May 4th, 2014

Status syahid

HIDUP dan matinya seseorang manusia itu adalah tertakluk secara mutlak kepada kehendak (iradah) dan kuasa (qudrah) Allah SWT. Tujuan Allah menjadikan adanya kehidupan dan kematian bagi seseorang manusia adalah untuk menguji, siapakah dalam kalangan hamba-Nya itu yang benar-benar beriman dan berusaha bersungguh-sungguh melakukan amal soleh bagi memperoleh reda Allah SWT.



Firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)

Sebagaimana awal kita hidup iaitu ia tertakluk secara mutlak kepada kehendak dan kuasa Allah, begitulah juga apabila kita menghadapi saat kematian. Tiada siapa tahu bila seseorang itu akan lahir dan bagaimana keadaan dia lahir, begitu juga tiada siapa yang tahu bagaimana seseorang itu akan mati dan bagaimana keadaan dia mati.

Namun bagi orang yang beriman, kita percaya dan yakin kepada arahan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 102 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati, melainkan dalam keadaan Islam.

Walaupun kita tidak mengetahui bagaimana keadaan kematian kita, namun kita wajib berusaha memastikan bahawa berakhirnya hidup kita di dunia ini dalam keadaan taat perintah Allah SWT. Kita dituntut untuk mempertahankan iman dan agama Islam.

Abu Hurairah melaporkan: “Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa mati, tetapi dia tidak pernah berjuang mempertahankan agama Islam dan tidak pernah terlintas dalam hatinya cita-cita untuk berjuang mempertahankan Islam, maka orang itu mati dalam salah satu kategori orang munafik." (riwayat Abu Daud)

Individu yang memperoleh status mati syahid, mendapat keistimewaan di sisi Allah SWT. Mati syahid merupakan antara kurniaan terbesar yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih.

Status individu yang memperoleh mati syahid tidak boleh sewenang-wenangnya diberikan kepada sesiapa sahaja. Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui, siapa dalam kalangan hamba-Nya yang benar-benar layak mendapat status mati syahid.

Syahid dunia akhirat

Individu yang mati dalam medan perang mempertahankan agama Islam, dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, individu tersebut dikategorikan sebagai syahid dunia dan akhirat. Abu Musa al-Asy'ari melaporkan, ada seorang lelaki bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan bertanya bagi mendapatkan kepastian. Ada seorang lelaki, pergi berperang dengan tujuan untuk mendapatkan harta rampasan perang. Ada pula lelaki yang pergi berperang kerana hendak namanya disanjung. Ada pula lelaki yang pergi berperang kerana hendak menunjuk-nunjuk kedudukannya. Siapa dalam kalangan mereka yang benar-benar berjuang mempertahankan agama Allah? Baginda menjelaskan, Sesiapa yang berperang dengan niat untuk mendaulatkan agama Allah, maka orang itulah yang benar-benar berjuang mempertahankan agama Allah. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Individu yang mati syahid dunia dan akhirat, memperoleh pahala yang besar dan kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT iaitu kedudukan yang tidak sama dengan individu yang hanya memperoleh syahid akhirat. (rujuk Ali Imran: 169)

Syahid dunia

Individu yang mati dalam medan perang mempertahankan agama Islam, tetapi niatnya bukan semata-mata kerana Allah, contohnya dia berperang untuk mendapatkan harta rampasan perang, menunjuk-nunjuk, berjuang kerana fanatik kepada kaumnya atau tujuan-tujuan keduniaan yang lain.

Orang ini walaupun secara zahirnya dia diurus sebagai seorang syahid dalam medan perang iaitu tidak dimandikan, dikafankan dengan pakaiannya, tidak disembahyangkan, tetapi di akhirat nanti terpulanglah kepada Allah SWT yang mengetahui niat dan tujuan seseorang hamba-Nya dan memberi balasan yang sewajarnya.

Syahid akhirat

Terdapat individu yang dikurniakan keistimewaan oleh Allah, cara individu itu meninggal dunia dikurniakan status syahid, namun individu itu tidak mati dalam medan perang. Individu ini diuruskan jenazahnya seperti individu lain yang meninggal dunia iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan kemudian dikebumikan.

Imam al-Suyuti, seorang ulama bermazhab Syafie menulis sebuah buku khas yang menerangkan tentang golongan yang memperoleh status mati syahid, iaitu buku yang bertajuk, Abwab al-sa'adah fi asbab al-syahadah. Dalam buku tersebut, dianalisa terdapat lebih daripada 36 sebab, seseorang itu memperoleh status mati syahid.

Antara jenis kematian yang mendapat status syahid akhirat ialah:

1) Penghidap taun, penghidap penyakit dalam perut, orang yang mati tenggelam, orang yang mati ditimpa bangunan.

Abu Hurairah melaporkan: Nabi Muhammad SAW bersabda: Ada lima orang yang dikategori mati syahid: Penghidap taun, penghidap penyakit dalam perut, orang yang mati tenggelam, orang yang mati ditimpa bangunan dan orang yang mati syahid dalam medan peperangan mempertahankan agama Allah. (riwayat Bukhari dan Muslim)

2) Wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak.

Seorang wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak daripada pernikahan yang sah, wanita itu memperoleh status syahid akhirat. ‘Ubadah bin Somit melaporkan: “Nabi pernah bertanya, ‘Adakah kamu tahu, siapa yang memperoleh status syahid dalam kalangan umatku?’...Nabi bersabda: “Sesungguhnya yang memperoleh status syahid dalam kalangan umatku... wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak beroleh status syahid..." (riwayat al-Albani dalam bukunya 'Ahkam al-jana'iz')

3) Orang yang mati dibunuh ketika mempertahankan hartanya.

Abu Hurairah melaporkan: Seorang lelaki datang bertemu dengan Rasulullah SAW dan bertanya, Wahai Utusan Allah. Pada pandangan tuan, apa yang perlu saya lakukan jika ada seseorang mahu merampas harta saya? Nabi Muhammad menjawab, Saudara jangan berikan harta saudara kepadanya. Lelaki itu bertanya lagi, Jika perompak itu mahu membunuh saya? Nabi menjawab, Jika begitu, saudara perlu mempertahankan diri, walaupun terpaksa membunuhnya. Lelaki itu bertanya lagi, Bagaimana pula jika dia yang membunuh saya? Jawab Nabi, Saudara memperoleh pahala mati syahid. Lelaki itu bertanya lagi, Apa pendapat tuan, jika saya membunuhnya. Jawab Nabi, Dia di dalam api neraka. (riwayat Muslim)DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN Utusan Bicara Agama 20140502

Sifat ummah terbaik

ALHAMDULILLAH sekali lagi dapat bersua dalam ruangan artikel tafsir kali ini, penulis sengaja membincangkan isu yang global pada kali ini iaitu sifat Umat yang terbaik mengikut neraca al-Quran.



Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Ali-Imran: 110)

Dinyatakan tafsiran para ulama berkenaan ayat ini:

Syeikh Sya’rawi berkata: “Kebaikan ini mempunyai sifat-sifat dan unsurnya seperti amar makruf, nahi mungkar dan beriman dengan Allah SWT. Jika kurang salah satu daripada unsur ini, nescaya tercabutlah kebaikan."

Syeikh al-Sabuni berkata: “Ini merupakan pernyataan tentang wajah kebaikan seolah-olah dikatakan sebab pada kebaikanmu berbanding dengan umat lain dengan adanya segala sifat terpuji ini."

Ibnu Kathir menaqalkan pandangan Saidina Umar yang berkata: “Siapa yang suka menjadi umat yang terpilih ini, maka hendaklah ia menunaikan syariat Allah padanya."

Al-Maghari berkata: “Daripada huraian di atas pasti diketahui bahawa tanggungjawab menyuruh melakukan perbuatan baik dan mencegah kemungkaran merupakan medium yang membawa mereka ke arah kemuliaan.

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan penekanan kepada amar makruf dan nahi mungkar, di samping beriman dengan Allah SWT.

Penulis menutup perbincangan ini dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu laksanakan amar makruf dan nahi mungkar atau kamu dikalahkan oleh pemerintah yang zalim lagi jahat ketika itu orang soleh dalam kalangan kamu berdoa tetapi tidak dimustajabkannya." (riwayat Ahmad (23312) al-Tabrani (1739) dalam Mu’jam al-Awsat)

Hadis ini dengan tegas menggambarkan ancaman daripada Baginda SAW kepada umat Islam agar melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, sebaliknya apabila berlaku pengabaian, maka lahirnya pemerintah yang tidak bermoral dan berakhlak. Ketika itu, sekalipun golongan soleh berdoa, nescaya tidak dimakbulkannya.

Betapa pentingnya pelaksanaan tersebut, apabila diabaikan maka satu ancaman tegas daripada Allah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada hamba-Nya pada hari kiamat yang bermaksud: “Apakah yang menghalangmu daripada mengubah yang mungkar di dunia, apabila engkau melihatnya dengan merasa benci? Kemudian Allah mengajar hamba-Nya dengan hujah dan menjawab: “Hai Tuhanku! Aku mengharapkan-Mu tetapi aku takut kepada manusia. (riwayat al-Humaidi dalam musnadnya) DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Bicara Agama 20140502

Tidak salah tegur, nasihat suami

Salam ustaz, bagaimana cara yang paling berhemah untuk saya menegur suami terutamanya dalam pengurusan kewangan. Saya selalu beritahu suami selain daripada aspek kemampuan, soal keperluan mestilah juga diutamakan berbanding aspek keinginan, apa tah lagi dalam suasana ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Disebabkan masalah ini, kadang-kadang jadi perang mulut. Adakah isteri dikira berdosa sekiranya teguran itu akan dianggap seperti mengajar suami dan seolah-olah mencabar keegoan seorang lelaki?

Jawapan     Dalam rumah tangga, suami adalah ketua keluarga. Oleh itu, suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan kadar yang mencukupi.

Nafkah ini meliputi aspek makanan, tempat tinggal dan pakaian. Ini bermakna suami mestilah menyediakan wang belanja untuk isterinya.

Dalam aspek makanan, ia termasuk juga tanggungjawab suami membeli keperluan belanja dapur seperti ikan, ayam, telur, sayuran, tepung dan sebagainya. Bahkan termasuk juga tanggungjawab suami untuk memasak sebagai makanan kepada isteri.

Sementara dalam aspek tempat pakaian, suami mestilah menyediakan wang untuk isteri membeli pakaian baharu. Juga membasuh pakaian dan melipatnya.

Namun kadang-kadang ada sikap suami yang ambil mudah persoalan kewangan dan perbelanjaan. Contohnya pelaburan untuk merokok, aksesori kereta, pakaian berjenama mahal dan sebagainya. Sikap suami yang membazir dan tidak bijak menguruskan hal kewangan mengundang isteri untuk menegur. Bolehkah?

Tiada masalah untuk isteri memberi nasihat dan menegur suami. Pangkat suami sebagai ketua keluarga bukanlah bermakna tidak boleh ditegur.

Maka isteri boleh menegur suami dengan kasih sayang, lemah-lembut, hikmah dan sebagainya. Justeru, niatkanlah di hati tujuan menegur adalah untuk mendapat redha Allah SWT dan menjadi lebih baik.

Dalam peristiwa antara Hindun dan Abu Sufyan, Hindun mengadu kepada Nabi SAW tentang sikap suaminya yang agak kedekut dalam aspek nafkah. Maka Hindun bertanya kepada Nabi SAW, sama ada dibolehkan isteri mengambil harta suaminya. Menjawab soalan tersebut, maka baginda membenarkan Hindun mengambil harta suaminya bagi mencukupkan keperluan dirinya dan anak-anaknya.

Berdasarkan kisah ini, sebagai isteri maka pastikan belanja wang yang suami berikan adalah mencukupi untuk diri sendiri dan anak-anak. Selebihnya hal kewangan suami, bijak-bijaklah menegur. Utusan Bicara Agama 20140502>

Mengukur kemiskinan

BOLEHKAH ustaz jelaskan keadaan fakir dan miskin pada hari ini dan bagaimanakah pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan lain-lain institusi zakat mengenal pasti golongan ini?

Jawapan  Kemiskinan adalah subjektif dan relatif. Sukar bagi kita menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin.

Ada orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan belanja.

Ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar, walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Maka, kaya atau miskin sukar ditentukan dek mata kasar.

Atas dasar itulah, dalam menentukan kaya dan miskin ini, khususnya bagi kalangan miskin bandar yang lebih sukar ditebak dengan mata kasar, maka LZS mewujudkan satu formula yang dikenali sebagai Had al-Kifayah.

Apakah makna Had al-Kifayah? Umumnya, Had al-Kifayah adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. Secara mudah, ia digunakan bagi mengukur kecukupan perbelanjaan, dengan membandingkan pendapatan kasar dan perbelanjaan minimum sesebuah keluarga atau individu. Keputusan yang diperoleh pula lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir (miskin tegar).

Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 memberikan definisi Had al-Kifayah sebagai: ‘Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati kepada keperluan asasi sebenar.’ Sejajar dengan itu, maka institusi zakat wajar mengaplikasikan kaedah ini agar penentuan fakir miskin menjadi lebih tepat dan bantuan zakat lebih terfokus diuruskan.

Apakah pula kemiskinan? Umumnya orang menyangka, fakir miskin adalah kategori yang sama. Namun, hakikatnya tidak sama. Kerana itulah, fakir dan miskin adalah dua kategori yang layak mendapat zakat di samping enam asnaf lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk (diagihkan kepada) orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil yang menguruskannya, para mualaf untuk dilunakkan hatinya… (at-Taubah: 60)

Takrifan fakir, miskin

Namun, wujud sedikit khilaf dalam kalangan ulama fikah dalam menentukan takrif fakir dan miskin. Bagi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, mereka mentakrifkan fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.

Manakala bagi takrifan Imam Syafie dan juga Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya.

Ringkasnya, pandangan Imam Syafie dan Imam Hambali adalah berlawanan dengan pandangan di sisi Hanafi dan Maliki. Bagi umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai pendapat Imam Syafie.

Sementara itu, Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor tahun 2002, yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor telah mempersetujui bahawa takrifan fakir dan miskin itu ialah:

1. Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah, untuk keperluan diri atau keperluan diri tanggungannya.

2. Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50 peratus untuk keperluan diri atau keperluan diri dan tanggungan tetapi tidak mencapai had kifayah.

Zaman awal Islam

Jika dirujuk pada zaman awal Islam sendiri pun sudah wujud kedua-dua jenis kemiskinan ini. Misalnya pada zaman Mekah, majoriti yang memeluk Islam ialah golongan fakir dan miskin. Manakala, selepas era hijrah ke Madinah, wujud golongan ahlus suffah yang mendiami masjid nabi dan golongan ini adalah golongan fakir.

Antara ahli suffah yang terkenal ialah Abu Hurairah r.a, Bilal bin Rabah dan ramai lagi. Dianggarkan ada kira-kira 100 orang ahlus suffah semuanya.

Abu Hurairah r.a misalnya, sering mengikat batu ke perutnya demi menahan kelaparan, bahkan pernah dianggap gila kerana bercakap-cakap sendirian menahan lapar.

Akhirnya, Rasulullah SAW membawanya pulang ke masjid nabi dan ditugaskan untuk menjaga gudang menyimpan hasil zakat.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang soalan atau pandangan boleh dikemukakan ke hamizul@e-zakat.com.my atau sila layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my atau www.facebook.com/LembagaZakatSelangor.MAIS untuk maklumat lanjut. Utusan Bicara Agama 20140502

Hudud bukan sekadar memartabatkan syariah tetapi memperkasa ummah

SELEPAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan di Parlimen kesediaan Kerajaan Pusat untuk membantu Pas melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan polemik dalam kalangan pelbagai pihak terjadi.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat penegasan umum di Kedah baru-baru ini bahawa Kerajaan Pusat dan UMNO tidak menolak hudud, sebaliknya menerimanya. Khabarnya Lujnah politik Pas dan Jawatankuasa Tertingginya juga menerimanya dengan baik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu lawatan rasminya ke Kelantan turut sempat menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya. Ini adalah petanda baik bagi hubungan UMNO-Pas dan tentunya isu hudud menjadi agenda pertemuan.

Muhyiddin sewaktu di Kelantan mencadangkan sebuah jawatankuasa teknikal khas mengenai hudud ditubuhkan membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan dan Pas Kelantan bagi membolehkan undang-undang Islam khususnya jenayah syariah dibincangkan secara terperinci.

Kata beliau, menerusi perbincangan yang dibuat dalam bentuk lebih sistematik, hudud dapat dikaji dengan teliti sekali gus membantu semua pihak melihat situasi sebenar sebelum membawa usul mengenainya di Parlimen.

Jawatankuasa teknikal harus terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri Kelantan, wakil Persekutuan, tokoh-tokoh agama dan pakar di peringkat antara bangsa.

Ia adalah sesuatu yang munasabah kerana isu hudud bagi sesetengah pihak dalam masyarakat yang majmuk menjadi isu sensitif. Menghasilkan enakmen yang sifatnya substantif boleh dilakukan tetapi aspek "procedural" memerlukan penelitian yang sehabis baik kerana pelaksanaannya nanti menyentuh mengenai aspek keadilan.

Isu hudud yang membekam sekian lama dan meretakkan hubungan sesama Islam harus ditangani dengan jiwa besar. Jangan wujud kegopohan dan ketergesaan hingga menyebabkan maqasid hukum terjejas.

Kerjasama semua pihak terhadap jenayah syariah harus dijadikan jambatan ukhuwah tanpa sangka buruk dan membolehkan jiwa muzakarah berkembang.

Pendekatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, terhadap Kerajaan Pusat adalah sesuatu yang bijaksana.

Banyak titik temu yang boleh dihasilkan apabila ini berlaku. Perbezaan fahaman politik tidak harus dijadikan asas untuk permusuhan terus berlaku. Kesannya adalah besar terhadap generasi hari depan.

Politiking yang berlebihan boleh menyebabkan rasa kebencian dan dendam kesumat terjadi. Harus ada prioriti atau keutamaan terhadap isu-isu yang berbangkit didekati dengan sangka baik yang tinggi dan berjiwa besar untuk menyelesaikan kemelut yang ada.

Jangan fikirkan apa yang kita dapat daripada usaha baik ini. Fikirkan kepentingan umat dan buatlah keputusan dengan bijaksana supaya yang dikejar dapat yang dikendong tidak berciciran. Ia menuntut ketabahan dan jiwa besar supaya generasi umat masa depan menjadikan usaha kita sebagai contoh ikutan.

Telah sekian lama banyak tenaga dibazirkan dan umat Islam hilang fokus tentang apa sebenarnya yang ingin dicari dalam hala tuju perjuangan masing-masing. Jiwa wahdah perlu lahir supaya perubahan terjadi dan masyarakat memahami.

Bagi penulis persefahaman mengenai isu hudud tidak sifatnya politikal sahaja. Tetapi lihatlah ia sebagai jambatan menyatukan fikrah ke arah pelaksanaan syariah yang lebih terarah.

Pelaksanaan syariah tidak hanya bergantung kepada jenayah syariah semata-mata tetapi ia menyentuh kemampuan menghasilkan model Islami yang berasaskan syariah dalam enakmen yang lain yang menyangkut perkembangan muamalah, tijarah, industri halal, menyantuni golongan masa kini dan memerlukan perhatian supaya Malaysia mampu menghasilkan model dan alternatif yang terbaik berasaskan acuan Islami.

Penulis yakin Malaysia boleh melakukan ini kerana kecenderungan kepada pendidikan agama yang lebih komprehensif semakin tinggi.

Kalau ini dijadikan agenda bersama dalam kalangan warga umat bakal lahir generasi penerus yang tidak saja memiliki tasawwur dan fikrah yang betul tetapi dalam masa sama menyumbang kepada pembangunan umat. Umat Islam sedang menunggu ia berlaku. JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20140502

Kandungan hudud di Brunei Darussalam

Hukum Hudud telah pun dilaksanakan di Brunei. Berikut ialah kandungan hudud yang dijalankan di Brunei pada ketika ini. Sila rujuk Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

LELAKI BERLAGAK MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA 198

(1) Mana-mana lelaki yg memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam tanpa alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana lelaki yg memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam untuk tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

TIDAK MEMBAYAR ZAKAT ATAU FITRAH 236

(1) Mana-mana orang Islam yang telah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

KHALWAT 196

(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan khalwat adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan khalwat dengan orang Islam adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(3) Dalam bab ini, KHALWAT bermakna

(a) bersekediaman, bersekedudukan, berkurung; atau

(b) Mengasingkan diri dalam keadaan berhampiran yang mendatangkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan maksiat.

TIDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG JUMAAT 194

Mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syarie atau tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.

TIDAK MENGHORMATI BULAN RAMADAN 195

(1) Mana-mana orang yang memakan atau meminum atau menghisap apa jua tembakau di tempat awam semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang yang menjual atau menghidang apa jua makanan atau tembakau untuk dimakan,diminum atau dihisap dengan serta-merta di tempat itu juga, di tempat awam, semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya sekali.

(3) Ceraian (2) hendaklah tidak dikenakan kepada mana-mana pengamal perubatan atau mana-mana orang lain yang menghidang apa jua makanan, minuman atau ubat kepada mana-mana pesakit semasa waktu-waktu berpuasa dalam bulan Ramadan yang tanpanya pesakit itu terjejas.

(4) Jika mana-mana orang yang gagal mematuhi ceraian (2) dalam kedudukannya sebagai pekerja kepada orang lain, majikannya hendaklah dianggap telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut dan telah menyebabkan kesalahan itu dilakukan oleh sebab subahat itu melainkan dia dapat membuktikan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan tanpa kebenaran, kuasa, pengetahuan atau keizinannya dan dia telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mencegah daripada perbuatan itu dilakukan.

HUKUMAN ZINA 69

(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman hadd seperti berikut -

(a) jika dia muhshan, direjam sehingga mati dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam; atau

(b) jika dia ghairu muhshan, disebat 100 sebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam dan dihukum penjara selama tempoh satu tahun.

(2) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan dengan keterangan selain yang diperuntukan di bawah ceraian (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan :-

(a) jika dia muhshan, disebat tidak melebihi 30 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 7 tahun; atau

(b) jika dia ghairu muhshan, disebat tidak melebihi 15 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.

(3) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seorang Islam dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan di bawah ceraian (1).

(4) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seseorang Islam dan dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah ceraian (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan, dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan dibawah ceraian (2).

HUKUMAN ZINA JIKA PESALAH BUKAN MUKALLAF ATAU BELUM MENCAPAI UMUR

BALIGH. (70). Jika mana-mana orang yang bukan mukallaf atau belum mencapai umur baligh melakukan zina dan-

(a) dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 30 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun; atau

(b) dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah perenggan (a) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 15 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.

Nilai minimum barang curi untuk kena hukum hudud ialah 1 dinar (4.25g emas)

(A) Jika didapati bersalah (dengan cara pengakuan sendiri atau saksi-saksi yang sah) maka :

* Kesalahan pertama potong tangan kanan hingga pergelangan tangan.

* Kesalahan kedua potong kaki kiri hingga lutut.

* Kesalahan ketiga dan seterusnya - penjara tidak lebih 15 tahun.

Kalau bersalah bukan cara di atas (A) : kena penjara dan denda.

* Sumber : Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah Brunei 2013.



Utusan/Rencana/20140504

Hudud: Bersedia atau belum?

POLEMIK mengenai hudud kembali hangat diperkatakan selepas kerajaan Pas Kelantan mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat. Pembentangan itu dijangka seawal-awalnya Jun ini atau selewat-lewatnya Disember 2014 bagi melaksanakan hukum Islam itu di Kelantan pada tahun hadapan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan bahawa kerajaan dan UMNO tidak menolak hudud dan menyokong niat baik Pas untuk melaksanakannya dengan membentang usul tersebut di Dewan Rakyat serta sedia mendengar penjelasan daripada Pas berhubung perkara tersebut.

Namun, ketika kebanyakan umat Islam menyokong hasrat Pas itu, kalangan bukan Islam termasuk daripada parti-parti mewakili bukan Islam seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), MCA dan Gerakan pula menentang pelaksanaan hukum hudud dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan dan bakal menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Untuk itu, wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewawancara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia, PROF. DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL bagi mengupas isu tersebut dengan lebih mendalam.

Menurut beliau, walaupun hukuman hudud nampak dahsyat, hanya ada satu kes hukuman kesalahan zina di zaman Rasulullah SAW dan itu pun hanya kerana pelaku datang mengaku, namun dari segi pembuktian tidak ada satu kes pun. Begitu juga, tidak ditemukan satu pun hukuman potong tangan dijatuhkan kepada pencuri di zaman baginda. Ini kerana beban pembuktian amat ketat.

MINGGUAN: Boleh Prof. terangkan apakah pengertian hudud?

MOHAMED AZAM: Hudud ini adalah satu cabang daripada undang-undang jenayah Islam yang kita panggil jenayah syariah. Jadi, dalam undang-undang jenayah syariah, kita ada hudud, qisas dan takzir. Dalam qisas ada diyat iaitu pampasan hasil daripada pembunuhan atau kecederaan anggota badan. Apabila kita sebut hudud, sebenarnya ia hanya satu bahagian daripada undang-undang jenayah Islam, dan undang-undang jenayah Islam ini pula satu daripada undang-undang Islam. Orang selalu sebut undang-undang hudud tetapi mereka lupa tentang qisas dan takzir sedangkan hudud itu sebenarnya satu komponen daripada undang-undang jenayah syariah.

Dalam kesalahan di bawah hukum hudud seperti disebut oleh majoriti fuqaha, ia meliputi enam kesalahan yang dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah iaitu mencuri (sariqah), merompak (hirabah), persetubuhan haram (zina), menuduh orang baik melakukan persetubuhan haram tanpa mengemukakan empat saksi (qazaf), minum arak (syurub) dan murtad (irtidad). Namun, yang menjadi kesepakatan ulama, al-Quran hanya menyebut empat kesalahan sahaja iaitu mencuri, merompak, zina dan qazaf. Selebihnya itu datang daripada sunnah. Ada sesetengah ulama mengatakan bughah (pemberontakan) termasuk sebagai salah satu kesalahan dalam hudud.

Apa sebenarnya yang perlu diperjelaskan melalui perundangan Islam dan apakah ia menjadi keutamaan?

MOHAMED AZAM: Sebenarnya dalam aspek undang-undang Islam, kita perlu melihat apa Rasulullah SAW lakukan selama lebih kurang 23 tahun selepas diangkat menjadi Rasul. Baginda telah menekankan tentang pendidikan akhlak serta iman selama lebih kurang 13 tahun di Mekah. Pada masa itu, tidak diturunkan ayat-ayat al-Quran untuk syariat pelaksanaan hukum dalam aspek ibadah, muamalat, jinayat dan sebagainya. Ia hanya berlaku selepas diterapkan pendidikan iman itu yang kuat. Selepas Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah ke Madinah dan tertubuhnya negara Islam, baharulah secara perlahan-lahan hukum itu dilaksanakan dalam aspek ibadah, hubungan antarabangsa, jinayat dan sebagainya. Jadi, dari sudut keutamaan, apakah undang-undang paling penting dilaksanakan? Ibadat itu satu-satunya bahagian yang menjadi kepentingan sebab ia membina diri seperti dalam bab solat dan kehendak-kehendak lain dalam Rukun Islam itu.

Selepas suasana manusia sudah mempunyai keimanan yang kuat, baharulah adanya tatacara hukuman dalam aspek sosial. Kalau berlaku satu jenayah, maka diambil tindakan tetapi harus diingat bahawa dalam undang-undang Islam, hukuman berbentuk fizikal adalah jalan terakhir. Contohnya, orang kata apabila laksanakan hudud, habis tangan tidak ada. Ini persepsi yang salah. Kita perlu melihat dalam undang-undang hudud, aspek keterangan atau kesaksian dan tatacara jenayah itu begitu ketat. Kalau keadaan tidak mengizinkan seperti negara berada dalam keadaan miskin dan berlaku kecurian, apakah perlu dilaksanakan hudud pada masa itu? Jawapannya, itu bukan menjadi keutamaan.

Kalau negara itu berada dalam kegawatan dan berlaku kecurian kerana orang tidak ada pekerjaan, kalau kita jatuhkan juga hukuman hudud, itu zalim dan tidak menepati keadilan dalam Islam.

Seorang mujtahid pada masa ini, Sheikh Yusuf al-Qaradawi berkata, sesuatu hukum itu berubah dari sudut tempat, masa dan keadaan. Apa yang berlaku di negara-negara Islam di Asia Barat seperti Arab Saudi tidak sama dengan apa yang berlaku di Nusantara kerana budaya di sini berbeza.

Bercakap tentang Brunei Darussalam, kehendak bagi melaksanakan undang-undang Islam; hudud, qisas dan takzir telah diusahakan lebih 20 tahun lalu apabila Sultan Brunei memanggil anak jati negara itu yang bekerja di Malaysia, almarhum Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman balik ke Brunei untuk mengetuai satu jawatankuasa melihat bagaimana untuk melaksanakan undang-undang Islam ini di Brunei.

Kita perlu faham bahawa Brunei mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak iaitu sultan adalah undang-undang tertinggi, manakala negara kita sistem Raja Berpelembagaan yang mana kuasa eksekutif terletak kepada Perdana Menteri dan adanya Parlimen. Jadi, senarionya berbeza.

Dalam isu pelaksanaan hudud di negara ini, pada pandangan Prof. perlukah dilaksanakan atau lebih baik menegakkan keadilan sosial daripada hudud itu sendiri?

MOHAMED AZAM: Saya ingin menjelaskan, kita perlu melihat kepada dakwah dan pendidikan terlebih dahulu. Bagi saya, kita belum cukup bersedia. Kita perlu mencontohi bagaimana Brunei membuat persediaan untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam. Kita setuju hudud dilaksanakan tetapi kita perlu buat persediaan yang cukup rapi terlebih dahulu. Kalau kerajaan Kelantan sudah buat semua persiapan dan cuma perlu kelulusan oleh Parlimen, silalah dan tidak ada masalah. Cuma, mungkin akan timbul masalah teknikal dalam aspek bukan Islam dan Islam serta pertindihan dengan undang-undang sivil.

Jadi bagaimana hendak selesaikan? Saya setuju dengan pandangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu memanggil cendekiawan dan ilmuwan yang mahir dalam undang-undang sivil dan syariah untuk melihat perspektif ini sama ada kita boleh laksanakan dalam masa terdekat. Kita juga setuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kita setuju hudud dilaksanakan tetapi dalam keadaan yang mengizinkan. Kestabilan dalam negara adalah lebih penting dalam kita hendak melaksanakan hudud.

Kita akui hudud boleh menyelesaikan banyak masalah tetapi kita perlu kepada satu pendidikan yang agak agresif bermula dari zaman kecil dan persekitaran yang baik. Namun, kita tidak boleh menafikan kehendak kerajaan Kelantan kerana 90 atau 95 peratus rakyat negeri itu ialah Islam.

Adakah adil sekiranya hudud hanya dilaksanakan ke atas umat Islam?

MOHAMED AZAM: Kalau hendak laksanakan hudud, ia tidak boleh dilaksanakan kepada umat Islam sahaja tetapi mesti dilaksanakan kepada bukan Islam juga. Seperti dicadangkan di Brunei, ia dilaksanakan kepada semua tidak kira orang Islam atau bukan Islam. Ia tidak boleh dilaksanakan asing-asing sebab ia tidak akan memberikan keadilan. Sebagai contoh, kalau orang Islam mencuri dan kemudian cukup pembuktian di mahkamah, dia dihukum potong tangan. Orang kafir pula, dia juga mencuri tetapi tidak dikenakan hukum hudud tetapi hanya dipenjara.

Kita ambil contoh zina pula. Datang satu pasangan, seorang Islam yang sudah berkahwin dan seorang lagi bukan Islam. Katakanlah cukup pembuktian, orang Islam yang sudah berkahwin dan pernah menikmati persetubuhan akan dihukum rejam tetapi bukan Islam pula akan terlepas. Macam yang berlaku di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri sekarang, kalau kesalahan zina melibatkan pasangan Islam dan bukan Islam, orang Islam didakwa di mahkamah syariah tetapi yang bukan Islam tidak ada masalah sebab di mahkamah sivil, mereka yang berumur 16 tahun ke bawah tidak dikenakan hukuman kalau buat persetubuhan dengan kerelaan. Ini tidak adil.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya hudud hendak dilaksanakan di Kelantan?

MOHAMED AZAM: Pada masa sekarang dengan kekangan undang-undang sedia ada, Kelantan tidak boleh laksanakan hudud sebab bidang kuasa ini bukan di bawah bidang kuasa negeri tetapi Pusat, ia terletak di bawah mahkamah sivil, di bawah undang-undang Persekutuan. Apa yang ada di mahkamah syariah sekarang kecil sahaja seperti khalwat, minum arak dan tidak solat Jumaat. Maksimum penalti pun penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan cara Islam.

Berdasarkan pembacaan saya, bagi melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan, kerajaan negeri mahu tubuhkan satu mahkamah khas dan mahkamah rayuan khas. Jadi, mahkamah khas ini di bawah bidang kuasa siapa? Kalau di bawah negeri, ia perlu satu peruntukan khas yang perlu diberi oleh Parlimen. Kalau hendak guna mahkamah syariah biasa, memang tidak boleh kerana perlu buat pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984) iaitu bagi menaikkan bidang kuasa 356 kepada yang ada qisas dan hudud. Takzir tidak perlu sebab sudah dilaksanakan hari ini. Apa yang ada dalam Kanun Keseksaan dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri ialah takzir manakala sebahagian hukuman qisas sudah ada dalam Kanun Keseksaan.

Kenapa dalam soal hudud ini, orang bukan Islam paling lantang menentang termasuk melabelkan undang-undang ini sebagai kuno. Adakah ini berlaku kerana kurang faham atau mahu memburuk-burukkan Islam?

MOHAMED AZAM: Hudud, qisas, takzir yang disebut-sebut oleh orang sebagai hudud ini, adakah orang Islam sendiri faham? Kalau orang Islam pun tidak faham, orang bukan Islam lagi tidak faham. Jadi, perlu kepada pendidikan tentang undang-undang jenayah Islam. Kita perlu mulakan dengan ajaran Islam yang asas. Di sekolah rendah dan menengah memang ada diajar tetapi mereka tidak faham, bilakah undang-undang hudud ini boleh dilaksanakan dan bagaimana daripada aspek bahan pembuktian perlu difahamkan kepada bukan Islam.

Bagi saya, orang tidak sokong kerana mereka tidak faham keindahan undang-undang jenayah Islam. Undang-undang Kanun Keseksaan yang diamalkan sekarang, 70 peratus sudah mengikut Islam tetapi orang bukan Islam boleh terima sebab undang-undang ini datang dari Barat kerana kita dididik bahawa undang-undang Barat ini bagus. Jadi, tanggungjawab kita untuk didik masyarakat mengenai undang-undang Islam. Walaupun nampak begitu dahsyat hukumannya tetapi beban pembuktian amat tinggi. Cuba tanya ulama berapa banyak tangan pencuri telah dipotong di zaman Rasulullah SAW. Dalam pembacaan saya, tidak jumpa lagi. Aspek itu perlu diberikan perhatian. Hukum hudud ini lebih kepada mendidik pelaku dan masyarakat.

Nampaknya, dalam soal hudud ini, kita perlu memberi kefahaman sebenar kepada mereka. Apa yang boleh kita lakukan?

MOHAMED AZAM: Sebenarnya, potong tangan ini cuma satu kesalahan daripada hudud. Beban pembuktiannya juga amat besar. Kalau seorang ditangkap mencuri, kita hendak tanya dia waras atau tidak semasa mencuri? Dia kerja apa? Ada punca pendapatan? Isteri dan anak berapa? Kalau tidak ada pekerjaan dan terpaksa mencuri untuk beri anak bini makan, patutkah dia dipotong tangan? Tidak, tetapi dia dihukum takzir.

Kita tidak boleh tergesa-gesa laksanakan hudud. Kita perlu didik masyarakat dahulu supaya mereka faham. Baru-baru ini, ada seorang penulis dan penyair dari Arab Saudi, Ni’mah Nawwab datang beri taklimat di sini. Ada wartawan tanya dia bolehkah hudud dilaksanakan di Malaysia. Dia jawab tidak tahu tentang Malaysia tetapi dia beritahu hukum hudud sudah dilaksanakan di Arab Saudi. Di Arab Saudi, kita boleh tinggalkan sahaja premis perniagaan termasuk kedai emas sekali pun kerana tidak ada sesiapa hendak mencuri. Keadaan menjadi selamat dan ini diakui sendiri oleh penulis dan cendekiawan Barat



Utusan/Rencana/20140504