March 23rd, 2014

Kerja kerajaan biar berkat

SEJAK negara kita belum merdeka lagi, orang Melayu memang gemar berkerja dengan kerajaan, walaupun sekadar jadi pion (budak pejabat).

Zaman sekarang, budaya itu terus melekat pada orang Melayu, walaupun gaji di syarikat swasta lebih mahal! Untuk mengurangkan penguasaan Melayu dalam sektor awam maka Suruhanjaya Perkhidmatan Awam menjalankan kempen menarik bukan Melayu menyertai sektor kerajaan.

Kalau hendak dibandingkan sektor swasta dengan sektor kerajaan, ada keistimewaan ketara yang menarik orang Melayu hendak bekerja kerajaan, antaranya elaun perumahan, elaun kos sara hidup, imbuhan tetap khidmat awam, kenaikan gaji setiap tahun, kemudahan pinjaman komputer dan kenderaan, cuti tahunan mengikut kelayakan, cuti bersalin, kadar pinjaman perumahan rendah, pencen, bersara pada umur 60 tahun, peluang kenaikan pangkat, kemudahan melanjutkan pelajaran, peluang berkursus dari semasa ke semasa, dan banyak masa bersama keluarga.

Dengan pelbagai kemudahan yang tersedia untuk penjawat awam, tak patutlah kalau masalah rakyat tidak dilayan dan diberi bantuan dengan kadar segera.

Buatlah bancian kepada rakyat, kita akan tahu hasilnya. Tahap perkhidmatan penjawat awam ada kemajuan tetapi belum capai tahap terbaik.

Kerap kali dilihat arahan pemimpin atasan disambut dengan gerak kerja yang perlahan. Misalnya gerakan kempen kerajaan menurunkan harga barangan sehingga 70 peratus lebih murah di pasaran bagaikan disambut dengan sambil lewa.

Kempen

Banyak peniaga tidak mempedulikan kempen itu kerana mereka tahu tiada apa tindakan jika mereka tidak menyertai kempen itu.

Semasa harga barangan naik pun, tiada apa-apa tindakan tegas diambil oleh pihak kerajaan apatah lagi penguat kuasanya.

Mujurlah banyak isu melanda negara sekarang dengan kehilangan pesawat MAS MH370, jerebu dan masalah catuan air maka beberapa isu hangat sebelum ini tenggelam. Ia bukan selesai cuma lupa untuk seketika.

Kadangkala kalau berkunjung ke kaunter perkhidmatan bukan jabatan utama (bukan semua) tetapi hendak dapatkan layanan pun mengambil masa dan tiada kesungguhan untuk membantu. Ada juga perangai yang buat selamba bila kita ingin membuat pertanyaan.

Penjawat awam sebenarnya tak terlepas daripada tanggungjawab dan amanah yang cukup berat daripada seluruh rakyat Malaysia.

Ingatlah wang gaji, elaun, dan lain-lain yang dibayar kepada penjawat awam ialah hasil cukai daripada separuh penduduk negara ini.

Kakitangan awam kena fikirkan juga keberkatan wang gaji yang digunakan untuk menyara isteri di rumah, ibu dan bapa di kampung, pendidikan anak-anak di institusi pengajian.

Kalau penjawat awam tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan, apa makna wang gaji itu?

Bukan pelik bila penjawat awam buat kerja sambil lewa, lepak begitu lama di warung kopi atau kafe pada waktu kerja, buat kerja sampingan sampai menjejaskan kerja hakiki, mengguna harta benda pejabat untuk kerja peribadi, mengelat guna sijil cuti sakit dan pelbagai alasan lain.

Pengalaman 10 tahun bertugas di jabatan berkanun, saya dapat melihat perangai yang menjadi kebiasaan penjawat awam suka berborak di kafe, bila masuk kerja - baca akhbar, layar internet, main game, kerja buat ala kadar saja.

Jadi macam mana rezeki itu nak ada keberkatan?

Tidak ramai yang sedar hal ini. Apa yang mereka tahu ialah nak cari silap orang lain, untuk menutup kejahilan sendiri, mula salahkan harga barang naik, minyak naik dan macam-macam yang tak kena.

Bonus

Tapi apa yang penjawat susah hati, saban tahun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam akan berjuang untuk meminta bonus dan kenaikan gaji.

Soal kerajaan mahu beri bonus kepada penjawat awam takda hal. Tapi, produktiviti dan prestasi mereka macam itu juga.

Contoh klasik ialah bila kita berkunjung ke pejabat sekolah, ada kerani atau guru sekolah yang buat tak tahu melihat ibu bapa yang terpacak di depan kaunter. Mereka sibuk buat urusan sendiri. Nak bertanya pada ibu bapa pun payah.

Kepada penjawat awam, berikanlah perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kalau khidmat diberi bagus, takkan rakyat pertikaikan apa yang sepatutnya mereka terima sebagai imbuhan.

Sikap mereka inilah yang menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan. Kalau khidmat dan layanan penjawat awam ada kelas, rakyat tidak akan bising kalau mereka mahu meniaga kain, tudung atau kuih raya dalam waktu pejabat. Rakyat sedia memahaminya dan tutup mata.

Memang banyak orang bercakap, kalau nak senang, kerjalah dengan kerajaan. Kalau mahu kaya kerjalah dengan swasta. Tapi kalau ingin hidup mewah, berniagalah kerana 9 daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan.



Azman Anuar azman.anuar@utusan.com.my: Utusan Rencana 20140323

Kewajipan anak terhadap ayah

DISEBUTKAN di dalam sebuah riwayat Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?"

Baginda menjawab, “Ibu kamu." Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?" Baginda menjawab lagi, “Ibu kamu." Dia menambah lagi pertanyaannya, “Kemudian siapa?" Baginda menjawab untuk kali yang ketiga: “Ibu kamu." Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?" Baginda menjawab, “Ayah kamu." (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan mafhum hadis di atas, dapatlah kita fahami bahawa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah. Lebih-lebih lagi syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Ini menunjukkan betapa besarnya kemuliaan dan tanggungjawab seorang anak kepada seorang ibu yang melahirkan dan membesarkannya sejak kecil.

Allah SWT berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkan dengan menanggung susah payah dan telah melahirkan dengan menanggung susah payah lagi." (Surah al-Ahqaf:15)

Jangan lupakan ayah

Di dalam al-Quran seringkali menyebut akan peranan seorang anak untuk berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya, iaitu termasuk ibu dan sama sekali tidak meminggirkan bapa. Perkataan ibu dan bapa sering didatangkan sekali, dan ia membawa maksud bahawa tanggungjawab seorang anak terhadap kedua-dua ibu bapanya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Ibu tetap menjadi yang paling utama untuk kita berbakti kepadanya, cuma jangan diabaikan ayah. Kerana tanpa ayah maka tiadalah kita hadir di atas muka bumi ini.

Perintah untuk berbuat baik kepada kedua-dua orang tua ini termasuk semasa mereka masih hidup malah walaupun setelah mereka meninggal dunia. Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi‘ah As Sa‘idy r.a. berkata: Suatu ketika kami duduk di hadapan Rasulullah SAW. Kemudian tiba-tiba datanglah seorang laki-laki dari Bani Salimah lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa saya setelah mereka meninggal dunia?"

Baginda menjawab, “Ya, masih ada. Iaitu dengan menyembahyangkan jenazahnya, meminta ampun buat kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya setelah kedua-duanya meninggal dunia, menyambung tali persahabatan yang tidak boleh di sambungnya kecuali dengan kedua-duanya, dan memuliakan sahabat kedua-dua mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Remaja dan ayah

Sinonim remaja hari ini suka mengaitkan ayah dengan ‘bank’. Kita hanya mencari ayah ketika dilanda kesempitan wang, dan ketika terdesak memerlukan pertolongan. Ketika semua kawan tidak mahu menghulurkan pertolongan, maka ketika itu baru kita akan menelefon ayah dan pulang ke kampung untuk menagih simpati dan wang ringgit daripada ayah.

Ketika semua orang seolah-olah sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada kita, ayah tetap berdiri teguh memberi sokongan serta tidak pernah meninggalkan kita.

Dahulu jika semasa kecil, ayahlah yang paling kita cari ketika tiba waktu petang. Kita jugalah yang paling mula-mula menunggu di depan pintu pagar rumah, menanti ayah pulang dari kerja, meminta ayah membawa kita bersiar-siar di perkarangan kampung sambil menaiki motosikal.

Bila tiba hujung minggu, kita jugalah yang mula-mula mendesak ayah supaya membawa kita berjalan-jalan makan angin di kampung atau kawasan percutian.

Tapi bila kita berjaya, kitalah orang yang pertama melupakan ayah. Ketika kita sudah miliki rumah besar, kereta kita dah mula penuh di garaj, ketika itu jugalah rumah yang terlalu besar itu terasa kecil untuk ayah. Maka kita menghantar ayah ke rumah orang tua, dengan alasan di sana ayah ada ramai kawan, malah ada jururawat’ yang boleh jaga makan minum ayah.

Berbakti sebelum ayah pergi

Kepada anak-anak yang masih punya bapa, hargailah dia sewajarnya. Sebesar mana pun kelemahan dan kekurangannya, lebih besar lagi jasa dan budinya. Dialah yang Allah pilih untuk menjadi ayah kita. Pilihan Allah tidak akan pernah salah. Dia yang terbaik untuk kita dan kita yang terbaik untuknya.

Sekalipun pahit yang diberi ayah, pahit itu hakikatnya adalah ubat yang merawat. Sekalipun pedih, itu bukan tanda benci. Itu kerana ayah punya cara tersendiri dalam mendidik dan menyayangi kita. Bahagianya sering tidak diucapkan dengan kata-kata, malah pujiannya jarang diluahkan kepada kita. Wahai anak, bersyukurlah kepada Allah dengan mengasihi dan berbuat baik kepada ayahmu selagi ayah masih ada.

Di sini saya ingin berkongsi satu doa daripada al-Quran yang mungkin boleh menjadi amalan buat kita semua, sebagai doa buat anak-anak, ibu bapa dan kaum muslimin.

Bacaan doanya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua-dua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan (hari kiamat)." (Surah Ibrahim : 40-41)

Dr. Zahazan Mohamed Utusan Rencana 20140323

Musibah tanda kasih Allah

KETIKA artikel ini ditulis, sudah dua minggu kisah pesawat MH370 yang hilang secara misteri, menjadi bualan masyarakat tempatan, malah bualan seluruh masyarakat dunia. Walaupun, kita telah menggunakan pelbagai kemudahan dan kecanggihan alat teknologi, hasil ciptaan para saintis daripada ilmu sains teknologinya yang tinggi, namun MH370 masih belum dapat dikesan.

Biarpun pasukan penyiasat menggunakan satelit perisik Amerika Syarikat tercanggih, yang dikenali sebagai "Big Bird", yang digunakan untuk mengambil rakaman imej dari angkasa lepas, (sama ada imej yang berupa pengganas atau letupan), namun pesawat misteri itu masih belum ditemui.

Satelit, yang mampu mengenal pasti objek sebesar lapan inci dan dilengkapi dengan inframerah dan keupayaan isyarat merisik ini juga, masih tidak mampu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370. Hakikatnya kita memang melalui jalan buntu, tetapi kita masih terus berusaha dan tidak berhenti berharap akan menemui apa yang kita hajati.

Apabila sesuatu perkara sudah berlaku, itu adalah qada dan qadar Allah, maka kita perlu reda menghadapinya. Sebagai hamba-Nya yang beriman sikap tidak putus berharap, berusaha mencari sebagai menunaikan janji kepada keluarga 227 penumpang dan 12 anak kapal pesawat MH370 yang hilang itu, satu tindakan yang positif.

Kerana dalam Islam, berusaha, berdoa dan bertawakal menjadi amalan orang yang beriman. Semoga Allah mengurniakan kekuatan, ketenangan dan kesabaran kepada eluarga penumpang dan kakitangan MH370. Marilah sama-sama kita berdoa untuk mereka dan juga hamba Allah yang berada di dalam MH370. Kita doakan juga agar keluarga yang terlibat dalam misteri kehilangan pesawat ini, tabah menghadapi cabaran ini.

Terimalah kejadian dan peristiwa ini sebagai tanda kasih Allah kepada hamba-Nya yang terpilih dan ada ganjaran yang baik menanti di hadapan kehidupan mereka kelak, insya-Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Insyiraah, ayat empat dan lima yang bermaksud: Oleh itu, maka tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Dalam surah ini dua kali Allah mengulangi ayat "tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan" sebagai penegasan dan kesungguhan-Nya. Oleh sebab itu yakini janji Allah kerana Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allah mewujudkan kita di dunia ini untuk kita bergantung harap kepada-Nya dan mengenal-Nya dan memperakui bahawa tiada kuasa lain sehebat kuasa-Nya. Setelah kehebatan sains teknologi menemui jalan yang rumit dalam misi pencarian misteri kehilangan pesawat ini, ada sesuatu yang Allah hendak tunjukkan kepada kita. Iaitu Allah sedang menunjukkan bahawa kuasa "Sang Pencipta Sains dan Teknologi" itu lebih hebat daripada segala kuasa yang canggih di dunia ini. Tidak ada sesuatu perkara yang berlaku, melainkan dengan kuasa Allah dan keizinan Allah. Demikianlah, cara kita melihat sesuatu peristiwa akan menentukan kita sedang berhadapan dengan masalah atau peluang? Jika kita melihat dengan mata hati semua situasi dan peristiwa negatif, akan menjadi sebab kita menjadi lebih baik dan dekat dengan Allah.

'Reset minda' ialah sains kehidupan yang mengikut sunatullah, yakni undang-undang alam yang telah ditentukan Allah SWT, dengan mempercayai bahawa tiap-tiap kejadian di alam semesta ini adalah dengan ketentuan-Nya, Alah Yang Maha Berkuasa. 'Reset minda' memandu individu bagaimana untuk mengubah cara kita berfikir, atas setiap kejadian atau peristiwa.

Hal ini adalah kerana kehidupan itu bergantung kepada apa yang difikirkan oleh minda. Minda inilah yang menentukan tindakan hidup kita, sama ada positif atau negatif. Bagaimanakah kita menggunakan minda untuk mengawal, 'PILIHAN - KEPUTUSAN - TINDAKAN' - yang menjadi penentu HASIL KEHIDUPAN (ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan) itulah yang perlu bijak kita tangani dan aturkan.

'Reset minda' memandu individu bagaimana untuk mengubah cara kita berfikir, atas setiap kejadian atau peristiwa, dengan dua cara. Pertama, dengan konsep kesyukuran. Seandainya kita diberi Allah peristiwa yang menggembirakan, bersyukurlah kepada-Nya dan sedarlah bahawa kita dapat apa yang kita dapat dan yang kita mahukan itu, bukan kerana kehebatan kita, tetapi kerana kehebatan Allah SWT yang mengizinkannya.

Kedua, dengan konsep reda. Jika kita diuji Allah dengan kejadian dan peristiwa sedih, kita sabar dan reda, terimalah ia sebagai ujian daripada Allah. Orang yang bermasalah ialah mereka yang tidak celik mata hati. Maka semua yang berlaku ke atasnya akan menjadi masalah. Tetapi, orang yang beriman melihat dengan mata hati, melihat peristiwa negatif menjadi peluang memperbaiki diri dan tidak menyalahkan.

Hayatilah firman Allah ini dalam Surah ar-Ruum ayat 37 yang bermaksud: (mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa tidak melihat (dengan mata hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya dan dia juga akan menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak). Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman.

Memandang sesuatu kejadian sama ada yang baik atau buruk dan yang positif atau negatif dengan rasa kesyukuran dan keredaan itu, akan menjadikan kita seorang yang boleh menerima apa-apa sahaja yang ditakdirkan Allah berlaku ke atas kita. Semuanya kita terima sebagai tanda Tuhan Maha Berkuasa, bukan kerana kehebatan kita tetapi kehebatan Allah SWT. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

* Ikuti program Kanta Prof. Muhaya di TV2 setiap Rabu 6.30 pagi dan ulangan setiap Jumaat 1.30 tengah hari.


DR. MUHAYA MOHAMAD http://Famili.celikz.com Fanpage: wwww.facebook.com /profdrmuhaya twitter@drmuhaya   Utusan Rencana 20140323

Martabatkan kesenian Islam dan Melayu

BAYANGKAN bangunan yang gah seperti Istana Kehakiman tanpa sebarang seni hiasan padanya.


Sekadar binaan bangunan konkrit yang besar dengan nama bangunan yang tertera di hadapannya, adakah ia cukup kuat untuk berdiri sebagai mercu tanda Putrajaya?

Selain rekaan bangunan yang berkonsepkan seni reka Moor yang jelas kelihatan daripada binaan kubahnya, turus dan gerbang, megahnya bangunan tersebut apabila lengkap dengan ornamen atau hiasan bangunan yang bercirikan kesenian senibina Islam yang menghiasi dinding-dindingnya.

Begitu juga dengan binaan masjid serta istana. Ornamen yang menghiasi dinding serta sudut lain itu yang menyerikan - seperti satu pernyataan bangunan tersebut- begitu penting dalam satu masyarakat.

Mengagumkan, produk ornamen kesenian Islam yang begitu halus pembuatannya menghiasi Istana Kehakiman serta bangunan seperti Masjid Putrajaya, Istana Negara, Istana Terengganu dan Istana Alam Shah bukanlah diimport sebaliknya dihasilkan oleh sebuah syarikat tempatan iaitu I-Nai Venture Holdings Sdn. Bhd.

Ujar Pengarah I-Nai Venture, hiasan bangunan boleh diibaratkan seperti pakaian kepada sesebuah bangunan.

“Jika pergi ke tempat seperti Cordoba atau Alhambra, Sepanyol sebagai contoh, pasti kagum melihat kehalusan dan perincian senibina Islam di sana. Arkitek seperti saya melihatnya sebagai rujukan yang ikonik. Bangunan yang masih berdiri tegap selepas beratus tahun itu melambangkan kegemilangan zaman tersebut.

“Saya membayangkan 50 atau lebih 100 tahun dari sekarang hiasan senibina Islam yang telah dicampur dengan kesenian orang Melayu yang diguna pakai sekarang akan mempunyai nilai sebegitu.

“Bagi saya, kita sebagai generasi sekarang perlu menyumbang kesenian sebegini untuk diwarisi generasi seterusnya," ujarnya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di Sunway Damansara, baru-baru ini.

Falsafah

Cerita Nik Ahmed Mazlan, minatnya terhadap senibina Islam bermula sejak dia menuntut di Universiti Teknologi Mara lagi dalam bidang seni bina. Ketika zaman belajar, dia sentiasa berminat dengan falsafah rekaan malah antara kertas terakhirnya bertajuk ‘Pencarian Identiti’ dan ‘Di Sebalik Senibina Melayu’.

Bertitik tolak dari situ dia jatuh cinta dengan kajiannya itu dan terus mengkaji lebih mendalam tentang rekaan senibina Islam. Namun, ia hanya dapat diaplikasikan sewaktu bekerja apabila dia ditugaskan mengetuai pasukan reka bentuk Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Ketika itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad begitu bersungguh-sungguh mahu membawa tukang ukir atau artisan dari Uzbekistan untuk menggunakan kepakaran mereka dalam mengukir ornamen senibina Islam.

“Ketika itu begitu kuat dalam fikiran saya mahu mengembali serta mengembangkan kegemilangan senibina Islam untuk generasi seterusnya.

“Rekaan ornamen senibina Islam yang turut diterapkan unsur kesenian Melayu ini menggambarkan identiti kita, Malaysia sebagai negara Islam dan komposisi bangsa Melayu sebagai majoriti.



PRODUK terbaru I-Nai Venture iaitu Kargo-Tek yang boleh dibina sebagai kediaman mahupun kedai
Foto WAHIDAH ZAINAL

“Saya pasti kita boleh ketengahkan kesenian ini menjadi identiti kita.

“Selesai saja projek tersebut, kebetulan saya memang mahu berhenti kerja dan terus membuat keputusan untuk bekerjasama dengan mereka pula menubuhkan syarikat sendiri," terangnya.

Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun dalam firma arkitek serta syarikat pemaju dalam dan luar negara, Nik Ahmed Mazlan memberanikan diri membuka syarikat sendiri.

Sepanjang bekerja, Nik Ahmed Mazlan beruntung kerana berpeluang bekerja dengan syarikat antarabangsa seperti Arthur Ericksson and Associates, di Kanada, Wimberly, Allison Tongg and Goo di Hawaii; dan firma arkitek terkemuka dunia, Cesar Pelli and Associates di Connecticut melalui projek-projek seperti KLCC.

Bersama-sama isterinya, Norliza Hashim, mereka menubuhkan Inai Enterprise pada tahun 1986 dan seterusnya I-Nai Venture pada tahun 1999.

Projek ornamen senibina Islam pertamanya ialah Masjid KLIA sekitar tahun 1999 dan kemudian dia terus diberi kepercayaan untuk menyediakan hiasan bagi bangunan-bangunan hebat seperti Istana Terengganu, Istana Alam Shah, Istana Negara, Masjid Putrajaya dan banyak lagi.

“Ketika itu ramai yang terkejut dengan keputusan saya. Kata mereka perniagaan saya tidak boleh berjalan kerana waktu itu lebih banyak permintaan rekaan klasikal seperti Inggeris. Ada yang kata saya gila kerana tiada permintaan untuk ornamen senibina Islam tetapi saya telah buktikan kepada mereka yang mereka salah," cerita bapa kepada tujuh orang anak ini.

Ujarnya, dia telah melalui naik dan turun sepanjang mengusahakan I-Nai Venture termasuklah beberapa siri zaman kegawatan sehinggakan pernah tidak mampu untuk membayar gaji pekerja.

“Kecantikan sesuatu kejayaan apabila kita dapat mengharungi cabaran. Dalam perniagaan, kita perlu bersedia untuk berdepan dengan segala situasi. Tidak kira betapa kuatnya kita, kadang-kadang kita boleh patah semangat dan sebab itu kita perlu ada kecekalan," nasihatnya.

Kecewa

Dalam usahanya mengembalikan kegemilangan senibina Islam, Nik Ahmed Mazlan begitu sedih dan kecewa dengan sambutan golongan muda terhadap seni tersebut.

Ujarnya, sewaktu dia membuka kelas percuma mempelajari teknik ukiran dengan artisan dari Uzbekistan, 90 peratus yang mendaftarkan diri merupakan bangsa lain.

“Artisan Uzbekistan yang bertahun-tahun bekerja dengan saya ini mewarisi kesenian Islam daripada nenek moyang mereka.

“Ikutkan ada kiraan matematik untuk mendapatkan corak geometri yang tepat tetapi mereka dapat melakukan dengan begitu saja. Bagi saya ilmu yang begini kita perlukan.

“Sayangnya seni Islam yang tinggi nilainya ini kurang diminati sebaliknya orang bukan Islam yang menunjukkan minat.

“Keadaan ini amat mengecewakan. Kita memerlukan pelapis untuk menyambung legasi tersebut," luahnya.

I-Nai Venture bukan saja menyediakan ornamen senibina Islam untuk dalam negara saja. Ia kini dieksport sejauh Hong Kong dan Dubai. Malah, I-Nai Venture turut mempunyai syarikat usahasama di luar negara seperti di India, Dubai dan Aceh.

Antara misi besar mereka kini ialah menembusi pasaran Mekah bagi memperkenalkan produk cenderamata berbentuk hiasan Islam dan sedang mencari rakan kongsi yang sesuai untuk merealisasikannya.

Selain senibina Islam, syarikatnya turut mengembangkan sayap kepada rekaan kontemporari.

I-Nai Venture turut memperkenalkan Kargo-Tek iaitu bekas kontena perkapalan terpakai yang diubah suai menjadi tempat yang boleh didiami. Dengan mengeksploitasi produk Kargo-Tek, pelanggan dapat mengubahsuainya mengikut kehendak tersendiri.

“Ia mampu menjadi solusi kepada pemburuan rumah mampu milik kerana kosnya yang rendah," katanya.

RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM dianna.azahm@utusan.com.my Utusan Rencana 20140323

Warkah Geneva: Berkat doa, kesatuan

SUDAH hampir seminggu saya berada di Geneva bersama-sama dengan anggota delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) seramai enam orang. Seperti yang kita sedia maklum, MuslimUPRo merupakan gabungan NGO-NGO Islam yang bersama-sama bangkit untuk membantah pihak Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango), dan dalam masa yang sama berusaha melibatkan diri dalam Proses Semakan Berkala (UPR) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui konsultasi dan memberikan pandangan dan saranan kepada pihak Kerajaan Malaysia.

Kami hadir untuk melihat sendiri proses penerimaan muktamad oleh wakil Kerajaan Malaysia terhadap saranan yang telah dibuat oleh negara-negara anggota PBB melalui proses tersebut. Daripada sejumlah 232 syor yang dikemukakan pada Oktober 2013, iaitu sebanyak 113 syor kesemuanya, 21 syor secara prinsipnya diterima, manakala 83 lagi ditolak.

Setelah sekian waktu pihak MuslimUPRo mengadakan beberapa siri kempen dan penerangan di seluruh negara, dengan di akhiri melalui Seminar Hak Asasi Manusia yang dianjurkan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia baru-baru ini.

Pihak kami juga telah turut mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak kerajaan dan saban hari mengharapkan agar kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan pihak Comango yang jelas cuba mencabar Perlembagaan Persekutuan, mempertikai kedudukan Islam dan juga mempromosi budaya songsang seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

MuslimUPRo ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah dan syabas kepada kerajaan Malaysia yang telah menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah Hak Asasi Manusia berdasarkan syor-syor negara-negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia. Penerimaan muktamad Malaysia telah pun dinyatakan di dalam dokumen rasmi PBB rujukan A/HRC/25/10/Add.1 bertarikh 4 Mac 2014.

Pendirian Malaysia ini yang dinyatakan semasa Sesi Penerimaan Muktamad pada 20 Mac 2014, bagi saya adalah satu manifestasi tepat yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang mengamalkan kesederhanaan berdasarkan prinsip wasatiyyah dan komitmen Malaysia terhadap usaha untuk memperbaiki tahap dan keadaan hak asasi manusia di negara ini, tanpa berkompromi dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan realiti sejarah, agama dan budaya negara.

Syukur alhamdulillah kerana semua ini dapat berlaku berkat doa dan munajat yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia beragama Islam yang prihatin dan sedar bahawa ancaman terhadap agama kita sedang berlaku.

Menghentam

Tidak cukup dengan usaha dari dalam, negara kita cuba diheret sehingga ke pentas antarabangsa untuk akur dan menerima norma-norma Barat yang asing daripada agama dan budaya kita. Kita harus terus berdoa dan melakukan sesuatu dalam isu ini kerana usaha mereka yang memusuhi agama kita ini tidak terhenti setakat proses UPR yang kedua ini.

Pihak MuslimUPRo menjangkakan proses UPR yang ketiga yang dijadualkan pada 2017 nanti pastinya akan lebih hebat dan mencabar. Sudah tentu pihak Comango khasnya akan meneruskan kempen jahat mereka yang melanggar prinsip dan amalan agama Islam. Malah acara sampingan yang mereka anjurkan di Geneva ini pun telah mula mereka jadikan medan untuk menghentam kerajaan Malaysia dan masih berterusan membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menggugat agama Islam di negara kita.

Agenda Comango tidak terhenti setakat proses UPR. Pentas yang mereka gunakan juga bukan sekadar PBB. Mereka telah mengadakan lobi di sana sini. Dengan sokongan dan dana yang mereka perolehi dari luar negara khasnya, usaha mereka akan terus mereka gerakkan untuk memaksa negara kita menerima kesesatan dan kebatilan perjuangan mereka yang kononnya dilakukan atas prinsip hak asasi manusia!

Satu perkara yang hendak saya ketengahkan di sini ialah, walaupun yang diperjuangkan oleh Comango itu adalah sesuatu yang batil dan bercanggah dengan kehendak agama dan budaya, tetapi kerana mereka itu bersatu, maka suara mereka sampai ke pentas antarabangsa.

Mereka kelihatan kuat walaupun jumlah mereka bukanlah begitu ramai mana pun, tetapi mereka berupaya mengumpul tenaga dan kekuatan yang sedikit itu untuk memperjuangkan suara kebatilan mereka.

Dengan demikian, inilah masa yang terbaik bagi umat Islam negara ini untuk sama-sama sedar dan insaf, bermuhasabah dan bangkit sebagai satu saff yang kukuh, ibarat batu-batu yang diikat kemas dan rapi sebagaimana yang Allah jelaskan dalam Surah as-Saff ayat 4. Marilah kita renungkan bersama - bagaimana jika kumpulan yang batil ini boleh bangkit dan berjuang, kenapa tidak kita sebagai umat Islam yang sudah disebut Allah SWT sebagai khaira ummah ukhrijat lillnas (sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia) tidak mampu untuk bergabung tenaga dan bermuafakat mempertahankan dan memperjuangkan agama ini pada tahap paling maksimum yang kita mampu?

Saya amat yakin, apa yang telah kita capai di Geneva kali ini adalah berkat daripada doa orang ramai, penyatuan gerak kerja dalam kalangan NGO-NGO Islam dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan, maka kita dikurniakan Allah SWT dengan keputusan yang saya anggap sebagai satu kemenangan untuk Islam di negara kita.

Ada banyak lagi isu di hadapan kita yang memerlukan kesepakatan dan perpaduan di kalangan umat Islam. Kenapa tidak dalam hal yang berkaitan dengan mempertahankan agama, kita berpegang pada perintah Allah SWT ...inna hazihi ummatukum ummatan wahidah... (sesungguhnya inilah dia umat kamu... umat yang satu). Kekuatan kita adalah pada kesepakatan dan perpaduan yang jitu selaku umat yang satu.

MuslimUPRo sedang merancang beberapa strategi untuk berdepan dengan cabaran mendatang khasnya dalam isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Antaranya ialah penubuhan sebuah pusat kecemerlangan ilmu hak asasi manusia. Kita bukan anti kepada tuntutan hak asasi tetapi ia mestilah dalam kerangka agama, budaya dan perundangan negara.

Menarik juga untuk dinukilkan di sini, ketika kami di Geneva ini, di mana sahaja kami pergi, sama ada di restoran, kedai buku, di tempat penginapan malah di dalam bas pun, apabila kami ditegur; “kamu semua dari mana," lalu kami jawab “dari Malaysia," spontan sahaja kalimah yang akan diungkapkan kepada kami ialah “we are all praying for the safety of the aircraft".

Benar, dua topik besar yang saban hari menjadi tajuk utama dalam media di sini ialah isu kehilangan pesawat MH370 dan perkembangan politik di Rusia dan Ukraine.

Rakyat asing di sini merakam tahniah kepada usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan kukuh dan kerjasama erat 26 negara yang terus-menerus berusaha untuk mencari pesawat tersebut. Yang menarik bagi saya adalah ungkapan “we are all praying for the safety of the aircraft".

Sekali lagi, dalam suasana yang sedang kita hadapi ini, sebagai hamba Allah SWT, doa ialah senjata orang mukmin yang paling ampuh yang mampu kita tadahkan tangan agar usaha pencarian ini akan terjawab segera.

Islam mengajar kita bahawa di antara mereka yang mustajab doanya insya-Allah ialah doa orang yang sedang bermusafir. Di sini kami juga turut mendoakan dipermudahkan Allah SWT agar usaha pencarian pesawat ini berjaya dan kami juga bermohon agar Allah SWT memelihara negara kita daripada sebarang ancaman pihak-pihak yang merancang untuk menghancurkan Islam, keharmonian dan kemakmuran negara kita.

Amin Ya Rabb al alamin.

NASHARUDIN MAT ISA Dari Avenue Louis-Casai, Cointrin, Geneva, Switzerland ialah Ahli Jawatankuasa MuslimUPRo. Utusan Rencana 20140323

Isteri kena utama tugas hakiki daripada kerja amal

Rendahkan diri, mohon maaf atas kecuaian abai keluarga

Soalan: Saya aktif dengan kerja kemasyarakatan, termasuk membantu majlis kenduri kahwin dan majlis di masjid di kawasan kediaman saya. Namun, baru-baru ini saya dimalukan suami ketika di masjid yang menuduh saya tidak pulang-pulang dan anak-anak kononnya tidak makan lagi. Bolehkah saya diperlakukan sebegini dan adakah saya bersalah? Mariam Musa, Kuala Ketil, Kedah

Jawapan: Tanggungjawab utama seorang isteri ialah melaksanakan hak dan keperluan suaminya. Antara hak itu ialah menyiapkan kerja rumah, termasuk memasak untuk suami dan anak-anak. Begitu juga, menjadi hak suami, untuk isteri meminta kebenaran daripadanya sebelum keluar dari rumah dan melakukan aktiviti lain.

Dalam situasi di atas, puan sudah melakukan dua kesalahan iaitu tidak menyediakan juadah untuk keluarga dan keluar rumah tanpa kebenaran suami. Saya berpendapat apabila suami terpaksa mencari puan hingga ke masjid menunjukkan dia tidak reda dengan aktiviti puan dan kesabarannya juga sudah hilang.

Saya mencadangkan kepada puan bertaubat dan kembali melaksanakan tugas utama sebagai seorang isteri. Rendahkan diri dan mohon maaf kepada suami atas kecuaian hingga mengabaikan keluarga. Mengenai aktiviti kemasyarakatan, puan perlu berbincang semula dengan suami, sama ada dia membenarkannya atau tidak. Tambahan pula, kerja kemasyarakatan ini sekiranya puan tidak terbabit sama, orang lain boleh gantikan, sedangkan apabila puan tinggalkan tanggungjawab sebagai isteri, tiada siapa boleh mengambil alih tugas itu.

Ustaz Rohidzir Rais Berita Harian Agama 2014/03/23 - 05:03:48 AM