June 4th, 2014

Tokoh sufi terkenal

ADA seorang sufi yang terkenal dengan ucapannya yang luar biasa tentang fahaman ittihad. Sufi tersebut bernama Abu Yazid bin Isa bin Surusyan al-Bustami.

Beliau lahir di Bistam, di bahagian utara Iran. Tahun kelahiran dan masa kecil al-Bustami tidak banyak di ketahui, kecuali beliau berasal daripada keluarga terhormat dan terpelajar. Ayahnya, Isa bin Surusyan adalah pemimpin masyarakat di Bistam.

Ibunya dikenali sebagai seorang yang zahid (meninggalkan keduniaan) dan al-Bustami sangat patuh kepadanya. Datuknya seorang penganut agama Majusi yang kemudiannya memeluk Islam.

Al-Bustami mengenal tasawuf daripada seorang India, Abu Ali al- Sindi yang mengajarnya ajaran al-fana’ fi ai-tauhid (tenggelam dalam tauhid). Beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Al-Bustami meninggal dunia pada 261 Hijrah / 875 Masihi di Bistam, Iran.



KOMPLEKS Abu Yazid Al-Bustami.

Dihormati

Meskipun ucapannya kadangkala dianggap tidak biasa dan kafir, ajaran al-Bustami banyak dikaji dan disebarkan oleh para sufi lain. Fahamannya dijadikan rujukan dan beliau dihormati guru sufi. Nama Abu Yazid sering dikaitakan dalam salasilah (garis kerohanian) guru sufi dalam banyak tarekat.

Seorang sufi terkenal, al-Junid, pernah menterjemahkan ucapan al-Bustami ke dalam bahasa Arab yang disertai ulasan dalam kitab al-Luma’al-Sarraja melalui seorang murid yang juga anak saudara al-Bustami, iaitu Abu Musa Isa bin Adam.

Pengalaman rohani al-Bustami dikumpulkan, disimpan dan disebarkan oleh muridnya kerana beliau tidak meninggalkan suatu karya pun.

Menurut pandangan sufi, kata-kata yang diucapkan al-Bustami bukanlah kata-kata yang keluar daripada diri sendiri tetapi daripada Allah SWT melalui pertuturan al-Bustami ketika beliau sedang dalam keadaan ittihad.

Kecaman

Ajaran al-Bustami mendapat kecaman sejumlah ulama. Bagi mereka, ajaran al-Bustami tentang ittihad merupakan ajaran yang sesat dan menyimpang daripada syariat dan akidah.

Mereka menganggap ucapan al-Bustami sebagai cercaan terhadap Tuhan. Antara ucapannya adalah: "Sesungguhnya aku adalah Allah. Tidak ada Tuhan selain aku. Maka sembahlah aku."

Ucapan ini secara harfiah bererti al-Bustami ialah Tuhan, sehinggalah beliau dianggap kafir. Meskipun mendapat kecaman, tasawuf al-Bustami kemudian dikembangkan oleh pengikutnya dengan membentuk satu aliran terekat bernama Taifuriyah.

Pembelaan

Menurut tafsiran yang membela al-Bustami, ucapan aneh al-Bustami ketika mencapai tingkat ittihad adalah pengalaman rohaninya yang diliputi perasaan bahawa dirinya bersatu dengan Tuhan.

Dalam ittihad, yang dirasakan hanyalah satu kewujudan yang berbeza, iaitu sufi dan Tuhan. Pada peringkat ini, sufi tidak sedarkan dirinya dan segala sesuatu selain Tuhan. Fahaman ini tetap mempertahankan perbezaan di antara tuhan dengan manusia. Utusan/Bicara_Agama/20140603

Usahawan terbilang

SUATU hari Rasulullah SAW menyerahkan wang satu dinar kepada Urwah bin al-Jaad al-Bariqi. Baginda menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli seekor kambing korban.

Satu dinar biasanya hanya cukup untuk membeli seekor kambing. Namun kerana kepakarannya dalam berjual beli, Urwah mampu mendapat dua ekor kambing dengan satu dinar tersebut.

Di tengah perjalanan pulang, beliau berjumpa dengan seseorang yang berminat membeli salah seekor kambing yang dibawanya. Urwah lalu menjualnya dengan harga satu dinar.

Apabila berjumpa baginda Nabi SAW, Urwah berkata: "Wahai Rasulullah, ini wang dinar milik tuan. Dan ini kambing milik tuan."

Rasulullah SAW terkesan dengan kepandaian Urwah. Baginda mendoakan Urwah dengan sabdanya: "Ya Allah, berkatilah Urwah dalam setiap transaksi yang beliau lakukan."



BERNIAGA menerusi internet adalah perkembangan terkini dalam inovasi dunia perniagaan.
- Gambar hiasan

Selepas doa Nabi SAW itu, Urwah menjadi seorang peniaga yang sangat berjaya. Sehingga dikatakan, andai ia menjual debu sekalipun, ia pasti akan mendapatkan untung. Pada akhir hayatnya, Urwah menetap di Kufah dan menjadi salah seorang yang paling kaya di negeri tersebut.

Kisah ini diriwayatkan oleh ramai ahli hadis antaranya al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Baihaqi dengan lafaz yang saling melengkapi satu sama lain.

Galakan berniaga

Urwah al-Bariqi ialah seorang sahabat Nabi SAW layak menjadi model usahawan Muslim. Beliau pandai menggunakan modal yang tidak seberapa untuk meraih keuntungan yang berlimpah. Dan doa Nabi SAW untuk beliau menunjukkan keredaan baginda atas perbuatan yang beliau lakukan.

Menceburi bidang perniagaan memang sangat digalakkan dalam Islam. Rasulullah pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang terbaik?" Baginda menjawab: "Seseorang yang menggunakan kemahiran tangannya dan setiap jual beli yang halal." (riwayat Ahmad)

Para ulama menyebut perniagaan sebagai salah satu kaedah mencari rezeki yang paling mulia. Tentu sahaja syaratnya apabila perniagaan tersebut bersih daripada penipuan, monopoli, riba dan perkara haram lainnya.

Ulama profesional

Melihat kepada lembaran sejarah hidup para ulama, kita akan mendapati ramai dalam kalangan tokoh ilmuwan dunia Islam ternyata juga para peniaga sukses. Mereka antaranya ialah: Imam Abu Hanifah, Imam Laith bin Saad, Imam Abdullah bin al-Mubarak, dan lain-lain.

Para ulama ini membuktikan bahawa jalan kejayaan boleh diraih tanpa menempuh jalan yang haram di sisi syarak. Mereka bukan hanya pakar dalam teori halal dan haram, namun juga praktis dalam bidang tersebut.

Motivasi mereka dalam perniagaan pun sangat mulia. Motivasi itu bukan untuk memperkaya diri, akan tetapi mempertingkatkan diri agar lebih dekat kepada ilahi.

Ibnu al-Mubarak pernah ditanya tentang motif perniagaan beliau. Ulama dan usahawan besar ini menjawab: "Aku melakukannya untuk menjaga air muka, memelihara kehormatan, dan membantu diriku dalam ketaatan."

Jika semangat dan motivasi keusahawanan ini dimiliki setiap Muslim, sudah pasti umat Islam akan menjadi bangsa yang disegani. Mereka kuat dalam ekonominya sebagaimana kuat dalam iman dan akidahnya. Wallahu a’lam. Utusan/Bicara_Agama/20140603

Kementerian Kesihatan akui silap

KUALA LUMPUR 3 Jun - Kementerian Kesihatan mengakui melakukan kesilapan berhubung pengumuman terdapat kesan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dalam kandungan dua produk coklat Cadbury termasuk tidak memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, kesilapan berlaku apabila maklumat terhadap ujian makmal yang dijalankan ke atas produk-produk itu dibocorkan ke laman sosial selain pengumuman dibuat terlalu awal.

Katanya, sikap terburu-buru seorang pegawai kementerian membocorkan laporan awal ujian itu sebelum ujian kedua dijalankan telah menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.




HILMI Yahya

"Kebocoran maklumat awal siasatan itu adalah kesilapan daripada pegawai kami. Sikap terburu-buru telah menimbulkan kekeliruan dalam perkara ini. Saya mohon kepada semua untuk menerima keputusan Jakim. Satu kesilapan telah dibuat oleh pegawai kami dan kementerian sedang jalankan siasatan dalaman dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2014 di sini hari ini.

Pengumuman Kementerian Kesihatan berhubung penemuan DNA babi dalam dua produk Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam baru-baru ini telah mengejutkan umat Islam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury terbabit disahkan tiada DNA babi.

Menurut Dr. Hilmi, sebarang keputusan berkenaan status halal atau haram melibatkan sesuatu produk kelak akan diuruskan oleh Jakim.

"Orang ramai boleh meyakini siasatan Jakim yang telah membuat pengesahan produk itu tidak mengandungi unsur haram dan selamat dimakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak kewujudan sebarang unsur sabotaj melibatkan isu kebocoran ujian awal coklat Cadbury itu.

"Jakim dan Kementerian Kesihatan melakukan ujian makmal menggunakan prosedur operasi standard yang sama untuk mendapatkan keputusan. Kita mempunyai lebih 15 makmal bagi tujuan itu tetapi ujian Cadbury dibuat di Sungai Buloh sebelum maklumat mengenainya bocor tanpa pengesahan dalam ujian awal Februari lalu," ujarnya.

Tambahnya, berbanding makmal yang digunakan Jakim, makmal kementerian tidak diakreditasikan untuk penentuan produk halal dan hanya digunakan untuk kajian dalaman.

KASTHURI JEEVENDRAN pengarang@utusan.com.my Utusan/Dalam_Negeri/20140604

Antara halal dan 'umum al-balwa'

MINGGU lalu apabila media tempatan menyiarkan berita mengenai dua produk coklat jenama Cadbury dikatakan mengandungi DNA babi (porcine), masyarakat Muslim negara ini gempar, terkejut campur marah. Reaksi ini boleh kita faham kerana apa sahaja produk makanan yang me­ngandungi daging babi atau bahan yang ada kaitan dengan babi bukan sahaja tidak halal (haram), bahkan najis.

Beberapa NGO Islam segera mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia membantu sesiapa sahaja anggota masyarakat yang telah tertipu membeli dan memakan barang tidak halal dan najis itu untuk mengambil tindakan terhadap syarikat pembuat coklat tersebut.

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Sukaguam menyatakan mereka bersedia memberi khidmat guaman percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu mengambil tindakan menuntut ganti rugi sehingga RM100 juta terhadap syarikat tersebut.

Perlu ditegaskan di sini bahawa bukan semua orang berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pembuat coklat itu.

Untuk memastikan seorang itu ada locus standi memfailkan tuntutan di mahkamah, orang itu mestilah ada bukti bahawa dia sememangnya telah membeli produk buatan syarikat itu daripada pengedarnya yang sah (dan ada menyimpan resit untuk membuktikan transaksi pembelian itu) dan selepas itu produk itu telah pun diserahkan kepada pihak lain yang diiktiraf ada kepakaran menjalankan ujian, dan hasil kajian itu sah membuktikan barang itu ada mengandungi DNA babi seperti yang dilaporkan oleh media.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah memaklumkan dalam sidang akhbar di pejabatnya minggu lalu bahawa menjual produk mengandungi DNA babi tanpa memaklumkan masyarakat Muslim di negara ini adalah satu 'penipuan jahat dan harus dibendung'. Perbuatan syarikat itu merupakan satu 'penghinaan yang amat dahsyat', tambahnya lagi.

Beliau menambah; "Setakat ini kami te­lah menerima 700 emel dan pesanan ringkas daripada rakyat Malaysia yang mahu kami mewakili mereka menyaman Cadbury. Kami akan memfailkan saman ini dan menganggarkan jumlah tuntutan sebanyak RM100 juta."

Kenyataan JMM itu dibuat ekoran pendedahan Kementerian Kesihatan dan Jakim sebelumnya yang mengesahkan bahawa dua produk berjenama Cadbury (iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam) me­ngandungi DNA babi. Jakim telah juga menarik balik sijil halalnya mengenai produk berkenaan. Syarikat Cadbury telah kemudian menarik kedua-dua produk tersebut dari semua premis perniagaan yang menjual produk tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Sukaguam Kebangsaan, Ahmad Zuhairi Ahmad Pu'aat berkata bahawa tindakan undang-undang yang mungkin diambil terhadap syarikat pembuat coklat itu adalah tuntutan gantirugi di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

NGO desak KP Kesihatan mohon maaf, letak jawatan




Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapa menunjukkan dua laporan analisis makmal Jabatan Kimia terhadap sampel Cadbury Dairy Milk Roast Almond dan Cadbury Dairy Milk Hazelnut yang disahkan tiada Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi di Putrajaya, kelmarin. - BERNAMA

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Hamdan Adnan pula menyeru agar tindakan lebih tegas diambil terhadap syarikat berkenaan agar peristiwa buruk seperti ini tidak berulang.

Tidak cukup dengan kejutan pendedahan kewujudan DNA babi dalam produk makanan kegemaran kanak-kanak ini, keadaan menjadi lebih keliru dan kelam-kabut lagi apabila media memetik pandangan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin, yang khabarnya menyatakan bahawa produk buatan Cadbury itu 'yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi DNA babi adalah seperti hukum asalnya, iaitu halal dimakan' (sila lihat Fatwa majlis-fatwa-kebangsaan-36793)

Abdul Shukor berkata, perkara ini termasuk dalam kategori keadaan 'umum al-balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

Dalam kenyataan penuhnya yang dikeluarkan minggu lalu, Abdul Shukor menjelaskan; "Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai halal tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, muzakarah memutuskan bahawa ia dikategorikan sebagai 'umum al-balwa'.

Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan.

Kenyataan Abdul Shukor ini mengingatkan perbualan saya dengan arwah ayah sewaktu saya masih muda dulu. Dalam bahasa mudah yang kita fahami, ayah menyatakan kepada saya bahawa istilah 'umum al-balwa' boleh diertikan sebagai 'bala atau musibah yang tidak boleh dielakkan' atau 'sukar dielakkan'.

Yang menggusarkan banyak pihak (termasuklah beberapa sahabat saya di kalangan warga peguam) adalah kemungkinan besar kes melibatkan coklat Cadbury ini akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat. Tindakan undang-undang ini boleh berupa guaman sivil (tuntutan ganti rugi pihak-pihak ber­kenaan di bawah Akta tertentu atau di bawah common law), dan juga boleh berupa prosi­ding jenayah (oleh pihak berkuasa tertentu di bawah undang-undang negara tertentu berkaitan produk halal).

Jadi, kalau kita sudah menjangkakan guaman sivil dan prosiding jenayah ini akan diambil oleh pihak-pihak berkenaan, kenapakah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan merasa perlu (seolah terburu-buru) membuat kenyataan tentang perihal pencemaran atau kontaminasi yang berlaku 'adalah di luar kawalan dan amat sukar di­elakkan'?

Tidakkah perbuatan Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan pendapat sedemikian itu seperti mendahului kerja dan peranan mahkamah?

Kita langsung tidak berniat menafikan kepakaran dan ketokohan Jawatankuasa Fatwa dalam aspek pentafsiran 'umum al-balwa' ini dari segi hukum syarak. Pun begitu, perlu ditegaskan bahawa apa yang rakyat kita hadapi sekarang adalah dua isu perundangan yang amat serius, iaitu:

Pertama, ia membabitkan isu product liability oleh syarikat pembuat (sebahagian daripada undang-undang kecuaian) berasaskan common law dan statut; Kedua, ia membabitkan aspek jenayah, iaitu pelanggaran peraturan negara kita sendiri, antaranya Trade Descriptions (Definition Of Halal) Order 2011.

Di bawah Peraturan 2011 itu, apabila suatu barang makanan atau barang lain dinyatakan sebagai halal dan boleh dimakan oleh seorang Muslim, barang itu mestilah, antara lain, 'tidak mengandungi bahan daripada apa-apa haiwan yang dilarang oleh hukum syarak ke atas seorang Muslim untuk memakannya.'

Sekiranya seorang itu disabitkan kesalahan melanggar Peraturan 2011 itu, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Jika yang bersalah itu adalah satu syarikat, denda boleh dikenakan ke atasnya tidak melebihi RM5 juta.

Rakyat negara ini berhak bertanya dan mahkamah nanti berhak memeriksa keterangan untuk memutuskan sendiri (membuat penghakimannya), apakah syarikat berkenaan telah bertindak dengan penuh berhati-hati dan bertanggungjawab memastikan barang buatan mereka sentiasa halal - bukan hanya di peringkat pembuatan, bahkan di peringkat selepas itu sehinggalah barang buatan mereka itu dibeli dan dimakan oleh pelanggan mereka (rakyat jelata yang membelinya).

Mahkamah perlu memutuskan sendiri apakah pencemaran atau kontaminasi barang makanan coklat itu 'di luar kawalan dan amat sukar dielakkan'.

Sementara semua ini masih lagi menjadi tanda tanya, selagi ia tidak dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah, rakyat jelata juga perlu diperingatkan bahawa status satu fatwa' itu wujud dari sudut undang-undang dan mengikat semua umat Islam di sebuah negeri itu hanya setelah apa yang dikatakan 'fatwa' itu telah disetujui oleh Majlis Fatwa Negeri dan selepas itu telah disiarkan dalam Warta Kerajaan negeri berkenaan. Salleh Buang Utusan/Rencana/20140604