April 9th, 2014

Mohon dilindungi daripada seksaan neraka

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka peliharalah dirimu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 24)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat kasar, yang harus, yang tidak pernah menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)


Jika seseorang itu tahu seksaan neraka, nescaya dia tidak akan tenang dalam hidupnya dan tidak menutup pintu ketaatan kepada Allah SWT walau sedetik pun serta tidak melakukan maksiat kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW meskipun sudah dijamin Syurga, Baginda tetap sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diazab di dalam neraka jahanam. Baginda juga sentiasa mengingatkan sahabat dan umat Islam supaya sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diseksa dalam neraka.

Dicipta untuk jin, manusia lakukan maksiat

Neraka dicipta untuk jin dan manusia yang melakukan maksiat serta kejahatan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah).” (Surah al-A’raf, ayat 179)

Malaikat yang sentiasa beribadah kepada Allah SWT juga sering memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diazab dalam api neraka.
Mengenai pintu neraka, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Jahanam itu benar-benar tempat yang telah diancam kepada mereka (pengikut syaitan) semuanya. Jahanam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.” (Surah al-Hijr, ayat 42-44)

Suara mereka yang diseksa dalam neraka adalah seperti himar yang diiringi dengan tarikan nafas panjang dan kemudian berakhir dengan teriakan keras. Ahli neraka merasai seksaan yang amat pedih, lalu mereka meminta pertolongan, tetapi pintu neraka tertutup rapat.

Selain itu, mereka berasa sangat lapar, dahaga, pedih dan pelbagai kesakitan lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika mereka meminta minum, nescaya akan diberi minuman air seperti logam yang terlebur dan menghanguskan muka mereka. Itulah seburuk-buruk minuman dan tempat istirehat yang paling buruk.” (Surah al-Kahfi, ayat 29)

Sumber Ensiklopedia Kiamat Berita Harian Agama 02/04/2014

Hutang tak boleh dijadikan beban hidup

Berhutang seakan menjadi sebahagian keperluan hidup hari ini. Kos rumah, kereta dan keperluan seharian memaksa masyarakat untuk berhutang bagi memastikan kehidupan selesa.

Justeru, suka atau tidak, kita tidak akan terlepas daripada menanggung hutang. Oleh itu, Islam mengambil berat mengenai hutang dan mengaturkan supaya akad yang berlaku mematuhi hukum syarak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang yang diberi tempoh sehingga suatu masa tertentu. Maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayaran) itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

Malangnya, tidak ramai yang mengambil berat mengenai hutang terutama tanggungjawab memastikan ia dijelaskan pada waktu yang dipersetujui dengan pihak memberi hutang. Berbeza waktu hendak membuat pinjaman, semua syarat dipenuhi sebaiknya.

Hutang dibenarkan

Keperluan berhutang dibenarkan dan pihak yang memberi hutang juga sebenarnya menyediakan bantuan kepada mereka yang sangat memerlukan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang melapangkan seorang Mukmin daripada kederhakaan dunia, maka Allah SWT akan melapangkan untuknya kedukaan akhirat.”

Rasulullah SAW juga pernah berhutang kepada sahabatnya Jabir ibn Abdillah. Ketika Baginda sudah mampu membayarnya, Rasulullah SAW mendatangi Jabir dan membayarnya dengan cara melebihkan daripada jumlah pokok yang dipinjamnya.

Jabir berkata: “Ya Rasulullah, sudah aku ikhlaskan untuk Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW menjawab: Wahai sahabatku, hutang itu adalah hak orang yang memberi hutang dan kewajipan bagi yang berhutang. Siapa yang tidak memenuhi hak orang lain pada hal dia mampu untuk hal itu maka sama saja dia menyimpan bara api neraka di dalam perutnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sungguh mulia akhlak Rasulullah SAW, meminjam kepada sahabatnya dan ketika mampu membayarnya dengan melebihkan jumlah sebenar walaupun tidak disyaratkan ketika akad pinjam meminjam dilaksanakan.

Justeru, berhutang tidak menjadi satu kesalahan jika kita memerlukannya. Namun, Islam meletakkan suatu garisan sebagai panduan jika ingin berhutang.

Pinjaman pilihan akhir

Generasi muda Islam yang inginkan kehidupan lebih selesa dan bersederhana mengikut syariat Islam, hendaklah jadikan pinjaman itu sebagai pilihan terakhir dan berhutang jika keadaan benar-benar memerlukan.

Langkah mengelak daripada terjebak hutang yang akhirnya nanti hanya akan menyusahkan kita ialah berlatih bersifat qanaah iaitu bersyukur dengan apa yang kita ada dan kawal diri daripada berbelanja melebihi keperluan.

Bergaul dengan golongan susah supaya hadir dalam diri sikap tidak memandang rendah segala pemberian daripada Allah SWT.

Jika terpaksa berhutang, niatkan dalam diri untuk menyegerakan pembayarannya kerana Allah SWT akan membantu segala bentuk urusan.

Soal hutang bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh.

Bayangkan jika pinjaman dibuat atas alasan untuk belajar, tetapi duit itu digunakan untuk memberi barangan yang bukan keperluan atau berbelanja dengan pasangan bukan mahram.

Bukankah tindakan itu tidak menepati maksud diharuskan berhutang kerana bukan sebagai kemudahan, tetapi lebih kepada tujuan memenuhi kehendak nafsu. Sepatutnya kita memikirkan kesan hutang jika gagal di bayar nanti.

Andainya kita berhutang, tanamkan dalam diri untuk membayar kembali pinjaman itu secepat mungkin atau jangan cuai menunaikan bayaran ditetapkan dalam perjanjian.

Sesungguhnya keberkatan hidup bergantung kepada amalan seharian yang kita lakukan.

Berita Harian Agama 2014/04/09 - 01:40:07 AM  Sabarina Mat Saad