June 9th, 2014

Sebaik-baik bumi Allah

ALHAMDULILLAH, segala puji bagi-Nya. Pada artikel kali ini penulis ingin membicarakan berkenaan dengan Mekah dan kelebihannya. Sebenarnya bermula daripada namanya yang banyak, sudah jelas menunjukkan kelebihan kota suci Mekah al-Mukarramah seperti mana kata Imam Nawawi.

Bagi memulakan perbicaraan ini, penulis menukilkan daripada kitab Al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah karya Imam Nawawi: Mekah adalah seafdal-afdal tanah di muka bumi di sisi kami dan semua ulama. Al-Abdari berkata: Ia adalah mazhab kebanyakan fuqaha dan satu pendapat yang paling sahih bagi Imam Ahmad. Sedangkan Imam Malik rha. dan jemaah ulama berkata: Madinah lebih afdal.

Dalil kami ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Nasaie dan selainnya, daripada Abdullah bin Adi bin Al-Hamra’ r.a bahawa beliau berkata: “Didengar daripada Nabi SAW sedang baginda berwukuf atas binatang tunggangannya di Mekah seraya bersabda kepada kota Mekah: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu sebaik-baik tanah di muka bumi dan sekasih bumi kepada Allah. Kalaulah bukan kerana aku dikeluarkan daripadamu nescaya aku tidak keluar. (riwayat al-Tirmizi juga di dalam kitabnya, al-Manaqib. Dikatakan ia hadis hasan sahih).



MENCIUM Hajar Aswad adalah salah satu harapan jemaah ketika berada di Mekah. - Gambar hiasan

Sebagai penutup penulis meminjam kenyataan Baginda SAW bahawa Mekah adalah sebaik-baik bumi Allah dan yang paling dikasihi-Nya. Semoga kita diberi kesempatan untuk menuju ke Makkah Al-Mukarramah dalam melaksanakan ibadat haji dan umrah. Amin. Antara amalan terbaik dilaksanakan:

- Banyak bertawaf.

- Banyakkan solat-solat sunat.

- Melazimi zikir dan istighfar.

- Melazimi solat.

- Berazam untuk khatam Quran di Mekah dan Madinah.

- Mendengar pengajian daripada tuan-tuan guru.

- Menjadikan hati dan jiwa bersih daripada sifat mazmumah.

- Menghiasi hati dan jiwa dengan sifat mahmudah.

- Bertekad untuk membantu rakan taulan dan jemaah yang kesempitan.

- Sentiasa memberi dan menghulurkan sedekah.

- Melakukan taubat kepada Yang Maha Esa.

- Meninggalkan perbuatan yang melalaikan, fasik dan perdebatan.

- Berbaik sangka sesama manusia.

- Mengingati dan merasakan kebesaran Ilahi.

- Mengzahirkan ubudiah kepada Rab al-Alamin.   DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim) Utusan/Bicara_Agama/20140606

Hanya peduli isu Cadbury?

ISU coklat yang dikesan mempunyai Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi menjadi isu yang besar dalam kalangan masyarakat Islam. Bagaimana seharusnya sikap seorang Muslim dalam menangani isu-isu sebegini?

Jawapan: Perhatian besar umat Islam dalam isu ini adalah sikap yang baik dan terpuji. Mereka prihatin dan cakna dengan isu makanan halal agar tidak ada sedikit pun makanan haram masuk ke dalam mulut mereka.

Namun begitu, semangat keperihatinan ini sewajarnya dipandu oleh ilmu. Antara pedoman dalam isu ini ialah:

i. Kewujudan DNA babi dalam sesuatu makanan mempunyai beberapa kemungkinan. Mungkin memang bahan DNA babi antara bahan asas dalam pembuatannya, mungkin sengaja disabotaj dan mungkin tercemar.

Oleh itu, pemeriksaan teliti perlu dilakukan agar tidak berlaku kezaliman terhadap mana-mana pihak.

Jika DNA babi adalah bahan dalam pembuatan makanan tersebut tetapi disembunyikan, maka ia tindakan yang salah dan amat tidak beretika. Tindakan tegas mestilah diambil.

Namun jika ia disabotaj atau sekadar tercemar, maka kita perlu berfikir dengan lebih rasional.

Kaedah fikah menetapkan bahawa keyakinan tidak hilang dengan keraguan. Maka keyakinan bahawa sesuatu makanan adalah bebas DNA telah dibuktikan sebelum sijil halal dikeluarkan.

Namun wujud keraguan kerana ujian terbaharu mendapati ada unsur DNA babi. Keyakinan bahawa ia bebas DNA babi terbatal jika wujud keyakinan yang lain pula, bukan sekadar syak dan prejudis.

ii. Kajian pengesahan sijil halal telah dilakukan oleh pihak yang berkuasa dalam hal ini. Maka umat Islam sewajarnya berpegang dengan kajian dan keputusan yang telah dilakukan. Pihak pengeluar sijil halal mempunyai prosedur operasi standard (SOP)yang profesional dalam mengeluarkan sijil halal.

Jika kita sendiri tidak yakin dengan sijil halal tersebut, maka umat Islam akan berada dalam kehidupan yang sukar dalam isu-isu yang lain. Contohnya bagaimana dengan restoran, makanan di hotel, kedai-kedai tertentu dan bahan makanan lain.

Jika bahan makanan dan kedai makan yang mempunyai sijil halal yang sah pun tidak digunakan dan tidak dipercayai, bagaimana dengan bahan makanan dan kedai makan yang langsung tidak mempunyai sijil halal?

iii. Pandangan bahawa umat Islam yang telah makan makanan mengandungi DNA babi hendaklah menyucikan darah adalah pandangan yang pelik. Islam tidak menuntut perkara tersebut. Dalam nas al-Quran, disebutkan bahawa tiada dosa ke atas orang Islam yang beriman dan beramal soleh dalam apa juga yang telah dimakan.

Sesungguhnya para sahabat telah minum arak ketika arak belum diharamkan. Apabila arak diharamkan, maka para sahabat yang masih hidup tertanya-tanya tentang sahabat yang sudah meninggal dunia dalam keadaan mereka minum arak ketika arak belum diharamkan. Maka nas al-Quran menjelaskan bahawa tiada dosa dalam isu ini.

Kes yang sama berlaku dalam isu ini. Makanan tersebut dimakan dalam keadaan wujudnya pengesahan halal. Cuma sekarang ini, ada laporan tidak rasmi menyatakan bahawa ia mengandungi DNA babi lalu sijil halalnya digantung. Maka tidak perlu dibimbangi dengan perkara yang lepas.

iv. Terdapat maksiat-maksiat lain yang lebih besar dosanya daripada makanan yang dikatakan mempunyai DNA babi. Maksiat rasuah, maksiat judi, maksiat mencuri, maksiat riba dan sebagainya adalah maksiat yang mana dosanya lebih besar daripada DNA babi. Namun malangnya sebahagian umat Islam memandang sepi dosa-dosa ini.   Utusan/Bicara_Agama/20140606

Transformasi dahulu sebelum motivasi

Motivasi merupakan perangsang tindakan terhadap sesuatu tujuan daripada minat yang sedikit atau tiada langsung lalu menjadikannya bertambah minat.

Kita seringkali mendapat motivasi dari luar seperti televisyen, radio, rakan-rakan, ibu bapa, guru, dan sebagainya untuk memberi semangat agar lebih berjaya.

Apa yang menjadi persoalan, adakah ilmu yang didapati dari luar itu sesuai dengan kita, kerana apa-apa sahaja yang kita dapat dari luar adalah bersifat rambang dan tidak spesifik.

Berpeluang bertemu dengan pakar transformasi, Dr. Ridzwan Mohamad Noor benar-benar mengubah persepsi saya tentang konsep motivasi yang sering diuar-uarkan kepada kita tidak kira dalam kalangan masyarakat mahupun media.

Pakar transformasi yang mesra disapa Dr. Ridz itu berkata, motivasi sepatutnya berlaku selepas proses transformasi kerana setiap manusia mempunyai hala tuju yang berbeza yang mesti dikenal pasti dahulu sebelum membawanya ke proses motivasi supaya diri menjadi lebih baik.

Transformasi pula bererti mengubah sifat daripada satu keadaan kepada keadaan baru yang membawa penambahbaikan kehidupan baik dari segi imej mahu pun dari aspek hasil.

“Bila bercakap tentang transformasi, ia berkaitan dengan diri sendiri di mana kita kenal pasti dahulu apakah kelebihan, kekuatan serta kelemahan diri dan bagaimana kita nak bawa hala tuju diri.

“Langkah pertama, kalau kita nak bawa hala tuju, kena tahu dahulu kelebihan kita. Sebab kita yang nak bawa ilmu yang kita dapat tu. Kalau kita sendiri tak tahu kelebihan kita, dan ikut orang, kita tak mungkin jadi orang yang berjaya," katanya ketika ditemui di Program Kecemerlangan Hidup di Dunia dan Akhirat bersama Dr. Ridz di Wisma Dr. Ridz, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Islam mengajar tentang transformasi

Menurutnya, dalam Islam sekalipun bercakap mengenai hijrah dan hijrah mengajar kita untuk mengorbankan dahulu apa sahaja kelemahan ataupun kenal pasti terus kelebihan serta kekuatan dan selepas itu baharulah seseorang itu tahu akan hijrah bagaimana yang mahu dibawa.

“Sama juga dengan manusia. Manusia kena tahu kelebihan dirinya melalui spritual, mental, fizikal, dan emosional. Kalau dalam Islam pula, kita melihat kepada maarifat, taarikat, hakikat, dan syariat. Bila kita dah tahu itu, baru kita akan pergi ke motivasi atau apa kursus motivasi yang sesuai dengan diri dan apa hala tuju kita.

“Sebab itu saya nak semua orang tahu tentang transformasi diri kerana tiada yang mustahil dalam hidup ini. Ada terlalu banyak teknik yang boleh kita pelajari sehingga kita sendiri dapat membongkar segala kelebihan kita dan barulah kita pergi ke motivasi," katanya.

Transformasi tiada had umur

Kata Dr. Ridz, proses transformasi tidak melibatkan sebarang had umur kerana manusia boleh mengubah dirinya pada bila-bila masa sahaja kerana tidak semua orang berjaya dalam usia muda dan ada juga yang berjaya dalam usia tua.

“Apa yang paling penting, dia perlu faham konsep transformasi dahulu agar dia dapat mengubah dirinya menjadi yang lebih baik sebelum dia mampu mengubah keluarganya, organisasinya dan seterusnya masyarakat," ujarnya.

Menurutnya, selepas proses transformasi selesai, barulah seseorang itu boleh menerima motivasi yang didapati daripada kursus-kursus, pembacaan, atau minat terhadap sesuatu di mana ketika itu anda perlu memilih cabang motivasi manakah yang sebenarnya anda perlukan.

Individu tersilap langkah

Antara pertikaian yang sering dipersoalkan ialah sejauh mana kemampuan individu menjalankan tanggung­jawab serta tekanan dunia yang semakin meningkat.

Biarpun banyak pembaharuan dibuat bagi menangani masalah kelemahan diri iaitu dengan menghadiri seminar-seminar motivasi, namun masih banyak kepincangan yang menyebabkan inidvidu semakin keliru.

“Ramai dalam kalangan kita sudah berkali-kali pergi ke kursus motivasi tetapi kesannya masih tidak sampai dan langsung tidak berlaku perubahan dalam diri mereka. Mereka sebenarnya keliru kerana tidak tahu apa sebenarnya hala tuju mereka dan bagaimana mahu aplikasikan motivasi itu.

“Saya tidak salahkan kursus motivasi sepenuhnya andai kata mereka mempertikaikan kewibawaan motivator tetapi individu hanya tersilap langkah kerana mengambil kursus motivasi dahulu sebelum mengenal pasti hala tuju masing-masing, justeru, jalan penyelesaian perlu dicari supaya individu ini tidak merasa terbeban dengan komitmen untuk melaksanakan tang­gungjawab masing-masing," katanya.


NURSYAMIMI SAIDI Utusan/Bicara_Agama/20140606

Adakan piawai patuh syariah

Isu status halal coklat Cadbury benar-benar mencetuskan polemik besar dalam kalangan rakyat sepanjang dua minggu ini. Walaupun keputusan ujian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi makmal Jabatan Kimia terhadap dua coklat berkenaan telah mengesahkan ketiadaan DNA babi berbanding penemuan awal oleh Kementerian Kesihatan, ternyata masih ramai yang sangsi dan ragu.


Sebagai orang awam kita serahkan sahaja kepada pihak Jakim yang bukan sahaja lebih berautoriti dalam penentuan halal haram setiap produk makanan, malah telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai badan yang paling berkesan dan berkeupayaan dalam mengawal selia industri halal negara.

Bahkan jika ditakdirkan termakan makanan haram lantaran diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekalipun, tidak ada istilah kena samak mahupun tukar darah sebagaimana gesaan segelintir. Ini kerana prinsip Islam jelas menggugurkan tanggungjawab seseorang yang tersilap mahupun melakukan sesuatu diluar kemahuannya sebagaimana firman Allah SWT:

"Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al-Ahzab:5).

Ini ditegaskan juga oleh Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah SWT melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka". (Riwayat Ibn Majah).

Apa yang mustahak kini, umat Islam mestillah kekal rasional dan tidak berhujah mahupun berdebat melampaui batas. Janganlah dek kerana beremosi kita terjerumus pula dalam perlakuan songsang seperti tohmah dan fitnah yang lebih besar dosanya daripada sekadar termakan makanan haram.

Namun di sebalik polemik coklat haram yang melanda kini, ternyata sensitiviti umat Islam kepada aspek halal haram dalam pemakanan adalah suatu yang tidak boleh dipandang enteng. Lihat sahaja isu-isu pematuhan syariah yang tercetus bukan sahaja melibatkan aspek halal haram pemakanan tetapi kini masyarakat mula mempertikaikan keabsahan status pelaburan ASB/ASN, pelaburan emas bahkan produk perbankan Islam yang ditanggap tidak berapa Islamik. Ini menzahirkan hakikat bahawa masyarakat kini bertambah prihatin berkenaan halal haram dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Mekanisme

Persoalannya, apakah kepentingan rakyat dalam mendapatkan produk dan perkhidmatan yang benar-benar memenuhi prinsip syarak benar-benar terjamin? Apakah kerajaan sudah mempunyai dasar atau mekanisme yang bersifat komprehensif dalam memastikan aspek pematuhan syariah di setiap sektor benar-benar terpelihara?

Ternyata rakyat sering kali tertipu dengan label-label agama yang diguna pakai dalam upaya melariskan produk mahupun perkhidmatan yang ditawarkan. Label ‘patuh syariah’ atau ‘shariah-compliant’ semacam menjadi satu strategi pemasaran ampuh bagi mempengaruhi pengguna masa kini.

Malah penggunaan label ‘patuh syariah’ secara berleluasa tanpa kawalan mengakibatkan ramai pelanggan sudah tertipu bahkan kerugian wang hanya kerana terdorong untuk melanggani dan berurus niaga dengan produk dan perkhidmatan yang kononnya menyelamatkan mereka daripada api neraka.

Hakikatnya hari ini hanya ada dua industri yang dikawal selia aspek pematuhan syariahnya. Pertama ialah industi produk makanan halal yang dikawal selia dan ditadbir oleh Jakim. Kedua ialah industri kewangan Islam yang dikawal selia oleh pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Walaupun setakat ini kita belum mempunyai satu Akta Halal secara spesifik, urusan berkaitan makanan halal dirangkum dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 serta Perintah-Perintah Perihal Dagangan yang digubal menurut seksyen 28, seperti Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Perintah berkenaan juga menamakan Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebagai ejen pensijilan halal di Malaysia yang diiktiraf di bawah APD 2011 di samping memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai badan penguat kuasa.

Begitu juga dalam industri kewangan Islam, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2012 turut meletakkan kedudukan syariah pada tahap tertinggi dengan memberi kuasa kepada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti mengawasi dan mengawal selia aspek pematuhan syariah institusi-institusi kewangan Islam di bawah seliaan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Malah di bawah Seksyen 28 (5) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, mana-mana pihak yang didapati melanggar aspek pematuhan syariah boleh dikenakan hukuman keras sehingga boleh dipenjarakan tidak lebih lapan tahun atau denda tidak melebihi RM25 juta atau kedua-duanya sekali.

Walaupun tampak aspek pematuhan syariah begitu diperhalusi dan diperketatkan dalam hal ehwal makanan halal dan indusri kewangan Islam yang dikawal selia Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti, namun banyak lagi kelompongan dalam pelbagai sektor lain.

Umpamanya bagi sektor atau institusi kewangan yang tidak berada di bawah seliaan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti, tiada sebarang akta perundangan yang mengawal urus niaga berlabel ‘patuh syariah’.

Natijahnya sudah banyak kejadian penipuan atas label agama seperti dalam kes pelaburan emas Geneva, FOREX, Ar-Rahnu, jualan langsung bahkan urus niaga peminjaman menerusi ah long-ah long yang kononnya patuh syariah. Begitu juga dengan koperasi-koperasi yang tampak begitu galak menawarkan produk pembiayaan ‘patuh syariah’ kepada ahli-ahlinya.

Namun ketiadaan undang-undang khusus yang mengawal selia aktiviti dan urus niaga berlabelkan ‘patuh syariah’ seperti inilah yang mendorong pihak-pihak tidak bertanggungjawab menggunakan agama bagi menipu pengguna yang rata-rata mudah terpengaruh dengan jaminan syurga atas penawaran perkhidmatan yang kononnya memenuhi prinsip syariah.

Justeru sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih bersifat holistik dalam mengawal selia aspek pematuhan syariah di negara ini. Yang dimaksudkan penulis sebagai pendekatan holitisk ialah keperluan mewujudkan satu 'Piawai Patuh Syariah' bersifat menyeluruh dan komprehensif melibatkan semua industri dan urus niaga.

Piawai Patuh Syariah ini amat penting bagi mewujudkan keseragaman dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan atas label agama. Ini juga dapat mengurangkan kekeliruan dalam kalangan rakyat yang bagaikan mudah dipermainkan bahkan rasa tertipu apabila pelbagai versi halal atau ‘patuh syariah’ yang keluar bagaikan tanpa kawalan.

Bagi tujuan penyelarasan mungkin ada keperluan juga untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya yang diletakkan terus dibawah Majlis Raja-Raja memandangkan dari segi Perlembagaan aspek pematuhan syariah termasuk dalam hal ehwal agama merupakan bidang kuasa di bawah negeri.

Suruhanjaya ini juga boleh menyelaras semua agensi di peringkat persekutan dan negeri-negeri dalam aspek pematuhan syariah termasuklah indusri halal yang ketika ini dikawal selia Jakim mahupun industri perkhidmatan kewangan Islam dibawah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Bahkan badan ini juga boleh memperkenalkan audit syariah bagi melakukan proses semakan dan audit yang memfokuskan kepada pematuhan syariah secara berkala dan menyeluruh. Audit syariah ini juga akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap aspek pematuhan syariah.

Umumnya rakyat hari ini makin berkesedaran tinggi akan aspek pematuhan syariah yang tidak hanya terhad pada makanan yang halal. Fenomena penawaran barangan dan perkhidmatan berlabelkan ‘patuh syariah’ tanpa kawalan juga membuktikan kecenderungan industri meraih keuntungan di atas kenaifan umat.

Dengan adanya Piawai Patuh Syariah di samping satu badan penyelarasan induk di peringkat persekutuan diharapkan mampu menangani pelbagai penyimpangan dan penyelewengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang memanfaatkan kejahilan umat bagi meraih keuntungan berlipat ganda sehingga mampu memudaratkan rakyat dan negara.

* Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan/Rencana/20140608

Sultan Muhammad al-Fatih "raja sebaik-baik raja"

Baru-baru ini umat Islam di Istanbul, Turki mengadakan sembahyang Jumaat buat pertama kali di masjid Hagia Sophia selepas dijadikan muzium oleh pemimpin sekular, Mustafa Kamal Ataturk sejak 1934. Walaupun ada beberapa pihak di negara ini khususnya yang menyanjung Kamal Ataturk sebagai arkitek moden Turki tetapi hakikat yang tidak boleh dipadam bukanlah sahaja mengguling sistem monarki tetapi meruntuhkan negara Islam menjadi sekular.

Turki yang sebelum ini sebahagian daripada Empayar Constantinople ditawan Kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1453 yang dipimpin oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Sejak itu Turki berada di bawah sistem monarki Kerajaan Uthmaniyyah hingga digulingkan oleh Kamal Ataturk tahun 1923. Banyak iktibar daripada penggulingan ini antaranya selepas 500 tahun Sultan Muhammad al-Fatih 'mengislamkan' Turki daripada Kristian, sultan-sultan selepasnya yang memerintah Turki moden pada abad ke-19 sudah lupa kepada tanggungjawab.

Kehebatan kepimpinan Sultan Muhammad al-Fatih yang digelar 'raja yang sebaik-baik raja' semakin cair apabila Turki seolah-olah dimiliki oleh keluarga diraja. Mereka membuat sesuka hati hingga menindas rakyat untuk kesenangan peribadi yang secara tidak langsung derhaka kepada pesanan Sultan Muhammad al-Fatih.

Keluarga diraja Turki diajar oleh rakyatnya sendiri. Mereka bangun menggulingkan pemerintahan monarki, apa lagi bersama-sama mereka wujud pemimpin sekularis. Kejatuhan sistem monarki Turki yang hebat dibina oleh Kerajaan Uthmaniyyah wajar dijadikan pengajaran bahawa sultan atau raja yang tidak amanah akan dijatuhkan oleh rakyatnya sendiri.

Sistem monarki boleh runtuh dalam sekelip mata. Ini termasuk sistem monarki berpelembagaan yang memisahkan kuasa eksekutif dengan kuasa raja seperti yang diamalkan di beberapa negara termasuk Britain ketika ini. Maksudnya sistem monarki hanya boleh dipertahankan sekiranya raja atau sultan menunjukkan kepimpinan yang adil dan amanah.

Kalau masjid Hagia Sophia boleh berkata-kata, sudah tentu akan bercerita tentang banyak peristiwa yang dilalui antara raja yang sebaik-baik raja kemudian akhirnya jatuh kepada raja yang tidak menghiraukan rakyat, kemudian ke tangan sekularis dan hanya baru-baru ini Turki bertatih untuk kembali menjadi sebuah negara Islam. Bagaimanapun 'Islam' belum bebas di Turki kerana pemikiran sekular yang menebal ditanam kepada rakyat dan ini menjadi cabaran kepada Perdana Menteri Tayyip Erdorgan.

Siapa Sultan Muhammad al-Fatih? Difahamkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Nabi Muhammad bersabda: "Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera." Para sarjana Islam dan ulama merujuk hadis itu kepada kelahiran Sultan Muhammad al-Fatih lebih kurang 800 tahun selepas itu. Ini kerana ciri-ciri 'raja yang sebaik-baik raja' ada pada anak muda yang menakluki Constantinople pada usia 21 tahun itu.

Dengan kekuatan bala tentera lebih kurang 150,000 orang, khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniyyah ini membuktikan usia bukan penentu sesuatu kejayaan, apa lagi perjuangan membebaskan Islam. Sultan Muhammad al-Fatih dilahirkan pada 30 Mac 1432 dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 berjaya menghancurkan Empayar Byzantine dan menduduki takhta pemerintahan selama 30 tahun. Baginda bukan sahaja mengangkat martabat Kerajaan Islam Uthmaniyyah tetapi juga memuliakan Islam walaupun tidak ditugaskan sebagai ketua agama Islam di Constantinople.

Selepas menawan Constantinople, baginda menjadikan sebuah gereja terbesar, St. Sophies yang dibina tahun 537 Masehi sebagai masjid dan diberi nama Hagia Sophia. Masjid ini sejak sekian lama menjadi simbol kejayaan Islam dan juga bukti seorang sultan yang melangsungkan tugas menjaga agama Islam dengan penuh amanah dan ikhlas.

Sejarah mencatatkan ketinggian pegangan agama Sultan Muhammad al-Fatih terbukti apabila baginda bersama bala tentera mahu mengadakan sembahyang Jumaat pertama selepas gereja itu menjadi masjid Hagia Sophia. Baginda bertanya, siapa antara mereka yang boleh menjadi imam. Beliau berkata lagi, "Siapa yang pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib sila duduk." Sebahagian daripada bala tentera itu duduk. Kemudian berkata lagi, "Siapa yang tidak pernah meninggalkan sembahyang tahajud walaupun sekali?" Semua bala tenteranya duduk menandakan mereka pernah meninggalkan sembahyang tahajud dan yang berdiri hanya baginda seorang. Baginda telah mengimamkan sembahyang Jumaat pertama di Hagia Sophia.

Bagaimanapun selepas hampir lima abad berlalu, masjid Hagia Sophia ditukar menjadi muzium kerana dasar sekularisme Turki moden di tangan Kamal Ataturk melarang penonjolan agama Islam, sebaliknya disamakan taraf dengan agama lain terutama Kristian. Barat telah berjaya meracuni pemimpin Turki ini dengan menawarkan sekularisme, satu jarum ideologi untuk menghapuskan sejarah keagungan Islam Kerajaan Uthmaniyyah yang menawan Constantinople sekali gus menghancurkan Empayar Byzantine.

Akibat sekularisme yang tebal juga Hagia Sophia belum dirasmikan sebagai sebuah masjid yang membolehkan umat Islam sembahyang di dalamnya. Hagia Sophia masih sebuah muzium dan Tayyip Erdorgan tidak mungkin menjadikannya masjid pada masa terdekat ini. Sebabnya beliau mengambil tindakan yang berhati-hati apa lagi musuh politiknya dan musuh Islam menunggu masa untuk mengeksploitasi isu Hagia Sophia sekiranya kembali menjadi masjid. Hagia Sophia melampaui sebuah masjid tetapi yang lebih penting inilah bukti sejarah keagungan seorang raja yang mengagungkan Islam.   Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140608

Cara jihad, dakwah JI

Jihad meskipun membawa pengertian yang luas, tetapi malangnya, ada yang melihatnya daripada sudut sempit iaitu dengan cara mengangkat senjata.

Malah ada yang sanggup menghalalkan darah sesama manusia untuk dibunuh sehingga rela menjadi pengebom berani mati.

Inilah ideologi organisasi pengganas terbesar di rantau ini iaitu Jemaah Islamiah (JI) yang pernah diketuai oleh Abu Bakar Ba'asyir.

Abu Bakar yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun di Penjara Nusakambangan, sebuah pulau terpencil di Cilacap, Indonesia, terus utuh dengan ideologi itu.

Ikuti temu bual wartawan Mingguan Malaysia, Sharilfuddin Saari bersama Abu Bakar Ba'asyir untuk mencari jawapan jihad dan syahid dari sudut organisasi itu untuk renungan semua pembaca.

MINGGUAN: Boleh ustaz ceritakan rutin harian kehidupan di dalam penjara?

ABU BAKAR: Alhamdulillah, saya berasa sangat sihat. Udara di dalam penjara di pulau ini sangat bersih. Saya bebas beribadat dan beriadah. Saya dibenarkan solat berjemaah pada waktu Zohor, Asar dan Maghrib. Selebihnya iaitu Subuh dan Isyak, saya berjemaah di surau yang dibina sendiri atas sumbangan pihak luar.

Boleh ceritakan hubungan ustaz sesama tahanan-tahanan di sini?



ABU Bakar Ba'asyir ketika ditemu bual oleh Sharilfuddin Saari di Penjara Nusakambangan, Cilacap, Indonesia baru-baru ini.

ABU BAKAR: Di dalam penjara ini terdapat 42 bekas ahli JI. Hubungan kami sangat rapat. Kami mengadakan kuliah agama setiap hari. Kami akan membaca al-Quran, mengadakan pengajian bahasa Arab serta mengajar serta menunjukkan cara solat yang sebenar.

Tenaga pengajarnya adalah individu yang pernah menuntut dalam bidang ini. Kami juga lebih senang memasak makanan sendiri kerana makanan di dalam penjara dikhuatiri mengandungi barang yang syubhah dan ditakuti akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

Bagaimana pula hubungan ustaz dengan dunia luar. Apakah masih ramai yang berhubung atau bagaimana?

ABU BAKAR: Rakan seperjuangan dari luar penjara akan datang dua minggu sekali mengikut waktu kunjungan yang dibenarkan. Setiap kunjungan melibatkan kira-kira 20 orang. Dalam setiap perjumpaan saya tekankan tentang pentingnya untuk kami berjuang dan melakukan jihad serta dakwah di kalangan ahli dan masyarakat.

Pada pandangan ustaz, apakah yang dimaksudkan dengan jihad?

ABU BAKAR: Jihad adalah perjuangan sama ada dilakukan secara jemaah (berdakwah) atau individu. Individu bermaksud dengan cara mengorbankan diri seperti menjadi pengebom berani mati.

Apakah jihad seperti itu dibenarkan dalam Islam?

ABU BAKAR: Ya. Ini berlandaskan ayat al-Quran, iaitu jihad menuntut pengorbanan harta dan nyawa. Syaratnya, harus menguntungkan umat Islam. Jika ada orang Islam terkorban, mereka yang terlibat ( dalam pengeboman) harus berpuasa selama dua bulan.

Adakah ustaz bersetuju pengeboman di Bali hanya mengorbankan nyawa orang tidak bersalah?

ABU BAKAR: Insiden di Bali adalah tepat kerana di situ terdapat ramai perisik Barat dan Yahudi.

Bagaimana serangan lain contohnya di Hotel JW Marriot pada tahun 2003?

ABU BAKAR: Berdasarkan maklumat hotel, itu membiayai kegiatan Barat untuk menyerang orang Islam.

Adakah ustaz menyokong setiap insiden pengeboman dilakukan JI?

ABU BAKAR: Hanya satu saya tidak bersetuju iaitu serangan pengeboman berani mati di sebuah masjid di Cirebon (di Jawa Barat pada 2011). Ini kerana ia menyasarkan orang Islam ketika hendak solat Jumaat, walaupun masjid itu milik pemerintah (toghut) tetapi saya tidak bersetuju perkara itu dilakukan.

Mengapakah jihad perlu dilakukan pada pandangan ustaz?

ABU BAKAR: Menurut al-Quran, Islam perlu menguasai dan bukan hanya menguasai sesebuah negara. Tujuannya untuk membatasi kejahatan pemimpin kafir yang memimpin negara berlandaskan hawa nafsu. Jika tidak, pasti umat Islam akan ditindas. Lihat sahaja di beberapa negara seperti Myanmar dan Bosnia, rakyat Islam dizalimi, ditindas serta hak mereka sebagai orang Islam diabaikan. Hanya melalui jihad, bantuan Allah akan tiba dan kita perlu yakin dengan bantuan ini.

Bagaimana pula maksud jihad bagi rakyat Indonesia?

ABU BAKAR: Jihad bagi rakyat Indonesia adalah perjuangan menentang pemerintahnya yang toghut. Kerana itu, negara ini sering ditimpa bencana seperti banjir, gempa bumi dan pelbagai musibah lain yang hanya menyukarkan rakyat di negara ini. Oleh itu jika rakyat Indonesia reda (menyokong pemerintah), ibadat kita tidak akan diterima Allah.

Negara manakah yang benar-benar menjalankan ajaran Islam sebenar?

ABU BAKAR: Pemimpin Al-Qaeda di Iraq. Perjuangan kami adalah menuju ke arah itu tetapi tidak mampu.

Bagaimana perjuangan umat Islam yang berjuang di Syria?

ABU BAKAR: Ia fardu kifayah. Jika mampu silakan. Ia perjuangan menentang presidennya (syiah) yang membunuh ramai orang Islam sunni.

Apa perjuangan ustaz ketika ini?

ABU BAKAR: Saya menubuhkan Jamaah Ansharut Tauhid (JAT), sebuah organisasi yang beroperasi secara terang-terangan dan saya sebagai Amirnya (ketua). Ahli-ahlinya pula terdiri bekas-bekas anggota JI.   Utusan/Rencana/20140608

Krisis keyakinan pengguna di Malaysia umpama tiada noktahnya

NEGARA kita masih dikejutkan dengan isu coklat yang dikatakan mempunyai DNA babi. Sudah bertahun-tahun coklat tersebut berada di pasaran tiba-tiba ia diumumkan mengandungi DNA babi oleh Kementerian Kesihatan.


Ada yang telah membeli coklat berkenaan dengan kuantiti yang banyak semasa bercuti di zon bebas cukai. Mereka rasa serba salah sama ada hendak dibuang coklat yang dibeli memandangkan banyak duit telah dibelanjakan.

Dalam pada itu, timbul pula persoalan bagaimana hendak menyucikan diri setelah bertahun-tahun tercemar dengan DNA babi? Maka timbullah cakap-cakap untuk menyamak mulut serta menyuci darah yang sudah tercemar.

Bagaimanapun Majlis Fatwa Kebangsaan merumuskan umat Islam yang termakan coklat itu tidak perlu ragu-ragu. Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan.

Umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah. Ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam keadaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan.

Bagaimanapun setelah kekecohan tersebut, dua produk coklat yang sebelum ini dilaporkan mengandungi DNA babi disahkan bebas daripada unsur haram itu berdasarkan analisis yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Justeru kita lihat terdapat dua penemuan yang berbeza dalam hal ini antara Jakim dan Kementerian Kesihatan.

Adalah jelas keadaan ini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna. Yang mana satu harus diyakini. Keyakinan pengguna merudum dengan teruk dalam hal ini apabila terdapat percanggahan di antara pihak yang terlibat.

Masyarakat juga dijangka mengambil masa untuk meningkatkan kembali keyakinan kepada coklat berkenaan.

Belum pun selesai isu coklat, timbul pula krisis bekalan minyak masak. Beberapa daerah di Selangor mengalami masalah bekalan minyak masak peket. Bekalan minyak masak peket di kedai-kedai runcit dan pasar mini dilihat berkurangan dan mula mencetuskan kebimbangan pengguna bekalan minyak habis.

Masalah timbul kerana tempahan daripada pemborong lambat sampai sehingga pekedai terpaksa mengehadkan jualan. Malah bekalan bukan sahaja lewat sampai tetapi kurang dari tempahan.

Bekalan minyak masak didakwa berkurangan setiap kali menjelang Ramadan sehingga merunsingkan masyarakat. Setiap tahun menjelang Ramadan minyak masak akan berkurangan sedangkan tiada masalah timbul sebelum ini.

Perkara ini turut menjejaskan keyakinan dan menimbulkan kebosanan pengguna. Mengapa masalah ini dibiarkan berlarutan tahun demi tahun tanpa apa-apa tindakan? Apakah punca perkara ini berlaku? Atau siapakah dalang di sebalik krisis bekalan ini? Siapakah pihak-pihak yang berkepentingan dalam hal ini? Memang banyak persoalan yang timbul dalam menghadapi isu ini.

Kita tidak hairan tidak lama lagi akan berlaku kekurangan bekalan tepung, gula dan ayam di pasaran. Minyak masak ini hanyalah permulaan sahaja. Ia akan disusuli dengan kekurangan bekalan barangan lain di pasaran.

Kita tidak mahu undang-undang berkaitan yang sedia ada hanya menjadi momokan masyarakat. Keadaan ini hanya seperti melepaskan batuk di tangga, apabila ada yang membuat laporan baru diambil tindakan. Apa yang jelas undang-undang sedia ada tidak mampu membantu mengembalikan kembali keyakinan pengguna.

Keyakinan pengguna adalah suatu faktor yang penting dalam perniagaan kerana apabila pengguna yakin, mereka tidak akan teragak-agak untuk berbelanja dan ini akan memanfaatkan perniagaan. Oleh itu tidak rugi mengambil langkah-langkah untuk mengembalikan semula keyakinan pengguna.

Agak malang jika masalah-masalah seperti ini tidak dapat diatasi. Ia hanya menggambarkan kecelaruan tindakan pihak berkuasa dan fikiran masyarakat di negara ini.

Kita seolah-olah tiada hala tuju dan masih tercari-cari arah yang difikirkan sesuai. Jadi, masih banyak perkara berkaitan kepenggunaan yang belum dapat diselesaikan dalam negara. Jika situasi ini berlarutan, maka janganlah bermimpi untuk mencapai status negara maju dalam tahun 2020. Ini kerana perjalanan ke arah itu dilihat masih jauh.

Pandangan IKIM ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan/Rencana/20140609

OCIS pemangkin martabat Islam

PADA penghujung Mei lalu, siri Syarahan Perdana Putrajaya (SPP) telah menjemput Pengarah Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom, Dr. Farhan Nizami untuk menyampaikan syarahannya mengenai pencapaian Islam di masa silam dan cabaran Islam di masa hadapan.


Dalam syarahannya, beliau menyatakan bahawa umat Islam di Malaysia telah membuktikan keupayaan untuk hidup dalam dunia moden yang serba mencabar ini dengan berpandukan prinsip 1Malaysia.

Katanya lagi, orang bukan Melayu menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama utama Malaysia.

Jika penerimaan ini benar-benar adalah hakikatnya, ia amat menggembirakan semuanya.

Justeru kata beliau, cabaran utama yang dihadapi oleh orang Islam adalah untuk mengukuhkan hubungan antara kefahaman agama Islam dengan pendidikan teknikal yang moden.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum syarahan Dr. Farhan turut menekankan betapa pentingnya peranan yang boleh dimainkan oleh orang Islam untuk mengembalikan kegemilangan masa lampau, di samping membina hubungan yang erat dengan orang lain.

Masyarakat Islam akan dihormati oleh orang bukan Islam jikalau mereka boleh menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan memajukan kepentingan setiap insan dengan satu suara dan satu tekad.

Pada pendapat saya, bukan hanya orang Islam sahaja yang memainkan peranan itu tetapi adalah penting untuk orang bukan Islam turut serta menyahut saranan dan nasihat Perdana Menteri ini.

Pusat Pengajian Islam Oxford atau dikenali dengan singkatannya OCIS pada 2012 telah dianugerahkan Piagam Diraja (Royal Charter) daripada Ratu Elizabeth II, United Kingdom.

Pusat ini ditubuhkan untuk mendukung prinsip kecemerlangan ilmu, dialog, diskusi dan sifat hormat antara satu sama lain.

Pengiktirafan ini dilihat telah memberikan satu gambaran penghormatan daripada pemerintah tertinggi England kepada pusat pengajian Islam tersebut yang telah menjadi nadi utama kepada pengajaran dan pembelajaran agama Islam di England.

Putera Charles menyatakan bahawa OCIS telah memainkan peranan penting di England dalam mewujudkan pemahaman yang jelas dalam kalangan masyarakat mengenai kesucian agama Islam.

Sebagai pusat pengajian Islam pertama yang menerima penganugerahan tersebut, OCIS dikatakan memiliki keupayaan dalam memperkembangkan bidang-bidang ilmu Islam melalui program pembelajaran dan penyelidikan yang dianjurkannya.

Hal ini dapat dilihat apabila OCIS berjaya mewujudkan perhubungan pendidikan serantau yang menggalakkan perkongsian ilmu dalam kalangan sarjana dunia mengenai kebudayaan dan peradaban Islam.

Pengiktirafan tersebut adalah bersesuaian dengan peranan yang dimainkan oleh OCIS dalam mempromosi dan memperkembangkan bidang keilmuan Islam.

Secara amnya, OCIS ditubuhkan sejak daripada 25 tahun lepas iaitu pada 1985 lagi. Penubuhannya dikatakan berasal daripada aspirasi Putera Charles yang menggalakkan perkembangan pengajian bidang keagamaan di England.

Maka dengan itu tertubuhlah OCIS sebagai pusat pengajian Islam di Oxford yang menawarkan program pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang keilmuan Islam.

Putera Charles selaku penaung kepada OCIS yang aktif dalam mempromosi dasar pelbagai agama turut memberi sokongan yang kuat kepada penubuhan pusat pengajian ini.

Hal ini disebabkan, beliau melihat bahawa OCIS mampu menjadi medium dialog antara dunia Barat dan Timur mengenai Islam. Penubuhan pusat pengajian ini juga menjadi satu bentuk perlambangan permulaan penerimaan negara-negara Barat terhadap agama Islam.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam juga mempunyai perhubungan yang rapat dengan pusat pengajian tersebut.

Hal ini dapat dilihat semasa berlangsungnya majlis penganugerahan Piagam Diraja kepada OCIS oleh United Kingdom, pemimpin tertinggi negara iaitu Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selaku anggota Majlis Tertinggi OCIS dan beberapa tetamu terhormat seperti Sultan Perak ketika ini, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultanah Johor, Raja Zarith Sofiah, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, dan Datuk Dr. Afifi al-akiti yang dijemput bersama-sama menyaksikan detik bersejarah tersebut pada tahun 2012.

Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada perkembangan OCIS semenjak daripada awal penubuhannya lagi.

Putera Charles menyatakan lagi bahawa OCIS mencipta sejarah kerana telah menjadi institusi Islam yang pertama yang dianugerahkan Piagam Diraja tersebut.

Dengan ini bolehlah dianggap bahawa kedudukan Islam di negara itu makin dihormati oleh kerajaan United Kingdom.

Bahkan, kebanyakan sarjana di Malaysia juga sering mengadakan jalinan kerjasama dengan OCIS terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pendidikan Islam.

Maka keadaan ini telah mendorong satu bentuk perhubungan yang berterusan antara Malaysia dan juga OCIS.

Secara asasnya, perhubungan antara OCIS dengan Malaysia bermula sejak 2004 lagi apabila Universiti Malaya (UM) sewaktu berada di bawah tampuk pentadbiran saya sebagai Naib Canselor telah menjalankan usahasama dengan OCIS di bawah pimpinan Dr. Farhan.

Usahasama tersebut termeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak yang melibatkan pertukaran pelajar dan staf, bahan penerbitan, serta modul program pengajian.

Secara amnya, perhubungan ini lebih memfokuskan kajian berkaitan ketamadunan Islam dan keperluan dunia umat Islam selain sastera, kemanusiaan, dan sains sosial.

Keadaan ini turut menjadi salah satu usaha bagi pihak UM untuk meletakkan universiti berkenaan setaraf dengan universiti terkemuka dunia dalam apa jua bidang sekalipun.

Maka melalui MoU tersebut bermulalah perhubungan akademik yang berterusan melibatkan Malaysia dan OCIS yang dilihat mampu memberikan faedah dalam memperkembangkan lagi bidang keilmuan Islam. Saya berharap agar kerjasama ini akan berterusan demi memartabatkan lagi Islam di mata dunia.

DATUK PROF. DR. HASHIM YAACOB ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya Utusan/Rencana/20140609

Sikap responsif dan bersyukur

Dalam kehidupan ini, kita akan menemui beberapa jenis sikap manusia. Antaranya sikap reaktif, proaktif dan responsif. Reaktif bermaksud cenderung menunjukkan reaksi atau mengambil tindakan, setelah berlakunya sesuatu terhadap seseorang atau sesuatu situasi. Sikap reaktif ini lebih cenderung kepada negatif; orang buat hal sikit sahaja pun kita sudah berkecil hati atau marah, malah mungkin kita akan membalas dengan tindakan yang sama atau lebih teruk lagi daripada yang kita rasa atau kena.


Proaktif bermaksud merangka melakukan sesuatu tindakan (setelah difikirkan masak-masak) jauh lebih awal daripada berlakunya sesuatu perkara yang sememangnya memerlukan tindakan berkenaan (tindakan tidak dilakukan hanya setelah sesuatu hal itu berlaku. Iaitu melibatkan proses programming pemikiran (berfikir dan bertindak secara positif bagi mengelakkan sesuatu perkara yang buruk berlaku).

Responsif pula bermaksud segera dan mudah memberi kerjasama atau reaksi yang bersifat membantu terhadap sesuatu. Ini juga sifat-sifat orang yang positif. Orang yang responsif, walau macam mana sekalipun orang lakukan kepadanya, dia tidak terjejas dari segi hati dan perasaan, pemikiran serta dapat mengawal tindakan fizikal.

Orang yang responsif tidak bertindak negatif, sebaliknya berfikir positif dan sentiasa bersangka baik terhadap apa yang orang kata atau lakukan kepadanya itu. Sehingga mereka akan menerima setiap kejadian buruk yang berlaku ke atasnya dengan berlapang dada dan menganggap mungkin balasan atau respons daripada Allah kepada kita yang pernah berbuat sesuatu yang buruk kepada orang lain. Contohnya kita dijemput dalam satu majlis perkahwinan; apakah kesannya kalau kita datang, dan apakah kesannya kalau kita tidak datang ke majlis perkahwinan tersebut?

Biasanya ada dua jenis respons daripada orang yang terlibat dalam kes tersebut. Orang yang pertama, dia jenis yang akan lekas berasa kecil hati dan bersangka buruk. Dia menganggap telah dilupakan, padahal orang yang menjemput itu, anaknya sudah empat orang yang berkahwin, semua jemputan itu dipenuhi oleh orang yang diundang, kecuali jemputan yang satu ini.

Tetapi, cuma kerana terlepas satu jemputan ini, kita sudah berkecil hati. Dalam hal ini, orang jenis ini, dia tidak tengok apa yang orang telah lakukan kepadanya selama ini, tetapi dia hanya tengok apa yang orang tidak buat terhadap dirinya. Dia juga tidak tengok apa yang dia tidak lakukan, tetapi dia hanya tengok apa yang dia telah lakukan untuk orang itu. Orang macam ini senang berkecil hati, tersinggung dan merajuk dengan orang di sekelilingnya. Sikap negatif ini melemahkan tenaga, emosi dan semangatnya untuk hidup bahagia dalam masyarakat.

Jenis orang yang kedua ialah kita tidak mudah terasa dan berprasangka. Kalau kita seorang yang berjiwa besar, kita tidak mudah berkecil hati, sebaliknya kita bersangka baik, mungkin orang yang dijemput itu berhalangan dan bukan disengajakan atas alasan tertentu. Kerana matlamat hidup kita untuk mencari reda Allah dan menjaga silaturahim. Oleh sebab itu, jom audit diri kita. Kita berada dalam golongan orang yang bersikap apa, reaktif, proaktif atau responsif? Perbaiki diri agar menjadi orang yang berjiwa besar.

Ingat, gunakan formula, 'ADA - BERI - DAPAT'. Orang yang dalam dirinya 'ada' kebaikan akan mampu 'memberi' kebaikan kepada orang lain, dan kerana kebaikannya dia akan 'dapat' balasan kebaikan daripada orang di sekelilingnya. Kita sukar untuk mengubah sikap orang, tetapi kita boleh mengubah sikap kita sendiri. Apabila kita berubah, orang di sekeliling kita juga turut berubah.

Perkataan gagal, kecewa, kesal, hampa, berkecil hati, merajuk dan marah tidak boleh ada dalam emosi kita. Orang yang tenang, emosinya penuh dengan kesyukuran, kasih sayang dan murah hati. Apabila kita sibuk bersyukur dengan apa yang kita miliki hasil kurniaan Allah berbanding dengan orang lain yang tidak miliki apa-apa yang kita ada, akan menghilangkan rasa kecewa. Ubahlah sikap kita dengan sentiasa bersyukur dan reda dengan segala ketentuan Ilahi.

Semua kehidupan negatif kita berpunca dari hati, hatilah raja kita, dan jangan jadikan nafsu raja kita. Orang yang payah maafkan orang, mudah marah, mudah merajuk dan berkecil hati bermakna, 'nafsu' menjadi rajanya. Ingat, makanan hati yang baik ialah ilmu, bukan berita. Makanan nafsu ialah berita. Sesiapa yang suka mendengar berita yang tidak elok tentang orang dan suka mengumpat, buanglah jauh-jauh sifat itu. Kita hendak memaafkan orang dengan hati. Kita mesti ingat sifat Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang serta Maha Pengampun.

Kita mesti tamak dua perkara. Pertama, tamak akan keampunan Allah. Kedua, tamak akan ilmu. Kalau kita hendak Allah mengampunkan kita, mengapakah kita tidak boleh memaafkan hamba Allah dan makhluk Allah yang sama tarafnya dengan kita? Analoginya begini, apabila kita dipatuk ular, kita mati bukan kerana patukan ular tetapi sebab racun ular yang menjalar ke seluruh tubuh kita. Orang yang berbuat salah (yang membuatkan kita marah, hampa, kecewa, merajuk dan berkecil hati) itu umpama patukan ular, patukannya hanya sekali. Demikian jugalah orang yang berbuat salah dengan kita, dia menyakitkan hati kita hanya sekali. Tetapi racun ular itu meresap ke seluruh tubuh kita dan jika dibiarkan kita akan mati. Begitu jugalah kita, adakah kita akan membiarkan emosi marah kita dan seumpamanya, yang analogi seperti racun ular itu, terpendam dalam hati kita sekian lama hingga membinasakan kehidupan kita?

Ingatlah bahawa apa-apa yang berlaku terhadap kita, kita tidak boleh kawal, tetapi kita boleh kawal respons atau tindak balas kita terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Cuba ampunkan semua orang dan fokuskan kepada kebaikan orang sahaja. Kita buat senaman jiwa, senaman minda, senaman keimanan. Hal ini bermaksud, jika orang berbuat jahat kepada kita, kita biarkan sahaja, cuba bersabar dan reda, serta kesian akan dia kerana berperangai jahat.

Kalau kita ingat balasan dan pusingan kehidupan itu, kita tentu akan menjadi seorang yang penyabar. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

* PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah Yadim.

* Ikuti program Kanta Prof. Muhaya di TV2 setiap Rabu 6.30 pagi dan ulangan setiap Jumaat 1.30 tengah hari.

* Fanpage: wwww.facebook.com /profdrmuhaya.Utusan/Rencana/20140608