April 26th, 2014

Al-Quran, hadis jadi rujukan selesai konflik bertelingkah

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu, mereka tidak disifatkan beriman sehingga menjadikan kamu hakim dalam perselisihan yang timbul antara mereka, kemudian mereka pula tidak berasa hati mereka keberatan daripada apa yang kamu hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisaak, ayat 65)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan sunah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim dalam kalangan mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat.” (Surah an-Nur, ayat 51)


Semua milik Allah SWT

Abu Hurairah berkata, “Sewaktu ayat berikut turun kepada Rasulullah, sahabat Baginda berasa susah dan terbeban. Ayat berkenaan adalah: “Semua yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan sekiranya kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah menghitung kepada kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 284)

Mereka pergi berjumpa Rasulullah, duduk berlutut lalu berkata: “Wahai utusan Allah. Kami diberi tanggungjawab supaya mengerjakan amalan yang kami mampu iaitu sembahyang, berjuang menegakkan agama Allah, berpuasa dan memberi sedekah. Sekarang ayat ini diturunkan kepada tuan, sedangkan kami tidak mampu melaksanakannya.

Rasulullah bersabda: “Adakah saudara mahu mengatakan apa yang dikatakan ahli kitab sebelum saudara iaitu kami dengar dan kami langgar perintah itu? Saudara katalah, kami dengar dan kami taat. Kami pohon keampunan-Mu wahai Tuhan dan kepada-Mu jugalah tempat kembali.” (Riwayat Muslim) Berita Harian Agama 2014/04/26

Islam tuntut sistem pemerintahan berteraskan keadilan

Islam adalah agama yang sentiasa menitikberatkan hal yang berkaitan dengan keadilan yang nyata selari dengan tuntutan kemanusiaan itu sendiri. Keadilan adalah penting dalam setiap sistem kehidupan manusia kerana ia akan menentukan kebaikan dan kesejahteraan hidup negara serta masyarakat yang mengaplikasikannya.


Secara definisinya menurut Kurshid Ahmad, keadilan adalah bersumberkan dari perkataan adil atau dalam bahasa Arabnya ‘adl yang bermaksud ‘lurus’ dan ‘tegak’, bergerak dari posisi yang salah menuju posisi yang diingini; boleh juga bererti sama, dan akhirnya juga bererti seimbang dan setimbang.


Konsep ‘adl dalam Islam memiliki asas Ilahiah, berakar dalam moraliti, dan mendapat petunjuk yang diwahyukan Allah SWT. Secara keseluruhannya terdapat tiga prinsip bagi ‘adl iaitu pertama, ‘adl adalah berhubungan dengan dan mengakui Allah SWT sebagai Pencipta.

Kedua, persamaan manusia dan kehidupan sosial, politik, dan budaya yang didasarkan kepada nilai dan prinsip moral. Nilai moral ini bukan semata-mata keharusan moral, tetapi juga adalah norma hukum dan politik.

Tiada eksploitasi

Akhir sekali, keadilan adalah satu proses yang menggerakkan proses itu dalam masyarakat – sejajar dengan nilai moral, sosial – luka dan keluhan dapat diubati, menegakkan hak, dapat menghilangkan eksploitasi, penindasan, dan kezaliman yang berlaku.

Dalam melihat kepada sistem politik yang menekankan pemerintahan Islam, keadilan akan tetap diberikan keutamaan untuk dijalankan di dalam sesebuah negara. Al-Maududi ada menegaskan bahawa negara dan pemerintahan Islam bukanlah boleh lahir secara mukjizat dengan tiba-tiba sempurnanya (meskipun Allah SWT boleh melakukannya).

Ia mestilah melalui satu usaha yang besar dan menyeluruh termasuklah proses pentarbiyahan serta pembentukan fikiran rakyat umum. Oleh kerana itu, antara matlamat utama sistem politik Islam ialah untuk bekerja menegakkan keadilan dalam kehidupan manusia dan menghancurkan segala kezaliman.

Allah SWT pernah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah utus beberapa Rasul dengan membawa bersama mereka Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia berdiri di atas keadilan. Dan Kami turunkan (adakan) besi, untuk (mendapat) kekuatan dan manfaat bagi manusia, dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolongNya dan rasulNya sedangkan secara ghaib (dari mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (al-Hadid, 57:25). Pemerintah Islam mempunyai kewajipan untuk menyebarkan dan menyampaikan ajaran Islam kepada rakyatnya. Ini adalah kerana kejahilan akan menyebabkan rakyat menolak sistem Islam, walaupun Allah SWT telah menjanjikan keadilan akan tercapai dengan pelaksanaan sistem itu.

Ini yang menyebabkan beberapa kekecohan yang berlaku di negara Islam kini seperti perang saudara di Syria dan pergolakan politik Mesir dan Somalia apabila keadilan tidak lagi dapat ditegakkan sepenuhnya. Usaha menegakkan keadilan dalam masyarakat adalah sejajar dengan prinsip ‘al-‘amr bi al-ma’ruf wa al-nahyu ‘an al-mungkar’ yakni menyeru kepada amalan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Proses ini akan memastikan keadilan dapat dirasakan oleh masyarakat seluruhnya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran, “Orang-orang yang Kami tetapkan mereka di muka bumi ini adalah mereka yang mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran” (al-Hajj, 22:41).

Ikut ajaran Islam

Berdasarkan ayat itu, Imam Mawardi membuat kesimpulan bahawa kewajipan dan tanggungjawab utama pemerintah ialah memelihara agama dan mentadbir dunia dengan ajaran agama berkenaan. Mentadbir dunia dengan ajaran Islam akan menjamin prinsip keadilan ditegakkan dalam masyarakat. Ini adalah kerana kezaliman itu adalah suatu tindakan yang meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya dan ini adalah bercanggah dengan arahan Allah SWT supaya neraca keadilan itu menjadi asas sistem kemasyarakatan.

Menurut Muhamad al Mubarak, keadilan boleh dilihat dalam dua bentuk iaitu bentuk negatif dan positif. Keadilan bentuk negatif ialah mencegah kezaliman dan menghindarkannya daripada orang yang dizalimi. Ini termasuklah pencegahan daripada pencerobohan ke atas hak manusia yang berkaitan dengan diri dan harta benda mereka, dan termasuklah juga usaha mengembalikan hak mereka dan hukuman ke atas penceroboh dengan hukuman yang setimpal.

Hukuman itu terdapat dalam buku fekah yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Keadilan bentuk positif pula lebih banyak berkaitan dengan pemerintahan dan pelaksanaan ke atas hak setiap individu untuk memelihara kebebasan dan kehidupan seharian sehingga tidak terdapat seorang tua yang ditinggalkan dan orang lemah yang diabaikan dan orang fakir yang kelaparan, dan orang yang takut diancam.

Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Berita Harian Rencana 2014/04/18 - 21:14:39 PM

Perbezaan zakat dan wakaf

MUTAKHIR ini umat Islam di Malaysia digalakkan untuk menunaikan ibadah wakaf, malah di kaunter Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, turut menerima wakaf bagi pihak Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Bolehkah ustaz perjelaskan perbezaan dan kelebihan di antara dua jenis ibadah ini, demi memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada umat Islam semasa melakukannya, terima kasih.

Jawapan: Alhamdulillah, semoga dengan jawapan yang diberikan ini mampu memberikan pencerahan kepada umat Islam mengenai ibadah maliyyah (harta) ini. Sesungguhnya, ibadah harta memang sangat dituntut dalam Islam, kerana ia mencerminkan iltizam sebenar umat kepada agamanya. Di dalam al-Quran, dianggarkan terdapat kira-kira 160 ayat yang menyentuh mengenai harta, dan ia sudah pastilah menggambarkan betapa perlunya orang-orang yang beriman sentiasa menguruskan hartanya di jalan yang Allah SWT redha.

Antaranya Allah SWT berfirman: Dan kamu (orang yang beriman) berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu, dan yang demikian itulah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (as-Saff: 10)

Baiklah, memang ada orang yang agak keliru dengan dua jenis ibadah ini, iaitu ibadah zakat dan wakaf. Malah, pengalaman penulis sendiri semasa menjaga kaunter zakat di LZS, memang ada orang yang mahu menunaikan wakaf tanpa terlebih dahulu menyemak status zakatnya, walhal kita mestilah terlebih menyedari keutamaan (hierarki atau awlawiyat) di antara dua jenis ibadah berkenaan.

Sebagai umat Islam, sudah sepatutnya kita mengetahui perbezaan di antara keduanya, agar apabila kita melakukannya, maka kita benar-benar diberikan pahala oleh Allah SWT. Maka, untuk mempermudahkan kita semua dalam memahami dan menyelami perbezaan di antara kedua-duanya, di sini penulis paparkan dalam bentuk jadual.

Demikianlah beberapa perbezaan yang nyata di antara ibadah zakat dan wakaf, ia melibatkan status fardu atau sunatnya, melibatkan siapakah penerimanya, jenis hartanya, batas kepada pengeluarnya dan juga beberapa perkara lain yang perlu sangat diperhalusi.

Walau bagaimanapun, keluarkan zakat terlebih dahulu jika kita sudah sampai syarat wajibnya. Kemudian, baharulah dikeluarkan wakaf jika kita masih mempunyai harta yang melebihi keperluan demi mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Dari segi hukum wajiblah mendahulukan ibadah yang fardu dan kemudian diikuti ibadah yang sunat.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan atau pandangan, sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my , http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS. Utusan Bicara Agama 20140425

Jauhi gejala kelahiran anak zina

ISLAM adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Antara objektif perundangan Islam bagi memelihara kepentingan hidup manusia ialah mengiktiraf dan memelihara keturunan dan nasab. Keturunan yang diakui oleh syariat Islam ialah keturunan yang berasaskan pertalian suami isteri daripada ikatan perkahwinan yang sah.

Berdasarkan objektif perundangan Islam, nasab yang diakui hanyalah nasab daripada ikatan perkahwinan. Oleh itu, Islam menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan perzinaan.

Zina merupakan dosa besar dan jenayah berat. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32)

Selanjutnya Allah SWT menetapkan hukuman yang berat kepada penzina, sepertimana firman-Nya yang bermaksud: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya 100 kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman. (al-Nur: 2)

Pengharaman zina

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Ambil daripada saya hukuman ini, Allah SWT telah menetapkan, hukuman orang belum bernikah (ghayr muhsan) berzina maka wajib dirotan 100 kali sebatan dan dibuang negeri setahun. Manakala hukuman orang yang sudah bernikah (muhsan) berzina, disebat 100 kali sebatan dan kemudian direjam sampai mati. (riwayat Imam Muslim) (Muslim, Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj al-Qushairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, sunt. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 1955, jil. 3, hlm. 1323.).

Imam al-Nawawi (w 676H); ulama bermazhab Syafie menjelaskan, sesiapa yang mengingkari pengharaman zina dan arak dan perkara-perkara haram lain yang telah disepakati (ijmak), walaupun minum arak dan berzina sudah menjadi amalan biasa dalam kalangan anggota masyarakat, maka orang yang mengingkari pengharaman tersebut adalah murtad. (al-Nawawi, Yahya bin Syarf, al-Majmu’ syarh al-muhazzab, sunt. Muhammad Najib al-Muti’i, Jeddah: Maktabah al-Irsyad, t.th., jil. 3, hlm. 16)

Lelaki yang bersetubuh secara haram dengan seseorang wanita, lalu daripada persetubuhan haram tersebut melahirkan seorang anak perempuan, maka lelaki itu tiada kaitan dengan anak yang dilahirkan oleh perempuan tersebut. Lelaki itu bukan bapa yang sah dan tidak dianggap sebagai wali menurut hukum syarak. (Husayn, Ahkam walad al-zina, hlm. 109).

Saidatina Aisyah melaporkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Nasab anak itu adalah untuk bapa yang sah, manakala penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya. (riwayat al-Bukhari)

Amr bin Syu’aib melaporkan daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana lelaki berzina dengan seorang wanita; merdeka atau hamba, maka anak yang lahir daripada persetubuhan itu adalah anak zina, dia tidak boleh mewarisi lelaki tersebut dan tidak boleh diwarisi." (riwayat al-Tirmizi). (al-Tirmizi, Muhammad bin ‘Isa bin Saurah, Sunan al-Tirmizi, sunt. Ibrahim ‘Atwah ‘Iwadh, Misr: Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1962, jil. 4, hlm. 428).

Hadis ini dengan jelas menyatakan bahawa jika seseorang lelaki yang berzina dengan seorang wanita; merdeka atau hamba, lalu lelaki itu menuntut agar anak itu dinasabkan kepadanya, maka tuntutan itu ditolak, lelaki dan anak itu juga tidak boleh saling mewarisi dan anak itu dinasabkan kepada ibunya. (rujuk Ibnu Qayyim, Zad al-ma’ad, jil. 5, hlm. 428).

Hadis tersebut menunjukkan bahawa anak itu tidak boleh di’bin’ atau di‘binti’kan kepada bapa biologi itu. Anak yang lahir hasil daripada percantuman benih perempuan dan lelaki yang bukan pasangan yang sah menurut syarak ini dipanggil sebagai anak tak sah nasab atau tak sah taraf, juga disebut anak zina.

Nikmat nasab

Nasab merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya hasil daripada hubungan perkahwinan yang disyariatkan, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka (nasab) dan pertalian keluarga (persemendaan) dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya). (al-Furqan: 54)

Nikmat nasab adalah berdasarkan ketaatan kepada agama, bukan atas dasar maksiat. Oleh itu, nasab tidak layak diberikan kerana zina.(al-Syafi’i, Muhammad bin Idris, Ahkam al-Qur’an, sunt. ‘Abd al-Ghani ‘Abd al-Khaliq, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyah, 1980, jil. 2, hlm. 189).

Mengiktiraf nasab anak zina kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak itu hanya akan menyebabkan perbuatan zina dianggap remeh dan akan semakin berleluasa jenayah zina tersebut dalam kalangan masyarakat.

Imam al-Sarakhsi (wafat 483H); ulama bermazhab Hanafi menjelaskan, “Menghalang nasab anak zina daripada lelaki tersebut adalah salah satu cara untuk menghalang masyarakat daripada berzina. Jika seseorang lelaki mengetahui bahawa dia tidak layak dinasabkan kepada anak zinanya, maka dia akan menjauhi zina."(al-Sarakhsi, al-Mabsut, jil. 4, hlm. 207; jil. 17, hlm. 154). Beliau menjelaskan lagi, “Berkemungkinan wanita yang berzina itu telah berzina dengan lebih daripada seorang lelaki. Jika kita membenarkan anak zina itu dinasabkan kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak itu, berkemungkinan lelaki itu bukan bapa biologi sebenar kepada anak itu, maka kita telah menasabkan anak kepada bukan bapanya, ini diharamkan secara jelas dalam al-Quran dan hadis." (al-Sarakhsi, al-Mabsut, jil. 4, hlm. 207). DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN Utusan Bicara Agama 20140425

Isu jumlah selawat

KITA digalakkan untuk memperbanyakkan berselawat dan jumlahnya mengikut kemampuan, tetapi mengapa dalam satu majlis ilmu seorang penceramah ada mengehadkan jumlahnya, malah katanya lagi, tidak perlulah banyak-banyak. Bagaimana ustaz?

Jawapan  Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah amalan yang sangat baik. Ia merupakan perintah Allah SWT, bahkan Allah dan para malaikat juga berselawat ke atas Nabi SAW. Allah berselawat ke atas Nabi SAW bermaksud Allah SWT mengangkat darjat baginda Rasulullah SAW. Manakala selawat para malaikat ke atas Nabi SAW bermaksud doa.

Tiada had bagi selawat. Nas al-Quran menyebut tentang perintah selawat tanpa menetapkan bilangan. Manakala riwayat hadis menjelaskan fadhilat kelebihan sekali berselawat sahaja dibalas dengan 10 gandaan. Maka kita diberi keluasan untuk berselawat sekadar yang kita mampu.

Ada ajaran yang menganjurkan selawat dengan bilangan tertentu seperti 100 kali, 1,000 kali dan sebagainya. Usaha ini adalah bagi mendisiplinkan diri agar konsisten dalam amalan selawat. Maka tiada isu dalam penetapan jumlah selawat. Buatlah apa yang mampu dan sesuai dengan kadar diri kita sendiri. Utusan Bicara Agama 20140425

Membongkar fenomena alam

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran siang dan malam terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Ali Imran: 190)

Manusia ditakdirkan Ilahi berada di atas muka bumi untuk diuji dengan jawatan pentingnya sebagai pentadbir seluruh ekosistemnya. Kepimpinan itu bukan hanya bertanggungjawab di dunia, akan tetapi akan turut dipersoalkan di akhirat.

Setiap perbuatan manusia secara fitrahnya, akan dinilai dengan gred syariah: wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Manusia bebas memilih apa jua pekerjaan atau perbuatan yang disukainya, tetapi pemilihan itu disertai dengan tanggungjawab terhadap akibat daripada perbuatannya itu.

Sebab itulah, manusia dikurniakan pendengaran, penglihatan, indera, akal dan kalbu sebagai panduan dalam pemilihan tersebut. Tetapi dalam masa sama, manusia diingatkan bahawa setiap kurniaan itu akan menjadi saksi terhadap apa yang diniatkan, difikirkan dan dilakukan oleh manusia itu sendiri nanti.

Di sinilah timbulnya konsep ulul albab iaitu golongan yang mengambil iktibar tentang keagungan Ilahi dengan merenung kejadian di langit dan di bumi yang penuh dengan keajaibannya.

Fenomena harian yang dapat dilihat di sekeliling seperti langit, bumi, manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dengan sistem yang sangat teratur pastinya dikawal oleh Pentadbir Yang Maha Agung.

Buku, Ulul Albab Ajaibnya Alam Semester mengajak para pembaca untuk turut sama merenung alam semesta menerusi dimensi ulul albab.

Antara persoalan-persoalan menarik yang dibincangkan dalam buku ini adalah:

1  Apakah rahsia arah pusingan tawaf di sekeliling Kaabah yang berlawanan dengan arah jam? Mengapa arah pusingan ini sama seperti arah planet-planet mengelilingi matahari dan arah elektron mengelilingi nukleus dalam sebuah atom?

2  Adakah besi hanya unsur biasa yang terbentuk dalam proses geologi di bumi atau sebenarnya terbentuk di luar sistem suria lalu 'diturunkan' ke bumi?

3  Yang manakah sebenarnya organ berfikir, otak ataupun jantung? Mengapa terdapat kes penerima jantung baru yang berubah dan bersikap seperti pemilik jantung asal?

4  Adakah haiwan seperti semut dan burung dapat berkomunikasi seperti kisah Nabi Sulaiman?

5  Apakah kelebihan hukum Islam sehingga menyebabkan archbishop Canterbury, Dr. Rowan Williams melihat hanya syariat Islam yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat Eropah, lalu mencadangkan agar ia dilaksanakan di England?

Justeru, kepada yang berminat memiliki buku i ni, boleh menghubungi penerbitnya di talian 03- 6187 1611 atau mengunjungi mana-mana kedai buku.


HASHNAN ABDULLAH Utusan Bicara Agama 20140425

Ucapan 'rest in peace' boleh jejas akidah

Haram mendoakan keampunan bagi orang kafir

Ucapan rest in peace oleh orang Islam kepada bukan Islam yang meninggal dunia mengundang perbahasan sehingga menimbulkan perselisihan disebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pandangan hukum disiarkan melalui Facebook Fatwa Malaysia.


Facebook Fatwa Malaysia disediakan Bahagian Pengurusan Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertujuan memberi penjelasan kepada soalan sukar yang dikemukakan sebagai rujukan masyarakat.

Ucapan rest in peace adalah satu bentuk doa yang biasa diucapkan dalam Kristian, terutama mazhab Katolik sejak abad ke-18”

Perlu dijelaskan, Facebook Fatwa Malaysia tidak mengeluarkan fatwa dan apa yang dijelaskan oleh laman Facebook itu bukan fatwa kerana badan pengeluar fatwa di peringkat kebangsaan ialah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Facebook Fatwa Malaysia adalah medium untuk penyebaran dan berkongsi penjelasan terhadap kemusykilan isu hukum semasa yang terdapat nas syarak yang jelas disediakan Felo Fatwa, termasuk isu ucapan rest in peace.

Felo Fatwa yang dilantik akan memberi penjelasan khusus kepada hukum-hakam semasa atau kemusykilan yang secara asasnya disepakati oleh majoriti ulama untuk dijadikan panduan umat Islam tanpa perlu menunggu ia difatwakan.

Berbeza dengan isu yang tidak mempunyai nas jelas, fatwa perlu dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya.

Niat beri ucapan

Dalam hal memberi ucapan dan penghormatan terhadap kematian bukan Islam, sebagai umat Islam, terdapat dua perkara penting yang perlu diberi perhatian. Pertama, niat memberikan ucapan itu.

Jika ucapan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, ia adalah dilarang. Jika ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus.

Kedua, latar belakang tradisi istilah yang diucapkan. Jika telah menjadi sebahagian amalan keagamaan, maka ia dilarang. Ucapan rest in peace adalah doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian, terutama mazhab Katolik sejak abad ke-18.

Ia juga biasanya diukir di batu nesan penganut Kristian. Versi penuh ucapan berasal daripada bahasa Latin itu ialah May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.

Perlu difahami, ucapan rest in peace mempunyai implikasi dari segi akidah umat Islam jika tidak difahami secara jelas kerana apabila diucapkan, ia mengandaikan orang bukan Islam itu akan mendapat rahmat Allah SWT seperti doa asal dalam bahasa Latin.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang beriman, meminta ampun bagi orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka orang musyrik itu ahli neraka.” (Surah al-Taubah, ayat 113)

Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menjelaskan, mendoakan keampunan bagi kafir adalah haram dengan nas al-Quran dan ijmak.

Oleh itu, seorang Islam tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada bukan Islam.

Bagaimanapun, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, Islam tidak pernah menghalang orang Islam melahirkan simpati terhadap keluarga bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan.

Tidak salah bagi orang Islam mengucapkan: “Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda.” Islam secara dasarnya membenarkan ucapan yang baik terhadap bukan Islam atas dasar kemanusiaan serta penghormatan hak mereka.

Ini seperti penghormatan Rasulullah SAW apabila menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan Baginda.

Hukum syarak jadikan panduan

Walaupun panduan hukum yang diberikan mengenai ucapan rest in peace ini bukan fatwa, perlu dijadikan panduan oleh umat Islam kerana ia berdasarkan nas yang jelas selaras dengan hukum syarak.

JAKIM menasihatkan semua pihak tidak mempolemikkan isu ini kerana hukum dikeluarkan sebagai panduan dan nasihat khusus kepada umat Islam supaya tidak terperangkap dalam amalan keagamaan bukan Islam yang boleh menjejaskan akidah. Ia tiada kaitan langsung dengan unsur penghinaan, menidakkan hak kehormatan atau kemanusiaan mana-mana pihak dan individu.

Othman Mustapha ialah Ketua Pengarah JAKIM merangkap Setiausaha Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJKF). Berita Harian AGAMA 2014/04/26 - 03:33:57 AM

'Berpakaian tetapi telanjang'

Ini yang dikatakan dunia akhir zaman. Seperti yang kita lihat pada zaman sekarang perempuan tidak lagi menitikberatkan aurat.


Aurat wanita adalah dari hujung rambut sehingga hujung kaki kecuali telapak tangan dan muka, manakala aurat bagi lelaki pula dari pusat sehingga lutut.


Wanita hendaklah menutup kepala dan belahan dada mereka dengan sempurna seperti firman Allah: “Katakan kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya...” (Surah an-Nuur, ayat 31)

Ramai wanita zaman sekarang yang berpakaian, tetapi bertelanjang. Maksudnya, mereka berpakaian, tetapi pakaian itu ketat dan nipis seperti tidak berpakaian kerana terserlah susuk tubuh dan warna kulit kepada bukan muhrim.

Islam tidak mengharamkan fesyen seperti selendang asalkan ia labuh menutupi dada dan tidak nipis sehingga menampakkan bayangan rambut serta telinga.

Tak tutup kaki

Bertudung bulat ataupun sebaliknya, tidak penting asalkan menutup aurat mengikut syariat Islam.
Kebanyakan wanita memakai tudung yang singkat dan jarang sehingga menampakkan rambut dan telinga. Mereka menganggap pemakaian tudung hanya trend tanpa memikir dosa membuka aurat.

Ramai wanita menganggap kaki bukan aurat kerana menutup anggota lain dengan sempurna, tetapi tidak memakai sarung kaki atau stokin.

Fesyen terbaharu sekarang adalah pemakaian sanggul tinggi. Mereka walaupun kelihatan memakai tudung, tetapi sebenarnya memberi helah bagi membuktikan rambut panjang dan hendak menarik pandangan lelaki.

Mereka bukan ikhlas bertudung bagi memenuhi suruhan Allah dan ibadat, tetapi sebaliknya.

Seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya dan wanita berpakaian, tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka umpama bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya iaitu bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian-sekian jauh.” (Syarh Shahih Muslim)

Sanggul bonggol unta

Hadis ini dikemukakan Imam an-Nawawi dalam kitab Sahih Muslim. beliau menyebut:

“Makna bonggol unta itu ialah wanita yang membesarkan kepala dengan tudung. Mereka meletakkan apa saja bagi membesarkan kepala sehingga seolah-olah kelihatan kepala mereka bagaikan bonggol di atas unta.”

Namun, jika rambut memang panjang lalu diikat sehingga kelihatan sanggul, maka ia dimaafkan syarak.

Diharamkan sekiranya meletakkan sesuatu selain daripada rambut sehingga kelihatan seperti sanggul buatan.

Tambahnya lagi, perkara ini adalah bukti mukjizat kenabian, perkara ini telah terbukti pada zaman ini.”

Namun, sekiranya rambutnya memang panjang lalu dia mengikat rambutnya sehingga kelihatan sanggul, maka dalam hal ini adalah dimaafkan oleh syarak. Diharamkan sekiranya meletakkan sesuatu selain daripada rambut sehingga kelihatan seperti sanggul buatan. Berita Harian Agama 2014/04/18 - 23:55:01 PM Aishah Ibrahim

Persoalan Agama: Bapa mesti tahu gerak-geri anak gadis

Setiap insan berhak terima, tolak calon teman hidup

Soalan: Ustaz Zahazan yang dihormati. Saya hendak bertanya berkaitan anak gadis. Saya mempunyai anak gadis yang berumur hampir 25 tahun. Bagaimana caranya kita hendak mengetahui anak gadis sudah bersedia atau tidak untuk mendirikan rumah tangga. Kamal, Klang, Selangor.


Jawapan: Ada yang berpendapat dengan isyarat dan ada yang berpendapat secara terang-terangan kerana itulah si ayah dituntut untuk selalu cerdas serta mengikuti tingkah laku anak gadis.

Sebagai contoh, ketika Nabi Musa menolong dua gadis dengan memberi minum ternakan mereka. Selepas itu Musa kembali berteduh di bawah sepohon pokok, sementara gadis tersebut pulang.

Beberapa lama kemudian seorang daripada gadis itu berjalan mendatangi Musa dengan wajah tertunduk malu seraya berkata: “Bapaku memanggil kamu untuk membalas kebaikanmu yang telah memberi minum ternakan kami.”

Musa memenuhi undangan itu dan bertemulah dia dengan bapa si gadis bernama Syuaib.

Di hadapan bapanya dan Musa, si gadis berkata: “Wahai bapaku, ambillah dia sebagai orang yang bekerja dengan kita kerana orang yang paling baik untuk bekerja dengan kita ialah orang yang kuat lagi dipercayai.”

Syuaib memahami maksud ucapan anak gadisnya. Ayah yang bijak itu langsung berkata kepada Musa: “Sesungguhnya aku bermaksud untuk menikahkan kamu dengan seorang daripada anakku ini dengan syarat kamu bekerja denganku selama lapan tahun.”

Gadis berhak buat pilihan

Dalam hal ini gadis ataupun janda mempunyai hak untuk menerima atau menolak calon suami yang dicadangkan kepadanya seperti dikisahkan oleh Aisyah:

“Seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW dan mengeluh bahawa ayahnya akan mengahwinkan dia dengan anak bapa saudaranya tanpa persetujuannya. Kemudian Rasulullah suruh memilih sama ada menerima atau menolak.”

Mendengar tawaran daripada Rasulullah SAW itu, wanita berkenaan berkata: “Ya Rasulullah, tidak mengapa saya menuruti dan menyetujui keinginan ayahku itu. Saya hanya ingin memberitahu kepada kaumku, bahawa orang tua tidak berhak memaksa anak gadisnya.” (Riwayat an-Nasa’i) Berita Harian AGama 2014/04/18 - 23:56:47 PM Ustaz Zahazan Mohamed