May 20th, 2014

Peristiwa penting pada bulan Rejab wajar jadi pedoman

Pada bulan Rejab berlaku peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peristiwa ini memberi seribu kemuliaan dan hikmah yang besar kepada umat Islam. Antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rejab ialah Israk dan Mikraj yang mengandungi hikmah dan pengajaran bermakna.

Peristiwa hijrah ke Habsyah (Ethiopia) juga berlaku pada bulan Rejab. Ketika itu pihak Musyrikin Makkah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW serta mereka yang beriman kepada Allah SWT.

Terdapat sebilangan sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW derita yang mereka hadapi lantas Baginda memerintahkan supaya berhijrah ke Habsyah. Tujuan utama hijrah adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping mencari tapak bagi Islam.

Antara sahabat yang berhijrah ialah Saidina Uthman dan isterinya Roqiah, anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk empat wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

Peristiwa ketiga berlaku pada bulan Rejab ialah perang Tabuk yang mengambil nama satu tempat di utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30,000 tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran apabila tentera Rom melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

Peristiwa keempat ialah pembebasan Baitulmaqdis pada zaman Saidina Umar Al-Khattab di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitulmaqdis.

Akhirnya Kristian dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi.

Beliau berjaya menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583 hijrah. Pada 1967 bersamaan 1387 hijrah, umat Yahudi pula menawan Baitulmaqdis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

Berita Harian Agama 2014/05/20 - 04:13:06 AM  Nur Fatihah Abdullah

Ibadah bentuk jati diri Muslim

Kewajipan ibu bapa bentuk akhlak anak dengan mengutamakan solat berjemaah

Akhlak anak mudah terarah dan dibentuk melalui penghayatan ibadah mereka. Malah, sabda Nabi Muhammad SAW sewaktu menegaskan tujuan Baginda diutuskan adalah demi membentuk keperibadian akhlak dan personaliti unggul.

Justeru, ibadah yang menjadi kewajipan kepada kita khasnya ibadah khusus adalah titik tolak kepada pembentukan personaliti dan sahsiah murni. Tugas kita sebagai ibu bapa adalah memahami pembentukan akhlak yang terhasil daripada ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Andai saja setiap dari kita memahami dan menghayati mesej ibadah solat, sudah tentu kita mengakui kita memerlukan solat untuk menjadi pembimbing dan pendinding kerana kehinaan manusia terpancar apabila mereka meninggalkan solat.

Memanglah ibadah itu perintah Allah SWT, tetapi manfaat daripada seluruh perlakuan ibadah ini akan kembali kepada manusia juga.

Ajak anak lakukan ibadah

Menganjurkan dan mengajak anak melakukan ibadah adalah satu aspek penting selain mendidik mereka menghayati serta mengambil mesej pembentukan personaliti daripada setiap ibadah itu.

Contohnya, solat lima waktu sehari semalam mengajar kita mengenai pengurusan masa.
Waktu solat yang mempunyai tempoh tertentu menjelaskan kepada kita akhlak Muslim adalah menjaga, mengurus serta menghormati waktu dan penuhi hak urusan pada waktunya.

Sebelum solat kita perlu memastikan diri bersih daripada segala najis, ia mengajar menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan sekeliling. Peribadi Muslim sebenar ialah mencintai kebersihan kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Solat setiap hari dan dilakukan secara berulang-ulang memberi mesej kepada kita, latihan yang berulang-ulang adalah tuntutan untuk memahirkan diri dengan sesuatu perkara dan tidak mudah berputus asa.

Solat juga mementingkan kualiti yang menentukan khusyuk, maka peribadi murni akan sentiasa mengutamakan fokus dalam melakukan sesuatu. Niat menunaikan solat menjadikan kita seorang yang mempunyai matlamat serta hala tuju dalam hidup.

Keindahan solat berjemaah

Keindahan solat berjemaah membolehkan kita bersosial dengan ahli masyarakat serta menjalinkan silaturahim. Hubungan sesama manusia perlu dihiasi perasaan saling hormat menghormati serta bekerjasama melakukan sesuatu perkara.

Jemaah juga perlu patuh kepada ketua, tertib dan adil menegur ketua selain memberi contoh yang baik. Sifat saling bekerjasama menjadikan perkara berat jadi ringan dan pada masa sama memperkukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam.

Daripada ibadah solat saja, banyak nilai baik dapat diterapkan untuk membina keperibadian mulia yang seharusnya dimiliki setiap individu Muslim. Sabda Rasulullah SAW, solat mencegah daripada perkara keji dan mungkar.

Andai saja setiap dari kita memahami dan menghayati mesej ibadah solat, sudah tentu kita mengakui kita memerlukan solat untuk menjadi pembimbing dan pendinding kerana kehinaan manusia terpancar apabila mereka meninggalkan solat.

Anak tidak mengendahkan ibu bapa kerana mereka lalai dalam solat, suami isteri tidak aman kerana meninggalkan solat. Maha suci Allah yang telah mengarahkan kita dengan perintah ibadah solat demi memunculkan peribadi mulia maka rugilah kita kerana tidak memahami anugerah hebat Allah SWT ini.

Ini baru berkisah kepada hikmah diperintahkan Allah SWT untuk menunaikan solat yang disampaikan sendiri kepada Rasulullah SAW semasa peristiwa Israk Mikraj. Sebenarnya, setiap perintah agama, matlamatnya membentuk manusia yang memiliki keperibadian mulia.

Puasa berkait jati diri Muslim

Ibadah lain seperti puasa juga mempunyai kaitan rapat dengan jati diri Muslim kerana puasa berkait rapat dengan disiplin diri serta pengurusan emosi seperti mengajar erti kesabaran, bersyukur dan bersederhana.

Sementara zakat menumpukan kepada keutuhan masyarakat dan haji adalah pengorbanan serta penyerahan mutlak kepada Allah SWT. Ibadah berkait rapat dengan nilai diri dan semuanya tercermin daripada penampilan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Diriwayatkan oleh Saidatina Aishah: “Adalah akhlaknya (Rasulullah SAW) sebagai akhlak al-Quran.” (Riwayat Muslim)



Berita Harian Agama 2014/05/20 - 04:23:29 AM  Isfadiah Mohd Dasuki Penulis ialah Pengarah Sekolah Antarabangsa Montessori Brainy Bunch Malaysia dan segala persoalan serta perkongsian berkenaan isu keibubapaan sila emel kepada isfadiah@gma<a http:=" href=" www.bharian.com.my="" bharian="" articles="" ibadahbentukjatidirimuslim="" article"="" lj-cmd="LJLink2">il.com

Tidak jaga perkataan, perbuatan jejaskan akidah

MENJADI sifat semula jadi bagi setiap individu mempunyai pegangan dan ego tersendiri. Oleh itu, lahirlah pelbagai alasan yang sering diberikan apabila mendapat teguran daripada orang lain, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perintah agama.

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang beranggapan, selagi mana masih melakukan solat dan ibadah serta tidak meninggalkan perintah Allah SWT dalam rukun Islam, mereka akan selamat dan imannya terpelihara.

Namun ramai yang masih tidak menyedari, bukan sahaja dengan penyataan atau perbuatan zahir yang menduakan Allah SWT serta melakukan perbuatan syirik, sebaliknya dengan sepatah ayat yang dilafazkan mampu menjejaskan iman.

Hakikatnya, ia adalah bermula daripada sekecil-kecil perkara yang sering diambil ringan dengan menyatakan pelbagai alasan bagi mengelakkan daripada mengikuti perintah Allah SWT yang secara jelas termaktub di dalam al-Quran dan sunah.

Perkara itu tanpa disedari, boleh menjejaskan akidah dan tidak mustahil boleh mencapai sehingga ke tahap syirik.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara kamu menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian yang diturunkan Allah kepada kamu.

Jika mereka berpaling (daripada hukum yang diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. (al-Maidah: 49)

Justeru, Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, sebagai individu yang mengaku Islam, tidak dapat tidak wajib untuk mengikuti segala perintah Allah SWT.

Ini katanya kerana, segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dan hadis Rasulullah SAW kepada umat Islam mempunyai pelbagai hikmah di sebalik suruhannya tanpa kita sedari.

Mengambil contoh bermula daripada sekecil perkara seperti menutup aurat, umat Islam yang sering memberikan alasan untuk mengelak daripada mengikuti perintah Allah SWT itu boleh terjejas pegangan imannya.

Ia kerana, seperti mengingkari suruhan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Begitu juga katanya, terhadap perkara-perkara yang besar.

"Sebagai umat Islam, kita wajib beriman dengan hukum Allah SWT, sekurang-kurangnya menetapkan di dalam hati bahawa akan sentiasa cuba dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan perintah tersebut.

"Di dalam surah Maidah ayat ke 44, 45, dan 47 menjelaskan bahawa terdapat tiga golongan bagi mereka yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan Allah SWT iaitu kafir, zalim dan fasik.

"Kafir secara umumnya boleh berlaku apabila umat Islam secara jelas menentang hukum Allah dan melakukan perkara syirik. Tetapi, dalam kategori kedua dan ketiga pula adalah sesiapa yang mengaku kebenaran hukum Allah SWT, tetapi tidak melaksanakan maka jatuh hukum fasik dan zalim," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, umat Islam perlu berhati-hati dalam setiap perkataan mahupun perbuatan bagi memelihara iman daripada terjejas dengan tanpa disedari.

Elak menghukum

Bagaimanapun tambahnya, sebagai manusia biasa, kita tidak berhak untuk menghukum atau melabel orang lain dengan panggilan tertentu sebelum diputuskan oleh pihak berkuasa yang menetapkan status tersebut.

"Jika mengikut kaedah dakwah, tidak boleh melabelkan seseorang itu dengan label tertentu seperti kafir walaupun terang-terangan dia melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama.

"Ini merupakan strategi psikologi dalam usaha mengembalikan individu tersebut kepada kebenaran. Begitu juga, ia bagi mengelakkan tanggapan negatif agama lain terhadap Islam yang dilihat bersifat keterlaluan kepada penganutnya," jelasnya.

Sebaliknya Irwan berkata, sebagai umat Islam diharuskan untuk saling mengingati antara sesama insan, serta memperbanyakkan pendedahan mengenai sesuatu perkara dalam usaha memperbaiki dan melaksanakan hukum Allah SWT.

"Bukan dengan melakukan kaedah paksaan, tetapi pelbagai program berkonsep pendedahan dan perbincangan perlu dilakukan seperti forum, muzakarah, seminar dan sebagainya bagi memberi kesedaran kepada umum mengenai sesuatu perkara tersebut.

"Sebagaimana dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan menyampaikan berita yang gembira bukan sahaja yang menakutkan.

"Menerusi kaedah yang bijaksana dan perancangan kepada pelaksanaan yang teliti, tidak mustahil segala hukum yang ditentukan Allah SWT itu dapat kita laksanakan," ujarnya.

MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140520

Daripada Muktazilah ke Ahli Sunnah

SALAH satu aliran terpenting dalam teologi Islam ialah Asy’ariyah. Tokoh aliran atau doktrin ini ialah Abu Hasan al-Asy’ari yang membuat pembaharuan menerusi aliran Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Aliran ini wujud pada abad kesembilan untuk menolak pandangan golongan Muktazilah yang menyesatkan umat Islam.

Kaum Muktazilah pada masa khalifah Abbasiah yang dipimpin oleh al-Makmun (813-833) melakukan minhaj atau ujian akidah dan mendapat tanggapan negatif daripada orang ramai.

Pandangan Asy’ari yang menolak pandangan Muktazilah ini disokong oleh Khalifah al-Mutawakkil dan menetapkan aliran Asy’ariyah sebagai mazhab rasmi. Banyak ulama besar menyatakan dirinya memeluk mazhab ini termasuklah Imam al-Ghazali.

Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada 873. Semasa meningkat dewasa, Asy’ari lebih tertarik untuk mendalami ilmu teologi, khususnya ajaran Muktazilah dan sering berdiskusi bersama gurunya, Abu Ali al-Jubba’i.

Namun, setiap jawapan yang diberikan oleh gurunya itu tidak dapat memuaskan hatinya sehinggalah beliau berubah haluan pada umur 40 tahun.

Asy’ariyah beriman kepada sifat 20 bagi Allah. Pada awalnya Asy’ariyah hanya memperkenalkan 13 sifat-sifat Allah SWT tetapi akhirnya, mengembangkannya kepada 20 sifat. Asy’ariyah bersikap sederhana terhadap doktrin teologi. Pada satu sisi, Asy’ariyah menggunakan akal untuk menyingkap permasalahan teologi tetapi penuh yakin terhadap wahyu Allah SWT.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu.

Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Aliran Muktazilah menolak sifat-sifat Tuhan. Namun aliran Asy’ariyah menyatakan, Tuhan memiliki sifat tetapi sifat yang dimiliki oleh-Nya tidak perlu dipersoalkan berdasarkan daya pemikiran manusia. Ini kerana, pemikiran manusia tidak terjangkau untuk memikirkan sifat-sifat Allah SWT kerana daya pemikiran manusia adalah terbatas.

Aliran Asy’ariyah berkembang di dunia Timur iaitu India, Afghanistan, Pakistan sehinggalah ke Indonesia. Semasa era Mahmud Ghaznawi di India, aliran ini tersebar luas dan mempunyai ramai pengikut.

Sejak Asy’ariyah muncul, Ahli Sunnah wal Jamaah menjadi istilah kepada penggunaan aliran ini. Secara falsafahnya, Ahli Sunnah wal Jamaah adalah sekelompok orang Muslim yang menyakini adanya urutan hierarki empat sahabat Nabi SAW. Dan, hal ini tidak dinafikan oleh Asy’ariyah. Utusan/Bicara_Agama/20140520

Fahami roh syariat

PADA tahun 20 Hijrah, Khalifah Umar bin al-Khattab mengutus Abu Musa Al-Asy’ari untuk membuka Tustar. Pada masa itu, negeri ini yang sekarang ini berada di kawasan Iran itu dikuasai oleh kerajaan Parsi. Dengan izin Allah SWT, pasukan Islam yang diketuai oleh Abu Musa berjaya mengalahkan pasukan Parsi dan menundukkan negeri tersebut.

Abu Musa mengutus seseorang untuk menyampaikan khabar gembira ini kepada Khalifah Umar di Madinah. Khalifah menyambut beliau dengan gembira dan memintanya menceritakan semua kejadian yang berlaku.

Antara peristiwa yang diceritakan ialah berkaitan dengan seorang Muslim yang murtad.

Umar bertanya: "Bagaimana kalian memperlakukan orang tersebut?"

Orang itu menjawab: "Kami segera membunuhnya."

Di luar sangkaan, Umar tidak memuji tindakan tegas dalam menegakkan hukum ini. Beliau malah menyalahkan mereka dan berkata: "Mengapa kamu tidak menahannya selama tiga hari terlebih dahulu, memberinya roti tiap-tiap hari dan memujuknya untuk bertaubat?! Siapa tahu ia akan bertaubat dan kembali kepada Allah SWT."

Umar lalu berkata: "Ya Allah, aku tidak hadir dalam kejadian itu. Aku tidak memerintahkan dan tidak reda dengannya apabila mendengar berita ini."

Kisah ini diriwayatkan secara ringkas oleh Imam Malik bin Anas di kitab Muwatta.

Hukum Islam

Islam diturunkan sebagai rahmat bagi manusia. Penetapan hukum dalam Islam bermatlamat untuk menyelamatkan umat manusia daripada kebinasaan di dunia dan kesengsaraan di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: Tidaklah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya: 107)

Pandangan yang melihat hukum Islam sekadar alat untuk menghukum pesalah ialah satu pandangan yang salah. Sebab bukan sebegitu matlamat utama hukum-hakam tersebut diletakkan.

Dalam kes murtad ini, Umar bin al-Khattab menginginkan agar penegakan hukum dilakukan hanya sebagai langkah terakhir.

Beliau mencadangkan untuk dilakukan perbincangan terlebih dahulu. Orang tersebut turut diberikan makanan dan layanan yang baik. Berikan ia masa untuk memikirkan kembali pilihannya.

Apabila semua ini dilakukan, diharapkan hati orang itu kembali tertawan dengan keindahan Islam dan keluhuran adab kaum Muslimin. Selanjutnya, ia bersedia untuk meluruskan sikap dan pemikirannya agar terselamat daripada azab Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Islam menginginkan setiap komponen umat saling membantu dalam kebaikan. Penyimpangan sedapat mungkin ditangani dengan bijak sehingga selari dengan matlamat syarak yang menginginkan keselamatan bagi seluruh umat manusia.

Jika setiap umat Islam memahami roh syariat ini, imej hukum Islam insya-Allah menjadi lebih indah di mata dunia. Wallahu a’lam. Utusan/Bicara_Agama/20140520