April 8th, 2014

Dakwah secara bijaksana, bukan guna kekerasan

Kita dididik untuk berpegang kepada prinsip yang benar dalam apa keadaan sekalipun, sama ada suka atau derita. Kita memerlukan prinsip untuk memandu kita kerana agama Islam penuh prinsip khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan masyarakat yang lain.

Antara prinsip diketengahkan agama Islam ialah sebagai rahmat untuk seluruh alam. Prinsip ini diambil daripada kenyataan al-Quran yang bermaksud: “Tidak kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat kepada semesta alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)


Menunjukkan segala tindakan atau peraturan mestilah tidak bercanggah dengan sifat rahmat yang diasaskan Islam. Maka, bagi pihak berkuasa yang bertindak atas nama Islam, prinsip ini hendaklah diutamakan kerana ada kala tindakan umat Islam tidak mencerminkan makna rahmat itu sendiri.

Berlembut dan bersantun pelihara hak Allah

Rahmat bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut dan bersantun dalam memelihara hak Allah SWT kepada sesama manusia.

Hak Allah SWT ke atas hambanya tidak pernah mengukur kepada aspek keturunan, pangkat, kedudukan dan agama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabb-mu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Urusan dakwah dianggap sebagai kerja kebaikan kerana ia membabitkan usaha mengembangkan agama Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apakah yang lebih baik dari seseorang yang menyeru kepada jalan Allah dan mengatakan bahawa aku adalah daripada kalangan Muslimin.” (Surah an-Nahl, ayat 33)

Ulama tafsir berpendapat ayat yang turun di Makkah ini menyentuh tugas Nabi SAW yang besar dalam menerangkan kebenaran tauhid melalui hujah dan keterangan daripada Allah SWT. Kerja dakwah mewakili tugas nabi dan rasul secara langsung.

Begitu juga ujian yang akan dihadapi pendakwah, tidak jauh daripada apa yang dihadapi nabi dan rasul.

Kerahmatan Islam juga terserlah dalam menegakkan keadilan tanpa mengira status atau agama dan keadilan Islam ialah hak untuk beragama.

Malah, segala keperluan ibadat mereka adalah hak yang tidak boleh dirampas dan hendaklah diperuntukkan kepada mereka.

Baginda Nabi SAW menunjukkan contoh kepada kita, seorang Muslim hanya bertanggungjawab menyampaikan kebenaran, tetapi tidak boleh mengecam golongan kafir yang tidak bersedia untuk beriman.

Perbuatan balas-membalas kecaman tidak dibenarkan Islam kerana balas membalas kecaman hanya akan mengheret pihak lain ke dalam kancah permusuhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan mengenai-Nya (Allah).” (Surah al-An'am, ayat 108)

Ayat al-Quran dengan tegas menyebut Muhammad SAW bukan penjamin dan boleh memaksa mereka untuk beriman kerana hakikatnya Allah SWT yang berkuasa menjadikan mereka beriman, tetapi Allah SWT tidak berbuat demikian.

Keterbukaan Islam terhadap agama lain

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap penganut agama lain dan pilihan mereka ketika hidup di dunia membezakan antara mereka dengan orang beriman di akhirat kelak. Mereka akan terus dibiarkan berada dalam kesesatan sehinggalah mereka berkeinginan mencari kebenaran.

Rasul yang diutuskan tidak dapat menyelamatkan mereka pada hari kemudian. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: Bagiku amalku dan bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Yunus, ayat 41)

Islam agama berteraskan kepada kepercayaan dan keyakinan yang terbit dari hati. Pengakuan ketaatan kepada Allah SWT yang satu dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh-Nya tidak dianggap sah jika tidak dituruti dengan keikhlasan hati.

Justeru, orang Islam tidak dibenarkan memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam biarpun mereka itu terdiri daripada kaum kerabatnya.

Agama Islam tidak boleh dipaksa kepada sesiapapun kerana paksaan adalah perbuatan yang keji dan dikutuk Allah SWT.

Ibnu Kathir dalam mentafsirkan tiada paksaan dalam Islam (surah al-Baqarah, ayat 256) menyatakan umat Islam tidak memaksa sesiapapun untuk memeluk Islam kerana agama Islam telah jelas akan ajaran dan bukti ajarannya, jadi ia perlu kepada kerelaan hati dan bukan paksaan.

Kita hendaklah memahami setiap manusia akan mempertahankan fahaman agamanya walaupun hakikatnya Islam agama yang sebenar. Namun, prinsip hormat-menghormati menjadi teras kepada keamanan dan kesejahteraan.

Bijak guna strategi berdakwah

Oleh itu, kita mestilah bijak menggunakan strategi bagi mengawal dan memantau kerja dakwah agama lain tanpa menggunakan kekerasan. Kata Ibn Kathir, bukti kebenaran Islam itu jelas, kita perlu menggunakan kepandaian dalam menghadapi penyerapan dakwah agama lain ini.

Hanya apabila mereka melampaui had batasan seperti menghina Islam dan sebagainya, maka tindakan yang sewajarnya boleh diambil terhadap mereka mengikut saluran undangundang. Kesimpulannya, agama Islam menitikberatkan persoalan toleransi (tasamuh).

Ini tidak bermakna agama Islam tunduk kepada kehendak agama lain dan tidak bermakna juga kerana tasamuh, orang Islam tidak perlu berdakwah kepada orang bukan Islam.

Seruan Islam mestilah diteruskan dengan pendekatan dan prinsip yang disebutkan supaya urusan dakwah Islamiyah akan terus segar dalam masyarakat disamping menjaga sensitiviti penganut agama lain.


Berita Harian Agama 2014/04/08 - 16:28:54 PM Zamanuddin Jusoh

Salahkah berhibur?

EMOSI manusia dipengaruhi oleh apa yang berada di dalam hatinya. Emosi manusia terkadang ceria, sedih, marah, bosan dan sebagainya. Apa yang didengar dan dilihat oleh manusia akan mempengaruhi emosinya. Hati perlukan ketenangan untuk menjadi ceria dan gembira. Manusia memerlukan hiburan bagi menceriakan dan menggembirakan hati.

Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah SWT, sesuai dan menepati fitrah manusia. Manusia memerlukan hiburan, maka Islam membenarkan manusia berhibur. Namun Islam memberikan garis panduan agar hiburan yang dilihat dan didengar oleh manusia itu, betul-betul mendatangkan manfaat kepada kehidupan manusia.

Imam Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan, “Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan, Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum." (Halal dan haram dalam Islam, hlm. 479)

Walaupun manusia dibenarkan oleh Allah SWT untuk mencari hiburan agar hati menjadi tenang dan mendatangkan keceriaan serta kegembiraan dalam hidup, namun manusia tidak dibiarkan menentukan apa sahaja atas nama hiburan. Apa yang dilihat dan didengar manusia memerlukan panduan daripada Allah SWT; Tuhan pencipta sekalian alam, Yang Maha Mengetahui apa yang mendatangkan manfaat atau mudarat kepada manusia dan kehidupan. Jika dibiarkan manusia bebas memilih bentuk hiburan yang disukai oleh nafsunya, maka kehidupan akan menjadi rosak dan porak peranda.

Hiburan di zaman moden kini yang berteraskan falsafah hedonisme, telah jauh terpesong daripada garis panduan Islam berkaitan hiburan. Hedonisme merupakan satu aliran falsafah yang menjelaskan bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup. Ia merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia (http://en.wikipedia.org/wiki/Hedonism).

Pemikiran kafir

Aliran falsafah hedonisme mula berkembang di Eropah Barat sekitar kurun 14 Masihi dan kemudian menjalar ke seluruh dunia (Wade, I.O, The clandestine organisation and diffusion of philosophic ideas in France dari 1700 hingga 1750, 1967). Pemikiran kafir ini telah lahirkan manusia yang hidup dalam kelalaian, mengamalkan gaya hidup bebas sehingga mengorbankan nilai akhlak mulia yang berteraskan agama. Malah, ia juga melahirkan manusia yang menjadikan keseronokan dan kemewahan yang berlebihan sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian.

Konsep hiburan yang lahir daripada hedonisme bukan sahaja gagal memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari manusia, bahkan mencetuskan masalah dan kecelaruan dalam kehidupan. Penganut hedonisme menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan yang disembah.

Oleh sebab itu, hiburan hedonistik bukan sahaja gagal mendidik jiwa, malahan mendorong kepada kelalaian, maksiat dan pergaulan bebas yang akhirnya mengundang kepada gejala sosial yang merosakkan kesejahteraan hidup umat Islam. Arak, dadah, dan wanita seksi yang menjadi teras hiburan hedonistik telah menjadikan kehidupan manusia masa kini punah ranah. (rujuk al-Jathiyah: 23)

Nabi SAW telah memberikan peringatan, akan ada dalam kalangan orang Islam di akhir zaman yang berhibur melampaui batas agama. Mereka ini dilabel oleh Nabi Muhammad sebagai “manusia berperangai kera dan babi". Abu Malik al- Asy’ari melaporkan, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka serta dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi." (riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, umat Islam wajib mengembalikan seluruh aspek kehidupan termasuk hiburan, kepada panduan Islam. Hiburan yang dibenarkan Islam adalah hiburan yang mendatangkan manfaat kepada hidup manusia. Sebaliknya, hiburan yang bertentangan dengan Islam, seperti hiburan hedonistik, adalah hiburan yang mendatangkan mudarat kepada hidup manusia.



DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN Utusan Bicara Agama 20140408

Tokoh pemikir tanah air

SYEIKH Tahir Jalaluddin atau nama sebenarnya Muhammad Tahir bin Syeikh Muhamad bin Ahmad Jalaluddin adalah seorang ulama reformis yang mempunyai kaitan rapat dengan gerakan Kaum Muda di Tanah Melayu sekitar hujung 1890-an dan awal 1900.

Bapa beliau, Muhammad bin Ahmad Jalaluddin atau dikenali dengan gelaran Syeikh Langgang bin Ahmad Jalaluddin, merupakan seorang ulama yang terkenal di Minangkabau. Syeikh Tahir dilahirkan di Bukit Tinggi, Sumatera Barat pada 1869 Masihi dan berketurunan Melayu Minangkabau.

Beliau pernah menetap dan mendapat pendidikan di Mekah selama 12 tahun. Beliau sering juga digelar dengan al- Falaki di hujung namanya, mengambil sempena kemahiran beliau dalam ilmu falak.

Beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al- Azhar, Mesir dalam bidang ilmu falak dan menetap di Tanah Melayu apabila pulang dari Mesir pada 1899.

Berkeperibadian mulia

Syeikh Tahir Jalaluddin mempunyai pekerti yang mulia, gigih serta berani dalam perjuangan beliau. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemidato yang baik.

Semasa berada di Mesir, gerakan pembaharuan Islam sedang giat berjalan di rantau berkenaan dengan dipimpin oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Kedua- dua mereka memperjuangkan semangat pembaharuan dalam Islam melalui Gerakan al- Tajdid wa al- Islah.

Syeikh Tahir terpengaruh dengan pemikiran kedua-dua tokoh berkenaan dan apabila beliau pulang ke Tanah Melayu pada 1899, beliau cuba mengembangkan ajaran tersebut dan bergerak cergas dalam gerakan Islam.

Pada 1914, Syeikh Tahir bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Johor Bharu sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Pemeriksaan Pelajaran Agama di Muar dan Batu Pahat.

Beliau kemudian mengajar di Madrasah al-Masyhor bersama-sama dengan Syeikh al- Hadi, seorang lagi tokoh gerakan pembaharuan Islam di Tanah Melayu.

Selepas itu,  Syeikh Tahir mengajar di Madrasah Haji Taib.  Semasa inilah, beliau bergerak aktif untuk memperkembangkan idea dan fahaman Kaum Muda, terutamanya di sekitar Kampung Baharu, Alor Gajah, Melaka dan di Kampung Parit Jamil.

Sumbangan

Syeikh Tahir meninggal dunia pada 2 Oktober 1956 di Kuala Kangsar, Perak. Jabatan Muzium Negara Malaysia telah mengisytiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau. Kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang falak.

Beliau memberikan sumbangan yang besar terutama sekali merubah pemikiran orang Melayu dan menyedarkan mereka supaya berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan termasuk ilmu dari Barat, bagi mencapai kejayaan dan kemajuan.

Beliau merupakan pelopor gerakan pembaharuan Islam yang berteraskan al-Quran dan al- sunnah dan berusaha gigih membebaskan umat Islam daripada pemikiran yang sempit.

Beliau meninggalkan kesan besar terhadap kemajuan pendidikan di tanah air, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi, dengan memasukkan sukatan pelajaran moden bagi ilmu pengetahuan seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya.

Pemikiran beliau bukan sahaja tersebar luas di Tanah Melayu tetapi turut berkembang hingga ke Sumatera, Sulawesi, Jawa dan Kalimantan.

Beliau bersama-sama Syed Syeikh al- Hadi telah menerbitkan majalah al-Imam pada 1906, yang mencetuskan semangat menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Beliau juga menangkis propaganda Barat terhadap Islam serta menentang pemikiran Barat yang mengelirukan melalui penulisan beliau dalam kitab Al-Islam Waraddu Muntaqidihi dan ‘al-Islam wa Nasraniah maal Ilmi wal Madaniah.

Syeikh Tahir memberi sumbangan besar dalam reformasi sistem pendidikan negara terutamanya dalam sistem pendidikan di sekolah agama.

Golongan al- Imam

Syeikh Tahir Jalaluddin dikaitkan dengan ‘Golongan al-Imam’ atau dikenali juga sebagai ‘Kaum Muda.’ Beliau digolongkan dalam ‘Golongan al-Imam’ kerana beliau pelopor kepada penerbitan Majalah al-Imam, yang menyeru orang Melayu supaya mengubah pemikiran sempit mereka yang mempercayai perkara-perkara tahyul dan khurafat.

Turut digolongkan bersama-sama Syeikh Tahir dalam ‘Golongan al-Imam’ ialah Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha dan Syeikh Muhammad Salim al-Kalali.

Pembaharuan pemikiran yang cuba dibawa oleh mereka telah ditentang oleh ulama konservatif dan mereka diberikan pelbagai gelaran seperti ‘Kaum Sesat’, ‘Wahabbi’ dan ‘Kaum al-Manar’.

Tokoh pemikir dan ahli bahasa Melayu, iaitu Pendeta Za’ba sendiri turut tergolong dalam kumpulan Gerakan Pembaharuan Islam ini. Melalui majalah al-Imam, Syeikh Tahir dan Syed Syeikh al-Hadi cuba membuka minda orang Melayu terhadap persekitaran kehidupan yang masih terbelenggu dengan pelbagai permasalahan, khususnya yang muncul dari dalam diri dan masyarakat Melayu itu sendiri.



Utusan Bicara Agama 20140408

Jangan cela pendosa

KETIKA menjadi Panglima Islam di Syam, Abu Ubaidah bin al-Jarrah mengirim surat ke Madinah. melaporkan kepada Khalifah Umar perihal Dirar dan Abu Jandal yang telah meminum arak. Abu Ubaidah menjelaskan bahawa penyebab perilaku ini ialah pentafsiran berbeza berkenaan ayat Al-Quran.

Abu Ubaidah menulis: “Apabila kami tanyakan, mereka menjawab: Allah menawarkan pilihan, maka kami pilih. Sebab Allah berfirman yang bermaksud: Adakah kamu akan berhenti? (al-Maidah: 91), Allah tidak menyuruh kita berhenti."

Khalifah Umar segera mengumpulkan para sahabat Nabi SAW untuk membincangkan perkara ini. Mereka bersepakat bahawa tafsiran sebegini salah. Ayat tersebut bukan sebuah tawaran akan tetapi larangan. “Adakah kamu akan berhenti?" Bermakna: “Berhentilah!"

Semua ahli mesyuarat turut bersepakat bahawa peminum arak mesti disebat 80 kali. Jika mereka berdegil mempertahankan tafsiran sesat ini, mereka patut dibunuh.

Umar lalu menulis surat kepada Abu Ubaidah: “Hadirkan orang-orang itu lalu tanyakan hukum arak kepada mereka. Jika mereka menjawab halal, bunuhlah mereka. Jika mereka menjawab haram, maka sebatlah mereka."

Sejurus menerima surat tersebut, Abu Ubaidah segera melaksanakan perintah Umar. Orang-orang tersebut akhirnya mengaku salah dan bersedia menerima hukuman sebat.

Setelah peristiwa itu, para pelaku maksiat ini menyesali keterlanjuran mereka. Abu Jandal ialah orang yang paling teruk penyesalannya. Beliau menyangka Allah SWT tidak menerima taubatnya, bahkan berasa malu untuk berjumpa orang ramai.

Menulis surat

Abu Ubaidah kembali menulis surat kepada Umar. Kali ini beliau meminta Umar menasihati Abu Jandal agar tidak berlarutan dalam perasaan bersalah.

Umar menulis: “Daripada Umar kepada Abu Jandal. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampuni seseorang yang menyekutukan-Nya, namun mengampuni dosa selainnya bagi orang yang dikehendaki. Bertaubatlah, lalu angkat kepalamu, bergaullah dengan manusia dan jangan putus asa.

Sesungguhnya Allah telah berfirman: Katakanlah: wahai hamba-hamba-Ku yang telah terlanjur (melakukan dosa), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Selain itu, Umar turut menulis satu surat yang ditujukan kepada masyarakat Islam di Syam: “Jagalah dirimu sendiri. Siapa yang melakukan perubahan (melakukan maksiat), maka ubahlah sikapmu kepadanya. Janganlah kalian mencela seseorang agar bala tidak menimpamu."

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibnu Kathir dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah.

Jangan cela

Kisah ini mengandungi banyak pengajaran. Pada kesempatan yang terhad ini, saya hanya ingin menarik perhatian kepada kandungan surat Umar kepada penduduk Syam. Beliau mengingatkan mereka untuk tidak mencela, apatah lagi menghina pelaku maksiat yang telah bertaubat.

Kita sememangnya membenci maksiat. Namun itu tidak bermakna kita mesti membenci pelakunya. Apa lagi jika ia telah bertaubat dan menyesali dosa-dosanya. Mencela orang sebegini atas kesalahan silam yang pernah dilakukannya merupakan sikap yang tidak selari dengan agama Islam.

Masyarakat Islam ialah masyarakat yang saling membantu dalam kebaikan. Anggota masyarakat yang melakukan penyimpangan akan diberikan tindakan tegas, namun tidak menghina atau dipulaukan. Sebaliknya, ia diberikan kesempatan untuk memperbaiki diri dan membuka lembaran hidup baharu yang putih bersih.

Inilah masyarakat Islam yang dikehendaki oleh Umar bin al-Khattab. Beliau turut mengingatkan bahawa sikap membuka aib lama hanya akan menyuburkan penyimpangan, sekali gus mengundang bala kepada seluruh masyarakat.



Utusan Bicara Agama 20140408