May 22nd, 2014

Contohi kecemerlangan pemimpin Islam dahulu

Kepakaran dalam merintis kemajuan hidup jadi ikutan dunia

Umat Islam banyak meneroka pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi sebelum Eropah yang pada ketika itu masih di zaman ortodoks. Seluruh dunia mendapat manfaat daripada ilmu dan kebijaksanaan orang Islam yang merintis segala kepakaran dalam memanfaatkan kehidupan insan.


Teori kemanusiaan dan undang-undang yang dirangka bersumberkan al-Quran dan hadis tersebar melangkaui benua sehingga menjadi ikutan manusia seantero alam. Hari ini, tiada sebab umat Islam tidak melakukan perkara sama, apatah lagi mereka telah mendapat panduan generasi lebih awal.


Tambahan pula orang yang beriman dan beramal soleh telah dijanjikan kekuasaan oleh Allah SWT untuk mentadbir bumi serta seluruh isinya. Janji Allah SWT memberikan keyakinan kepada umat Islam untuk mengulangi kegemilangan Islam dulu dengan meluaskan wilayah pemerintahan Islam di seluruh dunia.

Pemimpin Islam perlu terap nilai mulia

Setiap pemimpin dunia Islam perlu menerapkan sifat mulia untuk diamalkan setiap umat Islam. Contoh, sifat adil dan amanah sangat menonjol dalam kepemimpinan Nabi Soleh sehingga dijadikan model kepemimpinan pemimpin berikutnya.

Kesungguhannya mengamalkan kedua sifat itu mendapat pujian dan sanjungan Allah SWT sehingga Nabi Soleh dan pengikutnya diselamatkan oleh Allah SWT daripada kehinaan. Pujian serta sanjungan diperoleh Nabi Soleh tidak mustahil akan dapat dirasai pemimpin dan yang akan datang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah telah berjanji kepada orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa Dia benar-benar akan memberikan kekuasaan daripada mereka di muka bumi. Seperti mana yang telah Dia berikan kepada orang sebelum mereka (khalifah terdahulu). Dia juga (berjanji) akan benar menguatkan untuk mereka agama mereka, yang diredai. Serta (berjanji) akan benar-benar menukar ketakutan mereka dengan kedamaian. Mereka (adalah orang yang sentiasa) menyembah-Ku, tidak menyekutukan Aku dengan apa-apa juga. Dan sesiapa saja yang masih ingkar setelah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 55)

Pemimpin Islam harus mengambil peluang di atas keretakan kuasa sekular untuk menguasai dunia dengan ekonomi dan kuasa monopoli seperti pernah dilakukan pemimpin Islam dulu.

Kuasa Barat hari ini yang gagal bersatu di bawah satu pemerintahan dan berperang sesama sendiri menunjukkan kelemahan yang akhirnya tidak langsung membawa kecemerlangan kepada sesuatu bangsa.

Perpecahan ideologi tidak beri manfaat

Hakikat ini sepatutnya menjadi iktibar kepada umat Islam seluruhnya, bahawa perpecahan kerana ideologi hanya memberi kepuasan hati, bukan manfaat kepada duniawi. Islam menyediakan garis panduan untuk melahirkan umat Islam yang memiliki jati diri.

Malah, sudah terbukti sumbangan umat Islam seperti Al-Khawarizmi, ahli astronomi serta orang pertama menentukan ukuran dan bentuk bulatan bumi. Ibnu Sina pula pakar perubatan yang mahir dan penulis buku ‘Al-Qanun fit-Tib’ yang menjadi bahan rujukan universiti seluruh dunia selama 600 tahun.

Dari segi pembangunan fizikal, bangunan didirikan umat Islam, sistem jalan raya, saliran air dan sebagainya amat mengagumkan dan membuktikan kemajuan pesat telah bermula sejak lama dulu, bahkan tiada kemajuan setanding dengannya ketika itu.

Perintis kepakaran

Ini menunjukkan umat Islam mampu menjadi perintis kepakaran sesuatu bidang serta menjadi pemangkin kepada kemajuan yang masih bertunjangkan syariat.

Selain itu, akhlak dan moral yang tinggi menyebabkan tidak banyak kes jenayah pada zaman kegemilangan Islam. Perundangan Islam yang bersifat mendidik dan mencegah mampu mentarbiah umat Islam menjauhi kemungkaran serta kezaliman.

Sifat takwa dan kekuatan akidah adalah jawapan kepada pembinaan sahsiah yang luar biasa sepatutnya harus dilakukan oleh generasi masa kini.

Umat Islam haruslah menjadi orang yang terkehadapan, sentiasa memberi daripada menerima, memimpin daripada dipimpin, membantu daripada dibantu dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain bukan sebaliknya.

Janji Allah SWT untuk memberikan kekuasaan di bumi kepada orang yang beriman dan beramal soleh adalah benar seperti diberikan kepada khalifah terdahulu. Cuma, rakyat yang dipimpin mereka yang benar-benar menyembah Allah SWT menjadikan pemimpin tidak sukar menjalankan tanggungjawab.

✍ Nik Salida Suhaila ialah pensyarah Al-Masa’il Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian Agama 2014/05/22 - 04:08:59 AM

Persoalan Agama: Hukum jadikan al-Quran punca rezeki

Soalan: Apakah hukum orang yang menjadikan al-Quran sebagai mata pencarian seperti mendatangi rumah orang tertentu lalu membaca al-Quran di pintu rumahnya bertujuan meminta sedekah. Begitu juga mereka yang duduk di tepi kedai membaca al-Quran sambil menghulur tangan meminta sedekah.

Apakah perbuatan ini dikira haram, makruh atau diharuskan sedangkan Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda melarang seseorang menggunakan al-Quran sebagai mata pencarian.


Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya kamu boleh (mendapat hasil) melalui upah (mengajar kitab Allah (al-Quran).”

Dalam hadis lain baginda bersabda: “Siapa yang mencari makan melalui al-Quran, pada hari kiamat nanti ia akan datang menghadap Allah dengan mukanya hanya tulang saja tanpa daging.” Justeru bagaimana kita melihat perkara ini berdasarkan sabda baginda.

Jawapan: Membaca al-Quran dengan tujuan seperti dinyatakan hukumnya adalah makruh tanzih kerana tidak memuliakan dan menghormati al-Quran. Kebiasaan tempat sedemikian kotor dan boleh mengganggu orang yang lalu lalang.

Sabda Nabi SAW: “Bahawa sesungguhnya kamu boleh ambil hasil melalui upah mengajar kitab Allah itu.” Maksudnya orang yang bersusah payah mengajar orang lain membaca al-Quran, diharuskan mendapat sedikit upah sekadar yang diperlukan.

Hadis yang menyebut, “Bacalah olehmu akan al-Quran dan janganlah kamu mencari makan dengannya”, bermaksud supaya tidak ada orang menjadikan al-Quran (membaca atau mengajarnya) semata-mata sebagai mata pencariannya.

* Furu’ Al-Masa’il Berita Harian Agama 2014/05/22 - 04:00:59 AM

Mercu tanda Islam Pattaya

APABILA bercerita tentang Pattaya di Thailand, perkara pertama terlintas di kepala setiap orang ialah kehidupan malamnya yang penuh berwarna-warni.

Kota pesisir pantai Teluk Siam yang sering menjadi tumpuan pelancong dari seluruh pelosok dunia tanpa mengira masa itu memang sinonim dengan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral dan menjolok mata.

Urus niaga seksnya boleh dikatakan berlaku di mana-mana sahaja, sama ada di pinggir-pinggir pantai atau dilorong-lorong kecil yang diterangi kerlipa neon beraneka warna.

Walking Street sememangnya cukup popular di Pattaya hingga menjadi lokasi yang wajib dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang pernah tiba di Pattaya. Apa yang terdapat di Walking Street ini hanya mereka yang pernah mengunjunginya sahaja dapat bercerita mengeninya.


MASJID Darul Ibadah yang terletak di Jalan Sukhomvit, Pattaya
yang menjadi mercu tanda kemegahan Islam di bandar pelancongan itu.

Tetaoi jangan lupa, di sebalik kehidupan malam dan aktiviti lorong di Pattaya yang terkenal di serata dunia, kota ini juga mempunyai komuniti Islam yang tetap berpegang teguh kepada ajaran agama.

Terletak di Jalan Sukhomvit, Pattaya, tersergam sebuah masjid yang sesak setiap kali jumaat dan sering menjadi tumpuan penduduk Islam di Pattaya.

Masjid Darul Ibadah itu bukannya satu-satunya masjid di puat peranginan itu. Ada empat lagi masjid di sekitar Pattaya.

Namun, Darul Ibadah merupakan yang terbesar dan kedudukannya pula berhampiran sebuah gereja yang mana kedua-duanya dipisahkan oleh tembok setinggi dua meter.

Jumlah penduduk Islam di Pattaya agak ramai yang mana mereka berasal dari wilayah Pattani termasuk ada yang berasal dari Malaysia dan Indonesia

Masjid Darul Ibadah ini mula dibina pada tahun 1942 yang mana ketika itu Pattaya masih lagi satu kawasan terpencil dan belum terkenal sebagai pusat peranginan.

Difahamkan imam dari Bangkok bernama Yusuf yang juga imam pertama masjid itu telah datang ke Pattaya dengan membuka penempatan baharu serta mengusahakan pertanian.

Selain membuka kampung dan membina rumah, Imam Yusof turut membina masjid yang ketika itu hanya dibuat daripada kayu di atas tanah miliknya yang kini diwakafkan sebagai tapak masjid tersebut seluas dua hektar.

Selepas 10 tahun, banguna kayu yang sebelum itu hanya dijadikan tempat sembahyang telah dikembangkan menjadi masjid. Sepuluh tahun kemudiannya pula masjid itu sekali lagi diubah suai dan sedekad selepas itu sekalagi diubah dan dijadikan bangunan dua tingkat.

Tingkat bawah untuk pengajian al Quran dan tingkat atas untuk sembahyang. Ketika itu semuanya masih dibuat daripada kayu sehinggalah sedekad kemudian apabila ia sekali lagi diubah suai menggunakan simen sepenuhnya.

Dalam tempoh 20 tahun terakhir ini baharulah masjid itu siap dibina sepenuhnya ekoran jemaah yang semakin meningkat dan menjadikannya sebagai masjid terbesar di Pattaya.

Menurut seorang jemaah yang ditemui, sebenarnya kira-kira lima tahub lalu baharulah masjid itu siap sepenuhnya seperti mana yang dapat dilihat hari ini hasil sumbangan dari negara-negara Islam seperti Kuwait dan Turki serta penganut Islam dari segenap pelosok Thailand.

Sejak dari hari pertama pembinaannya, Masjid Darul Ibadah sudah memiliki tujuh imama iaitu yang pertama Imam Yusuf Pianmana, Imam Salim Nutong, Imam H. Daud Makutsa, Imam Abdullah Long­sewan, Imam Muhammad Raksa­nga, Imam Ali Pradabyat, dan Imam Umar Alimin.

Selain sebagai, tempat untuk komuniti Islam di Pattaya beribadat, masjid ini juga menjadi tempat pengajian untuk anak-anak Muslim di kawasan ini.

Terdapat sekolah agama rendah dan sekolah agama menengah di sini yang memastikan Islam terus tersebar di bumi Pattaya.

Berkunjung ke Masjid Darul Ibadah ini memberikan satu persepsi yang cukup berbeza mengenai Pattaya. Masjid ini menunjukkan Pattaya buka sekadar hiburan melampau yang melepasi batasan kemanusiaan.

Pattaya sebenarnya memilik sisi bersihnya tersendiri yang sedia untuk diteroka oleh mereka yang berkunjung ke pusat peranganinan ini terutama yang beragama Islam. Utusan/Bicara_Agama/20140522 AZNAN BAKAR

Hayati falsafah hukum faraid

HUKUM faraid sering dikatakan sebagai tidak adil dan bias terhadap wanita. Persoalan yang selalu ditanya ialah kenapa waris lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding dengan waris wanita. Secara kasarnya, seolah-olah undang-undang faraid ini menafikan peranan dan diskriminasi terhadap wanita. Lantaran undang-undang faraid ini ditohmah sebagai bersifat anti wanita. Maka timbullah desakan untuk mengkaji semula undang-undang faraid ini agar ‘memberi keadilan’ kepada golongan wanita.


Sebenarnya undang-undang Islam memberi keadilan kepada semua manusia tanpa membezakan gender, warna kulit, bangsa dan sebagainya. Konsep keadilan dalam Islam mestilah dilihat daripada sudut kemampuan undang-undang Islam itu menegakkan keadilan yang dapat dinikmati oleh masyarakat ramai, berbanding dengan keadilan yang diberikan daripada kaca mata individu tertentu. Oleh itu keadilan di dalam pengagihan harta faraid tidak semestinya pembahagian dibuat secara sama rata. Inilah pendekatan yang diambil oleh al-Quran di dalam pembahagian faraid.

Pembahagian harta pusaka Islam telah ditentukan di dalam al-Quran dan ketentuan tersebut adalah bersifat definitif (tetap) yang tidak boleh ditafsirkan selainnya lagi. Pembahagian yang jelas tersebut tidak membuka ruang untuk ijtihad, melainkan tafsiran yang satu sahaja secara literal ataupun harfiah. Qiyas atau ijtihad tidak berperanan sebagai sumber bagi menentukan pembahagian undang-undang pusaka Islam.

Sebenarnya, hikmah di sebalik falsafah pembahagian ini adalah untuk mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumah tangga, masyarakat dan agama. Seorang lelaki dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, wanita tidak dipertanggungjawabkan dengan kewajipan yang sama.

Seorang perempuan pula sudah terjamin keperluannya kerana perempuan tersebut berada di bawah tanggungjawab suami, abang, ayah atau saudara lelakinya. Seorang perempuan juga tidak berkewajipan memberi nafkah kepada sesiapapun, walaupun suaminya tidak berkemampuan membayar nafkah. Tanggungjawab ini sebenarnya akan berpindah kepada ahli keluarga suami yang lelaki.

Sebelum Islam

Pada zaman sebelum Islam wanita langsung tidak mempunyai hak ke atas hartanya malah mereka juga dianggap sebagai harta yang boleh dipusakai oleh ahli keluarga si mati. Ramai wanita menjadi mangsa dan kehilangan hak dan tempat bergantung apabila suami atau bapa mereka meninggal dunia.

Pembahagian yang lebih kepada lelaki adalah kerana lelaki bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan dan kebajikan wanita. Inilah sebabnya pembahagian harta yang lebih disyariatkan kepada kaum lelaki.

Jika kita memperhalusi konsep Islam, ia sebenarnya amat mudah iaitu di mana ada hak maka di situ ada tanggungjawab. Ini bermakna hak yang lebih besar akan membawa kesan kepada tanggungjawab yang lebih besar juga.

Oleh itu, tidak hairanlah kenapa Islam memperuntukkan hak lelaki yang lebih di dalam undang-undang pusaka dan hak ini sebenarnya mesti juga diiringi oleh tanggungjawab yang besar juga.

Adalah salah jika seorang lelaki itu membelanjakan segala hak pusakanya untuk dirinya seorang. Hak ini sebenarnya mestilah dikongsi bersama dengan orang lain seperti adik-beradik perempuan, anak perempuan dan sebagainya. Dengan cara ini, barulah keindahan undang-undang pusaka Islam ini akan dapat dimanifestasikan dan dihargai oleh masyarakat Islam dan bukan Islam.

Moga-moga tidak akan kedengaran lagi kata-kata sinis yang mengatakan Islam mendiskriminasikan wanita. Tohmahan ini sebenarnya datang daripada orang jahil dan tidak mahu mencari kebenaran, melainkan apa yang mereka fikirkan benar tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Utusan/Bicara_Agama/20140522

Nikah mutaah

OBJEKTIF utama Allah memperundangkan nikah adalah untuk memastikan kelangsungan kehidupan manusia. Jika tiada ikatan yang suci bagi meneruskan zuriat keturunan manusia, maka hidup manusia akan hilang kehormatannya. Antara cara yang ditetapkan oleh syariat Islam bagi memenuhi objektif tersebut, Islam menjelaskan hubungan perkahwinan mestilah bersifat kekal. Oleh sebab itu, para pakar perundangan Islam menegaskan, antara syarat sah akad nikah adalah niat pasangan untuk bersama buat selama-lamanya.


Apa yang dimaksudkan sebagai Nikah Mutaah? Nikah Mutaah ialah perkahwinan yang dihadkan tempohnya. Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama sebulan." Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima."

Dr. Abdul Karim Zaidan, dalam bukunya, Mufassal fi ahkam al-maraah mendefinisikan nikah mutaah sebagai kontrak nikah antara seorang lelaki dan perempuan dengan dihadkan tempoh masanya dan dengan mas kahwin yang tertentu. Contohnya, pengantin lelaki berkata, “Saya bernikah dengan kamu selama satu hari dengan mas kahwin RM100."


Menurut mazhab Ja’fari iaitu salah satu daripada mazhab fikah dalam Syiah, nikah mutaah adalah dibenarkan. At-Tusi; salah seorang pakar rujuk dalam mazhab Ja’fari, menjelaskan dalam bukunya an-Nihayah, “Nikah mutaah adalah dibenarkan dalam syariat Islam."

Oleh sebab itu, di zaman kita sekarang, nikah mutaah masih dipraktikkan di kawasan yang didiami oleh pendukung mazhab Syiah.

Sementara itu, menurut pakar perundangan Islam yang lain; seperti pakar bermazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali, mereka sepakat mengatakan nikah mutaah diharamkan oleh Islam.

Ibnu Rushd, salah seorang pakar bermazhab Maliki, menjelaskan dalam bukunya Bidayat al-mujtahid, “Seluruh pakar perundangan Islam mengharamkan nikah mutaah."

Begitu juga dijelaskan oleh an-Nawawi iaitu seorang pakar bermazhab Syafi’i, dalam bukunya al-Muhazzab, “Nikah mutaah tidak dibenarkan."

Hujah pendapat kedua yang mengatakan nikah mutaah diharamkan dalam Islam berdasarkan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW. sudah berjaya menguasai Kota Mekah.

Baginda SAW bersabda: Wahai sekalian manusia! Sebelum ini saya pernah membenarkan saudara-saudara sekalian menyetubuhi wanita dengan nikah mutaah. Tetapi bermula dari sekarang, Allah sudah mengharamkannya sehingga hari kiamat. Sesiapa yang pernah berkahwin secara mutaah sebelum ini, maka hendaklah dia menceraikan isterinya itu dan janganlah saudara sekalian mengambil semula mas kahwin yang sudah saudara berikan kepada isteri-isteri itu. (riwayat Muslim)

Ali bin Abu Talib melaporkan: Semasa berlakunya Perang Khaibar, Rasulullah SAW melarang daripada bernikah mutaah dan memakan daging keldai yang dipelihara. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sementara hujah yang dikemukakan oleh pendapat pertama iaitu yang membenarkan nikah mutaah, mereka berhujah dengan ayat 24 surah an-Nisa’ yang bermaksud: Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Menurut pakar bermazhab Ja’fari, ayat ini merujuk kepada nikah mutaah, kerana perkataan ‘mutaah’ asalnya merujuk kepada nikmat persetubuhan.

Tambahan pula menurut mereka, terdapat laporan yang sahih yang mengatakan Nabi SAW pernah membenarkan para sahabat bernikah dengan nikah mutaah. Apa yang dibenarkan oleh baginda adalah berdasarkan wahyu, bukan dengan kehendak baginda sendiri.

Terdapat juga laporan yang sahih yang dilaporkan oleh Imam Muslim menjelaskan bahawa beberapa orang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernikah dengan nikah mut’ah ketika zaman Nabi SAW, zaman pemerintahan Abu Bakar dan selama beberapa tempoh dalam pemerintahan Umar. Laporan tersebut menjelaskan nikah mutaah bukan diharamkan oleh Nabi SAW tetapi diharamkan oleh Umar semasa pemerintahannya.

Kesimpulannya, nikah mutaah diharamkan oleh Islam dan ia dianggap tidak sah menurut Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Sebagai contoh, Seksyen 11 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, memperuntukkan, “Sesuatu perkahwinan tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah." Hukum Syarak ditafsirkan oleh akta yang sama sebagai, “Undang-Undang Islam mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf."

Para pakar mazhab dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah sepakat mengatakan bahawa niat berkahwin secara kekal adalah syarat sah nikah. Jika pasangan berniat untuk berkahwin sekejap sahaja dalam tempoh tertentu, maka nikah itu tidak sah. DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN Utusan/Bicara_Agama/20140522

Wilma tabah diuji

ALAM jin dan kewujudannya dalam dunia manusia memang diperakui dalam al-Quran. Seperti firman Allah dalam surah Adz-Dzariyaat “Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku."

Cuma sejak akhir-akhir ini kes melibatkan gangguan jin kepada manusia semakin banyak didengar, buktinya berkunjung sahajalah ke mana-mana pusat perubatan Islam, pasti akan melihat deretan manusia menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan.

Selepas artikel saya tentang gangguan sihir terhadap seorang remaja terbit beberapa minggu lalu, saya menerima kiriman emel daripada seorang wanita yang mahu berkongsi kisahnya pula untuk tatapan umum.

Untuk tidak menghampakan permintaannya, minggu ini saya menyiarkan kisah wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wilma, 40.

Dia merupakan seorang pegawai kerajaan yang boleh dikatakan berada hampir ke kemuncak karier hinggalah penyakit misteri ‘menyinggah’ dalam diri.


“Membaca artikel mengenai sakit misteri yang disiarkan di Mega baru-baru ini telah memanggil saya untuk berkongsi sakit misteri yang mula saya deritai semenjak tahun 2008 sehingga sekarang. Bermakna sudah hampir tujuh tahun saya menderita sakit misteri ini.

“Selama menderita kerana sakit ini saya telah banyak pergi berubat untuk mencari ustaz yang berpengalaman bagi mengubat sakit misteri yang saya deritai.

“Selain itu saya juga pergi mengerjakan umrah sebanyak tiga kali. Selain beribadah saya juga berdoa untuk menyembuhkan penyakit ini," cerita Wilma menerusi emelnya.

Wilma bekerja di jabatan kerajaan sebagai pembantu khas kepada pengarah.

Sakit ini dideritai semenjak disantau pada bulan puasa tahun 2008 dan setelah berubat dia akhirnya berjaya dipulihkan oleh seorang ustaz. Namun selepas bisa santau hilang dari tubuh, sakit misteri pula mula mengambil tempat.

“Sejak itu saya kerap tidak sihat dan selalu mengambil cuti sakit. Peliknya apabila dibawa berjumpa doktor penyakit saya tidak dapat dicari. Kadang saya sakit hingga berminggu-minggu.

“Mujurlah majikan saya memahami kerana pernah melalui pengalaman yang sama disihir orang," imbas Wilma yang juga ibu kepada dua anak lelaki.

Sakit ketika bulan mengambang

Pada mulanya apabila mengalami penyakit misteri keluarga Wilma sukar menerima. Ini kerana belum pernah ada dalam sejarah ahli keluarganya yang pernah terkena penyakit seperti ini.

“Anak-anak terkejut apabila saya mengalami penyakit yang pelik ini begitu juga dengan suami.

“Mula-mula mereka sukar faham tetapi akhirnya mempercayai yang saya memang terkena sihir seseorang.

“Pada mata kasar sesiapapun pasti tidak akan dapat meneka apa yang saya alami, namun jika mereka melihat sendiri dengan mata kepala apabila saya dirasuk, baru mereka sedar ini bukannya penyakit biasa.

“Penyakit ini saya alami setiap hari terutama jika malam Jumaat, apatah lagi jika bulan mengambang. Kaki kanan saya lenguh sakit dan sentiasa dipulas-pulas oleh benda yang tidak kelihatan.

“Bunyi pelik seperti ada benda bertenggek di atas televisyen, anjing yang menyalak bersahutan dan bunyi cicak berpanjangan jika saya berada di sesuatu tempat memang merungsingkan," katanya.

Pernah beberapa kali diserang batuk secara tiba-tiba, seperti ada bulu ayam di geletek dalam tekak.

Tentang sikap pula, Wilma mengakui sebelum ini dia memang seorang yang tidak mudah marah, tetapi sejak 2008 dia menjadi seorang yang baran dan sangat sensitif.

“Tubuh badan saya rasa sakit terutama bahu, sakit kepala, benci pada suami dan sakit pada perut sebelah kiri yang sehingga sekarang tak dapat dicari punca.

“Lebih teruk lagi saya menjadi malas bekerja dan hilang fokus, seperti ada benda yang menghalang. Kadang-kadang, saya sudah sampai ke pejabat namun sebaik melangkah saya umpama ditarik ke belakang dan hampir menyebabkan tersungkur.

“Bila perkara ini semakin kerap terjadi, saya menjadi seperti hilang nikmat hidup dan adakalanya merasakan lebih baik mati.

“Apabila sedar kembali saya beristighfar dan menarik nafas berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan dan reda dengan segala yang berlaku pada saya," kata Wilma yang kini mengambil cuti panjang kerana turut menjaga ayahnya yang terlantar sakit.



Utusan/Bicara_Agama/20140522