April 13th, 2014

Persoalan Agama: Boleh baca al-Quran dalam haid

Soalan: Saya berumur 15 tahun dan tidak pasti mengenai pantang larang ketika datang haid. Apa yang boleh dan tidak boleh dibuat, selain tidak boleh membaca al-Quran dan solat? Ina Syaz, Shah Alam

Jawapan: Haid ialah keadaan fisiologi tetap dan teratur yang dialami oleh wanita dalam lingkungan umur yang berupaya untuk mengandung. Selain menjadi penanda aras kesihatan wanita, ia juga bertindak sebagai tanda peningkatan tanggungjawab dalam aspek ibadat. Wanita yang mendapati dirinya sudah mula haid, bertanggungjawab untuk melakukan semua ibadat yang diwajibkan ke atas orang yang mukalaf seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.

Bagaimanapun ketika haid, seorang wanita diharamkan melakukan beberapa perkara, iaitu solat fardu atau sunat, puasa fardu atau sunat, tawaf, persetubuhan, membaca al-Quran, menyentuh dan membawa mushaf al-Quran dan berada di dalam masjid.

Dalam masalah solat, puasa dan tawaf pengharamannya adalah muktamad. Bererti tiada sebab untuk wanita yang didatangi haid melakukannya, dan jika melakukannya dia berdosa.

Dalam larangan bersetubuh, pengharaman khusus hanya untuk melakukan hubungan seksual tetapi dibenarkan suami bergurau senda dengan isteri yang sedang haid.

Wanita haid juga tidak dibenarkan membaca al-Quran, menyentuh dan membawa mushaf al-Quran. Bagaimanapun, ketika haid wanita masih boleh berwirid, selawat dan ayat al-Quran yang dijadikan zikir seperti al-Ma’thurat. Dalam keadaan tubuh wanita lemah kerana haid, elakkan daripada melakukan perkara melalaikan seperti menonton televisyen, mendengar lagu, melayari internet dan bermain ‘games’ atau membaca buku-buku yang tidak berfaedah.

Perbanyakkan zikir dan membaca buku berfaedah.

Bagi masalah membaca al-Quran, wanita boleh menggantikannya dengan membaca terjemahan dan tafsir. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu wanita yang haid dibenarkan membaca al-Quran, iaitu sekiranya dia adalah pelajar tahfiz yang perlu menghafaz dan mengulang hafazan setiap hari. Begitu juga bagi pelajar madrasah atau universiti yang perlu menduduki peperiksaan al-Quran yang kebetulan jatuh ketika dia sedang haid.

Pelajar juga boleh membaca dan memegang buku agama yang mempunyai ayat al-Quran tetapi tidak dibenarkan menyentuh pada ayat al-Quran itu. Bagi guru agama yang mengajar al-Quran juga dibolehkan membaca al-Quran bagi tujuan mengajar.

Semua pengecualian ini adalah semata-mata kerana keperluan yang mendesak atau darurat, iaitu keperluan menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu. Atas sebab yang sama juga sebahagian ulama mengharuskan wanita haid berada di dalam masjid kerana menuntut ilmu. Dengan syarat, wanita ini wajib memastikan darah mereka tidak mencemari masjid dengan memakai tuala wanita yang kemas.

Ini bertepatan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor dalam persidangannya yang bertarikh 29 April 1999 sudah membincangkan perkara di atas dan keputusannya adalah seperti berikut: “Jawatankuasa Fatwa kali 1/99 yang bersidang pada 29 April 1999 sebulat suara memutuskan perempuan haid dan nifas menggunakan masjid semata-mata untuk tujuan pembelajaran saja adalah diharuskan kerana ia mempunyai hajat iaitu untuk menuntut ilmu.”


Berita Harian Agama 2014/04/13 - 04:57:41 AM Rohidzir Rais

Umat akhir zaman cabar kuasa Ilahi

Dunia semakin hari semakin tua meniti usia penghujungnya. Namun, semakin tua usia dunia ini, semakin banyak kerosakan dilakukan manusia sebagai penghuninya.

Kerosakan dilakukan termasuk yang zahir dan tersembunyi.

Zahir boleh dilihat jelas melalui mata kasar adalah pembinasaan khazanah bumi seperti hutan dan gunung- ganang yang ditarah untuk merealisasikan impian dunia moden dengan mendirikan pelbagai bangunan di atasnya.

Jika bumi itu boleh disifatkan dengan jasad manusia, tentu kita dapat melihat satu bentuk tubuh yang mengalami kecacatan di sana sini.

Mungkin bumi pada hari ini umpama manusia yang tidak mempunyai tangan dan kaki yang lengkap.

Namun yang lebih ‘menyakitkan’ bumi pada pandangan saya ialah kebinasaan disebabkan kemungkaran dilakukan manusia di atasnya.

Semakin kita dekat dengan hari kiamat, semakin berani pula manusia mencabar Allah dengan pelbagai maksiat dilakukan.

Jika bumi ini dapat berbicara, tentu sekali dia akan merintih atau merayu kepada manusia supaya dia dikasihani.

Sebagai makhluk yang patuh dan berzikir kepada Allah, tentu saja bumi ini akan mematuhi arahan Allah kepadanya.

Dalam surah Al-Israa’, ayat 44, Allah berfirman yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka.


Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” Bumi cuba memberikan peringatan kepada manusia supaya kembali kepada Allah dengan memberi peringatan demi peringatan.

Pelbagai bencana alam yang berlaku seperti tsunami, tanah runtuh dan gempa bumi nampaknya belum berjaya membawa umat manusia kembali kepada Allah.

Malah, ada pula yang mengatakan bencana alam tiada kaitan dengan Penciptanya dan ia hanya tidak lebih daripada hukum alam.

Lebih mendukacitakan lagi adalah manusia yang tahu mengenai wahyu yang disampaikan kepadanya.



Mereka tahu apa yang halal dan haram tetapi mereka tidak berusaha meninggalkannya.

Pada satu petang awal minggu lalu, saya ke Kuala Lumpur kerana ada urusan.

Ketika meletak kereta, mata saya tiba-tiba ‘tertangkap’ satu pemandangan yang menyebabkan perasaan bercampur baur.

Perasaan sedih, marah dan hairan bercampur-aduk dan saya terpaku di situ untuk beberapa ketika bagi terus menyaksikan apa yang saya lihat di depan mata.

Ia adalah satu situasi di sebuah kedai nombor ekor.

Kedai itu sesak dikunjungi tahi judi yang bagai berlumba-lumba membeli nombor ekor.

Ada yang menaiki kereta, ada yang berjalan kaki dan ada yang menaiki motosikal, semuanya mempunyai satu matlamat pada petang itu, iaitu membeli nombor ekor.

Di sebelah kereta saya, saya lihat si suami turun membeli nombor ekor, manakala isterinya menunggu di dalam kereta.

Di sudut lain pula, saya lihat seorang bapa meletakkan motosikal di tepi kedai dan turun memimpin tangan anaknya yang masih kecil bersama-sama ke kedai nombor ekor.

Di satu lagi sudut, saya nampak sekumpulan lelaki berumur 50 hingga 60 tahun membelek-belek kertas judi yang dibeli sambil berbincang sesama mereka.

Membuatkan perasaan saya bercampur baur ketika itu ialah hampir 70 peratus yang keluar masuk menjadi pelanggan kedai berkenaan adalah berbangsa Melayu yang saya percaya beragama Islam.

Apabila saya ketengahkan isu ini di Facebook, antara maklum balas yang banyak diterima adalah situasi ini sebenarnya ‘biasa’ di negara kita pada hari ini.

Pemandangan orang Melayu dan Islam bermain judi bukan sesuatu yang janggal, malah mereka juga tidak kekok dan tidak segan silu melakukannya.

Saya percaya, mustahil untuk mereka mengatakan tidak tahu judi itu haram.

Malah, di pintu kedai judi itu juga menyatakan: “Orang Islam dilarang berjudi.” Namun begitulah realiti sekarang, semakin kita menuju ke dunia akhir zaman, manusia semakin berani mencabar kekuasaan Allah.

Kita sebenarnya hidup di dunia dengan rahmat Allah.

Jika tidak kerana rahmat-Nya, nescaya kita dibinasakan dengan azab-Nya seperti mana yang menimpa umat terdahulu.

Mohd Hassan Adli Yahaya myMetro Nuansa 2014/04/13

Membina aura dan pesona diri positif

SEMUA orang ada auranya yang tersendiri. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, aura ialah suasana atau perasaan halus yang menyelubungi diri seseorang. Oleh sebab aura ialah perasaan, maka aura bermula daripada hati, dan aura diri boleh dibina atau dibentuk (daripada negatif menjadi positif). Hati yang negatif menghasilkan aura yang negatif, dan hati yang positif menghasilkan aura yang positif.

Hati yang bersih dan suci daripada perasaan negatif, menjadikan kita seorang yang berlapang dada, berbaik sangka, tidak bersaing, bermurah hati, dan tidak suka menyakitkan hati orang tetapi sebaliknya suka membahagiakan orang.

Sifat-sifat positif yang memenuhi kerohanian seseorang itu akan terpancar gambaran kesuciannya di wajah. Orang yang bersih dan tenang hatinya ialah orang yang beraura positif, (disenangi orang). Pada wajahnya terpancar aura positif kerana senyuman sentiasa menjadi hiasan wajah.

Tentu kita ada pengalaman peribadi, iaitu berasa takut, tidak selesa dan tidak boleh berlama-lama dengan seseorang yang kita jumpa. Sama ada orang itu baru kita jumpa atau orang yang kita sudah kenali dan biasa kita berjumpa dengannya. Tetapi, setiap kali kita berjumpa dengannya kita berasa resah, tidak selamat dan mahu meninggalkannya atau mahu dia pergi meninggalkan kita secepat yang boleh? Mengapakah kita berperasaan begitu terhadapnya? Kerana auranya negatif!

Tetapi, ada ketikanya pula, apabila kita berjumpa dengan seseorang yang kita tidak kenal pun dia, tetapi kita berasa sangat suka kepadanya. Kita berasa kita boleh rapat dengannya dan kita berasa selesa dengannya, biarpun baru sekali kita menemui. Kita berasa mendapat semangat apabila berhadapan dengannya, dia menjadi inspirasi kepada kita, dan kita ingin sangat mendekatinya dan mengenalinya dengan lebih mendalam. Bahkan setelah berkali-kali kita menemuinya, kita Membina aura dan pesona diri positif

tidak pernah berasa cukup dan bosan, sebaliknya kita semakin menghormatinya, mengaguminya, dan menyenangi. Mengapakah timbul perasaan kita yang begitu positif kepadanya? Jawapannya, sebab aura positif yang ada pada diri individu itu.

Orang yang beraura positif senang didekati, kerana aura positif yang terpancar di wajahnya, menjadi magnet menarik perhatian orang kepadanya. Sebenarnya, setiap orang daripada kita mempunyai magnet diri tersendiri, yang menjadi daya tarikan atau pesona diri kepada orang lain. Apa-apa imej dan reaksi yang terpancar di wajah kita, yang kita hantar kepada seseorang itulah aura yang ada dalam diri kita, yang dinamakan sebagai ‘undang-undang getaran/gelombang jiwa’. Iaitu, ‘Dunia Dalaman’ kita menentukan ‘Dunia Luaran’ kita. Secara naturalnya, kita akan suka dengan orang yang sama dengan kita. Iaitu sama atau sealiran dari segi pemikiran, hobi, sikap dan keperibadian.

Lima peringkat kehidupan yang perlu dijaga bagi membina aura positif. Pertama, menjaga keterampilan diri dari segi fizikal, dengan menjaga kesihatan; makan makanan sihat bukan makanan sedap. Kedua, menjaga kecerdasan minda, dengan banyak memanfaatkan masa untuk mencari ilmu. Iaitu melalui bacaan, tontonan dan menghadiri majlis ilmu.

Ketiga, menjaga hubungan dengan Yang Maha Pencipta (Allah); buat segala suruhannya dan tinggalkan larangannya. Keempat, menjaga hubungan dan hormat dengan semua makhluk Allah. Apa-apa sahaja kebaikan yang kita lakukan, mestilah niat ikhlas kerana Allah dan mengharapkan reda Allah, bukan mengharapkan penghargaan orang. Sentiasa fikirkan apakah manfaat yang kita boleh beri kepada orang, bukan apakah manfaat yang boleh saya dapat daripada orang yang kita jumpa.

Kelima, menjaga kewangan; mantap atau kukuhkan kewangan kita. Apabila kewangan kita mantap, kita boleh lebih banyak membuat kebaikan kepada orang lain dan membahagiakan orang lain, contohnya bersedekah. Untuk disenangi orang, buat dua perkara; baik hati dan murah hati.

Binalah aura atau pesona diri melalui amalan cantikkan diri pada fikiran, emosi dan tindakan yang positif (yang bergantung kepada akidah dan sistem nilai). Lantaran itu sangat penting membina peribadi dalaman yang positif. Jika kita menjaga kecantikan luaran dan keperibadian luaran sahaja, kita rugi!

Imej

Orang yang mementingkan kecantikan luaran akan sentiasa berasa tidak berpuas hati dengan imej dirinya. Walaupun orang nampak dirinya cantik, tetapi dia sendiri tidak yakin dengan kecantikan dirinya, terutama apabila usianya semakin meningkat. Mulalah akan diusahakannya dengan pelbagai cara untuk mencantikkan kembali wajahnya, kerana yang diharapkannya pujian dan penghargaan orang.

Sebab itulah banyak orang yang sibuk mencari cara mencantikkan dirinya, tetapi tidak ramai yang mencari kecantikan dalam dirinya sendiri. Sebenarnya yang lebih penting pada diri seseorang ialah kecantikan dalam diri. Kita suka akan seseorang itu kerana kebaikannya atau kecantikannya?

Orang yang cantik tidak semestinya mempunyai aura dan pesona diri yang cantik, kerana kecantikan tidak kekal. Tetapi kebaikan akan kekal, kerana imej diri kita banyak dipengaruhi oleh zaman silam kita, terutama ketika kita masih kanak-kanak dan remaja. Maksudnya jika kita berasal daripada keluarga yang baik-baik, lumrahnya kita akan berpersonaliti baik, iaitu personaliti yang kita warisi daripada keluarga kita. Personaliti baik menzahirkan aura yang baik.

Seterusnya kita dipengaruhi apa yang kita cakap kepada diri kita sama ada secara monolog, dialog dan percakapan minda. Apa-apa yang kita buat, kita cakap dan kita fikirkan, itulah yang kita dapat. Kalau kita sayang akan diri kita, kita juga boleh menyayangi orang. Kalau kita benci dan mengutuk serta memandang rendah kepada diri kita, kita juga akan membenci orang, suka mengutuk orang dan memandang rendah kepada orang sekeliling kita.

Oleh itu celiklah mata hati dengan mensyukuri nikmat Allah. Yang penting dalam hidup ini buat satu pelan tindakan transformasi diri, segera berubah ke arah kebaikan. Untuk berjaya membina aura dan pesona diri lakukan tiga perkara. Pertama, refleksi diri. Lihat dan nilai diri sendiri apakah kekurangan dan kesilapan yang telah kita lakukan dalam hidup. Jangan ulangi kesilapan itu. Orang yang tidak bijak ialah orang yang melalui jalan yang sama, untuk seolah-olah menempah mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya.

Kedua, inspirasi diri. Cari kisah kehidupan orang lain yang positif dan berjaya boleh dijadikan contoh, sebagai sumber inspirasi diri. Ketiga, transformasi. Lakukan segera transformasi diri, dari segi fizikal, mental dan kerohanian.

Untuk melakukan transformasi diri perlu melakukan tiga perkara. Pertama, individu itu mesti tahu apakah visi hidup kita? Kita mesti tahu apa yang kita hendak jadi sekarang dan masa hadapan? Kedua, individu itu mesti tahu apakah tujuan dan mengapa kita mesti melaksanakan tujuan itu? Ketiga, individu itu mesti tahu matlamat. Apakah matlamat dan langkah yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat itu.

* Ikuti program Kanta Prof. Muhaya di TV2 setiap Rabu 6.30 pagi dan ulangan setiap Jumaat 1.30 tengah hari.



DR. MUHAYA MOHAMAD http://Famili.celikz.com Fanpage facebook Prof Dr Muhaya twitter@drmuhaya: Utusan Rencana 20140413

Sikap perempuan burukkan poligami

BRO sudah beberapa kali menyatakan bahawa Bro menyokong poligami. Bagi Bro, lelaki yang berani bernikah lebih daripada satu dan wanita yang bersedia dimadu atau berkongsi kasih mempunyai keberanian luar biasa.

Bagaimanapun sama ada lelaki mahupun perempuan yang mahu terlibat dalam poligami mesti memikirkan semasak-masaknya tindakan mereka, apakah ia boleh membawa kebahagiaan atau mengundang kesengsaraan. Jangan seronok nak menikah sahaja tetapi kesudahannya ia lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

Poligami dibenarkan oleh Islam tetapi biarlah ia dilakukan dengan cara yang betul berpandukan kepada lunas-lunas agama. Sama ada lelaki mahupun perempuan mereka mesti tahu tanggungjawab masing-masing.

Apa yang lebih penting ialah si lelaki harus memastikan kenapakah dia mahu berpoligami dan memahami tanggungjawab berat yang dipikulnya. Manakala si perempuan pula jangan dok ikut perasaan sahaja, apabila ada suami orang ajak menikah walaupun menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat dia merelakan sahaja kononnya atas dasar kasih, sayang dan cinta.

Bro bercakap soal poligami minggu ini sebab baru-baru ini seorang kawan Bro menceritakan bagaimana kakaknya yang menjadi isteri kedua hidup menderita. Walaupun ahli keluarga sudah memberi pandangan dan nasihat supaya berfikir semasak-masaknya, tetapi kakaknya berdegil kerana kononnya dia yakin si lelaki boleh menjadi suami yang baik.

Pada awal perkenalan si lelaki nampak baik sahaja, berlakon depan perempuan tu bahawa dia mampu menjadi suami yang baik apabila berpoligami tetapi apabila sudah berkahwin lain pula jadinya. Apabila dapat anak si isteri tidak dipedulikan, tanggungjawab diabaikan, paling parah si isteri yang terpaksa menanggung segala perbelanjaan hatta untuk keluarga isteri pertama sekalipun.

Oleh kerana dah tak tahan menanggung derita, kakak kawan Bro tu balik kampung mengadu kepada keluarga untuk meminta cerai, apabila dipujuk si suami, dia kembali semula ke pangkuan suami. Tetapi tidak lama kemudian si suami buat perangai lagi, akhirnya mahkamah syariah jadi gelanggang penyelesaian.

Dalam soal ini, Bro sikit pun tak simpati dengan perempuan tu, sebaliknya Bro tanya semula kepada kawan Bro tu yang kakaknya cari penyakit buat apa? Alasan disebabkan usia semakin meningkat dan terdesak nak kahwin hanyalah alasan perempuan yang berfikiran cetek.

Perkahwinan bukan boleh buat main-main. Kalau nak kahwin kita nak kekal sehingga akhir hayat bukan untuk keseronokan sementara sahaja. Bagaimanapun Bro tak hairan dengan kes-kes seumpama ini sebab perempuan memang suka cari pasal.

Kemaruk

Lagipun perempuan ni kalau dah kemaruk bercinta dan rasa terdesak nak berkahwin, pemikiran rasional entah ke mana, yang ada hanyalah emosional. Jiwa bagaikan melayang-layang dilambung kemanisan alam percintaan. Apa sahaja yang dilakukan oleh kekasih semuanya betul, sebab itulah pandangan keluarga tidak dipedulikan.

Kesudahannya, apabila ada masalah dalam perkahwinan barulah nak minta tolong keluarga. Kalau Bro jadi ahli keluarga perempuan macam tu minta maaf la...Bro tak akan tolong, biarlah ditanggung masalah yang dia sendiri ciptakan.

Kalau pun terdesak sangat nak kahwin sebab usia dah meningkat, janganlah main ‘belasah’ sahaja, mintalah petunjuk Allah SWT sama ada keputusan yang akan kita buat betul atau tidak. Apatah lagi apabila ia melibatkan soal poligami. Bila ada kes macam ni lah orang akan anggap poligami tu buruk sedangkan setiap perkara yang dibenarkan oleh Allah pasti mempunyai kebaikan.

Jadi Bro tetap sokong poligami kerana sudah banyak contoh yang menunjukkan ia mampu membina keluarga bahagia tetapi yang menjadi masalahnya apabila poligami ini melibatkan perempuan yang cetek fikiran dan terlalu terdesak bersuami.

Oleh itu Bro nak nasihatkan kepada kaum perempuan, kalau betullah merelakan diri untuk berpoligami maka pastikan bakal suami adalah orang yang betul-betul mampu bertanggugjawab. Janganlah terpengaruh dengan madah berhelah apatah lagi perwatakan lahiriah seseorang dan paling penting sebelum membuat keputusan mintalah restu keluarga khususnya ibu bapa, kemudian mohonlah petunjuk daripada Allah SWT.

Namun seperti biasa acap kali, kita temui perempuan terlalu ghairah dalam bercinta, terlalu bernafsu untuk mencari pasangan dan terlalu teruja untuk berkahwin tanpa berfikir dengan semasak-masaknya, kesudahannya keghairahan mengundang penderitaan dan keterujaan menjemput kesengsaraan. JUMPA LAGI.

- Bro Tompok Kucing Jantan Utusan Rencana 20140413

Kenapa tak adil kepada Wanita

Minggu ini izinkan saya tulis tentang politik. Kasihan ahli-ahli politik wanita di Malaysia. Negara maju waima negara yang miskin pun tahu menilai dan menghargai kepimpinan wanita negara masing-masing.


Tak perlu teropong jauh-jauh, kalau diperhatikan negara jiran kita, beberapa wanita sudah diangkat menjadi Presiden dan Perdana Menteri.

Thailand yang tak pernah ada Perdana Menteri wanita sudah ada dengan pelantikan Yingluck Shinawatra. Semua ini ekoran kepercayaan rakyat dan kepimpinan parti.

Filipina sudah memiliki dua presiden wanita, Corazon Aquino dan Gloria Macapagal Arroyo. Indonesia pun pernah dipimpin oleh Megawati Sukarnoputri sebagai Presiden.

Begitu juga banyak negara maju seperti Jerman dengan Canselor Angela Merkel, Korea Selatan (Presiden Park Geun-hye), Denmark (Perdana Menteri Helle Thorning-Schmidt) dan Norway (Perdana Menteri Erna Solberg). Tak lupa juga Perdana Menteri wanita di negara Islam, Hasina Wazed di Bangladesh dan Benazir Bhutto di Pakistan.

‘Malulah’ UMNO yang akan berusia 68 tahun pada 11 Mei depan kepada parti-parti lain yang bilangan ahli wanitanya lebih kecil daripada Wanita UMNO, tapi sudah mendapat jawatan Naib Presiden.

Lihatlah MCA, selepas Ng Yen Yen kini giliran Chew Mei Fun duduk di kerusi Naib Presiden MCA. Daripada tiga jawatan, satu diberi kepada Wanita MCA.

Begitu juga kalau dikaji dalam PKR. Malah dua daripada tujuh Naib Presiden PKR ialah wanita iaitu Nurul Izzah Anwar dan Fuziah Salleh.

Agak-agaknya bila Wanita UMNO akan dapat merasa jawatan Naib Presiden itu? Sampai bila Wanita UMNO hendak diremehkan dan di kesampingkan? Janganlah berlaku tidak adil kepada Wanita UMNO.

Kalau semua Ketua Pergerakan Wanita UMNO terdahulu, baik dalam era Fatimah Hashim, Aishah Ghani, Rafidah Aziz, dan Dr. Siti Zaharah Sulaiman tak ada yang berani bangkitkan isu jawatan Naib Presiden, hendak tunggu siapa lagi?

Bila lagi! Kalau tak dibangkitkan sekarang, tak tahu bila lagi kaum bapa UMNO akan beri peluang.

Mungkin, apa salahnya jawatan Naib Presiden UMNO dibuat kuota khas untuk wanita. Ada ura-ura mahu diwujudkan kuota 3 + 1 dan di peringkat Naib Ketua Bahagian pula 1+1.

Maknanya sesiapa ahli Wanita boleh bertanding merebut jawatan Naib Presiden dan Naib Ketua Bahagian dengan satu kerusi dikhaskan untuk wanita.

Perkara yang baik ini boleh dilakukan jika UMNO mahu. Tapi kenalah membuat pindaan dalam Perlembagaan parti itu.

Dalam tradisi politik UMNO, susah sedikit impian ini hendak dijadikan kenyataan. UMNO sebagai parti terbesar dalam Malaysia sendiri payah hendak memberi laluan kepada wanitanya menjadi calon pilihan raya, inikan pula hendak meletakkan wanita dalam hierarki kepimpinan tertinggi parti.

Sikap kaum bapa UMNO yang tak mahu beri ‘tempat’ kepimpinan kepada kaum ibunya dapat dilihat daripada reaksi apabila ada perwakilan Wanita UMNO dikatakan membuat permintaan supaya diwujudkan satu lagi kerusi Naib Presiden untuk disandang oleh wanita.

Kita sudah baca dan dengar komen daripada kaum bapa UMNO. Kata mereka, bilangan tiga orang Naib Presiden UMNO sekarang sudah mencukupi dan berkesan dalam membantu Presiden UMNO bagi merangka dan menjalankan dasar-dasar parti.

Bagi kaum bapa UMNO, hujah penolakan mereka kerana selama ini UMNO tidak ada cacat celanya dengan memiliki tiga orang Naib Presiden. Jadi mereka minta Wanita UMNO jangan tergila-gilakan jawatan.

Kalau beginilah sikap kaum bapa UMNO, maknanya sampai bila pun tak ada peluang Wanita nak naik tangga atas.

Ingatlah jasa dan pengorbanan ahli Wanita UMNO yang seramai 1.3 juta orang itu. Masa kempen pilihan raya, tenaga wanita yang dikerah dan diperah. Tiba masa rebut jawatan lain pula ceritanya.

Jadi kaum bapa UMNO tak boleh tamak kuasa. Jangan nak bolot semua kuasa. Rakyat pun nampak ada juga cacat celanya kepimpinan kaum bapa, baik di peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Walaupun sudah berumur 50 - 60 tahun, tapi golongan ahli politik wanita tahu menyimpan tenaga dan masih aktif. Golongan wanita yang sudah berumur ini tidak patut dipandang rendah dan diketepikan daripada terus berperanan memperjuangkan parti.

Masa untuk berubah dan mengekori trend politik antarabangsa sudah tiba. Kalau tak dimulakan sekarang, agaknya bila lagi!

Azman Anuar Utusan Rencana 20140413