kanan muzium.

Berbentuk segi empat, batu-bata merah yang membentuk menara itu mencuri tumpuan siapa sahaja yang datang ke sini.


Bahagian dalam menara chimney.

Tidak hairanlah Muzium Chimney, yang turut menempatkan menara itu, menjadi lokasi wajib bagi mereka yang berkunjung ke pulau bebas cukai ini.

Dikenali sebagai “Punil" oleh masyarakat tempatan, menara chimney menjadi mercu tanda bersejarah Labuan yang dibina menggunakan 23,000 batu-bata merah dengan reka bentuk Inggeris.

Walaupun tarikh pembinaannya belum dapat dikesan namun kajian ahli sejarah percaya ia dibina sekitar tahun 1880an.

Kerja-kerja penggalian arkeologi yang dijalankan pada tahun 1997 menemukan sebanyak 12 lapisan batu-bata di bawah permukaan menara ini.

Struktur ini terletak di satu kawasan batu kapur yang mengandungi kaolin atau lempung tembikar, yang menyediakan asas kukuh di menara berkenaan.

Di dalamnya terdapat lubang serta dua pintu berbentuk melengkung atau gerbang setinggi 2.2 meter yang menghadap ke barat dan selatan.

Menariknya, sehingga kini masih belum ditemui jawapan tujuan sebenar pembinaan menara berkenaan hingga ada yang membuat pelbagai andaian. Antara andaian itu, ia sebagai tempat pengalihan udara untuk terowong bawah tanah namun kerja-kerja ekskavasi pada 1997 tidak menemui sebarang struktur terowong di bawahnya.

Ada juga yang menganggap ia mungkin sebuah cerombong atau serombong asap seperti namanya namun ia masih boleh dipertikaikan kerana tidak dijumpai sebarang kesan pembakaran di dinding sebelah dalam.

Sebahagiannya pula menyatakan ia adalah rumah api berdasarkan kedudukannya di tanah tinggi dan pernah terdapat sebuah pelabuhan di kawasan Lubuk Temiang dekat situ suatu ketika dahulu.

Penduduk tempatan pula pernah menyebut bahawa ia sebagai sebuah menara loceng yang berfungsi memaklumkan ketibaan kapal.

Mercu tanda

Namun andaian chimney sebagai sebuah mercu tanda lebih mudah diterima kerana berdasarkan kedudukan persekitarannya yang berdekatan dengan pusat perlombongan dan pengumpulan arang batu di Tanjung Kubong.

Arang batu yang dihasilkan di lombong itu dibawa ke pelabuhan bandar Victoria di pulau itu.

Memasuki Muzium Chimney, pengunjung akan melalui satu pengalaman berbeza apabila segala maklumat mengenai kegiatan perlombongan arang batu dipamer dalam terowong kecil yang dibina khas di dalam muzium itu.

Ia bagi memudahkan pengunjung menghayati kronologi perkembangan aktiviti industri berkenaan.

Ketika zaman kegemilangan industri itu, terdapat kira-kira tujuh terowong perlombongan arang batu di sekitar Tanjung Kubong yang dibina sama ada berasingan dan berhubung antara satu sama lain.

Pembinaan laluan kereta api sejauh kira-kira 15 kilometer sekitar 1890 oleh syarikat New Central Borneo dari Tanjung Kubong hingga ke Pelabuhan Victoria juga berkait rapat dengan aktiviti perlombongan.

Ia bagi memudahkan kegiatan pengangkutan dari kawasan perlombongan ke pusat pengumpulan atau ke pelabuhan.

Tinggalan struktur kereta api itu yang ditemui hasil kerja-kerja konservasi dan ekskavasi turut dipamerkan di muzium yang dibuka secara rasmi sejak tahun 2002 itu.

Selain itu, sebanyak 612 artifak yang ditemui turut dipamerkan antaranya batu-bata asal chimney, peralatan perlombongan arang batu, barang tinggalan para pelombong serta pecahan seramik.

Warisan geologi

Setelah puas menyelami sejarah, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah di pantai Tanjung Kubong, yang terletak kira-kira 500 meter dari Muzium Chimney.

Berjalan melalui denai dan sedikit laluan berbukit selama kira-kira 10 minit tidak terasa tatkala melihat keindahan laut yang terbentang luas dan membiru di hadapan mata. Walaupun bukan lokasi pelancongan namun pantai Tanjung Kubong sering menjadi pilihan terutama penduduk setempat untuk melakukan aktiviti memancing.

Ketika menyusuri pantai, akan terlihat batuan yang membentuk gerbang laut, gua laut dan tebing curam di sepanjang pantai yang cukup unik menjadikan ia tapak warisan geologi yang amat bernilai dari segi saintifik, estetik dan sesuai untuk rekreasi.

Hasil perut bumi seperti arang batu yang pernah dilombong secara aktif satu ketika dahulu, kekayaan hasil minyak dan gas asli di sini sudah cukup memperlihatkan hasil geologi lampau yang wujud sejak berjuta tahun lepas. Jadi, tidak benarlah jika ada yang beranggapan tiada apa yang menarik di pulau kecil seperti Labuan ini.

Setelah meneroka peninggalan sejarah, keindahan alam serta keunikan hasil buminya, bagaikan ada yang meruntun hati untuk kembali semula ke sini. - BERNAMA Utusan Bicara Agama 20140320

Ibrah MH370

ALLAH SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa, menurunkan al-Quran sebagai petunjuk kehidupan manusia. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan baginda berperanan menjelaskan petunjuk yang terkandung dalam al-Quran. Manusia yang hidup berpandukan al-Quran dan as-sunnah Nabi Muhammad SAW adalah manusia yang berjaya mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. (rujuk al-Isra': 97)

Seluruh rakyat Malaysia sedang diuji oleh Allah SWT berkenaan isu kehilangan pesawat MH370. Pelbagai usaha dilakukan dan pelbagai berita disampaikan. Walau apapun tindakan yang dilakukan, al-Quran dan as-sunnah wajib menjadi panduan. Qabisah bin al-Mukhariq melaporkan, Rasulullah SAW bersabda: “Al-Quran itu memberi syafaat di hari akhirat kelak dan sumber kesuburan hati yang diakui. Sesiapa yang menjadikannya di hadapannya (mengikuti petunjuknya), maka al-Quran itu akan memandunya ke syurga. Sesiapa yang menjadikannya di belakangnya (mengingkari petunjuknya), maka al-Quran itu akan menghumbannya ke neraka." (riwayat Ibnu Hibban)

Dalam kerancakan masyarakat membicarakan isu MH370, terdapat panduan al-Quran yang diabaikan oleh kita sebagai umat Islam, iaitu dalam menerima, menilai dan mengesahkan sesuatu maklumat sebelum disebarkan. (rujuk al-Hujurat: 6)

Allah SWT mengarahkan kepada orang yang beriman, apabila mendapat sesuatu berita, maka hendaklah disiasat terlebih dahulu kebenarannya sebelum sebarang tindakan diambil. Ini bagi mengelakkan tindakan tersebut dibuat atas asas yang tidak betul, sehingga melahirkan akibat yang buruk. Umat Islam tidak selayaknya menjadi golongan penyebar berita palsu atau berita yang masih diragui kesahihannya, kerana ia hanya akan mengundang bencana dalam masyarakat.

Spekulasi

Terdapat pelbagai spekulasi diberikan tentang kehilangan MH370. Ada yang menjangkakan ia telah meletup, ada yang mengatakan ia terjunam jatuh ke dalam laut, ada yang beranggapan ia dirampas dan disembunyikan dan pelbagai spekulasi diberikan. Kehadiran pelbagai media menjadikan isu ini menjadi semakin kompleks.

Setiap media memaparkan pelbagai spekulasi, sehingga menjadikan masyarakat semakin bingung. Persoalan yang timbul, kenapa masyarakat kita dihidangkan dengan pelbagai berita yang masih belum disahkan kesahihannya. Banyak masa dihabiskan membicarakan pelbagai spekulasi. Apa manfaat spekulasi ini kepada ahli keluarga mangsa dan masyarakat umum?

Nabi Muhammad SAW telah memberikan panduan, umat Islam seharusnya hanya melakukan perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi perkara yang sia-sia. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding seorang mukmin yang lemah. Pada setiap kebaikan maka lakukanlah apa-apa yang mendatangkan manfaat untuk kamu. Mintalah bantuan daripada Allah dan jangan sekali-kali kamu merasa lemah dan berputus asa. Jika kamu ditimpa dengan satu musibah, maka janganlah kamu berkata, Jika aku lakukan begini, maka sudah tentu kesannya begitu dan begini. Tetapi katakanlah, Segala-galanya telah ditentukan oleh Allah. Dia hanya lakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya ungkapan ‘kalau’ hanya akan membuka pintu gangguan syaitan. (riwayat Muslim)

Dosa besar

Allah SWT memberi amaran agar jangan membuat sebarangan ulasan, mungkin kita menyangka isu yang diulas adalah perkara biasa atau remeh tapi dosanya sangat besar di sisi Allah SWT. (rujuk al-Nur: 15)

Ulasan terhadap isu MH370 yang tidak bersandarkan data dan maklumat yang sahih hanya akan mengundang perbalahan antara anggota masyarakat. Satu pihak menuding jari kepada pihak lain, kononnya menyembunyikan fakta sebenar, pihak yang lain pula melaga-lagakan sesama umat Islam dengan mengemukakan spekulasi berdasarkan logik akal semata-mata, ada pula yang menganalisa isu ini dengan kaca mata kepentingan politik.

Yang lebih teruk, apabila ada orang Islam yang cuba melakukan spekulasi terhadap perbuatan Allah SWT, dengan mengemukakan analisa liar yang menghubungkan isu MH370 sebagai hukuman Allah kepada seseorang atau sesuatu isu yang sedang berlaku di Malaysia, seolah-olahnya penganalisis itu menjadi juru bicara Allah menyampaikan apa yang termaktub dalam Luh Mahfuz.

Umat Islam hendaklah menjaga lidah daripada menjadi penyebar fitnah atau pembawa berita palsu, kerana semua perbuatan dan perkataan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat. (rujuk al-Isra': 36)

Pencarian pesawat MH370 dan para penumpangnya masih belum mendapat kata pemutus. Bagaimanakah keadaan mereka, adakah masih selamat? Persoalan demi persoalan timbul, pelbagai usaha telah dilakukan. Namun, jawapannya masih kabur.

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan dalam bukunya, Jami’ al-’ulum wa al-hikam: “Antara rahsia yang terkandung dalam setiap penderitaan itu ada kebahagiaan, setiap kesulitan ada kemudahan iaitu jika penderitaan yang ditanggung semakin menyakitkan, seseorang hamba Allah mula berputus asa daripada bergantung kepada makhluk, lantas hatinya hanya mengharap kepada Allah semata-mata, maka itulah hakikat tawakal kepada Allah. Tawakal itulah yang dituntut bagi setiap penyelesaian masalah.



DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN Utusan Bicara Agama 20140320

Kelainan seni bina masjid di AS

APABILA agama Islam tersebar di luar Tanah Arab mulai abad ke-7, ia turut membawa bersamanya satu garis panduan baharu dalam pembinaan masjid atau premis untuk tujuan penyebaran agama Islam.

Pembinaan masjid baharu itu, walaupun mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh agama tetapi seni binanya banyak dipengaruhi oleh norma-norma estetik tertentu yang mengambil kira keadaan iklim, bekalan bahan binaan, teknik binaan dan cita rasa masyarakat setempat.

Tidak hairanlah, ada sesetengah masjid memerlukan halaman terbuka dan tidak kurang juga yang berkehendakkan sebuah dewan berbentuk kubah yang tertutup.

Malahan, ada juga struktur binaan masjid yang diukir dengan batu, batu-bata atau plaster sehingga meninggalkan kesan ukiran yang cantik.

Begitulah juga dengan kewujudan masjid-masjid di Amerika Syarikat (AS). Sepanjang dua abad yang lalu, pembinaan masjid banyak dipengaruhi oleh nilai estetika yang berasaskan tempat asal pendatang Muslim.

Pada asasnya, tujuan awal tempat ibadat Muslim dibina di AS adalah sebagai satu cerminan terhadap perjuangan hamba Muslim terbabit dalam mendapatkan kebebasan.

Ini adalah berasaskan kepada hasil penyelidikan oleh Pentadbiran Progres Pekerja pada 1940-an. Laporan oleh Malcolm Bell menyatakan bahawa pekerja mengambarkan bagaimana usaha berterusan ibu bapa mereka membina sebuah tempat berkumpul (musollah) walaupun ia sering menjadi sasaran tuan (majikan) mereka.

Terawal


Gambar Ehsan Muzium Kesenian Islam Malaysia

Antara masjid yang paling awal wujud di AS adalah masjid Biddeford yang dibina oleh masyarakat Albania pada 1915. Sama juga pada 1926, sekumpulan bangsa Tatar dari Poland membina sebuah masjid di Brooklynn, New York.

Pendatang Muslim (bangsa Tatar) itu telah membeli sebuah gereja di New England yang bakal dirobohkan dan mereka menukarkannya kepada masjid pada 1931.

Pada peringkat awal, masjid dibina dengan mempunyai sebuah ruang bawah tanah yang digunakan sebagai tempat perlindungan pada musim sejuk tetapi hari ini, masjid itu dibina dengan mempunyai kubah pusat dan empat menara di setiap sudut bangunan masjid.

Menurut statistik oleh Majlis Perhubungan American-Islam di Washington DC (2001), jumlah masjid telah dibina sebelum tahun 1950-an adalah sekitar dua peratus sebelum mula meningkat dengan mendadak selepas tahun 1970-an dan hari ini, hampir setiap bandar utama di AS mempunyai masjid.

Statistik itu menunjukkan bahawa 55 peratus daripada masjid-masjid di AS itu adalah dibeli dan sudah pasti seni binanya tidak mengikut keutamaan yang digariskan dalam agama Islam.

Bagi masjid yang dibina adalah cerminan hasil gabungan beberapa latar belakang masyarakat, budaya atau etnik pendatang Muslim di daerah itu. Contohnya bangunan Pusat Islam di Washington DC yang diilhamkan daripada seni bina kaum Mamluk di Mesir dan masjid itu telah dirasmikan oleh Presiden Dwight D. Eisenhower pada 28 Jun 1957.

Selain itu, masyarakat Islam Amerika dan komuniti diplomatik di Washington telah memainkan peranan penting dalam mendapatkan dana bagi pembiayaan pembinaan masjid.

Generasi kedua

Bagaimanapun, masjid-masjid yang dibina oleh generasi kedua pendatang Muslim telah mengambil kira cita rasa yang lebih segar dengan nilai-nilai kontemporari.

Ia adalah usaha bagi memastikan wujudnya penyesuaian seni bina Islam antara keperluan komuniti Islam Amerika dengan masyarakat yang tinggal di sekitarnya. Contohnya adalah Pusat Kebudayaan Islam (ICC) di Manhattan yang dibina pada 1991.

Walaupun seni bina masjid masih mengekalkan pembinaan menara dan kubah, tetapi dua elemen seni bina tradisional itu tidak pernah menghalang keinginan arkitek generasi kedua pendatang Muslim itu untuk mewujudkan masjid bercirikan abad ke-21.

Sejajar dengan itu, masjid adab ke-21 di AS adalah lebih cenderung bagi mewujudkan satu jenama baru dalam seni bina Islam iaitu daripada nilai tradisional kepada bentuk yang lebih abstark.

Pendekatan baru itu akan mengurniakan kebanggaan dalam menjadi sebahagian daripada suasana kepelbagaian agama di AS berbanding mencipta Islam berasaskan etnik. Ia juga penting sebagai satu usaha mengenegahkan identiti Muslim Amerika Moden.



HASHNAN ABDULLAH Utusan Bicara Agama 20140320

Ajal dalam tidur

SUATU ketika al-Bara’ bin Azib r.a berkata: Bersabda kepadaku Rasulullah SAW yang bermaksud apabila kamu mendatangi tempat tidurmu, maka berwuduklah seperti kamu hendak melakukan solat. Kemudian berbaringlah di atas bahagian tubuh yang kanan. Lalu ucapkanlah: Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku menyerahkan urusanku kepada-Mu, aku menyandarkan punggungku kepada-Mu, kerana senang dan takut. Tidak ada tempat perlindungan dan penyelamat daripada-Mu kecuali kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang telah Engkau turunkan dan nabi yang telah Engkau utuskan. Apabila kamu meninggal dunia, maka kamu meninggal dalam keadaan fitrah dan jadikan lah ia ucapan terakhirmu. (riwayat Bukhari)

Ini suatu amalan yang sungguh mudah dan bermanfaat. Bayangkan dengan membaca doa seperti di atas, maka seseorang jika dalam tidurnya menemui ajal, maka ia akan dinilai Allah SWT sebagai mati dalam keadaan fitrah.

Ini bererti ia mati dalam keadaan dosanya diampunkan Allah SWT, sebagaimana keadaannya ketika ia dilahirkan.

Bersabda Nabi SAW yang bermaksud: Setiap yang lahir dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari)

Ajaran Islam tidak membenarkan konsep ‘dosa warisan’. Islam memandang bahawa bayi yang baharu lahir, siapapun dia, adalah lahir dalam keadaan fitrah, bersih, suci tanpa dosa apa pun. Islam tidak mengakui istilah ‘anak haram’. Kalaupun ada anak yang lahir daripada angkara zina, maka yang berdosa adalah perbuatan kedua-dua ibu bapanya, bukan si bayi.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang ketika meninggal dunia dinilai sebagai meninggal dalam keadaan fitrah. Bererti ia akan menerima ganjaran semata-mata daripada pelbagai perbuatan baik yang telah dikerjakannya di dunia.

Melainkan apabila dia mempunyai kesalahan terhadap sesama manusia. Maka ini tentu bakal diproses oleh Allah SWT dan tentunya Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya.

Islam memandang bahawa pada saat seseorang sedang tidur bererti rohnya berpisah daripada badannya. Ketika ia bangun daripada tidurnya bererti Allah berkenan mengembalikan roh ke dalam jasad orang itu.

Namun jika Allah berkehendak lain, tentu Dia berhak menahan roh orang itu untuk selamanya sehingga tidak kembali ke badannya.

Inilah yang disebut dengan peristiwa kematian. Seorang mukmin yang mengerti dan menyakini konsep ini tentu tidak akan berangkat tidur begitu sahaja tanpa mempersiapkan kemungkinan dirinya tidak akan bangun lagi untuk selamanya, iaitu meninggal dunia atau mati dalam tidurnya.

Kita sering mendengar orang yang mati dalam tidur. Oleh kerana itu, Sayidina Ali bin Abu Talib berkata: “Berapa banyak orang yang menghadapi sehari tidak cukup dan menanti hari esok yang tidak akan muncul."

Firman Allah SWT bermaksud: Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir. (az-Zumar: 42)

Oleh itu, ketika Rasulullah SAW memberitahu kita bagaimana cara terbaik mempersiapkan diri menghadapi kemungkinan ajal menjemput saat sedang tidur, sudah sewajarnya kita patuh menjalankannya dengan penuh rasa bersyukur.

Tidur tidak sekadar merehatkan tubuh badan, otot dan fikiran setelah seharian bekerja. Tidur adalah ibarat kematian atau kebangkitan. Ini tercermin daripada doa yang sering dibaca sebelum tidur dan selepas terjaga daripadanya.

Para solehin selalu mengertikan tidur dengan kematian. Bagi mereka, tidur adalah kematian sesaat. Ini terlihat daripada cara mereka tidur menghadap kiblat, iaitu tidur di atas sisi kanan seperti mayat berbaring di liang lahad dengan bahagian depan badan menghadap kiblat.

Hujjatul Islam, Imam Ghazali dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah menganjurkan seorang mukmin sebelum tidur menuliskan wasiat terlebih dahulu, kerana berkemungkinan rohnya diambil Allah SWT saat sedang tidur.



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Bicara Agama 20140320

Jiran kaki ekor

USTAZ, saya pernah terserempak dengan jiran saya yang sedang membeli nombor ekor. Tambah mengejutkan saya ustaz, dia itu orangnya kaki surau. Perkara ini begitu merungsingkan saya. Perlukah saya menasihati atau menegurnya kerana saya bimbang, sekiranya saya berdiam diri, saya turut tercalit dengan kesalahan dosa?

Jawapan

Nombor ekor termasuk dalam kategori judi. Judi bermaksud pertaruhan di antara untung dan rugi. Setiap insan yang berjudi mengeluarkan wang. Yang menang mendapat wang tersebut, manakala yang kalah tidak mendapat apa-apa. Judi adalah haram hukumnya. Oleh itu, aktiviti nombor ekor juga adalah haram. Ini kerana nombor ekor adalah judi.

Dalam hal ini, menjadi kewajipan bagi Muslim yang melihat sesuatu kemungkaran untuk mengubah kemungkaran tersebut. Ini difahami dalam satu riwayat hadis menyatakan: “Sesiapa yang melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu maka dengan lidahnya. Maka jika tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman."

Justeru, seseorang yang melihat jirannya terlibat dalam aktiviti nombor ekor hendaklah berusaha mengubahnya. Namun, hendaklah kita memikirkan kaedah dan cara yang terbaik dalam mengubahnya. Kadang-kadang ia mengambil masa yang cepat, namun biasanya ia mengambil masa yang panjang.

Proses untuk mengubah itu mungkin dengan nasihat, ajakan ke majlis ilmu, menghadiahkan buku tentang isu judi, menggalakkan amalan solat sunat dan sebagainya.

Satu kemungkinan yang tidak dinafikan ialah pengetahuan yang cetek tentang keharaman judi. Kebanyakan umat Islam tahu tentang keharaman judi namun mungkin tidak tahu bentuk judi dalam zaman moden. Maka mungkin jiran tersebut tidak mengetahuinya.

Oleh itu, sewajarnya berbincang dengan jiran tersebut. Mungkin juga memaklumkan kepada ustaz yang memberi kuliah agama agar menyentuh isu nombor ekor.

Jika tidak mampu juga mengubahnya dengan tangan dan lidah, maka paling kurang hendaklah setiap Muslim mengingkari perbuatan bermain nombor ekor dengan hatinya. Hatinya tidak reda dengan amalan nombor ekor.

Namun jika tidak mampu juga, maka Allah SWT mengetahui nilai amalan seseorang walaupun dengan hati. Maka hatinya tidak reda dengan maksiat nombor ekor maka ia tidak dikira bersubahat dalam dosa tersebut.



Utusan Bicara Agama 20140321

Halangan dalam berzakat

SEMUA orang maklum bahawa zakat adalah sesuatu yang wajib kepada umat Islam, namun apakah ada halangan atau perkara-perkara yang boleh menyebabkan terhalangnya kewajipan zakat kepada seseorang Muslim itu? Harap ustaz bantu jelaskan.

Jawapan

Alhamdulillah, semoga soalan yang saudara bangkitkan ini mampu memberikan jawapan yang mencerahkan pemahaman ramai umat Islam mengenai kewajipan terhadap harta kekayaan yang mereka miliki dan apakah halangan yang tidak menyebabkan mereka berdosa jika tidak menunaikan zakat, insya-Allah.

Sebelum itu, memang tidak dinafikan bahawa penulis sendiri pernah berhadapan dengan insiden seperti ini. Ada orang yang ingin menunaikan zakatnya, namun keinginan mereka itu terhalang atau dihalang oleh beberapa keadaan yang membelenggu diri mereka. Penulis teringat kala membuka kaunter zakat potongan gaji di sebuah kilang, ramai operator kilang berkenaan yang mengisi borang tetapi setelah ditaksir, didapati pendapatan mereka masih di bawah paras layak untuk mengeluarkan zakat.

Maka, penulis terpaksa menerangkan kondisi tersebut, kerana jika diambil juga dalam situasi mereka tidak cukup syarat, maka ia tidak akan menjadi potongan gaji itu ibadah zakat. Namun, apabila mereka masih beria-ia mahu membuat potongan gaji, ia masih boleh diterima dan kala itu, ia sudah berubah menjadi ibadah sedekah yang sunat sahaja hukumnya.

Maka, mari kita telusuri apakah perkara-perkara yang boleh menghalangi seseorang itu daripada melaksanakan kewajipan zakatnya.

Pertama, zakat hartanya boleh terhalang dek kerana hartanya habis digunakan untuk memenuhi keperluan asasi bagi mereka yang menjadi tanggungan wajibnya di sisi syarak. Ini kerana, sudah menjadi kewajipan bagi seseorang itu untuk terlebih dahulu memberikan nafkah kepada tanggungan yang wajib di sisi agama Islam.

Siapakah yang wajib ditanggung itu? Mereka ialah ibu bapa (jika mereka tidak mampu atau tidak mempunyai harta bagi menanggung keperluan sendiri) serta anak dan isteri. Maka, jika seorang suami habis hartanya kerana menanggung anak dan isterinya, ketika itu tidaklah dia berdosa jika dia tidak mengeluarkan zakat.

Mutakhir ini, pihak institusi zakat misalnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mereka cipta kaedah penentuan kelayakan berzakat yang dikenali sebagai Had al-Kifayah (had minimum kecukupan) dan hanya mereka yang pendapatannya melebihi Had al-Kifayah dan melebihi nisab zakat sahaja wajib mengeluarkan zakat pendapatannya.

Kedua, jika harta itu tertahan di pihak yang lain. Misalnya, orang yang hartanya dirampas oleh orang lain (seperti Israel merampas harta umat Islam di Palestin) atau hartanya tertahan kerana sesuatu syarat yang menghalangi dirinya menikmati kekayaannya, misalnya di dalam simpanan KWSP atau LTAT atau di mana-mana institusi yang serupa.

Maka, dalam keadaan berkenaan tidaklah berdosa jika seseorang itu tidak mengeluarkan zakatnya, kerana ketiadaan sempurna milik ke atas harta berkenaan telah menggugurkan salah satu syarat wajib zakat ke atas dirinya.

Memberi hutang

Ketiga, jika dia ada memberikan hutang kepada orang dan orang yang berhutang itu tidak menjelaskan kembali hutangnya kepada orang yang memberi hutang (penghutang). Maka, sebahagian fuqaha menyatakan, hal ini boleh melepaskan si penghutang daripada zakatnya sehinggalah dia memperoleh kembali hutangnya.

Keempat, zakat boleh terhalang apabila harta yang disiapkan untuk dizakatkan tiba-tiba musnah, walaupun saat itu haulnya sudah sangat hampir. Memang ada khilaf di sini, namun penulis sendiri lebih cenderung menyatakan seseorang itu telah terlepas daripada zakatnya, kerana hartanya rosak sebelum sampai masanya ia dizakatkan.

Namun, jika sudah sampai haul dan dia dengan sengaja melewat-lewatkan zakatnya tanpa alasan yang diharuskan syarak sehingga binasa (seperti kecurian), maka tidaklah terlepas kewajipan zakatnya. Maknanya, andai dia masih memiliki harta yang mencukupi jumlah zakatnya seperti mana sebelum ia binasa, wajiblah ia dikeluarkan juga dengan segera.

Contoh, katakan zakat yang binasa itu bernilai RM1,000 dan Si B masih ada harta sebanyak itu, maka dia wajib menyegerakan gantian zakatnya sebanyak RM1,000. Namun jika tidak memiliki harta yang mencukupi, katakan zakatnya yang binasa itu berjumlah RM10,000, maka wajib bagi dirinya mengusahakan sedikit demi sedikit untuk menggantikannya kembali,. Ini kerana, ia adalah kewajipan zakat yang masih tidak terlepas ke atas dirinya.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang kemusykilan zakat sila emelkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau boleh sahaja layari media sosial LZS, www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my atau www.facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS



Utusan Bicara Agama 20140321

Survival keharmonian rumah tangga

ALLAH SWT menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ibarat antara siang dan malam. Justeru, apabila kita memerhatikan ketelitian al-Quran, ia menggabungkan perkataan malam dan siang serta perkataan lelaki dan wanita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), dan siang apabila ia lahir terang-benderang. Demi yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina). Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. (al-Lail: 1-4).

Malam dan siang mempunyai peranan tersendiri seperti malam untuk berehat dan bertenang, manakala siang untuk bekerja dan berusaha mencari kehidupan.

Antara tanda yang menunjukkan adanya hari kebangkitan dan dikumpulkan seluruh manusia di hadapan Allah SWT ialah dengan menjadikan bidadari daripada isteri sendiri untuk menikmati kebahagiaan-Nya. Secara tidak langsung, Dia menanamkan rasa cinta dan kasih sayang bagi membentuk kehidupan keluarga dengan sistem yang baik.

Dalam kehidupan suami isteri, jika ada dua perasaan yang wujud pasti akan mengikat kebahagiaan hidup hingga ke akhirnya. Perasaan itu ialah mawaddah dan rahmah.

Ibnu Abbas r.a memberi pengertian yang indah tentang dua perasaan. Katanya, mawaddah ialah cinta seorang lelaki kepada isterinya dan rahmah ialah perasaan belas kasihan jika pasangannya ditimpa sesuatu musibah.

Jika diteliti antara sebab krisis rumah tangga ialah kerana ketidakfahaman makna daripada falsafah perkahwinan. Justeru, krisis daripada ketidakfahaman ini menyebabkan berlakunya kehancuran rumah tangga selang beberapa tahun perkahwinan dan jika masih dalam ikatan perkahwinan pun, sudah tentu tetapi tidak ada persefahaman dan kerukunan yang sepatutnya dikecapi oleh orang yang mendirikan rumah tangga.

Al-Quran memberi teori Ilahi bahawa mawaddah warahmah ini akan menjadi benteng yang kukuh bagi memastikan kelangsungan dan kkeharmonian rumah tangga.

Firman Allah SWT: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Rum: 21)

Syah Waliyullah Al Dahlawi seorang mujaddid dan ulama besar dari India menyebut tiga pengertian tentang makna bergaul dengan baik iaitu menyediakan makanan dan pakaian serta berinteraksi dengan baik.

Muhammad Abduh menjelaskan antara bentuk interaksi yang baik ialah berbicara dengan baik, mendengar segala keluhan dan masalah isteri, bergurau, memahami perasaan dan mengungkapkan kata-kata romantik.

Perasaan kasih dan belas kasihan adalah sesuatu yang harus dipupuk dari semasa ke semasa. Cabaran hidup rumah tangga memanglah kuat dan hebat. Mungkin pasangan yang di awal perkahwinannya seorang yang kuat kini telah menjadi lemah. Asalnya kaya kini menjadi miskin, dahulunya cantik kini berubah berdasarkan peningkatan usia. Mungkin perasaan cinta itu semakin berkurangan tetapi perasaan belas kasihan itu bertambah.



Utusan Bicara Agama 20140321

Solat itu wajib

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Taha: 132)

Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul! Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan hendaklah kamu juga menjaga solatmu. Sesungguhnya nasihat dengan melakukan perbuatan, lebih berkesan jika dibandingkan dengan perkataan.

Solat merupakan suatu kewajipan dan hendaklah dilaksanakan. Kami tidak membebani dengan harta, tetapi Kami membebanimu dengan sesuatu pekerjaan yang perlu dilakukan dan Kami akan memberikan ganjaran pahala kepadamu. Kami yang memberikan harta, Kami tidak meminta daripadamu dan ganjaran baik diberi kepada orang yang takut melakukan dosa dan bertakwa kepada-Ku. Manakala orang yang tidak takut kepada seksaan-Ku dan tidak mengharapkan pahala tidak akan mendapat ganjaran baik daripada-Ku."

Peri pentingnya solat jelas terbukti melalui kenyataan tokoh dan ulama Islam. Sebagai contoh penulis sengaja menukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji berkenaan hikmah dan rahsia solat.

Solat mempunyai beberapa hikmah dan rahsia yang dapat dirumuskan seperti berikut:

Pertama: Solat menyedarkan manusia akan hakikat dirinya yang sebenar sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Dia sentiasa menyedarinya setiap kali berhadapan dengan masalah hidup dan perhubungan dengan orang lain. Solat yang dilakukan akan mengingatkannya semula bahawa dia adalah hamba-Nya.

Kedua: Solat memantapkan keyakinan manusia bahawa tidak ada pembantu dan pengurnia nikmat sebenar-benarnya selain Allah SWT, meskipun kelihatan di dunia banyak pihak dan sebab yang pada zahirnya membantu dan memberi nikmat. Namun hakikatnya, hanya Allah yang memastikan semua itu untuk kemudahan manusia.

Setiap kali manusia lupa dan hanyut kerana terpesona dengan keduniaan yang zahir, solat akan mengingatkannya bahawa penyebab yang sebenar hanyalah Allah. Dialah pembantu, pengurnia nikmat, yang menjadikan kesusahan, pemberi manfaat, yang menghidupkan dan mematikan.

Ketiga: Dengan bersolat manusia dapat mengambil kesempatan menjadikannya sebagai waktu untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Ini kerana manusia memang sentiasa terdedah kepada banyak maksiat pada setiap waktu, sama ada disedarinya atau tidak.

Justeru, solat yang dilakukan berulang-ulang dari semasa ke semasa akan membersihkannya daripada maksiat dan kesalahan-kesalahan tersebut. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara tersebut di dalam hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya, Nabi SAW bersabda: Solat lima waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan pintu rumah seseorang dalam kalangan kamu yang akan mandi di dalamnya lima kali setiap hari. Kata al-Hasan: “Dan apakah lagi kekotorannya yang tinggal." (riwayat Muslim)

Maksud kekotoran di sini ialah kekotoran maknawi, iaitu dosa-dosa. Maksud ini dijelaskan dalam riwayat Abu Hurairah r.a: Demikianlah umpamanya solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa. (riwayat Muslim)

Keempat: Solat merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidah, walaupun telah lama terterap di dalam hatinya.

Kealpaan yang berterusan kerana menurutkan gelora nafsu dan rakan-rakan, akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering dan menjadi kayu api. Namun, solat yang dilakukan dengan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia.



DR. ZULKIFLI MOHAMAED AL-BAKRI Utusan Bicara Agama 20140321

'Sikap mungkar pisahkan kami'

PRESIDEN Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad, mempunyai sejarah persahabatan yang panjang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Bermula sebagai teman sekampus di Universiti Malaya (UM), sama-sama terlibat dalam pimpinan mahasiswa dan mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Namun seperti ramai teman akrab lain, Ismail juga akhirnya meninggalkan Anwar.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, beliau meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan pemikiran dan sikap keislaman Anwar yang semakin merosot di samping mengupas soal prinsip dan pendekatan politik yang menjarakkan mereka.


Apa yang menyebabkan tuan meninggalkan Anwar Ibrahim?

ISMAIL: Saya berkawan dengan Anwar sejak di Universiti Malaya lagi. Kami sama-sama aktif sebagai pimpinan di dalam persatuan pelajar. Saya di Persatuan Mahasiswa Islam atau PMIUM dan dia di Persatuan Bahasa Melayu atau PBMUM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau PKPIM. PMIUM adalah ahli gabungan PKPIM.



Selepas graduan, kami tidak bekerja dengan kerajaan tetapi membuka sekolah swasta sendiri. Tidak ramai kawan yang ikut bersama.

Maklumlah, gaji jauh lebih rendah daripada orang yang bekerja dengan kerajaan. Oleh kerana kami aktif semasa belajar dahulu dan mempunyai hasrat untuk mendaulatkan Islam di Malaysia, maka kena cari landasan untuk meneruskan hasrat murni tersebut. Jadi kami tubuh persatuan dengan nama Angkatan Belia Islam Malaysia atau ABIM.

Saya salah seorang yang mengasaskan ABIM bersama kawan-kawan lain seperti (Datuk) Kamarudin Md. Nor, (Tan Sri) Sanusi Junid dan lain-lain. Saya ahli ABIM yang ke-11.

Masa di dalam ABIM, hasrat untuk menyuburkan Islam sebagai nizom atau sistem hidup yang lengkap di Malaysia amat tinggi. Apabila dia menyertai UMNO, ramai kawan menaruh harapan tinggi kepadanya semoga cita-cita murni ABIM itu dapat dilaksanakan.

Tetapi mereka kecewa kerana tidak ada agenda keislaman yang konkrit dibuat olehnya, padahal Perdana Menteri pada masa itu mengharapkan dia dapat memberi sumbangan besar kepada perkembangan dan kekuatan Islam.

Banyak orang keliru mengatakan dialah yang menubuhkan Bank Islam dan Universiti Islam atau UIA. Tidak. Bukan idea dia pun. Selepas dipecat daripada UMNO dan kerajaan, perkembangan pemikiran dan sikap keislamannya semakin merosot.

Ini bercanggah dengan prinsip ABIM yang memperjuangkan Islam berlandaskan al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmak.

Sikap melencong dan mungkarnya dalam pegangan beragama yakni Islam ternyata jelas dalam ucapannya di London School of Economics atau LSE, Universiti London pada 18 Mac 2010 yang bertajuk: Religion and Pluralism In A Divided World. Kertas ucapannya itu kami bincang di dalam usrah Muafakat.

Kemudian Anwar memanggil kami. Perjumpaan berlaku pada 2 Januari 2011 lepas solat Isyak di rumah Presiden Muafakat pada masa itu. Dalam perjumpaan tersebut dia mengaku menulis ucapannya itu dengan "sedikit longgar" dan bersetuju menyunting bahagian yang "sedikit longgar" itu bersama saya dan Prof. Osman Bakar.

Tetapi hingga sekarang janjinya itu tidak ditunaikan, malah semakin menjadi-jadi dan bertambah dahsyat pegangan liberalisme dan pluralisme agamanya itu.

Dalam ucapannya di LSE itu, antara lain dia menolak sifat eksklusif agama Islam sebagai satu-satunya agama yang benar di sisi Allah dan Rasul-Nya. Dia beranggapan semua agama sama benar belaka dan melarang orang Islam berkata agama lain sebagai salah.

Pegangan beliau ini bercanggah sama sekali dengan ajaran dan doktrin akidah dan syariah Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Pegangan seperti itu disebut dalam pemikiran dan falsafah pasca modenisme sebagai liberalisme dan pluralisme agama.

Justeru saya mengambil pendirian menyanggah dan apabila dia masih tegar dengan pendirian liberalisme dan pluralisme agamanya, saya terus meninggalkannya. Agama Islam menolak fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang diusung olehnya. Hal ini amat prinsipal dan fundamental kerana ayat al-Quran yang terakhir menyatakan kesempurnaan agama Islam sebagai satu-satunya agama yang diterima dan diredai oleh Allah SWT.

Semasa Anwar dipenjara dulu, tuan masih rapat dengannya dan banyak memberikan sokongan moral. Apa pula pandangan tuan apabila Anwar dijatuhkan hukuman sekali lagi oleh mahkamah?

Ya, saya ialah salah seorang rakan Anwar yang kuat mempertahankannya.

Oleh kerana sokongan kuat dan padu saya kepadanya, saya telah diminta olehnya supaya memanggil kawan-kawan berbincang untuk menubuhkan sebuah parti politik. Saya memanggil perjumpaan dengan kawan-kawan dan mempengerusikan perjumpaan tersebut, tetapi saya dan seorang sahabat lain tidak bersetuju dengan penubuhan parti politik baharu.

Saya juga sampaikan rasa tidak bersetuju itu kepada Dr. Wan Azizah. Saya mencadangkan supaya masuk Pas.

Semasa Anwar di Munich atas urusan 'perubatan', saya berkesempatan bercakap melalui telefon dengannya dan saya nyatakan bahawa Allah tolong sekali sahaja.

Pernah seorang pemimpin tinggi ABIM datang berjumpa saya menyatakan yang dia percaya kes liwat 1 itu. Pada masa itu saya orang paling kuat tidak percaya.

Mengenai sabit tuduhan liwat ke atas Anwar baru-baru ini oleh Mahkamah Rayuan, sebagai seorang Islam saya beriman dengan Rukun Iman iaitu beriman kepada ketetapan qadak dan qadar Alllah.

Keduanya, saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi kepada kewibawaan dan integriti mahkamah membuat keputusan kerana mahkamah sebelumnya pernah membebaskan Anwar dalam kes tersebut. Ketiganya, eloklah disegerakan keputusan kerana kes itu tertangguh terlalu lama, bazir masa dan tenaga mahkamah.

Pernahkah tuan meminta Anwar bersumpah supaya imejnya terpelihara?

Sebahagian besar kawan saya tidak percaya kes moral Anwar itu, malah saya juga tidak percaya dalam kes yang pertama dahulu.

Apabila berita mengenai kes moral kedua tersebar, saya menghubungi Anwar memintanya bersumpah seperti kebiasaan orang Islam lakukan untuk membersihkan nama. Dia berkata Dr. Yusuf Qardawi dan seorang bekas mufti sebuah negeri melarangnya berbuat demikian, jadi dia tidak buatlah - tidak mahu bersumpahlah.

Dalam ajaran Islam, di samping mekanisme mahkamah, boleh juga seseorang bersumpah atas nama Allah menafikan tuduhan tidak baik yang dilemparkan kepada dirinya seperti perbuatan Khalifah Uthman Affan lakukan.

Saya ulangi dalam kesempatan yang lain, minta dia bersumpah lagi. Dia enggan. Dalam tuduhan yang pertama dahulu pun saya minta dia bersumpah juga, dia kata dah. Wallahualam.

Pemimpin Pas suatu ketika dulu kuat menghentam Anwar tetapi kini tidak lagi kerana pakatan politik. Pada penelitian tuan, apakah orang Pas tidak ada rasa syak dan ragu terhadap wibawa Anwar?

Saya ada bersembang dengan pimpinan Pas peringkat tinggi dan mereka memang ada keraguan yang tinggi mengenai kewibawaan moral beliau.

Mereka juga ragu tentang kewibawaan kepimpinan politik Anwar terutama dalam kes 16 September yang ternyata mereka sedar kena main oleh Anwar.

Mereka juga tidak nampak idea dan pemikiran yang bernas dan konstruktif yang dikemukakan oleh Anwar terutama bagi mengurus dan merancang ekonomi di Selangor.

Banyak contoh yang mereka pertikaikan seperti kes PKNS. Mereka juga mempertikaikan kejujuran Anwar dalam berurusan dengan Pas yang semacam dibuli. Paling penting ialah kewibawaan keagamaan Anwar apabila ada yang menggelarnya sekular. Pemimpin Pas sedar hal ini. Mereka juga menolak fahaman liberalisme dan pluralisme agama anutan Anwar itu.

Walaupun ramai kawan Anwar sejak di universiti mula meninggalkannya namun ada yang tetap bersamanya.

Kepada kawan-kawan Anwar yang berkata mereka tetap bersamanya sepanjang masa, saya ingin bertanya ke mana mereka ketika Datuk Ibrahim Ali dan saya menubuhkan Sekretariat Pengampunan Anwar ketika dia dipenjara. Tidak seorang pun berani bersama kami. Kini mereka itu menjadi pengikut buta Anwar.



Utusan Rencana 20140319

Allah Maha Tahu segalanya - Sidek

PROFESOR Datuk Dr. Sidek Baba adalah antara orang yang begitu rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya satu ketika dulu. Bekas Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini ketika itu begitu mengkagumi Anwar. Beliau juga begitu yakin Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bakal menjadi pemimpin utama negara. Namun akhirnya, seperti rakan-rakan rapat Anwar yang lain, beliau turut meninggalkannya. Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Sidek menceritakan kenapa beliau meninggalkan Anwar setelah menjadi penyokong tegar Anwar dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dulu.

Datuk dikatakan mempunyai hubungan dengan Anwar lebih 30 tahun. Apa menyebabkan memutuskan hubungan de­ngannya?

SIDEK: Saya menyertai ABIM sejak awal 70an. Saya mengagumi Anwar sekian lama kerana bakat kepimpinannya, kehebatan pidatonya dan merasakan beliau akan menjadi pemimpin utama negara suatu hari nanti. Sewaktu reformasi terjadi, saya ditahan di bawah ISA kerana saya ialah salah seorang penyokongnya.

Sejak 1998 sehingga 2011, dukungan dan simpati saya terhadap Anwar masih kuat. Apabila berlaku kes liwat yang kedua membabitkan Anwar saya mula bertanya siapa sebenarnya Anwar. Saya mula membuat kajian bertemu dengan orang yang pernah bekerja dan rapat dengan Anwar dan mengambil keputusan meninggalkannya.

Saya bertemu 30 orang yang rapat dengan beliau iaitu Penasihat Agama Anwar, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, sahabat baik Anwar, Hamid Rashid, Bekas Ketua Pemuda Keadilan, Ezam Mohd. Nor yang kebetulan pelajar saya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Zulkifli Nordin, peguam Anwar selama 12 tahun, Muhammad Rahimi Osman, pembantu khas di pejabat Anwar, Datuk Hamzah Zainuddin sekarang ini Timbalan Menteri Luar dan akhir sekali Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri.

Banyak maklumat yang saya terima dan saya teliti supaya keputusan yang saya ambil didukung oleh data dan fakta yang memudahkan saya mengambil pendirian kemudiannya.

Sebagai orang akademik dan ahli dakwah kebenaran maklumat adalah penting dan pedoman syarak adalah mustahak.

Akhirnya saya melakukan istikharah untuk mendapat pertunjuk Allah SWT. Ada tiga sebab yang menjadikan saya hilang keyakinan kepada Anwar.

Pertama, pendirian pluralisme agama yang dipegang oleh Anwar, keduanya, hubungan Anwar dengan pihak luar yang kontroversial dan ketiga masalah integriti yang dimiliki oleh Anwar.

Selepas Datuk mengambil keputusan dan pendirian banyak cabaran yang Datuk hadapi. Dapat Datuk kongsi sedikit?

SIDEK: Saya sudah menjangka apa yang berlaku akibat pendirian yang saya ambil. Cyber Trooper digerakkan untuk merosakkan imej dan integriti saya.

Ada blogger yang menuduh saya diupah RM15,000 sebulan untuk menjatuhkan Anwar dan minit mesyuarat palsu dikemukakan sebagai bukti suatu konspirasi yang sedang berjalan dan saya diberikan tanah yang mahal di Selangor dan menjualkannya balik kepada seorang tauke Cina.

Tuduhan-tuduhan itu adalah palsu dan ia adalah suatu fitnah untuk merosakkan imej dan kredibiliti saya. Hairannya ramai kawan-kawan saya percaya tanpa mahu bertanya dengan saya.

Dikatakan saya membenci Anwar kerana tidak dapat jawatan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) dan Pusat Pe­ngajian Sepanjang Hayat (KUISCell) sedangkan saya tidak pernah memohon dan tidak bercita-cita untuk menjadi Rektor di tempat berkaitan.

Isteri saya juga diserang dan dimaki hamun dengan pelbagai tuduhan. Inilah cara mereka menimbulkan fitnah. Alhamdulillah hati saya tetap cekal untuk berdiri atas kebenaran.

Pada penelitian Datuk apakah Anwar merupakan aset kepada negara pada masa depan?

SIDEK: Pada hemat saya Anwar sedang berada di hujung perjuangan politiknya. Dasar perjuangannya dalam politik orang Melayu dan politik Malaysia sudah semakin kacau.

Dengan hukuman lima tahun lagi penjara Anwar sudah tidak boleh mara ke hadapan malah pada jangkaan saya hayat politik Anwar sudah hampir ke hujung. Pakatan Pembangkang bakal menghadapi pergolakan yang lebih parah kerana ideologi perjuang­an mereka tidak sama.

Pas ada cita-cita politiknya sendiri dan DAP pun sama. Kedua-dua parti mempunyai percanggahan yang sangat nyata.

Pemilihan kepimpinan baharu PKR Mei ini bakal menyaksikan terserlahnya krisis kepimpinan yang sudah berlarut lama dan tidak mampu dileraikan oleh Anwar sendiri.

Sebagai seorang ahli akademik dan pendakwah apakah nasihat Datuk terhadap Anwar sebagai sahabat lama?

SIDEK: Sebagai orang akademik saya menilai sesuatu berasaskan fakta dan data bukan dengan persepsi atau rasa taksub yang melulu.

Saya mengamalkan sikap terbuka dan melakukan penyaringan terhadap fakta dan data supaya saya dapat membuat keputusan yang betul.

Islam mengajar kita supaya berlapang dada dengan perbezaan. Bukan dengan menaburkan fitnah, menanam sifat benci dan dendam dengan mengada-adakan yang tidak ada kerana ia dibenci oleh Allah.

Sebagai seorang pendakwah nasihat saya ialah kembalilah kita kepada diri sendiri sekiranya kesalahan berlaku dan keterlanjuran terjadi. Meski khalayak tidak tahu apa yang kita lakukan tetapi Allah Maha Menge­tahui segala-galanya.

Beban dosa yang kita lakukan tidak saja diadili oleh mahkamah dunia tetapi bakal ditentukan di waumilimahshar nanti. Dunia ini adalah terlalu singkat buat kita hidup. Tetapi yaumil akhirah adalah panjang dan ia kekal.

Di dunia kita boleh bersilat lidah tetapi di depan Allah nanti anggota badan akan menjadi saksi. Anggota badan tidak akan berbohong dan jawapannya adalah terang dan nyata.

Mereka yang yakin akan kuasa Allah, azab Allah adalah terlalu pedih buat kita. Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang untuk kita.



Utusan Rencana 20140320

Antara takdir dan ikhtiar

"TUHANKU, jika Engkau mengembalikan MH370, aku bersyukur. Jika Engkau tidak mengembalikannya, aku tetap reda. Jika Engkau memanggilku, aku sahut panggilan-Mu. Jika Engkau mengabaikanku, aku tetap menyembah-Mu".

Manusia diberi kemampuan untuk memilih pelbagai takdir Allah. Hilangnya pesawat Malaysia Airlines (MH370) merupakan takdir Allah SWT yang berdasarkan hukum-hukum yang telah ditetapkan-Nya. Dan yang jelas jika manusia tidak cuba mengelak atau menghindari daripadanya, dia pasti akan menerima akibatnya dan itu adalah takdir.

Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna. (Surah al-Furqan ayat 2)

Seorang mukmin harus mengetahui dan menyedari hakikat takdir sehingga ia mampu menjalani kehidupan dan melaluinya dengan tenang. Tidak panik ketika bencana datang, pun tidak gelisah ketika musibah menimpa. Juga tidak bergembira secara berlebihan ketika memperolehi nikmat.

Takdir adalah ketentuan daripada Allah Yang Maha Kuasa sehingga manusia harus menerimanya, sama ada hal yang baik mahupun yang buruk. Kepercayaan kepada takdir merupakan salah satu daripada enam rukun iman.

Mempercayai takdir bererti beriman kepada ilmu Allah yang qadim, yang meliputi segala sesuatu, baik yang telah mahupun yang akan terjadi. Dialah yang menuliskan segala hal di Luh Mahfuz. Semua yang terjadi adalah kerana kehendak dan keinginan-Nya. Allah Maha Kuasa melakukan apa pun. Allah yang menciptakan semuanya. Tiada tuhan selain Dia. Tiada pencipta selain Dia. Tiada Yang Maha Mengatur selain Dia.

Dari segi realiti, memang benar kita tidak boleh lepas daripada takdir Tuhan. Tetapi takdirnya tidak hanya satu.

Tetapi bila dia berusaha menghindarkan diri daripada bahaya tersebut, maka itu pun takdir. Bukankah Allah telah memberi manusia itu kemampuan untuk memilih?

Sesuatu yang tidak difahami apabila seseorang itu mengingati takdir pada waktu kesusahan dan lebih mengelirukan lagi apabila mempersalahkan takdir bagi bala bencana yang menimpanya. Mereka menutup kesalahan-kesalahannya dengan dalih takdir.

Manusia mempunyai takdir sesuai dengan ukuran yang diberikan oleh Allah atas­nya. Manusia tidak dapat terbang seperti burung. Ini adalah takdir-Nya atau ukuran kemampuan yang ditetapkan oleh Allah ke atas manusia.

Di samping itu manusia berada dalam lingkungan takdir, sehingga apa yang dilakukannya tidak terlepas daripada hukum-hukum dengan bermacam kadar ukurannya itu. Kita dapat memilih yang mana di antara takdir (ukuran-ukuran) yang ditetapkan oleh Allah untuk kita ambil.

Dalam satu peristiwa Saidina Umar al-Khatab enggan memasuki satu daerah yang dihinggapi wabak taun. Beliau kemudian ditanya: "Apakah kamu menghindari daripada takdir Allah?’’

Umar berkata: "Saya menghindari daripada takdir yang satu ke takdir yang lain.’’

Kejadian wabak penyakit taun ini me­rupakan takdir Allah. Maknanya dengan menghindarinya sehingga selamat daripada penyakit tersebut juga takdir. Jadi adakah ini bermakna ada takdir baik dan takdir buruk? Tapi kita perlu ingat, kita diberi takdir untuk memilih.

Justeru, jangan hanya ketika terjadi malapetaka kita mengucapkan "itu takdir’’. Ucaplah juga di saat memperoleh kesenangan. Takdir tidak sama dengan me­nerima nasib secara pasrah dalam erti tidak mahu berusaha sama sekali.

Doktrin tentang takdir dalam Islam tidak mengarahkan manusia kepada sikap fata­listik atau menyerah kalah kepada nasib. Islam sangat menekankan pentingnya usaha dan amal perbuatan.

Dalam al-Quran dinyatakan bahawa manusia tidak akan mendapat sesuatu selain yang dia usahakan, dan bahawa hasil usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan dibalas dengan balasan yang setimpal.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya, dan bahawa sesungguhnya usaha itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat kelak), kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. (Surah al-Najm ayat 39-41).

Ayat ini sering dijadikan rujukan bahawa makna takdir harus diletakkan secara seimbang dengan mempertimbangkan peranan ikhtiar.

Dalam teologi Islam diajarkan bahawa Tuhan berkehendak mutlak. Tuhanlah yang menciptakan alam termasuk manusia. Kerana itu, kebebasan manusia sangat kecil di hadapan Tuhan. Secara alamiah sesungguhnya manusia telah memiliki takdir yang tidak boleh diubah. Manusia secara fizik tidak boleh berbuat lain kecuali mengikuti hukum alam.

Tetapi manusia memiliki daya kreatif. Inilah yang menyebabkan manusia bebas berfikiran dan berkehendak. Kehidupan manusia, menurut teologi Asy’ariah, merupakan realisasi daripada apa yang digariskan Tuhan pada saat azali, sama ada kehidupan yang baik ataupun yang buruk, beruntung atau rugi dan senang atau derita. Manusia akan menjalani semua ini sejak lahir hingga mati.

Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa Dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Yadim). Utusan Rencana 20140321