May 5th, 2014

Membaca lahirkan masyarakat inovatif

Masyarakat atau bangsa yang mempunyai tradisi budaya membaca yang mantap akan memiliki sikap positif dan meletakkan komitmen tinggi terhadap kesediaan meneroka maklumat serta ilmu pengetahuan yang baharu.

Budaya membaca dan ilmu adalah ciri pembangunan budaya dalam masyarakat yang berorientasikan pendidikan serta keilmuan.


Bentuk pemikiran kreatif, dinamis


Ahli falsafah Inggeris, Lord Bacon, berkata membaca menjadikan seseorang berisi. Membaca adalah aktiviti yang boleh membangunkan intelektual, membentuk pemikiran kreatif dan dinamis serta dapat melahirkan masyarakat progresif serta berdaya saing.

Pemikiran bernas dan matang diperoleh hasil pembacaan ini penting kepada negara yang sedang menuju ke arah pembangunan pesat.

Orang Arab menganggap amalan membaca seumpama sedang berbicara mengenai seorang yang setia dan jujur atau seorang pemimpin yang membimbingnya kepada jalan kebenaran dengan tujuan suci. Ada ulama menganggap membaca seumpama sedang bercakap dengan sekumpulan ulama dan orang pintar.

Seorang tokoh Islam, al-Jahiz, mempunyai komitmen yang tinggi terhadap ilmu. Beliau mati akibat tertindih buku yang disimpan di sekelilingnya. Ulama silam mengumpamakan buku seperti teman setia, pemimpin, ulama dan orang pintar.

Oleh itu, ulama dan cendekiawan Islam menunjukkan komitmen dan kecintaan pada ilmu pengetahuan. Masyarakat membaca dan berlumba-lumba menguasai ilmu dapat menyesuaikan dirinya dengan tujuan asal ia diciptakan oleh Allah SWT.

Minat dan tabiat membaca boleh dipupuk dalam masyarakat. Namun, untuk mewujudkan negara mempunyai rakyat yang menjadikan membaca sebagai amalan hidup bukanlah mudah. Ia membabitkan kesedaran mendalam.


Sedar kepentingan membaca

Walau apa juga cara dilaksanakan kerajaan untuk menyedarkan rakyat kepentingan membaca, jika rakyat tidak mengendahkannya segala usaha kerajaan bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Antara cara yang paling baik untuk memupuk budaya membaca adalah melalui usaha melatih dan membimbing kanak-kanak dengan amalan membaca. Ibu bapa, guru, ulama, penulis, pustakawan dan media massa seharusnya memberi komitmen dan menggembleng tenaga dalam usaha ini.

Membaca satu tuntutan dan amalan suci dalam Islam. Ia lahir daripada falsafah iqra. Setiap Muslim seharusnya menyahut dan melaksanakan perintah ini. Umat Islam tidak mungkin dapat mencapai kemajuan di dunia dan akhirat jika mengabaikan perkara ini.

Berita Harian Agama 2014/05/05 - 06:20:29 AM Dr Mohd Shukri Hanapi

Jadilah manusia sentiasa bersyukur

Banyak ayat al-Quran dan hadis yang membincangkan soal syukur. Ada yang menjelaskan hakikat syukur, perintah bersyukur, manfaatnya, alasan bersyukur, balasan bagi yang bersyukur dan ancaman bagi yang tidak bersyukur.

Oleh itu, bersyukur adalah sifat yang mulia di sisi Islam. Kita sering mendengar keluhan dan rungutan daripada manusia yang tidak tahu erti syukur serta sering mempersoalkan segala kekurangan diri mereka.


Sebagai manusia, tentu pernah terdetik dalam hati mengapa kadangkala seseorang itu sentiasa mendapat kegembiraan seperti cepat naik pangkat, murah rezekinya serta beroleh kejayaan cemerlang dalam pelajaran sedangkan dia selalu melakukan kemungkaran?

Harus diingat penganugerahan yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya adalah satu bentuk ujian untuk menilai sejauh mana keikhlasan orang berkenaan. Allah mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya tanpa menilai baik buruk seseorang.

Anugerah dikurniakan untuk menilai keikhlasan insan


Allah menguji setiap hamba dengan anugerah yang dikurniakan untuk menilai sejauh mana keikhlasan dan kesedaran insan berkenaan.

Jika dia hamba Allah yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai manusia, dia akan sentiasa sedar kelemahan dirinya dan bersyukur dengan kurniaan tersebut serta berubah untuk menjadi insan yang terbaik, tetapi jika berlaku sebaliknya, maka dia menimbulkan kemurkaan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Seterusnya firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala, dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu; maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Ankabut, ayat 17)

Oleh itu, manusia perlu menyemai rasa syukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah. Sifat syukur selalu datang apabila kita pernah berasa suatu kehilangan.

Jelaslah bahawa, sifat syukur atau berterima kasih adalah sifat terpuji yang paling tinggi bagi nilai seorang Muslim.

Jika sabar membawa erti seseorang itu berjaya mengawal dan menahan dirinya daripada sesuatu, maka syukur membawa erti kita melakukan sesuatu itu untuk menunjukkan yang kita gembira dengan pemberian Allah.

Bersyukur adalah sifat yang kekal sehingga dimasukkan kita ke dalam Syurga.


Sujud syukur amalan sunah

Di samping itu, melakukan sujud syukur juga amalan sunah yang harus diamalkan setiap Muslim.

Sujud syukur adalah sunah yang ditinggalkan kepada kita untuk menunjukkan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah SWT atau terhindar seseorang daripada bahaya dan malapetaka.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya faedahnya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, (tetapi) sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) maka tidaklah menjadi hal kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman ayat 12)

Dalam kita melayari kehidupan ini, perlu diletakkan kesedaran pada diri, bahawa dunia pasti akan ditinggalkan dan akhirat tempat yang pasti kita datangi.

Apabila manusia hilang rasa syukur, mereka berasakan dunia ini lebih besar berbanding akhirat, maka manusia mula melakukan perkara yang dilarang Allah.

Sebagai hamba di muka bumi ini, kita mesti sentiasa reda dan bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan kepada kita walau ia sekecil zarah sekalipun.

Berita Harian Agama  2014/05/05 - 06:23:02 AM Nur Syamimi Muhamad Shahimi

Hudud: Siapa yang perlu ikhlas?

KESEPAKATAN yang dicapai antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal khas peringkat kebangsaan bagi memastikan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau hudud dapat dilaksanakan di negeri itu seharusnya melegakan seluruh umat Islam.

Justeru sekarang adalah masa untuk semua umat Islam tidak kira daripada UMNO atau Pas, atas pagar atau tidak untuk memberi ruang dan kesempatan kepada jawatankuasa itu melaksanakan tugasnya. Janganlah mempolitikkan usaha yang sedang dilakukan.

Selama ini sudah cukup pelbagai toh­mahan dilemparkan kepada UMNO dan Kerajaan Pusat kononnya menghalang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Tetapi sekarang laluan sudah dibuka dan ia kini berada di tahap permulaan yang cukup baik bagi merealisasikan impian pemimpin dan penyokong Pas yang selama ini begitu mendambakan pelaksanaan hukum itu di negeri Cik Siti Wan Kembang.


Sebahagian orang ramai melafazkan ikrar setia dengan pelaksanaan hudud selepas mendengar Ceramah Umum
Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di perkarangan Stadium Muhamad V,
di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/Irwan Majid

Bagi merealisasikan impian itu, semua pihak perlu ikhlas khususnya dalam kalangan sesetengah pemimpin Pas yang terus membuat kenyataan mengandungi sindiran kepada UMNO dan mempertikaikan keikhlasan UMNO.

Pemimpin-pemimpin Pas seumpama itu perlu faham bahawa sebaik sahaja kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyatakan hasrat kerajaan negeri itu untuk melaksanakan hukum hudud, tidak ada satu pun kenyataan daripada pemimpin-pemimpin UMNO menolak hasrat Pas.

Atas kesediaan itulah Kerajaan Pas Kelantan melalui Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah membuat persediaan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri tersebut.

Ia sekali gus membuktikan tuduhan ko­nonnya UMNO konsisten menolak hudud adalah tidak benar sama sekali tetapi sebaliknya apa yang terserlah ialah penentangan secara konsisten, keras dan tegas daripada sekutu Pas sendiri iaitu PKR dan DAP.

Bagaimanapun keadaan itu masih belum memuaskan hati sesetengah pemimpin Pas yang terus menonjolkan diri melalui kenya­taan yang penuh dengan madah berhelah. Selain menegaskan Pas akan kekal bersama pakatan pembangkang, pemimpin tersebut juga secara berkias masih mahu mempertikaikan keikhlasan UMNO.

Sepatutnya, bukan soal keikhlasan UMNO yang harus dipersoalkan. Kalau UMNO tidak ikhlas sudah pasti parti itu tidak akan membuka laluan untuk Pas membentang rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat dan kalau UMNO tidak ikhlas awal-awal lagi UMNO akan menolak keingin­an Kerajaan Pas Kelantan.

Tetapi apa yang kita saksikan, UMNO terus menyokong hasrat Pas dengan hanya meminta ia perlu diperincikan demi menjaga kesucian Islam memandangkan pelaksanaan hukum hudud tidak harus menimbulkan kekeliruan apatah lagi kebimbangan dalam kalangan bukan Islam.

Jika benar sesetengah pemimpin Pas mahu bercakap soal keikhlasan, mereka sepatutnya bertanya kepada DAP dan PKR, apakah kedua-dua parti itu ikhlas menganggap Pas sebagai sekutu yang cukup bernilai dan berjasa? Ia memandangkan yang menunjukkan ketidak ikhlasan terhadap Pas bukan UMNO tetapi PKR dan DAP. Kalau kedua-dua parti itu ikhlas sudah tentulah mereka tidak akan bermati-matian menentang hasrat Pas melaksanakan hukum hudud.

Kenapakah PKR dan DAP tidak memberi ruang dan peluang kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk membuat penjelasan, taklimat atau pe­nerangan sebelum menolak hasrat melaksanakan hukum hudud itu ‘mentah-mentah’?

Bukankah selama ini pakatan pembangkang sering mendabik dada sebagai pejuang demokrasi? Apakah demokrasi ‘ala pembangkang' ialah tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak berunding atau berbincang terhadap sesuatu perkara yang PKR dan DAP tidak persetujui?

Janganlah pula dalam kalangan pemimpin Pas mempersoalkan penentangan MCA, Gerakan dan MIC. Bagi penulis, soal itu tidak perlu diperdebatkan buat masa ini kerana apa yang lebih penting Pas perlu memberi pemahaman terlebih dahulu kepada PKR dan DAP.

Sejak MCA, Gerakan dan MIC bergabung dalam Barisan Nasional (BN), UMNO tidak pernah bercakap soal melaksanakan hukum hudud, sebaliknya Pas yang memperjuangkan perkara itu dan meneruskannya ketika bergabung dalam pakatan pembangkang biar pun mereka memahami sentimen PKR dan DAP terhadap hukum tersebut.

Justeru adalah tidak munasabah kalau ada pemimpin-pemimpin Pas mahu mencabar pemimpin UMNO supaya ‘mentarbiahkan’ MCA, Gerakan dan MIC supaya menerima hukum hudud, sedangkan mereka sendiri tidak mampu ‘mentarbiahkan' PKR dan DAP dalam soal tersebut.

Atas sebab itulah, penulis berpendapat, dalam usaha merealisasikan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, umat Islam bukan sahaja perlu bersatu malah paling penting me­nunjukkan keikhlasan bagi menjayakannya. Janganlah pertimbangan politik dan kebencian akibat berbeza fahaman politik memungkinkan keikhlasan umat Islam lain khususnya daripada UMNO mahu dipertikaikan.

Izinkanlah jawatankuasa teknikal khas peringkat kebangsaan yang ditubuhkan me­laksanakan tugasnya terlebih dahulu dan kemudian barulah sama ada UMNO mahupun Pas memberi penjelasan kepada rakan-rakan komponen masing-masing.

Tetapi masalah yang berlaku sekarang ialah dalam kalangan pemimpin Pas, mereka mele­takkan kepentingan politik mengatasi keikh­lasan untuk melihat hukum hudud dilaksanakan di Kelantan. Mereka berada dalam parti Islam dan mereka memahami hukum tersebut adalah perjuangan utama Pas, tetapi mereka sendiri berasa ragu-ragu kalau tindakan Kerajaan Pas Kelantan akan menyebabkan parti itu akan kehilangan undi dalam pilihan raya.

Soalnya, adakah mereka terfikir kenapa majoriti rakyat Kelantan begitu taksub menyokong Pas sejak 1990? Pernahkah mereka bertanya apakah yang memungkinkan UMNO tidak mendapat tempat di negeri itu biar pun telah melakukan segala-galanya untuk kembali memerintah Kelantan? Jawapannya hanya satu iaitu majoriti rakyat Kelantan berbuat demikian kerana Pas menguar-uarkan perjuangan Islam, Pas menjanjikan untuk menegakkan syariat Allah sebaik sahaja matahari terbit di ufuk timur apabila parti itu menguasai Kelantan pada 1990.

Penulis tidak mahu bersekongkol dengan sentimen sesetengah pihak yang masih mempertikaikan keikhlasan Pas dalam melaksanakan hukum hudud. Soal ikhlas atau tidak, biarlah itu urusan Allah SWT. Apa yang penting sekarang ialah berusaha untuk memastikan sejauh manakah impian Kerajaan Pas Kelantan akan terlaksana.

Apa pun kita mendoakan yang terbaik berikutan kesepakatan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan kerana sudah tiba masanya, umat Islam bersatu dalam soal ini supaya kita tidak perlu ‘menyembah’ pihak lain demi mahu meraih kuasa politik.



Zulkiflee Bakar Utusan Rencana 20140505