April 1st, 2014

Usah mudah putus asa mohon keampunan Allah

Daripada Anas bin Malik, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang sudah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Aku mengampuninya. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan datang padamu dengan pengampunan seluas bumi pula.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Bhagawi)


Ini menjelaskan luasnya keampunan Allah SWT supaya hamba tidak berputus asa walaupun telah melakukan dosa. Namun, itu tidak bermakna kita boleh leka dalam dosa kerana dikhuatiri diri akan terbiasa dalam dosa dan terhalang untuk bertaubat.


Gambaran sifat pemurah Allah


Hadis ini juga mengandungi khabar gembira, belas kasih dan gambaran sifat pemurah Allah SWT yang amat besar. Tidak terhitung banyaknya kurniaan kebaikan, belas kasih dan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah lebih bergembira atas taubat seorang hamba-Nya daripada (kegembiraan) seseorang antara kamu yang menemui kembali haiwannya yang hilang.”

Daripada Abu Ayyub ketika hendak meninggal dunia dia berkata, “Aku merahsiakan daripada kamu sesuatu yang pernah aku dengar daripada Baginda SAW, iaitu aku mendengar Rasulullah bersabda: Sekiranya kamu sekalian tidak berbuat dosa, nescaya Allah akan menggantikannya dengan makhluk lain yang berbuat dosa, lalu Allah memberi ampun kepada mereka.”

Demi mendapat keampunan daripada dosa yang telah dilakukan, hendaklah berdoa dengan diiringi harapan supaya dimakbulkan. Fokus ketika meminta doa kerana doa tidak diterima dengan hati yang lalai serta kosong daripada harapan.

Mintalah ampun walau sebesar mana dosa yang telah dilakukan dan istighfar hendaklah diikuti dengan taubat tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu.

Jika kita meminta ampun tetapi tetap melakukan dosa, maka ada kemungkinan permohonan ampunan kita tidak diterima Allah SWT. Orang yang berdusta dalam bertaubat seperti orang yang ingin menuai padi tetapi tidak pernah menanamnya.

Bertauhid kepada Allah SWT adalah kunci mendapat keampunan. Orang yang beriman dan tidak melakukan syirik tidak kekal dalam neraka, akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga.


Berita Harian Agama 2014/04/01

Kualiti jiwa penentu amalan baik, buruk

Konsep asas kehidupan dunia ini sebenarnya adalah satu ujian bagi manusia. Justeru, ujian itu sentiasa mengiringi setiap saat dan ketika dalam hidup kita. Realiti ujian hidup itu adalah pada saat kita memutuskan untuk memilih kebenaran atau memilih kebatilan.

Untuk itu, setiap diri manusia diciptakan secara fitrah oleh Allah SWT dengan dua kekuatan yang berlawanan antara satu sama lain.


Pertama adalah rohani, yang berasal dari roh Allah yang ditiupkan dalam diri manusia. Kedua adalah jasmani, yang juga sumber daripada hawa nafsu, godaan syaitan, dan kesombongan diri.

Dua kekuatan inilah yang bersaing dalam setiap penentuan pilihan manusia dalam ujian hidupnya. Dalam kata lain, hidup ini adalah satu pertarungan yang sengit antara kekuatan rohani dengan pilihan kebenaran dan kekuatan jasmani dengan pilihan kebatilan.


Cermin kualiti jiwa

Apa saja yang menjadi pilihan manusia, akan mencerminkan kualiti jiwanya. Jika yang selalu dipilihnya itu adalah kekuatan jasmani, maka itu bererti manusia sudah dikuasai oleh jiwa dalam dirinya yang disebut al-nafsu al-ammarah bissu’, yang bermaksud jiwa yang selalu mengajak pada kejahatan dan kemungkaran.

Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Maka, nafsu amarah adalah satu jiwa dengan kualiti terendah yang dimiliki manusia yang merangkumi hawa nafsu, godaan syaitan dan kesombongan diri. Ia sungguh bahaya apabila ketiga-tiga ini dirasakan sebagai satu kenikmatan.

Kedua, jiwa yang selalu memisahkan antara iman, ilmu dan amal. Begitu berkesannya pemisahan antara ketiganya, sehingga manusia tetap saja merasa selesa walaupun amal tidak konsisten dengan apa yang difahami yakni ilmu serta tidak selari dengan apa yang diyakini yakni iman.

Justeru, faktor nafsu amarah menjadi umbi segala masalah sosial dan gejala jenayah dari perbuatan kemungkaran yang terjadi kepada pemimpin, remaja dan anggota masyarakat.


Penentu kekuatan jasmani, rohani

Amalan rasuah semakin meningkat, gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin meruncing, kes jenayah juga bertambah sejak kebelakangan ini.

Pendek kata, amalan mungkar dan perbuatan jenayah adalah menjadi bukti jelas betapa manusia memilih untuk cenderung kepada kekuatan jasmani berbanding dengan kekuatan rohani yang bertakhta dalam jiwa sanubarinya.

Kita perlu insaf bahawa setiap pilihan dalam ujian hidup manusia yang berlangsung pada setiap saat itu, kesemuanya adalah ketetapan Allah.

Perlu juga disedari bahawa Allah SWT itu Maha Adil terhadap hamba-Nya. Dengan kata lain, Allah SWT tidak membiarkan manusia hidup keseorangan tanpa panduan dan bimbingan Ilahi supaya dia lulus dalam ujiannya.

Justeru, antara panduan dan bimbingan yang disediakan-Nya untuk manusia yang beriman adalah solat fardu lima kali sehari. Dari sinilah kita menyingkap makna dan hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan solat fardu sebanyak 17 rakaat sehari semalam itu.

Ini adalah kerana dalam solat yang khusyuk inilah, kita diberikan kesempatan untuk berzikir dan berdoa hanya kepada-Nya.


Solat kekang kemungkaran

Solat yang khusyuk itu sendiri adalah satu jaminan daripada Allah SWT, bahawa selepas selesai mendirikan solat, seorang Muslim tidak akan melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Jelas di sini jaminan Allah SWT itu pasti benar mengenai fadilat solat. Justeru, penegakan solat lima waktu yang khusyuk adalah satu penawar ampuh yang tidak hanya mengawal dan menyucikan jiwa yang selalu mengajak kepada kemungkaran.

Oleh itu, solat tidak hanya sekadar kewajipan yang wajib didirikan setiap Muslim, malah ia juga adalah keperluan asasi yang akan mengisi kekosongan jiwa sekali gus membina jiwa benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

Berita Harian Agama 2014/04/01 - 08:19:27 AM Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kemegahan Dar al-Islam

PADA hari ini, dikatakan terdapat lebih 2,000 buah masjid di seluruh Amerika Syarikat (AS). Setiap masjid itu bukan sahaja mempunyai keunikan pada seni binanya tetapi memiliki latar belakang sejarah yang menarik.

Menurut seorang penyelidik dan pencatat seni bina masjid dari Institut Teknologi Massachusetts di Boston, Dr. Omar Khalidi berkata, daripada 1,000 buah masjid dan pusat Islam yang ditinjau pada pertengahan 1990-an, kurang daripada 100 buah adalah bangunan yang memang pada asalnya direka sebagai sebuah masjid.

“Kebanyakan daripada bangunan-bangunan itu, selain sebagai tempat solat, ia dijadikan sebagai pusat kebudayaan komuniti dengan kemudahan seperti bilik pembelajaran, perpustakaan, dewan persidangan, kedai buku, dapur dan dewan sosial.

“Ia juga mempunyai kemudahan rekreasi, pangsapuri penginapan dan dalam beberapa kes lain tempat pengurusan mayat," kata beliau dalam artikelnya yang bertajuk, “Reka Bentuk Masjid di Amerika Syarikat" yang diterbitkan oleh Saudi Aramco World (November/Disember 2001).


BINAAN unik Dar al-Islam tidak seperti sebuah masjid kerana ia tidak memiliki kubah dan menara.

Pembinaan itu mungkin sejajar dengan impian generasi kedua dan seterusnya yang mungkin lebih menggemari seni bina yang lebih inovatif dan unik bukan hanya untuk tujuan ibadah tetapi lain-lain aktiviti sosio-ekonomi.

Malah, ia juga sebagai reaksi kepada prinsip asas ajaran Islam iaitu untuk hidup dengan harmoni bersama alam sekitar dan persekitaran sesuatu tempat.

Salah satunya adalah kompleks dan masjid Dar al-Islam di Abiquiu, New Mexico dan seni binanya direka oleh Hassan Fathy, arkitek terkenal dari Mesir, manakala pembinaannya oleh tukang kayu dari Nubia.

Apa yang menariknya lagi adalah pembinaannya menggunakan kaedah yang murah serta mesra alam dengan penggunaan batu lumpur yang telah dikeringkan.

Kompleks terancang

Malah, ia merupakan kompleks terancang pertama yang direka bagi disesuaikan dengan keadaan persekitaran komuniti Islam dan bukan Islam di sekitarnya.

Pembinaan itu juga turut bercirikan kesederhanaan, ketenangan dan penyatuan dalam seni bina untuk komuniti Islam yang semakin berkembang di New Mexico.

Masjid dan kompleks itu dibina pada 1980-an sebagai pusat kebudayaan dan ibadat untuk lebih 150 keluarga Muslim yang tinggal di New Mexico.

Idea pembinaan perkampungan itu bermula pada 1978 apabila seorang arkitek kelahiran New York, Abdullah Nuridin Durkee yang melihat tentang keperluan masyarakat Islam AS untuk mendalami dan melaksanakan ajaran Islam.

Di samping, bagi membolehkan mereka hidup dalam suasana harmoni dengan penganut agama lain yang ada di sekeliling mereka iaitu Roman Katolik, Protestan, Sikh dan Presbyterians.

Apa yang penting, kewujudan Dar al-Islam itu akan melahirkan komuniti Islam yang lebih segar dengan semangat toleransi serta saling menghormati di kawasan Amerika Utara.

Hari ini masjid Dar al-Islam berdiri megah sebagai pusat ilmu serta sebahagian daripada ketamadunan Islam.

Selain daripada masjid di AS pertama yang dihasilkan dalam bentuk model, masjid Dar al-Islam itu sendiri dikenali di seluruh dunia sebagai penghubung di antara kebudayaan hari ini dan masa lampau.

Dar al-Islam membuka pintunya kepada masyarakat AS pada 1982. Menjelang 1986 , ia mempunyai 60 pelajar dan tujuh guru sepenuh masa.

Dalam pertemuan tahunannya pada 1990, Dar al-Islam mula memberi tumpuan dengan mengadakan kelas mengenai Islam yang dikhususkan untuk golongan bukan Islam.

Dipamerkan

Untuk tatapan umum, model masjid itu dipamerkan sebagai koleksi tetap di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur dan ia telah dirasmikan oleh Duta Besar AS Ke Malaysia, Joseph Y. Yun dalam satu majlis ringkas di muzium itu, baru-baru ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Yun menyifatkan usaha tersebut bukan hanya untuk memperlihatkan keindahan seni bina masjid di AS tetapi satu gambaran tentang bagaimana pesatnya perkembangan agama Islam di negara tersebut.

“Saya difahamkan sehingga kini terdapat enam hingga tujuh juta penganut agama Islam di seluruh AS dan saya pasti, jumlah itu akan terus berkembang pada masa depan," katanya.

HASHNAN ABDULLAH Gambar EHSAN MUZIUM KESENIAN ISLAM MALAYSIA   Utusan Bicara_Agama 20140401

Reda ujian Allah

MALAPETAKA seperti jerebu, banjir besar, ribut taufan, tanah runtuh, kemarau dan kemalangan jiwa di udara yang meragut nyawa orang tersayang adalah ujian dan cubaan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Semua ujian dan cubaan ini didatangkan dalam bentuk malapetaka yang melibatkan alam ciptaan Allah SWT dan juga ciptaan manusia dan di luar kekuasaan dan kemampuan manusia.

Oleh itu, sebagai manusia yang beriman, kita digalakkan untuk lebih bersabar dan berkeyakinan teguh bahawa musibah itu datangnya daripada Allah SWT. Selain, reda dengan qada dan qadar Allah SWT serta tidak mudah berputus asa dan tidak putus-putus berdoa dan bertawakal. Malah pada masa sama perlu terus berusaha memperbaiki kehidupan dengan lebih baik adalah jalan terbaik yang perlu dilakukan.

Hakikatnya, ujian dan cubaan ini didatangkan bagi menyedarkan manusia bahawa alam adalah tempat kediaman, manakala akhirat lah yang kekal abadi. Apa pun ujian dan cubaan serta musibah yang menimpa manusia mestilah reda menerimanya, waima berat menanggung. Ini kerana semua itu dapat diubati dengan kepercayaan jitu bahawa ada kebaikan di sebalik setiap dugaan itu.

Justeru, Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. (al-Kahfi:7)

Jelaslah bahawa manusia diuji dalam pelbagai bentuk ujian dan cubaan juga musibah. Semua itu adalah ujian Allah SWT untuk melihat manusia mana yang paling baik perbuatannya, iaitu keimanannya. Lantaran itu, kalangan mereka yang diuji dan diduga mestilah sabar, reda dan pasrah menerimanya setelah berusaha mengatasinya.

Manusia yang telah dianugerahkan dengan akal fikiran, ilmu pengetahuan dan kemahiran sepatutnya mampu memikir dan melakukan langkah-langkah penjagaan yang perlu bagi mengelakkan apa juga malapetaka dan musibah. Di samping itu, manusia juga diminta sentiasa menguatkan akidah.

Antaranya, melibatkan konsep akidah iaitu kepercayaan yang kukuh dalam hati tentang kekuasaan dan kewujudan Allah SWT. keyakinan yang teguh terhadap kewujudan, keesaan dan kekuasaan Allah SWT. Yakin berlandaskan al-Quran dan hadis.

Di sebalik ujian dan cubaan Allah SWT terdapat hikmah jika bersabar. Nabi SAW bersabda: “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah SWT apabila menyenangi sesuatu kaum, Allah menguji mereka. Barang siapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannya dan barang siapa marah maka baginya murka Allah." (riwayat al Tirmizi)

Tersirat kebaikan

Yang pasti, di sebalik ujian ada tersirat kebaikan yang hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Oleh itu, melalui doa dan kesabaran adalah penawar segala duka dan musibah yang menimpa.

Oleh itu, setiap ujian dan cubaan serta musibah yang didatangkan kepada manusia adalah bertujuan untuk menguji keimanan mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka dia diuji (dicuba dengan sesuatu musibah). (riwayat Bukhari)

Sebagai manusia, kita tidak akan surut dengan pelbagai ujian malah ia datang dalam pelbagai bentuk ujian dan cubaan. Antaranya kematian orang yang tersayang, kemalangan yang melibatkan nyawa yang banyak, kehilangan harta benda, menerusi mala petaka seperti kebakaran, banjir dan kemalangan di laut dan di udara.

Berkaitan dengan ujian dan musibah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menguji hamba-Nya dengan menimpakan musibah sebagaimana seorang menguji kemurnian emas dengan api (pembakaran). Ada yang keluar emas murni. Itulah yang dilindungi oleh Allah daripada keragu-raguan. Ada juga yang kurang daripada itu (mulutnya) dan itulah selalu ragu. Ada yang keluar seperti emas hitam dan itulah yang memang ditimpa fitnah (musibah)." (riwayat Ath Thabrani)



DR. AMINUDIN MANSOR Utusan Bicara Agama 20140401

Kehilangan khazanah budaya Melayu

KISAH kehilangan bahan-bahan budaya Melayu lama daripada simpanan tanah air telah dipersoalkan semenjak dahulu lagi. Pada 1821 dilaporkan kehilangan khazanah bahan-bahan kajian dunia Melayu di bawah pengawasan Sir Stamford Raffles, apabila kapal yang mengandungi banyak artifak dunia Melayu Nusantara tenggelam di Lautan Hindi akibat malapetaka taufan.

Jika bahan-bahan tersebut terselamat dan dipamerkan di Muzium British, banyak ungkaian lama tamadun Melayu pasti dapat dihasilkan. Mungkin beberapa aspek sejarah dan warisan dunia Melayu beroleh tanggapan dan pengertian baharu.

Pada 1960, Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra, pernah mengarahkan Allahyarham Tan Sri Mubin Sheppard, Ketua Pengarah pertama Muzium Negara, supaya berusaha mengumpulkan semula pelbagai artifak lama dari Britain dan lain-lain punca untuk dipamerkan kepada khalayak negara kita yang baru merdeka pada ketika itu.

Tan Sri Mubin, berjaya pada peringkat tertentu mengumpulkan beberapa artifak lama tersebut termasuk diari atau buku-buku catatan pegawai pentadbir Inggeris, surat-menyurat antara Stamford Raffles dengan Temenggung Hussein Johor, surat-surat daripada Gabenor W. Farquhar kepada pegawai-pegawai tinggi Inggeris dan pelbagai catatan awal darihal Kuala Lumpur, catatan diari Sir Henry Gurney dan lain-lain. Mubin Sheppard juga berjaya mendapatkan pelbagai alat-alat perhiasan Melayu zaman Hindu dan Portugis yang tersimpan di Lisbon dan London.

Entah bagaimana, hal berkaitan artifak warisan Melayu, sama ada yang di Semenanjung ataupun di wilayah Kepulauan Melayu Nusantara lebih banyak terdapat di Barat daripada di wilayah sendiri. Terkini ialah berita bahawa sebahagian daripada artifak lama berhubung dengan seni budaya dan tulisan lama berkaitan dunia Melayu Nusantara, sedang dinilai dan dirancang untuk diagih-jual oleh pihak berkuasa Universiti Leiden di Belanda. Jika berita ini benar, satu kerugian besar kepada sumber pengkajian tamadun Melayu mungkin terakibat.

Perihal pelbagai bahan sejarah dan warisan memang sedia tersimpan di Universiti Leiden. Dokumen dan artifak asal berkaitan adat, persuratan Raja-raja Melayu, manuskrip asal pantun, puisi, syair, kaba, kaligrafi Islam, tambo (teromba) yang ada di universiti itu telah sekian lama menjadi bahan rujukan para sarjana.

Dalam senarai artifak dan bahan-bahan ini, sedia terdapat juga tulisan pada kulit binatang ternakan, serpihan batu bertulis, struktur megalith serta pelbagai lagi versi tulisan Jawi yang menjadi medium penulisan semasa dan selepas Islam berkembang di Asia Tenggara mulai abad ke-10.

Menurut maklumat terkini, Universiti Leiden di Hague, Belanda sedang dalam proses mengecilkan (dan akhirnya mungkin menutup) jabatan kajian dunia Melayu/Indonesia walaupun kajian mengenai Indonesia dan negara-negara Asia Tenggara diteruskan. Ini berupa susulan beberapa perkembangan mutakhir yang menampakkan bahawa pengajian Melayu/Indonesia menguncup popularitinya, barangkali akibat menurunnya permintaan untuk kajian penyelidikan pasca-graduasi (post graduate) berkaitan pengajian Melayu dan Indonesia.

Universiti itu, menurut sumber tertentu juga sedang menimbang untuk menjual himpunan artifak-artifak seni budaya dan warisan berunsurkan dunia Melayu yang begitu banyak dikumpulkan semenjak zaman penjajahan Belanda dan Inggeris. Universiti Leiden juga dilaporkan sebagai menyusun langkah menjual artifak dan bahan warisan itu secara pembidaan.

Ini bertentangan dengan apa yang berlaku di China di mana pengajian Melayu-Indonesia sedang meningkat di Universiti Beijing dan beberapa pusat pengajian lain di negara itu.

Gigih

Sejarawan akan mengingati bagaimana gigih sarjana penjajah mengumpul dan mempamerkan bahan-bahan warisan dari Asia dan Timur Jauh selama ini, khasnya selepas berakhirnya zaman penjajahan British, Perancis dan Belanda.

Mereka memunggah bahan-bahan sejarah dari Mesir, Afrika, India, Pakistan, Semenanjung Tanah Melayu, Hong Kong, Vietnam, Kemboja, Indonesia dan lain-lain. Daripada permata Kuhinoor hingga ke tulisan Kamasutra, Hikayat 1001 Malam; daripada emas hingga ke lesung pijak - semuanya diangkut dan dipunggah untuk koleksi pameran dan kajian mereka.

Tentang pengajian budaya timur atau Orientalisme pula, profesor-profesor ulung terdahulu seperti Roolvink, Teeuw, Josselin de Jong, George Coedes, Snouck Hurgronje dan lain-lain menjadi masyhur kerana mereka bersarjana tentang bahasa, adat, tradisi lisan, serpihan candi, batu bersurat, bahasa Melayu kuno, tulisan Palavi dan sebagainya.

Sir Richard Winstedt pula menjadi terkenal dengan kajian dan tulisannya berkaitan Malay Subjects atau Pengajian Melayu setelah menjadi pegawai daerah dan pegawai pentadbir Inggeris bersama R.J Wilkinson, A Caldecott dan Mubin Sheppard.

Malah beliau dan Prof. de Jong dari Universiti Leiden pernah berkolaborasi menulis tentang adat di Minangkabau dan Negeri Sembilan, satu-satunya mata pelajaran dan artifak yang kini paling banyak terkumpul di Leiden.

Sekiranya bahan-bahan tamadun Melayu dan Nusantara ini hilang daripada bidang pengkajian sarjana akibat dasar Universiti Leiden menjual atau mengagihkannya kepada pelbagai pihak, yang lebih kerugian ialah bangsa Melayu dan warga Nusantara sendiri.

Dalam himpunan yang bernama Adatrechtbundel, misalnya, seseorang pengkaji budaya Melayu khasnya adat Melayu - sama ada adat Perpatih atau adat Temenggung, akan beroleh pelbagai naratif kajian yang berguna dan meyakinkan. Dalam kumpulan ini akan disuai tulisan-tulisan Wellinck, Marsden, Overbeck, Datuek Batuah, Raffles (semasa beliau di Bencoolen 1821) dan lain-lain.

Yang menjadi rebutan ialah versi asal (original) bahan-bahan penyelidikan tersebut. Versi salinannya (jika dalam bentuk dokumen) yang juga bernilai, akan hanya terasas kepada kandungan penyelidikan bukan nilai sejarah atau nilai dari sudut warisannya.

Walau apapun, sebagai negara membangun dan yang masih tercari-cari akan sumber-sumber pengajian orientalisme kita sendiri, memiliki bahan-bahan tersebut bersama dengan apa-apa artifak seni budaya yang lain akan tetap tinggi nilainya. Jabatan Arkib Negara, Muzium Negara, Perpustakaan Negara serta beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kita seharusnya tangkas dan lekas bertindak untuk membuat keputusan menyiasat bahan bahan ini.

Dulu semasa Allahyarham Tan Sri Mubin menjadi Ketua Pengarah Muzium Negara pasca merdeka, beliau telah berjaya membawa balik beberapa artifak yang relevan dengan budaya dan warisan kita.

Kini, walaupun perhatian dan keutamaan yang diberikan terhadap sejarah, warisan dan budaya semakin menurun dan berkurangan, seperti ketiadaan dana perolehan dan pemuliharaan, harapan masih tinggi agar usaha murni mengumpul semula bahan-bahan warisan kita dapat berulang semula seperti mana ditunjukkan oleh Tan Sri Mubin setengah abad lalu.

TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM). tusan Bicara Agama 20140401

Mukmin melihat mati

BILAL bin Rabah diseksa oleh tuannya kerana memeluk Islam. Iman yang tertanam di dada hamba berkulit hitam ini bagai gunung yang sangat teguh. Walaupun diseksa dengan kejam, namun Bilal tidak berganjak daripada akidahnya. Baginya hanya Allah, tuhan yang wajib disembah. Abu Bakr al-Siddiq kemudian membebaskan Bilal setelah membelinya dengan harga yang cukup mahal.

Sejak hari itu, Bilal selalu bersama Nabi SAW untuk berkhidmat kepada baginda. Beliau turut hadir dalam setiap peperangan. Beliau juga merupakan orang pertama yang melaungkan azan. Selepas Rasulullah SAW wafat, Bilal berpindah ke Syam dan terus menetap di sana hingga akhir hayatnya.

Al-Hafiz al-Zahabi menceritakan dalam Siyar A’lam al-Nubala: Apabila Bilal hampir meninggal dunia, isterinya menangisi beliau. Beliau bersedih kerana akan berpisah dengan suami yang dicintai. Namun, pada masa yang sama, Bilal terlihat sangat bergembira. Beliau berkata: “Besok aku akan berjumpa dengan para kekasih, iaitu Muhammad dan para sahabatnya."

Hakikat kematian

Kematian untuk kebanyakan orang merupakan sesuatu yang tidak disukai. Sebab kematian memisahkan mereka daripada pelbagai perkara yang mereka cintai. Namun, bagi orang-orang tertentu, kematian merupakan saat yang dinanti-nanti. Sebab kematian akan membawa mereka kepada kebahagiaan yang abadi.

Sikap kedua inilah yang berlaku pada diri Bilal dan para sahabat Nabi SAW. Mereka sangat bergembira menghadapi kematian. Ini kerana, bagi mereka kematian akan mempertemukan mereka dengan para kekasih iaitu Allah, Rasulullah SAW dan hamba-hamba yang soleh.

Justeru, para sahabat Nabi SAW menyambut kematian dengan penuh suka dan gembira. Mereka menyerahkan nyawa mereka ke tangan malaikat maut dengan penuh ikhlas, mudah dan sukarela.

Abu Darda, seorang sahabat Nabi SAW yang juga menetap di Syam, berkata: “Aku menyukai kematian kerana rindukan tuhanku. Aku sukai kefakiran sebagai tawaduk kepada tuhanku. Dan aku sukai sakit kerana ia menggugurkan dosa-dosaku."

Berehat

Bagi seorang Mukmin yang percaya dengan kehidupan selepas mati, dunia ialah tempat bekerja dan akhirat ialah tempat menerima balasan. Selama hidup di dunia, seorang Muslim terikat dengan hukum halal-haram. Setiap ucapan dan perbuatannya selalu dijaga dengan baik agar tidak melanggar aturan-aturan tersebut.

Justeru, kematian membuka gerbang kebebasan yang membawa jiwa Mukmin menuju alam yang luas lagi indah. Dalam alam baharu ini, ia akan menikmati kehidupan abadi yang bebas daripada kepenatan, kesedihan dan kesakitan. Seorang Mukmin takut berpenat di dunia agar dapat berehat di akhirat.

Seorang sahabat Nabi bernama Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash pernah berkata: “Perumpamaan seorang Mukmin yang melepaskan rohnya ibarat seseorang yang baru sahaja dibebaskan daripada penjara."

Dakwaan Yahudi

Orang yang benar-benar cinta kepada Allah memandang positif kematian, bukan sebaliknya. Justeru, Allah SWT mendustakan dakwaan Yahudi yang mengatakan bahawa mereka bangsa yang disayang oleh Allah SWT, namun pada masa yang sama membenci kematian. Mereka malah berharap dapat hidup selamanya di muka bumi agar terus dapat memperturutkan hawa nafsunya.

Allah berfirman: Katakanlah (Muhammad): Wahai orang-orang yang beragama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah di antara umat-umat manusia yang lain, maka harapkanlah kematian jika betul kamu orang-orang yang benar! (al-Jumuah: 6)

Jelaslah bahawa dakwaan Yahudi ini sangat kontradiktif. Jika benar mereka dicintai Allah SWT, sudah pasti mereka akan memiliki konsep yang positif berkenaan kematian. Sebab siapa yang cinta kepada Allah SWT pasti suka berjumpa dengan-Nya, malah bukan melarikan diri daripada-Nya.

Rasulullah bersabda: Siapa yang menyukai perjumpaan dengan Allah, maka Allah pun menyukai perjumpaan dengannya. Dan siapa yang tidak menyukai perjumpaan dengan Allah, Allah juga tidak suka perjumpaan dengannya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk meneladani para sahabat Nabi SAW dalam semua aspek kehidupan kita. Amin Ya rabbal ‘alamin.



Utusan Bicara Agama 20140401