June 12th, 2014

Malaysia teratas Indeks Keislaman

LONDON 11 Jun - Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam Indeks Keislaman berbanding negara-negara Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) lain berdasarkan kajian yang dijalankan oleh dua ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat.

Kajian yang mengambil kira faktor negara-negara yang berpegang teguh kepada nilai-nilai ajaran al-Quran itu meletakkan Malaysia di tangga ke-33 berbanding negara-negara OIC lain seperti Arab Saudi dan Qatar, yang masing-masing berada pada kedudukan ke-93 dan ke-111.

Tidak ada sebuah pun negara yang majoriti penduduknya beragama Islam berada pada kedudukan 50 teratas, melainkan Malaysia serta Kuwait yang berada di tangga ke-42.

Malah yang menarik perhatian tentang Indeks Keislaman itu, Israel berada di tangga ke-27, manakala Singapura di tangga ke-8.

Menurut BBC, kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari dan rakannya, Scheherazade S. Rehman itu mengesan bagaimana negara-negara di dunia mengaplikasikan pengajaran al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat.


Malaysia berada di kedudukan ke-33 berbanding negara-negara OIC dalam kajian Indeks Keislaman yang
dijalankan ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat. - AFP

Hossein yang merupakan ahli akademik kelahiran Iran berkata, Indeks Keislaman itu meletakkan Ireland pada kedudukan pertama negara paling berpegang teguh kepada ajaran al-Quran, diikuti Denmark, Sweden dan United Kingdom.

"Kami melihat sama ada benar atau tidak negara-negara itu buat apa yang sepatutnya mereka buat. Kami turut melihat pada faktor tadbir urus, politik dan hak asasi manusia serta hubungan antarabangsa, katanya.

Hossein berkata, faktor utama negara-negara Islam mendapat kedudukan terendah dalam indeks itu adalah disebabkan tadbir urus negara-negara berkenaan yang menjadikan agama sebagai alat untuk berkuasa.

Al-Quran mengajar kemakmuran ekonomi adalah perkara yang baik untuk masyarakat, namun laporan Hossein mendapati, kemakmuran tidak menjadi perkara yang diutamakan oleh kebanyakan negara Islam.

Pada November lalu, Hossein berkata, perlu diberi penekanan bahawa kebanyakan negara yang mengaku mengamalkan ajaran Islam dan digelar sebagai negara Islam tidak melaksanakan keadilan, mengamalkan rasuah, serta mundur dan pada hakikatnya tidak sebenar-benar mengamalkan Islam. Utusan/Luar_Negara/20140612

Pandangan Kaunselor

ORANG tua-tua selalu menyebut, “Seorang ibu mampu menjaga dan menyara 10 anak. Sebaliknya 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu". Itu realiti yang berlaku hari ini. Kesusahan yang dirasai oleh seorang ibu dalam mendidik dan mengasuh anak-anak yang lahir daripada rahimnya tidak lagi mendapat penghargaan dan kedudukan yang sepatutnya.

Inilah yang dikatakan anak derhaka. Ketika kecil berak kencing dibasuh tanpa rungutan dan kata nista. Tetapi apabila besar panjang dan berjaya, anak-anak mulai lupa siapa yang menyusu dan menyuapkan nasi ke mulut mereka. Bahkan, ketika menangis terjatuh ibulah yang berkejar mendapatkan anak yang disayangi takut terluka atau sakit melanda.

Betapa kerasnya hati anak-anak masa kini. Bagi mereka duit segala-galanya. Mereka menganggap dengan duit mereka dapat membayar segala titik peluh yang tumpah tatkala membesarkan mereka. Mereka lupa kedudukan ibu dan bapa yang dimuliakan di sisi Allah dan Rasul hatta disebut, keredaan Allah terletak pada reda ibu bapa. Begitu juga apabila ibu bapa merasa murka Allah juga akan murka kepada mereka.

Perasaan kasih sayang, hormat dan belas kasihan telah mula hilang daripada jiwa anak-anak. Seolah-olah mereka nanti tidak akan tua. Walhal Allah dan Nabi Muhammad SAW sering berpesan, jangan derhaka kepada ibu bapa kerana bencana pasti akan menimpa. Mereka juga lupa pembalasan Allah kepada anak-anak yang menderhaka tidak akan ditangguhkan sehingga hari kiamat. Sebaliknya akan dibayar di dunia lagi.

Namun dek kerana tiada lagi perasaan belas kepada ibu bapa, ramai anak-anak yang mengambil sikap menjauhkan diri daripada ibu bapa. Sekali gus tindakan tersebut melukakan perasaan mereka, sekalipun tidak diluahkan.

Hakikatnya, anak-anak juga sering terlupa, wang ringgit bukan menjadi ukuran kasih dan sayang. Sebaliknya, apa yang dimahukan ialah perhatian yang diberikan.

Tiada alasan untuk membiarkan ibu bapa hidup terbiar tanpa perhatian. Sekalipun suatu ketika dahulu mereka pernah berdosa kepada kita, namun kenapa kita begitu keras hati untuk memberikan kemaafan? Ingat setiap manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan kerana kesilapan itulah yang akan mematangkan seseorang. Begitu juga kita kerana kita bukan manusia sempurna. Ini bukan soal hukum karma kerana hukum karma tiada dalam Islam. Sebaliknya, ini adalah ujian untuk kita melihat di mana kedudukan kita?

Justeru, pengabaian ke atas ibu bapa tidak sewajarnya berlaku. Jangan disebabkan sikap kita itu, akan membuatkan ibu bapa merasakan diri mereka beban untuk anak-anak. Insaflah anak-anak kerana amal yang baik kepada ibu bapa mungkin menjadi tiket untuk menjenguk syurga Allah yang dipenuhi dengan nikmat. Mohonlah kemaafan dan restu agar doa mereka menjadi keredaan Allah kepada kita semua.   Utusan/Bicara_Agama/20140612

Kita juga akan tua

IBU tua yang terlantar di hospital sayup memandang ke luar tingkap. Sekali-sekala air matanya mengalir daripada kelopak matanya mengenangkan nasib diri yang bukan sahaja tidak berupaya menguruskan diri sendiri, bahkan dianggap beban oleh anak-anaknya.

Di sisi katil hospital, kesemua anak-anaknya berkumpul. Bukan dengan niat untuk menziarahi ibu yang sakit tetapi kedatangan mereka dalam keadaan yang terpaksa. Itu pun setelah Tina menelefon dua abang, kakak dan seorang adik lelakinya untuk menguruskan urusan mengeluarkan ibu dari hospital setelah terlantar hampir tiga bulan.

“Kaulah yang bayar. Dengan kerja sebagai kerani cabuk, aku tak mampu. Lainlah kau, sekurang-kurangnya ada pencen," kata Zali kepada kakaknya, Zainah yang baharu sahaja bersara.

“Apa, kau ingat banyak sangat ke pencen yang aku terima? Tu, anak-anak aku yang ada di kolej, yuran dan perbelanjaannya aku kena fikirkan. Mana cukup," bebel Zainah.


Insaflah anak-anak kerana amal yang baik kepada ibu itu akan dapat balasan syurga. - Gambar hiasan

Dua lagi abangnya diam membisu. Sedikit pun tidak mengeluarkan suara memberikan persetujuan untuk melangsaikan kos perubatan si ibu.

“Abang macam mana?," tanya Tina memecahkan kebuntuan. “Macam nilah, masing-masing keluarkan RM300 seorang. Yuran perubatan mak, sebanyak RM800 tu kita selesaikan. Selebihnya, bagi Tina untuk menguruskan keperluan mak di rumahnya nanti," jelas Zarif.

“Maknanya, mak akan tinggal dengan Tinalah ye!," kata Tina seolah-olah terperanjat dengan keputusan yang dibuat oleh abang sulungnya. “Yelah, siapa lagi. Kami semua bekerja. Kau sahaja yang tak bekerja. Lagi pun kamu kan ibu tunggal? Tak ada siapa yang menghalang kalau kau jaga mak. Lainlah kami, tahulah kakak ipar kau tu. Dia pun sibuk bekerja," ujar Zarif lagi sambil dipersetujui adik-beradik yang lain.

Tina terdiam seketika. “Habis tu, duit bulan-bulan nak jaga keperluan mak, macam mana?," tanya Tina kembali. “Kau jangan risau, setiap bulan kami akan kirimkan RM200 seorang.

Tina mencongak-congak. Maknanya, hanya RM600 setiap bulan. Kepalanya yang tidak gatal digaru. “Cukupkah bajet nak beli lampin pakai buang serta susu khas untuk mak," soalnya dalam hati.

Namun untuk tidak mengeruhkan lagi suasana, Tina diam dan akur. Petang itu selesai urusan pembayaran dibuat, maka bermulalah kehidupan mak di rumah Tina. Bulan pertama, perjanjian abang, kakak dan adiknya untuk memberikan wang saku, dipenuhi. Tapi masuk bulan kelima, masing-masing buat lupa. Pelbagai alasan diberikan. Puas didesak, barulah dikirimkan. Itu pun bukan dalam jumlah yang dipersetujui. Jauh sekali kakaknya yang terlalu berkira. Akhirnya Tina mengambil keputusan untuk memohon bantuan Baitulmal. Bantuan diluluskan. Sedikit lega. Namun Tina tidak memberitahu adik-beradiknya. Khuatir jika hal ini diketahui, mereka langsung tidak mahu mengirim lagi wang untuk keperluan emak.

Pernah suatu hari, Tina meminta bantuan kakaknya, menjaga emak buat seketika kerana kawannya menawarkan kepadanya untuk membuat promosi bagi produk yang hendak dilancarkan. Tina setuju. Upahnya RM500.

Selesai kerjanya pada hari itu, tiba-tiba kakaknya meminta RM300 sebagai upah menjaga ibunya pada hari itu. Tercengang Tina. Tanpa dia sedar, air matanya mengalir. Begitu sekali sikap seorang kakak kepada dirinya. Sudahlah tidak mahu menjaga emak. Minta tolong sekejap pun, diminta upah. “Ya Allah kenapa adik-beradiku jadi begini," keluh Tina. Utusan/Bicara_Agama/20140612

E.T tetap jadi rahsia Allah

KONFLIK antara para saintis mengenai kehidupan di luar planet Bumi tidak pernah ada penghujungnya. Setiap kali penemuan tersebut diumumkan, walaupun bersama bukti secara saintifik, tetap ada hujah yang menolak penemuan tersebut.

Walaupun dakwaan yang dibuat itu boleh diterima secara logik tetapi apabila diselidik secara mendalam, banyak kemungkinan lain yang tidak dirungkaikan oleh para saintis yang menemukannya itu.

Antaranya adalah pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud dalam saluran Discovery Channel pada Ogos 2011 lalu.

Kenyataan Hawking itu mengundang reaksi berbeza dengan sebahagian saintis menyangkal pandangan itu secara terbuka dan ada juga yang bukan hanya berdiri teguh di belakangnya, bahkan memberikan ramalan hampir serupa.

Samalah dengan usaha Agensi Pentadbiran dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat (AS) yang mewujudkan program dipanggil SETI (Search for Extra-Terrestrial Intelligence) pada 1959 untuk berkomunikasi dengan E.T.


























Prof. Mohd Alauddin Mohd Ali

Kehampaan terhadap projek itu tidak menghentikan usaha NASA tersebut apabila pada 1971, mereka telah sanggup membelanjakan USD10 billion untuk Project Cyclops dan kali ini mereka menggunakan 1,500 piring satelit untuk tujuan sama.

Ternyata projek mencari E.T itu terus menemui kehampaan dan tidak hairanlah, bagi bekas Pengarah Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Mohd. Alauddin Mohd. Ali yang menyifatkan isu tentang kehidupan di luar bumi itu sehingga kini hanya dakwaan sahaja.

“Sepanjang pengalaman saya dalam bidang sains angkasa itu, walaupun ada yang datang dengan bukti secara saintifik tetapi majoriti saintis dalam bidang itu masih belum dapat menerimanya secara muktamad.

“Cuma populariti E.T dalam kalangan masyarakat umum, termasuklah umat Islam meningkat kerana dipandu oleh khayalan kreatif yang dicipta oleh filem atau drama dan bukannya oleh kajian ilmiah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, UKM, Bangi, baru-baru ini.

Planet Marikh

Tidak dinafikan, bidang astronomi menyatakan memang banyak planet macam bumi tetapi yang paling dekat adalah jaraknya 12 tahun cahaya dan satu tahun cahaya lebih kurang 32 juta saat dan jarak satu saat adalah 300,000 kilometer (km).

Sejajar dengan itu, para saintis Islam menyatakan bahawa kalau ada kemungkinan wujudnya hidupan di planet itu, jaraknya sangat jauh dan mungkin tidak sempat daripada segi tempoh julat kehidupan manusia untuk ke sana atau E.T itu untuk sampai ke bumi.

“Malah, planet Marikh yang disebut-sebut sebagai sesuai untuk kehidupan manusia bukan hanya berada dalam lingkungan jarak yang cukup jauh dari bumi, tetapi, pelancaran ekspedisi penjelajahan ke planet itu hanya dapat dilakukan apabila kedudukannya hampir dengan bumi," kata Mohd. Alauddin yang juga adalah profesor di Jabatan Kejuruteraan Elektrik Elektronik dan Sistem UKM.

Bagaimanapun, jelasnya lagi kesungguhan para saintis itu adalah berasaskan kepada keinginan mereka untuk mencari dan mengenal pasti planet lain yang sesuai untuk manusia hidup, selain bumi.

Dalam keghairahan itu, tambah Mohd. Alauddin, wujudnya teori kemungkinan wujud hidupan di planet lain, termasuklah ketibaan mereka ke bumi adalah berdasarkan penemuan artifak dan binaan bangunan yang luar biasa.

“Walaupun setakat ini, penemuan tentang hidupan di luar bumi terus menjadi perdebatan tetapi usaha tersebut perlu diteruskan kerana ia sejajar dengan seruan Allah SWT supaya manusia mengkaji kejadian di langit dan di bumi," katanya.

Begitulah juga dengan firman Allah SWT dalam surah as-Syura ayat ke-29 yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada kedua-duanya daripada makhluk-makhluk yang melata dan Ia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila dikehendaki-Nya (melakukannya).

Ayat ini adalah umum mengenai makhluk Allah SWT yang bertebaran di langit dan bumi. Daripada segi bahasa, kalimah Daabbah (makhluk yang melata) diambil daripada kata akar yang bererti berjalan dengan sangat halus. Secara pastinya, perkataan Daabbah tidak digunakan dalam erti malaikat.

Mohd. Alauddin berkata, walaupun maksud perkataan Daabbah itu masih boleh diperdebatkan, tetapi sepatutnya umat Islam perlu menjadi ketua dalam mengkaji dan memikirkan apa yang ada di antara langit dan bumi.

“Kita kena ingat bagaimana generasi Ulu Albab zaman kegemilangan Islam dahulu yang berusaha membina ketamadunan Islam sehingga menjadi ikutan umat agama lain pada masa itu," katanya. HASHNAN ABDULLAH/GAMBAR: MD.SHAHJEHAN MAAMIN. Utusan/Bicara_Agama/20140612

ASWJ selari jiwa Melayu

MENYEBUT Ahli Sunnah wal-Jamaah (ASWJ) sememangnya sudah tidak asing lagi bagi masyarakat Islam di negara ini. Malah rata-rata mengakui berpegang dengan fahaman yang disahkan menjadi pegangan rasmi bagi umat Islam itu.

Namun malangnya, apabila membicarakan mengenai perkara itu, masih ramai yang tidak mengetahui apakah definisi sebenar kalimah yang selama ini dijadikan panduan tersebut.

Hakikatnya, menurut Pensyarah Jabatan Siyasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Zaidi Abdul Rahman, fahaman ASWJ adalah sangat hampir dengan identiti umat Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu pada wacana Pencerahan Tasawwur Ahli Sunah wal-Jamaah anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, ini dibuktikan dengan sikap masyarakat Melayu yang lemah lembut, bertoleransi dan sukakan keamanan bertepatan dengan ajaran yang dibawa oleh agama Islam fahaman ASWJ.

“Jika penyebaran Islam di Tanah Arab dan beberapa negara dunia lain pada lebih 1,500 tahun dahulu sering diiringi dengan peperangan, namun berbeza dengan apa yang berlaku di Nusantara terutamanya di Tanah Melayu ketika awal kemasukannya.

“Dikatakan, mimpi bertemu Rasulullah SAW yang dialami oleh Raja Kecil Besar merupakan antara isyarat kemasukan Islam sebelum disusuli dengan kedatangan ulama bernama Syed Abdul Aziz dari Jeddah ke Melaka untuk menyebarkan agama Islam," katanya.

Malah, Zaidi berkata, sejarah turut membuktikan, proses pengislaman Raja-Raja Melayu sebelum diikuti dengan masyarakat Melayu pada ketika itu, sekali gus membuktikan bahawa kedudukan dan kuasa tidak membuatkan mereka angkuh untuk menerima ajaran Islam.

Perkara itu ujarnya, membuktikan bahawa ajaran Islam melalui fahaman ASWJ yang disebarkan adalah bersesuaian dengan jiwa masyarakat Melayu.

“Catatan sejarah menunjukkan penerimaan awal raja-raja telah membuka ruang yang meluas terhadap perkembangan Islam kepada masyarakat di Nusantara. Ini selaras dengan masyarakat yang berteraskan patriarki dan feudal pada masa itu memudahkan lagi tersebarnya Islam secara terbuka tanpa sebarang unsur kekerasan.

“Sehinggakan berlaku transformasi dalam kalangan masyarakat Melayu pada masa itu yang mengamalkan kepercayaan banyak tuhan kepada prinsip tauhid iaitu beriman kepada Allah SWT. Perubahan ini dicorakkan melalui fahaman ASWJ yang menjadi dominan utama yang menggerakkan fahaman ajaran Islam pada awal kedatangannya di rantau ini.

“Malah, pengaruh agama Islam berjaya mencorakkan identiti Melayu, sehingga pelbagai aspek termasuk kepercayaan dan perundangan diterapkan dengan elemen-elemen Islam, manakala pengaruh agama kuno pula mula mengecil," katanya.

Keselarian itu tambah Zaidi, menjadikan Nusantara terutamanya di Malaysia menjadi sebagai tunggak utama benteng ASWJ pada masa ini untuk terus diperluas dan diamalkan bebas berbanding negara Islam lain.

“Dianggarkan hampir 90 peratus umat Islam di negara ini adalah mengamalkan fahaman ASWJ. Sejak abad ke-15 lagi telah menyaksikan Islam mempunyai benteng yang kuat melalui keutuhan kerajaan Melaka di Nusantara.

“Pengukuhan ini hasil daripada hubungan baik yang dijalin antara ulama dan yang mencorakkan dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam berteraskan fahaman ASWJ di kawasan sekitar.

“Sokongan turut diberikan oleh pihak istana dengan menyediakan kemudahan dan prasarana untuk kegiatan pengajaran, kepustakaan dan penyebaran agama Islam seperti era pemerintahan Bani Umayyah dan Bani Abassiyyah pada zaman kegemilangannya," katanya.

Wacana selama dua hari itu membentangkan sebanyak sembilan kertas kerja daripada pakar pelbagai bidang seperti Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Profesor Datuk Paduka Zakaria Stapa yang membentangkan kertas kerja bertajuk, ASWJ, Satu Kerangka Umum; Pensyarah Sekolah Perniagaan Islam, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim dan banyak lagi.

Program dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Yang turut hadir, Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad.

Memperkasa ASJW di Malaysia

Justeru, Zaidi berkata, umat Islam perlu bersama-sama memelihara serta memperkasa fahaman berlandaskan al-Quran dan sunah itu daripada tercemar dan pupus daripada menjadi amalan generasi pada masa akan datang.

Ia katanya, penting bagi mengekang fahaman-fahaman asing seperti Syiah, Liberalisme, Wahabi-Salafi dan ajaran-ajaran sesat daripada tersebar meluas dan pada masa sama mengelirukan umat Islam terhadap ajaran ASWJ.

“Kerjasama semua pihak perlu dalam memelihara fahaman ASWJ di negara ini. Menggabungkan kepakaran ulama dengan kecanggihan teknologi membolehkan strategi memperkasakan fahaman ASWJ lebih berkesan.

“Golongan agama perlu bersatu padu dalam memberi penerangan kepada orang ramai dan jangan menangguk di air yang keruh kerana sebab-sebab peribadi atau kelompok. Sasaran strategik paling utama pastinya dipikul oleh guru-guru agama yang mempunyai ribuan murid.

“Begitu juga para penulis dan penyelidik juga harus memberikan sokongan dengan memerhati dan meneliti isu-isu semasa yang berlaku sebelum didedahkan kepada khalayak dengan penerangan yang mudah difahami," jelasnya.

Kaedah menerbitkan bahan-bahan yang sealiran dengan ASWJ juga tambahnya, perlu sebarkan meluas dengan memfokuskan mengikut kefahaman golongan sasar.

“Pada asasnya, untuk menyediakan benteng yang kukuh memerlukan kerjasama terancang melalui gembelengan ilmu, ekonomi kuasa dan media bagi memastikan fahaman ASWJ yang diyakini itu agar benar-benar murni," ujarnya.

PENGESAHAN fahaman ASWJ untuk diamalkan di Malaysia telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ daripada segi akidah, syariat dan akhlak.

Perkara itu disokong oleh panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara rasmi memperakukan bahawa ASWJ adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW menerusi para sahabat, Tabi'in dan Tabi' Tabi'in yang setia bersama mereka dalam prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Manakala pakar tasawuf, Allahyarham Uthman el-Muhammady mengatakan, umat Islam yang berpegang dengan fahaman ASWJ adalah mengamalkan akidah mengikut mazhab Imam Asy'ari, dalam fiqh ia mengikut mazhab Syafie, manakala kerohanian mengikut Imam al-Ghazali.

Bagaimanapun Zaidi berkata, walaupun fahaman ASWJ telah dilabelkan sebagai fahaman rasmi di negara ini, namun apa yang lebih membimbangkan terdapat pergolakan dalaman yang wujud dalam fahaman tersebut.

“Jika fahaman asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana ia jelas bertentangan dengan fahaman ASWJ. Tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah polemik antara fahaman ‘Salafi’ dengan ‘Asyairah dan Maturidiyyah’.

“Ini agak konflik kerana sistem rujukan sumber hukum mereka yang sama. Malah kedua-dua fahaman ini juga tegas mendakwa mereka adalah daripada kelompok ASWJ yang sebenar.

“Cabaran dalaman ini jika tidak diuruskan dengan berhemah bakal melemahkan benteng yang ingin dibina dan akan menyebabkan perpecahan walaupun kepada perkara yang bersifat sampingan," katanya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Gambar: HALIM KHALID   Utusan/Bicara_Agama/20140612

Menganjak minda laksana syariah

TIDAK putus-putus hari ini masyarakat bercakap tentang undang-undang hudud yang ingin dilaksanakan di Malaysia. Perbincangan menjadi lebih hangat apabila negara Brunei Darussalam mengisytiharkan penguatkuasaan undang-undang hudud di negara yang dikelilingi oleh Malaysia itu. Brunei menjadi pemangkin kepada peningkatan semangat umat Islam di Malaysia untuk turut melaksanakan hukuman hudud tersebut.

Bagi penulis, jenayah hudud telah jelas dinyatakan di dalam al-Quran. Sesiapa yang menyanggah, ia samalah seperti menyanggah al-Quran dan boleh dipersoalkan akidahnya. Namun, kita perlu membezakan di antara orang yang menyanggah hudud dengan orang yang berpandangan hudud belum sesuai dilaksanakan lagi dengan pelbagai alasan. Pihak yang menyanggah juga perlu berhati-hati agar tidak mempersoalkan al-Quran itu sendiri.

Penulis meneliti kebanyakan pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak, sama ada di media sosial ataupun di akhbar arus perdana. Kesilapan yang nyata bagi penulis ialah membincangkan hudud dalam konteks yang terlalu mikro sehingga tidak menggambarkan falsafah dan kecantikan hudud itu sendiri.


















PENGUMUMAN perlaksanaan hukuman Hudud di Brunei telah menimbulkan
pelbagai reaksi seluruh dunia.



Penulis mengajak pembaca agar tidak mengehadkan perbincangan hanya pada hudud sahaja tetapi membuka luas perbincangan kepada undang-undang jenayah dalam Islam yang juga mencakupi qisas dan taazir. Malah kalau kita berbalik kepada al-Quran itu sendiri, nas berkaitan dengan hudud bukan dihadkan kepada aspek jenayah sahaja, tetapi sempadan Allah SWT tetapkan berdasarkan perintah dan larangan-Nya dan apa jua bidang.

Perbincangan di luar kotak juga perlu dibuat bukan hanya berkisar kepada hukuman hudud itu sahaja tetapi juga berkaitan aspek pembuktian, kesaksian, pengampunan (dalam kes qisas), pelaksanaan dan banyak lagi. Oleh kerana masyarakat membicarakan hudud ini berdasarkan compartment (bahagian) yang terpilih, perbahasan tersebut menjadi terlalu kecil sehingga tidak mengambil kira perkara-perkara penting lain.

Penulis merasakan adalah lebih baik kita bercakap mengenai undang-undang jenayah dalam Islam berbanding hudud sahaja. Ia adalah lebih adil bagi hal perkara tersebut berbanding berbincang aspek kecil hudud sahaja. Hudud tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa elemen-elemen lain yang menyempurnakan falsafahnya.

Penulis mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya UMNO dan Kerajaan Kelantan, khususnya PAS kerana telah merangka prinsip asas mempersetujui pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan, khususnya dan di Malaysia, amnya.

Doa penulis agar kerjasama ini dapat dimanfaatkan bagi umat Islam dalam usaha menegakkan hukum Allah SWT di Malaysia. Penulis percaya jawatankuasa teknikal yang bakal diwujudkan akan meneliti segala aspek hukum syarak dan perundangan.

Pada pandangan penulis undang-undang jenayah Islam yang terdiri daripada jenayah hudud, qisas dan taazir sebenarnya merentasi kuasa parlimen dan dewan undangan negeri menggubalnya. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan kuasa-kuasa Parlimen dan Dewan- Dewan Undangan Negeri berdasarkan senarai yang ada.

- Senarai Pertama memperincikan hal ehwal di mana Parlimen berkuasa membuat undang-undang.

- Senarai Kedua pula menzahirkan kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri.

- Senarai Ketiga adalah senarai bersama di mana kedua-dua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa membuat undang-undang dalam hal perkara yang dinyatakan di dalamnya.

Secara ringkasnya, bolehlah penulis menyatakan bahawa hal perkara jenayah terletak di dalam Senarai Pertama di mana Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang. Hal perkara jenayah ini termasuklah mencuri dan merompak (hudud), membunuh, memukul dan sebagainya (qisas) dan beberapa jenayah-jenayah taazir lain.

Sementara bagi kesalahan zina, murtad, khazaf dan minum arak (hudud) serta beberapa jenayah lain seperti khalwat, poligami tanpa kebenaran, tidak berpuasa dan lain-lain (jenayah taazir lain) terletak di bawah kuasa Dewan Undangan Negeri.

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR  ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia. Utusan/Bicara_Agama/20140612