April 4th, 2014

Isu nafkah anak: 'Usah lukakan hati anak'

Memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sendirian bukanlah mudah. Ditambah kos sara hidup yang tinggi menyebabkan pelakon jelita, Rita Rudaini sebak ketika mendengar pengakuan bekas suami pada perbicaraan kes tuntutan nafkah dua anaknya, baru-baru ini.

Pada sesi perbicaraan lalu, pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan, 27, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, beliau hanya mampu membayar RM2,000 sebulan kepada bekas isterinya sebagai nafkah dua anak lelaki mereka.

Hasil perkongsian hidup bersama, Rita dan Aidil dikurniakan dua putera iaitu Airit Rayyan Rizqin,5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3.

Bukan mahu berkira, namun pengakuan Aidil merentap naluri keibuan Rita. Biarpun mampu menyediakan kehidupan selesa buat anak-anaknya, Rita tidak mahu Aidil lupa tanggungjawabnya sebagai bapa.

Rasa sebak

“Saya sangat sebak sewaktu mendengar pengakuan Aidil. Bayangkan kos sara hidup sekarang bukannya murah, yuran sekolah saja sudah mahal. Belum lagi termasuk makan pakai dan sakit pening.

“Saya tidak tahu hendak kata apa. Dia tidak sepatutnya berkira dengan anak-anak. Janganlah disebabkan terlalu ingin menjaga hati banyak pihak, dia sanggup mengorbankan kebajikan anak, sedangkan dia sepatutnya mengutamakan anak terlebih dulu,” kata Rita ketika dihubungi HIP.

Bagaimanapun, ujar Rita, keputusan berhubung nafkah itu belum muktamad kerana masih ada dua lagi sesi perbicaraan yang akan bersambung Jun depan.

Rita yang berkahwin dengan Aidil pada 28 Februari 2008 sebelum sah bercerai September tahun lalu, memohon bekas suaminya itu supaya tidak melupakan tanggungjawabnya biarpun Aidil sudah mendirikan rumah tangga sekali lagi.


Serimah Mohd Sallehuddin Berita Harian HIP 2014/04/04 - 06:30:13 AM

Al-Quran sumber ilmu, teladan, pengajaran untuk diamal

Umumnya terdapat tiga bentuk kisah yang terdapat dalam al-Quran, pertama, kisah nabi terdahulu bermula daripada Nabi Adam sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW. Kisah itu mengandungi penjelasan mengenai dakwah mereka kepada kaumnya.

Cerita itu turut menjelaskan mengenai mukjizat yang memperkuat dakwah, sikap orang yang memusuhi, tahap dakwah, perkembangan serta akibat diterima oleh golongan yang mempercayai serta mereka yang menentang atau mendustakan ajaran nabi.


Kedua, kisah bersangkutan dengan peribadi, sikap dan peristiwa berlaku kepada golongan tertentu yang dinukilkan oleh Allah SWT untuk dijadikan teladan. Contohnya, kisah Maryam dan Zakaria, Luqman al-Hakim, Dzulqarnain, Ashabul Ukhdud, Qarun, Ashabul Kahfi dan Ashabul Fiil.

Kisah seterusnya berkaitan peristiwa berlaku pada zaman Rasulullah SAW antaranya Perang Badar, Uhud, Ahzab, Hunain, Banu Quraizah, Bani Nadzir, Zaid bin Haritsah dengan Abu Lahab, berita golongan fasik, peristiwa Israk Mikraj dan banyak lagi.

Faisal Ahmad Munsari dalam kitabnya ‘Durus Wa ‘Ibar Min Qasasil Kitab Wa Sunnah’ membahagikan kisah sejarah dalam al-Quran kepada tiga bahagian iaitu pengetahuan serta teladan berkaitan ilmu dan amal.

Ia mencakupi bagaimana ilmu agama berkaitan perkara dunia dijelaskan kepada manusia termasuk tujuan ilmu itu diamalkan serta ganjaran diperoleh daripada mengamalkannya.

Pengajaran berkaitan dakwah di jalan Allah SWT terkandung dalam kisah sejarah perjalanan dakwah nabi dan rasul. Perjuangan dakwah mereka mengajak umat tunduk serta patuh kepada perintah Allah SWT tanpa ragu-ragu.

Pengajaran kisah kehidupan kekeluargaan sebagai penyempurnaan terhadap teladan ilmu serta amal kepada jalan Allah SWT. Pembentukan keluarga mengikut acuan Allah SWT antara sejarah penting yang dipaparkan dalam al-Quran untuk panduan manusia.

Sumber: Ensiklopedia Al-Quran Berita Harian Agama 2014/04/04 - 08:04:54 AM

Semua bebas kecapi pemberian Tuhan

Hanya dengan menginsafi nikmat cukup menandakan individu beriman

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Beribadahlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang yang) bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 21)

Ayat mengandungi seruan seumpama ini adalah yang pertama dalam susunan al-Quran dan diulang sebanyak 20 kali dalam keseluruhan al-Quran. Sekalian manusia yang dimaksudkan ialah manusia pada zaman Rasulullah SAW dan selepasnya.


Ini bermakna perintah beribadah adalah perintah yang berterusan serta berpanjangan kepada seluruh manusia dulu, kini dan akan datang. Islam datang ketika dunia dipenuhi dengan timbunan kepercayaan, pemikiran, pendapat yang bercampur aduk di antara yang benar dan batil.

Kepercayaan jahiliah tegak di merata tempat dengan kepercayaan kepada pelbagai tuhan yang disifatkan sebagai tuhan-tuhan kecil di samping tuhan yang agung mengikut sangkaan mereka.

Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan membawa mesej terpenting iaitu mengabdikan diri hanya semata-mata kepada Allah SWT sama seperti dakwah rasul sebelum baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (Surah an-Nahl, ayat 36)

Fokus dakwah Baginda SAW ketika itu ialah bangsa Arab dan Yahudi Madinah serta kawasan sekitarnya. Ini disebabkan mereka pernah beriman kepada Allah SWT, tetapi telah menyembah selain-Nya atau menjadikan suatu perantaraan dengan Allah SWT.
Perkataan ibadah dalam bahasa Arab memberi maksud tunduk, sembah dan merendah diri. Di sini, ibadah membawa makna mentauhidkan Allah SWT, beriltizam dengan syariat-Nya dan menolak pemujaan kepada selain Allah SWT.

Manusia diseru supaya beribadah kepada Tuhan mereka. Perkataan Ar-Rab (Tuhan) yang digunakan adalah nama Allah SWT yang paling hampir kepada manusia. Rab al-Alamin bermaksud Tuhan sekalian alam yang mendidik dan memelihara seluruh alam.

Allah SWT tidak pernah menghalang makhluknya menikmati pemberian rububiyyah-Nya di dunia ini. Sinaran matahari dapat dinikmati oleh semua orang sama ada orang Mukmin atau kafir, hujan turun untuk semua sama ada orang itu teguh keimanannya atau langsung tidak mempercayai kewujudan Allah SWT.

Begitu juga seseorang itu boleh menghirup udara segar Allah SWT sama ada dia seorang yang sentiasa mengerjakan solat lima waktu atau tidak pernah bersolat walaupun satu rakaat ketika hidupnya.

Al-Quran menarik perhatian manusia bahawa hanya dengan menginsafi segala pemberian nikmat Allah SWT, ia sudah cukup kepada manusia untuk beriman dan patuh kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).” (Surah al-Baqarah, ayat 22)

Ramai yang mengakui Allah SWT sebagai Tuhan pencipta alam, tetapi di samping itu mereka mempercayai pelbagai tuhan yang lain menguasai kehidupan mereka. Kepercayaan seperti ini nampak jelas aneh dan lucu, tetapi itulah yang telah berlaku dan sedang berlaku.

Jika hanya Allah SWT saja yang disembah dan diminta pertolongan, maka selama itulah manusia bebas daripada perhambaan kepada peraturan dan undang-undang ciptaan manusia, tokoh serta dongeng dan kepercayaan karut-marut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang yang tidak melakukan syirik) mengenai apa yang mereka perselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (Surah al-Zumar, ayat 3)


Ahmad Shukri Yusoff ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources Berita Harian Agama 2014/04/04 - 08:06:00 AM

Pendekatan wasatiyyah untuk semua

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkatakan mengenai gagasan kesederhanaan selepas hampir setahun mengambil alih kepimpinan politik Malaysia, diperkenalkan pendekatan wasatiyyah sebagai kerangka penegasan semula kontrak sosial masyarakat yang sedikit tercabar oleh kemaruk politik.

Konsep wasatiyyah melangkaui kehendak umat Islam, ia juga mempunyai maksud dan penekanan yang besar dalam agama-agama lain, perbezaannya adalah dari aspek istilah.

Wasatiyyah bermakna kesederhanaan, keseimbangan dan tidak melampau. Tindakan melampau adalah musuh kepada mana-mana agama, kerana setiap agama mengajarkan penganutnya mencari ketenangan, membina rukun hidup yang harmoni, saling menghormati dan jauhkan diri daripada perangkap prejudis.

Bagi meneruskan kesinambungan gagasan tersebut, awal tahun 2012, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), yang diurus tadbir menerusi Jabatan Perdana Menteri.

Namun, gagasan yang dicanang sebagai gerakan dunia tanpa kekerasan dan keganasan menemui jalan yang 'tidak seindah di mata dan sehebat di mulut'. Wasatiyyah sebagai gagasan menemui realitinya yang sebenar dengan hambarnya perhatian masyarakat secara amnya.

Gagasan ini seolah-olah hanya milik orang tertentu, milik orang berkolar putih, milik orang berkelulusan tinggi dan milik orang yang pandai bersilat lidah. Gagasan ini tidak mempunyai keupayaan untuk menyentuh dan mendekati orang ramai terutama bagi orang biasa yang tiada memiliki kriteria cerdik pandai.

Walhal, inilah hakikat sebenar kepentingan kita untuk menghayati pendekatan wasatiyyah. Satu pendekatan yang mengelakkan kita daripada bersikap melampau, taksub kepada pemimpin parti politik atau individu tertentu dan membuta tuli mengkritik pemimpin organisasi dan sebagainya.

Sedangkan, pendekatan wasatiyyah diyakini memberikan kesan positif kepada terbentuknya sikap bertolak ansur, seimbang (tawazun) dan sentiasa mengamalkan sikap tidak memudahkan dan menyusahkan (tawasuth).

Wasatiyyah adalah cerminan sikap mengambil jalan tengah dengan tidak terjerumus ke dalam sikap berpuak-puak.

Kalau kita tengok dari segi konsep dan kerangka yang diuar-uarkan oleh pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya, sebenarnya tidak ada yang silap. Semuanya bagus belaka. Semuanya bersumber kepada arahan Allah sebagaimana dalam al-Quran dan pengalaman Nabi Muhammad dalam mengembang amanahnya sebagai Rasul sebagaimana yang termaktub dalam hadisnya.

Oleh itu, penganjuran Seminar Antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah dalam Kerangka Maqasid Syariah yang akan dianjurkan oleh Institut IWM Jabatan Perdana Menteri pada 8 hingga 10 April ini di Kuala Lumpur perlu untuk menggariskan dan memantapkan matlamat asal gagasan wasatiyyah.

Seminar itu perlu merumuskan langkah terbaik bagi terus mengarus perdana dan merelevankan gagasan ini dalam pemikiran dan sanubari rakyat.

Seminar ini akan menemukan beberapa orang pemikir Islam antarabangsa dari dalam negara dan luar negara, terutama dari Timur Tengah. Sebanyak 11 kertas kerja dijangka dibentangkan dan perasmiannya bakal dilakukan oleh Perdana Menteri manakala Pengerusi IWM akan menyampaikan ucap utama bertajuk `Penghayatan Wasatiyyah Dalam Pentadbiran Malaysia’.

Wasatiyyah juga membimbing umat manusia untuk menghayati prinsip-prinsip yang ditekankan oleh maqasid syariah.

Dalam konsep maqasid ini, terdapat tuntutan yang menghendaki manusia untuk menyeimbangkan kehidupan akhirat dan dunia dengan seruannya untuk mempertahankan lima prinsip tunjang matlamat syariah iaitu agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Kelima-lima prinsip ini hakikatnya menjadi teras kepada terbentuknya masyarakat yang peka dan menghormati kerencaman agama, etnik dan bangsa di negara ini.

Selain itu, intipati daripada prinsip maqasid adalah maslahah. Dalam konsep maslahah, perkara utamanya adalah mendahulukan kebaikan dan kepentingan orang ramai (maslahah 'ammah) dari kepentingan peribadi atau organisasi (maslahah khassah).

Oleh itu, kepentingan menjaga dan memastikan ketenteraman awam adalah lebih utama berbanding membiarkan golongan tertentu mengancam ketenteraman dan kepentingan orang ramai.

Misalnya dalam kes demonstrasi. Meskipun tujuannya adalah untuk meluahkan pendapat dan pandangan yang menjadi hak setiap warganegara sebagaimana yang dijamin dalam perlembagaan, akan tetapi kerana ia boleh membawa kepada terbukanya peluang huru-hara, maka tindakan itu adalah ditegah dalam prinsip ini.

Keutamaan maslahah ini harus dipelihara mengikut yang sewajarnya dalam pembinaan hukum dari semasa ke semasa.

Dalam konteks peribadi, maslahah yang ditekankan dalam prinsip maqasid adalah wujudnya kepastian keperluan asas (maslahah daruriyah) yang mesti dipenuhi.

Sekiranya keperluan asas ini tidak dapat dicapai, maka maslahah tahsiniyyah (keperluan untuk hidup yang lebih baik) tidak menjadi keutamaan yang perlu diselesaikan secara segera.

Oleh itu, sekiranya dalam kehidupan masyarakat hari ini sudah mantap, stabil, kukuh kedudukan ekonominya dan menjadi negara contoh kepada negara Islam yang lain, maka keperluan menukar kedudukan status quo yang sedia ada dengan sistem yang belum tentu baik kesudahannya adalah amat tidak digalakkan.

Apa yang diharapkan seminar ini juga perlu mencari satu formula yang dapat mengelakkan gagasan ini hanya dibincangkan ketika satu penganjuran forum-forum rasmi sahaja seperti dalam seminar, diskusi, karnival dan tema peringatan Hari Besar Islam seperti peringatan Maulidur-rasul, Maal Hijrah dan sebagainya.

Setelah tidak ada forum, hilang begitu sahaja tanpa tindakan selanjutnya bagi membolehkan umat Islam kekal menghayati kefahaman tentang wasatiyyah.

Gagasan yang sangat dituntut oleh Islam ini perlu terus menjadi pegangan oleh semua orang tidak kira umat Islam atau bukan Islam. Gagasan ini diharapkan yang tidak timbul-tenggelam disebabkan himpitan dan hingar bingar dinamika politik yang sentiasa hidup setiap saat.

Ia perlu menjadi gagasan yang terus mewujud ke dalam minda umat tanpa mempersoalkan siapakah yang memperkenalkannya, institusi mana yang menggerakkannya dan siapa seterusnya yang akan menjalankannya.

Tidak patut timbul apa yang berlaku sekiranya kepimpinan yang sedia ada telah berganti dengan kepimpinan yang lain. Ia perlu kekal tanpa perkiraan-perkiraan semacam itu.

Pendekatan yang secantik ini sepatutnya menjadi agenda milik bersama melangkaui sempadan parti politik, aliran pemikiran dan kecenderungan pegangan mazhab. Jadikan ia satu pendekatan yang tidak tersekat oleh sentimen dan emosi sempit.

Kembalikan idea wasatiyyah pada matlamat asal gagasan ini dicanang sehingga berjaya membentuk masyarakat yang harmoni dan penuh kasih sayang.

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Rencana 20140404

Zakat mas kawin

SAYA ada beberapa persoalan mengenai zakat dan mohon pencerahan pihak ustaz. Pertama, mengenai mahar atau ‘mas kahwin’ yang diberikan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita yang dinikahinya, adakah ia wajib dizakatkan? Kedua, adakah seorang wanita yang menerima elaun bulanan daripada suaminya juga wajib mengeluarkan zakatnya? Ketiga, adakah seorang wanita yang kematian suami dan telah diwasiatkan oleh suaminya untuk mengelolakan harta tertentu bagi pihak anak-anaknya yang masih di bawah usia baligh, wajib mengeluarkan zakat bagi pihak anak-anaknya?

Jawapan

Alhamdulillah, sesungguhnya persoalan-persoalan yang dikemukakan ini amat baik sebenarnya bagi memberikan pencerahan kepada kalangan majoriti umat Islam yang mungkin selama ini masih kabur mengenai persoalan zakat seperti di atas ini. Mudah-mudahan, Allah SWT membantu saya dalam menyajikan jawapan yang terbaik, amin.

Baiklah, mari kita telusuri satu persatu soalan yang dikemukakan.

Pertama, mengenai mahar atau mas kahwin yang diberikan kepada seorang wanita, maka adakah ia wajib dizakatkan? Ada beberapa pandangan fuqaha dalam hal ini, namun majoriti fuqaha berpandangan bahawa mahar yang diberikan itu wajib dizakatkan.

Cumanya, apakah bentuk mahar berkenaan? Ini kerana, mahar tidak semestinya dalam bentuk emas, kerana ia juga boleh dalam bentuk wang, harta yang bernilai yang lain, hatta boleh juga dalam bentuk bukan harta, seperti mana diriwayatkan oleh Imam Muslim, ada sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernikah hanya membayar maharnya dengan beberapa surah daripada al-Quran kerana kemiskinannya tidak memungkinkan dia memberikan hartanya.

Maka, fuqaha menyatakan jika ia diberikan dalam bentuk emas, hendaklah disandarkan kepada zakat emas. Jika diberikan dalam bentuk wang, maka ia boleh dicampurkan dengan lain-lain harta perolehan (pendapatan) dan dikeluarkan zakatnya sebagai zakat pendapatan.

Jika dalam bentuk harta lain yang tidak berkembang, misalnya diberikan sebuah kereta atau rumah atau tanah, maka tidaklah wajib dizakatkan, kecuali harta itu berubah sifatnya menjadi harta yang berkembang (mendatangkan wang seperti disewa atau dijualkan). Jika maharnya dalam bentuk bukan harta (seperti sepotong surah), maka tidak adalah zakat ke atasnya (rujuk Dr. Amir Said az-Zahari, Tanya Jawab Tentang Zakat, hal. 21).

Kedua, mengenai zakat ke atas wang elaun bulanan yang diberikan oleh seorang suami kepada isterinya? Hakikatnya, bukan sahaja wang elaun bulanan daripada seorang suami kepada isteri, malah ia juga boleh dikembangkan lagi kepada semua jenis pemberian daripada orang-orang yang lain, misalnya daripada anak-anak, daripada saudara-mara, hatta sesiapa sahaja. Ini kerana, setiap pemberian itu hakikatnya bersifat harta perolehan kepada si penerima.

Berdasarkan fatwa zakat pendapatan di Selangor, semua jenis harta perolehan termasuklah pemberian daripada seseorang dikategorikan sebagai pendapatan dan wajib dizakatkan sebagai zakat pendapatan. Maka, di sini jelaslah pemberian elaun daripada suami kepada isterinya itu, wajib dizakatkan.

Cuma, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu apakah elaun bulanan itu diberikan oleh suami, sebagai elaun khusus buat isteri atau perbelanjaan asasi bagi rumah tangga. Misalnya, jika si suami memberikan RM4,000 dan diberi tahu kepada isterinya, RM2,000 adalah untuk keperluan rumah tangga, misalnya untuk belanja dapur, bayaran bil elektrik dan air serta sebagainya dan RM2,000 lagi ialah khusus untuk isterinya, maka hanya RM2,000 itu sahajalah yang wajib dizakatkan oleh isterinya sebagai zakat pendapatan.

Kesimpulannya, kewajipan zakat itu adalah sesuatu yang wajib diperhatikan kerana ia bukanlah kewajipan seperti solat atau puasa dan haji yang lebih bersifat ibadah badaniyyah, melainkan ia kewajipan harta yang boleh diwakilkan kepada orang lain untuk dilaksanakan sehingga terlepaslah diri seseorang daripada tanggungan dosa kerana mengingkarinya. Wallahua’lam.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan atau pandangan, sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.



Utusan Bicara Agama 20140404

Bersihkan gaji

SAYA ada mohon pekerjaan dengan sebuah syarikat yang menjual kereta. Seandainya saya diterima bekerja di situ, sudah pasti syarikat tersebut menggalakkan pembeli kereta membeli dengan mengambil pinjaman yang ada kadar faedah. Adakah halal rezeki yang diterima daripada pendapatan/gaji tersebut.

Jawapan

Pekerjaan di syarikat menjual kereta adalah harus. Ini kerana aktiviti syarikat jualan masih berpaksikan kepada sistem jual beli. Dalam Islam, jual beli adalah harus dan halal. Barang yang dijual adalah kereta. Kereta adalah barang yang harus di jual beli.

Cuma timbul isu tentang pinjaman pembeli yang menggunakan perkhidmatan pinjaman yang ada unsur riba atau pinjaman dengan faedah. Pinjaman ini termasuk dalam jenis riba.

Dalam hal ini, aktiviti pinjaman riba tidaklah menjejaskan kehalalan pekerjaan. Ini kerana ia adalah dua isu yang berbeza. Kehalalan wang yang diterima daripada pekerjaan terletak kepada bagaimana kaedah wang tersebut sampai kepada kita sebagai pekerja. Sudah tentu dalam syarikat jualan kereta, terdapat pelanggan/pembeli yang menggunakan sistem pinjaman riba dan ada juga pembeli yang menggunakan sistem pembiayaan yang patuh syariah.

Hal pinjaman/pembiayaan adalah urusan dan keputusan pihak pembeli. Mereka yang membuat keputusan. Justeru, jika pelanggan memilih sistem pinjaman riba, maka pelanggan yang menanggung dosanya. Manakala syarikat kereta menerima wang daripada pelanggan atas asas jual beli. Maka wang yang diterima adalah harus dan halal.

Walau bagaimanapun, mungkin sebagai pekerja kita juga akan terlibat sedikit sebanyak dengan proses dokumen dengan pihak bank. Maka ketika ini, wujud sedikit unsur yang meragukan. Hal ini boleh diatasi dengan bersedekah beberapa peratus atau memperuntukkan sedikit wang gaji untuk disedekahkan bagi membersihkan pendapatan.



Utusan Bicara Agama 20140404

Tanggungjawab sesama Muslim

ALHAMDULILLAH, pada kali ini, penulis cuba membincangkan isu berkaitan tanggungjawab kita kepada saudara kita seIslam. Ini bertitik tolak daripada firman Allah SWT yang bermaksud: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 10)

Pada kali ini, penulis sengaja mengulas sebuah hadis riwayat al-Bukhari. Daripada Abu Musa al-Asyaari r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Ziarahlah pesakit, berilah makan orang yang lapar dan bebaskanlah tawanan. (riwayat al-Bukhari 10/117)

Pedoman dan iktibar hadis:

Hadis ini menunjukkan salah satu tanggungjawab Muslim terhadap saudaranya dengan menziarahi apabila dia berada di dalam keuzuran. Ini kerana nampak kesetiaan serta kejujuran dalam persahabatan, di samping tanda bersimpati.

Hadis di atas mengemukakan tiga suruhan kepada umat Islam sebagai sifat ta’awun dan takaful sesama mereka. Satu tanggungjawab kemanusiaan, bahkan keislaman itu sendiri hendaklah dijunjung supaya kehidupan masyarakat menjadi utuh dan padu.

Antara anjuran tersebut ialah memberi makan kepada mereka yang memerlukannya, menziarahi pesakit dan membebaskan mereka yang dalam tawanan. Bantuan seperti ini sudah pasti disyukuri oleh penerimanya dan budi tersebut akan dibawa dalam kamus kehidupannya sebagai sumbangan yang tidak ternilai.

Sikap dan sifat seperti ini sewajarnya dipupuk dalam masyarakat kerana ia menatijahkan masyarakat penyayang yang sudah tentu menguatkan lagi hubungan jaringan persahabatan. Akhirnya, kesatuan dan kekuatan ummah dapat dibentuk di bawah payung ukhuwah Islamiah.

Sungguhpun begitu, amat wajar bagi penziarah pesakit menziarahi dengan mengikut adab dan etika supaya ia memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Alangkah indahnya sekiranya dibawa bersama buku-buku ilmiah berkaitan agama untuk difahami oleh pesakit khususnya membabitkan amalan yang mesti dilakukan seperti berwuduk, tayamum dan solat dalam keadaan uzur. Ini kerana boleh menjadikan pesakit sentiasa prihatin dan bertanggungjawab berkenaan dengan ibadat kepada Allah.

Semoga kita menjadi golongan yang suka menziarahi pesakit kerana menunaikan hak saudara seIslam kita berdasarkan nas Nabi Muhammad SAW.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Bicara Agama 20140404