April 3rd, 2014

Dadah racun bunuh nyawa, agama

Apabila banyak kisah individu diberkas kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah didedahkan media, ramai yang melahirkan rasa ‘tidak terkejut’ kerana menganggap itu sebahagian daripada cara hidup moden.

Namun, tragedi kematian enam remaja serentak baru-baru ini akibat pengambilan dadah berlebihan menimbulkan reaksi masyarakat agak berbeza.


Penagihan dadah memusnahkan hidup manusia, meruntuhkan institusi kekeluargaan, mengancam keselamatan awam, bangsa dan negara. Tidak pernah ada liputan berita menyatakan kehidupan menjadi sempurna kerana dadah, sebaliknya hampir semua menonjolkan dadah sebagai racun yang membunuh nyawa dan agama.

Memandangkan majoriti rakyat negara ini berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka golongan ini jugalah yang mendominasi jenayah. Tangkapan demi tangkapan membuktikan najis dadah menjadi makanan harian segelintir umat Islam yang percaya kepada qada dan qadar Allah SWT.

Mereka ini arif soal hukum dan hakam serta kehidupan sesudah mati, yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri masing-masing, tetapi masih tidak mampu mengawal diri daripada tertipu dengan keindahan dunia yang tidak kekal lama.


Penyalahgunaan dadah haram

Walaupun najis dadah tidak pernah disebut dalam nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW, tetapi penyalahgunaan dadah jelas haram hukumnya berdasarkan beberapa dalil yang diqiyaskan ke atas arak atau perkara memabukkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Arak yang disebutkan ayat itu sebahagian contoh perbuatan kotor dan amalan syaitan.
Sudah tentulah apa saja perbuatan syaitan adalah perbuatan yang mensyirikkan Allah SWT. Itulah juga akibat daripada penagihan dadah yang di’illahkan sama seperti arak.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.” Kerana setiap yang memabukkan adalah khamar (arak), maka kita tidak boleh mengatakan hanya arak saja diharamkan dan bukan yang lainnya.

Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: “Pasti akan ada manusia dalam kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain.”

Arak dan dadah akan menyebabkan seseorang itu hilang kewarasan serta melakukan perbuatan jahat yang ditegah agama seperti berzina atau berbunuhan. Malah gejala sosial yang tidak terkawal hari ini juga ada hubung kaitnya dengan pertambahan individu yang mengambil arak dan dadah.

Tanggungjawab membanteras gejala dadah bukan terbeban kepada penggubal undang-undang atau penguatkuasaan saja. Sebaliknya ia tanggungjawab semua pihak yang sayangkan agama dan negara.


Rokok dekatkan diri kepada dadah

Dewasa ini, golongan bawah umur sudah ramai yang menghisap rokok, termasuk kanak-kanak perempuan. Ia tidak mengejutkan kerana kanak-kanak memang mudah terikut dan diikut. Hal ini tentulah membimbangkan kerana rokok mendekatkan mereka kepada dadah.

Ibaratnya, apabila sudah cukup handal menghisap rokok, mereka akan beralih kepada dadah pula dan ia menjadi lambang kejaguhan. Justeru, teman rapat yang tidak terjebak harus menunaikan tanggungjawab membantu mereka memulihkan diri.

Disebabkan ramai golongan muda yang lebih akrab dengan rakan sebaya berbanding ibu bapa, teman yang patut membantu ibu bapa mengatasi masalah ini dengan melaporkan salah laku kepada ibu bapa atau pihak berkuasa supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan segera.

Orang awam pula harus berasa bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa dan akidah waris agama yang semakin terancam kebelakangan ini disebabkan gejala sosial. Media juga harus mengambil kesempatan menonjolkan betapa jijik najis dadah.


Nik Salida Shuhaila Berita Harian Agama 2014/04/03

Catatan ilmu ejen perubahan masyarakat

Imam Syafii pernah mengungkapkan mutiara kata: “Ilmu itu adalah hasil buruan dalam karung dan menulis adalah tali ikatannya.” Ungkapan ini wajar diperkukuhkan dalam jiwa untuk membudayakan menulis atau mencatat ilmu yang diperoleh.



Jika ilmu tidak ditulis, pengalaman yang diperoleh tidak digarap, maka tunggu saja saat dan ketika apabila ilmu itu hilang. Belum tentu kita akan memperolehnya pada masa akan datang. Dengan itu, pentingnya menulis atau mencatat ilmu seperti kata Saidina Ali, ikatlah ilmu dengan menulis.


Usah memandang enteng usaha dan daya seseorang menulis kerana hasilnya nanti bakal memberi makna serta impak tersendiri. Jika bukan untuk orang lain, ia akan lebih bernilai buat penulis.

Penulis juga perlu mengaudit diri apabila mencatat sesuatu supaya ia memberi kesan baik. Berhati-hati menggarapkan idea supaya catatan tidak membawa kepada unsur takbur, ujub, riak, fitnah dan mengadu domba.




Membudayakan catat ilmu beri kebaikan kepada generasi baru.

Mata pena lebih tajam daripada pedang. Jika ia bermanfaat, ketajaman itu bakal memberi makna dan perubahan dalam kehidupan. Namun jika sebaliknya, maka tusukan ‘pedang’ itu akan membunuh jiwa-jiwa yang membacanya.


Penyampaian ilmu menerusi penulisan

Penulis yang baik akan mengambil kira unsur yang memudahkan penyampaian ilmu menerusi penulisan supaya dapat dicerna oleh pembaca. Sabda Nabi SAW: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing.” (Riwayat Muslim)

Malah, bahasa digunakan juga perlu mudah difahami. Setiap daripada kita perlu memahami keterbatasan ilmu yang dimiliki dengan memudahkan apa yang sukar bukannya merumitkan perkara yang biasa.

Paling penting, setiap apa yang ingin dicatat atau ditulis, penulis adalah individu yang paling berhak untuk mengambil inspirasi serta mengamalkannya.

Imam Ghazali pernah bermunajat, “Janganlah Engkau menjadikan kami termasuk dalam golongan orang yang hanya bercakap, kami mendengar, tetapi kami tidak mengamalkannya, kami mendengar, tetapi tidak menerima. Jangan jadikan kami orang yang apabila diingatkan, kami menangis keinsafan, namun apabila datang waktu untuk mengamalkannya, kami seperti biasa, melalaikan dan melupakannya.”

Munajat adalah contoh catatan yang berbisa dan berbekas di hati. Melalui catatan pengalaman hidup, ia mampu memberi pengajaran dan pedoman kepada generasi lain biarpun masa terus beredar.

Apabila menulis atau mencatat, elemen akal, hati dan fizikal umpama bergabung untuk menterjemahkan hasil penulisan itu. Maka, mencatat adalah satu proses yang berkait dengan akal. Tafakur dengan hati tenang dan waras akan menyalurkan suatu luahan yang baik dan sempurna.

Justeru, memahami serta mentadabbur ayat al-Quran akan menghasilkan penulisan yang baik dan memberi makna. Ia akan mengajar kita merenung, berfikir dan memperhalusi tanda kebesaran Allah SWT dalam mencari erti kehidupan sebenar.

Sesungguhnya setiap ciptaan Allah SWT di muka bumi ini mempunyai ibrah tersendiri untuk dikutip oleh manusia yang tahu menghargainya. Begitu juga memahami dan memikirkan apa yang dilihat, didengar dan dirasa akan menghasilkan bentuk penulisan bermakna.

Ada kala kita belajar daripada kehidupan orang lain, makhluk ciptaan Allah SWT dan meluahkan dalam bentuk penulisan yang boleh memberi pedoman kepada sesiapa saja serta menjadi peninggalan sampai bila-bila.


Ilmu disampaikan turun-temurun oleh ulama terdahulu

Kesungguhan ulama terdahulu, pada hari ini kita masih dapat melihat ilmu itu terus bertebaran dan disampaikan turun-temurun ke generasi seterusnya.

Sungguh hebat ilmuwan dulu. Disebabkan keazaman, kemahiran dan keinginan mencatat, akhirnya ia menjadi sumber inspirasi biarpun zaman dan musim terus beredar. Ia akan terus menjadi ejen kebaikan disebabkan satu daya usaha iaitu mencatat atau menulis.

Biarpun pada masa kini, penulisan sedikit berbeza seiring teknologi yang maju, namun ia tidak menyekat perkembangannya. Malah apa yang penting, dengan pesatnya pembangunan teknologi maka lebih pantas lagi perkembangan ilmu melalui catatan atau penulisan.


Perspektif IKIM Berita Harian Agama 2014/04/03 - 07:40:41 AM

Mujahadah melawan nafsu

ANTARA petanda kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu. Mereka akan berusaha memenuhi segala kehendak hawa nafsu dan akan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa yang dikehendaki.

Sabda Rasulullah SAW: “Musuhmu yang paling ganas ialah nafsumu sendiri yang berada antara dua sisimu." (riwayat Al-Baihaqi)

Mengikut Sheikh Said Hawa, melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah SWT dalam setiap perkara. Apabila nafsu dapat dikalahkan, seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah SWT dan mengetepikan kehendak peribadi.

Sementara di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali berkata, antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.

Oleh itu, seseorang yang mencintai Allah SWT sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya semata-mata kerana-Nya.

Menentang nafsu

Antara perkara utama yang ditekankan oleh al-Quran bagi menentang hawa nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat kepada Allah SWT ialah dengan menunaikan ibadah solat. Ia jika dilakukan dengan konsisten dan penuh harapan untuk mendapatkan keredaan-Nya, maka ia akan menghasilkan satu kekuatan luar biasa untuk menghadapi godaan hawa nafsu.

Maka tindakan menentang nafsu untuk menunaikan fardhu solat pada waktu-waktu yang ditetapkan itu menjadi asas yang teguh bagi kesempurnaan yang diidamkan. Sebaliknya Allah SWT memberi amaran kepada mereka yang mencuaikan perintah solat dan sentiasa mengikut hawa nafsu.

Firman Allah SWT: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). (Maryam: 59)

Sesungguhnya jiwa dan diri manusia itu memerlukan masa yang panjang untuk membetulkan tabiat dan sikap mereka sehingga mereka mempunyai tenaga yang cukup untuk membendung hawa nafsu. Umpamanya untuk menundukkan perasaan tamak haloba memerlukan perjuangan yang panjang.

Seandainya sasaran untuk dicapai oleh jiwa manusia itu ialah suatu peringkat dan keadaan di mana mereka mencintai kebaikan, merasai kelazatannya dan membenci kejahatan serta mengejinya, maka ia memerlukan perjuangan yang kental untuk mencapainya.

Firman Allah SWT: Kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: Perkara-perkara yang kamu benci, mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus. (al-Hujurat: 7)

Dikawal

Sifat hawa nafsu itu perlu dikawal, disekat dan ditentang. Keadaannya berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Di sana terdapat pelbagai sifat manusia antaranya cintakan diri, cintakan wanita, cintakan harta, cintakan nama dan kemasyhuran. Ini adalah contoh-contoh jenis naluri yang kebiasaannya dimiliki oleh manusia.

Ada orang yang mencintai dirinya dan tidak lagi dapat dan mahu melihat orang lain. Ada pula orang yang sangat mencintai harta kekayaan, sehingga malam dan siang bertungkus-lumus mengumpulkan harta. Walau bagaimanapun, tamaknya kepada harta, itu bukanlah pula untuk membelanjakannya sebagaimana tuntutan agama.

Seseorang itu tidak akan berjaya dalam pertarungan jihadnya melainkan apabila dia melatih dirinya dengan menentang hawa nafsunya dan berjalan terus menuju jalan yang lurus dalam keadaan sabar dan tabah.



Utusan Bicara Agama 20140403

Zakat santuni mereka

JODOH pertemuan, ajal dan kematian semuanya di dalam genggaman Tuhan. Allah SWT telah menentukan, segalanya dan tinggal kita menjalaninya sesuai dengan kehendak Allah SWT. Namun, Allah SWT tidaklah membiarkan kita hanya berserah kepada nasib semata-mata, kerana di sisi Allah juga disediakan pilihan, antara kebaikan dan keburukan buat kita menentukan hari muka. Maka, sehabis kudrat berusaha, gantungkan hasilnya kepada Allah SWT dan itulah tawakal namanya.

Begitulah aturan hidup manusia di dunia, harus ada gabungan antara usaha, doa dan tawakal. Sudah puas berusaha, maka ada kalanya Allah SWT kabulkan doa kita dari jalan-jalan yang tidak pula kita duga. Kita menginginkan anak sendiri misalnya, buat merawat kita di usia tua, namun Allah SWT mentakdirkan kita diberikan seseorang yang lain sebagai imbalannya. Inilah yang mahu dikongsikan, lewat Jejak Asnaf pada kali ini.

Miah Jamil, 85 dan adiknya, Maimun Jamil, 75 kini mencicip sisa-sisa usia mereka di sebuah rumah yang sederhana indah, hasil pembelaan cucu saudara mereka, Maria Mokhtar di sebuah apartmen di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. Kehidupan dua beradik ini memprihatinkan, lantaran mereka tidak mempunyai anak untuk menjaga mereka. Kini, Miah yang usianya sendiri sudah begitu tua, tampil menjaga adiknya yang hanya terlantar setelah jatuh dan lumpuh beberapa tahun yang lalu.

“Sebenarnya, jika mampu saya akan tanggung kehidupan nenek saudara saya ini. Namun, setelah nenek Maimun jatuh dan lumpuh, kos bagi menampung keperluannya sangat tinggi. Memang tidak cukup pendapatan saya."

Demikianlah Maria memulakan kisahnya, usai kami bersalaman di ruang tamu rumahnya yang kini dihuni dua nenek di usia tua.

“Dahulu, mereka tinggal di Petaling Jaya, namun terpaksa keluar dari rumah berkenaan kerana ada masalah dalaman keluarga. Dua nenek saudara saya ini pindah ke Damansara Damai, namun saya kasihan kerana keadaan di situ sangat tidak selesa bagi mereka. Bayangkan, apartmen di sana tiada lif, terpaksa naik tangga, walhal mereka sendiri sudah sangat tua. Lalu, saya ambil keputusan pindahkan mereka ke rumah saya di sini, kebetulan saya sendiri sudah membeli rumah baharu di Shah Alam."

Panjang lebar Maria berkongsi cerita. Jelas, di lubuk hatinya dia memang berusaha menyantuni kedua-dua orang nenek saudaranya itu, sedangkan jika dia menyewakan rumah berkenaan pasti untungnya lebih besar. Semoga Allah SWT memberkati kehidupannya sekeluarga, atas kebaikan hatinya meringankan bebanan nenek saudaranya yang sudah lanjut usianya.

“Nenek berasal dari Batu Gajah, Perak. Tapi, sudah lama pindah ke Selangor, sudah lebih dari 70 tahun. Dahulu semasa muda, nenek pernah bekerja kilang. Kemudian, nenek berhenti dan mengambil upah menjahit langsir dan alas meja. Alhamdulillah, dari situlah nenek mencari rezeki sehingga kini."

Upah menjahit

Giliran nenek Miah pula berkongsi kisah. Dia tidak omong kosong, malah dalam keadaan dirinya yang sudah tua dan perlu pula menjaga adiknya yang terlantar tanpa bicara, dia masih sanggup mengambil upah menjahit langsir. Ternyata, hasil jahitannya memang kemas.

“Nenek menjahit sekadar termampu sahaja. Maklumlah, diri pun sudah tua dan perlu juga menjaga adik yang sakit."

Kisahnya, nenek Maimun iaitu adik nenek Miah, dahulunya seorang penjawat awam di Kementerian Kewangan Malaysia dan bersara pada 2004. Dia pernah mendirikan rumah tangga, namun malang menimpa kerana suaminya melarikan diri, menceraikannya dan tega pula mengambil harta miliknya. Nenek Maimun juga tidak dikurniakan anak untuk menjaganya di usia tua.

“Adik saya ini, pernah berkahwin. Suaminya mengkhianatinya, dia lari membawa harta. Entah apa ilmunya, hatta rumah yang dibeli oleh adik saya pun, akhirnya berjaya dia ambil. Mujurlah adik saya ini menerima pencen bulanan sebanyak RM800, itulah yang menjadi sandarannya meneruskan kehidupan."

Lembaga Zakat Selangor (LZS) pula mulai memberikan bantuan kepada nenek Miah pada 2010. Ketika itu, nenek Miah bersama beberapa orang temannya telah memohon bantuan zakat memandangkan dirinya yang tidak berpendapatan tetap dan juga tidak mempunyai anak-anak untuk menyara. Alhamdulillah, dia diberikan bantuan bulanan sebanyak RM200, di samping beberapa jenis bantuan lain.

Kemudian, sekitar 2011 dia berpindah ke Bukit Jelutong dan tidak berapa lama kemudian, satu hari adiknya, nenek Maimun yang ketika itu masih mampu berjalan, telah terjatuh sewaktu mahu ke sebuah kedai. Pahanya patah, dan dia kemudiannya di rujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

“Itu hanya permulaan musibah, kerana selepas itu adik saya jatuh sekali lagi di dalam rumah dan kali ini, dia langsung ditimpa strok sehingga menyebabkannya menjadi lumpuh. Akibatnya, dia tidak mampu lagi berbuat apa-apa, melainkan hanya terlantar sahaja di atas katil. Serentak itu jugalah, kos menyara adik saya pun meningkat naik, apa lagi dengan pendapatan kami yang amat terbatas."

HAMIZUL ABDUL HAMID  ialah Eksekutif Dakwah di Lembaga Zakat Selangor (MAIS) Utusan Bicara Agama 20140403

Satu amalan Islam yang mulia

Setiap perkahwinan ada risiko untuk bercerai. Antara penyebab yang paling popular diberikan ialah sudah tidak ada persefahaman antara suami dan isteri dalam melayari bahtera perkahwinan.

Walaupun bercerai atau jatuh talak tidak disukai dan Rasulullah SAW, namun baginda ada bersabda yang bermaksud: “Perbuatan halal yang dimurkai oleh Allah ialah talak." (riwayat Abu Daud dan Hakim) tetapi ia merupakan takdir dalam kehidupan manusia.

Sebagai makhluk Allah SWT, kita perlu bersikap terbuka dengan takdir itu. Mungkin ada hikmah di sebaliknya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak hjmengetahui. (al-Baqarah: 216)


AKTIVITI yang melibatkan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan perlulah diawasi agar tidak timbul fitnah.- Ghazali Basri

Atas sebab itulah, pakar kaunseling keluarga dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abdul Ghani tidak menolak kemungkinan risiko cerai itu ada sekalipun di dalam nikah khitbah atau nikah gantung.

“Apabila bercerai, perempuan itu mendapat status janda dan bila keadaan itu, peluang untuk dapat suami lain agak sukar dan tambahan pula jumlah lelaki lebih kecil berbanding perempuan.

“Semua itu adalah ketentuan Allah SWT dan kita sebagai makhluk-Nya perlu menerimanya dengan hati dan fikiran yang terbuka kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Begitu pun, ibu bapa tidak sepatutnya memikirkan persoalan itu apabila anak remaja yang masih belajar atau baharu bekerja mahu melaksanakan nikah tersebut dengan pasangan yang dicintainya itu.

Ini kerana, nikah tersebut akan mengelakkan anak-anak remaja mereka itu daripada terjebak dengan maksiat atau lebih teruk lagi, terlanjur dengan pasangan masing-masing.

HASHNAN ABDULLAH Gambar Ghazali Basri Utusan Bicara Agama 20140403

Nikah khitbah sarat hikmah

SETIAP manusia mahu mencintai atau dicintai kerana ia adalah fitrah kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Dengan kata lain, jiwa manusia memerlukan cinta, seperti mana jasad perlukan makanan dan minuman.


Namun Allah SWT tidak menciptakan rasa cinta itu secara membabi-buta. Dia turut mencipta peraturan cinta demi menjaga maruah pasangan dan nilai cinta itu sendiri.

Ini kerana, Allah SWT inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia dalam melaksanakan keinginan fitrah semula jadi itu kerana keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan, sama ada di dunia atau di akhirat.

NIKAH khitbah hanya perlu majlis nikah sahaja. - Gambar hiasan

Tetapi persoalannya, sejauh manakah pasangan yang bercinta itu mampu bertahan. Godaan ‘orang ketiga’ iaitu syaitan ke arah zina itu sudah pasti akan bertambah kuat kerana itulah janji syaitan kepada Allah SWT.

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Jangan sekali-kali seorang laki-laki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, karena ketiganya adalah syaitan."

Malah, sejarah manusia sehingga kini membuktikan godaan ‘orang ketiga’ itu jarang sekali tewas di tengah jalan. Makhluk ini tidak pernah gagal dalam misi mereka menyesatkan anak Adam.

Godaan sedemikian telah menjadikan masalah gejala sosial hari ini tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan, tetapi kini telah mencapai tahap membimbangkan.

Trend pembuangan bayi di Malaysia seperti menjadi sumpahan apabila tabiat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini semakin popular dalam kalangan remaja, termasuk pelajar universiti.

“Lelaki dan perempuan yang bercinta itu memang mahu merasai kenikmatan syurga dunia itu tetapi dengan pasangan yang mereka sayangi atau cintai.

“Walaupun Islam ada caranya tetapi disebabkan halangan adat resam dan juga pemikiran cetek ibu bapa, menyebabkan pasangan itu memilih cara haram, termasuk bernikah di Thailand," kata pensyarah Pengurusan Tabung Haji, Haji dan Umrah, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi, baru-baru ini.

Salah satu cadangan sesuai dengan suasana cabaran dan sikap masyarakat hari ini yang lebih terbuka berbanding era sebelum 70-an adalah melaksanakan nikah khitbah atau dalam masyarakat Melayu-Islam di negara ini memanggilnya sebagai nikah gantung.

Cadangan itu sesuai kerana secara hakikatnya, ibu bapa hari ini sukar untuk mengawal tingkah laku serta pergerakan anak remaja, termasuklah yang bergelar pelajar, walaupun mereka dibekalkan dengan didikan agama yang kuat.

Sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah SWT Maha Luas Rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui. (an-Nur: 32)

Mengulas lanjut, Lukmanul Hakim berkata, kesesuaian nikah itu kerana ia bukan hanya dapat menghalalkan hubungan cinta daripada segi agama tetapi boleh memberi peluang kepada pasangan itu untuk mengenali hati budi masing-masing.

“Halal kerana pasangan itu telah bernikah tetapi apabila ia (nikah) disatukan dengan khitbah, maka mereka tidak dapat duduk bersama (tidak boleh bersetubuh), nafkah zahir (isteri) pun tergantung, begitu juga dengan majlis walimah.

“Walaupun ia nampak sama seperti pertunangan, tetapi sebenarnya ia lebih baik kerana nikah gantung itu membolehkan pasangan bersentuh atau merasai nikmat pasangan bercinta tanpa rasa takut atau berdosa kerana mereka sah sebagai suami isteri," katanya.



HASHNAN ABDULLAH Utusan Bicara Agama 20140403