April 17th, 2014

Islam agama toleransi

ISLAM adalah agama perdamaian dan agama toleransi. Ia bukan kata-kata kosong tetapi sesuatu yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam banyak tempat di dalam al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW dalam sejarah kehidupan dan perjuangan baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-Haj: 40)

Antara perkara awal yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bila tiba di Madinah ialah mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi, yang mana antara inti pati perjanjian tersebut ialah negara Islam Madinah perlu menghormati kepercayaan dan agama mereka, mempertahankan mereka daripada segala bentuk ancaman dan menjadikan mereka sebahagian daripada masyarakat Madinah yang akan mempertahankan setiap inci buminya.

Rasulullah SAW sendiri mempunyai jiran-jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan begitu baik oleh baginda. Perkara biasa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika itu ialah memberikan mereka hadiah dan begitu juga sebaliknya, di mana mereka turut menghargainya dengan memberikan hadiah kepada Nabi SAW.

Layanan Rasulullah SAW

Pernah satu ketika, rombongan Nasrani Habsyah bertandang ke Madinah, Rasulullah SAW menempatkan mereka di masjid. Secara peribadi, Rasulullah SAW melayan mereka dan mengungkapkan kata-kata yang penuh makna, "Mereka pernah memuliakan sahabat-sahabat kita dan aku suka diriku sendiri memuliakan mereka."

Sebenarnya, perbezaan agama tidak menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi dalam perkara yang diizinkan oleh syariat.

Satu peristiwa yang lebih menakjubkan lagi tentang toleransi ini ialah kedatangan rombongan daripada Nasrani Najran yang disambut oleh Rasulullah SAW. Sekali lagi baginda menempatkan tetamu yang berlainan akidah ini di Masjid Nabawi dan membenarkan mereka sembahyang berdasarkan kepercayaan mereka di satu sudut, manakala Rasulullah SAW dan para sahabat bersolat jemaah di satu sudut yang lain di dalam satu masjid.

Selepas itu, Rasulullah SAW berbincang, berdialog dan berdebat dengan mereka dengan penuh beradab dan berakhlak. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ini, tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai kepatuhan kepada saranan Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri. (al-Ankabut: 46)   Utusan Bicara Agama 20140416

Kerana dosa manusia

MANUSIA diciptakan Allah SWT sebagai makhluk termulia dalam alam ini, dijadikan-Nya sebagai khalifah (pengganti Allah) untuk mengurus dan mentadbir masalah keduniaan. Kepercayaan ini kerana manusia diberi bimbingan berupa wahyu Ilahi yang merupakan pedoman untuk mengatur masalah keduniaan.



Namun, sebaliknya manusia nampaknya seperti enggan untuk menerima wahyu Ilahi tersebut. Mungkin kerana manusia pada umumnya bersifat ego, merasa dirinya hebat. Padahal, semua yang ada pada diri manusia itu, merupakan pemberian Allah SWT dan hakikatnya, pemberian ilmu Allah itu kepada manusia adalah sangat sedikit.

Sekiranya Allah SWT mengambilnya kembali ilmu yang sedikit itu, maka tidak ada yang mampu menggantikannya semula.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembelaan terhadap Kami untuk mengembalikannya. (al-Isra': 86)

Namun, sebahagian besar manusia tidak menyedari atau alpa bahawa kehidupan ini adalah di bawah kekuasaan Allah SWT. Walaupun sudah terlalu banyak bukti nyata, misalnya kematian datang tidak dapat ditangguhkan, meskipun dia seorang doktor yang memahami pelbagai penyakit.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan), maka apabila datang tempohnya tidak dapat mereka kemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka dahulukan.

Justeru, orang yang mengaku dirinya Islam hendaklah banyak mengkaji ayat-ayat Allah di dalam al-Quran. Untuk mengetahui bagaimana perhatian Allah SWT terhadap manusia serta manusia harus bersikap dengan akhlak Islam, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Yang Maha Mengetahui.

Allah Yang Maha Esa menciptakan makhluk ciptaan-Nya di alam ini semuanya harus hormat dan memberikan layanan terhadap manusia, kerana manusia diciptakan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Simbolnya adalah malaikat yang mulia, diperintah

oleh Allah, agar memberi hormat kepada Nabi Adam a.s, kerana Adam dan keturunannya (manusia) akan menjadi khalifah di bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat : Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis, ia enggan dan takbur serta menjadilah ia daripada golongan yang kafir. (al-Baqarah: 34). Pengertian 'sujud' di sini bererti menghormati dan memuliakan Nabi Adam a.s.

Bumi siap untuk dihuni manusia, juga gunung-gunung siap menjadi pasak bumi agar tidak goncang, matahari siap memberi cahaya di siang hari dan membenam di malam hari, agar manusia boleh beristirehat.

Demikian juga air, udara, angin, pohon-pohon dan sebagainya, siap memberikan layanan kepada manusia, kerana manusia adalah khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Lantaran itu, apabila manusia enggan melaksanakan perintah Allah SWT yang telah diwahyukan-Nya dalam al-Quran, bahkan menentang-Nya dengan jalan maksiat, maka azab Allah SWT akan turun antara lain seperti banjir, cuaca panas kering, gunung memuntahkan laharnya, hutan belantara terbakar, tanah runtuh dan sebagainya kerana perbuatan ganas tangan-tangan manusia, ditambah maksiat berlaku berleluasa dalam kalangan umat manusia. Semua kejadian seperti itu kerana perbuatan derhaka yang diperbuat oleh manusia.

Dengan demikian manusia bukan lagi khalifatullah, bahkan menjadi aduwallah (musuh Allah). Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang menggempakan dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. (al-Ankabut: 40)

IBRAHIM ABDULLAH Utusan Bicara_Agama 20140416

Bacaan al-Fatihah di belakang imam

ANTARA isu yang hangat dibincangkan dalam kalangan ulama Islam ialah tentang adakah perlu bagi makmum membaca al-Fatihah di setiap rakaat dan adakah perlu membacanya, sedangkan imam telah membacanya?

Penulisan ini tidak berhasrat untuk memanjangkan perbincangan tentangnya. Setelah membaca panjang lebar perbahasan dalam kalangan para ulama silam dan kontemporari, saya cenderung kepada tarjihan ulama syafie, terutamanya seperti Ibnu Hajar al-Asqalani dan ulama hadis lain seperti al-Syawkani, iaitu makmum tetap diwajibkan membaca al-Fatihah walaupun di belakang imam.

Ini didasarkan sandaran dalil berikut: (Pandangan yang mengatakan tidak perlu membaca al-Fatihah di belakang imam ialah pandangan Ishak Rahawaih, Ahmad Hanbal, Malik bin Anas. Berdalilkan hadis yang bermaksud: Barang siapa mempunyai imam (ketika solat), maka bacaan imam adalah bacaannya. (riwayat al-Dar Qutni; Albani: sahih).

Bagaimanapun al-Imam al-Syawkani berkata: "Hadis ini datang daripada jaluran perawi yang lemah dan yang tepatnya, hadis ini mursal." (rujuk

Naylul Awtar untuk lanjut; 2/514 cet. Darul Khayr)

1. Hadis Nabi SAW

Rasulullah SAW telah menunaikan solat Subuh. Maka pembacaan baginda agak berat (kerana terganggu) dan tatkala tamat solat, baginda berkata: Aku dapati kamu semua membaca (al-Quran) di belakang imam kamu. Sahabat menjawab: Wahai Rasul, ya mengapa? Baginda berkata: Jangan kamu berbuat demikian kecuali bacaan ummu al-Quran kerana tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dan berkata bahawa semua perawinya thiqat)

2. Hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Jangan sesekali seseorang kamu membaca apa jua daripada al-Quran tatkala aku (sebagai imam) mengeraskan bacaan kecuali bacaan Ummu al-Quran (al-Fatihah)." (riwayat al-Dar Qutni, Ahmad: Perawi-perawinya thiqat; Ibnu Hajar mengatakan sanadnya hasan).

Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan sanadnya bertaraf hasan menurut al-Hafidz Ibnu Hajar yang bermaksud: "Jangan kamu membaca kecuali al-Fatihah (di belakang imam). (rujuk Naylul Awtar, 2/511)

Keperluan membaca al-Fatihah dalam setiap rakaat pula berdasarkan hadis yang mengandungi arahan Nabi SAW kepada lelaki yang buruk solatnya, di mana Nabi SAW mengarahkannya untuk membaca al-Quran yang merujuk kepada al-Fatihah dan kemudian di akhirnya disebutkan yang bermaksud: Dan kemudian lakukan sedemikian pada setiap rakaat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

* Petikan daripada buku Formula Solat Sempurna. Utusan Bicara Agama 20140416

Tubuh dihuni jin Ifrit

RAJA maksiat. Begitulah gelaran untuk menggambarkan sikap Zahril (bukan nama sebenar) yang tidak pernah ketinggalan daripada mencuba untuk melakukan pelbagai perkara, walaupun bertentangan dengan syariat Islam.

Malah, minum arak sehingga mabuk di kelab malam adalah rutin baginya pada setiap malam walaupun masih berstatus pelajar di salah sebuah institut pengajian tinggi.

Biarpun sedar perkara yang dilakukan adalah dilarang di sisi agama, namun kerana dahagakan pujian gelaran paling hebat dalam kalangan rakan-rakannya, dia sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit.

Bukan itu sahaja, ketaksuban Zahril untuk bergelar terhebat turut mempengaruhinya untuk mempelajari dan mengamalkan ilmu batin melalui pengajian silat kampung bagi memiliki kehebatan fizikal.

Siapa sangka, angkara kegilaan dan mengambil sikap mudah percaya, ilmu yang dipelajari, apatah lagi hidup diselubungi dosa membawa padah apabila makhluk lain mula berkongsi tubuh dengannya.

Menceritakan kejadian itu, pengamal perubatan Islam, Abd. Hafiz Abd. Halim berkata, kejadian mula disedari ketika Zahril ingin berkahwin dan bertaubat daripada melakukan kesilapan silam.

"Sebut sahaja apa jenis maksiat yang tidak pernah dilakukan. Semua dicuba untuk dilabel paling hebat dalam kalangan rakan-rakan.

"Hari demi hari, selepas tamat pengajian, apabila semakin berusia dan berakal, dia mula terfikir ke mana arah masa depan hidupnya. Zahril menyedari perbuatan yang dilakukannya itu adalah berdosa dan salah di sisi agama.

"Sehinggalah Zahril membuat keputusan untuk bertaubat dan berkahwin," kongsinya ketika ditemui, Mega, Utusan Malaysia di Pusat Rawatan Darul Hadith, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Dosa silam

Tidak berakhir di situ, Hafiz berkata, keputusan Zahril untuk mengakhiri kisah hitam silam membawa permulaan pahit dalam hidupnya apabila dirinya dikawal oleh sesuatu.

"Alhamdulillah, Zahril akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan kesalahan dan menginsafi dosa silam yang dilakukan. Malangnya, tidak semudah itu, tanpa disedari rupa-rupanya tubuhnya telah pun berkongsi bersama makhluk lain.

"Sikapnya berubah, lebih-lebih lagi ketika dia marah, dia akan bertindak yang luar biasa, perkataannya juga akan menjadi kesat. Orang yang mengenali mendakwa, itu bukanlah dirinya yang sebenar.

"Sehinggalah dia datang ke Pusat Rawatan Darul Hadith ini untuk berubat," ujarnya.

Hafiz mengakui sukar untuk merawat Zahril berikutan makhluk yang memasuki ke dalam tubuh itu dikatakan sudah sebati dengan diri tuannya.

"Pada mulanya sukar bagi kita untuk mengesan makhluk yang terdapat di dalam badan Zahril kerana kehebatan makhluk di dalam tubuh mangsa sehingga sebati dengannya.

"Apatah lagi, makhluk itu juga bijak menggunakan kelemahan kita dengan menyembunyikan diri, sebaliknya menggunakan taktik pujuk rayu ketika dirawat dengan bacaan ayat al-Quran sehingga kita keliru dan berasa kasihan.

"Sehingga hampir kita mengesyaki tiada sebarang gangguan kepada lelaki ini," ujarnya yang terpaksa menangguhkan rawatan.

Namun Hafiz berkata, selepas beberapa kali menjalani rawatan, akhirnya beliau berjaya membongkar penyamaran jin di dalam tubuh Zahril.

Jin Ifrit

"Saya meminta izin daripada tuan punya tubuh untuk menjalankan rawatan secara tanpa belas kasihan. Akhirnya, jin di dalam badan Zahril mula bersuara dengan mengakui bahawa dia adalah Jin Ifrit yang telah masuk ke dalam tubuh.

"Kerana aku dia jadi begini," kata jin itu.

Kemudian saya bertanya jin itu lagi, "berapa lama mahu berada di dalam tubuh lelaki ini?"

Jin itu berkata, "selagi lelaki ini masih bernyawa aku akan menguasai tubuhnya"," kongsi Hafiz.

Hafiz berkata, inilah kemuncak daripada segala kejahatan dan dosa yang dilakukan oleh Zahril dahulu.

Jin itu tambahnya, berkemungkinan memasuki ke dalam tubuh Zahril akibat ilmu batin yang dipelajari dan diamalkan sehingga secara tidak disedari menguasai tubuhnya.

"Mungkin ilmu silat yang dipelajari itu dianggap berlandaskan ayat al-Quran dan sunah. Tetapi oleh kerana tidak faham dengan konsep tauhid dan akidah, amalan ilmu batin boleh memakan diri," jelasnya.

Mengambil pendekatan rawatan dengan memberi ancaman sambil berdakwah kepada jin, Hafiz akhirnya berjaya melemahkan Ifrit tersebut dengan bacaan ayat al-Quran dan doa-doa Rukyah.

Hafiz menasihatkan, masyarakat terutama umat Islam supaya mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar dan juga mengkaji kesahihan sesuatu ilmu sebelum mempelajari dan mengamalkannya.

Ini kerana katanya, dikhuatiri boleh memberi mudarat kepada diri sendiri sekiranya disalahgunakan.

MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Bicara Agama 20140416

Elak polemikkan hukum hudud

MANUSIA merupakan makhluk yang memerlukan penghidupan sosial yang kolektif. Manusia tidak mampu hidup bersendirian dalam memenuhi semua keperluan hidupnya kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh sebab itu, semenjak awal kejadian manusia, sudah terbentuk sebuah hidup bermasyarakat, sehingga terbentuk sebuah negara.

Antara persoalan penting dalam sesebuah negara ialah, soal kuasa mutlak atau kuasa tertinggi yang diistilahkan sebagai kedaulatan. Kuasa tertinggi tersebut mempunyai peranan penting dalam mencorak undang-undang yang akan digubal dan dilaksanakan dalam sesebuah negara.

Dalam falsafah politik Islam, isu kedaulatan dikemukakan secara jelas iaitu Allah SWT sahaja yang memiliki kuasa tertinggi di dunia dan di akhirat. Allah SWT yang mencipta alam dan segala isinya, memiliki kuasa untuk mengurus dan mentadbir ciptaan-Nya.

Kehendak Allah SWT bersifat mutlak dalam mengurus alam ciptaan-Nya. Oleh sebab itu, kehendak Allah SWT wajib ditaati oleh setiap makhluk, termasuk dalam sesebuah masyarakat dan negara. Dia sahaja yang berdaulat dan segala undang-undang yang digubal hendaklah bertepatan dengan kehendak-Nya (Maududi, Sayed Abul A'la, Islamic Law and Constitution).

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 67 yang bermaksud:...Kuasa menetapkan sesuatu hukum itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nyalah aku berserah diri, dan kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.

Isu hukuman hudud dan pelaksanaannya sering menjadi topik hangat perbincangan dari semasa ke semasa. Isu ini timbul semula apabila sesetengah pihak mengulas isu pelaksanaan hukuman syariah di negara Brunei bermula April 2014.

Ada sesetengah pihak yang begitu angkuh menyatakan bahawa hudud adalah ciptaan manusia dan terbuka kepada perdebatan.

Harus diingat bahawa isu hukum hudud ini bukan hanya sekadar perbincangan isu politik semasa dan undang-undang semata-mata.

Apa yang berlaku dalam kalangan sebahagian umat Islam ialah mereka sewenang-wenangnya mengeluarkan pendapat yang didakwa bersifat intelektual, tanpa mempedulikan bahawa isu ini mempunyai signifikan yang besar terhadap akidah.

Masyarakat perlu memahami bahawa dalam isu hudud ini terdapat perkara yang bersifat teras kepercayaan dalam Islam (qat'ie) dan ada yang bersifat ijtihad yang menjadi ruang perbahasan dan perdebatan dalam kalangan sarjana (zanni).

Allah SWT tidak menghalang hamba-Nya daripada menggunakan akal untuk menganalisa setiap isu yang berlaku dalam kehidupan, namun analisa tersebut perlulah berasaskan ilmu dan dibahaskan oleh sarjana yang berkelayakan sahaja.

Sebagai bandingan, jika dalam sistem undang-undang sivil, ulasan dan penggubalan undang-undang perlu dilakukan oleh sarjana yang berkelayakan, maka adakah dalam isu undang-undang Islam, ia boleh diulas dan digubal oleh sesiapa sahaja, tanpa memerlukan sebarang kelayakan? Perlu juga diingat bahawa hanya pakar jantung sahaja yang boleh merawat pesakit jantung, bukan doktor gigi.

Isu hudud

Terdapat beberapa jenis jenayah yang dijelaskan hukumannya dalam al-Quran dan sunnah secara lengkap. Hukuman dan jenayah ini yang diistilahkan dalam Undang-Undang Jenayah Islam sebagai Hudud dan Qisas.

Secara umumnya, hukum melaksanakan perintah Allah SWT berkaitan hukuman kepada sesuatu jenayah adalah wajib. Namun, ruang perbahasan tentang isu ini kembali kepada prinsip qat'ie atau zanni.

Bagi setiap jenayah hudud dan qisas terdapat elemen qat'ie dan zanni. Hanya bagi elemen zanni, Islam memberi ruang untuk perbahasan yang berasaskan ilmu yang berautoriti. Contohnya dalam jenayah zina, sumber hukumnya ialah firman Allah SWT surah al-Nur ayat kedua.

Setiap orang Islam wajib beriman bahawa Allah memerintahkan agar pesalah zina dihukum dengan seratus (100) kali sebatan, ini adalah elemen qat'ie dalam ayat ini.

Sementara persoalan lain berkaitan jenayah zina itu, adalah termasuk dalam elemen zanni seperti apakah syarat seseorang penzina itu boleh dijatuhkan hukuman 100 kali sebatan dan bagaimana cara pelaksanaan hukuman sebatan.

Sumber kedua hukum berkaitan jenayah zina ialah hadis mutawatir yang menjelaskan bahawa hukuman penzina muhsan adalah rejam sampai mati.

Elemen qat'ie ialah wajib menghukum penzina muhsan dengan rejam sampai mati. Manakala pendetailan tentang syarat muhsan yang membolehkan pesalah zina itu direjam, kaedah pelaksanaan hukuman rejam dan seumpamanya, adalah termasuk dalam elemen zanni, kerana terdapat pelbagai pendapat sarjana berkaitan dengannya.

DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN Utusan Bicara Agama 20140416

Addeen Online sumber maya ilmu Islam

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan memberi nasihat yang biak dengan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya. (an-Nahl: 125)

Ayat di atas sepatutnya dijadikan pembakar semangat untuk mempelbagaikan gerakan dakwah terutama dalam era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kini. Perkembangan ICT menjadikan dunia tanpa sempadan dan maklumat dapat diakses dengan mudah dan pantas melalui hujung jari. Untuk itu, kegiatan dakwah tidak boleh lagi statik pada takuk lama atau manhaj konvensional.

Sebaliknya, penggunaan laman-laman sosial terutama Facebook, laman sesawang dan secara dalam talian (online) hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya. Lebih-lebih lagi dalam zaman di mana golongan remaja terutamanya menjadikan telefon pintar sebagai ‘sahabat setia’ mereka, Sehinggakan hidup masa kini tidak sempurna tanpa internet dan telefon pintar.

Menyedari hakikat itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Multi Media Synergy Corporation Sdn. Bhd. (MMSC) di ibu negara, Mac lalu. MoU itu bagi mewujudkan portal ilmu yang bermanfaat dengan menggabungkan kepakaran MMSC dalam bidang ICT dan Telaga Biru sebagai pembekal isi kandungan (content provider) yang bermutu,

MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi Telaga Biru, Waharp Yusoff dan Pengerusi Eksekutif MMSC, Dr. Abdul Rahman Abdullah. Majlis disaksikan oleh Pengarah Urusan Telaga Biru, Dr. Zahazan Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Addeen Online Sdn. Bhd., Johari Kamarudin.

Melalui memorandum itu, Telaga Biru akan membekalkan isi kandungan berkaitan ilmu agama yang diterbitkan menerusi majalah-majalah terbitan syarikat tersebut termasuk yang terkandung dalam majalah Solusi, Al-Ustaz dan Gen-Q.

Telaga Biru yang ditubuhkan pada 4 September 1997 adalah sebuah syarikat penerbitan yang berpengalaman melebihi 30 tahun dalam industri muzik dan audio visual.

Penubuhannya bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan sebagai santapan inda dan rohani melalui sumber-sumber berbntuk lisan, audio dan visual yang disampaikan melalui kaset, cakera padat (CD), cakera padat video (VCD), buku dan majalah.

MMSC pula melalui Addeen Online dengan matlamat utamanya sebagai pusat sehenti bertanggungjawab menyebarkan dakwah secara maya dalam pelbagai bentuk media yang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga.

Dr. Zahazan berkata, pihaknya mengambil inisiatif tersebut antara lain untuk membanteras kegiatan cetak rompak yang nampaknya masih sukar dibendung.

"Melalui portal ini, masyarakat boleh mendapat maklumat yang sahih dan tepat tentang pelbagai isu agama. Ini secara tidak langsung dapat mengelak daripada berlaku tokok tambah atau penyelewengan fakta berkaitan agama yang boleh mengelirukan umat Islam," katanya dalam pertemuan dengan Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tumpuan portal adalah kepada penyampaian kandungan dan maklumat penuh informasi serta berkualiti tinggi. Kandungan terdiri daripada nukilan artikel-artikel menarik daripada tokoh agama dan penulis tempatan tersohor, video-video ceramah eksklusif serta koleksi nasyid-nasyid pilihan.

Orang ramai boleh memanfaatkan portal itu dengan melayari laman web www.addeen.my/store.

- MOHD. RADZI MOHD. ZIN   Utusan Bicara Agama 20140416