May 23rd, 2014

Tiga matlamat hidup perlu dicapai

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah pada hal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi pembalasan bagi segala yang kamu kerjakan).” (Surah al-Baqarah, ayat 28)


Mengingkari Allah SWT setelah menyaksikan sendiri dalil yang jelas serta menerima pelbagai nikmat-Nya adalah kekufuran yang amat buruk dan keji.


Antara pendekatan al-Quran supaya manusia beriman kepada Allah SWT dan risalah yang dibawa oleh Nabi serta Rasul ialah dengan mengingatkan mereka perkara yang dekat dengan mereka.

Allah SWT menjelaskan antara tanda kebesaran-Nya yang sememangnya cukup mudah difahami ialah penciptaan mereka sehinggalah kepada kematian mereka. Allah SWT mencipta manusia dalam bentuk paling baik dan melebihkan mereka dengan mengurniakan akal, pengetahuan dan pemahaman.

Kenyataan di mana kita masih boleh bernafas dan hidup sekarang sebenarnya dalil yang kuat menunjukkan adanya Allah SWT. Hidup ini yang berakhir dengan kematian juga adalah dalil kewujudan Allah SWT yang menentukan kematian itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Persoalan hidup, mati

Persoalan hidup dan mati dua perkara yang tidak menjadi pertikaian manusia kerana mereka dapat melihat sendiri kematian ahli keluarga, sahabat handai dan yakin bahawa mereka tidak boleh melepaskan diri daripada kematian.

Apa yang diragukan oleh mereka ini ialah bagaimana manusia boleh dihidupkan kembali dan akan dihisab.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.” (Surah al-Jathiah, ayat 24)

Pada hakikatnya, Allah SWT menghidupkan kembali manusia bukan suatu yang pelik dari sudut pemikiran, mengadakan sesuatu yang tidak pernah wujud seperti seorang manusia mampu dilakukan oleh Allah SWT, apalah sangat di sisi Allah menghidupkan sesuatu yang sudah ada.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (mengenai kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu? Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya).” (Surah Yasin, ayat 78-79)

Manusia begitu gembira dan seronok berbicara soal kehidupan dan akan mengelak daripada berbicara soal kematian. Ini adalah sesuatu yang didedah oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Surah al-Jumuah, ayat 8)

Jadikan kehidupan sebagai wadah

Kehidupan ini bermula daripada Allah dan berakhir kepada Allah, justeru kita wajar menjadikan kehidupan sebagai wadah untuk mencari keredaan Allah SWT. Menjadi satu hikmah besar kita tidak mengetahui bila dan di mana kematian supaya sentiasa bersiap sedia untuk bertemu Allah SWT dengan membawa bekalan amal yang secukupnya.

Bagi Mukmin yang memahami hakikat mereka akan kembali kepada Allah SWT, pasti akan membetulkan jalan hidup dengan mengikut manhaj al-Quran. Mereka akan memahami matlamat kehidupan sebenar seperti mencari rezeki halal dan membina kehidupan keluarga bersyariat.

Sekurang-kurangnya ada tiga perkara harus kita renungkan waktu di dunia ini. Pertama, bagaimana cara terbaik kita boleh bahagia dan dapat memberi sumbangan kepada orang lain. Kedua, apakah perasaan isteri, suami, anak, keluarga dan rakan taulan selepas ketiadaan kita.

Ketiga, berapa banyak amalan soleh yang kita bawa untuk bertemu Allah SWT. Sudah tentu setiap daripada kita jika sentiasa berfikiran begitu akan berusaha melakukan yang terbaik dalam hidup ini.

Jika kita seorang pekerja, sudah tentu kita bekerja dengan tekun dan amanah. Jika kita seorang suami, kita pasti berusaha menjadi suami yang bertanggungjawab dan penyayang. Jika kita seorang pemimpin, sudah tentu kita menjadi pemimpin yang adil kepada semua rakyat.

Berita Harian Agama 2014/05/16 - 08:12:13 AM AHMAD SHUKRI YUSOFF

Hikmah Al-Quran: Tiga sifat golongan fasik

Huraian Surah Al-Baqarah: Mencabuli perjanjian, putuskan silaturahim, tidak amanah

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 27)


Ayat ini memberi penjelasan siapakah dikatakan orang fasik. Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi memberi takrifan orang fasik ialah mereka yang menjauhi daripada manhaj Allah SWT.


Berdasarkan ayat itu, Allah SWT menjelaskan tiga ciri orang fasik, pertama, mencabuli perjanjian dengan Allah SWT. Perjanjian dicabuli itu ialah keimanan kepada Allah SWT iaitu fitrah bertuhan yang wujud dalam diri manusia. Mereka meletakkan diri lebih tinggi daripada janji yang sepatutnya dipatuhi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Surah al-A’raf, ayat 172)

Kedua ialah memutuskan persaudaraan dan silaturahim. Sheikh Muhammad Syed Tantawi dalam tafsirnya berpandangan, memutuskan apa yang disuruh Allah SWT itu adalah berbentuk umum termasuk memutuskan hubungan silaturahim.

Bina hubungan baik sesama manusia

Allah SWT memerintahkan supaya dibina hubungan antara manusia merangkumi hubungan kekeluargaan dan kemanusiaan selain ikatan hubungan atas akidah dan persaudaraan Islam. Apabila hubungan itu diputuskan, berlakulah kerosakan dan keadaan huru-hara yang berleluasa.

Mereka tidak akan menunaikan hak terhadap keluarga, anak yatim dan fakir miskin, malah mereka sanggup membelakangkan hak siapa saja asalkan kepentingan mereka tercapai.

Untuk mewujudkan persaudaraan sebenar dan menghapuskan perbezaan yang sengaja diada-adakan ialah dengan menekankan sebenarnya tiada perbezaan keturunan dan bangsa. Bahkan berbangga-bangga dengan nasab dan keturunan adalah perbuatan batil.

Perkara yang sentiasa ditekankan al-Quran ialah menegakkan keadilan sosial dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang antara kaya dan miskin, membataskan monopoli orang kaya serta mengangkat taraf hidup orang miskin.

Namun, persaudaraan Islam bukan secara membuta tuli, tetapi atas dasar menegakkan kebenaran dan melenyapkan kebatilan seperti mencegah pencerobohan serta mengembalikan hak orang yang teraniaya.

Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu tercegat berdiri melihat seseorang dipukul dengan penuh kezaliman kerana laknat akan turun ke atas sesiapa yang melihatnya tanpa mencegah perbuatan itu.” (Riwayat At-Tabrani)

Perasaan sedih terhadap orang lain yang ditimpa kesusahan menyebabkan seseorang berusaha menolong dan tidak akan berasa tenang selagi penderitaan orang itu tidak dapat dikurangkan atau dihilangkan.

Jika kita melihat sesuatu keburukan dilakukan kepada saudara seislam lain atau berlaku penghinaan dan pengaiban ke atas dirinya, maka kita bersedia membantu sehingga dia duduk kembali ke tempat selayak untuknya atau mengambil balik haknya yang telah dirampas.

Dabik dada dengan kuasa

Sudah tentu kewajipan itu menjadi semakin berat bagi mereka yang mempunyai pangkat dan kuasa dalam masyarakat kerana kuasa bukan bererti seseorang itu boleh mendabik dada dan berbangga, tetapi hendaklah dia menggunakan pengaruh untuk membantu orang lain dengan penuh keikhlasan.

Ajaran Islam dalam semua sudut memupuk persaudaraan supaya ia tidak dicemari unsur yang boleh mengeruhkan. Justeru tidak dibenarkan seseorang itu walaupun sekadar mengganggu fikiran atau perasaan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak halal bagi seorang Muslim menakutkan Muslim yang lain.” (Riwayat Abu Daud)

Bagi meneguhkan persaudaraan, Islam mengharamkan seseorang berbangga-bangga dan membesar-besarkan dirinya sehingga melahirkan sifat mazmumah seperti mengeji, menghina serta merendahkan orang lain.

Ciri ketiga orang fasik ialah membuat kerosakan dan bencana di bumi. Terdapat pelbagai bentuk kerosakan hasil penyelewengan manusia daripada kebenaran.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Jika amanah disia-siakan, maka tunggulah saatnya (kehancuran). Abu Hurairah bertanya: Bagaimana amanah itu disia-siakan wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Jika suatu urusan diserahkan pada orang yang bukan ahlinya (tidak memenuhi syarat).” (Riwayat Bukhari)

Umat yang tidak amanah terbabit dengan kegiatan rasuah dalam urusan umum tanpa memikirkan kepentingan orang ramai, akhirnya mereka yang layak dan berkebolehan diketepikan dan yang tidak layak mengambil tempat.

Berita Harian Agama 2014/05/09 - 03:52:51 AM

Khutbah Jumaat: Solat lima waktu anugerah paling berharga untuk mukmin

Israk peristiwa besar dan bersejarah dalam Islam satu bukti kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Sebagai orang beriman, kita wajib meyakini Allah SWT memperjalankan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dari bumi Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin.

Al-Mi’raj pula adalah perjalanan yang dimulakan dari Masjid al-Aqsa ke langit ketujuh ditemani Malaikat Jibril.

Ulama dalam kalangan salafussoleh, khalafussoleh, ahli hadis, ahli kalam, ahli tafsir, ahli fiqih dan ulama Islam bersepakat peristiwa agung ini berlaku dengan roh dan jasad dalam keadaan Baginda sedar, bukanlah mimpi.

Bahkan, tidak ada sebarang perselisihan dalam kalangan ulama berhubung peristiwa itu kerana terdapat nas al-Quran yang jelas mengenainya.

Seperti ayat yang dibacakan pada permulaan khutbah yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Dalil bagi peristiwa mi’raj tidak dapat dipastikan secara jelas daripada al-Quran melainkan terdapat pendapat menyatakan dalil peristiwa itu melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihatnya (Jibril dalam rupanya yang asal) pada waktu yang lain, di Sidratul Muntaha.” (Surah al-Najm, ayat 13-14)

Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj

Hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj ini, Allah SWT mengurniakan satu perkara yang amat bernilai iaitu kewajipan bersolat lima waktu. Percayalah, solat adalah tangga kejayaan seorang Mukmin di dunia mahupun akhirat terutama bagi mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkan khusyuk.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Inilah kejayaan paling besar bagi seorang Mukmin sejati kerana ia tidak akan dapat dicapai jika kita masih lagi beranggapan solat itu hanya sekadar tuntutan yang wajib ditunaikan walhal Allah SWT telah menjanjikan ganjaran sangat berharga kesan dari solat yang khusyuk.

Sedarlah, amat malang bagi mereka yang mendirikan solat, tetapi tidak mendapat apa-apa hasil daripada solatnya bahkan hanya penat lelah semata-mata.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Bolehkah aku tunjukkan kepada kamu sekalian perkara yang menghapuskan segala kesalahan yang kamu kerjakan dan mengangkat darjatmu? Mereka berkata: Silakan wahai Rasulullah. Sabda Rasulullah: Melakukan wuduk dengan sempurna, memperbanyakkan langkah menuju ke masjid, menunggu-nunggu solat fardu yang seterusnya setelah menunaikan solat, maka ini adalah pengikat (yang mengikat dirinya dengan ketaatan).”

Percayalah, solat adalah jalan terbaik bagi orang yang bertakwa mengadu dan menyerah diri kepada ketentuan dan petunjuk Allah SWT. Yakinlah, Allah SWT pasti memberi jalan penyelesaian atau memberi kekuatan dan kesabaran.

Hikmah di sebalik tuntutan solat

Hikmah di sebalik tuntutan solat, hati tenang menghadapi ujian. Solat yang didirikan semata-mata kerana Allah, akan memberi ketenangan. Hati yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah ketika berhadapan dengan kegagalan, kesakitan atau kekurangan dalam hidup.

Sesungguhnya hanya Allah SWT yang memberi rezeki kepada hamba-Nya. Rezeki bukan hanya dilihat kepada harta ia merangkumi setiap aspek kehidupan seperti ahli keluarga yang soleh dan solehah, umur panjang, kehidupan bahagia di dunia serta akhirat.

Berdasarkan situasi dan cabaran masa kini, inilah ketikanya kita semua perlu sedar dan jadikanlah solat terutama solat berjemaah sebagai penawar, sumber kekuatan serta jalan keluar bagi sebarang masalah.

Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Berita Harian Agama  2014/05/23 - 03:33:19 AM

Belia berilmu, beriman tidak mudah goyah

Generasi muda cemerlang pandai harga masa dengan aktiviti berfaedah

Hari Belia Negara disambut untuk menghargai jasa dan sumbangan belia serta mengangkat potensi yang ada pada belia negara. Hari Belia bukan sekadar menjadi hari untuk berhimpun, tetapi yang paling penting adalah menyedari dan menginsafi peranan belia untuk membangunkan agama serta negara.


Ulama kontemporari terkenal, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menggambarkan belia sebagai golongan pemimpin masa hadapan.

Katanya, apabila hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Jika golongan muda hari ini daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.

Had umur belia berbeza

Mengikut Dasar Pembangunan Belia dan Akta Pertubuhan Belia serta Pembangunan Belia Malaysia, belia ditakrifkan dalam kalangan yang berumur tidak kurang 15 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Namun, umur beliau negara anggota Komanwel berbeza.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula menggunakan lingkungan umur antara 15 hingga 25 tahun sebagai belia, manakala Commonwealth Youth Programme (CYP) pula menganggap kumpulan umur 18 hingga 35 tahun sebagai belia.
Walau apapun tafsiran umur diberikan, persoalannya ialah bagaimana untuk membina belia yang cemerlang selaras syariat Islam supaya umur yang berharga ini dapat dimanfaatkan sewajarnya untuk agama, bangsa dan negara.

Apabila berbicara soal umur, maka kita akan bercakap soal masa dan waktu. Masa disifatkan bergerak dan tidak boleh diundur walau dengan apa cara sekalipun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-A’sr, ayat 1-3)

Allah SWT mulakan surah ini dengan menunjukkan kepentingan menghargai masa. Masa tidak mengenal siapa termasuk rasul yang paling disayangi atau Iblis paling terkutuk. Maka, beruntunglah bagi mereka yang menghargai masa dan rugilah bagi mereka yang mensia-siakan masa.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila engkau berada pada waktu petang, jangan tunggu tibanya pagi dan apabila berada pada waktu pagi, jangan tunggu tibanya petang. Ambillah peluang pada masa sihat sebelum ketika sakit dan peluang ketika hidup bersedia ketika mati.” (Riwayat Bukhari)

Belia cemerlang pandai manfaat masa

Belia yang cemerlang dan beriman adalah yang memanfaatkan masa dengan betul. Mengisi masanya dengan menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman serta takwa. Oleh itu, mereka tidak mudah goyah oleh anasir serta gejala yang merosakkan jiwa, akidah dan akhlak.

Belia yang ideal harus menghargai masa muda, segala potensi, tenaga muda untuk membangunkan minda serta berusaha sedaya upaya mencari ilmu sebanyak mungkin. Masa muda inilah harus di isi dengan perkara berfaedah di samping mengasah bakat daya kepimpinan.

Contohnya, seorang mahasiswa harus mengoptimumkan masa di menara gading dengan menceduk ilmu dari alim ulama dan pensyarah, terbabit aktiviti berpersatuan untuk membina kemahiran insaniah seperti berkomunikasi dan bersosial.

Pelajar sekolah pula perlu berazam bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Keputusan cemerlang akan membolehkan pelajar menyambung pelajar di universiti sebagai jambatan untuk menjadi orang yang berilmu serta berakhlak.

Oleh itu, usia muda yang sedang dinikmati belia harus dihargai sebaik mungkin dengan mengamalkan suruhan agama. Dunia Islam merindui belia pada era kegemilangan Islam seperti Usama Bin Zaid yang menjadi panglima perang untuk menentang kerajaan Rom di Syam pada usia 18 tahun.

Begitu juga semasa perkembangan Islam di Makkah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Ibni Abi Talib, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi sahabat Nabi menjadi pelopor kepada kebangkitan berjihad dalam menegakkan ajaran Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu -orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa saja yang mereka lakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-104)

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Berita Harian Agama 2014/05/23 - 03:46:56 AM  Mohd Hariri Mohamad Daud

Bahaya liberal dan pluralisme bagi akidah Islam

PENEGASAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis perasmian Seminar Pencerahan Tasawwur Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) mengenai bahaya faham liberal dan pluralisme agama sangat dialu-alukan.

Fahaman liberal tidak sama dengan makna kebebasan yang dipandu oleh syarak. Kebebasan tanpa dukungan etika, agama dan syarak boleh membawa kepada kesesatan akidah. Pluraliti yang mengakui adanya kepelbagaian tidak sama dengan pluralisme agama yang mengiktiraf semua agama adalah sama benar.

Menurut Muhyiddin, fahaman dan fal­sa­fah tersebut sudah mula menular di ne­ga­ra ini malah terdapat segelintir pihak mem­persoalkan bidang kuasa institusi agama terutamanya majlis fatwa dan mahkamah.

Di Indonesia aliran fahaman ini sa­ngat berkembang. Ia dulu dipelopori oleh tokoh seperti Nurcholis Majid dan Ulilabsar, digerakkan oleh institusi Paramadina dan Jaringan Islam Liberal (JIL). Mereka membuat tafsir dan ta'awil baru mengenai al-Quran dengan mengambil metodologi barat sebagai landasan.

Al-Quran dari sudut teologi dan akidah menyatakan dengan jelas mengenai Innaddeena'in dallah hil Islam. Al-Quran membina prinsip bagaimana kita melihat agama lain laqum deenukum walyadeen. Umat Islam tidak dididik membenci agama lain. Dari sudut akidah Islam menjadikan tauhid iaitu keesaan Allah sebagai tunjangan dalam beragama.

Tambah Muhyiddin, hukum-hukum yang diputuskan secara qat'ie di dalam Is­lam seperti pengharaman meminum arak, zina, murtad dan perkahwinan sejenis dipersoalkan atas alasan ia bertentangan dengan kebebasan dan hak asasi manusia.

Faham humanrightisme atau hak asa­si­­ cara barat menolak agama sebagai sandaran sistem nilai. Akal dan rasionaliti, mereka jadikan rujukan mutlak mengenai kebenaran. Agama dilihat sebagai dog­ma­tik (khayalan) dan tidak saintifik.

Fahaman modenisme yang digantikan dengan aliran pasca-modenisme sedang mendukung pendekatan menolak hierar­ki, otoriti dan menjadikan mereka anarki. Hierarki bermaksud atas nama hak asasi sistem kekeluargaan kian runtuh dan digantikan dengan pola LGBT.

Otoriti bermaksud institusi gereja dan kitab Bible tidak lagi dijadikan otoriti mempedoman salah-benar dan halal-ha­ram akan sesuatu. Atas nama hak asasi mereka boleh melakukan apa saja tanpa dipandu oleh pedoman agama.

Anarki (disorderly) menjadi jalan pilihan yang menyebabkan jalur kehidupan ini ditentukan oleh keinginan manusia yang tidak terbatas lalu berkembang fa­ham he­donisme (berseronok-seronok) dan ter­binanya gela­gat kebendaan dan in­di­vi­dualistik yang me­­nyumbang kepada ger­sangnya nilai kemanusiaan yang fitrah sifatnya.

Seorang tokoh barat bernama John Hick yang memperjuangkan fahaman plura­lisme agama ini dalam bukunya Philosophy of Religion (1990) menyimpulkan semua aga­ma itu adalah sama benarnya.

Kebenaran mutlak dalam Islam dan al-Quran merujuk kepada konsep tauhid. Puluhan tahun Rasulullah SAW melakukan dakwah dan menyebarkan risalah menja­dikan akidah tauhid sebagai yang paling utama walaupun telah ada agama nenek-moyang dan faham yang bercanggah de­ngan akidah tauhid pada waktu itu.

Seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW diakhir zaman akan terdapat 73 firkah atau golongan beragama tetapi yang diterima oleh Allah ialah satu iaitu yang berpegang kepada fahaman ASWJ.

Secara jelas faham ini menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan dan ikutan. Ia tidak menolak ke­perluan ijma’ dan qiyas dalam fikah dan syariah supaya Islam itu bersifat sezaman dan mampu meleraikan isu-isu semasa dan cabaran lingkungan. Asas perpecahan terhadap umat Islam kini antara lain ialah penolakan fahaman ASWJ dan menghasilkan faham-faham lain yang sifatnya bercanggah.

Fahaman liberal-pluralis agama ini ada­lah salah satu firqah atau aliran yang menyeleweng dan boleh menyesatkan akidah umat. Sebahagian umat Islam di Indonesia dan segelintir yang terdapat di Malaysia sudah mula terimbau de­ngan faham ini dengan anggapan bahawa umat Islam tidak akan maju sekiranya faham liberalis-pluralis ini tidak dijadikan sandaran. Sejarah tamadun Andalusia umpamanya menjadikan ASWJ sebagai sumber maju dan membangun dan mampu membina tamadun.



Dari Jendela Tok ki   Utusan/Rencana/20140523

 

Israk Mikraj dan makna kehilangan MH370

MINGGU depan umat Islam akan mem­pe­­­r­ingati Israk Mikraj, salah satu peristiwa yang cukup penting dalam kalendar sejarah Islam.

Israk Mikraj adalah perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Baitulmaqdis dan naik ke Sidratul Muntaha, kemudian kembali ke Mekah dalam waktu singkat. Pe­ristiwa ini, kejadian yang sukar diterima oleh akal rasional kecuali melalui pendekatan ke­imanan.

Ini bermakna, orang yang tidak beriman tidak akan dapat menerima peristiwa itu. Orang tidak beriman juga akan mengatakan peristiwa itu sebagai mengada-ada dan rekaan Nabi Muhammad semata-mata sebagaimana reaksi kaum musyrikin Mekah ketika pertama kali mendengar tentangnya.

Dimensi keimanan dan ketakwaan inilah yang menjadi sempadan antara orang yang beriman dan tidak beriman. Begitu juga de­ngan beberapa peristiwa yang berlaku di negara kita kebelakangan ini seperti hilangnya pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Misteri ini turut disifatkan sebagai peristiwa luar biasa sehinggakan peralatan canggih ciptaan manusia tidak mampu merungkai kehilangan pesawat itu.

Bagi orang yang beriman, kehilangan MH370 dihadapi dengan kesabaran, tawa­kal dan percaya sepenuhnya bahawa peristiwa ini adalah qada dan qadar Tuhan. Sebaliknya, bagi orang yang tidak beriman, peristiwa ini dihadapi dengan cara yang emosional, me­nyalahkan pihak lain dan tidak menerima suratan takdir yang mengkehendaki peristiwa berkenaan.

Sudah tentu pelbagai kejadian di muka bumi ini tidak dapat diukur de­ngan pertimbangan akal semata-mata. Pendekatan material hanyalah sebagai alat bantu untuk lebih memahami kuasa yang lebih besar yang tidak dapat dijangkau oleh akal manusia. Kehilangan MH 370 adalah contoh terbaik bahawa keupayaan manusia ini hanyalah secubit saja di hadapan Allah.

Begitu juga halnya dengan peristiwa Israk Mikraj. Satu perjalanan spiritual yang paling tinggi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana Nabi pun. Ia dianggap mukjizat kedua terbesar setelah al-Quran. Peristiwa yang diabadikan di dalam al-Quran ini adalah proses pengukuhan dan penyucian jiwa dan rohani Rasulullah. Malah sekarang pun golongan empirisisme dan rasionalis masih mempersoalkan bagaimana mungkin lingkungan cakerawala yang menjadi laluan Nabi Muhammad tidak mengakibatkan geselan panas yang membakar tubuhnya?

Bagaimana mungkin ia dapat melepaskan diri daripada daya graviti bumi? Mereka me­lihat peristiwa ini berdasarkan realiti empirik dan rasional saja. Padahal, peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa luhur dan di luar batas kemampuan akal dan fikiran manusia.

Sesuatu yang tidak atau belum terjangkau oleh akal fikiran manusia seharusnya tidak dijadikan alasan bagi mencari kepalsuan pe­ristiwa itu kerana al-Quran menyatakan: "Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan me­lainkan sedikit." (Maksud Al-Quran Surah al-Isra ayat 85).

Dalam beberapa ayat yang menceritakan Israk Mikraj ini, berulang kali ditegaskan tentang keterbatasan pengetahuan manusia serta sikap yang harus mereka pertahankan, misalnya, firman Allah bermaksud: "Dia (Allah) menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Maksud al-Quran Surah Nahl ayat 8).

Apa yang ditegaskan al-Quran tentang ke­terbatasan pengetahuan manusia turut diakui para ilmuwan abad ke-20. Mereka me­­­nyatakan pengetahuan manusia tentang alam hanyalah mencapai tiga peratus, sedangkan baki 97 peratus adalah di luar batas kemampuan manusia. Peristiwa ghaib dan mukjizat itu memang tidak mungkin terjangkau oleh kewarasan fikiran.

Bagaimanapun jika dilihat daripada per­s­­­­­­­­­pektif keilmuan Islam, maka per­so­alannya menjadi sesuatu yang lain. Ia tetap ilmiah dan benar, sebab dalam konsep Islam, ilmu di samping memiliki paradigma deduktif-­induktif tetap mengakui paradigma tran­sen­den dan yang tidak terlihat oleh mata kasar.

Islam turut memberi pengakuan secara total adanya kebenaran daripada Tuhan, pe­nga­kuan adanya hal-hal bersifat metafizik (misalnya tentang wujudnya Allah, para malaikat, hari kebangkitan, syurga, neraka dan sebagainya) merupakan kebenaran yang tidak memerlukan bukti empirik bah­kan persoalan-persoalan metafizik ter­sebut adalah benar (realiti).

Mereka lupa atau sengaja melupakan ba­hawa wahyu dan kenabian adalah masalah ghaib yang tidak tunduk terhadap ukuran pancaindera dan keterbatasan akal fikiran. Peristiwa ini membuktikan ilmu dan kudrat Tuhan meliputi dan menjangkau, bahkan mengatasi segala terbatas dan tidak terbatas oleh ruang dan waktu.

Sebenarnya, peristiwa Israk Mikraj ha­nya disebut secara umum dan sekilas sa­ja di dalam al-Quran. Rasulullah tidak ba­nyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan itu. Bagaimanapun, ken­­yataan yang telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru.

Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk Mikraj disertai de­ngan penambahan hadis yang dari segi autentiknya tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk Mikraj memerlukan kajian mendalam dan usaha optimum untuk mene­liti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan Rasulullah tersebut. Ini penting untuk generasi akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu.

Peristiwa Israk Mikraj tidak cukup dite­ri­ma dengan akal sahaja kerana untuk sampai kepada penghayatan yang betul ia harus menggunakan riyadhah (dalam tasawuf latihan kerohanian dengan mela­kukan iba­dah).

Perjalanan Rasulullah yang berangkat dari bumi yang rendah menuju al-Muntaha adalah cerminan perjalanan hidup kita sebenarnya. Kita meninggalkan bumi yang rendah me­nuju tempat yang tinggi untuk menghadap Allah untuk menggambarkan dahsyatnya perjalanan ini. Seorang sufi bercerita ketika Rasulullah sampai di satu tempat, malaikat Jibril mengatakan: "Saya tidak mahu ikut lagi. Sebab kalau saya ikut, sayap saya akan terbakar. Berangkatlah engkau sendirian."

Lalu Rasulullah berangkat ke satu tempat. Di situ malaikat pun tidak ada, hanya Rasulullah dan Allah. Rasulullah sampai pada suatu kedudukan di mana malaikat yang muqarrabin pun tidak dapat ke tempat itu. Menurut ahli sufi, itulah puncak perjalanan seorang murid ketika mendekati Allah. Sehingga para sufi mengatakan bila mereka dapat melalui seperti Rasulullah naik ke langit menuju Sidratul Muntaha, mereka tidak akan turun lagi ke bumi. Tetapi Rasulullah setelah mencapai makam tertinggi, Baginda turun ke bumi dan membawa satu amanah yang di­sampaikan kepada umatnya.

Ini semua terjadi di bawah bimbingan Allah dan taufik-Nya. Menurut Muhammad Asad, Sidratul Muntaha seperti pepohon teratai atau seroja. Pohon ini sememangnya sudah dikenali sejak zaman Mesir kuno lagi. Pohon ini dianggap sebagai lambang kebijaksanaan. Maka Sidratul Muntaha adalah lambang kebijaksanaan yang tertinggi dan terakhir yang dicapai oleh seorang manusia pilihan Allah.

Sesungguhnya Rasulullah telah sampai di Sidratul Muntaha, maka ia telah sampai tahap kebijaksanaan tertinggi yang dikurniakan Allah kepadanya. Sehingga amat wajarlah Rasulullah memiliki akhlak yang sangat mulia, sabar, kasih sayang terhadap manusia, alam dan haiwan.

Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan/Rencana/20140523

Sanggahan berasas humanrightisme

POLEMIK Hak Asasi Manusia (HAM) memang menarik minat ramai. Ada yang mengatakan ia Islamik, tidak Islamik, anti-Islamik atau tiada kena-mengena dengan Islam.

Justeru apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyanggah agenda HAM versi sekular barat yang digelar sebagai humanrightisme itu baru-baru ini, ada pelbagai respons masyarakat termasuk ada yang 'kepanasan’ dan kecewa.

Mereka mengatakan Malaysia hipo­krit apabila menjuarai perjuangan keseder­ha­naan Islam di peringkat antarabangsa sementara hakikat di negara sendiri menindas sekelompok minoriti berlainan kefahaman. Sejauhmana kebenaran dak­waan ini?

Ikuti temu bual wartawan Utusan Ma­laysia, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dengan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), DATUK OTHMAN MUSTA­PHA bagi mengupas isu ini.

UTUSAN: Apakah perspektif Islam terhadap agenda HAM ?

OTHMAN: Dalam mendepani polemik HAM ini terdapat sekurang-kurangnya tiga tanggapan berbeza terhadapnya. Yang pertama, golongan yang saya istilahkan sebagai ‘ultras HAM’ yang merasakan bahawa HAM ini tidak ada kena-mengena dengan tradisi Islam. Ia merupakan produk eksklusif tradisi sekular barat (barat bukan hanya merujuk kepada geografi dan bangsa tetapi cara berfikir dan menanggap sesuatu) yang haram dikaitkan dengan peradaban selain barat terutamanya Islam.

Jika ada cubaan untuk menyerap tradisi Islam ke dalam wacana HAM ini, agama (Islam) dan syariah itu harus disesuaikan dengan tradisi barat terlebih dahulu.

Pendapat kedua menyatakan bahawa Islam telah lama beragenda dalam mem­bela HAM ini. Bukti terbesarnya adalah kedatangan Islam itu sendiri yang mem­bebaskan manusia daripada belenggu ke­ja­hilan yang mengakibatkan bermacam-macam kezaliman dan penindasan.

Sementara ketiga ialah golongan anti-HAM yang menolak secara total fenomena HAM yang dirasakan sebagai sebuah agen­da sekular yang mahu menjauhkan Islam daripada hati penganutnya dengan menerapkan pandangan alam barat secara menyeluruh. Nyata daripada tiga kelompok ini, kelompok kedua adalah yang mewakili pandangan yang menepati.

Jika begitu, kenapa ramai pendokong HAM versi liberal/sekular ini merasakan Islam sebagai bermusuhan dengan agenda HAM?

Islam memang bertentangan dengan agenda HAM versi yang mereka bawa. Agen­da hak manusia sekular yang meletakkan manusia pada posisi paling sentral ber­ban­­ding ketuhanan ini adalah tempias hu­ma­nisme peradaban barat moden yang bertentangan dengan Islam.

Hakikatnya apabila bercerita mengenai HAM yang sebenar, Islamlah yang paling memelihara hak manusia itu.

Perjuangan Islam yang mengangkat dar­jat persamaan, kebebasan dan peng­hor­matan ini terzahir melalui idea persamaan manusia tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, hak kepada keadilan, kebebasan individu, tanggapan tidak bersalah sehingga disabitkan, hak asasi golongan tertentu se­­perti wanita, kanak-kanak, pelarian, ta­wa­nan perang dan lain-lain termaktub secara jelas di dalam al-Quran dan juga hadis.

Melalui asas ini generasi ulama dan para pemikir Islam beransur-ansur dan sistematik membina struktur hak asasi yang menyeluruh berkaitan dengan Tuhan, alam dan manusia itu sendiri.

Persepsi bahawa HAM itu melampaui batas agama Islam nyata satu kekeliruan. Jika ada yang menjustifikasi kenyataan ter­sebut berdasarkan kurangnya pene­kanan terhadap perbahasan hak asasi oleh aga­­ma Islam, nyata ia adalah sejauh-jauh ke­fahaman. Kurang perbahasan khu­sus HAM tidak bermakna hal ini dike­sampingkan.

Hakikatnya penekanan terhadap HAM itu tertuang secara transcendent di dalam syariah melalui prinsip maqasid syariah (menerusi ad-dharuriyatul khamsah atau juga disebut al huququl insan fil Islam) yang meletakkan hak insan sebagai salah satu syarat pentingnya. Ini bermakna perbahasan mengenai HAM ini tidak dapat lari dari agama malah ia adalah semangat yang ditekankan di dalam syariat itu sendiri.

Sebahagian pendokong liberal dan HAM ini sebenarnya menyedari HAM adalah tidak mutlak dan adanya batasan dalam kebebasan namun mahu agar diri mereka sendiri yang menentukan batasan tersebut, apa komen Datuk?

Perjuangan menentang adanya apa yang diistilahkan sebagai ‘autoriti agama’ sudah sekian lama berkembang sejak lahirnya liberalisasi agama itu di barat. Hakikatnya mereka mahukan sebuah agama yang private.

Bagaimanapun Islam bukan agama per­sen­dirian. Konsep amar-ma’ruf nahi munkar itu sangat rapat dengan prinsip membela kemaslahatan umum. Sebenarnya merekalah yang mahu menjadi autoriti itu.

Saya juga ingin tekankan dalam konteks perbahasan HAM ini, adakah seorang hamba mempunyai hak melangkaui apa yang ditentukan ‘Tuannya’? Namun sering­kali tatkala membahaskan hubungan antara insan dan Tuhan seakan-akan konteks hamba dan tuan ini diabaikan. Tanpa mengerti kedudukan manusia, mana mungkin kita mampu menentukan apa yang menjadi hak bagi sesebuah jiwa itu.

Pengertian agama itu sendiri berkait rapat dengan konsep keberhutangan makhluk kepada Tuhan yakni hutang kewujudannya itu sepatutnya telah meletakkan manusia pada posisi yang sangat hina di hadapan Tuhannya. Justeru mempertikaikan atau menuntut hak yang tidak diberi Tuhannya adalah satu kejanggalan.

Golongan pendokong HAM ini sering menempelak golongan agamawan ataupun autoriti agama sebagai terlalu prejudis dan bersikap konservatif. Apa komen Datuk ?

Prejudis kita berasas. Trend HAM ini dengan sengaja didoktrinkan secara ‘manis’ sarjana di barat kononnya ia tiada kaitan dengan agama ataupun wacana pandangan alam barat yang komprehensif. HAM kononnya tidak menjejaskan mana-mana agama. Namun hakikat yang berlaku adalah agama itu ditundukkan di hadapan HAM.

Memanglah Islam tidaklah ditumbangkan secara zahir, namun syariat-syariat yang ditundukkan apabila bertentangan dengan teori HAM sekular itulah yang meruntuhkan Islam.

Sejauh mana Datuk melihat ancaman akidah yang boleh memberi kesan kepada masyarakat melalui perjuangan HAM ini ?

Umat Islam sudah berpecah disebabkan parti politik dan kini berpecah disebabkan berbeza kefahaman akidah sama ada di dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ataupun di luar ASWJ itu sendiri. Justeru perpecahan ini sangat merugikan bangsa dan agama. Kita bimbang umat Islam bergaduh di ‘tengah lebuh’ orang lain sedang ‘makan di dapur’.

Perselisihan ini kini dirumitkan dengan serangan pemikiran berbentuk perjuangan HAM sekular ini. Kita boleh melihat trend golongan HAM sekularis dan juga liberalis masa kini yang memperjuangkan isu-isu HAM ini melalui apa yang mereka katakan sebagai wacana Ilmiah.

Natijahnya hak-hak penganut fahaman Syiah kini bukan didokong oleh mereka yang mengaku Syiah sahaja, malah turut didokong oleh pro-HAM ini. Begitu juga hak-hak kumpulan-kumpulan Qadiani, LGBT dan seumpamanya.

Pendek kata perjuangan HAM ini me­mangkin pelbagai penyelewengan akidah yang dihalalkan atas dasar kebebasan ber­iktikad dan berkeyakinan yang mereka ang­gap teras dalam perjuangan HAM. Mung­kin mereka hanya akan percaya bahawa perpecahan ini akan memberi kesan kepada keselamatan dan keharmonian apabila keharmonian itu telah lenyap.

Saya juga ingin tekankan jika pun penyelewengan-penyelewengan akidah ini tidak membawa kepada perpecahan sekali pun, tidakkah menganut atau menyokong kefahaman yang menyimpang itu adalah sebesar-besar kesilapan. Sungguh wacana mereka ini begitu jauh daripada ilmu.

Jika begitu serius agenda HAM ini, ba­gaimana pendekatan pihak berkuasa menanganinya?

Kita amat menyedari bahawa serangan berbentuk pemikiran sebegini harus dibentengi dengan ilmu jua. Justeru pihak berkuasa agama dengan kerjasama agensi-agensi lain serta badan-badan bukan ke­ra­jaan sentiasa bekerjasama mengadakan program-program pencerahan melalui se­minar, ceramah dan lain-lain bagi memberi penjelasan kepada masyarakat bukan sa­ha­ja berkenaan isu HAM malah isu-isu pemikiran dan akidah yang lain.

Program-program jangka panjang ber­bentuk pendidikan sentiasa diperhalusi de­ngan menyemak semula modul-modul pendidikan supaya ia selaras dengan cabaran semasa.

Selain itu, sebagai sebuah negara Islam yang memelihara kesucian agama negara ini, tindakan berbentuk sekatan dan pe­nguatkuasaan terhadap mana-mana usaha untuk menggugat kesucian agama Islam di negara ini harus diambil bagi menutup ruang yang boleh membawa kepada ke­mu­daratan tersebut. Seterusnya kita me­nyerahkan segala usaha tersebut kepada Allah SWT jua untuk mengadilinya.

Golongan yang merasakan tindakan pe­­nguatkuasaan sebagai satu kekerasan sebenarnya sedang mempertikaikan Islam dari segenap sudut. Mereka mempertikaikan tradisi keilmuan Islam sepanjang zaman, mereka mempertikaikan undang-undang dan penggubal dasar-dasar tersebut dan mereka juga sedang mempertikaikan agama itu sendiri.

Permasalahan ini akan lebih diinsafi seandainya kita mengenali siapa seteru atau tandingan kita, apakah helah dan tipu daya serta apakah kekuatan dan kelemahan yang perlu kita baiki.

Semoga kita sentiasa digolongkan dalam ka­­langan yang melihat kebenaran sebagai ke­benaran dan melihat kebatilan sebagai kebatilan.



Utusan/Rencana/20140523

Aliran ahli sunnah asas perpaduan

APAKAH rahsia rakyat berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan damai di Malaysia? Jawapannya kerana kaum Melayu beragama Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini berpegang kepada ali­ran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Ketika membuat pendedahan itu semasa merasmikan Wacana Pencerahan Tasawwur ASWJ, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aliran itu yang telah sebati dengan masyarakat Islam di Malaysia merupakan faktor utama yang mendidik orang Melayu supaya mengamalkan nilai-nilai wasatiyyah atau kesederhanaan.

Katanya, nilai-nilai kesederhanaan telah dapat mengelakkan umat Islam daripada melakukan tindakan yang melampau dalam hubungan antara kaum dan agama.

"Secara tidak langsung, ajaran ASWJ yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia merupakan asas penting yang membawa kepada keamanan, kestabilan dan kehar­monian di negara kita.

"Oleh yang demikian, sudah pastilah ajaran ASWJ perlu terus diperkukuhkan dan diperkasakan di Malaysia," katanya pada wacana dua hari anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang berakhir Rabu lalu.

Sejajar dengan saranan Muhyiddin itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan dan ilmuwan Islam saling bekerjasama bagi mengekang fahaman asing seperti Syiah, Islam liberal, pluralisme agama dan sekula­risme yang dilihat boleh melemahkan aliran ASWJ di negara ini.

"Ini termasuk juga aliran Salafi-Wahabi yang dibawa oleh Muhammad Abdul Wahab serta fahaman akidah yang dibawa oleh Ibnu Taymiyyah, Ibnu Qayyim, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha.

"Fahaman terbabit jelas sekali berten­ta­ngan dengan ASWJ yang berpegang kepada ajaran Imam Abu Hasan al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dari segi akidah; Imam Syafie dari segi fikah manakala aspek akhlak dan kerohanian pula berpandukan kepada pendekatan yang dibawa Imam al-Ghazali," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mem­ben­tangkan kertas kerja bertajuk ‘Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi untuk Memperkasakannya’.

Menurutnya lagi, Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula memberi definisi ASWJ sebagai golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW menerusi para sahabat, tabii dan tabi tabiin serta setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak.

"Antara ciri-ciri umum aliran ASWJ yang digariskan oleh Jakim ialah sikap mengutamakan perpaduan, persaudaraan Islam dan perdamaian; berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin serta tidak taksub hingga mengkafirkan atau menyesatkan sesama Islam," katanya.

Jelas beliau, penolakan terhadap faha­man asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana mereka sen­diri tidak mahu dikaitkan dengan identiti ASWJ.

"Tetapi wujud polemik yang boleh mewujudkan perpecahan antara Salafi-Wahabi dan ASWJ kerana sistem rujukan sumber hukum yang sama, malahan masing-masing dengan tegar mendakwa merekalah kelompok ASWJ yang murni," jelas Mohamad Zaidi.

Aliran Salafi-Wahabi adalah bersifat radikal berbanding ASWJ yang sederhana, malahan pengikutnya dikatakan cende­rung kepada tindak tanduk bengis dan suka mengkafirkan umat Islam lain selain diri mereka.

Golongan berkenaan mengkafirkan pe­ngi­­kut jemaah tabligh dan menganggap ahli tasawuf Islam sama seperti Yahudi yang perlu diperangi.

Mereka juga menganggap bidaah amalan seperti bacaan qunut ketika solat Subuh, sambutan maulidur rasul, bacaan yasin berjemaah, mengangkat tangan semasa berdoa, bacaan talkin dan majlis tahlil.

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Pe­ngajian Islam Universiti Kebangsaan Ma­laysia (UKM), Prof. Datuk Zakaria Sta­pa berkata, pegangan terhadap aliran ASWJ te­lah berjaya menyumbang kepada keda­maian dan keharmonian dalam kehi­dupan beragama di Malaysia.

"Dalam lain perkataan, aliran ASWJ sebagaimana yang dipegang, diamal dan dihayati di negara ini telah menjadi paksi perpaduan ummah, sehingga sejarah kita tidak pernah mencatatkan berlakunya pertumpahan darah dan huru-hara atas nama agama.

"Dengan itu, ASWJ merupakan satu aset amat bernilai yang mesti dijaga dan di­pertahan sebaik mungkin walaupun terpaksa melibatkan harga yang amat tinggi demi perpaduan dan kemajuan ummah," katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, akhir-akhir ini aliran ASWJ cuba digugat oleh pihak-pihak tertentu yang muncul dalam satu gelombang, dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan peralatan, bertujuan untuk mengkaburkan identiti ASWJ yang sudah meresap pada asas-asas akidah, fikah, tasawuf dan sistem perundangan di Malaysia.

Katanya, tanpa disedari kurikulum Pe­ngajian Islam di sekolah-sekolah juga sudah diresapi dengan fahaman yang bertentang­an dengan ASWJ.

Beliau berkata, dalam kurikulum ber­kenaan terdapat fahaman Salafi-Wahabi berasaskan ajaran Ibnu Taymiyyah tentang akidah yang membahagikan konsep tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiy­yah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma Wal Sifat.

"Keyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini adalah bertentangan dengan ayat al-Quran dan hadis yang tidak pernah membezakan makna Rabb dengan makna Ilah.

"Terdapat beberapa implikasi yang menakutkan dari perspektif pegangan akidah hasil daripada kenyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini termasuk kecenderungan untuk mengkafirkan sesama Islam.

"Dalam konteks semasa, umat Islam sudah tiada masa untuk berpecah dan berperang sesama sendiri atas sebab apa sekalipun, lebih-lebih lagi atas nama agama, seperti yang sedang terjadi di beberapa negara orang Islam masa kini," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘ASWJ: Satu Kerangka Umum’.

Tambahnya, umat Islam di negara ini tidak wajar membiarkan diri mereka dipe­ngaruhi dengan fahaman-fahaman lain se­­­ba­liknya perlu terus berpegang kepada aliran ASWJ yang telah terbukti berjaya membawa kesejahteraan.

"Pengikut aliran ASWJ meliputi 90 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia masa kini dan hakikat berkenaan menunjukkan ia merupakan golongan arus perdana umat Islam sejak zaman berzaman.

"Dari sudut ini sahaja pun sudah boleh menunjukkan betapa ASWJ merupakan satu aliran atau mazhab yang ortodoks dan autentik mewakili keseluruhan ummah dengan membawa bendera kebenaran dan ketulenan ajaran Islam yang maha suci.

"Ini kerana, menjadi amat sukar diterima akal majoriti, sebegitu besar umat Islam akan bersekongkol memperakui perkara yang sesat dan tidak benar," ujar beliau.

NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140523