June 3rd, 2014

Malaysia contoh negara Islam bijaksana

PENGARAH Pusat Pengajian Islam Oxford, Dr. Farhan Ahmad Nizami dalam Syarahan Perdana Putrajaya (SPP) baru-baru ini mengatakan Malaysia adalah satu negara membangun yang mampu mengekalkan jati diri negara Islam walaupun berhadapan pelbagai cabaran dalam era moden dan kemajuan pada hari ini.

Katanya lagi, walaupun hidup dalam suasana berbilang agama dan bangsa tetapi rakyat Malaysia berjaya mengetepikan perbezaan demi keamanan dan pemba-ngunan negara.

Dr. Farhan yang banyak mengkaji pencapaian dunia Islam tentu mempunyai asas kukuh di tengah-tengah krisis dan perpecahan umat Islam yang parah di Syria, Mesir, Iraq dan Tunisia.

Negara umat Islam mempunyai tiga kekuatan yang boleh menjadikan mereka muncul sebagai Order Baru Dunia.

















Farhan Ahmad Nizami menyampaikan Syarahan Perdana Putrajaya yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 27 Mei lalu. - BERNAMA

Pertama, Islam pernah tampil sebagai sebuah tamadun dan menyumbang kepada Barat dan Timur. Umat Islam hari ini harus bersikap reflektif terhadapnya.

Kedua, jumlah pemeluk Islam melepasi 1.6 bilion orang dan kalau sistem pendidikannya mampu menghasilkan modal insan berkualiti, ianya bakal menyum-bang kepada sistem. Ketiga, kekayaan hasil bumi seperti minyak, gas, air bawah tanah, uranium dan thorium boleh menjadi bahan tenaga yang bernilai jika diurus sendiri oleh anak negeri yang profesional dan mempunyai kemahiran sains dan teknologi yang tinggi.

Malaysia walaupun masyarakatnya berbilang kaum dan agama masih mampu mengimbangi antara keperluan pemba-ngunan dan menerapkan Islam dalam sistem.

Sistem Pendidikan Negara sedang me-lakukan transformasi menyantuni perubahan yang bersifat global dan dalam masa sama mengukuhkan faktor domestik seperti memartabat bahasa Melayu, etika, nilai dan kemahiran berfikir tinggi.

Pendidikan Islam dalam sistem formal dan swasta sedang giat ke arah integrasi dan Islamisasi ilmu supaya jenis modal insan masa depan negara menjadi lebih seimbang.

Program ekonomi dan kewangan ber-asaskan patuh syariah semakin menyu-bur. Sukuk, wakaf, industri halal semakin menonjol dan menjadi rujukan dunia Islam yang lain.

Menyantuni kelompok yang kurang bernasib baik, golongan fakir dan miskin terjadi dan imej prasarana yang moden terbangun. Malaysia adalah dari sebilang-an kecil negara umat Islam yang terus merancang dan memiliki agenda untuk menjadi negara demokratik, aman dan terus maju dan membangun.

Sejak merdeka, Malaysia mengambil pertimbangan perpaduan menerusi kese-imbangan peluang untuk warganya terus membangun dan maju. Walaupun orang Melayu dan bumiputera dibantu tetapi orang bukan Melayu masih terus mara.

Uniknya kes Malaysia ialah dasar harmoni dan tolak-ansur cuba dilaksanakan dengan pendekatan moderation, kesederhanaan atau wasatiyyah. Pendekatan ini ternyata menghasilkan suasana kondusif ke arah pembangunan dan perubahan.

Malaysia tidak memilih jalan radikal, anarki dan revolusi tetapi mempunyai agenda yang teratur dan terarah supaya peluang dalam pendidikan untuk semua terjadi, peluang mendapatkan kemahiran dan pendidikan tinggi berlaku, peluang mendapat rezeki dan kekayaan tidak ternafi.

Ini bukan bermakna Malaysia tidak menghadapi masalah hubungan etnik dan ras. Kesederhanaan dan wasatiyyah mendidik masyarakat Malaysia supaya tidak bersikap ekstrem, gopoh dan rasis.

Bayangkan kalau setiap warganegara memahami faktor sejarah mencapai kemerdekaan, faktor budaya dan tolak-ansur yang tinggi di kalangan generasi muda, Malaysia bakal memacu arah kemajuan yang lebih baik.

Jika terdapat sikap cauvinis dan pelampau di kalangan kaum yang ada, ianya menjadi kekangan untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang aman dan terus membangun.

Apa yang dianalisis oleh Dr. Farhan memperlihatkan bagaimana orang luar melihat kita dengan positif sedangkan masih terdapat sebilangan orang kita yang masih tidak bersyukur dengan apa yang ada malah sesetengahnya pergi ke luar negara mengkritik secara hodoh negara sendiri. Sebilangannya pula hanya mencari salah dan cacat yang berlaku tanpa turut sama menyumbang ke arah pembaikan. Jendela Tok Ki Utusan/Rencana/20140603

Hudud daripada perspektif berbeza

SAYA mendapati kebanyakan diskusi, penulisan dan pemerhatian yang dibuat tentang hukum hudud adalah berdasarkan rentak yang sama dan berulang-ulang.


Terlalu kerap kita mendengar kenyataan bahawa hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan, ianya bertentangan dengan ikrar wakil rakyat, seluruh negara akan berada di bawah hukum hudud, ianya tidak diamalkan oleh semua negara Islam, ianya tidak sesuai bagi masyarakat majmuk, la-yanan yang tidak serupa, pelabur asing akan teragak-agak untuk melabur, ianya tidak selari dengan arus globalisasi dan sebagainya.

Kita telah kerap mendengar hujah-hujah sebegini. Persoalannya adakah Pas akan berhenti merealisasikan impiannya untuk melaksanakan hukum hudud? Saya tidak fikir Pas akan berbuat demikian kerana Pas ditubuhkan atas dasar memperjuangkan Negara Islam.

Mari kita melihat hudud dari segi Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 3 di mana amat jelas dinyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Tidak dinyatakan bahawa agama Kristian, Buddha atau Hindu adalah agama Persekutuan.

Mahkamah juga telah beberapa kali me-nyatakan bahawa jika sesuatu tidak diperuntukkan oleh undang-undang maka ianya telah tidak dimasukkan dengan sengaja. Maka kita seharusnya membaca Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang tertera.

Saya tidak menyatakan di sini bahawa agama Kristian, Buddha atau Hindu harus dikete­pikan dalam konteks masyarakat maj-muk. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Maksud literal yang boleh diberikan ialah agama Islam diberi posisi tunjang di dalam Persekutuan berbanding dengan agama-agama lain, mungkin disebabkan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam (setakat 2013, masyarakat Melayu/Islam merangkumi 67% dari rakyat Malaysia).

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Cuba bayangkan apa akan terjadi jika Islam dan agama lain diletakkan di pentas yang sama meskipun 67% daripada rakyat Malaysia adalah berbangsa Melayu dan ber-agama Islam. Dalam keadaan yang sama, sejarah telah membuktikan berulang kali dan kita telah melihat negara menghadapi keganasan berbaur perkauman.

Adakah ini yang kita kehendaki bagi negara kita? Sekali perpecahan dan keganasan menurap di dalam masyarakat, ianya amat sukar untuk dikawal, dibanteras dan diperbe-tulkan. Penahanan beberapa suspek fanatik keagamaan baru-baru ini oleh pihak polis adalah testimoni keadaan semasa jika kita tidak mematuhi apa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

Adalah pengetahuan umum bahawa jika keadaan kucar-kacir akibat pertentang-an keagamaan berlaku, maka rakyat yang berkemampuan atau yang boleh bekerja di negara lain akan berhijrah ke negara lain, seperti apa yang telah berlaku sebelum ini, meninggalkan yang kurang berkemampuan dari segi wang dan kelayakan menderita di dalam negara yang kucar-kacir akibat keganasan dan huru-hara.

Golongan yang berkemampuan ini akan pulang semula ke negara mereka apabila keadaan menjadi tenang semula. Adakah ini yang kita mahukan untuk Malaysia?

Mari kita lihat apa yang parti Pas mahukan tentang hudud. Semenjak kemerdekaan lagi, Pas tidak pernah menyembunyikan hasratnya untuk melaksanakan undang-undang yang tertera di dalam al-Quran.

Saya tidak pernah mendengar mana-mana ahli Pas menyatakan bahawa parti mereka adalah parti Islam tetapi tidak mengamalkan undang-undang Islam secara keseluruhan. Bidalan bahawa Pas telah bergabung dengan parti pembangkang yang lain untuk mengalahkan Barisan Nasional, nampaknya dengan syarat bahawa Pas akan meninggalkan niatnya untuk melaksanakan hukum hudud adalah tidak benar.

Sesiapa yang menghadiri mesyuarat atau perhimpunan Pas akan mendapati bahawa apa yang dinyatakan adalah berdasarkan Islam. Pas (dan umat Islam secara keseluruhan) percaya bahawa hidup di dunia ini adalah sementara sahaja dan di akhiratlah kehidupan yang abadi.

Pas mempersoalkan apakah yang dirisaukan mengenai hudud kerana ianya hanya akan terpakai terhadap kesalahan jenayah yang dilakukan oleh orang Islam. Hukum hudud tidak akan terpakai terhadap orang yang bukan beragama Islam dan oleh itu tidak perlu dikhuatiri oleh orang bukan Islam.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memberikan contoh situasi penggunaan hukum hudud di dalam masyarakat majmuk boleh membawa kepada ketidakadilan dan ini, menurut Pas, cuma akan berlaku dalam keadaan luar biasa. Pas mempersoalkan sama ada sering seseorang Islam akan ditangkap khalwat bersama dengan pasangan bukan Islam. Menurut Pas, apa-apa isu yang berbangkit boleh diselesaikan oleh sebuah jawatankuasa yang dicadangkan oleh UMNO yang akan ditubuhkan untuk mene-liti isu-isu sebegini.

Pada pandangan saya, seorang wakil rakyat beragama Islam tidak akan membe-lakangi peraturan-peraturan yang ditetapkan di dalam al-Quran dan seterusnya tidak akan mengundi menentang penguatkuasaan hukum hudud jika ianya dibentangkan di Parlimen nanti.

Seandainya Pas menyatakan dengan jelas-nya hukum hudud, terma dan akibatnya, maka saya percaya ia akan disokong oleh semua ahli Parlimen yang beragama Islam dan dari sudut ini, ianya tidak akan menjadi persoalan sama ada hukum ini adalah adil atau tidak.

Pas akan dengan lantangnya menyatakan ia adalah hukum Allah dan wajib ditaati oleh setiap orang Islam.

Saya berpendapat jika pada September 2014 nanti Pas membentangkan hukum hudud di Parlimen dan ia mungkin akan membahagikan orang Islam di dalam isu ini, fakta yang tidak boleh dipertikaikan ialah ia akan berada pada hati nurani setiap ahli Parlimen yang beragama Islam bahawa jika dia tidak menyokong hukum hudud maka dia te-lah membelakangkan undang-undang Allah.

Daripada zaman kanak-kanak lagi, setiap orang Islam akan diberitahu bahawa setiap perlakuan itu akan dihakimi di akhirat nanti.

Baru-baru ini, Datuk Nik Aziz Nik Mat telah memohon ampun di dalam masjid berulang-kali atas kesilapan-kesilapan yang telah dilakukannya semasa menjadi Menteri Besar Kelantan.

Pendekatan sesetengah rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam bahawa negara ini adalah negara sekular dan oleh itu hudud tidak mempunyai tempat di negara ini, pada pendapat saya, tidak boleh diguna pakai.

Lihat sahaja apa yang berlaku di India sekarang, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa parti utama yang mewakili majoriti penganut Hindu yang memenangi pilihan raya umum di India baru-baru ini telah menguar-uarkan akan melarang sama sekali penyembelihan lembu untuk tujuan pemakanan.

Terdapat juga laporan bahawa kerajaan India yang baru ini akan melarang pengeksportan daging lembu sama sekali. Negara India mempunyai 200 juta rakyat beragama Islam.

Rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam seharusnya menerima realiti di Malaysia dan seharusnya mengambil pendekatan yang praktikal dan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa di dalam negara.

Bukan kita yang membentuk perlembagaan ini. Kita seharusnya menerima perlembagaan ini sebagaimana ia telah membentuk negara Malaysia. Tidak guna jika kita mencipta situasi selain daripada apa yang telah termaktub di bawah Perlembagaan kita.   Datuk Abdul Ghani Abdullah Utusan/Rencana/20140603

Indeks tentukan status negara Islam

PENENTUAN ciri-ciri sebuah negara Islam adalah sesuatu yang rumit sehingga menjadi perbalahan dalam kalangan ahli politik. Dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali apabila berhadapan pelbagai cabaran membangunkan negara Islam berkonsepkan wasatiyyah.

Konsep yang diperkenalkan bukan sahaja tidak diiktiraf saudara seagama daripada Pas yang mendakwa segala langkah selama ini belum mencukupi dan memenuhi tuntutan sebagai sebuah negara Islam tulen, bahkan mendapat tentangan daripada golongan liberal khususnya bukan Islam.

Wasatiyyah yang membawa makna ‘kesederhanaan’ sering diputar belit golongan itu dalam usaha menghalalkan fahaman mereka, antaranya untuk memperlihatkan kebebasan total sebagai ‘kesederhanaan’ manakala cara hidup berlandaskan batasan agama sebagai ‘ekstrem’.

Berpegang kepada hujah hak asasi, golongan liberal memfitnah ajaran Islam sebagai menghalang hak asasi manusia, sekali gus dianggap kolot dan kejam.

‘Perjuangan’ mereka, kesederhanaan seharusnya bermaksud manusia boleh melakukan apa saja termasuk sesuatu yang bertentangan tabii.

Imam Feisal


RAJMAH HASAN rencana@utusan.com.my

Kemuncak ‘perjuangan’ apabila Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) memberi tekanan hebat termasuk mencabar Perlembagaan Persekutuan di pentas antarabangsa.

Selain itu, kempen mereka juga menerusi pertikaian kedudukan Islam dan mempromosi budaya songsang seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bertentangan dengan undang-undang Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Tekanan itu jika tidak ditangani akan memusnahkan usaha kerajaan yang selama ini membangunkan negara Islam berkonsepkan wasatiyyah iaitu pendekatan terbaik mengikut konteks Islam moden yang bukan sahaja diterima baik sejagat, bahkan dianggap kunci yang mampu mengekalkan perpaduan di negara ini.

Sehubungan itu, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah baru-baru ini mengenai penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa adalah menarik untuk diteliti.

Mengulas perkembangan berkaitan, Pengerusi Cordoba Initiative, Imam Feisal Abdul Rauf menekankan pentingnya menjelaskan ciri-ciri sesebuah negara Islam kepada masyarakat bukan Islam agar menangkis persepsi mereka bahawa Islam - agama jumud yang menyekat kemajuan.

Pada masa ini katanya, terdapat banyak usaha menubuhkan negara Islam, namun rata-rata meletakkan keutamaan pelaksanaan hukuman hudud sebagai syarat utamanya.

"Sedangkan sesebuah negara itu adalah negara Islam apabila diperintah pemimpin muslim yang adil selain syariat Islam menjadi acuan dan landasan hukum negara secara utuh," katanya pada ceramah umum Indeks Peraturan Undang-Undang dan Pembangunan Kerajaan Islam di Institut Antarabangsa Kajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia di ibu negara baru-baru ini.

Beliau mengupas kepentingan membangunkan mekanisme kerangka indeks peraturan undang-undang Islam bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam kalangan ahli politik ketika penentuan status sesebuah negara Islam.

Cordoba Initiative iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Amerika Syarikat, bersama 12 tokoh ulama dan cendekiawan bukan Islam dari beberapa negara Islam mengambil inisiatif menyediakan buku panduan kepatuhan berkaitan indeks peraturan undang-undang bagi mengukur komitmen sesebuah negara dalam melaksanakan syariat Islam.

Buku bertajuk The Islamic Rule Of Law Index yang mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan itu menyentuh perbahasan isu penentuan sesebuah negara Islam menggunakan kaedah kualitatif menerusi instrumen pengumpulan data dan analisis kandungan berasaskan perbandingan maqasid syariah bagi menentukan status sebuah negara Islam.

Mengulas dakwaan parti Pas bahawa Malaysia bukan negara Islam selagi hukuman hudud tidak dilaksanakan, beliau tidak menafikan pandangan sesetengah mereka yang mahu ‘menghidupkan’ kegemilangan Islam seperti zaman Rasulullah SAW.

"Selain istilah Negara Islam tidak tercatat secara langsung dalam al-Quran dan al-Sunnah, malah ulama juga bersetuju bahawa jenayah tetap berlaku pada zaman Rasulullah biarpun hukuman hudud dilaksanakan, justeru pertikaian mengenainya tidak harus sampai memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

"Kegemilangan zaman Rasulullah tidak terletak kepada pelaksanaan hukuman hudud semata-mata, sebaliknya perpaduan kaum yang menjadi kunci kepada kekuatan mereka," ujarnya.

Imam Feisal tidak menolak, perbezaan ideologi menjadi faktor utama yang menyumbang kepada perpecahan muslim di kebanyakan negara Islam dan disebabkan itu, masyarakat bukan Islam terutamanya di Barat mengambil kesempatan melakukan propaganda memburukkan imej Islam.

Dalam pada itu, Imam Feisal berharap UMNO dan Pas duduk semeja menyelesaikan perbezaan ideologi dan mencari titik persamaan untuk kepentingan Islam.

"Kedua-dua parti mewakili orang Islam, Melayu dan pengikut Mazhab Syafie, tetapi terdapat satu jurang yang besar. Jangan biarkan faktor ideologi memecahbelahkan anda.

"Jika (buku ini) kita dapat merapatkannya di Malaysia, Mesir, Tunisia dan beberapa negara Islam lain, ia akan menjadi pemulihan penting kerana kita adalah satu umat yang menyembah Tuhan yang sama," katanya.

Berbalik kepada isu pendekatan wasatiyyah di negara ini, beliau berkata, Malaysia berjaya menduduki senarai antara lima negara Islam terbaik apabila meraih ukuran indeks tertinggi dalam hampir keseluruhan enam maqasid yang dinilai antaranya kehidupan, harta benda, intelek, maruah dan sebagainya.

"Apa yang mengagumkan, Malaysia sebagai sebuah negara Islam, mampu membawa kemakmuran kepada seluruh rakyatnya yang berbilang kaum," katanya.

Imam Feisal telah berkhidmat sebagai Imam Masjid al-Farah, yang terletak 12 blok dari Ground Zero di tengah bandar raya New York dari 1983 hingga 2009.

Beliau menubuhkan Cordoba Initiative yang menggunakan agama untuk menambah baik hubungan Islam-Barat dan menyediakan penyelesaian inovatif di dalam kawasan konflik antara masyarakat Islam dan Barat.

Tiga buku tulisan beliau antaranya What’s Right With Islam Is What’s Right with America mengupas tentang Islam dan kedudukannya di dalam masyarakat Barat.   RAJMAH HASAN rencana@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140603

Kesenangan dunia sebagai ujian kepada manusia

Pada dunia akhir zaman ini, golongan muda seharusnya diberi perhatian kerana mereka mudah terpedaya dengan dugaan dunia. Dalam konteks ini, Ashabul Kahfi adalah contoh terbaik kerana berani melawan arus.

Mereka adalah anak muda yang tegas berpegang kepada prinsip kebenaran walaupun ia berisiko tinggi. Pada akhir zaman, golongan yang akan berjaya adalah mereka yang bersikap seperti Ashabul Kahfi ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah Ashabul Kahfi dan al-Raqim (nama batu bersurat) itu saja yang menakjubkan antara tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?” (Surah al-Kahfi, ayat 9)

Penyebaran media massa pada akhir zaman akan menjadi begitu dahsyat sehingga mengubah nilai hidup manusia seperti perbuatan zina dihalalkan, mereka yang rendah moral dan mendedahkan aurat menjadi ikutan, pergaulan bebas dianggap lambang kemajuan dan amanah menjadi bahan permainan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu orang yang telah sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka menyangka mereka sentiasa betul dan baik pada apa saja yang mereka lakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 104)

Tambahan pula, orang kafir sentiasa menginginkan umat Islam berpecah dan masuk ke dalam golongan mereka. Mereka tidak akan berhenti mencari helah untuk memerangkap umat Islam sehingga berjaya dengan menggunakan cara halus.

Selain itu, umat Islam seharusnya mengawasi keseronokan sementara duniawi seperti hiburan yang melampaui batas dan melanggar syariat Islam. Kesenangan dunia adalah fitnah dan ujian bagi setiap manusia yang hidup di muka bumi ini.

Jika ia diambil dengan sikap dan cara yang betul, seperti yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman maka akan menguntungkan umat Islam di dunia dan akhirat.

Sebaliknya apabila manusia sudi memperhambakan dirinya kepada lembah kehinaan, maka kebinasaan akan menimpa mereka di akhirat kelak.

Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di kalangan mereka yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 7)

Umat Islam perlu mempunyai matlamat yang jelas supaya tidak terpedaya dengan keseronokan dunia yang hanya sementara. Justeru, umat Islam haruslah sentiasa mengamalkan surah Al-Kahfi pada setiap hari Jumaat supaya dapat melindungi diri daripada fitnah Dajjal kelak. Berita Harian Agama 2014/06/03 - 08:03:40 AM  Muhammad Luqman Ahmad

Islam bawa rahmat ke seluruh umat

Al-Quran, al-Sunah beri panduan lengkap setiap aspek hidup insan

Islam adalah anugerah nikmat tiada ternilai yang dikurniakan Allah SWT kepada umat manusia. Islam diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya Rasulullah SAW untuk menyelamatkan warga alam ini daripada terjerumus ke kancah kesesatan dan sebagai gantinya Islam menaungi alam semesta.

Islam datang ke alam semesta dalam keadaan tidak dikenali. Oleh itu, Islam dipulau, dihina dan ditentang hebat orang kafir Musyrikin. Situasi inilah yang dihadapi Rasulullah SAW pada detik permulaan menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat Arab.


Sabda Rasulullah SAW: “Islam itu bermula dalam keadaan dagang dan akan kembali dalam keadaan dagang, maka beruntung dan berbahagialah golongan ghuraba’ iaitu pedagang-pedagang. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah golongan pedagang itu? Lantas Baginda menjawab: Mereka itulah golongan manusia yang melakukan islah atau reformasi di saat berleluasanya kerosakan, kezaliman dan penindasan di kalangan manusia.” (Riwayat Muslim)

Setelah Islam bertapak kukuh di bumi Madinah, Islam diangkat sebagai teras yang mendasari segala aspek kehidupan ummah. Ini bermakna Islam dipraktikkan secara menyeluruh oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabat sehingga mereka muncul sebagai generasi terbaik dan contoh umat terkemudian.

Pengiktirafan mereka sebagai umat contoh dan terbaik yang dilahirkan Islam telah diperakui sendiri oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Bertolak dari sini, generasi Rasulullah SAW dan sahabat mengorak langkah melebarkan sayap Islam ke seluruh pelusuk bumi yang terbentang luas ini hingga mampu menumpaskan dua kuasa besar dunia ketika itu iaitu Empayar Rom dan Parsi.

Akhirnya, Empayar Islam mengambil tempat gah di persada dunia memantulkan nilai Islam ke seluruh warga alam semesta. Ringkasnya, kedatangan Islam memberikan kerahmatan, kemuliaan dan kesejahteraan kepada umat Islam sehingga memegang tampuk pemerintahan dunia satu ketika dulu.

Perlu ditegaskan bahawa kesemuanya ini adalah janji dan jaminan Allah kepada orang yang beriman kepada-Nya. Apa yang dijanjikan Allah ini telah berlaku dan pasti akan berlaku pada masa akan datang.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian dalam hal ini ialah usaha umat Islam menuju kemuncak kejayaan itu bukanlah satu perkara yang mudah dicapai atau boleh dipandang enteng. Sebaliknya ia mempunyai syarat tertentu yang wajib dipenuhi.

Syarat itu adalah antara formula dan rahsia yang telah melonjakkan generasi Rasulullah SAW dan sahabat sebagai generasi terbaik. Antara formula itu ialah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar iman.

Pada masa sama, setiap Muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Ilahi dan menjauhi segala larangan-Nya. Begitu juga, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah mengatasi segala-galanya daripada kecintaan kepada dunia, anak isteri, harta, pangkat dan kedudukan.

Seterusnya, konsep ibadah dalam Islam sewajarnya dihayati dan diterjemahkan secara keseluruhannya di alam realiti kehidupan semasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” (Surah al-An’am, ayat 162-163)

Apa yang berlaku kini, umat Islam begitu asyik menayangkan nostalgia silam yang gemilang tanpa mengambil iktibar terhadap yang telah berlaku satu ketika dulu. Sepatutnya, apa yang berlaku dijadikan pengajaran untuk mengulang kegemilangan itu.

Justeru, Islam sewajibnya diletakkan di tempatnya yang sewajarnya sebagai teras menunjangi setiap lapangan hidup manusia. Ini kerana tidak ada satu masalah pun di dalam kehidupan ini melainkan Islam mempunyai penawarnya dan jalan penyelesaiannya yang ampuh.

Di sini terletaknya ciri-ciri keunikan dan keistimewaan yang menghiasi Islam hingga diiktiraf sebagai ad-Din paling sempurna dan lengkap dengan sistem atau cara hidup menyeluruh.

Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunah perlu dihayati secara keseluruhannya, bukannya diambil sebahagiannya dan ditolak sebahagian yang lain kerana turutkan kehendak hawa nafsu yang menyeleweng. Berita Harian Agama 2014/06/03 - 08:04:51 AM Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi