June 1st, 2014

Ibadah yang sarat manfaat

Hikmah dan falsafah - Haji merupakan satu penghimpunan terbesar sesama Muslim yang terarah dan dipimpin melalui perlakuan, masa dan tempat yang sama dengan semata-mata menjunjung manasik al-hajj dalam meraih keredaan-Nya.

Menghidupkan serta menyuburkan hakikat sebenar persaudaraan Islam serta menzahirkan dengan cara yang lebih realiti. Bertemu di Baitullah serta bermunajat dengan doa yang satu kepada Allah Yang Esa, sudah pasti semarak ukhuwah menjadi teguh dan kukuh.

Terpancarnya nur tauhid ke pelosok alam yang menjadi simbol kesatuan umat Islam. Lambang kesamarataan dan persamaan taraf dalam kalangan umat Islam. Bahkan, pakaian ihramnya sahaja dapat menghilangkan rasa keegoan dan takbur. Merupakan sebesar-besar peringatan untuk umat Islam kerana banyak tempat dalam pelaksanaan ibadat haji mempunyai sejarah berkaitan nabi dan rasul terdahulu. Setidak-tidaknya membawa kepada terbelanya fakir miskin yang berada di kota suci Mekah dengan rezeki yang dibawa oleh jemaah.

Haji merupakan satu tarbiah secara fizikal dalam menempuh ranjau kehidupan dan menanggung kesukaran serta kepenatan, di samping mendidik kesabaran ketika menghadapi pelbagai perkara yang tidak di sukai. Menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Terutamanya ketika mengunjungi kota Madinah dan menziarahi makam baginda SAW. Fahami, hayati hikmah dan falsafah pensyariatan haji, pasti beroleh haji mabrur

ALHAMDULILLAH, sedar tidak sedar kita sebagai umat Islam merasakan lambaian Kaabah sudah hampir tiba, ini kerana selepas Ramadan maka Syawal dikenali sebagai salah satu daripada bulan haji. Justeru, panggilan haji sudah pasti mengundang pelbagai persoalan kepada yang dipilih sebagai tetamu Allah SWT atau disebut sebagai Duyuf al-Rahman.

Tajuk yang cuba dibincangkan kali ini berkaitan dengan hikmah dan falsafah haji. Kemungkinan daripada artikel yang ringkas ini, tidak dapat untuk diperincikan satu persatu tetapi cukuplah penulis menyebut secara umum sebahagian daripada hikmah dan falsafah haji agar benar-benar difahami oleh kita semua.

Tatkala Allah SWT menyebut berkenaan dengan matlamat atau tujuan haji maka disebut dengan kalimat liyashadu manafia’ lahum yang membawa maksud supaya mereka menyaksikan banyak manfaat untuk mereka.

Syed Qutb dalam fi Zilali Quran berkata: Setiap generasi umat Muslimin dapat menikmati manfaat-manfaat itu mengikut keadaan-keadaan, keperluan-keperluan, pengalaman-pengalaman dan kehendak-kehendak masing-masing. Itulah sebahagian faedah-faedah yang dikehendaki Allah SWT ketika memfardukan ibadat haji ke atas umat muslimin dan memerintah Nabi Ibrahim a.s mengumumkan ibadat itu dalam kalangan umat manusia.

Perkataan manfaat didatangkan dalam bentuk nakirah dan jamak yang memberi erti amat banyak sehingga setiap orang akan mendapati pelbagai bentuk manfaat.

Sebahagian ulama membahagikan manfaat kepada dua iaitu manfaat dunia dan manfaat agama atau akhirat.

Manfaat dunia. Antaranya seperti bidang perniagaan, transaksi kewangan, perhotelan, sewaan kenderaan dan tiket. Begitu juga dengan pelbagai bentuk perkhidmatan yang sudah pasti akan memberi laba dan keuntungan kepada yang pandai mengurus dan faham selok belok perniagaan.

Manfaat agama atau akhirat. Seperti mana dinukilkan daripada Ibnu Abbas dengan maksud mendapat keredaan-Nya. Begitu juga kefahaman kepada kita cara yang terbaik untuk melaksanakan ibadat seperti solat dan lain-lainnya yang sudah pasti memberi banyak kelebihan kepada yang pernah melaksanakan ibadat haji.

Sekali lagi penulis meminjam kata-kata Syed Qutb yang menyebut: Ibadat haji merupakan muktamar untuk berkenal-kenalan, bertukar-tukar fikiran, menyelaraskan rancangan-rancangan, menyatukan kekuatan, bertukar-tukar kebajikan, barangan, ilmu pengetahuan, pengalaman-pengalaman dan mengatur satu dunia Islam yang sempurna dan sepadu sekali setahun di bawah naungan Allah SWT dan berhampiran dengan Baitullah, juga di bawah ketaatan-ketaatan muslimin yang jauh dan dekat dan kenangan-kenangan indah zaman silam dan zaman sekarang di tempat yang paling sesuai dan dalam suasana serta waktu yang paling wajar.

Semoga sedikit falsafah ini memberi peluang kepada kita yang mendapat panggilan haji sebagai Duyuf al-Rahman untuk memahami serta dapat menghayati hikmah dan falsafah haji dengan sebaik-baiknya, sekali gus meraih haji yang mabrur. Amin.

PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim) Utusan Bicara_Agama 20140530

Telefon ada perisian al-Quran

Kecanggihan teknologi kini menyaksikan pelbagai aplikasi keagamaan dimuat turun di dalam telefon pintar antaranya paparan ayat-ayat suci al-Quran dan aplikasi surah-surah tertentu. Perlukah ada adab-adab yang tertentu kerana gajet ini dibawa ke tandas dan diletak di tempat yang tidak sepatutnya. Tolong ustaz berikan pencerahan?

Jawapan : Telefon pintar yang mempunyai perisian al-Quran bukanlah sebuah mushaf al-Quran. Oleh itu, kewajipan mempunyai wuduk pada pendapat sebahagian ulama untuk memegang al-Quran tidak terpakai untuk telefon pintar. Maka wuduk tidak diperlukan untuk telefon bimbit yang mempunyai perisian al-Quran.

Telefon pintar ini juga harus dibawa masuk ke dalam tandas. Walaupun terdapat perisian al-Quran, namun perisian al-Quran itu seumpama hati manusia yang menghafaz al-Quran. Insan yang menghafaz al-Quran atau sebahagian al-Quran mempunyai perisian al-Quran dalam dirinya.

Namun tidak haram baginya untuk masuk ke dalam tandas walaupun al-Quran berada dalam dirinya. Maka begitu juga telefon pintar ini. Namun jika al-Quran terpapar di skrin telefon pintar, maka adalah tidak wajar untuk telefon pintar ini dibawa masuk ke dalam tandas. Utusan/Bicara_Agama/20140530

Tegahan puasa sunat Jumaat sahaja

Ustaz saya agak keliru berkaitan puasa sunat terutamanya pada hari Jumaat yang dikatakan perlu dibuat berkembar dengan puasa hari Khamis atau Jumaat dengan Sabtu. Mana yang benar ustaz atau adakah puasa pada hari Jumaat itu boleh berdiri dengan sendiri. Mohon penjelasan?

Jawapan: Dalam satu riwayat hadis yang dicatat oleh Imam Ahmad, Nabi SAW menegah amalan puasa sunat pada hari Jumaat sahaja. Ini kerana hari Jumaat adalah hari raya secara mingguan. Namun, baginda Rasulullah SAW memberi kelonggaran untuk berpuasa sunat pada hari Jumaat jika berpuasa juga pada hari Khamis atau hari Sabtu. Maka tidak ditegah berpuasa pada hari Khamis dan juga Jumaat atau berpuasa pada hari Jumaat dan Sabtu. Utusan/Bicara_Agama/20140530

Lafaz tanpa niat tidak jatuh talak

Suami saya ada melafazkan cerai tetapi ia adalah rentetan daripada tontonan adegan drama di televisyen yang sedang ditonton bersama. Saya berkeyakinan yang lafaz tersebut tidak ditujukan kepada saya kerana tumpuannya adalah pada rancangan drama tersebut. Adakah jika lafaz tersebut dibuat, maka ia turut membabitkan status hubungan kami suami isteri. Apa pandangan ustaz?

Jawapan

Lafaz talak tersebut tidak dikira sebagai talak. Ini kerana tiada niat pada pihak suami untuk menceraikan isteri. Si suami cuma sebaliknya mengulang apa yang disebut di dalam lakonan televisyen tersebut. Kes ini dikiaskan kepada situasi penceramah yang menyebut lafaz yang sama sebagai hikayat atau penceritaan semula. Maka ucapan talak daripada penceramah tidaklah menyebabkan isterinya tercerai. Utusan/Bicara_Agama/20140530

Segera lunaskan qada puasa

Rejab telah berlalu dan kita kini memasuki bulan Syaaban. Apakah ibadat yang perlu diperkasakan memandangkan Ramadan yang mulia bakal menjelma tidak lama lagi.

Jawapan

Dalam bulan Syaaban, antara ibadat khusus yang diberi fokus oleh Nabi Muhammad SAW ialah puasa sunat. Maka baginda Rasulullah SAW banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban. Kenapa pula Nabi SAW banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban? Antaranya;

1. Ialah kebiasaan golongan masyarakat yang terlalai dengan bulan Syaaban. Ini mungkin kerana sebahagian golongan masyarakat Muslim lebih mengutamakan bulan Rejab dan seterusnya bulan Ramadan. Bulan Rejab adalah bulan haram manakala bulan Ramadan adalah bulan puasa fardu. Maka masyarakat mungkin sedikit lalai dengan bulan Syaaban.

2. Sebab yang kedua ialah berlakunya proses pengangkatan ibadat tahunan pada bulan Ramadan. Dalam riwayat hadis sahih, tidak ditentukan bilakah berlakunya proses tersebut. Namun begitu, riwayat beberapa hadis dhaif menunjukkan kelebihan malam Nisfu Syaaban. Maka kemungkinan besar proses berlakunya pengangkatan amalan tahunan berlaku pada malam Nisfu Syaaban iaitu malam 15 Syaaban.

Apapun perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama tentang isu ini, namun Nabi SAW menekankan amalan berpuasa sunat pada bulan Syaaban. Bagi wanita Muslimah yang masih mempunyai baki puasa yang belum diqadakan, maka bulan Syaaban merupakan peluang untuk melunaskan qada puasa tersebut. Utusan/Bicara_Agama/20140530

Jangan salahkan Jakim

PADA 24 Mei lalu, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan pengesahan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dikesan dalam dua sampel coklat susu kacang hazel dan buah badam Cadbury Dairy Milk yang mempunyai sijil pengesahan halal.

Pengesahan itu dibuat susulan penyebaran gambar keputusan ujian oleh KKM mengesan kandungan DNA babi dalam dua produk coklat keluaran Cadbury Confectionary Malaysia Sdn. Bhd. (Cadbury) di laman-laman media sosial sehari sebelum itu.

Berikutan pengesahan oleh KKM itu, Jakim menjadi sasaran kemarahan umat Islam yang mempersoalkan bagaimana jabatan itu boleh terlepas pandang perkara tersebut. Apatah lagi, ujian tersebut dijalankan oleh KKM pada 27 Februari lalu.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewawancara Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), DATUK OTHMAN MUSTAPHA bagi mendapatkan penjelasan sebenar. “Masyarakat mempersoalkan kenapa Jakim lambat bertindak sedangkan kami tidak menerima laporan. Kalau ada laporan pada 20 Februari lalu, pada hari itu juga kita sudah bertindak tetapi kita cuma tahu pada 23 Mei lalu dan pada 24 Mei lalu kita terus ambil tindakan," katanya menjelaskan keadaan sebenar.

MINGGUAN: Boleh Datuk terangkan prosedur pensijilan halal oleh Jakim?

OTHMAN: Mengikut prosedur operasi standard (SOP), kita ada empat tahap. Yang pertama, syarikat perlu membuat permohonan dalam talian menerusi sistem e-halal. Mereka perlu mengisytiharkan semua bahan ramuan termasuk pembekal dan status ada sijil halal atau tidak. Sekiranya ramuan itu diimport dari luar negara, kita akan melihat kepada pengiktirafan halal daripada 57 badan dari 23 negara yang diiktiraf oleh Jakim.

Kita bukan hanya teliti bahan ramuan tetapi bahan mentah kepada ramuan itu. Sebagai contoh, nasi lemak ada sambal. Kita akan periksa ramuan dalam sambal itu sama ada halal atau tidak. Bukan semudah itu kita berikan sijil halal.

Selepas ujian makanan, kita akan buat audit di kilang. Audit ini bukan hanya melibatkan bahan ramuan tetapi kita akan tengok proses pembuatan produk berkenaan, peralatan yang digunakan serta kebersihan persekitaran dan pekerja. Kita wajibkan juga keperluan lain. Mereka mesti ada eksekutif halal di kilang dan mulai tahun ini, kita wajibkan syarikat-syarikat multinasional ada sistem jaminan halal dan jawatankuasa halal dalaman. Ini menjadi keperluan dalam pensijilan halal oleh Jakim.

Selepas auditor puas hati, baharu laporan diangkat kepada panel penilaian dan sekiranya panel penilaian berpuas hati, baharu kita keluarkan sijil halal.

Selepas itu, kita akan buat pemeriksaan mengejut sekurang-kurangnya setahun sekali untuk setiap syarikat. Kalau syarikat yang berisiko, kita akan buat secara kerap dan kalau ada aduan, kita akan pergi serta merta untuk pemantauan.

Keempat-empat bahagian ini adalah daripada pasukan berlainan daripada Jakim bagi menjaga impartiality (tidak memihak) dan mengelak unsur penyelewengan.

Kalau prosedur pensijilan ini sudah sebegitu ketat, bagaimana dua produk coklat Cadbury boleh terlepas?

OTHMAN: Isu ini kecoh dan meresahkan masyarakat apabila maklumat keputusan ujian makmal KKM dibocorkan dalam media sosial termasuK Facebook pada 23 Mei lalu sedangkan kami tidak tahu. Kuasa yang diberikan kepada makmal itu adalah memastikan bahan dalam sesuatu produk sama dengan yang tercatat di bungkusan. Namun, apabila dikatakan ditemui porcine pada coklat tersebut, itu sudah menjangkau peringkat kami. Apabila dikatakan ada DNA babi, masyarakat sudah tidak tuju kepada KKM tetapi kepada Jakim sedangkan kami tidak dilaporkan mengenai penemuan itu.

Pada 24 Mei, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan penemuan berkenaan. Pada hari itu juga, saya terus panggil mesyuarat dengan semua pegawai dan kita terus ambil keputusan menggantung pengesahan halal dua produk itu sehingga siasatan siap dilakukan.

Masyarakat menyalahkan Jakim dan mendakwa pihak Datuk lambat bertindak dalam isu ini? Apa komen Datuk?

OTHMAN: Kajian dibuat oleh KKM pada 27 Februari lalu tetapi keputusan ujian itu hanya diketahui pada 23 Mei lalu dengan cara sedemikian. Kalau ada laporan pada 20 Februari, pada hari itu juga kita sudah bertindak tetapi kita cuma tahu pada 23 Mei lalu dan pada 24 Mei lalu kita terus ambil tindakan. Masyarakat perlu diperjelaskan keadaan ini.

Kami memberikan sijil halal kepada Cadbury sejak 2004. Kita buat pemeriksaan berkala dan di samping itu ada eksekutif halal untuk menyemak perjalanan kilang itu sama ada mematuhi pensijilan halal atau tidak. Jawatankuasa dalaman di Cadbury pun laksanakan tugas sama. Kali terakhir kita buat pemeriksaan di kilang Cadbury ialah pada 20 Februari lalu tetapi Cadbury masih patuh pada sijil halal.

Kenapa tidak ada penyelarasan antara KKM dengan Jakim? Kenapa KKM tidak memaklumkan kepada Jakim mengenai penemuan DNA babi dalam dua produk coklat itu?

OTHMAN: Kita sudah ada mesyuarat penyelarasan sejak 2011 lagi. Apa sahaja penemuan oleh KKM yang ada kaitan dengan halal, ia mesti dirujuk dengan Jakim terlebih dahulu, Mungkin KKM terlupa, sebab itu jadi kecoh seperti ini. Sepatutnya KKM lapor kepada Jakim terlebih dahulu dan selepas kita duduk berbincang baharu kita boleh buat pengumuman.

Kenapa KKM mengambil masa yang lama untuk maklumkan kepada Jakim mengenai keputusan ujian itu sedangkan isu tersebut amat besar?

OTHMAN: Itu kena tanya KKM sendiri. Kita baharu terima laporan hari ini (Khamis) dan itu pun tidak lengkap. Macam mana hendak buat kerana kita hanya tahu pada 23 Mei lalu.

Kenapa Jakim perlu membuat ujian semula terhadap sampel produk coklat Cadbury? Adakah keputusan ujian yang dijalankan oleh KKM tidak boleh digunapakai oleh Jakim?

OTHMAN: KKM hanya diberikan kuasa di bawah Akta Makanan 1983. Kalau bab halal ini, tindakan diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. Sebab itu, kami tidak boleh ambil keputusan ujian daripada KKM. Dari segi perundangan, hanya pegawai Jakim mempunyai kuasa untuk ambil sampel dihantar ke makmal dan untuk di bawa ke mahkamah. Bagi makmal KKM, Jabatan Standard Malaysia hanya memberikan akreditasi tidak sampai kepada ujian procine tetapi hanya untuk proses makanan berasaskan daging dan susu.

Jabatan Kimia merupakan satu-satunya jabatan yang diberikan akreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia untuk menjalankan ujian sampai ke DNA babi. Manual pensijilan halal Malaysia juga menetapkan hanya ujian oleh Jabatan Kimia digunapakai untuk pensijilan halal dan pendakwaan di mahkamah.

Sekiranya ada pihak membuat tuntutan di mahkamah, Kerajaan akan pakai ujian oleh Jabatan Kimia sahaja. Malah, KKM perlu merujuk kepada Jabatan Kimia untuk ujian semula. Sebab itu kita buat ujian balik.

Proses mengambil sampel ini perlu dibuat mengikut peraturan ketat, bukan boleh ambil ikut suka hati. Hanya orang tertentu yang dilantik dari Jakim boleh ambil sampel dan ia mesti diambil dari kilang, bukan di tengah jalan atau di kedai. Kita tunggu ujian makmal diberikan oleh Jabatan Kimia yang dijangka Rabu ini. Kalau kita dapat lebih cepat, kita akan beritahu masyarakat.

Sampel yang diambil oleh KKM adalah yang ada di pasaran. Kita tidak tahu apa yang berlaku di luar sana. Sebagai contoh, seekor ayam yang disembelih secara halal dan diberikan pensijilan keluar ke restoran dan dimasak dicampur dengan babi. Adakah kita hendak salahkan rumah sembelihan atau salahkan orang yang beri sijil halal sebab ia sudah di luar kawalan.

Sekiranya ujian oleh Jabatan Kimia menunjukkan dua produk coklat itu mengandungi DNA babi, apakah tindakan yang boleh diambil terhadap Cadbury?

OTHMAN: Kalau dalam kes Cadbury ini terbukti ada penyelewengan dan campuran DNA babi, kita orang pertama yang akan ambil tindakan sebab kita ada peruntukan undang-undang. Namun, kita perlu siasat dengan lebih terperinci supaya tindakan kita berdasarkan lunas undang-undang dan ada kesan.

Tindakan undang-undang boleh diambil dibawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Jika disabitkan dengan kesalahan di mahkamah, syarikat berkenaan boleh didenda maksimum RM5 juta.

Ada pihak mahu memfailkan saman terhadap syarikat Cadbury ekoran penemuan DNA babi pada dua produk keluaran syarikat terbabit? Adakah tindakan ini wajar bagi memberikan pengajaran kepada syarikat tersebut?

OTHMAN: Kalau maklumat (kandungan DNA babi) itu tidak sah, Cadbury akan saman mereka balik. Saya yakin imej Cadbury sudah jatuh dengan gembar-gembur dalam isu ini. Kalau keputusan ujian itu positif, terpulang kepada pihak berkenaan untuk ambil tindakan tersebut.

Selepas insiden ini, adakah Jakim bercadang untuk memperketatkan proses pengeluaran sijil halal?

OTHMAN: Kita sudah ada SOP dan kita akan terus ikut prosedur ini. Cuma kita akan minta kilang perkukuhkan sistem jaminan halal. Halal bukan hanya tanggungjawab Jakim tetapi peranan industri pun penting. Kalau ada sistem jaminan halal di peringkat dalaman, mereka boleh buat pemeriksaan dan semakan lebih awal sebelum hantar kepada kami.

Jakim diiktiraf sebagai badan utama dalam memberikan pengesahan halal di dunia. Sejauh mana isu ini menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai hab halal dunia?

OTHMAN: Memang memberikan kesan kalau sudah jadi isu besar sebegini. Pengguna di luar pun pertikai Jakim sekarang. Kalau kita sudah ada sistem dan ikut sistem tetapi jika berlaku juga, sudah di luar kawalan kita. Dalam kes ini, kita terpaksa tangani isu ini untuk menghilangkan keresahan dan mengembalikan kepercayaan masyarakat.

Jakim agak berbeza dengan badan-badan lain sebab kita di bawah kerajaan tetapi di negara-negara lain, mereka sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat persendirian buat sijil halal sebab mereka berada di negara minoriti umat Islam.

Kita sebagai badan kerajaan mempunyai sistem yang teratur, SOP dan peraturan. Mereka banyak mencontohi Jakim untuk membangunkan sistem mereka. Sekarang, negara-negara di Timur Tengah pun merujuk kita untuk membangunkan sistem halal sebab mereka tidak ada sistem sebelum ini. Kita bimbang isu sebegini akan memberikan imej buruk kepada negara. Utusan/Rencana/20140601

Memang ada beza antara fitnah dan kritik

KENYATAAN Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai tindakan saman yang diambil ke atas portal pembangkang Malaysiakini kerana menyiarkan artikel fitnah terhadapnya bukan bermaksud mahu menutup mulut pengkritik, adalah suatu kenyataan yang berhemah dan demokratik.

Tindakan itu dibuat berlandaskan undang-undang kerana ada beza antara kritikan dan fitnah. Beliau mengalu-alukan kritikan yang konstruktif dan membina.

Berhemah dan demokratik disebabkan negara ini ada undang-undang dan ruang kebebasan untuk mengkritik. Kebebasan yang melampaui undang-undang sifatnya tidak demokratik. Mengekalkan keluhuran undang-undang adalah untuk menjaga kemurnian demokrasi.

Fitnah iaitu mengada-adakan sesuatu yang tiada dan menokok-tambah maklumat yang sengaja direka adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan, kemanusiaan apalagi agama.

Malaysiakini sering dianggap sumber rujukan atau `kitab' yang membawa nas qati'e oleh peminat blogger Islam dan bukan Islam. Ia dianggap berita sahih dan diguna pakai sebagai sumber menghentam lawan politik.

Peminat blogger beragama Islam patut terdidik dengan pedoman ajaran Islam yang menyatakan, "Apabila datang perkhabaran dari orang fasiq sila periksa benar atau salahnya berita itu" dan "fitnah itu seumpama membunuh".

Kaedah memahami hadis umpamanya, umat Islam diajar menentukan sama ada sesuatu hadis itu sahih (benar) atau hasan (baik) atau daif (lemah). Kepentingan sanad dijadikan keutamaan. Sayangnya dalam menerima perkhabaran daripada bloggers, kaedah ini tidak terjadi.

Akibat jiwa penentangan yang tinggi terhadap lawan politik, dendam kesumat terhadap pihak yang dibenci, apa saja maklumat daripada bloggers yang mempunyai kepentingan dan terdapat yang ditaja oleh pihak luar diterima bulat-bulat akan kebenarannya.

Tindakan Najib suatu yang wajar kerana sebelum ini banyak pihak memfitnah beliau dengan kisah Altantuya dan kapal selam Scorpene dari Perancis dan tidak berani pula membawanya ke mahkamah.

Memfitnah adalah suatu bentuk penyakit hati akibat dendam dan rasa benci yang tinggi. Ianya sedang membudaya di kalangan sebahagian masyarakat Islam kini dengan sangkaan bahawa fitnahnya benar dan orang yang dibencinya semua salah.

Seorang pendakwah yang tulen umpamanya tidak bersikap begitu. Hikmah yang ada pada para pendakwah bersikap sangka-baik dan melakukan pemeriksaan akan salah-benar sesuatu maklumat.

Para pendakwah tulen tidak akan berani menyebarkan sebarang berita yang diterima tanpa keyakinan ianya benar kerana takutkan dosa. Dosa kepada Allah boleh diminta keampunan terus tetapi dosa terhadap manusia lain bagaimana?

Malah kalangan orang yang percaya kepada amalan demokrasi dan hak asasi manusia yang beretika, tidak akan dengan mudah menerima maklumat yang berbaur fitnah.

Sayang sekali terdapat sebahagian orang yang mendakwa sebagai demokrat tulen menjadi jaguh kepada budaya ini tanpa rasa bersalah dan berdosa. Yang penting bagi mereka ialah sokongan politik kerana kepentingan peribadi.

Sayang sekali semakin tinggi pelajaran yang ada, zahirnya memiliki imej agama, telus dan tulus tidak berlaku. Sekiranya budaya ini menjadi wabak ia bakal menghancurkan diri insani yang diharapkan berjiwa rukuk dan sujud iaitu memiliki sifat patuh dan tunduk kepada kebenaran dan keadilan.

Kerana politik, budaya dendam dan kebencian menjadi subur. Politik demokrasi membenarkan perbezaan pendapat berlaku dan kritik membina terjadi. Politik yang gopoh dan ekstrem hanya menyatakan dirinya saja yang benar dan orang lain semuanya salah.

Politik dalam Islam umpamanya membenarkan perbezaan pandangan yang disantuni dengan etika yang tinggi. Pihak lawan tidak dicemuh sebagai kafir dan taghut secara melulu kerana perbuatan begitu membayangkan nafsu amarah yang meluap-luap dan amat dibenci oleh Allah.

Jiwa rukuk dan sujud kepada Allah harus mendidik kita menjadi ibadullah dan ibadurrahman dengan jiwa kehambaan yang tinggi.

Inilah landasan kasih sayang dan belas kasihan yang diajar oleh Islam. Umat Islam yang beriman dan berjiwa muttaqeen harus memiliki rasa insaf ketuhanan (God-Conciousness) sebagai pedoman menentukan salah benar akan sesuatu pendirian dan tindakan. Utusan/Rencana/20140531

Analisis polemik DNA babi

Isu DNA babi dalam dua coklat Cadbury yang sedang rancak dibualkan beberapa hari ini adalah berpunca daripada keputusan makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dihebahkan secara tidak berintegriti melalui media massa. Kita tidak pasti sejauh mana wibawa sampel yang diambil untuk dijadikan rujukan dan sekali gus mengheret kepada pelbagai pertikaian selain menyerlahkan kejahilan sesetengah pihak dalam memahami syariah.

Persampelan yang berwibawa bukannya bergantung kepada sampel yang dibawa oleh pengadu atau diambil begitu sahaja kemudiannya disebarkannya kepada awam begitu mudah. Sampel yang berwibawa mestilah diambil dari kilang pengeluar, di pasaran dan pengguna sendiri.

Sampel tersebut disimpan oleh pengeluar dan badan bertanggungjawab serta sampel tersebut mestilah ditutup kemas. Pengurusan dan pengawasan sampel perlu mengikut prosedur yang sangat ketat untuk mengelakkan dari sebarang gangguan atau tercemar. Makmal pula hendaklah diakreditasi terlebih dahulu dan mengikut skop kepakaran serta kelengkapan peralatan yang diiktiraf.

Dalam amalan analisis pengujian sampel, tidak semua makmal mampu melakukan pengujian bagi kesemua bentuk sampel. Skop yang ditentukan mengikut keperluan produk yang menyentuh kimia, lemak, minyak, DNA dan barangan gunaan. Apakah makmal yang digunakan khusus untuk analisa DNA sahaja, atau hanya sekadar bertenggek dengan kerja-kerja sedia ada? Contohnya, makmal untuk ujikaji daging atau ayam, tiba-tiba digunakan untuk analisis bagi makanan seperti kes coklat ini?

Inilah yang menjadi persoalan dalam keabsahan penentuan fakta DNA babi yang seringkali diperkatakan. Dalam perkara ini, KKM hanya menyatakan penemuan DNA babi sahaja, bukannya masalah hukum halal-haram. Kuasanya memang jelas di bawah Akta Makanan 1983. Melalui penemuan tersebut yang sampai kepada orang awam terutamanya pengguna Islam, tanpa berfikir panjang menjadi sungguh berang dan mereka rasa tertipu terhadap logo halal rasmi yang mengesahkan halal terhadap produk kepercayaan mereka.

Berkaitan dengan isu halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)/Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) menggunakan khidmat analisis daripada makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM) yang mempunyai unit khusus bagi pengujian produk halal/haram. Hakikatnya, isu ini bukan orang Islam sahaja yang terganggu malah sebahagian dalam kalangan orang bukan Islam seperti pengamal vegetarian, Kristian Katholik dan sudah tentulah para peniaga sendiri.

Dari aspek hukum Islam pula, halal hanyalah salah satu hukum dalam syariah yang wajib dipatuhi oleh semua umat Islam. Dalam nas al-Quran sangat jelas dan begitu serius dipandang oleh para fuqaha yang mengharamkan sebarang penggunaan sumber yang datang dari babi yang tergolong di bawah najis mughallazah.

Bagaimanapun, isu yang seringkali diperdebatkan secara emosi sehingga hari ini ialah, apakah dakwaan penemuan DNA babi tersebut benar-benar mewakili kewujudan objek atau zat yang datang dari babi? Contohnya lemak, minyak, daging, susu atau ramuan campuran yang benar-benar datang dari haiwan tersebut.

Mungkin juga DNA babi tersebut hanya wujud disebabkan berlakunya pencemaran seperti sentuhan manusia, peralatan yang digunakan, pembawaan udara, bungkusan yang digunakan dan sebarang kemungkinan yang mudah berlaku. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak penganalisa membuktikan dua perkara tersebut yang bukan hanya bergantung dengan penemuan DNA. Adakah saintis kita mampu membezakannya?

Sekiranya penemuan DNA babi mampu dibuktikan sebagai mewakili kewujudan objek babi maka barulah boleh dikatakan najis hissi, maka sudah pastilah haram seperti yang dirisaukan oleh masyarakat Islam. Tetapi penemuan tersebut sekadar menemui DNA babi dan bukan mewakili objeknya, ia adalah suatu pencemaran yang mungkin boleh dikatakan sebagai najis hukmi.

Konsep ini tidak ada dalam kamus sains moden dan metod analisis makmal. Inilah yang akan diperjelaskan kepada orang awam yang sudah rasa tertipu dan merasa emosi seringkali dipermainkan. Dalam hal ini, Jakim terikat dengan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang menyatakan secara jelas tentang terma hukum syarak, mazhab dan fatwa.

Inilah perkara pokok yang harus dijadikan rujukan dalam menyelesaikan isu ini kerana halal merujuk kepada sumbernya, iaitu syariah. Langkah menangani isu ini dengan hanya bergantung sepenuhnya kepada metod sains moden hanya berakhir dengan kebuntuan.

Dalam amalan perundangan syariah, DNA bukanlah sebagai bukti syahadah, tetapi ia adalah qarinah. Kebanyakan tokoh-tokoh fekah bersetuju DNA hanyalah faktor pembantu kepada penerangan bukti, bukannya faktor penentu bukti. Secara khususnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia kali ke 96 telah membahaskan dan membuat keputusan pada Oktober 2011 tentang pencemaran khinzir ini.

Dipatuhi

Muzakarah tersebut telah mengharuskan bagi umat Islam mengambil makanan atau minuman yang tercemar DNA babi yang tidak disengajakan dengan syarat telah dibuat kajian cara terperinci sebelum itu bahawa semua ramuan, kandungan dan cara pemprosesannya telah disahkan sebagai suci dan halal.

Bagi peralatan yang telah disamak dan masih didapati DNA babi juga tidak perlu diulang sekali lagi sekalipun masih kedapatan DNA babi. Keputusan ini dibuat berdasarkan roh syariat Islam yang tidak mentaklifkan sesuatu kepada manusia di luar kemampuan manusia yang membebankan. Fatwa ini telah diwartakan di negeri Selangor pada 27 Disember 2012.

Dalam pelaksanaan pensijilan halal Malaysia, sebenarnya kesemua bahan mentah dan ramuan mestilah diisytihar dan dipastikan halal secara telus seperti dikehendaki fatwa tersebut. Secara tuntasnya, ia telah dinyatakan di beberapa klausa yang terkandung dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan Kedua).

Jika ada yang kritikal, sampel perlu dikemukakan untuk dianalisa oleh makmal bagi membantu supaya bahan mentah dan ramuan jelas dapan dikesan. Dalam isu melibatkan pembuatan coklat, perkara yang kritikal dalam penentuan halal antaranya ialah seperti emulsifier, cocoa butter, refined lactose dan milk powder. Manual tersebut juga telah mensyaratkan pengauditan dijalankan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam dan pegawai teknikal dalam bidang yang berkaitan.

Sekiranya berlaku juga tidak patuh syariah bermakna kemungkinan kegagalan para auditor mengesan ramuan yang kritikal, atau pemegang sijil halal itu sendiri tidak telus dalam mengisytiharkan kesemua bahan mentah dan ramuan sejak awal lagi. Sedangkan sudah sekian lama Jakim/JAIN mensyaratkan perlu diwujudkan Sistem Jaminan Halal. Apatah lagi Cadbury adalah sebuah syarikat yang bertaraf multi nasional yang sudah lama menjadi pemegang sijil halal Malaysia sejak sekian lama sudah tentu mempunyai Jawatankuasa Halal Dalaman yang tersendiri.

Syarikat pemegang sijil halal hendaklah menubuhkan jawatankuasa halal dalaman yang terdiri Eksekutif Syariah seperti yang dilakukan oleh institusi kewangan Islam masa kini. Ini adalah mustahil bagi Jakim/JAIN untuk mampu mengawasi setiap premis yang disahkan halal sekiranya tiada sistem jaminan halal dalaman yang aktif di bawah seliaan Eksekutif Syariah yang terlatih. Apa yang berlaku terhadap industri halal hari ini kebanyakannya bergantung sepenuhnya pengesahan dan pemantauan Jakim/JAIN seolah-olah syarikat halal di Malaysia sebagai anak syarikat kerajaan!

Di mana tanggung jawab industri pengeluar produk halal dalam hal ini? Untuk memastikan isu seperti ini tidak terus berulang, Jakim/JAIN hendaklah bertegas bahawa segala perlaksanaan pensijilan mestilah melihat pada prinsip Syariah dalam segala operasi bukan sekadar pada definisi. Utusan/Rencana/20140601

Anda seorang yang reaktif atau proaktif?

Jom kita renung frasa ini? “Kita bahagia bukan kerana dunia ini betul, tetapi dunia ini menjadi betul apabila kita berasa bahagia dalam diri." Apabila kita berubah, maka orang sekeliling kita juga akan berubah dan kita tidak perlu berubah mengikut situasi/suasana, tetapi kita yang mencipta/mengawal situasi atau suasana itu agar berubah mengikut acuan yang kita mahu.

Contoh pertama, dalam situasi di jalan raya yang tenang, sebuah kenderaan bergerak terlalu perlahan di hadapan kita atau kedua, dalam kesesakan jalan raya tiba-tiba datang sebuah kereta, memotong kereta kita secara “cilok", apakah reaksi kita pada masa itu? Tunjukkan kemarahan kita atau cuba tenangkan diri dan mencari jalan keluar daripada terheret dalam situasi/suasana itu?

Cara kita melihat dan menangani sesuatu itu menunjukkan imej diri kita. Orang yang memiliki imej diri yang positif, apabila berlakunya sesuatu sama ada suka atau duka dihadapinya dengan tenang, kerana mempercayai bahawa kita tidak boleh mengawal keadaan, tetapi kita boleh mengawal respons di atas apa-apa yang berlaku. Respons yang positif memberikan kesan positif yang besar kepada hidup kita.

Kita boleh memilih untuk bersabar atau melawan apabila berhadapan dengan situasi/suasana yang tidak menyenangkan seperti contoh di atas. Hal ini bermaksud manusia yang reaktif akan melawan dan, manusia yang proaktif akan berfikir dahulu sebelum bertindak. Untuk mendapat ladang pahala apabila sedang memandu kereta bertindaklah seperti berikut:

- Memberi laluan kepada kereta lain.

- Sabar apabila kereta lain memotong kereta kita.

- Mendoakan apabila melihat kemalangan.

- Nampak polis, berterima kasih kerana polis trafik sanggup berhujan berpanas bertugas untuk menjaga kelancaran lalu lintas.

Apabila kita hendak gembira kita jangan membiarkan suasana menentukan kita, biar kita menentukan suasana. Oleh itu apabila melakukan sesuatu lakukan perkara yang boleh mendatangkan pahala pada kita. Cara untuk memujuk hati adalah dengan berkata, “Dengan berkat kesabaranku ini kepada orang itu kau tambahkan rezekiku. Disebabkan kesabaranku engkau atasilah masalahku. Disebabkan kesabaranku engkau jagalah keselamatanku dan keluargaku". Setiap kali orang berbuat kasar dengan kita, kita sabar insya-Allah rezeki kita murah.

Setiap hari kita perlulah menjaga apa yang kita fikir, menjaga apa yang kita rasa, menjaga apa yang kita buat dan menjaga tahap emosi kita. Tetapkan semula (reset) minda, jadilah seorang pemerhati kepada diri sendiri dan janganlah sibuk menjadi pemerhati kepada orang lain. Jika kita selalu memerhatikan diri sendiri, kita akan menjadi seorang yang bersifat proaktif, bukannya seorang yang reaktif.

Seperti kes kesesakan jalan raya, untuk menghilangkan tekanan, kita tukarkan rasa bosan itu dengan menjadikan suasana kesesakan jalan raya sebagai peluang untuk kita berlama-lama dengan isteri dan anak-anak kita. Gunakan waktu itu untuk bercerita tentang kehidupan kita bersama-sama keluarga kita; mungkin tentang kenangan masa silam bagaimana pertemuan kita dengan isteri/suami kepada anak-anak. Cipta dan kreatif mencipta suasana bahagia dan yang menyeronokkan.

Seorang yang reaktif akan cepat melenting dengan situasi yang dihadapinya. Sepatutnya kita proaktif, melihat kepada diri sendiri maka kita akan fikir, “Apa yang akan saya lakukan pada hari ini mesti berlainan daripada pada hari biasa, yang telah lepas supaya saya mendapat hasil yang berbeza". Inilah maksud “celik mata hati" dan set semula (reset) minda, iaitu minda bawah sedar atau programming (pemikiran) kita. Programming kita boleh diubah dengan menggunakan imaginasi, perkataan, memperbetulkan suasana di sekeliling, menulis dan melaksanakan skrip kehidupan kita sendiri.

Kita mempunyai “minda sedar" dan “minda bawah sedar". “Minda sedar" ialah apa yang seseorang itu fikir seperti logik. Ingatan dan imbasan pada kisah zaman silam ialah “minda bawah sedar". Manakala “minda segar" ialah perkara yang dilakukan oleh kita seharian, yang sudah dibentuk (programming) sejak kita kecil. Hakikatnya cara kita dibesarkan, yang telah diterapkan dalam minda kita pada masa kecil, agak sukar untuk diubah, kerana sudah sekian lama kita hidup dalam kepompong minda tersebut. Lantaran itu, untuk membolehkan kita tetapkan semula (reset) atau mengubah minda; ubah cara persekitaran, ubah cara sistem kepercayaan, ubah pilihan program televisyen yang kita tonton, ubah cara berkawan dan sebagainya, yang membolehkan kita berfikir dan bertindak secara positif.

Jangan jadikan sesuatu perkara yang negatif menyebabkan kita menyekat keupayaan diri atau, menjadikan bermacam alasan untuk kita berubah. Kita mesti merasakan bahawa, “Saya menjadi seperti ini disebabkan pilihan saya sendiri." Apabila kita katakan hidup berlaku disebabkan orang, kita akan berasa lemah kerana kita tidak boleh mengubah orang! Sebaliknya apabila kita mengatakan berlaku sesuatu disebabkan pilihan kita, maka kita bertanggungjawab untuk mengubah diri kita. Hal ini adalah kerana, orang lain tidak boleh mengubah diri kita melainkan diri kita sendiri! . “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

- Ikuti program Kanta Prof. Muhaya di TV2 setiap Rabu 6.30 pagi dan ulangan setiap Jumaat 1.30 tengah hari.

- Fanpage: wwww.facebook.com /profdrmuhaya. Utusan/Rencana/20140601