April 18th, 2014

Selebriti sebagai daie

MENUNTUT ilmu adalah sesuatu yang harus bagi setiap umat Islam, tanpa mengira jantina dan umur. Ini kerana ilmu pengetahuan, sama ada ilmu duniawi atau ilmu ukhrawi merupakan kunci kejayaan seseorang di dunia dan di akhirat.

Masyarakat yang berilmu bukan hanya mempunyai akhlak serta akal yang adil serta jujur tetapi tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara dan hukum Islam.

Hakikatnya, terlalu banyak dalil nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan akan kepentingan menuntut ilmu itu.

Sejajar dengan keutamaan itu, kita mempunyai banyak pilihan saluran untuk menuntut ilmu, khususnya ilmu agama. Antara pilihan tersebut adalah menerusi penganjuran program atau kelas-kelas usrah.

Usrah bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini. Walaupun popularitinya lebih terserlah di institusi pendidikan tetapi gerakan dakwah itu turut mendapat sambutan di kalangan masyarakat awam yang lain.

Mungkin kerana gerakan dakwah itu lebih mudah dilaksanakan berbanding dengan ceramah atau kuliah agama.

Usrah bukan hanya boleh dijalankan di rumah, bahkan ia boleh dihadkan kepada ahli keluarga atau kenalan yang rapat sahaja.

Tidak hairanlah, dikatakan kumpulan usrah kini telah bercambah, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Salah satunya adalah kumpulan Usrah Fitrah iaitu satu gabungan para penggiat seni tanah air, merangkumi pelakon, penyanyi, wartawan hiburan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik yang ingin memahami dan mendalami Islam,

Antara penggiat seni yang menyertai kumpulan itu adalah Yatt Hamzah, Zoey Rahman, Heliza Helmi, Diana Amir, Salima Habibi dan Siti Nordiana.

Penaungnya, Sharudin Dawam menyifatkan penubuhan kumpulan tersebut pada penghujung 2011 itu mampu menjadi satu saluran dakwah yang penting bukan hanya untuk kalangan penggiat seni tempatan serta peminat mereka dan orang awam lain.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa penggiat seni tetap mempunyai tarikan sebagai public figure. Ada yang minat kerana lagu, mutu nyanyian, kualiti lakonan atau kerja-kerja di belakang tabir.

“Sebab itulah, kami di Usrah Fitrah percaya, para penggiat seni itu boleh memainkan peranan dalam menarik lebih ramai peminat mereka untuk mendekati Islam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Sri Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Sejajar dengan kepentingan itu, Sharudin menegaskan bahawa adalah penting untuk memastikan terlebih dahulu para penggiat seni yang ingin memahami dan mendalami Islam itu mendapat didikan daripada kalangan tenaga pengajar yang benar-benar layak.

Usaha itu penting kerana Malaysia bukan hanya turut dibanjiri oleh pelbagai fahaman Islam selain Ahli Sunah Wal Jamah (ASWJ) tetapi ada juga segelintir pihak yang mahu menggunakan populariti penggiat seni untuk mengumpul seramai mungkin pengikut walaupun ia difatwakan sebagai sesat.

“Secara kelaziman apabila seseorang yang ingin berhijrah, dia akan ada satu perasaan teruja untuk belajar mengenai agama Islam dan sudah pasti, dalam keterujaan itu, akan ada orang yang akan mengambil kesempatan.

“Di sinilah, akan timbul cerita dia (penggiat seni) ikut aliran yang tidak betul atau menyeleweng daripada pegangan ASWJ," katanya yang turut menjadi salah seorang tenaga pengajar.

Dalam usaha memastikan penggiat seni itu menghargai dan bersyukur dengan hidayah Allah SWT itu, Usrah Fitrah bukan hanya memberi penekanan kepada kelayakan tenaga pengajar agar ia sejajar dengan fahaman ASWJ. Malah aspek kaedah penyampaian ilmu turut dititikberatkan agar ia mudah diterima, terutamanya bagi mereka yang benar-benar baru belajar mengenai Islam, sekali gus menimbulkan keseronokan seterusnya menanam semangat untuk terus mendekati Islam.

“Topik berkaitan isu-isu politik memang tidak ada dalam silibus pengajaran kami di Usrah Fitrah ini. Di sini tumpuan adalah lebih kepada asas-asas Fardu Ain. Yang mana akhirnya matlamat penekanan kami adalah kepada pendidikan jiwa dan memberi pengetahuan agama kepada ahli usrah.

“Kami juga turut menggunakan aplikasi internet seperti WhatApps, Twitter, Facebook dan lain-lain untuk membolehkan para penggiat seni bertanya tentang kemusykilan agama pada bila-bila masa sahaja," kata Sharudin.

Selain itu, Usrah Fitrah juga mahu membentuk sekumpulan penggiat seni yang bukan hanya mempunyai didikan agama yang kukuh tetapi mampu menjadikan dunia hiburan lebih positif berbanding negatif.

Usaha tersebut penting kerana hanya mereka yang layak bukan hanya untuk bercakap tentang industri itu tetapi mengubahnya menjadi lebih positif berbanding negatif.

"Hari ini banyak isu berkaitan dengan hiburan diperkatakan oleh orang ramai dan pastinya, mereka yang boleh bercakap adalah daripada golongan itu sendiri dan kita orang luar ini, orang tidak akan dengar.

“Dengan kata lain, kami mahu menjadikan mereka sebagai daei kepada masyarakat atau sekurang-kurangnya kepada peminat masing-masing tetapi mereka perlu sentiasa isikan ilmu agar yakin dengan apa yang mereka pelajari selama ini," katanya.



HASHNAN ABDULLAH Utusan Bicara Agama 20140417

Pulanglah Liya

Dumm!!! Berdentum pintu bilik ditutup. Amarahnya tidak terkawal. Entah kenapa saranan ibunya itu membuatkan hatinya naik baran. Bukan ibunya tidak mengenali lelaki yang pernah diperkenalkan kepadanya. Namun ibunya tetap menolak. Kata ibu, kalau benar-benar Azmi mahu mengahwini Liya, bekerjalah dahulu.

Buktikan dahulu kemampuan menanggung Liya, bukan sebaliknya pula. Tapi bagi Liya, dia tak kisah semua itu. Gajinya dah cukup besar. Sebagai seorang pegawai bank, Liya merasakan dia mampu untuk menanggung keluarga. Tak kisahlah kalau Azmi tidak bekerja pun.

“Liya, tanggungjawab suami ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan keluarga. Tanggungjawab suami juga memimpin isteri dan keluarga. Bukan perempuan yang perlu menanggung suami. Bertanggungjawablah sebagai seorang lelaki. Jangan terlalu mengharapkan duit isteri. Suami adalah ketua keluarga dan sepatutnya dia menjadi contoh kepada keluarganya. Kalau dia sendiri tidak bekerja, contoh apakah yang hendak dia tunjukkan kepada anak-anak nanti?" kata ibu menasihati Liya.

Liya bungkam. Baginya, ibu tidak pernah untuk memahaminya. “Ibu tak pernah halang Liya berkahwin dengannya tapi dengan syarat, Azmi perlu ada pekerjaan terlebih dahulu," tegas ibu memberikan syaratnya.

Ternyata nasihat ibu, Liya tolak ke tepi. Jalan singkat diambil. Liya keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibunya. Kini, telah setahun Liya tidak menjenguk ibunya.

Hati ibu mana yang tidak resah, anak perempuan tunggalnya tidak lagi mahu menziarahinya. Kini, ibu tua itu tinggal bersendirian di rumah, apa lagi diri berstatus balu. Ada kala air mata menitis bila kerinduan melanda. Malah si ibu tidak pernah putus berdoa agar Liya kembali ke rumah.

Suatu hari ketika di surau seusai solat Isyak, seorang ustaz menegurnya. “Kakak nampak macam ada masalah. Sekiranya kakak memerlukan bantuan, beritahulah saya. Saya ada anak-anak tahfiz yang mungkin boleh membantu kakak untuk bersama-sama berdoa agar masalah kakak dapat diselesaikan. Sekolah tahfiz saya, nun di selekoh sana," ujar ustaz tersebut sopan.

“Tak apalah ustaz. Terima kasih atas bantuan ustaz," kata si ibu menolak kerana khuatir masalahnya akan diketahui orang. Ditakdirkan, si ibu pergi menziarahi adiknya yang hendak menunaikan umrah. Selesai majlis, adiknya bercerita. “ Zah, aku mimpi. Liya telefon aku, minta tolong doakan," kata adiknya.

Berderau darahnya. Sudah dua orang yang ditemui yang berhasrat untuk membantunya berdoa bersama-sama. Walhal, si ibu tidak menceritakan hal tersebut kepada sesiapa pun, hatta kepada adiknya sendiri! Hatinya runsing. Petunjuk apakah yang Allah hendak berikan kepadanya? Dia nekad berjumpa kaunselor dan mengadu akan halnya.

Sebak! Sukar untuk ibu meneruskan penceritaan masalah yang dihadapi. Senyap seketika. Lama dia menarik nafas untuk meneruskan kata-kata. Namun tidak berdaya. “Puan dah cuba meminta orang lain mendoakan untuk anak puan? Ada kalanya permintaan akan termakbul menerusi doa orang lain," ucap kaunselor menenangkan Azizah. Dia tersentak seketika. “Benar ustaz. Apa yang ustaz cakap tu mungkin betul," kata Azizah sambil menceritakan dua peristiwa yang dialaminya itu.


Utusan Bicara Agama 20140417

Penyelewengan dalam usrah

SYAITAN itu tidak pernah memungkiri janji atau berputus asa untuk memesongkan umat Islam ke jalan yang salah. Tekad syaitan ini seharusnya menjadikan kita lebih berhati-hati atau berwaspada. Justeru untuk mengalahkan hasutan, bisikan dan godaan syaitan ini, individu Muslim itu perlu kepada ilmu, iman dan amal.

Menyedari akan kepentingan dan keperluan sentiasa membajai diri dengan ilmu agama, menyebabkan ramai daripada kalangan kita sentiasa berusaha untuk mencari dan mendalami ilmu agama Islam, tidak kiralah melalui pelbagai medium yang ada.

Lantaran itu, kehadiran kita ke usrah juga dilihat sebagai salah satu cara untuk memelihara iman kita supaya sentiasa dalam keadaan baik dan terjaga. Meskipun, tidak dinafikan segelintir daripada umat Islam belajar ilmu agama menerusi medan media baharu.

Hingga kini, budaya usrah masih terus berkembang dan tidak sahaja dilaksanakan di surau dan masjid. Apatah lagi, dalam kesibukan umat Islam dengan pekerjaan dan perniagaan, secara tidak langsung kelas-kelas usrahlah menjadi sasaran permintaan. Ini kerana, ia lebih fleksibel dari segi masa dan tempat serta kaedah penyampaiannya yang santai serta jumlah peserta yang kecil.

Walau bagaimanapun, seperkara yang tidak dapat dielakkan ialah persoalan sejauhmanakah ilmu yang disampaikan itu adalah benar-benar mengikut landasan Islam. Apa yang dibimbangi niat murni untuk mencari ilmu agama, tetapi sayangnya tercemar dek tersalah memilih kumpulan usrah.

Ternyata situasi tersebut sudah pasti 'menganggu', sekali gus membawa imej buruk kepada sisi kebaikan dan keluhuran usrah yang sebelum ini dianggap sebagai satu saluran yang sesuai kepada sesiapa yang ingin mengenal dan mendalami agama Islam.

Bagi Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mohd. Mustakim Mohamood@Fauzi percaya 'penyimpangan' secara halus itu sekiranya tidak ditangani dari awal, ia bukan hanya membawa kepada perpecahan tetapi memudahkan berlakunya penyelewengan akidah terhadap fahaman yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Malah konsep usrah yang melibatkan jumlah peserta yang kecil dan tertutup, apa lagi dengan keterbukaan hati peserta yang umpama kain putih untuk menerima segala ilmu yang dicurahkan, tambah memudahkan pihak-pihak yang berkepentingan tertentu untuk cuba mempengaruhi mereka dengan kononnya menggunakan nama Islam.

Berhati-hati

“Lagi pula, usrah bukanlah seperti kuliah atau ceramah yang dibuat di surau atau masjid. Ia dilakukan secara terbuka, terang-terangan dan penceramahnya juga bertauliah. Sedangkan usrah boleh dijalankan secara tertutup di mana-mana premis kedai, pejabat ataupun rumah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, Mohd. Mustakim menyeru umat Islam di negara ini agar lebih berhati-hati dengan topik yang dibincangkan dalam program usrah yang disertai mereka agar tidak lari daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jama‘ah (ASWJ).

Beliau berkata, seruan itu sejajar dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan wujudnya gerakan yang mahu menyebarkan fahaman Wahabbi, Syiah, Liberal dan lain-lain ajaran agama yang difatwakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Berdasarkan beberapa pemerhatian atau pemantauan kami, terdapat beberapa bentuk penyelewengan yang wujud dalam program usrah, sama ada yang bersifat perbincangan atau aktiviti di luar rumah," katanya.

Antaranya adalah pegangan pimpinan usrah itu (sama ada lelaki atau wanita) kerana golongan itu mempunyai keupayaan secara halus untuk menyebarkan pemikirannya kepada peserta usrah.

“Kalau pimpinan usrah itu berfahaman Wahabbi, Syiah atau Liberal, maka pemikiran peserta usrah terbabit dibentuk mengikut kerangka pemikiran gerakan tersebut," kata Mohd. Mustakim.

Sedangkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam membuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaan-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (al-Maidah: 2)

Mentafsir al-Quran

Malah satu lagi bentuk penyelewengan yang sangat bahaya menerusi penganjuran usrah-usrah katanya, iaitu mentafsirkan ayat al-Quran atau hadis mengikut pandangan pimpinan atau ahli usrah berbanding sahabat Rasulullah SAW atau ijtihad ulama.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud yang bermaksud: “Barang siapa yang mentafsirkan al-Quran mengikut kerangka pemikirannya sendiri, maka tempahlah tempat mereka di neraka." (riwayat al-Timizi)

Mohd. Mustakim menjelaskan, pendekatan sedemikian akan menjurus kepada amalan memberi pandangan secara membabi-buta tanpa melihat kepada perkara yang ditegah oleh syarak.

“Jadi, kenapa tidak diamalkan apa yang menjadi pegangan para sahabat dan ulama tersohor Islam iaitu bila tidak tahu sesuatu perkara, mesti berani kata saya tidak tahu.

“Iman Malik pernah ditanya dengan 48 soalan dan dia hanya menjawab enam soalan sahaja. Ini menunjukkan sikap amanah dan bukannya beliau nak sembunyikan ilmu kerana menyembunyikan ilmu, khususnya fardu ain adalah haram," katanya.

Selaras dengan itu adalah perlu bagi peserta usrah untuk memastikan bahawa topik perbincangan yang perlu diutamakan adalah perkara berkaitan Fardu Ain, sebelum disusuli dengan isu kebatinan dan isu kenegaraan.

“Perkara paling asas, biarlah kenal Allah, nabi, solat, zakat dan lain-lain berkaitan Fardu Ain kerana pengetahuan sedemikian akan menjadi benteng mempertahankan diri daripada ajaran sesat yang sedang menular rancak kebelakangan ini," katanya.


Utusan Bicara Agama 20140417

Hudud perlu kefahaman, penghayatan

PADA asasnya, tiada siapa yang mengaku sebagai umat Islam menolak ketentuan dan undang-undang yang telah digariskan Allah dalam al-Quran dan dijelaskan secara lebih terperinci dalam hadis. Dalam bahasa mudah, ketentuan dan undang-undang Allah ini bernaung di bawah payung syariat Islam. Hanya saja, wujud perbezaan dari segi tafsiran, pendekatan dan tatacara pelaksanaannya.

Sebagai agama samawi, syariat bersama akidah menjadi komponen teras dalam ajaran Islam. Dalam syariat inilah ia menjadi katalog lengkap daripada Allah untuk membimbing manusia dalam mengharungi kehidupan bersosial, berpolitik dan menjalankan misinya sebagai khalifah di muka bumi. Ini termasuklah hukum hudud yang kebelakangan ini kembali marak diperbincangkan seiring de­ngan mencuatnya gagasan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Secara keseluruhan, pendirian masyarakat kita terbahagi kepada dua golongan dalam menanggapi pelaksanaan hudud ini. Golong­an pertama berpendirian bahawa pelaksa­naan hudud adalah wajib disegerakan tanpa mempertimbangkan keadaan dan situasi yang berlaku dalam masyarakat.

Golongan ini tidak mempertimbangkan perkiraan-perkiraan lain selain meyakini bahawa hudud adalah perintah Tuhan yang tidak boleh ditolak ansur. Tidak ada alasan untuk menunda pelaksanaan hudud disebabkan alasan seperti struktur masyarakat yang pelbagai, umat Islam masih bodoh, beza tafsiran dan sebagainya.

Bagi golongan ini, kekuasaan amat penting untuk dikuasai kerana sekiranya kekuasaan itu dapat digenggam, mereka percaya dapat melaksanakan hudud sepenuhnya. Oleh se­bab itu, kita dapat menyaksikan golongan ini tanpa segan silu menggunakan dan mengeksploitasi sepenuhnya isu hudud bagi memperoleh keuntungan dan sokongan politik.

Golongan kedua pula berpendirian baha­wa hudud baru dapat dilaksanakan sekiranya semua masyarakat dapat memahami dan menghayati ajaran Islam. Bagi mereka, menjadi sia-sia belaka seandainya hudud dilaksanakan tanpa diimbangi dengan rasa insaf dan penghayatan yang mendalam terhadap Islam.

Sebab sekiranya hudud dilaksanakan dengan keadaan umat Islam sendiri masih ‘jauh’dari agama, hudud akan mempunyai ‘musim tuai’ kerana banyaknya pelanggaran terhadap hudud. Kesannya, wajah Islam menjadi hodoh kerana hudud menjadi jentera ‘penghukum’, bukan Islam yang mendidik, Islam yang lemah-lembut dan Islam kasih sayang.

Dengan erti kata yang lain, golongan kedua lebih menekankan pembentukan masyarakat Islam melalui ketaatan dan kesalehan terlebih dahulu. Sekiranya umat Islam sudah insaf, taat dan patuh kepada agamanya, maka dengan sendirinya negara itu akan menjadi Islam tanpa kita heboh mengatakan negara itu adalah negara Islam. Golongan ini dikenali juga sebagai golongan yang lebih memperhatikan isi (substance) berbanding bentuk.

Oleh sebab itulah, istilah yang dipakai da­lam al-Quran adalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (ya’mu­runa bil ma’ruf wa yanhauna anil munkar). Menga­pa redaksi ayat itu meletakkan menyeru kebaikan di awal berbanding mencegah ke­­mungkaran kemudian? Ini kerana Allah me­­nyuruh kita berbuat baik terlebih dahulu. Taat dulu, baru mencegah kemungkaran. Pa­tuh dulu, baru suruh orang lain buat baik. Cip­takan masyarakat Islam yang saleh dan taat terlebih dahulu, sebelum mempersiap­kan negara Islam.

Dengan terbentuknya masyarakat yang taat dan patuh kepada agamanya, maka wujudlah negara baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur (negara baik dan sejahtera).

Kita menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hu­dud. Bagaimanapun, ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah keislaman sejati. Tidak dapat dinafikan, masih ramai orang Islam sendiri masih terkeliru dengan hudud hingga dengan gelojohnya membuat kesimpulan mudah bahawa sesebuah negara tidak dapat dikatakan sebagai negara Islam jika negara berkenaan tidak melaksanakan hudud.

Walhal, hudud adalah sebahagian kecil da­­­ripada konsep negara Islam yang lebih besar dan kompleks. Hudud hanyalah satu mekanisme atau satu tatacara penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah-jenayah tertentu. Tidak semua jenayah diatur dalam hu­­kum hudud sebagaimana yang mungkin difahami oleh orang ramai. Malah, pada zaman ini jumlah peratusan jenayah lebih banyak berbentuk dalam kategori takzir (pu­nishment) yang dari beberapa segi juga menimbulkan kontroversi dalam pelaksanaannya.

Di sini perlu difahami bahawa pengaturan hukum bagi pelaku jenayah terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama: qisas, iaitu hukuman yang diberi haknya 100 peratus kepada waliyul amr (keluarga yang berhak). Selagi wali tersebut tidak memaafkan kesalahan itu, pihak berkuasa pastilah mengambil tindakan terhadap pesalah tersebut dengan pembalasan yang setimpal dan penuh keadilan.

Kedua: Hukum hudud; hukum ini memberi kuasa kepada pihak pemerintah untuk menjalankannya mengikut budi-bicara sendiri tetapi penentuan hukum itu tidak harus diubah dan diganti dengan hukuman lain daripada apa yang sudah ditetapkan se­perti pukul, potong tangan, rejam, dan sebagainya. Pukul atau sebat dan potong tangan itu wajib dilaksanakan, tetapi dengan apa dan bagaimana hendak dipukul, di mana hendak dipotong, dan bila hendak direjam itu terpulang kepada budi bicara pemerintah.

Sebab itulah hudud tidak perlu dijalankan selagi terdapat apa-apa syubhat dan kesamaran dalam kes tersebut, sepertimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Tolak hudud de­ngan sebarang syubhat." (Riwayat Tirmidzi)

Ketiga: takzir, iaitu hukuman yang dise­rahkan kepada budi-bicara pihak pemerintah 100 peratus, terpulang kepada keputusannya tentang apa bentuk hukuman yang akan diambil, bila masanya, dan bagaimana caranya yang akan dilaksanakan hukuman tersebut. Kadangkala takzir ini sampai ke peringkat hukum bunuh dan sebagainya.

Pada hakikatnya kebanyakan para fuqaha bersetuju bahawa hukuman had bagi ke­salahan meminum arak ialah sebat. Dan hukuman sebat ini wajib dilaksanakan ke atas setiap peminum arak sama ada lelaki atau pe­­rempuan. Sehubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang ber­iman, sesungguhnya arak, berjudi, berhala, bertenung nasib adalah perbuatan keji ter­­masuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah per­buatan-perbuatan tersebut." (Al-Maidah: 90)

Justeru para fuqaha tidak menganggap jantina sebagai salah satu sifat yang boleh mengecualikan seseorang daripada hukuman sebat kerana meminum arak. Pengecualian hanya diberikan atas sebab lain seperti kurang akal, dipaksa, jahil atau sebagainya.

Mengenai hukuman sebat bagi kesalahan minum arak, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa minum arak, maka sebatlah dia." (Riwayat Abu Daud)

Diriwayatkan daripada Anas, bahawa te­lah dibawa kepada Rasulullah seorang lelaki yang telah meminum arak. Nabi SAW lalu memukulnya dengan kasut sebanyak 40 kali. Demikian juga pada zaman Saidina Abu Bakar yang pernah memukul peminum arak sebanyak itu.

Untuk mencapai keadilan yang diharapkan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia perlu kepada pelaksanaan yang betul. Prosedur, keterangan serta penyiasatan semuanya mesti betul dan tepat. Ia mestilah berada dalam suatu keadaan yang semuanya akan menolong mencapai keadilan. Ia bukanlah sesuatu yang hanya dilihat dengan ‘sebelah mata’. Kita perlukan kesungguhan untuk merungkaikannya.

Sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersiap sedia untuk melaksanakannya baik dari segi kefahaman, penghayatan, mental mahupun pemikiran.

Begitupun juga dengan masyarakat bukan Islam, perlu diberi kefahaman yang betul dan me­nyeluruh tentang hukum-hakam Islam agar tidak tercipta stigma dan pandangan yang salah terhadap ajaran Islam yang suci ini.

Jangan kerana perkiraan-perkiraan politik yang menguntungkan pihak-pihak tertentu, perundangan Islam yang mulia ini menjadi mangsa diperlekeh dan dihina kerana ketidaksediaan masyarakatnya dan kelemahan dari segi pelaksanaannya.

Pelaksanaan undang-undang ini boleh menjadi boomerang yang menyerang balik kepada empunya senjata sekiranya ia lebih banyak mendatangkan imej yang negatif. Jangan kerana mengejar populariti dan syok mahu menjadi hero, syariat Islam digadaikan oleh kepentingan-kepentingan politik.

Pada masa saya mengunjungi Aceh tahun lepas, saya mendapati kecenderungan per­sepsi yang sebegitu dalam masyarakatnya. Aceh yang mendapat hak keistimewaan daripada pemerintah pusat untuk melaksanakan syariat Islam, banyak mengalami kritikan pelbagai pihak termasuk warganya sendiri.

Menurut salah seorang pimpinan dayah (pondok) yang saya temui, pelaksanaan sya­riat Islam (hudud) di Aceh pada asasnya bagus. Akan tetapi dari segi pelaksanaannya banyak mengalami masalah. Pelaksanaan syariat Islam tidak menepati kehendak syariat Islam itu sendiri yang menekankan aspek keadilan ter­hadap seluruh warganya. Dalam beberapa kes misalnya, ada pihak yang terbabit dalam pelanggaran khalwat. Akan tetapi si pelanggar tidak dikenakan hukuman disebabkan si pelanggar ialah saudara-mara pembesar tempatan.

Disebabkan pilih kasih dalam aspek penerapannya inilah akhirnya menodai kesucian syariat Islam. Disebabkan kelemahan dalam menguatkuasakan undang-undang, timbul prasangka dan persepsi negatif bahawa pe­nerapan hukum Islam hanya berkuat kuasa untuk rakyat jelata, rakyat marhaen yang papa dan tidak ada kuasa, manakala orang 'besar' terlepas daripada hukuman.

Ini tentu saja tidak selaras dengan apa yang dicontohkan oleh Nabi. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, An-Nasai', Ibnu Majah, Ahmad bin Hanbal, dan Malik bin Anas menceritakan bahawa Urwah bin Zubair, salah seorang sahabat nabi bercerita kepada Al-Zuhri tentang kejadian yang disaksikannya sewaktu Nabi SAW hidup.

Peristiwa ini melibatkan seorang wanita ber­nama Fatimah al-Makhzumiyyah dari suku al-Makhzumi yang pada ketika pembukaan Kota Mekah, telah didapati mencuri. Dikatakan suku kaumnya telah menemui Usamah bin Zaid (yang terkenal rapat dengan Nabi SAW) meminta agar dapat menolong Fatimah, supaya tidak dihukum oleh Nabi SAW. Usamah kemudian menemui Rasulullah dan menceritakan maksud dan tujuan kedatangannya.

Mendengar perkataan itu, berubahlah raut wajah Rasulullah. Baginda lalu berkata, "Apakah engkau akan mempersoalkan ketentuan hukum yang sudah ditetapkan oleh Allah?"

Usamah kemudian memohon maaf kepada Rasulullah. Pada sebelah petang, Nabi SAW berdiri di hadapan para sahabat, lalu berkhutbah: "Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Ketika salah seorang yang dianggap memiliki kedudukan yang tinggi dalam satu jawatan mencuri mereka melewatkannya atau tidak menghukumnya. Namun ketika ada seorang yang dianggap lemah miskin atau orang biasa, mereka meng­hukum. Ketahuilah, demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam kekuasaan-Nya, seandainya Fatimah puteri Muhammad mencuri, aku akan memotong tangannya."

Setelah itu Nabi SAW mengarahkan agar memotong tangan Fatimah Al-Makhzumiyyah. Dan setelah pelaksanaan hukuman itu selesai, Nabi SAW memberitahu bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah. Diceritakan bahawa perempuan itu kemudian menjalani hidupnya secara normal, berkahwin dan be­kerja seperti biasa.

Jelaslah bahawa daripada cerita ini Nabi SAW ingin mengajar kepada umat manusia un­­tuk tidak membezakan seorang dengan se­orang yang lain. Dalam ketetapan hukum hudud ini perlu (wajib) dijalankan - bila masanya, dengan apa, dan bagaimana caranya selagi tidak terdapat sebarang syubhat, tidak lain adalah bertujuan mencapai keadilan yang hakiki.

Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Rencana 20140418

Khutbah Jumaat: Hiburan melampaui batas syariat haram

Dalam kehidupan yang penuh mencabar keimanan ini, marilah kita berusaha mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Istiqamah dalam melakukan perkara yang diredai Allah dan jauhilah perkara yang mengundang kemurkaan-Nya.

Mudah-mudahan kita mendapat kejayaan sebenar di dunia dan akhirat. Dalam mencari dan mendalami erti takwa, mimbar pada hari ini akan membicarakan mengenai Hiburan Yang Diredai.


Manusia dan hiburan tidak dapat dipisahkan. Seperti tubuh badan memerlukan makanan, begitulah jiwa manusia memerlukan kepada hiburan.

Ruang lingkup hiburan sangat luas. Ia merangkumi muzik, sukan dan permainan, lakonan dan seumpamanya. Ringkasnya, apa saja yang mendatangkan kegembiraan dan keceriaan pada jiwa, itulah hiburan.

Allah Yang Maha Mencipta amat memahami bahawa manusia kadangkala dirundung musibah dan duka.

Islam tak haramkan hiburan

Ketika itu, manusia mula mencari sesuatu yang dapat menceriakan jiwanya. Kadangkala pula manusia ingin berhibur atau dihiburkan kerana mendapat sesuatu berita gembira. Oleh itu, Islam datang bukan untuk mengharamkan hiburan dan kegembiraan, tetapi lebih kepada memberi garis panduan serta membimbing manusia untuk memilih hiburan yang mengundang keredaan Allah SWT.

Sedarlah, hiburan hanyalah sebagai rencah kehidupan. Kerana itu, tidak patut bagi manusia mementingkan hiburan lebih daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT atau dengan kata lain, berhibur tanpa dibatasi syariat.

Amat tidak wajar lagi apabila seseorang itu memberi sepenuh tumpuan dalam hidupnya untuk hiburan semata-mata sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW adalah insan dan Rasul yang amat prihatin dengan jiwa manusia. Baginda menyantuni isu hiburan dengan penuh hikmah. Dalam riwayat Imam al-Bukhari, seperti yang dikhabarkan oleh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah ketika beliau menghantar pengantin perempuan kepada pengantin lelaki daripada kaum Ansar, Baginda bertanya:

Bermaksud: Wahai Aisyah! Mengapa tiada bersama kamu hiburan? Sesungguhnya Orang Ansar sukakan hiburan. Hadis ini menunjukkan Nabi SAW prihatin dengan kecenderungan berhibur sesuatu kaum. Lebih-lebih lagi dalam majlis dan hari yang bertujuan untuk kegembiraan dan kesukaan seperti majlis perkahwinan, hari raya dan seumpamanya.

Dalam hadis sahih diriwayatkan Imam al-Bukhari, Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah menceritakan bahawa Abu Bakar masuk ke dalam rumahku dan ketika itu aku sedang bersama-sama dua hamba wanita dari kalangan Ansar, mereka berdua sedang mengalunkan (menyanyikan) syair yang kebiasaannya diucapkan kaum Ansar ketika perang Buath. Aisyah menyatakan, Dan mereka berdua bukan dari kalangan penyanyi.

Pada ketika itu, apabila Abu Bakar melihatnya, beliau pun berkata, Wajarkah seruling syaitan dibunyikan di rumah Rasulullah SAW? Dan pada hari itu adalah hari raya. Maka, Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan ini hari raya kita.

Biarpun Rasulullah SAW menerima hiburan seperti yang disebutkan dalam hadis tadi, sudah pasti terdapat batasan dan panduan yang Islam gariskan untuk umat Islam.

Kitab Fiqh Ala Mazahibil Arbaah menerangkan empat syarat utama, pertama perkataan sesuai dengan adab dan ajaran Islam. Ini termasuklah lirik atau skrip yang mengajak manusia mendekati Allah SWT serta menjauhkan manusia daripada menderhaka-Nya.

Hiburan galak maksiat dilarang

Islam melarang perkataan atau ucapan yang mengundang kerosakan akidah bahkan menggalakkan maksiat walaupun dalam situasi bersenda gurau.

Kedua, persembahan dan penampilannya tidak mengghairahkan nafsu syahwat serta mengundang fitnah. Lihatlah bagaimana sesuatu hiburan itu digayakan sama ada sopan dan penuh ketertiban atau sebaliknya.

Sekiranya ada unsur seperti aksi yang menggoda nafsu apatah lagi berlainan jantina.

Ia jelas diharamkan. Ketiga, acara tidak disertai dengan sesuatu yang haram, seperti hidangan arak, dadah, perjudian, mendedahkan aurat serta percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas.

Kita dapati pada hari ini acara hiburan dipakej dengan pelbagai perkara haram yang mengundang kemurkaan Allah.

Kejadian yang berlaku ke atas anak remaja kita baru-baru ini, sebagai peringatan untuk kita di dunia sebelum hukuman yang lebih dahsyat di akhirat.

Keempat, hiburan itu tidak melalaikan sehingga perintah Allah SWT diketepikan. Misalnya apabila tiba waktu solat, maka hendaklah ditunaikan kewajipan itu terlebih dulu kerana itu adalah perintah Allah SWT yang pastinya jauh lebih penting daripada berhibur.

Janganlah kerana leka dan tenggelam dalam dunia hiburan sehingga tanggungjawab selaku hamba Allah diketepikan atau dilewat-lewatkan.

Hiburan yang melalaikan jelas adalah agenda terancang musuh Islam untuk melemahkan umat ini terutama generasi muda. Inilah masanya umat Islam berwaspada, bertindak dan bersatu bagi membendung isu ini daripada terus merebak dan menjadi barah.

Berita Harian Agama 2014/04/18 - 06:16:21 AM