May 7th, 2014

Mahabah wanita sufi

WACANA mahabbatullah dalam dunia tasawuf dipopularkan oleh seorang wanita suci yang menjadi kekasih Allah (Waliyyullah), Rabiah al-Adawiyyah atau Rabiatul Adawiyyah. Tampilnya Rabiah dalam sejarah tasawuf Islam, memberikan cinta tersendiri dalam menyetarakan gender pada dataran kerohanian Islam.

Bahkan, dengan kemampuannya dalam menempuh perjuangan ‘melawan diri sendiri’ dan seterusnya tenggelam dalam ‘telaga cinta Ilahi’, dinilai oleh kalangan sufi telah melampau 100 darjat orang-orang soleh daripada kalangan lelaki.

Rabiah al-Adawiyyah termasyhur kerana pengalaman spiritualnya, iaitu mahabah atau penyerahan diri secara total kepada Allah SWT. Pengalaman ini diperolehnya bukan melalui guru, melainkan melalui pengalamannya sendiri.

Jika sebelumnya Hasan al-Basri, ahli hadis dan fikah, telah merintis kehidupan zuhud berdasarkan rasa takut dan harapan, makan Rabiah melengkapinya dengan cinta kepada Tuhan. Cintanya kepada Allah SWT telah memenuhi seluruh jiwa raganya; tidak menyisakan tempat di hatinya untuk mencintai sesuatu selain-Nya.

Baginya, dorongan mahabah berasal daripada dirinya sendiri dan juga kerana hak Allah SWT untuk dipuja dan dicintai. Puncak pertemuan mahabah antara hamba dan cinta kasih Allah SWT yang menjadi akhir keinginan Rabiah.

Penghibur

Rabiah yang berparas cantik, memiliki suara merdu dan pandai menari ini ditugaskan oleh tuannya sebagai penghibur. Setelah belasan tahun menjadi penghibur, suatu hari ketika bernyanyi, Rabiah merasakan kedekatannya dengan Allah SWT yang seolah-olah memanggilnya.

Sejak itu, ia menolak semua perintah tuannya untuk bernyanyi dan menari sehingga tuannya marah, bahkan menyeksanya. Namun, Rabiah tetap berdoa kepada Allah SWT. Rabiah pun dijual kepada seorang sufi yang kemudian mengajaknya menikah. Rabiah menolaknya kerana kecintaannya yang tinggi kepada Allah SWT. Setelah dibebaskan, Rabiah memutuskan untuk hidup menyendiri.

Cinta Rabiah kepada Allah SWT merupakan cinta suci, murni, dan sempurna seperti disenandungkan dalam syair ini:

Aku mencintaimu dengan dua cinta; cinta kerana diriku dan cinta kerana diri-Mu. Cinta kerana diriku adalah keadaanku yang sentiasa mengingat-Mu yang mengungkapkan tabir, sehingga Engkau kulihat. Baik untuk ini, mahupun untuk itu, pujianku bukanlah bagiku; bagi-Mulah pujian untuk semuanya. Buah hatiku, hanya Engkaulah yang kukasihi, berilah keampunan pembuat dosa yang datang ke hadrat-Mu. Engkaulah harapanku, kebahagiaanku, dan kesenanganku, hatiku enggan mencintai selain Engkau.

Rabiah mencurahkan seluruh hidupnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT Kerana itu, ia memilih hidup zuhud agar bebas daripada segala rintangan dalam perjalanan menuju Tuhan. Dalam pandangannya, kenikmatan duniawi adalah hambatan menuju Tuhan. Dia pernah memanjatkan doa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada segala perkara yang menyibukkanku sehingga aku tidak sempat menyembah-Mu dan daripada segala rintangan yang merenggangkan hubunganku dengan-Mu."

Gadis abadi

Perkahwinan baginya adalah rintangan. Dia menerima banyak lamaran untuk bernikah, tetapi menolak semua lamaran itu. Mengenai cinta kepada Nabi Muhammad SAW pula, Rabiah berkata: "Aku cinta kepada Nabi SAW, tetapi cintaku kepada Khalik (Maha Pencipta) memalingkan perhatianku daripada cinta kepada makhluk (segala ciptaan)."

Rabiah sang pencinta agung itu, mencintai Tuhan buka kerana naluri kewanitaannya. Dia mencintai Tuhan dengan sepenuh jiwanya, ia mencintai zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Ia bertafakur, berzikir, juga suntuk memaknai segala sesuatu tentang Kekuasaan dan Kebesaran-Nya, sehingga tidak ada ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Dia.

Dia merelakan dirinya menjadi ‘gadis abadi’. Dia tidak ingin bernikah bukan lantaran tidak ada yang meminangnya, dia memilih ‘kegadisan abadi’ kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi.

Ketika Rabiah ditanya: "Kenapa engkau tidak bernikah, wahai Rabi’ah?" Dia menjawab: "Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih Sejati."

Rabiah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan, yang sulit untuk dijabarkan melalui pena, diungkapkan melalui pemahaman. Utusan Bicara Agama 20140506

Syurga sebagai matlamat

SAYA teringat kisah seorang sahabat Nabi SAW di Syam bernama Abu Darda. Beliau bernikah dengan seorang wanita bernama Hujaimah yang kemudian dikenal dengan gelaran Ummu Darda.

Abu Darda beberapa puluh tahun lebih tua daripada isterinya. Namun jarak usia tidak menghalangi pasangan ini mengecap kebahagiaan berumahtangga. Kedua-duanya terikat dengan rasa cinta, hormat dan keinginan mendapatkan reda Allah SWT.

Suatu hari Ummu Darda berdoa di hadapan suaminya. Beliau berkata: "Ya Allah, sesungguhnya Abu al-Darda meminang diriku daripada ibu bapaku di dunia. Aku lalu menerima pinangannya. Sekarang ini aku meminang dirinya daripada-Mu. Aku ingin ia menjadi suamiku di syurga nanti."

Mendengar doa ini, suaminya berkata: "Jika engkau ingin menjadi isteriku di syurga, maka janganlah menikah dengan orang lain selepas aku meninggal dunia."

Setelah Abu Darda wafat, Ummu Darda tidak menikah lagi. Beliau menolak setiap pinangan yang datang kepadanya. Termasuk pinangan Muawiyah bin Abi Sufyan, khalifah dan amirul mukminin pada masa itu. Cinta pertama dan terakhirnya hanya untuk Abu Darda.

Kisah Ummu Darda ini diceritakan oleh al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala.

Kesefahaman

Keluarga bahagia bermula daripada kesefahaman. Pasangan suami dan isteri mesti memiliki kesefahaman dalam menentukan hala tuju perkahwinan mereka. Mereka mesti menjadikan destinasi terakhir perkahwinan tersebut ialah syurga abadi di akhirat kelak.

Pasangan yang menjadikan syurga sebagai matlamatnya mesti membincangkan perkara ini sejak sekarang. Susunlah perancangan untuk meraih matlamat tersebut. Dan pastikan setiap ahli keluarga terlibat sama dalam aktiviti meraih syurga.

Perhatikan keluarga Abu Hurairah berikut ini. Setiap ahli keluarga beliau saling membantu dalam beribadah di tengah malam.

Abu Usman al-Nahdi bercerita: Aku menginap di rumah Abu Hurairah selama tujuh hari. Beliau bersama isteri dan pembantunya selalu bergantian berjaga setiap malam. Jika salah seorang daripada mereka bangun di tengah malam, ia terus melakukan solat. Lalu ia membangunkan salah seorang yang lain untuk solat. Selepas solat, orang ini lalu membangunkan yang ketiga.

Sungguh indah sebuah keluarga Muslim yang menjadikan syurga sebagai matlamatnya.

Berkumpul kembali

Sebuah keluarga yang terjalin dalam keimanan akan berkumpul kembali di syurga. Jika terdapat kekurangan diri salah seorang daripada mereka, ahli keluarga yang lain akan memberi syafaat baginya.

Allah berfirman yang bermaksud: Orang yang beriman dan yang anak cucunya mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka dan kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (al-Thuur: 21)

Ibnu Abbas berkata: "Apabila seorang mukmin masuk syurga, ia bertanya tentang ibu bapanya, isterinya dan anak-anaknya. Maka dikatakan kepadanya: mereka tidak mencapai darjat setinggi darjatmu. Orang itu lalu berkata: Wahai tuhan, aku beramal untuk diriku dan mereka. Allah lalu memerintahkan untuk mengumpulkan mereka kembali." (riwayat al-Tabarani)

Semoga Allah menyatukan kita di syurga bersama orang yang kita cintai di dunia. Amin ya rabbal ‘alamin.Utusan Bicara Agama 20140506

Perintah melakukan keadilan

ANTARA nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai keadilan. Ia akan menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Al-Quran menjadikan penegakan keadilan di antara manusia sebagai matlamat semua risalah samawi sehingga diutuskan kepada mereka rasul-rasul a.s dan kerana faktor penegakan keadilan, maka dibangunkan langit dan bumi.


Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. (al-Rahman: 7-9)

Maksud keadilan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak, sama ada yang berhak itu individu atau kumpulan manusia. Islam memerintahkan agar setiap orang berlaku adil terhadap dirinya dengan menyeimbangkan antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu ada haknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas adalah teguran Rasulullah SAW kepada Abdullah Ibnu Amru r.a apabila dia mengabaikan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamullail pada malam harinya.

Adil kepada keluarga

Begitu juga Islam telah memerintahkan agar berlaku adil pada keluarga, sama ada kepada suami, isteri dan anak-anak. Ketika Basyir ibnu Saad Al-Ansari hendak mendapatkan persaksian Rasulullah SAW terhadap hibah atau pemberian tertentu, dia mengutamakan pemberian tersebut kepada sebahagian anak-anaknya.

Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Adakah semua anak kamu berikan yang seumpama ini?" Basyir menjawab, "tidak." Rasulullah SAW bersabda, "Carilah penyaksian ke atas pemberian tersebut selain daripadaku, aku tidak akan membuat persaksian atas ketidakadilan." (riwayat Nasaie)

Ini menggambarkan keadilan harus diberikan, sama ada kepada yang disayanginya atau tidak disayanginya supaya perasaan sayang seseorang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan.

Alangkah hebatnya perintah untuk berbuat keadilan ini sehingga al-Quran meminta kepada kita agar berlaku adil, walaupun terhadap orang yang kita musuhi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalamkan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah: 8)

Keadilan sosial

Antara bentuk keadilan yang paling jelas ditekankan oleh al-Quran ialah keadilan sosial di mana ia memberi maksud keadilan dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang yang luas antara yang kaya dan miskin, membataskan monopoli orang-orang yang kaya dan mengangkat taraf hidup orang-orang miskin.

Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada orang-orang yang kurang bernasib baik dan pengabaian terhadap perkara ini dengan ancaman neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Lalu diperintahkan malaikat penjaga Neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahiim; Selain itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin. (al-Haqqah: 30-34)

Agama juga memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam perkataan. Kemarahan kita tidak boleh menjadi alasan untuk kita tidak berkata benar dan kerelaan kita kepada seseorang tidak menjadi pendorong kepada kita untuk kita berkata suatu yang tidak benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu). (al-An'aam: 152) Utusan Bicara Agama 20140506

Bagaimana meramaikan akauntan Islam

MENJELANG sambutan Hari Guru, kita akan terkenang jasa guru-guru kita yang telah mendidik kita sebaik mungkin.


Tiada wang ringgit yang mampu membayar segala jasa mereka. Mereka tidak pernah sesekali mengharapkan balasan sebagaimana yang ditunjukkan oleh guru-guru saya tatkala bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Seremban, hampir 20 tahun lalu.

Itu kisah yang saya alami. Kini, saya sendiri diamanahkan sebagai ahli akademik dan guru untuk mengajar anak bangsa.

Meskipun tugas sebagai pensyarah melibatkan aspek-aspek lain seperti perlu menjalankan penyelidikan, penyeliaan, perun­dingan dan penerbitan, namun pensyarah juga merupakan tenaga pengajar kepada anak-anak bangsa.

Mengajar anak-anak bangsa untuk berdikari dan mampu membantu negara dalam apa jua lapangan. Ditakdirkan oleh Allah SWT, saya menjadi ahli akademik dalam bidang perakaunan dan pengauditan di Universiti Utara Malaysia.

Dalam bidang ini, perkara pokok yang amat ditekankan tidak lain tidak bukan berkaitan amalan beretika dan berintegriti sepanjang masa.

Memetik kata-kata seorang akauntan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kini menjadi ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam;

“Akauntan tidak boleh sesekali memisahkan dirinya daripada etika dan integriti."

Sememangnya, beliau yang saya kenali sebagai seorang akauntan yang beretika tinggi dan berintegriti mantap.

Tambahan pula, beliau berpegang teguh dengan ajaran Islam. Asasnya, akauntan wajib beretika dan berintegriti sepanjang masa.

Maklumlah, akauntan ialah pihak yang paling dekat dengan kewangan syarikat dan organisasi. Bahkan, peranan akauntan semakin meluas dalam membuat keputusan pengurusan tertinggi syarikat. Sudah ramai akauntan yang bergelar CEO syarikat di Malaysia termasuk syarikat senaraian awam.

Ini menggambarkan betapa pentingnya akauntan dalam sesebuah organisasi.

Contoh lain baru-baru ini, terdapat laporan akhbar yang menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan 20 orang pelajar terbaik perakaunan di seluruh negara untuk berkhidmat dengan SPRM.

Kenapa pelajar perakaunan amat diperlukan? Salah satu kelebihannya adalah mereka diajar mengenai pengauditan dan ilmu ini boleh digunakan untuk memperkuatkan pasukan siasatan SPRM.

Bahkan, jika seseorang yang berlatarbelakangkan bidang perakaunan dan mema­suki cabang pengauditan sebagai juruaudit luar mahupun juruaudit dalam, secara tidak langsung mereka dilatih dan mengalami situasi-situasi penyiasatan.

Misalnya, seorang bekas pelajar saya yang berjawatan timbalan ketua audit dalaman sebuah syarikat terkemuka di Malaysia pernah menyatakan betapa ilmu perakaunan dan pengauditan amat membantunya dalam kerja-kerja penyiasatan.

Meskipun betapa pentingnya profesion perakaunan dan pengauditan dalam dunia korporat, namun, jelas kelihatan akauntan bumiputera Islam sukar mendapat tempat dalam menduduki kerusi tertinggi sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat bukan bumiputera.

Adakah ini bermakna bumiputera Islam tidak layak menjadi CFO dalam syarikat-syarikat berkenaan?

Begitu juga, berapa ramaikah CEO Islam berketurunan Melayu yang berlatarbelakangkan bidang perakaunan dan pengauditan menerajui syarikat keempunyaan bukan Islam?

Tidakkah kita lupa bahawa bekas CEO Petronas yang amat disegani dalam dunia korporat berlatarbelakangkan bidang perakaunan dan pengauditan? Khidmat beliau amat ditagih oleh negara jiran. Ini menunjukkan kewibawaan akauntan bumiputera Islam yang setaraf atau lebih baik berban­ding bukan bumiputera.

Tetapi, ia masih belum cukup untuk membolehkan akauntan bumiputera Islam menduduki kerusi tertinggi dalam syarikat bukan bumiputera.

Perkara ini perlu diubah segera jika kita mahu menjadikan masyarakat kita lebih adil dan saksama. Lagipun ilitizam untuk mencorakkan syarikat dengan menjadikan kepelbagaian kaum sebagai teras kekuatan tidak akan tercapai sekiranya sesuatu profesion yang amat penting seperti CFO dikuasai oleh satu kaum sahaja.

Perkara inilah yang sewajarnya diperbaiki segera dan bukannya laungan dan desakan untuk mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang amat songsang dengan budaya timur dan ajaran agama Islam. Kalau go­longan LGBT diktiraf, maka semakin rosaklah masyarakat Malaysia. Lebih banyak tuntutan yang pelik-pelik akan dibuat pada masa akan datang.

Jadi, pihak berkuasa dan kerajaan jangan sesekali tunduk dengan desakan golongan LGBT. Sedangkan tuntutan yang lebih utama untuk merealisasikan kesaksamaan dan keadilan dalam masyarakat majmuk tidak pernah langsung dipedulikan oleh golongan yang kononnya berjuang sebagai aktivis hak asasi manusia.

Tidakkah meramaikan CEO dan CFO Islam dalam dunia korporat bukan bumiputera adalah berkali-kali ganda lebih utama dan memberi kesan cukup positif serta adil dan saksama dalam masyarakat maj­muk berbanding tuntutan untuk mengiktiraf LGBT?

Sebab itulah saya melihat betapa pen­tingnya kita meramaikan akauntan profesional dan juga `akauntan’ dalam kalangan masyarakat Islam.

`Akauntan’ yang bukan profesional ini adalah mereka yang meskipun tidak memiliki segulung ijazah atau kelayakan profesional bidang perakaunan tetapi cukup mahir dalam `menjaga’ dan mengurus kewangan.

Lebih-lebih lagi untuk berjaya dalam dunia perniagaan, tidak boleh tidak, usahawan perlu mahir dalam mengurus kewangan. Itu belum disebut lagi kemahiran mengurus kewangan peribadi dalam ka­langan umat Islam Malaysia.

Dengan situasi peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi, kemahiran ini perlu dipelajari dan diamalkan dengan baik.

Akauntan dan akauntan Islam juga mampu memberi nafas baharu dalam mengurus kekayaan umat Islam. Dengan adanya gabungan elemen etika dan integriti serta mahir dalam mengurus dan menjaga kewangan, mereka ini akan menjadi pemain utama dalam memacu kekayaan umat Islam Malaysia. Rohami Shafie   ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia Utusan Rencana 20140507

Iqra: Himpunan hadis riwayat kehidupan Rasulullah

Cinta Nabi mengandungi keutamaan yang sangat besar kerana cinta kepada Nabi Muhammad SAW boleh menempatkan kita pada darjat yang tinggi di syurga. Namun, rasa cinta mesti bermula daripada pengenalan.

Siapa tidak mengenali Nabi, tidak mungkin dia mencintai Baginda dengan sebenar-benar cinta. Tambahan, pada zaman serba moden ini umat Islam menjadi terlalu jauh dengan Rasulullah SAW, sebaliknya menjadikan artis sebagai idola.

Umat Islam perlu kembali menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan untuk menjadi bangsa yang berjaya di dunia serta akhirat. Baginda diutuskan untuk menjadi teladan kepada seluruh manusia menepati firman Allah SWT, bahawa Rasulullah SAW itu contoh ikutan terbaik.

Buku Kenali Rasul Kita Muhammad SAW menghimpunkan hadis diriwayatkan berkaitan diri Baginda dari sudut fizikal, keindahan akhlak, cara Baginda berpakaian, makan, minum, tidur, solat, berbicara dan bergaul.

Terbit rasa rindu

Membaca buku ini dapat menerbitkan rasa rindu kepada Rasulullah SAW kerana keindahan akhlak serta cara hidupnya yang sederhana membuatkan kita berasa ingin bersama Baginda, mengikuti sunah dan mencontohi tata cara hidup Baginda.

Buku ini digarap dengan persembahan yang segar, dilengkapi gambar serta hujah padat sesuai buat segenap lapisan masyarakat untuk mengenali Rasulullah SAW melalui 56 bab merangkumi semua aspek kehidupan baginda.

Di samping itu, buku ini turut memuatkan profil ringkas perawi hadis dalam kalangan sahabat dan tabiin supaya pembaca mendapat maklumat mengenai periwayat hadis Rasulullah SAW.

Berita Harian Agama 2014/05/07 - 04:25:28 AM