May 13th, 2014

Peniaga alam maya perlu amanah promosi produk

Contohi empat sifat Rasulullah dalam berurus niaga raih rezeki berkat

Menjadikan keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama perniagaan, peniaga mampu melakukan perkara terpuji dalam perniagaan dan pastinya perniagaan mereka mendapat keberkatan serta bertambah maju.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang Mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, ayat 111)


Ikut sunah Rasulullah SAW

Sebagai peniaga, kita seharusnya mengikut sunah junjungan besar Rasulullah SAW dalam mengendalikan perniagaan. Oleh itu, empat sifat Rasulullah iaitu siddiq (benar), amanah (jujur), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijak) perlu ada dalam diri peniaga.

Peniaga yang bertanggungjawab sentiasa mengamalkan sifat siddiq dan menjauhi tipu helah dalam perniagaan. Ada sesetengah peniaga sanggup menipu pelanggan disebabkan sifat tamak. Islam menegah peniaga mengeksploitasi pelanggan semata-mata untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan cukupkanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil.” (Surah al-An‘am, ayat 152)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.” (Surah Hud, ayat 84)

Sifat amanah Rasulullah SAW menjadikan Baginda seorang yang dihormati orang ramai kerana Baginda tidak pernah menyakiti hati dan tidak pernah tidak jujur dengan pelanggannya ketika berniaga. Hal ini diakui mereka yang pernah berurusan dengan Baginda SAW.

Peniaga tidak boleh membohongi, mengkhianati pelanggan serta menjual barangan dengan harga terlalu tinggi. Sekarang ini banyak perniagaan dijalankan secara online yang mana peniaga dan pembeli menjalankan urusan secara dalam talian.

Justeru, peniaga perlu memastikan barangan dijual menepati ciri diiklankan dari segi spesifikasi serta kualitinya. Pelanggan menaruh kepercayaan dan mengharapkan peniaga amanah dalam proses jual beli itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah an-Nisa, ayat 58)

Usah tipu pelanggan

Mempromosikan perniagaan kepada masyarakat pengguna selain jujur dan amanah, perlu dilakukan dengan cara yang betul. Jelaskan produk atau perkhidmatan dengan tepat, jangan menipu sekadar untuk meyakinkan pelanggan.

Peniaga juga dianjurkan beramal dengan sifat fatanah iaitu bijak menguruskan perniagaan. Sentiasa mempertingkatkan diri dengan ilmu keusahawanan supaya tahu cara memulakan serta menguruskan perniagaan dengan bijak dan berkesan.

Bijak urus perniagaan

Bidang perniagaan juga banyak persaingan, jadi peniaga perlu bijak jika mahu perniagaan mereka bertahan. Berhati-hati apabila ingin berurusan atau menjalinkan kerjasama supaya tidak tertipu hingga menyebabkan kita kerugian.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ceburilah bidang perniagaan kerana di dalamnya terdapat sembilan persepuluh sumber rezeki.” (Riwayat al-Tirmizi).

Setiap peniaga perlu memahami pembabitan mereka dalam bidang perniagaan adalah ibadah. Pada masa sama, mereka hendaklah memastikan etika perniagaan Islam serta mencontohi sifat Rasulullah SAW dalam bermuamalah.

Berita Harian Agama 2014/05/13 - 03:59:32 AM Nur Syamimi Muhamad Shahimi

Jangan jadikan kerjaya penghalang hargai ibu

Anak diwajibkan mentaati dan menggembirakan hati ibu pada setiap masa. Alangkah beruntungnya ibu yang sentiasa didoakan kesejahteraan oleh anaknya seperti mana ibu yang tidak pernah putus mendoakan kebaikan kepada anaknya.

Doa ibu mustajab sementara bagi hubungan ibu dan anak tidak akan terputus, malah yang kekal bagi ibu adalah doa anaknya walaupun selepas ketiadaannya nanti.

Dunia ini hanya persinggahan sementara, tetapi amalan kita berkekalan hingga ke akhirat. Justeru, pastikan setiap amalan khususnya yang dapat menggembirakan hati ibu dilaksanakan secara istiqamah.


Berkorban untuk ibu

Ibu sanggup berkorban harta dan nyawa untuk anak dan sepatutnya, begitu jugalah anak berkorban untuk ibu. Khususnya kepada yang sudah bergelar ibu, pasti memahami perasaan ibu yang kini sedang melalui usia tua mereka.

Firman Allah SWT: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungkannya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf, ayat 5)

Anak lelaki lebih-lebih lagi perlu memainkan peranan mereka kerana tanggungjawab memelihara kebajikan ibu bapa tidak terputus walaupun selepas mereka berumah tangga. Perkara ini sering dipandang remeh golongan lelaki.
Seorang anak soleh akan cuba menjadi suami yang baik dan pada masa sama, mengekalkan status anak yang taat kepada ibu bapanya. Janganlah mereka termasuk dalam golongan yang sanggup membuang ibu bapa kerana mementingkan diri.

Jika suami adalah anak yang taat, semestinya isterinya akan menjadi menantu solehah hasil didikan suami. Isteri juga diingatkan supaya tidak menghalang suami taat kepada ibu bapa mereka sebaliknya perlu faham kedudukan suami serta tanggungjawabnya terhadap kedua-dua orang tuanya.

Banyak kisah mengenai anak derhaka dipaparkan dan dijadikan plot drama sebagai peringatan kepada anak supaya tidak melakukan penderhakaan yang serupa. Jadikan kisah sedih itu sebagai pengajaran supaya kita terselamat daripada kemurkaan Allah SWT.

Tidak dinafikan tuntutan tugas ada kala menjadi penghalang kepada anak untuk menziarahi ibu bapa, tetapi hubungan mesra masih boleh dijalinkan melalui komunikasi yang canggih. Manfaatkan kehebatan teknologi untuk memastikan hubungan kekeluargaan berkekalan.

Ramai menyatakan setiap hari adalah hari ibu, tetapi realitinya, tidak semua berkesempatan meraikan ibunya setiap hari terutama bagi yang sudah mempunyai keluarga sendiri. Maka, tidak salah jika hujung minggu atau kesempatan pulang ke kampung dijadikan hari istimewa menghargai ibu.

Berkumpul pada hari istimewa seperti sambutan hari ulang tahun kelahiran ibu juga boleh menjadi hari istimewa seluruh ahli keluarga. Banyak cara untuk menghargai ibu dan anak perlu kreatif membuatkan ibu berasa diri istimewa serta sentiasa dihargai.

Tiada alasan tidak membahagiakan ibu

Kesimpulannya, tidak ada alasan untuk tidak membahagiakan ibu kerana hendak seribu daya, tidak hendak, banyaklah dalihnya. Jika anak tahu besarnya pahala hanya menatap wajah ibu, pasti mereka akan sentiasa mencari peluang menziarahi ibu mereka.

Jangan jadikan kerjaya sebagai penghalang kerana kebahagiaan serta doa ibu boleh menyumbang kepada kebahagiaan dan kejayaan seseorang anak. Berita Harian Agama 2014/05/13 - 03:56:33 AM Siti Ainun Muhamed

Aura Rejab

KITA telah memasuki bulan Rejab jika mengikut kiraan kalendar tahun Hijrah. Bulan Rejab cukup sinonim dalam masyarakat dengan kelebihan-kelebihan yang terkandung di dalamnya. Ada di antaranya yang sahih dan ada pula yang tidak benar dan boleh dipercayai. Pendek kata, bulan Rejab mempunyai auranya tersendiri kerana ia bulan yang mana umat Islam hampir dengan bulan Ramadan yang mulia.


Antara kelebihan bulan Rejab yang sahih ialah ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram iaitu bulan yang mana tidak dibenarkan berperang melainkan jika mahu membela diri iaitu ketika diperangi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.(al-Taubah:36)

Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini membawakan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim di mana Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa empat bulan yang dimuliakan ini ialah bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab."

Ulama Mazhab as-Syafie dan sebahagian besar ulama berpendapat bahawa dosa-dosa digandakan pada bulan haram ini berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati."

Begitu pun sejarah menunjukkan bahawa pemalsuan dan penipuan sering sahaja berlaku dalam hadis. Banyak faktor-faktor yang menjadi punca berlakunya perkara ini. Antaranya kerana ingin menyuntik semangat untuk beramal soleh. Hadis-hadis berkaitan bulan Rejab juga tidak terlepas daripada tempiasnya.

Oleh itu ramai ulama hadis telah menjelaskan kepalsuannya sejak dahulu lagi. Antaranya ialah Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, seorang imam dalam bidang hadis bermazhab Syafie. Beliau telah menjelaskan secara khusus perihal hadis-hadis fadhilat bulan Rejab dalam kitabnya Tabyin Al-Ajab bima warada fi Fadli Rajab.

Beliau menyebutkan: “Tidak ada riwayat yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab, tidak ada juga tentang puasa Rejab, puasa pada hari tertentu di bulan Rejab, dan qiamullail (solat malam) pada malam tertentu."

Hadis palsu

Sebanyak 38 hadis-hadis berkaitan fadhilat bulan Rejab dimuatkan dan dinyatakan kelemahannya oleh beliau, termasuklah hadis-hadis fadhilat Rejab yang biasa berlegar dalam kalangan masyarakat kita.

Antaranya hadis yang menyebutkan bahawa apabila masuk bulan Rejab, Nabi Muhammad SAW akan berdoa: “Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan."

Hadis ini telah dinilai lemah oleh ramai pengkritik hadis antaranya Imam al-Bukhari, Abu Hatim, al-Baihaqi dan ramai lagi. Namun doa ini boleh diamalkan andai tidak menyatakan ia hadis Nabi SAW.

Seterusnya Ibnu Hajar al-Asqalani juga membawakan riwayat yang menyebutkan: “Sesungguhnya bulan Rejab bulan yang mulia. Sesiapa yang berpuasa sehari di dalamnya maka Allah menuliskan pahala berpuasa 1000 tahun." Riwayat ini tidak ada asal usulnya. Hanyalah rekaan semata-semata sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar dan Imam Ibnu Jauzi yang mempunyai kitab khusus mengumpulkan hadis-hadis palsu.

Kita juga sering kali mendengar riwayat yang menyebutkan: “Rejab ialah bulan Allah, Syaaban ialah bulanku dan Ramadan ialah bulan umatku." Ia juga turut disebutkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani sebagai salah satu hadis palsu yang sering tersebar dalam kalangan masyarakat.

Hadis ini dinilai palsu kerana salah seorang penyampai hadis ini bernama Ali bin Abdullah bin Jahdham terkenal sebagai seorang yang sering memalsukan hadis. Ulama lain, seperti Imam Ibnu Jauzi, az-Zahabi dan as-Syaukani turut menyatakan ia palsu.

Banyak lagi hadis-hadis palsu berkaitan bulan Rejab tersebar luas baik di media massa atau lisan manusia. Pemalsuan hadis merupakan suatu jenayah besar yang mampu merosakkan umat Islam dan mencampakkan diri pelakunya ke dalam neraka. Sekalipun niat mereka baik seperti ingin mengajak manusia ke arah kebaikan atau menambah semangat untuk beramal soleh dan meninggalkan maksiat, namun tindakan mereka-reka hadis tidak dibenarkan Islam sama sekali.

Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kalian berdusta atas namaku. Sesiapa yang berdusta atas namaku pasti akan masuk neraka. (Muqaddimah Sahih Muslim) Moga kita berhati-hati dalam beramal dan tidak terlibat dengan hadis palsu.

MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR sedang mengikuti pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah ‘Alamiyyah Gombak. Utusan/Bicara_Agama/20140513

Sumbangan besar Perkim

PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ialah pertubuhan yang melaksanakan aktiviti dan dakwah berteraskan kebajikan kepada semua kaum tanpa mengira agama dan bangsa. Perkim ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama bersama beberapa rakan beliau pada 19 Ogos 1960.

Bersama- sama beliau menabur bakti dan menyumbangkan idea bagi penubuhan Perkim alah Tan Sri SOK Ubaidullah, Tan Sri Yusuf Ibrahim, Ibrahim TY Ma, Tan Sri Mubin Sheppard dan beberapa orang lagi.

Perkim mempunyai 14 cawangan di peringkat negeri yang dikenali sebagai Perkim Bahagian dan 125 cawangan di peringkat daerah dengan jumlah keahlian sebanyak 29,694. Urusetia Perkim kebangsaan yang terletak di Tingkat 4, Bangunan Perkim Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, bertindak sebagai penyelaras antara Perkim Kebangsaan dengan Perkim Bahagian-bahagian.

Dalam kalangan rakyat Malaysia, Perkim lebih dikenali dan sering dikaitkan dengan pengislaman Saudara Baru (mualaf).

Perkim ditubuhkan adalah hasil usaha Tunku Abdul Rahman. Nama Tunku Abdul Rahman terpahat pada dinding di ruang masuk bangunan Perkim sebagai mengenang jasa beliau.

Dakwah Islamiah

Antara tujuan utama penubuhan Perkim ialah untuk menjalankan dakwah Islamiah kepada orang-orang Islam dan yang bukan Islam dengan positif dan berkesan. Selain elemen dakwah, elemen-elemen lain turut diberikan perhatian ialah elemen pendidikan dan kebajikan yang meliputi memberi, mengadakan dan menguruskan serta menjalankan pendidikan agama Islam menerusi segala media dan kaedah yang sah di sisi undang- undang; menjalankan semua kerja kebajikan termasuk memberi bantuan, derma, biasiswa atau dermasiswa kepada yang berkelayakan dan menjalankan amal-amal jariah yang lain kepada mereka yang sakit, miskin, susah, dan daif.

Walaupun Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj adalah tokoh penting dalam penubuhan Perkim pada 1960, beliau tidak memimpinnya kerana ingin memberikan tumpuan dalam politik negara.

Tan Sri Datuk SOK Ubaidullah telah dipilih untuk menjadi Yang DiPertua Perkim yang pertama (1960- 1964), diikuti Tan Sri Yusoff Ibrahim (1964-1968 dan 1972-1974).

Tunku hanya memegang jawatan sebagai Yang DiPertua Perkim selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri, iaitu pada 1974-1989.

Sekarang ini, Perkim diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Penglibatan Perkim dalam penyebaran syiar dakwah Islamiah tidak terhad dalam kalangan masyarakat tempatan malah merangkumi warganegara asing yang menetap atau mencari rezeki di negara ini.

Perkim tergolong sebagai sebuah pertubuhan dakwah di Malaysia yang aktif dan menonjol. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Perkim ialah menubuhkan Institusi Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), menjalankan program pengislaman saudara Islam baru daripada bangsa Cina dan mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak serta Orang Asli dan menyediakan khidmat nasihat serta kaunseling yang dikendalikan oleh kakitangan Perkim serta dibantu oleh para sukarelawan.

Pendidikan

Penubuhan Institut Dakwah Perkim adalah bertujuan untuk membantu saudara- saudara baru Islam supaya mendapat bimbingan dan tunjuk ajar yang betul serta dapat memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Selain itu, Perkim juga menubuhkan Tadika Perkim dan Tasputra Perkim yang menyediakan kemudahan pendidikan asas kepada kanak-kanak termasuk anak-anak saudara baru Islam.

Perkim juga turut menyediakan asrama untuk anak-anak yatim di atas tanah wakaf milik Almarhum Tunku Abdul Rahman di Kedah. Asrama ini dikenali sebagai Asrama Darul Aitam Wal Masakin.

Selain penubuhan asrama berkenaan, Perkim turut menubuhkan sebuah asrama lagi, iaitu asrama untuk anak anak Orang Asli yang dikenali sebagai Asrama Darul Falah di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.

Perkim dengan kerjasama Kelab Rotary juga menubuhkan Pusat Pemulihan Kesihatan untuk membantu pesakit angin ahmar. Selain daripada program dan aktiviti di atas, Perkim juga aktif menerbitkan buku-buku agama dan majalah dalam pelbagai bahasa, sama ada untuk kegunaan saudara-saudara baru dan juga untuk kegunaan berdakwah kepada golongan bukan Islam, termasuk mereka yang tinggal di luar Malaysia. Utusan/Bicara_Agama/20140513

Suburkan budaya bertanya

DALAM banyak-banyak sahabat Nabi Muhammad SAW, nama Abdullah bin Abbas selalu muncul dalam sebutan baginda. Beliau memang tokoh sahabat yang sangat cerdas dan luas ilmunya. Majlis ilmu beliau selalu dipenuhi ramai penuntut.

Berkata Ata bin Abi Rabah: “Aku tidak pernah melihat majlis ilmu yang lebih mulia, penuh ilmu dan berwibawa seperti majlis Ibnu Abbas. Ahli Quran, ahli bahasa dan ahli sastera datang untuk bertanya kepadanya. Setiap soalan mereka, selalu dijawab dengan memuaskan."

Oleh kerana kebijakan Ibnu Abbas, Khalifah Umar bin Al-Khattab menjadikan beliau salah seorang penasihatnya. Setiap kali menghadapi masalah berat, Umar selalu meminta nasihat daripada Ibnu Abbas.

Demikian keluasan ilmu Ibnu Abbas. Keistimewaan ini lahir kerana pelbagai sifat mulia yang terdapat dalam jiwanya. Salah satunya ialah sifat suka bertanya.

Umar bin Al-Khattab pernah pernah berkata: “Ibnu Abbas seorang pemuda yang matang. Ia memiliki lisan yang rajin bertanya dan hati yang cerdas."

Sebuah ubat

Kejahilan ialah satu penyakit dan ubatnya ialah ilmu. Ilmu tidak dapat diperoleh melainkan rajin bertanya kepada yang ahli. Seseorang yang tidak tahu, namun enggan bertanya ibarat seorang pesakit yang malu meminta ubat. Orang seperti ini, ia akan terus sakit dan tidak pernah sembuh.

Hasan Al-Basri berkata: “Pertanyaan adalah setengah ilmu." Berkata Abu Sulaiman Al-Ghanawi: “Tanyalah kepada orang pandai, maka engkau akan menjadi pandai sepertinya."

Kaedah tersebut telah diamalkan Ibnu Abbas sejak kecil. Beliau sangat rajin bertanya kepada Nabi SAW tentang pelbagai persoalan. Selepas baginda wafat, beliau seringkali mendatangi para sahabat yang lebih tua daripadanya untuk bertanyakan perkara yang beliau tidak ketahui.

Ibnu Abbas bercerita: “Seringkali aku bertanya kepada 30 orang sahabat Nabi tentang satu perkara yang sama."

Pertanyaan mencerminkan sikap proaktif. Sifat ini sangat baik untuk melatih sifat kritis dalam diri. Pelajar yang rajin bertanya biasanya lebih cerdas berbanding pelajar yang pasif dan suka berdiam diri.

Ibu bapa dan guru

Pada masa yang sama, realiti ini mesti selalu berada dalam kefahaman ibu bapa dan guru. Kanak-kanak secara semula jadi memiliki sifat ingin tahu yang tinggi. Sifat ini sangat penting untuk perkembangan kognitif dan intelektual mereka.

Justeru, ibu bapa dan guru mesti mesti sabar melayan sikap kanak-kanak yang sangat suka bertanya.

Seorang ibu, bapa dan pendidik yang baik tidak akan memarahi anak dan murid yang tidak faham. Mereka juga tidak menghindar atau menutup diri daripada soalan.

Sebaliknya, mereka sepatutnya bergembira menerima soalan. Sebab perkara itu menunjukkan minat anak tersebut kepada ilmu. Tugasan guru ialah memupuk minat tersebut agar terus berkembang, bukan membunuhnya.

Umat Islam memerlukan pemimpin masa depan yang kritis dan kreatif. Dan itu bermula dengan menyuburkan sifat suka bertanya dalam kalangan kanak-kanak Muslim. Utusan/Bicara_Agama/20140513

Antara kesabaran dan kecekalan wanita

WANITA insan yang terlalu istimewa. Bukan mudah menjadi seorang wanita, yang hakikatnya perlu menahan 1001 kesabaran yang menuntut kecekalan dan ketabahan untuk memajukan diri mereka dalam pelbagai bidang.

Perjuangan wanita bukan setempat, ia berlaku dalam kalangan keluarga, di tempat kerja dan dalam masyarakat di mana mereka cuba mencari jalan untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi.

Jika berbicara tentang "gender sensitization" pula, ia merangkumi perjuangan menghapuskan segala bentuk diskriminasi dan eksploitasi termasuklah hak kanak-kanak perempuan, wanita dewasa, tua dan muda, yang berhubung kait dengan kesihatan mental, fizikal, seksual dan reproduksi.

Dalam pada itu, Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada tarikh 8 Mac setiap tahun adalah legasi kepada memartabatkan peranan wanita di seluruh dunia secara berterusan.

Di Malaysia, wanita tidak lagi dianggap pilihan terakhir untuk memenuhi jawatan yang dahulunya didominasi kaum lelaki. Antaranya kerjaya memandu kenderaan berat seperti treler, lori, bas mahupun tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Sejak 1996, Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) membuka laluan kepada golongan wanita untuk menceburi kerjaya sebagai pemandu LRT atau dikenali sebagai Pegawai Perkhidmatan Penumpang (Customer Transit Officer atau CTO).

Namun, persepsi negatif tetap ada pada segelintir masyarakat dan rakan-rakan sekerja yang masih skeptikal terhadap semangat dan kemampuan wanita untuk bersaing dalam bidang tersebut.

Kejayaan CTO wanita pertama, Sherliza Zainal Abidin memberi inspirasi kepada ramai wanita dengan ketabahannya.

Hari ini, 13 tahun kemudian, empat wanita muda meneruskan hasrat RapidKL untuk melahirkan lebih ramai CTO wanita berkelayakan dan berpengalaman.

Berdasarkan kajian-kajian antarabangsa, wanita boleh menjadi pemandu bas yang lebih baik berbanding lelaki. Kajian trafik New York menyatakan naluri wanita lebih peka kepada persekitaran daripada lelaki.

Sementara itu, kajian dari University of Bradford di United Kingdom pula menyatakan wanita mempunyai daya fokus yang lebih lama berbanding lelaki.

Kajian ini turut menunjukkan bahawa kadar pematuhan terhadap undang-undang dalam kalangan pemandu wanita adalah lebih tinggi daripada kaum lelaki. Kepercayaan umum kini berbeza kerana wanita sebenarnya menjadi pemandu bas yang lebih baik berbanding lelaki.

Justeru, keterbukaan sikap Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd, Datuk Ir. Zohari Sulaiman menyatakan syarikat tersebut sentiasa membuka peluang kepada kaum wanita untuk berkhidmat sebagai kapten bas harus dipuji dan diikuti oleh syarikat-syarikat lain.

Perjuangan beberapa wanita pertama dan pejuang sosial utama dunia yang datang ke Malaysia untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Autisme 2014 pada 21 April lalu amat membanggakan.

Seminar yang diadakan buat julung kali dengan tema 'Autism Is Not A Tragedy, Ignorance Is' dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menerima kunjungan hormat wanita pertama Albania, Odeta Nishani, wanita pertama Maghribi, Nabila Benkirane, dan anak perempuan Perdana Menteri Bangladesh, Saima Wazed Hossain.

Wanita pertama Kyrgyzstan, Dr. Raisa Atambaeva, isteri Presiden Sri Lanka, Shiranti Wickramasinghe Rajapaksa, dan wanita pertama Sudan, Fatima Khalid Ahmad Al Bashir turut hadir menunjukkan keprihatinan kepada isu autisme iaitu antara isu sosial dunia yang diangkat bersama.

Tidak dapat diketepikan, kecekalan perjuangan pelari solo wanita negara, Suwaibah Md. Nasir dengan caranya tersendiri merentas 13 negara untuk memecah rekod dunia 3,333 kilometer turut membuka mata dunia terhadap keupayaan wanita.

Cuaca yang berubah-ubah dari panas, sejuk, kering dan salji tidak pernah menghalang cabaran diteruskan di negara-negara yang dijejaki.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama turut menyokong hak wanita apabila menyampaikan Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa kepada seorang aktivis wanita Arab Saudi bernama Maha Al-Muneef, baru-baru ini.

Maha yang berikrar untuk tidak mematuhi larangan memandu yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi ke atas wanita adalah seorang daripada 10 orang wanita yang diberikan penghargaan oleh Jabatan Negara AS pada tahun ini atas keberanian memperjuangkan hak-hak wanita.

Selain itu, Obama juga menghargai keberanian gadis berusia 16 tahun, Malala Yousafzai yang memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak perempuan di Pakistan.

Sesungguhnya, kekuatan wanita tidak hanya datang dari kemampuan fizikal, tetapi ia datang dari semangat yang tidak pernah mengalah berbekalkan kesabaran, ketabahan dan kecekalan. Syabas dan tahniah kepada wanita-wanita yang menyambut Hari Ibu dan Hari Guru dan Salam 1Hati.

DR. JESSICA ONG HAI LIAW,  Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Utusan/Rencana/20140513