May 27th, 2014

Merenung hikmah Israk Mikraj

BULAN Rejab mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding bulan-bulan hijrah lain. Ini kerana berlakunya peristiwa agung yang mencabar minda dan akal fikiran manusia untuk memikirkan kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Sirah perjalanan agung Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermula daripada rumahnya di Mekah kemudian singgah di Madinah dan Baitulmaqdis di Palestin sebelum dibawa menaiki Burak membelah tujuh petala langit dan menghadap Allah pada satu malam adalah suatu mukjizat yang kekal dikenang hingga ke hari ini.

Malah ia merupakan kejadian yang bertentangan dengan hukum akal manusia hinggakan terdapat dalam kalangan orang Islam yang lemah iman tidak mempercayainya lalu kembali kepada agama asal mereka.

Allah berfirman yang maksudnya; Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra':1)

Peristiwa agung ini jelas menunjukkan betapa kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Malah manusia yang sifatnya lemah, pelupa dan sering kali berbuat kesalahan dan kesilapan harus sentiasa merendah diri dan bertaubat kepada Allah.

Usah mendabik dada dengan kebolehan manusia yang terhad dan kecanggihan teknologi yang memukau pandangan, kerana semua itu hanya sekelumit daripada ilmu Allah yang maha luas lagi tidak bertepi.

Usah terlalu berbangga dengan kejayaan dan pencapaian yang dikecapi kerana ia adalah sekelumit daripada anugerah Allah yang perlu disyukuri.

Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah Rasul-Nya apabila menemui jalan buntu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Keengganan berbuat demikian dikhuatiri akan menyebabkan individu Muslim tersilap langkah dan menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar.

Mukjizat agung Israk Mikraj juga menunjukkan betapa Allah maha berkuasa secara mutlak untuk memberi balasan baik dan buruk kepada hamba-hamba-Nya. Perkara ini dapat diperhatikan kepada gambaran balasan baik dan buruk yang dipertontonkan kepada kekasih-Nya pada malam kemuliaan tersebut.

Antaranya Baginda Nabi SAW diperlihatkan dengan keadaan segolongan manusia yang menanam tanaman kemudian tumbuh subur dan dituai hasilnya pada hari yang sama.

Apabila ditanya kepada Malaikat Jibril yang sentiasa mengiringi Nabi SAW dalam perjalanan tersebut, dijawab ia adalah balasan yang disediakan buat para pejuang fisabilillah yang ikhlas berjuang bermati-matian lalu dilipatgandakan pahala amal mereka oleh Allah.

Mengambil sempena peristiwa yang menakjubkan ini, umat Islam diseru untuk berjuang habis-habisan bagi mempertahankan akidah daripada terlibat berbuat perkara yang boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada landasan agama yang sebenar.

Ini termasuklah golongan yang mempersendakan hukum hakam Allah SWT lagi tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Terdapat pula yang masih mempercayai perkara-perkara khurafat dan tahyul serta mempercayai kuasa tertentu yang boleh memberi kebaikan dan keburukan selain daripada Allah yang maha berkuasa.

Di sudut lain, umat Islam diseru mempertahankan kesucian agama Allah daripada diceroboh oleh pihak-pihak yang berniat serong dan mempertahankan institusi kenabian daripada diperbodoh-bodohkan dengan lawak dan karikatur yang menjengkelkan.

Malah sebilangan umat Islam di luar negara terus ditindas dan dan dinafikan hak untuk bernegara apatah lagi melaksanakan ajaran agama di tanah air mereka sendiri.

Selain itu, penipuan atas nama agama juga semakin berleluasa. Malah yang lebih memalukan apabila ada pihak yang menjaja agama ke sana dan ke mari tak ubah seperti ubat pelaris kepada perniagaan mereka.

Ingatlah, pelbagai bentuk hukuman berat bakal menanti umat Islam yang malas menunaikan solat, enggan membayar zakat, seronok memakan riba dan meng­khianati amanah.

Yang mana jika diperhalusi balasan yang ditunjukkan oleh Allah ini bersifat menyeluruh lagi merangkumi pelanggaran terhadap tanggungjawab manusia kepada Tuhan-Nya, kepada masyarakat dan segala hubungan personal yang bersifat peribadi.

Apa yang lebih penting untuk difahami betapa setiap gerak-geri dan perlakuan manusia tidak pernah sepi daripada pemantauan Allah dan Allah secara mutlak maha berkuasa untuk memberikan balasan yang setimpal terhadap pelakunya.

Apa pun peristiwa Israk Mikraj yang meriah diraikan dengan pelbagai program dan aktiviti seharusnya menjadi wadah terbaik buat para Muslimin untuk kembali berpegang dengan ajaran Allah SWT dan sunah Rasul-Nya.

Dengan sifat akal manusia yang terhad dan hanya bergantung kepada kekuatan pancaindera yang juga terhad mana mungkin manusia mampu untuk memikirkan sesuatu yang di luar daripada batasan yang ditetapkan.

Lebih daripada itu, segala kejadian dan peristiwa yang berlaku mempunyai hikmah dan kebaikan tersendiri sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat di depan mata.

Hanya sahaja manusia sebagai hamba Allah harus sentiasa muhasabah diri seraya mempertingkatkan amal bakti demi mendambakan cinta Ilahi.

Malahan masa yang pergi dan berlalu begitu pantas tidak pernah menunggu sesiapa yang terlewat apatah lagi membuang masa kepada perkara perkara yang tidak berfaedah.

Ambillah iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku semoga menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik dari pada semalam.

MOHD. ALI MUHAMAD DON  ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor. Utusan/Rencana/20140527

Dunia penjara bagi Mukmim, 'syurga' orang kafir

Memperingati Israk Mikraj, umat Islam mestilah sentiasa memberi perhatian kepada permasalahan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa kerana peristiwa ini menjelaskan tautan rapat antara kedua-dua masjid ini serta kesuciannya kepada masyarakat Islam.

Baitulmaqdis telah dinobatkan sebagai kota suci ketiga bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Pembebasan kota ini menjadi kewajipan kepada umat Islam seluruhnya. Kita juga dapat mengambil seribu pengajaran lain pada peristiwa Israk Mikraj.

Antaranya, kita dilarang meletakkan pergantungan kepada dunia kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan dunia ini untuk mereka yang mengharapkan akhirat.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Dunia penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir.” (Riwayat Muslim)

Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan dunia adalah penjara bagi Mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan serta ancaman yang mencabar keimanan mereka.

Manfaat dunia secara bijaksana

Justeru, selaku orang Mukmin kita diseru memanfaatkan dunia secara bijaksana dengan menjadikan dunia jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah SWT akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).

Jabir bin Abdullah berkata: “Pada suatu hari sewaktu saya bersama Baginda Rasulullah SAW, maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih.

Lantas dia menghampiri Rasulullah SAW dan berkata: Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu? Maka Rasulullah SAW berkata: Dunia itu adalah impian orang yang tidur. Bertanya orang itu lagi: Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW? Sabda Baginda SAW: Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa’ir.”

Kita hendaklah mengembalikan kecintaan kepada Allah SWT kerana kepada-Nya tempat kembalinya kita semua. Perasaan cinta dan kasih sayang adalah fitrah manusia. Cinta yang lain sesama makhluk mestilah berpaksikan cinta kerana Allah SWT.

Oleh itu, untuk mendapatkan kecintaan kepada Allah SWT, mestilah membanyakkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan. Sentiasa bermunajat, solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Lidahnya tidak kering sentiasa menyebut nama-Nya, memuji dan mengagungkan-Nya.

Berita Harian Agama 2014/05/27

Maksiat penghapus nikmat

PADA tahun 28 Hijrah, Muawiyah bin Abi Sufyan meminta izin daripada Khalifah Usman bin Affan untuk membawa pasukan tenteranya ke Cyprus. Negeri ini pada masa sekarang termasuk dalam kawasan Turki. Untuk tiba ke negeri itu, mereka harus menyeberangi lautan dengan menaiki bahtera.

Pada masa Khalifah Umar, permintaan seperti ini pernah ditolak. Beliau tidak ingin membahayakan nyawa kaum Muslimin di lautan. Pada mulanya khalifah Usman juga menolak permintaan tersebut. Namun setelah diyakinkan oleh Muawiyah, beliau akhirnya mengizinkan.

Jadilah Muawiyah memimpin sebuah armada jihad dari Tanah Arab ke Cyprus. Ramai tokoh-tokoh sahabat Nabi SAW yang turut serta dalam pasukan ini, antaranya Ubadah bin al-Samit, Ummu Haram binti Milhan dan Abu Darda.

Setibanya mereka di Cyprus, pasukan musuh yang sangat ramai menyambut mereka. Terjadilah sebuah peperangan yang sangat dahsyat. Namun dengan pertolongan Allah SWT, pasukan Islam akhirnya berjaya mengalahkan pasukan kafir.

Di akhir pertempuran, mereka memperoleh rampasan perang yang berlimpah dan tawanan yang sangat ramai.

Namun peliknya, apabila Abu Darda melihat rampasan perang dan tawanan ini, beliau bukan bergembira malah menangis. Seseorang bertanya kepadanya: “Mengapa tuan menangis pada hari kemenangan Islam ini?"

Sahabat Nabi SAW itu menjawab: “Bangsa yang kita kalahkan ini sebelumnya ialah sebuah bangsa yang sangat kuat. Mereka memiliki kekuasaan yang luas. Namun apabila mereka mengabaikan perintah Allah, lihatlah apa yang berlaku pada diri mereka."

Abu Darda melanjutkan: “Sungguh hina seorang hamba di mata Allah apabila ia mula meninggalkan perintah-Nya."

Ucapan Abu Darda ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Nuaim dalam kitab Hilyat al-Aulia.

Syukuri nikmat

Kekuasaan, kekayaan, kepandaian, kecantikan, keturunan, kemasyhuran dan kelebihan-kelebihan duniawi lainnya ialah nikmat daripada Allah SWT. Semua ini diberikan kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Bukan setakat untuk dinikmati, akan tetapi juga untuk melihat apa yang akan mereka lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut.

Siapa yang pandai bersyukur, maka nikmat itu akan dikekalkan untuknya. Bahkan Allah SWT berjanji akan menambahkannya dengan pelbagai nikmat-nikmat yang baharu. Namun jika ia tidak bersyukur, maka nikmat itu akan dicabut, bahkan ia akan mendapat seksaan yang pedih.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu. Dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Ibrahim: 7) Mensyukuri nikmat bermakna ialah mengakui Allah SWT sebagai pemberi nikmat tersebut. Lalu berterima kasih kepada-Nya dengan melaksanakan seluruh perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya.

Siapa yang semakin bertambah nikmat tetapi semakin berani bermaksiat, maka ia bukanlah hamba yang bersyukur. Jika tidak segera bertaubat dan menginsafi ketelanjuran dirinya, maka orang seperti ini akan dilucutkan daripada nikmat-nikmat yang telah Allah SWT titipkan pada dirinya. Kesengsaraan akan segera menimpa dirinya di dunia sebelum azab di akhirat.

Justeru, maksiat ialah penghapus nikmat. Jauhilah maksiat, maka dengan izin Allah SWT nikmat yang kita miliki akan terus kekal, bahkan berkembang penuh berkat.



http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_07/Maksiat-penghapus-nikmat#ixzz32v9J1drx

Lalu di hadapan orang bersolat

APABILA memerhatikan gelagat masyarakat Islam dalam negara kita ketika di dalam masjid, maka sering kita terlihat perbuatan lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang. Tanpa rasa bersalah, malah dengan bangga pula boleh lalu di hadapan orang yang bersembahyang. Nampaknya, perbuatan ini semacam menjadi kebiasaan dan tidak dianggap salah.


Tidakkah pernah terlintas dalam fikiran kita apakah yang sedang dilakukan oleh orang yang sedang bersembahyang itu. Adakah dia sengaja berdiri? Tidakkah kita tahu bahawa seorang yang sedang sembahyang itu sedang bermunajat dengan Tuhannya?

Pernahkah kita mendengar hadis Nabi Muhammad SAW yang dilaporkan oleh Anas bin Malik: Seseorang yang sedang sembahyang itu sebenarnya sedang bermunajat kepada Tuhannya. Oleh itu jika dia hendak meludah, maka janganlah meludah di hadapan atau di sebelah kanannya. Tetapi ludahlah di bahagian kirinya, di sebelah kaki kirinya. (hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Kalau hendak meludah pun tidak dibolehkan di bahagian hadapan tempat kita sujud, adakah boleh kita dengan selamba lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang yang sedang bermunajat dengan Tuhannya?

Abu Soleh al-Samman melaporkan: "Saya pernah melihat Abu Sa’id al-Khudri sembahyang sunat pada hari Jumaat di masjid. Di hadapannya diletakkan sesuatu sebagai tanda ruang untuk beliau sujud. Beliau meletakkan tanda itu agar orang tidak lalu lalang dalam ruang antara dia dan barang tersebut.

"Kemudian ada seorang pemuda daripada keluarga Abu Mu’it hendak lalu di hadapannya. Apabila pemuda itu hendak lalu, Abu Sa’id pun mendepakan tangannya melarang pemuda itu daripada lalu. Pemuda itu pun melihat wajah Abu Sa’id. (Mungkin merasa pelik kenapa Abu Sa’id mendepakan tangannya melarang dia daripada lalu) Pemuda itu mencuba sekali lagi untuk lalu di hadapan Abu Sa’id.

"Pada kali kedua ini Abu Sa’id melarang dengan cara yang lebih keras. (Mungkin tangan yang didepakan itu terkena dada pemuda itu dengan agak kuat berbanding kali pertama). Kemudian pemuda itu berjumpa dengan Marwan. Beliau mengadu kepada Marwan terhadap apa yang telah dilakukan oleh Abu Sa’id itu tadi.

"Sejurus selepas itu Abu Sa’id pun datang, lantas Marwan pun bertanya kepadanya, ‘Apa yang saudara telah lakukan terhadap pemuda ini wahai Abu Sa’id?’ Abu Sa’id pun menjawab, ‘Sebenarnya saya pernah mendengar Nabi Muhammad berkata, ‘Jika salah seorang daripada saudara sedang sembahyang dan di hadapannya ada sekatan (tanda) agar orang lain tidak lalu di hadapannya itu."

Kemudian ada orang yang ingin lalu di hadapannya (antara orang yang sedang bersolat dan sekatan), maka hendaklah dia melarang orang yang ingin lalu itu. (hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang adalah satu dosa besar.

Abu al-Nadr, pembantu peribadi Umar bin Ubaidillah melaporkan: "Bisyr bin Sa’id melaporkan daripada Abu Juhaym, nama sebenarnya Abdullah bin al-Harth bin al-Sammah al-Ansari, beliau berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda jika orang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersolat mengetahui apa yang akan dikenakan ke atasnya (daripada dosa yang besar), maka lebih baik untuk dia berdiri menunggu (sehingga orang itu selesai solat) selama 40 (hari/bulan/tahun) daripada dia lalu di hadapan orang yang sedang bersolat itu. Abu al-Nadr berkata, Saya tidak pasti sama ada 40 hari atau bulan atau tahun. (hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain)."

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam bukunya Fath al-bari syarah sahih al-Bukhari dan Imam al-Syawkani dalam bukunya, Nayl al-awtar, menjelaskan bahawa bilangan 40 itu tidaklah difokuskan kepada bilangannya tetapi bertujuan sebagai menggambarkan betapa besarnya dosa lalu di hadapan orang yang sedang bersolat berbanding dengan berdiri walau terlalu lama sehingga orang itu selesai daripada solatnya.

Sementara itu, Imam Nawawi dalam bukunya Syarah sahih Muslim memberikan komentarnya, “Hadis ini menjelaskan betapa besarnya dosa lalu di hadapan orang yang sedang bersolat, di mana balasannya di akhirat akan dihumbankan ke dalam api neraka. Solat yang sedang didirikan itu sama ada solat wajib atau sunat."

Oleh itu jelas kepada kita bahawa lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang adalah satu dosa. Sebelum kita lalu, pastikan adakah di hadapan orang yang sedang solat itu diletakkan sesuatu sebagai tanda penghadang, seperti tongkat, beg, tasbih, sejadah, dan seumpamnya.

Jika ada, kita boleh lalu di luar kawasan solat orang itu iaitu di hadapan penghadang itu. Jika tiada penghadang, tukarlah arah. Cari laluan lain untuk dilalui.

Perlu dijelaskan bahawa perbezaan warna pada permaidani; sebagaimana yang ada di dalam masjid di negara kita, itu tidak dianggap sebagai penghadang. Ia hanya untuk memudahkan para jemaah meluruskan saf sahaja.



DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_05/Lalu-di-hadapan-orang-bersolat#ixzz32v9hgji1

Umat Nabi Syuaib

UMAT Nabi Syuaib a.s adalah penduduk kota Madyan yang menyembah pohon al-Aikah dan selalu melakukan penipuan dalam sukatan, ukuran dan timbangan. Oleh itu, Allah SWT telah mengutuskan Nabi Syuaib untuk mengajak mereka menyembah Allah Yang Esa dan meninggalkan perbuatan buruk tersebut. Bagaimanapun, mereka menolak ajakan pesuruh Allah itu.

Allah SWT mengisahkan semua ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: “Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Tuhan kamu.

Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu orang-orang yang beriman."

Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman daripada melalui jalan Allah dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan."

Dan jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukum-Nya di antara kita semua dan Dialah jua sebaik-baik hakim."

Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaum Nabi Syuaib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini atau kamu berpindah kepada agama kami". Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?

Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, mengkehendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebesaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim."

Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir daripada kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): “Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadilah orang-orang yang rugi."

Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing."

Mereka yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi."

Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)."

Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)". Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut dan tidak menyedarinya. (al-‘Araaf: 84-95)

Allah SWT menceritakan kehancuran umat Nabi Syuaib dengan gempa menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kemudian mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam rumah-rumah mereka. (Iaitu) orang-orang yang mendustakan Syuaib seolah-olah mereka belum pernah berdiam di kota itu, orang-orang yang mendustakan Syuaib mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-’Araaf: 91-92)

Juga dalam surah asy-Syu’ara ayat 189-190, Allah SWT menjelaskan kehancuran mereka menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kemudian mereka mendustakan Syuaib, lalu mereka ditimpa azab pada hari mereka dinaungi awan. Sesungguhnya azab itu adalah azab hari yang besar. Sesungguhnya azab itu adalah azab hari yang besar. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.

Demikianlah kaum Nabi Syuaib a.s, mereka diazab dengan tiga azab sekali gus, iaitu gempa, suara keras mengguntur dan awan gelap yang menaungi mereka. Semua itu disebabkan kerana kekufuran dan kemaksiatan mereka. http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_03/Umat-Nabi-Syuaib#ixzz32vA835UR

Lima peristiwa penting di bulan Rejab

BULAN Rejab adalah antara empat bulan suci yang telah Allah SWT tetapkan sejak diciptakan-Nya langit dan bumi. Selain itu, kedatangan bulan Rejab juga menandakan bulan Ramadan hampir tiba.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)....

Justeru, Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati semua ulama, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan tersebut, kecualilah jika mereka diugut.

Walaupun tidak ada ibadat khusus yang disyariatkan pada bulan Rejab tetapi ia tetap dianggap istimewa kerana di dalamnya berlaku syariat dan beberapa peristiwa penting. Antara yang paling diingati dan diraikan oleh umat Islam, acap kali tibanya Rejab ialah peristiwa Israk dan Mikraj.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi menjelaskan, peristiwa itu penting kerana umat Islam mula diwajibkan melaksanakan solat lima waktu.

“Ibadat solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan merupakan amalan terpenting dan ia adalah soalan pertama yang akan ditanya kepada setiap umat manusia apabila mati kelak," katanya ketika ditemui di USIM, baru-baru ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa lagi peristiwa penting dalam bulan Rejab yang bukan hanya dikhususkan untuk amal ibadat tetapi juga falsafah di sebalik peristiwa tersebut.

Selain Israk dan Mikraj, bulan Rejab turut menyaksikan berlakunya hijrah pertama dalam Islam, Perang Tabuk, pembebasan Baitul Maqdis oleh Shalahuddin Al-Ayubi dan lahirnya Imam Syafie.

1. Hijrah pertama dalam Islam

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) itu berlaku pada tahun kelima kenabian atau 615 Masihi ke Habsyah dan ia berlaku berikutan peningkatan tekanan dan ancaman kepada baginda Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Allah SWT.

Menurut Lukmanul Hakim, walaupun hijrah itu hanya membabitkan 14 orang tetapi ia sebagai satu usaha terpenting baginda untuk menyelamatkan iman umat Islam daripada terjejas berikutan peningkatan ancaman dan penderitaan saban hari.

Selain itu, tambahnya, hijrah itu juga sebagai satu usaha untuk merancang penyebaran agama Islam di Mekah dan tempat lain.

“Rasulullah sedar bahawa agama Islam baharu sahaja hendak berputik di Mekah tetapi hampir setiap hari baginda SAW mengetahui pengikutnya didera atau menerima ancaman yang menakutkan.

“Jadi, Rasulullah SAW bimbang ancaman sedemikian akan menyebabkan pengikutnya kembali kepada agama asal, jika tidak ada usaha membawa mereka keluar dari kota Mekah," katanya.

2. Israk dan Mikraj

Peristiwa perjalanan Rasulullah SAW itu sudah menjadi begitu sebati dengan jiwa setiap umat Islam. Kisah itu sering menjadi topik utama kuliah, ceramah atau tulisan keagamaan setiap kali menjelang 27 Rejab.

Bagi Lukmanul Hakim, walaupun wujud perdebatan berhubung peristiwa terpenting itu tetapi umat Islam sepatutnya melihat falsafah terjadinya perjalanan Rasulullah SAW itu.

“Biarlah perdebatan itu berlaku dalam kalangan para ulama tetapi sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa peristiwa itu bukan hanya sebagai bermulanya perintah solat fardu lima kali sehari semalam.

“Tetapi melalui peristiwa itu, kita ditunjukkan balasan ke atas setiap perbuatan kita semasa masih hidup, sejauh manakah kesetiaan kita kepada agama Islam, bahawa dunia hampir kiamat dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi penghuni syurga," katanya.

3. Peperangan Tabuk

Peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah itu bukan sekadar melambangkan penguasaan Islam sepenuhnya ke atas Semenanjung Tanah Arab kerana Tabuk terletak di kawasan paling utara semenanjung itu.

Tetapi peperangan yang dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah itu memberi gambaran tentang kekuatan iman dan semangat umat Islam dalam mempertahankan maruah agama yang dihina oleh musuh Islam.

“Bangsa Rom memandang rendah dan begitu sombong untuk menewaskan tentera Islam di Tabuk kerana mereka menganggap dalam keadaan pelbagai rintangan.

“Di antaranya cuaca yang sangat panas, perjalanan beratus-ratus kilometer, bekalan air dan makanan yang terbatas, di samping kepenatan dan keletihan perjalanan yang jauh itu.

“Tetapi mereka tidak menyangka, kedatangan tentera Islam yang begitu ramai dan bersemangat tinggi, di samping diketuai sendiri oleh Rasulullah SAW," katanya.

4. Pembebasan dan kejatuhan Baitul Maqdis

Baitul Maqdis yang mula dibuka pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar bin Al Khattab r.a dan berjaya mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500 tahun itu adalah sebagai permulaan kejatuhan Islam.

Selepas itu, kota suci tersebut ditawan kembali oleh musuh Islam dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun, sebelum Salahuddin Al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah.

Namun, selepas 760 tahun peristiwa pembebasan itu iaitu pada 28 Rejab 1342 Hijrah atau 1924 Masihi, sistem Khalifah Islamiah dihapuskan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Pasha Antartuk di Turki.

Penghapusan tersebut menyebabkan konsep ukhuwah dalam kalangan umat Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW telah hilang dan kesannya, pada tahun 1967 Masihi (1387 Hijrah), Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini.

5. Lahirnya Imam Syafie

Menurut Lukmanul Hakim, kelahiran imam Syafie pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin itu sebagai permata yang berharga kepada umat Islam pada hari ini.

Apa tidaknya, Imam Syafie merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab Syafie.

Kehebatan beliau dalam dunia ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata: “Imam Syafie itu ibarat matahari bagi dunia."

“Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga hari ini ialah Kitab Al Umm," katanya. HASHNAN ABDULLAH http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_02/Lima-peristiwa-penting-di-bulan-Rejab#ixzz32vASa4ws

Umpama memfitnah Rasulullah

HADIS palsu atau dipanggil sebagai maudhu' sebenarnya telah lama bersarang dalam kalangan umat Islam. Penggunaan hadis itu telah bermula secara aktif selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Ini boleh dilihat jelas bukan hanya pada amalan ibadat seharian umat Islam, tetapi sering kali digunakan bagi menyokong hujah atau pendapat apabila bercakap tentang hukum agama.

Malah, gejala yang sangat dibenci oleh Rasulullah SAW tersebut sering kali dilakukan oleh musuh-musuh Islam seperti Yahudi, Majusi dan Nasrani yang begitu mahu menjatuhkan Islam.

















Dr. Mohd Izhar Ariff Kashim

Golongan ini memang sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam dan sentiasa menunggu peluang bagi merosak dan menimbulkan keraguan di dalam hati, sama ada sesama Islam atau bukan Islam terhadap agama Islam.

Pada masa sama ada juga dalam kalangan orang Islam yang bersikap fanatik, ada kepentingan peribadi serta jahil tentang kehendak dan keperluan agama Islam itu sendiri turut menggunakan hadis palsu ini.

"Mereka ini ada masalah hati iaitu benci atau tidak suka kepada pengembangan agama Islam. Keadaan itu turut disulitkan lagi dengan sikap segelintir para pendakwah tidak kira yang berstatus ustaz atau ustazah yang tidak amanah dalam menyampaikan kuliah agama mereka kepada orang ramai," kata Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Dalam suasana tersebut, tidak hairanlah ramai yang menyatakan bahawa jumlah hadis palsu lebih banyak berbanding hadis sahih yang diriwayatkan oleh para perawi yang diakui keilmuan dan ketelitiannya.

Beliau menegaskan, penyebaran hadis palsu itu adalah haram kerana boleh membawa kepada gejala fitnah kepada Rasulullah SAW.

Jelas Mohd. Izhar, hadis palsu tersebut juga bukan hanya boleh menimbulkan kekeliruan tetapi juga perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Penghuni neraka

“Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Sesiapa yang menipu ke atasku dengan sengaja, maka dia akan duduk dalam api neraka (riwayat Bukhari)

“Ketegasan tersebut adalah sejajar dengan makna hadis palsu itu sendiri yang merupakan kenyataan atau perbuatan atau amalan yang disandarkan kepada Nabi SAW sedangkan baginda tidak pernah sama sekali melakukannya," katanya.

Begitu pun, Mohd. Izhar berkata, ada ulama yang berpandangan bahawa hadis palsu itu boleh disampaikan kepada masyarakat umum.

“Tetapi jangan disandarkan kepada Nabi tetapi menyatakan bahawa ia adalah kisah yang disampaikan oleh ulama sebelum ini," katanya.

Antara yang popular dikaitkan dengan hadis palsu adalah peristiwa Israk Mikraj. Kisah perjalanan Rasulullah SAW itu telah menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan para ulama.

Perdebatan tersebut lebih berkisar tentang cerita-cerita apa yang ditemui oleh Rasulullah SAW di sepanjang perjalanan baginda sehingga ke Sidratul Muntaha.

Ada para ulama yang menegaskan bahawa kerana isinya diselitkan cerita-cerita Israiliyat daripada kaum Bani Israel yang sengaja ingin mengagungkan bangsa mereka dan Nabi Musa a.s serta mengecilkan peranan Rasulullah SAW berserta pengikutnya.

“Banyak cerita yang disampaikan yang mana Nabi SAW berjumpa dengan itu, dengan ini adalah antara hadis yang tidak ada asas dan sering kali dipertikaikan oleh ramai ulama.

“Namun ia sering digunakan untuk menyedapkan ceramah atau tulisan bagi menarik minat orang ramai," kata Mohd. Izhar.

Sehubungan itu, Mohd. Izhar menyeru bukan hanya kepada para penceramah agama, tetapi umat Islam agar meneliti terlebih dahulu mana-mana hadis yang mungkin agak mencurigakan.

Malahan tambahnya, pihak berkuasa agama perlu meningkatkan usaha bagi membanteras dan mengadakan kempen kesedaran tentang kesan daripada penyebaran hadis palsu.

“Saya tidak nafikan bahawa masyarakat umum minat dengan hadis palsu kerana dikuasai sifat malas untuk mengimarahkan masjid. Ini kerana masjid adalah tempat yang boleh memberi penjelasan kepada jemaah masjid berkaitan perbezaan antara hadis palsu dengan hadis sahih," katanya.   HASHNAN ABDULLAH http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_01/Umpama-memfitnah-Rasulullah#ixzz32vBB3mNO