April 20th, 2014

Anak angkat mesti dinasab kepada bapa kandung

Soalan: Saya ada seorang anak angkat dan anak itu kini berbinkan saya. Adakah tindakan saya itu salah di sisi agama, sedangkan saya berniat baik bagi mengelakkan tohmahan berlaku ke atasnya pada masa depan. Azran H, Gombak, Selangor


Jawapan: Budaya mengambil anak angkat sudah bermula sejak zaman jahiliah lagi. Ketika itu, mereka menasabkan anak angkat kepada bapa angkat dan membuang nama asal bapa kandung. Anak angkat ini juga diberikan hak mewarisi harta bapa angkat mereka. Rasulullah SAW sendiri mempunyai anak angkat bernama Zaid bin Harith dan ditukarkan namanya menjadi Zaid bin Muhammad. Hanya setelah Allah memerintahkan agar amalan menukar nasab anak angkat ini dihentikan, barulah Baginda menukarkannya kembali kepada Zaid bin Harith.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat keempat dan lima bermaksud: “Dia tidak menjadikan anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri. Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan yang benar. Panggillah mereka (anak angkat itu) dengan nama bapa mereka, itulah yang lebih baik dan adil di sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan saudara sepupumu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Rasulullah SAW juga mengecam keras pelakuan memalsukan nasab anak angkat. Sabdanya: “Siapa menasabkan kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar, dia dilaknat Allah.”

Berdasarkan nas ini jelas bahawa penasaban seorang anak adalah hak Allah dan tiada manusia boleh mengubahnya dengan sebarang alasan sekali pun. Memelihara hak Allah adalah wajib.

Justeru, perbuatan saudara membinkan anak angkat kepada nama saudara adalah salah dan berdosa atas apa saja alasan sekali pun. Saya sarankan agar saudara bertaubat daripada dosa yang dilakukan ini dan mengembalikan hak nasab anak ini kepada bapa kandungnya tidak kira sama ada bapa seorang yang jahat atau kafir sekalipun. Sekiranya bapanya tidak diketahui, boleh menggunakan nama Abdullah. saudara boleh rujuk pada Jabatan Pendaftaran bagi mengubah semula namanya.

Kesan daripada penyelewengan nasab anak angkat ini adalah sangat besar. Sekiranya anak adalah perempuan, dia berhadapan dengan dua masalah besar. Pertama, ketika menikahkannya. Ayah angkat bukan wali dan tiada hak untuk menikahkan anak itu. Dia juga tidak mempunyai hak bagi mewakilkan kepada hakim untuk menjadi wali hakim, seperti yang biasa dilakukan oleh bapa angkat.

Akibatnya, pernikahan tidak sah (fasad) dan hubungan suami isteri yang dilakukan adalah haram dan anak-anak yang lahir adalah anak syubahat. Sekiranya anak angkat dan suaminya tidak mengetahui penipuan ini, mereka tidak berdosa, tetapi bapa angkat yang merahsiakan nasab sebenar anak ini terpaksa menanggung sepenuhnya dosa mereka.


Berita Harian Agama 2014/04/20 - 09:29:05 AM Oleh Rohidzir Rais

Tidak layak warisi pusaka tetapi boleh terima wasiat

Soalan: Bagaimana pula hak anak itu dalam keluarga, terutama dalam pembahagian harta pusaka? Rossa, Jerantut
Jawapan: Dari segi pewarisan pula anak angkat lelaki dan perempuan tidak layak menerima pusaka yang ditinggalkan oleh bapa atau ibu angkat kerana mereka bukan ahli keluarga yang layak menerima waris mengikut syarak. Sekiranya menerima juga pusaka, semua harta itu adalah harta haram, dan semua dosa ditanggung oleh bapa dan ibu angkat yang mengubah nasab anak angkat itu.

Tetapi bagi ibu bapa yang mempunyai anak angkat mereka boleh mewasiatkan sebarang harta kepada anak angkat ini sebelum mereka meninggal dunia. Atau boleh juga menghadiahkan apa saja harta dengan syarat ia dilakukan ketika ibu bapa angkat masih hidup.

Bagi anak kandung yang mempunyai saudara angkat pula, tidak salah untuk memberikan harta pusaka yang diberikan selepas kematian ayat atau ibu, kepada saudara angkat mereka yang tidak menerima sebarang pusaka. Lebih-lebih lagi jika saudara angkat mereka adalah golongan miskin dan memerlukan. Ia boleh dianggap sebagai zakat, sedekah atau hadiah yang sangat digalakkan dalam Islam.

Dari segi aurat pula, anak angkat adalah seperti orang asing yang bukan mahram kepada kedua-dua ibu bapa angkatnya dan anak-anak yang lain. Wajib memelihara aurat sesama mereka dan sentuhan berlainan jantina membatalkan wuduk.

Bagi memudahkan keadaan, saya mencadangkan agar ibu bapa yang mengambil anak angkat yang masih bayi agar menyusukan anak itu. Sekiranya memenuhi syarat susuan, anak itu boleh menjadi anak susuan kepada ibu bapa angkat dan saudara susuan kepada anak-anak mereka yang lain. Ini menjadikan anak itu mahram dalam keluarga angkat.

Berita Harian Agama 2014/04/20 - 06:26:16 AM Oleh Rohidzir Rais

Cinta Rasulullah SAW kepada anak yatim

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Nabi Muhammad SAW telah bersabda : "Aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah di dalam syurga seperti ini - sambil Baginda menunjuk dengan kedua-dua jarinya - jari telunjuk dan jari tengah (yang dirapatkannya, sebagai isyarat rapatnya mereka dan duduk bersama-sama Nabi di dalam syurga). (Hadis Riwayat Bukhari)

Anak yatim merupakan duta kecil Nabi. Mendekati mereka bermakna mendekati Baginda. Banyak hadis yang menceritakan kelebihan orang yang menjaga dan berbuat baik kepada anak yatim. Sayang sekali kalau kita tidak teruja dengan tawaran eksklusif ini. Islam sangat mengambil berat perihal anak yatim. Jika disemak dalam al-Quran, Allah menjelaskan berkenaan anak-anak yatim di pelbagai tempat.

Siapakah anak yatim?

Anak yatim merujuk kepada anak-anak yang kematian bapa. Bahkan ada yang berpendapat ibu, atau jika kematian salah seorang daripada ibu atau bapa. Tetapi pendapat yang lebih kuat ialah anak yang kematian bapa. Mengapa bapa? Kerana bapa diibaratkan ‘tangan’ yang akan membawa pulang makan-minum dan sebagainya untuk keluarga. Justeru kehilangan bapa akan memberi kesan kepada perkembangan anak-anak tersebut baik dari sudut mental, fizikal, keyakinan diri dan kewangan.

Berkaitan usia anak-anak yang dikatakan anak yatim, Saiyidina Ali berpendapat umur anak yatim ialah sebelum umur baligh. Hal ini bermaksud setelah baligh dia tidak lagi dikira sebagai anak yatim. Manakala menurut Imam Hanafi, usia anak yatim ialah anak-anak yang berada di bawah umur 18 tahun.

Sikap berbuat baik

Allah Taala menyebut di dalam Surah ad-Duha ayat 9-10 : "Pada anak yatim itu ada penawar yang menyembuhkan. Pada anak yatim itu juga ada racun yang sangat menyakitkan. Sekiranya hatimu tega dan rela dengan kesusahan mereka ertinya kau lupa dengan pesan Allah ini. Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berkasar, dan terhadap pengemis janganlah kau herdik."

Mereka ini mempunyai hak untuk ditunaikan seperti mana yang disebut dalam ayat di atas, berbuat baik kepada mereka adalah perkara yang paling terpuji, dan menyakiti mereka adalah perkara yang paling dikeji. Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang menanggung makan minum seorang anak yatim Muslim sehingga cukup keperluannya, maka wajib baginya syurga." (Riwayat al-Tabarani)

Rasulullah sangat menyayangi anak yatim, perasaan ini semuanya datang daripada hati Baginda yang penuh dengan cinta. Baginda pernah mengalaminya, kerana itu baginda dapat menghayatinya. Semasa Perang Muktah walaupun dimenangi oleh umat Islam namun turut menyaksikan kehilangan ramai sahabat Nabi. Antaranya Zaid bin Harithah, diikuti Jaafar bin Abu Talib, sepupu rapat Baginda dan diakhiri dengan Abdullah bin Rawahah.

Pemergian Jaafar amat dirasai, beliau meninggalkan isteri dan dua orang anak kecil yang sedang membesar. Maka Rasulullah mengambil berat urusan mereka. Rasulullah pernah menjadi pengasuh anak yatim.

Daripada kisah ini kita boleh meneladani dan melihat betapa mulianya hati seorang Nabi junjungan mulia, mengajar kita erti cinta kepada anak yatim yang kehilangan tempat bergantung, bahkan mengambil tempat sebagai bapa angkat kepada mereka.

Belajar dengan Rasulullah

Kita semua harus belajar daripada kisah yatim Rasulullah. Tentang erti kesabaran, kegigihan, keberanian dan kejujuran yang menjadikan Baginda seorang peniaga yang berjaya, hakim yang jujur dan bijaksana, pendakwah yang penuh hikmah dan tidak pernah mengalah, jeneral perang yang penuh strategi dan berani, ahli ibadah yang taat dan sering menangis, orator yang bicaranya memukau dan mempengaruhi telinga yang mendengar, pemimpin yang adil dan penuh kasih sayang, dan seorang Nabi dan Rasul yang sangat dicintai dan mulia.

Baginda merupakan idola si yatim yang hebat. Yatim bukanlah alasan untuk merasa malas, hina dan terasing. Sebaliknya harus menjadi pencetus motivasi untuk meraih kehidupan yang lebih baik dengan sifat jujur, amanah, rajin, gigih mencari ilmu dan iman demi kejayaan dunia dan akhirat.

Yatim hakiki adalah apabila miskin akhlak dan budi, sering tidak bersyukur akan kurniaan Allah. Sekiranya kita mengabaikan anak yatim, diri kita inilah yang yatim sebenarnya. Orang yang intim dan menjaga anak yatim akan intim dengan Rasulullah, bahkan akan intim dengan Allah.

Kasih sayang terhadap anak yatim sinonim dengan iman. Maka apakah kita beriman sekiranya mengabaikan anak yatim sama ada yang berada di kawasan berhampiran atau dalam masyarakat dan di negara kita? Utusan Rencana 20140420