May 8th, 2014

Tiada perasaan bersalah tinggalkan solat

Melihat fenomena zaman kini, begitu ramai orang yang bukan hanya daripada kalangan muda, tetapi juga sudah berumur di negara Muslim yang mengabaikan solat. Adakah masih ada pada zaman moden ini orang yang bersedih hati dan menangis melihat anak serta keluarga tidak solat?

Anas bin Malik ialah sahabat Rasulullah SAW yang terakhir wafat. Beliau mempunyai usia yang panjang (99 tahun) sehingga mengetahui ada orang mengabaikan solat selepas sekian lama Rasulullah SAW wafat.


Az-Zuhri berkata, “Saya datang kepada Anas bin Malik di Damsyik, kebetulan beliau sedang menangis. Lalu saya bertanya: Mengapa engkau menangis? Dia menjawab: Aku tidak tahu apa lagi amal yang aku dapati pada zaman Nabi Muhammad yang masih diambil berat orang sekarang selain solat itu pun sudah disia-siakan mereka.”

Ibu bapa tak hirau anak abai solat

Kenyataannya, apa yang berlaku dalam kebanyakan masyarakat kini bukan hanya sekadar tidak peduli, bersedih dan menangis, malah mereka (ibu bapa) tidak menghiraukan anak membiarkan waktu solat berlalu begitu saja tanpa melaksanakannya.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang satu generasi sesudah 60 tahun, mereka melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka orang ini akan menemui kecelakaan dan kerugian. Kemudian datang lagi satu generasi, mereka membaca al-Quran, tetapi hanya di mulut saja (tidak masuk ke hati), dan semua membaca al-Quran, orang Mukmin, munafik, jahat dan fasik (tidak dapat lagi dibezakan mana orang mukmin sejati dan mana orang yang berpura-pura beriman).” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Berita Harian Agama 2014/05/08 - 03:39:56 AM

Malu bukan penghalang wanita berjaya

Golongan beriman tahu menjaga kesucian diri lebih dihormati masyarakat

Setiap wanita harus bijak mengurus kehidupan sesuai dengan sifat malu yang tebal menghiasi peribadi mereka. Walaupun malu menjadi sebahagian daripada sifat 'wajib' wanita, ia tidak bermakna wanita tidak dapat melewati ruang khalayak jika sifat malu diurus dengan bijak.


Walau bagaimanapun, sifat malu yang sebenar bukanlah merujuk kepada rasa segan dan serba salah apabila bertemu orang lain atau apabila perlu tampil melakukan sesuatu di hadapan orang lain.


Tinggalkan perkara tercela

Malu sebenar adalah akhlak mulia yang mendorong seseorang meninggalkan perkara tercela.

Malu dalam Islam bukan semata-mata sifat wanita juga sepatutnya ada pada setiap lelaki. Sifat malu membawa kebaikan kepada manusia kerana daripadanya datang sifat mahmudah lain seperti taat perintah Allah SWT, sabar, menjauhi maksiat, pemaaf, belas kasihan, ikhlas, jujur dan amanah.

Rasulullah SAW bersabda: “Rasa malu tidak datang melainkan dengan kebaikan.” (Muttafaq alaih)

Orang yang merasa malu untuk melakukan dosa tidak semestinya orang yang selalu tersipu-sipu atau sentiasa segan silu, kerana rasa malu kepada Allah SWT tidak sama seperti rasa malu sesama manusia.

Hari ini rasa malu kepada manusia mengatasi rasa malu kepada Allah SWT. Manusia akan rosak dan binasa jika tiada rasa malu kerana aib melakukan dosa dan maksiat tidak cukup menjadi penghalang manusia daripada menjauhi larangan Allah SWT.

Wanita yang sentiasa berada dalam petunjuk agama pasti memiliki sifat menjaga kemuliaan diri. Walaupun sedang menghadapi kesulitan atau diduga dengan musibah, selain berusaha mengatasi masalah itu wanita harus sentiasa bersabar dan berlindung dengan maruah.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menjaga kesucian dirinya, maka Allah SWT akan menjaga kesuciannya. Siapa yang merasa cukup, maka Allah SWT akan memberikan kecukupan. Sesiapa yang berusaha untuk selalu bersabar, maka Allah SWT akan memberinya kesabaran. Dan tidak seorang pun yang diberikan sesuatu hal, yang lebih baik dan lebih luas dari kesabaran.” (Muttafaq alaih)

Mudah terperangkap bisikan syaitan

Apabila tidak sabar, disebabkan tiada rasa malu, wanita mudah terperangkap dengan bisikan syaitan yang sentiasa menggoda untuk melakukan perkara dilarang agama. Bukan sedikit wanita yang mempunyai masalah keluarga berkongsi masalah dengan orang yang tidak sepatutnya.

Ada pula yang memberi alasan mereka lebih percayakan rakan lelaki berbanding wanita, tanpa memikirkan sesuatu yang lebih buruk mungkin berlaku disebabkan kepercayaan itu. Mengikut panduan agama, orang terbaik untuk menyelesaikan masalah rumah tangga adalah yang paling dihormati dalam kalangan ahli keluarga.

Walaupun dalam keadaan yang lemah dan tiada daya, setiap wanita harus terus mempertahankan sifat malu serta menolak celaan yang mungkin timbul akibat melakukan perbuatan dilarang agama. Wanita harus ingat, lagi tebal sifat malu, lagi kuat iman mereka kepada Allah SWT.

Tetapi jika mereka mendakwa mempunyai sifat malu dan pada masa sama sangat mudah terperangkap dan diperangkap oleh syaitan durjana, sifat malu itu tidak lain hanyalah sifat malu kepada manusia semata-mata.

Ia bukan sifat malu yang menjadi sebahagian daripada cabang iman yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu terdiri dari tujuh puluh satu sampai tujuh puluh sembilan cabang, atau enam puluh satu sampai enam puluh sembilan cabang. Yang paling utama adalah ucapan ‘Laa Ilaaha Illallah’ dan yang terendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan malu juga adalah cabang iman.” (Muttafaq alaih)

Alangkah hebatnya wanita yang sifat malunya mengatasi kehendak dan keinginan sebagai manusia yang sentiasa lupa dan alpa. Malu menjadikan wanita perkasa di sisi Allah SWT, bahkan malu juga membuatkan wanita kuat menghadapi segala ujian dan dugaan dunia.

Malu yang hakiki tidak akan menjadikan wanita lemah, tetapi wanita sering kali memalukan diri sendiri dengan sikap tidak malu.

Berita Harian Agama 2014/05/08 - 03:44:56 AM Nik Salida Suhaila

Idam keluarga mithali

SETIAP manusia pastinya ingin berkahwin dan membina keluarga bahagia, aman damai dan menjadi contoh kepada orang ramai. Pada masa yang sama, berhasrat untuk mendapat zuriat yang ramai, ingin merasa mewah dan mengadakan segala kesenangan duniawi kepada ahli keluarga.

Membina sebuah rumah tangga dan keluarga adalah satu tanggungjawab yang besar kepada seorang suami dan isteri. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua daripada jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan. (an-Nisa': 1)

Ini diperkukuh melalui hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya." (riwayat Abu Daud, Kitab Nikah, vol2, 2544).

Oleh kerana syarat utama perkahwinan ialah kemampuan daripada segala segi termasuk kemampuan fizikal, mental dan kerohanian, maka sebelum berkahwin, persediaan diri perlu dilakukan. Tentunya apabila akad nikah dilafazkan, seorang lelaki perlu sedar bahawa dia telah membuat ikrar dengan nama Allah SWT untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Suami mempunyai tanggungjawab yang besar dalam pembinaan sebuah keluarga yang mithali atau keluarga yang boleh menjadi contoh kepada semua orang. Dalam sebuah keluarga mithali, perlu ada kasih sayang atau yang biasa disebut sebagai mawaddah wa rahmah.

Ini kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan di antara mu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (al-Rum: 20)

Rumah tangga bukan sahaja perlu berkasih sayang malah ia mestilah sebuah rumah tangga yang sakinah iaitu ketenangan dan ketenteraman jiwa. Perkataan sakinah ini disebut sebanyak enam kali di dalam al-Quran, iaitu pada surah al-Baqarah: 248, at-Taubah: 26 dan 40, al-Fath: 4, 18 dan 26.

Sakinah

Dalam ayat-ayat tersebut dijelaskan bahawa sakinah itu didatangkan oleh Allah SWT ke dalam hati para nabi dan orang-orang yang beriman agar tabah dan tidak gentar menghadapi tentangan, rintangan, ujian, cubaan, ataupun musibah.

Jika diamati, sebuah keluarga mithali perlu ada kasih sayang dan hidup bersayang-sayangan serta aman, damai lagi bahagia. Benarlah kebahagiaan itu sesuatu yang sangat subjektif tetapi kebahagiaan itu terletak di hati sunabari seseorang.

Jika seorang suami, apabila melihat wajah isterinya ia merasa tenteram, sejuk dan damai tentulah isteri itu isteri yang amat dicintainya, seterusnya daripada kehidupan tersebutlah akan melahirkan sebuah keluarga yang mithali.

Penterjemahan keluarga mithali ini hanya boleh dilihat daripada raut wajah pasangan serta bagaimana anak-anak mereka dibesarkan. Jika pasangan suami isteri itu berkahwin atas dasar cinta tetapi selepas berkahwin mereka sering bertengkar sehinggakan rumah tangga itu tiada sakinahnya!

Hari ini jika 77 pasangan bernikah setiap satu jam, tiga daripadanya berakhir dengan perceraian. Saya tidak gusar melihat statistik perceraian ini kerana jumlah berkahwin bagi setiap jam adalah sangat tinggi. Ini bermakna orang Islam di Malaysia tidak bersekedudukan tanpa nikah dan melihat perkahwinan sebagai institusi penting yang menghalalkan hubungan seksual antara lelaki dan perempuan serta untuk mendapat zuriat bagi kelangsungan umat Islam.

Begitu pun, dalam 74 pasangan yang tidak bercerai itu, adakah perkahwinan mereka itu perkahwinan yang mawaddah wa rahmah? Adakah perkahwinan mereka itu perkahwinan yang sakinah? Jika diamati, banyak perkahwinan hari ini yang tidak bercerai tetapi tidak bahagia.

Tanggungjawab ketua keluarga

Saya pernah terlibat menemubual penerima anugerah Ibu Mithali peringkat Kebangsaan beberapa tahun lalu. Semasa menemubual calon finalis itu ada banyak ilmu yang bermanfaat yang telah saya peroleh daripada mereka dalam membina sebuah keluarga yang mithali atau sakinah ini.

Hakikatnya, ia sangat bergantung kepada ketua keluarga iaitu bapa sebagai nakhoda kapal yang sangat penting dalam menentukan hala tuju kapalnya. Jika keluarga itu dianggap seperti sebuah kapal yang mahu belajar, semua itu akan bergantung kepada ketuanya iaitu nakhoda, sama ada kapalnya berjalan laju tanpa berhenti di mana-mana kerana jalan yang dituju masih jauh tetapi kapal itu cukup kelengkapan untuk berlayar begitu lama.

Ada kapal singgah menyinggah di beberapa pelabuhan untuk mengisi minyak, mendapat bekalan makanan dan lain-lain. Ada juga kapalnya bocor, ada yang hampir karam dan ada yang memerlukan bantuan untuk terus belajar.

Begitulah juga dengan kehidupan rumah tangga. Perkara asas yang wajib diketahui oleh seorang lelaki ialah apakah ciri-ciri ketua keluarga yang dia perlu ada dan bagaimana ia boleh memastikan keluarga yang diterajuinya menjadi keluarga mithali. Insya-Allah, topik ini akan saya bincangkan pada artikel berikut nanti. Utusan Bicara Agama 20140507

Sengketa menantu, mertua

TERLALU berat hati untuknya pulang ke kampung kali ini. Selama ini Lina hanya mendiamkan diri dan memendam rasa. Namun Lina cuba pujuk hati. Keserasian ibu mertua dan menantu ada kala memerlukan masa untuk saling mengenali antara satu sama lain. Lina juga akur, bukan mudah bagi seorang ibu mertua menerima ‘orang luar’ untuk masuk ke dalam keluarganya yang mempunyai budaya dan cara didikan yang cukup berbeza.

Namun perlakuan ibu mertua sejak dia berkahwin dengan Amri, tidak pernah berubah. Ada sahaja yang tidak kena di mata ibu mertuanya. Ada sahaja kesalahan yang dikaitkan dengan dirinya. Seolah-olah kehadirannya dalam keluarga tersebut tidak dialu-alukan. Cukup membuatkan Lina terasa tatkala dia melahirkan anak sulungnya, Muhammad Aqil. Sangkaan Lina, kehadiran Muhammad Akil akan membuatkan perasaan ibu mertua terhadapnya akan berubah. Tapi tidak! Sangkaannya meleset.

Kehadiran Muhammad Akil dalam keluarga tersebut seolah-olah tidak mendatangkan apa-apa makna. Ibu mertuanya hanya sekadar menjenguknya di hospital dan pada hari yang sama pulang semula ke kampung. Amri cuba memujuk Lina agar tidak ambil hati dengan sikap ibunya, selain memberikan pelbagai alasan.

Lina hanya tersenyum. Tidak mahu menambah lagi rasa kecewa Amri kepada sikap ibunya. Kenduri di kampung lebih penting daripada meraikan cucunya! Itulah sikap ibu mertuanya. Berbeza dengan layanan ‘luar biasa’ yang diterima menantu kedua yang melahirkan anak pertama. Di mana ibu mertuanya sanggup menjaga mereka dua beranak.

Malah, sikap benci ibu mertuanya itu jelas dipamerkan setiap kali Lina balik ke kampung untuk menziarahinya. Bahkan pernah terkeluar daripada mulut ibu mertuanya, agar Lina tidak bersusah payah untuk menjenguknya. Katanya, dia masih sihat dan tidak perlu diziarahi. Bahkan katanya lagi, menantu-menantu yang lain sudah cukup untuk menziarahinya.

Lina akur dia tidak ‘sehebat’ menantu-menantu yang lain, berpendapatan tinggi dan kerjaya hebat. Apatah lagi bila balik ke kampung, berkepul duit ungu diberikan kepada ibu mertua. Lantas tersenyum lebarlah si ibu mertua.

Tapi Lina tidak dapat berbuat begitu. Dia tidak bekerja. Sebaliknya hanya mengharapkan duit suami. Justeru, apabila balik ke kampung, Lina hanya mampu memberikan ibu mertuanya dengan buah tangan berupa kuih muih dan jika ada rezeki lebih, menghulur barangan keperluan dapur. Tapi itu masih tidak dapat ‘membahagiakan’ hati si ibu. Lina dapat merasakan, ibunya akan rasa gembira andai dia dapat memberikannya ‘buah tangan’ berupa ‘salam berkaut’. Waktu itu mungkin hati si ibu ‘berbunga-bunga’. Tapi Lina tidak mampu!

Amri cuba memujuknya bahawa suatu hari nanti sikap ibunya akan berubah. Tapi, lima tahun sudah berlalu. Sikap ibu mertua kepadanya masih tidak berubah.

Malam itu Lina nekad. Dia mahu Amri tahu bahawa hatinya sudah cukup terguris dengan penerimaan ibunya terhadap dirinya dan anak-anaknya. Ibu mertuanya sering membeza-bezakan dirinya dengan menantu yang lain. Begitu juga layanan si ibu mertua terhadap anak-anaknya.

Sering kali anaknya melihat neneknya memberikan hadiah kepada sepupu-sepunya tapi tidak pada mereka. Dan anak-anaknya sering bertanya kenapa neneknya berbuat demikian. Apa lagi yang mahu Lina beritahu kepada anak-anaknya? Yang pasti, malam itu Lina mahu Amri tahu, itulah kali terakhir dia akan menjejakkan kakinya ke kampung Amri. Kalau Amri mahu balik menjenguk ibunya, biarlah dia balik seorang. Tidak perlulah Amri bersusah payah pula menjaga perasaan Lina bila ada sahaja perbuatan ibu mertuanya yang tidak disenangi. Namun Lina tidak tahu, apakah itu tindakan bijak yang perlu diambil?   Utusan Bicara Agama 20140507

Seni bacaan al-Quran

Ketika ini kebanyakan negeri di Malaysia telah mempunyai calon qari dan qariah untuk mewakili negeri ke musabaqah peringkat kebangsaan. Kemeriahan membaca al-Quran dalam kalangan qari secara bertarannum amat dirasai peminatnya.



Bakat yang ada pada pembaca al-Quran bukanlah lesen untuk membaca al-Quran tanpa guru. Seni bacaan al-Quran perlu kepada latihan dan tunjuk ajar yang berterusan daripada guru yang berkebolehan.

Kebiasaannya, guru akan memberi tunjuk ajar cara bertarannum dengan kesesuaian makna ayat. Jika ayat yang dibaca adalah berkaitan azab sudah tentu tarannum yang dialunkan juga adalah bernada sedih. Manakala, sekiranya kandungan ayat bermaksud gembira yang berupa nikmat syurga atau kemenangan sudah tentu nada tarannumnya bersifat ceria dan gembira.

Begitu pun terdapat juga qari yang menekankan lagu semata-mata tanpa melihat kepada maksud ayat. Maka berlakulah ayat yang bermaksud azab dibaca dengan nada gembira dan ayat yang bermaksud nikmat syurga dibaca dengan sedih.

Ulama Quran sejak dulu lagi selalu berbincang tentang keharusan membaca al-Quran secara bertarannum. Ada yang mengharuskan dan ada yang melarang. Ia menjadi harus jika sekiranya semua kaedah lagu dibaca dengan mengikut hukum tajwid. Ini bermaksud semua lenggok suara atau disebut burdah dibaca tidak melebihi harakat dalam ilmu tajwid.

Timbul permasalahan apabila ada penceramah yang membaca satu hadis yang bermaksud orang pertama yang dibicarakan pada hari akhirat ialah pembaca al-Quran, ditanya apakah yang kamu buat? Dijawab aku belajar ilmu dan membaca al-Quran. Malaikat menjawab, kamu dusta, kamu belajar ilmu untuk dikatakan kamu seorang yang alim dan kamu membaca al-Quran untuk dikatakan kamu seorang qari. Lalu dia dihumbankan ke dalam neraka.

Pencerahannya ialah hadis riwayat al-Nasaei dalam sunannya itu perlu dibaca secara keseluruhan. Hadis tersebut bermula dengan lelaki yang syahid yang ditanya bagaimana matinya lalu dijawab. Malaikat berkata kamu dusta tetapi kamu berjuang untuk dikatakan berani dan dia dihumban ke dalam neraka. Kedua lelaki yang belajar ilmu dan al-Quran dan ketiga, lelaki yang dikurniakan harta yang banyak ditanya bagaimana kamu beramal. Lelaki tersebut menjawab aku berinfak di semua tempat. Malaikat menjawab kamu dusta, kamu berinfak untuk dikatakan pemurah dan dia dihumban ke dalam neraka.

Ketiga-tiga lelaki di dalam hadis ini mempunyai niat yang tidak ikhlas kepada Allah. Walaupun mereka beramal dengan amalan yang baik tetapi niat mereka tidak ikhlas dengan melakukan untuk tujuan nama, bermegah dan dipuji oleh makhluk.Justeru, amalan mereka tidak diterima.



DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Bicara Agama 20140507

LZS didik mualaf berdikari

MUALAF adalah daripada perkataan Arab, iaitu allafa yang berarti berjinak-jinak atau berminat (mempunyai minat), maka mualaf diertikan sebagai orang yang mempunyai minat atau dilunakkan hati mereka kepada Islam. Zaman silam, dikhabarkan Nabi Muhammad SAW pernah membahagikan harta rampasan perang kepada orang-orang yang mempunyai kecenderungan kepada Islam, sehingga akhirnya mampu menarik mereka memeluk Islam.


Abdullah bin Zaid dan Anas bin Malik melaporkan bahawa Rasulullah SAW membahagi-bahagikan harta rampasan perang selepas kemenangan dalam perang Hunain. Mereka menyatakan Baginda SAW telah memberi harta kepada orang yang hendak dipujuk hatinya (orang yang baru masuk Islam atau orang-orang yang berminat kepada Islam), hadis riwayat Imam Muslim.

Mutakhir ini, di Malaysia amnya dan di Selangor khususnya, cabaran menguruskan mualaf bukan lagi suatu yang enteng. Ini kerana, dakyah daripada pelbagai pihak terus berjalan dan tidak kurang, ada usikan nakal yang memomokkan Islam sebagai agama yang menjulang keganasan, turut merosakkan citra Islam. Kemunculan Islamofobia di Barat juga, sedikit sebanyak ada kesannya kepada umat manusia di belahan dunia yang lain, termasuklah di Malaysia.

Maka, inilah cabaran yang perlu digalas dengan penuh komitmen oleh umat Islam, khususnya organisasi yang sewenang-wenang untuk menjernihkan semula kekeruhan tajaan musuh-musuh Islam itu. Di sini jugalah peranan yang perlu dimainkan oleh institusi zakat perlu diangkat, kerana memang di dalam Islam, zakat amat erat perkaitannya dengan dakwah kepada non-Muslim.

Maka di Selangor, kalangan mualaf ini terus disantuni secara saksama dan proaktif oleh pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS). Malah, urusan menyantuni golongan mualaf ini turut dilakukan secara teratur dengan kewujudan Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (BPI-MAIS) sejak 2005. Pihak BPI-MAIS ini bertanggungjawab menguruskan pendaftaran, kebajikan dan pendidikan mualaf, juga penyebaran dakwah kefahaman Islam kepada non-Muslim serta memberi bimbingan ibadah kepada pesakit di hospital.

Kebajikan

Mereka yang memeluk Islam dan usia keislamannya di bawah lima tahun, maka BPI-MAIS akan memastikan keperluan mereka dipenuhi, khususnya bagi kalangan mualaf yang rendah sosioekonominya. Malah setiap pengislaman saudara baru, maka mereka akan diberikan elaun bulanan sebanyak RM500 seorang dan diwajibkan mengikuti kelas bimbingan secara teratur. Dengan adanya pakej bantuan seperti ini, ia bukan sahaja mampu lebih memesrai golongan mualaf, malah membuktikan bahawa kebajikan mereka sangat diutamakan sesuai dengan kondisi mualaf sebagai asnaf keempat dalam hierarki lapan asnaf zakat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah-sedekah itu (zakat) ialah untuk golongan fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil, ia adalah satu ketetapan daripada Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 60)

Seterusnya, selepas usia keislaman mereka lima tahun, maka tugas menyantuni mereka akan disambung pula oleh LZS. Seandainya selama lima tahun pertama keislamannya mereka disantuni di bawah nama asnaf mualaf, maka selepas lima tahun LZS akan menyantuni mereka sesuai dengan kondisi semasa mereka pada waktu itu.

Misalnya, jika mereka masih tergolong sebagai orang yang lemah sosioekonominya, maka LZS akan memberikan bantuan di bawah nama asnaf miskin dan jika mereka mahu melanjutkan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi, mereka boleh disantuni di bawah asnaf fisabilillah.

Sebenarnya, masih banyak jalan yang boleh dan perlu diterokai oleh LZS demi memperkasakan jati diri kalangan mualaf ini. LZS sedar, kejayaan mereka sebenarnya mampu memberikan impak sangat positif kepada agama Islam itu sendiri. Maka, LZS akan terus berusaha, semoga status mualaf yang disandarkan Allah SWT kepada kalangan ini, akan ditatang dengan saksama, diberikan haknya dan dibangunkan jiwanya agar terus membara demi Islam tercinta.

Atas maksud berkenaanlah, pergerakan badan-badan dakwah atau badan bukan kerajaan (NGO) Islam turut dibantu oleh LZS dengan disalurkan dana kepada mereka, agar dakwah kepada non-Muslim dapat terus digerakkan. Wallahua’lam. HAMIZUL ABDUL HAMID Utusan Bicara Agama 20140508

Malaysia ialah negara Islam

SEJAK kebelakangan ini persoalan ditimbulkan, apakah yang akan berlaku jika Malaysia menjadi sebuah negara Islam? Soalan tersebut sebenarnya bersifat semantik kerana jawapannya bergantung kepada definisi negara Islam itu sendiri. Sebahagian ulama sudah melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Tetapi ada sebahagian lain mengatakan tidak dan perlu melakukan lebih untuk menjadi sebuah negara Islam. Namun yang pasti, Malaysia bukan negara sekular.


Sekularisme adalah “prinsip pemisahan institusi kerajaan dan orang yang diberi mandat untuk mewakili kerajaan daripada institusi-institusi agama dan pengamalan agama. “Dalam sebuah negara sekular, agama tidak dan tidak perlu memainkan peranan dalam pentadbiran negara. Dalam sebuah negara sekular sepatutnya tidak ada apa-apa keutamaan atau prasangka dilakukan terhadap mana-mana agama.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam juga jelas dinyatakan sebagai agama bagi semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak. Islam tidak sekadar disebut sebagai agama ‘rasmi’ tetapi ‘agama bagi Persekutuan’. Tidak ada perkataan ‘rasmi’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah perkataan “sekular" juga tidak ditemui di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tolak sekularisme

Apatah lagi, jika kita meneliti Laporan Suruhanjaya Reid kita akan memahami bahawa sekularisme telah ditolak ketika suruhanjaya tersebut merangka Perlembagaan Persekutuan. Walaupun telah dicadangkan oleh Parti Perikatan bahawa Perlembagaan harus mengandungi peruntukan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negeri, mengesyorkan perlu dijelaskan dalam peruntukan yang perisytiharan itu tidak akan mengenakan apa-apa hilang upaya kepada rakyat bukan Islam dalam menganut, menyebarkan dan mengamalkan agama mereka dan ia tidak akan menghalang negeri ini daripada menjadi negara sekular.

Cadangan tersebut telah diterima pakai keseluruhannya dalam Perkara 3 (1 ) Perlembagaan Persekutuan kecuali satu. Tidak ada susunan kata yang nyata yang menetapkan bahawa pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan “tidak akan menghalang kerajaan daripada menjadi negara sekular." Perkara 3 (1) berbunyi, ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.’ Ia hanya berhenti di situ.

Oleh yang demikian, pengiktirafan Perlembagaan kepada pelbagai entiti Islam dan badan-badan seperti mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama Islam yang diberi kuasa-kuasa yang jelas untuk menjalankan hal ehwal umat Islam adalah sejajar dengan semangat kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.

Malaysia tidak pernah memisahkan negeri dan agama. Malaysia telah membuat pilihan yang secara terang-terangan untuk Islam dengan mewujudkan dan mengiktiraf institusi agama yang mempunyai kuasa untuk mengawal selia perjalanan majoriti rakyat. Malaysia tidak pernah menjadi negara sekular dalam erti kata sebenar.

Sudah sampai masanya kita berhenti menakutkan dan melakukan kepungan minda dengan menyalah arah diri, menyatakan Malaysia akan berubah dari negara sekular kepada negara Islam kerana Malaysia tidak pernah menjadi negara sekular.

Kebanyakan undang-undang kita sudah Islam tanpa ia dinamakan Islam kerana prinsip tidak bertentangan dengan Islam itu.

Salah faham

Ramai orang tidak faham apa yang dimaksudkan undang-undang jenayah Islam. Terdapat salah faham bahawa undang-undang jenayah Islam adalah hudud sahaja. Undang-undang jenayah Islam sebenarnya merangkumi qisas dan juga taazir.

Qisas merupakan suatu kesalahan yang hukumannya adalah berdasarkan timbal balik. Taazir pula merupakan kesalahan kerajaan membuat mereka sebagai kesalahan yang termasuk kesalahan trafik, kesalahan-kesalahan terhadap tidak bermoral dan kesalahan-kesalahan lain yang tidak termasuk di bawah hudud atau qisas .

Kebanyakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang jenayah yang lain merupakan kesalahan taazir .

Di samping itu, Undang-undang Syariah tidak hanya melalui undang-undang jenayah. Terdapat juga sistem lain seperti perbankan dan kewangan, undang-undang keterangan, hisbah, pentadbiran keadilan, kepimpinan, hubungan antara manusia dan makhluk lain dan hubungan antara manusia dan Allah. Ini juga termasuk dalam bidang syariah.

Kita perlu melihat mereka daripada lensa yang lebih makro, tidak hanya terhad kepada undang-undang jenayah. Dalam sistem perundangan selari yang telah wujud sejak sebelum merdeka lagi, tiada banyak pertentangan antara sistem syariah dan sivil ini melainkan dapat aspek-aspek yang begitu kecil. ZAINUL RIJAL ABU BAKAR Utusan Bicara Agama 20140508

Dunia jika tanpa Islam

TIDAK dinafikan, kejayaan Barat dalam memonopoli pelbagai bidang termasuk ilmu pengetahuan, teknologi dan ekonomi pada masa kini telah meletakkan mereka sebagai negara kuasa besar dunia.


Malah, menjadi fenomena yang dibanggakan jika terdapat dalam kalangan kita yang berjaya melanjutkan pelajaran atau berkhidmat di negara yang dianggap pencetus kepada pembaharuan tamadun dunia itu.

Sehinggakan secara tidak disedari, hakikatnya Islam yang telah mencipta tamadun dengan lahirnya ribuan ulama dan ilmuwan dalam pelbagai bidang seperti teologi, falsafah, sains dan teknologi mula terhakis secara perlahan-lahan dalam minda manusia.

Bahkan, semasa tamadun Islam berada di dalam era kegemilangannya iaitu pada abad pertengahan sehingga abad ke-14 Masihi, Barat masih lagi dalam zaman kegelapan. Barat ketika itu masih memusuhi sains dan melihat sains sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Sarjana Barat juga didakwa giat berguru dengan ulama Islam seperti yang didedahkan oleh seorang penulis, Turki Fuat Sezgin, yang menerbitkan karyanya bertajuk Geschichte des Arabischen Schrifttums.

Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah memperkenalkan tamadun bermaksud sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau kota atau wilayah dan tanah pertanian yang akhirnya merintis kemajuan, kemakmuran dan pencapaian yang bersumberkan agama.

Peradaban manusia

Menyokong perkara itu, pendakwah antarabangsa, Dr. Isam Rajab berkata, kemajuan dan peradaban manusia berkemungkinan tidak akan sehebat pada hari ini jika tanpa sumbangan dan panduan agama Islam.

Ia katanya, selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan perihal akhlak dan keperibadian manusia yang bermula daripada dalam diri setiap individu.

Justeru, tambahnya, garis panduan dan didikan bermula daripada akar umbi yang telah ditetapkan oleh Islam secara tidak langsung menjadikan tamadun manusia bertambah maju dan berkembang pesat sehingga ke hari ini.

“Islam menganjurkan kepada umatnya untuk bersaudara. Ia bermaksud kita dituntut untuk saling kenal-mengenali dan tolong-menolong antara sesama manusia, bukan hanya menjaga kepentingan diri sendiri atau membuat urusan sendiri.

“Islam juga menitikberatkan soal keadilan bagi menjadikan manusia sentiasa akan merasa selamat dan terpelihara tidak kira sebarang sentimen atau sebab. Islam telah menyediakan undang-undang yang Allah SWT jelaskan menurut al-Quran untuk menghukum pesalah dan membela kebenaran.

“Selain itu, pendustaan, hasutan dan fitnah sangat ditegah di dalam Islam. Perkara yang disuruh dan dilarang menurut Islam ini semuanya mempunyai hikmah yang diperintahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada wacana Why People Need Islam: Now More Than Ever yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia di TTDI, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, kegagalan manusia dalam mengikuti garis panduan yang dianjurkan oleh Islam itu menjadikan manusia hidup dalam kucar-kacir dan dalam ketakutan, sekali gus membantutkan perkembangan tamadun dan kemajuan manusia.

“Manusia akan hidup dalam kegelapan. Sentiasa dalam ketakutan, rasuah, penipuan dan maksiat bermaharajalela di muka bumi ini. Ia apabila tiada lagi keadilan, kejujuran dan nilai kemanusiaan dalam diri seseorang.

“Kesannya, peradaban manusia akan semakin kucar-kacir dan tidak seimbang. Yang kaya akan terus hidup mewah, manakala golongan miskin terus ditindas dan tidak menikmati kebahagiaan hidup," jelasnya.

Kehadiran Islam

Kehadiran agama Islam katanya, memberikan kebahagiaan kepada manusia dan penyelesaian kepada segala masalah dengan hanya merujuk kepada al-Quran dan sunnah.

Memberi contoh kejayaan pemerintahan Islam pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, Rajab berkata, umat Islam hidup dalam kemewahan sehingga tiada siapa yang layak untuk menerima zakat.

Ia berikutan, kebijaksanaan pemerintah pada masa itu yang bertakwa dan berpegang teguh kepada Allah SWT dengan melaksanakan pemerintahan berlandaskan Islam.

“Yuran pendidikan adalah percuma, insurans, ansuran kenderaan dan rumah juga boleh dihapuskan sekiranya umat Islam yakin dan berpegang teguh dengan kaedah ekonomi Islam. Seperti yang diamalkan pada pemerintahan Islam terdahulu yang mengutamakan konsep wakaf.

“Bukan itu sahaja, malah manusia tidak perlu bimbang masalah sosial dan jenayah yang berlaku apabila ajaran Islam menjadi garis panduan amalan harian kita," katanya. MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Bicara Agama 20140508