May 17th, 2014

Adakah kematian menggugurkan zakat?

JIKA berlaku kematian dalam keluarga, misalnya seorang ayah, maka bagaimanakah keadaan zakatnya? Apakah para warisnya wajib mengeluarkan zakatnya? Bagaimana dengan waris yang menerima pusaka, adakah mereka juga wajib mengeluarkan zakatnya? Harap penjelasan ustaz.

Jawapan: Terima kasih kerana mengajukan persoalan ini. Mudah-mudahan apa yang diperjelaskan ini, dapat memenuhi kehendak ramai umat Islam, khususnya bagi mereka yang mungkin berhadapan dengan masalah atau persoalan yang sama, insya-Allah.

Hakikatnya, apabila telah cukup segala syarat wajib zakat ke atas seseorang itu, maka wajiblah zakat dikeluarkan olehnya. Dalam kes di atas, jika seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan segala syarat-syarat wajib zakat sudah dipenuhi, maka hendaklah dikeluarkan zakatnya oleh warisnya. Ini kerana, dia dikira sudah terhutang kepada Allah SWT.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya, Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, zakat itu tidak menjadi gugur hanya disebabkan oleh kematiannya. Kekayaan yang ditinggalkannya masih wajib dikeluarkan zakatnya, walaupun si mati tidak meninggalkan wasiat agar warisnya mengeluarkan zakatnya.

Pendapat di atas disokong oleh para fuqaha misalnya pada sisi mazhab Hanafi juga oleh ‘Atha’, al-hassan, al-Zuhri, Qatadah, Malik, Syafie, Ishaq, Abu Tsaur dan al-Mundzir.

Dalam hal ini juga, al-Awzai dan al-Laits menyatakan: “Zakat mesti diambil satu pertiga daripada harta yang ditinggalkannya dan didahulukan daripada wasiat-wasiatnya."

Walau bagaimanapun ada juga fuqaha yang memberikan keringanan bahawa zakat tidak wajib dikeluarkan daripada harta orang-orang yang mati jika tiada diberikan wasiat mengenainya dan pandangan ini dikemukakan oleh Ibnu Sirin, al-Sya’bi, an-Nakhaie, Hammad Ibnu Sulaiman dan at-Tsauri.

Mazhab Hanafi pula mengatakan: “Zakat tidak boleh dikeluarkan daripada harta yang ditinggalkan oleh seseorang kecuali apabila dia memberikan wasiat untuk itu dan wasiat tersebut diambil satu pertiga daripada harta yang ditinggalkannya dan kemudian dibahagikan oleh para penerima wasiat, maka gugurlah kewajipan untuk mengeluarkan zakat kerana sesungguhnya zakat adalah ibadat yang memerlukan niat sebagai salah satu syaratnya. (Jika orang yang meninggal tiada berwasiat maknanya tidak berniat, maka) ia menjadi gugur dengan kematian orang yang menanggungnya, seperti halnya puasa."

Namun, kita wajar melihat kepada keutamaan zakat di sisi ummah. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan lagi, pandangan ulama yang menyatakan kewajipan zakat tidak gugur dengan kematian seseorang dan tidak pula harus dikeluarkan zakatnya hanya dengan adanya wasiat, adalah kerana zakat itu sendiri obligasi (kewajipan) yang bersifat kemasyarakatan. Mereka yang mendapat manfaat daripada zakat itu misalnya terdiri daripada fakir dan miskin, maka zakat tidak boleh gugur begitu sahaja dengan sebab kematian pemiliknya, yakni wajib dilunasi oleh waris-warisnya.

Beliau menambah, ia samalah dengan keadaan seseorang yang berhutang kepada orang lain, maka kematiannya tidaklah pula menyebabkan hutangnya juga turut lupus. Para warisnya masih wajib melunasi hutang-hutang berkenaan dengan harta peninggalannya.

Selain daripada itu, ibadat zakat adalah ibadah harta yang boleh diwakil dan diwasiatkan. Ia berbeza dengan ibadat solat dan puasa, kerana ibadat berkenaan bukanlah bersifat harta dan hanya fizikal semata-mata dan tertakluk kepada individu berkenaan sahaja. (rujuk Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, halaman 28).

Oleh itu, sewajarnyalah ia dizakatkan oleh para waris, sesuai dengan sifat zakat itu sendiri, iaitu ibadah maliyyah (harta) yang apabila sudah menjadi hutang, ia sama sekali tidak akan dapat dilepaskan, kecuali ia ditunaikan di dunia ini. Dapat juga difahami, jika ia tidak dilunasi, maka pastilah musibah yang besar bakal melanda pemilik hartanya di akhirat nanti.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan sila emelkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS diwww.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.



Utusan/Bicara_Agama/20140516

Mengislahkan ummah

ABU Laith al-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih al-Ghafilin berkata: “Seorang yang menjalankan amar makruf dan nahi mungkar harus melengkapi lima syarat iaitu;


Berilmu, sebab orang yang bodoh tidak memahami amar makruf dan nahi mungkar.

Ikhlas kerana Allah SWT dan menegakkan agama. Seperti yang dikatakan oleh Saidina Ali r.a: “Bahawa orang yang ikhlas adalah orang yang memusatkan fikirannya supaya setiap amalannya diterima oleh Allah SWT."

-Kasih dan sayang

-Ramah mesra

-Jangan menggunakan kekerasan sebab Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. (Luqman: 17)

Sayyid Qutub dalam fi zilal al-Quran berkata: “Inilah jalan akidah yang tersusun iaitu mentauhidkan Allah SWT, menyedari wujudnya pengawasan Allah SWT, meletakkan harapan pada balasan yang disediakan di sisi-Nya, percaya kepada keadilan Allah SWT dan takut kepada balasan-Nya.

“Kemudian berpindah pula kepada kegiatan berdakwah, iaitu menyeru manusia memperbaiki keadaan diri mereka, menyuruh mereka berbuat kebaikan dan melarang mereka berbuat kemungkaran.

“Dan sebelum menghadapi perjuangan menentang kejahatan itu, seseorang harus berbekal dengan bekalan utama iaitu, bekalan ibadat kepada Allah SWT, bertawajjuhlah kepada-Nya dengan solat dan sabar menanggung kesulitan yang dialami oleh setiap pendakwah kepada agama Allah SWT, iaitu kesulitan akibat daripada kedegilan dan penyelewengan hati manusia, kesulitan akibat daripada kelancangan lidah dan daripada kejahatan tindak tanduk manusia, juga kesulitan akibat daripada kesukaran kewangan dan pengorbanan jiwa ketika diperlukan."

Harus mengerjakan apa-apa yang dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sehingga tidak termasuk dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan, sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri. (al-Baqarah: 44)

Prinsip al-Nahy ‘an al-Mungkar dapat dilihat dalam aspek undang-undang jenayah dan penguatkuasaannya. Menjenayahkan sesuatu perbuatan seperti yang dijelaskan menjadi satu bentuk pencegahan. Terutamanya dalam konteks menjenayahkan perkara-perkara yang boleh mendorong atau menjadi faktor kepada pelaku jenayah.

Falsafah ini penting kerana apa juga perkara yang akan membawa atau boleh mendorong kepada jenayah perlu disekat terlebih dahulu sebelum jenayah lebih serius atau ancaman jenayah menjadi bertambah kronik.

Prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubat diterima pakai dalam falsafah undang-undang jenayah Islam dan juga dalam proses mengislahkan ummah. Semoga kita diberi kefahaman dalam melaksanakan segala perintah Allah Yang Maha Esa.

Syarat berdakwah

Al-Sohanji dalam tafsirnya Abr al-Athir berkata: “Golongan yang menjalankan dakwah tersebut hendaklah mempunyai syarat-syarat yang lengkap agar seruan atau dakwahnya itu dapat dijalankan dengan sebaik-baik sehingga menghasilkan contoh yang mudah untuk diteladani. Antaranya:

Hendaklah mengetahui kandungan al-Quran dan al-sunnah perjalanan Nabi SAW serta perjalanan al-Khulafa’ al-Rasyidin.

Hendaklah mengetahui keadaan orang yang diserunya, persediaan, tabiatnya dan pekertinya, iaitu yang berhubung dengan pergaulan hidup mereka.

Hendaklah mengetahui bahasa-bahasa yang digunakan oleh golongan atau umat yang diserunya kerana Nabi SAW pernah menyuruh setengah sahabatnya mempelajari bahasa Ibari (bahasa Yahudi) untuk bertutur kata dengan orang-orang Yahudi yang menjadi jiran mereka dan menyuruh mempelajari keadaan mereka.

Hendaklah mengetahui jenis agama-agama dan mazhab-mazhab sesuatu umat atau bangsa, supaya diketahuinya mana-mana yang batil atau yang salah sebab sesuatu yang batil atau salah itu sekiranya tidak dapat diperlihatkan dengan jelas, tidak mudah manusia mahu menoleh kepada yang hak yang dipunyai oleh orang lain - walaupun ia berkali-kali diseru agar mengikutnya.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan/Bicara_Agama/20140516

Hijrah di hari kelahiran

Seringkali dalam kita menyambut hari kelahiran, lumrah umat Islam kita meraikannya dengan memotong kek dan meniup lilin. Apa pandangan Islam dengan cara sebegini dan bagaimana sebenarnya, sambutan hari lahir yang dianjurkan Islam?

Jawapan: Tidak salah untuk menyambut ulang tahun hari kelahiran. Ia adalah tanda syukur dengan nikmat Allah SWT. Maka sepatutnya ulang tahun kelahiran menjadi titik tolak untuk menjadi insan yang lebih baik. Dalam al-Quran, disebutkan umur 40 tahun. Dalam riwayat hadis, disebutkan bahawa umur umat ini antara 60 hingga 70 tahun.

Sambutan tarikh lahir dengan upacara potong kek dan meniup lilin juga tidaklah salah. Ia cuma suatu adat sahaja. Begitu juga adat masyarakat yang menyediakan pulut kuning apabila ada majlis-majlis tertentu.

Namun adalah lebih baik jika sambutan tarikh lahir disambut dengan ingat kepada Allah SWT. Dalam riwayat hadis, Nabi SAW berpuasa pada hari Isnin. Antara sebabnya ialah kerana Nabi SAW dilahirkan pada hari tersebut.

Oleh itu, sambutan tarikh lahir adalah majlis untuk menghubungkan tali silaturahim. Majlis para tetamu berdoa agar seseorang diberkati usianya dengan iman dan amal soleh. Majlis untuk bersedekah dengan menjamu para tetamu dengan jamuan makanan dan sebagainya.



Utusan/Bicara_Agama/20140516